Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Persidangan halal platform promosi keunikan produk, lonjak industri pasca Covid-19

SHAH ALAM, 5 MAC: Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) 2022 membuka ruang kepada pempamer untuk memperkenalkan pelbagai produk unik kepada umum.

Seorang pempamer berkata masih ramai belum mengenali dan mencuba kerepek nangka madu, pisang dan labu jenama PakChips meskipun produk berkenaan berada di pasaran tempatan sejak 2016.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Marhas Trading Zulkarnain Hasni. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Malah Zulkarnain Hasni, 29, memaklumkan ketiga-tiga produk yang dihasilkan daripada buah asli sudah menembusi pasaran Jepun sejak tahun lepas.

“Kebanyakan usahawan memiliki produk sendiri yang cukup bagus, cuma ada orang awam masih belum tahu. Jadi program ini bagus supaya pengusaha dapat mempromosikannya.

“Saya juga percaya Selhac mampu membantu mengembangkan lagi pasaran kerepek ini sama ada secara fizikal mahupun dalam talian,” katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini.

Beliau yang juga pengurus pembangunan perniagaan Marhas Trading mengakui produk halal menjadi suatu keperluan terhadap rakyat memandangkan majoriti rakyat di negara ini beragama Islam.

Pengarah Profes Lipid, Steven Lee. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bagi pempamer Steven Lee, 41, Selhac menjadi platform terbaik untuk  mengetengahkan minyak sawit merah keluaran syarikat Harvist yang berada di pasaran tempatan sejak 2016.

“Mungkin ada yang belum mengenali minyak masak ini. Mereka patut cuba kerana produk ini mempunyai khasiat seperti menguatkan sistem imunisasi, melambatkan penuaan serta mengurangkan risiko penyakit jantung.

“Justeru program ini perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk memperkenal produk kepada pengunjung selain melonjak semula perniagaan selepas dilanda Covid-19,” katanya yang juga pengarah syarikat berkenaan.

Program julung kali anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Halal International Selangor (HIS) menampilkan tiga komponen iaitu forum, ekspo dan padanan perniagaan.

Selhac berlangsung dari Jumaat hingga Ahad mulai jam 10 pagi hingga 9.30 malam di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Sebanyak 100 pempamer daripada 40 syarikat menyertai Selhac terdiri enam kluster iaitu makanan, farmasi, kecantikan, pelancongan, fesyen dan bahan halal.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir sejuta kanak-kanak 5 hingga 11 tahun terima dos pertama vaksin

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Sebanyak 974,355 individu atau 27.4 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sejumlah 14,943,712 individu atau 63.5 peratus populasi dewasa pula telah menerima dos penggalak COVID-19 dan seramai 22,953,291 atau 97.6 peratus lengkap vaksinasi manakala 23,232,845 atau 98.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,803,567 individu atau 90.1 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,900,616 atau 93.2 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 81,724 dos vaksin telah diberikan semalam melibatkan 23,129 suntikan dos pertama, 1,516 suntikan dos lengkap dan 57,079 suntikan dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 67,600,736 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 78 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam dengan Sabah mencatatkan 15 kes, diikuti Kedah (12), Johor (11), Selangor (10