Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Seramai 2,598 disyaki positif Covid-19, majoriti ‘pembawa senyap’

KLANG, 29 MEI: Seramai 2,598 daripada 62,812 individu yang menyertai program saringan percuma anjuran Kerajaan Negeri disyaki positif Covid-19.

Pengurus Program Saringan Komuniti, Dr Atikah Athirah Abdul Wahid berkata golongan berisiko menyebarkan wabak itu dikesan hasil saringan di 30 lokasi sepanjang bulan ini.

Pengurus Program Saringan Komuniti Covid-19 Dr Atikah Athirah Abdul Wahid. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Majoriti mereka yang disyaki positif Covid-19 tiada gejala, jadi langkah ini sedikit sebanyak mengelak diri menjadi `pembawa senyap’,” katanya pada Program Saringan Komuniti di Dewan Serbaguna Teluk Pulai hari ini.

Sementara itu Pengurus Klinik Selcare, Mohd Noor Md Nasir berkata kehadiran warga emas ke program saringan pada Mei meningkat 30 peratus berbanding bulan sebelumnya.

“Kita dapati warga emas di luar bandar lebih ramai hadir menjalani saringan tetapi angka ini turut dipengaruhi lokasi penganjuran.

“Berbeza dengan penganjuran sebelum ini yang menumpukan lokasi panas, program ini ditambah baik dengan memperluaskan saringan di seluruh negeri,” katanya.

Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka..

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 800 sekatan jalan mulai 1 Jun, libat 70,000 penguat kuasa

PUTRAJAYA, 29 MEI: Bilangan sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara akan ditingkatkan kepada lebih 800 menerusi pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula 1 Jun ini berbanding hampir 600 ketika ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata seramai 70,000 anggota polis dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan ditugaskan di seluruh negara termasuk 15,000 anggota Jabatan Imigresen, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Menurutnya kekuatan polis ditambah kepada 55,000 anggota berbanding 37,000 anggota ketika ini bagi memastikan aspek penguatkuasaan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dapat dilaksanakan secara berkesan.

“Sekiranya jumlah ini dirasakan tidak cukup, kita akan tambah lagi anggota daripada pelbagai agensi dan jabatan di bawah KDN,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan penutupan semua sektor ekonomi dan sosial dalam sekatan pergerakan penuh di peringkat KDN, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Pengarah Maritim Malayusia Datuk Mohd Zubil Mat Som.

Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan COVID-19 semalam memutuskan untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh atau ‘total lockdown’ sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata sepanjang tempoh berkenaan, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan MKN.

Hamzah berkata Pasukan Pemantauan Pematuhan SOP juga akan melaksananakan pemeriksaan secara mengejut dengan kerjasama kementerian dan agensi kerajaan berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Pihak Berkuasa Tempatan bagi memastikan pematuhan SOP sektor sosial dan ekonomi.

“Pemeriksaan juga akan melibatkan kawasan di luar bandar dan lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai berkumpul,” katanya serta menambah keanggotaan Pasukan Pemantauan Pematuhan SOP akan ditingkatkan kepada hampir 20,000 orang berbanding 13,795 orang ketika ini.

Mengenai pelaksanaan Ops Benteng, Hamzah berkata Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin akan digerakkan untuk memperketatkan pematuhan SOP dan kawalan sempadan terutama di laluan panas yang menjadi tempat pendaratan pendatang asing bagi mencegah kemasukan secara haram.

“Jabatan Imigresen bersama Jabatan Pendaftaran Negara dan polis juga akan meningkatkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu di kawasan-kawasan penempatan warga asing di seluruh negara,” katanya.

Hamzah berkata tindakan tegas tanpa kompromi seperti kompaun akan diambil ke atas mana-mana pihak yang tidak mematuhi SOP di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

Beliau berkata Bilik Gerakan KDN akan beroperasi 24 jam bermula 1 Jun ini dan orang ramai boleh menghubunginya untuk sebarang pertanyaan melibatkan KDN dan jabatan di bawahnya berhubung sekatan pergerakan penuh.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga enam jenis roti Gardenia naik bermula 1 Jun

SHAH ALAM, 29 MEI: Syarikat pengeluar roti ternama Gardenia, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (GBKL) mengesahkan harga enam produk mereka dinaikkan berkuat kuasa 1 Jun ini.

GBKL dalam kenyataan hari ini memberitahu produk Gardenia yang akan mengalami perubahan harga ialah Gardenia Delicia Hazelnut Chocolate Spread 200g; Gardenia Delicia Hazelnut Chocolate Spread 375g dan Gardenia Delicia Milky Chocolate Spread 200g.

Selain itu, produk Gardenia Delicia Milky Chocolate Spread 375g; Gardenia Auntie Rosie – Original Homestyle Kaya 200g dan Gardenia Auntie Rosie – Natural Pandan Kaya 200g turut mengalami perubahan harga.

Pengurusan syarikat itu memaklumkan sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, GBKL telah mengalami kenaikan kos luar biasa dari segi kos pembuatan dan kos bahan mentah yang berada di luar kawalan.

“Selama ini GBKL menyerap kos kenaikan tersebut dan kini GBKL tidak mempunyai alternatif lain kecuali untuk melaksanakan semakan semula harga produk-produk Gardenia terpilih yang akan berkuat kuasa mulai 1 Jun ini,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, pengurusan GBKL menjelaskan harga bagi produk Gardenia yang lain masih dikekalkan dan GBKL akan terus menyerap kenaikan kos produk-produk tersebut.

“Antara bahan-bahan mentah yang mengalami kenaikan mendadak adalah seperti lemak sayuran, serbuk koko, susu serta kos pembungkusan dan lain-lain.

“Fokus GBKL adalah untuk terus mengoptimumkan produktiviti dan kecekapan di kilang-kilang dan kenaikan harga adalah langkah terakhir setelah semua usaha digembleng terlebih dahulu,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga roti Gardenia tanpa perisa kaya kekal

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Harga roti Gardenia masih kekal dan tiada kenaikan harga akan berlaku bermula 1 Jun ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid.

Sehubungan itu, beliau berkata masyarakat tidak perlu bimbang dan melakukan pembelian panik berikutan tersebarnya surat yang menyatakan bahawa akan berlaku kenaikan harga roti Gardenia.

“Pegawai saya telah memeriksa (kesahihannya) dan mendapati harga roti tidak naik sebaliknya kenaikan harga membabitkan produk lain syarikat itu seperti sapuan perisa kaya,” katanya hari ini.

Beliau mengulas mengenai satu surat syarikat Gardenia yang tersebar menerusi aplikasi WhatsApp yang memaklumkan terdapat perubahan harga produk bermula 1 Jun ini.

Perubahan harga berkenaan juga serentak dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh atau total lockdown sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri semalam.

“Peniaga, pengguna juga perlu bersama-sama berganding bahu dengan kerajaan dalam usaha mengurangkan penularan pandemik COVID-19 yang menyaksikan peningkatan jangkitan kes baharu setiap hari.

“Bagi masyarakat, kita ada pengalaman ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pertama dan pengalaman itu sangat berguna. Jangan lakukan pembelian panik kerana barangan keperluan termasuk pelitup muka dan cecair pensanitasi tangan sentiasa ada dan mencukupi,” katanya.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sambut hari lahir, sembilan individu dikompaun

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Akibat meraikan sambutan hari lahir di sebuah pejabat di Pusat Dagangan NZX, Ara Damansara, di sini semalam, sembilan kakitangan pejabat berkenaan dikenakan kompaun RM65,000 keseluruhannya kerana melanggar prosedur operasi standarad (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lapan individu dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang manakala penganjur majlis itu dikenakan kompaun RM25,000.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata kesemua individu berkenaan dikompaun pada 2.15 petang oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang membuat pemeriksaan mengejut.

Beliau berkata dalam pemeriksaan itu, pasukan pematuhan PKP IPD Petaling Jaya mendapati majlis itu diadakan di dalam sebuah bilik yang di dalamnya terdapat sembilan individu terdiri daripada lima wanita dan empat lelaki berumur lingkungan 23 hingga 45 tahun.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati majlis sambutan hari lahir itu merupakan aktiviti yang terlarang sebagaimana di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Kesemua individu yang diperiksa dikenakan kompaun di bawah Peraturan 9 iaitu aktiviti terlarang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai untuk sentiasa peka dan mematuhi SOP agar dapat bersama-sama memutuskan rantaian COVID-19 bagi kesejahteraan bersama.

— BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB temu Khairy esok, bincang isu salah faham tempahan vaksin

SHAH ALAM, 29 MEI: Dato’ Menteri Besar dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan bertemu esok bagi  berbincang pelbagai isu termasuk salah faham berkaitan tempahan vaksin.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PAKATAN gesa bantuan, moratorium tiga bulan bantu rakyat hadapi PKP penuh

SHAH ALAM, 29 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) menggesa pemberian bantuan dan moratorium kepada rakyat untuk menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh selama 14 hari bermula 1 Jun.

Menerusi kenyataan media bersama tujuh ahli parlimen, Jawatankuasa Kos Sara Hidup menyokong keputusan Putrajaya melaksanakan PKP dengan syarat berikut:

1. Memberi bantuan sekali bayar kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40)
2. Melaksanakan moratorium pinjaman bank selama 3 bulan
3. Melaksanakan rebat elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB)
4. Memastikan bekalan keperluan harian mencukupi
5. Memastikan harga barang keperluan tidak naik
6. Memastikan penghantaran barang keperluan ke destinasi tidak terhalang
7. Memastikan bantuan bakul makanan sampai kepada rakyat memerlukan

Ahli Jawatankuasa Kos Sara Hidup PAKATAN dianggotai Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim (KEADILAN), Ahli Parlimen Hulu Langat Datuk Hassanuddin Mohd Yunus (Amanah) dan Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen (DAP).

Turut menganggotai Ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail (KEADILAN), Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar (DAP), Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin (DAP) dan Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin (DAP).

Categories
EXCO SELANGOR

Individu diuji negatif Covid-19 jangan lalai, patuh SOP

SHAH ALAM, 28 MEI: Individu diuji negatif hasil Saringan Komuniti Covid-19 diingatkan terus berwaspada bagi mengelak jangkitan wabak, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga.

Rodziah Ismail berkata masyarakat mesti mempraktikkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan diri sepanjang masa.

“Diri kita mungkin bebas Covid-19 dalam tempoh 10 hari, tetapi jangan lalai kerana ada kemungkinan kita dijangkiti selepas tempoh itu.

“Saya menggesa masyarakat ambil langkah ketat dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), elak keluar rumah jika tiada urusan penting,” katanya.

Beliau yang juga EXCO Kerajaan Negeri ditemui selepas meninjau saringan secara percuma anjuran Kerajaan Selangor di Dewan Alamanda, Seksyen 20 hari ini.

Tambah Rodziah seramai 4,000 individu mendaftar awal menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) untuk menyertai program saringan di DUN Batu Tiga.

Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif di seluruh 56 DUN mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) yang boleh mengesan jangkitan dalam tempoh kurang 30 minit.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Hampir 2,000 penduduk Meru sertai saringan percuma Covid-19

KLANG, 28 MEI: Penerimaan penduduk Meru terhadap Saringan Komuniti Covid-19 menggalakkan apabila lebih 2,600 individu mendaftar menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Ahli Dewan Negerinya, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata mereka beratur seawal jam 8 pagi untuk menyertai program secara percuma anjuran Kerajaan Negeri.

“Hampir 2,000 individu sudah disaring setakat jam 2 petang ini dan jumlahnya mungkin melebihi jumlah berdaftar kerana ramai yang datang secara terus.

“Perjalanan program juga lancar kerana peserta tidak mengambil masa lama untuk selesai disaring” katanya selepas meninjau program Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini.

Beliau turut menyeru seluruh masyarakat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan bagi memutuskan rantaian Covid-19.

“Ini satu-satunya ikhtiar paling berkesan untuk mengekang penularan jangkitan kerana hanya diri kita sendiri mampu mengubahnya.

“Jika anggap perkara ini remeh, kita bukan sahaja risiko diri tetapi membahayakan nyawa ahli keluarga. Harus diingat, kesilapan kecil boleh penyebab kematian,” katanya lagi.

Bermula 8 Mei hingga 10 Jun, Kerajaan Selangor menjalankan saringan percuma di 56 DUN.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Seramai 2,385 disyaki positif, lebih 56,000 sertai saringan di 28 DUN

SHAH ALAM, 28 MEI: Seramai 2,385 individu disyaki positif Covid-19 hasil saringan di 28 lokasi sepanjang bulan ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata angka itu dikesan daripada 56,463 individu yang menyertai Program Saringan Komuniti secara percuma antara 8 Mei hingga 27 Mei.

Jumlah keseluruhan itu dikongsi beliau menerusi Facebook yang merangkumi keputusan saringan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik dan DUN Kota Damansara semalam.

Berdasarkan perkongsian Amirudin, seramai 49 daripada 2,548 individu di DUN Kota Anggerik disyaki positif manakala saringan di DUN Kota Damansara mengesan 103 disyaki positif daripada 3,017 individu.

Program saringan hari ini bertempat di Dewan Alamanda Seksyen 20, Shah Alam dan Dewan MPK, Meru Klang.

Esok, saringan diteruskan di Dewan Serbaguna Dato’ Ahmad Razali dan Dewan Serbaguna Teluk Pulai, Klang bermula jam 9 pagi hingga 4 petang. Semua saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag).

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif di seluruh 56 DUN mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Cucu manfaat cuti bawa nenek 72 tahun ke saringan percuma

SHAH ALAM, 28 MEI: Kesempatan berada di rumah susulan penutupan sekolah dimanfaat Rizz Zhariff Rustardza, 16, untuk membawa nenek yang uzur menjalani saringan Covid-19 di Dewan Jenjarum MBSA Seksyen 11 semalam.

Pelajar Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh, Perak itu hadir menyorong kerusi roda Khatijah Othman, 72, yang menghidap strok sejak 10 tahun lepas.

“Saya bersama ibu bapa dan adik mengambil inisiatif membawa nenek disebabkan kes jangkitan membabitkan warga emas membimbangkan.

“Apabila mendapat tahu ada program saringan percuma, saya mencadangkan kepada keluarga untuk datang,” katanya kepada SelangorKini semalam.

Bagi penghantar makanan, Muhammad Hamzah Abdullah, 31, berkata simptom sakit tekak dan selesema sejak empat hari lalu mendorongnya melakukan saringan.

“Pekerjaan sebagai penghantar makanan berisiko kerana sentiasa keluar masuk premis perniagaan dan kawasan perumahan bertemu pelanggan.

“Saya perlu lebih berhati-hati meskipun tiada bergejala dan meminta penghantar makanan manfaatkan saringan percuma ini,” katanya.

Rabiatul Adawwiyah Zainal Abidin, 28, bersyukur proses pengambilan sampel kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) untuk dua anak masing-masing berusia tiga dan satu tahun berjalan lancar.

“Alhamdulillah, petugas saringan cekap menguruskan peserta, hanya ambil masa kurang seminit dan anak-anak pun tidak menangis,” katanya yang turut membawa ibu bapa dan adik lelaki.

Categories
ADN AGENDA NASIONAL SELANGOR

Putrajaya disaran beri peluang Selangor urus vaksin, percepat imuniti kelompok

SUBANG, 28 MEI: Kerajaan persekutuan disaran memberi kebebasan kepada Selangor menguruskan program suntikan vaksin Covid-19 bagi mempercepat imuniti kelompok.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara berkata Kerajaan Negeri berupaya berbuat demikian seperti pelaksanaan Program Saringan Komuniti secara besar-besaran ketika ini.

“Kita berharap pihak berkaitan mempertimbangkan cadangan ini apatah lagi program saringan secara percuma yang dilaksanakan pada setiap hari mengesan banyak kes positif.

“Majoriti rakyat mahu cepat terima suntikan vaksin susulan peningkatan kes kebelakangan ini,” kata Shatiri Mansor pada program Saringan Komuniti di Dewan Serbaguna MBSA U5, Subang Bestari semalam.

Pada 19 Mei Dato’ Menteri Besar menjangkakan proses pembelian 2.5 juta dos vaksin dimuktamad pada bulan depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata vaksin itu diagih percuma kepada rakyat selain dijual kepada majikan pada harga kos.

Pada 18 Januari, Kerajaan Selangor mengumumkan hasrat membeli lima juta dos vaksin melalui peruntukan RM100 juta bagi membantu mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.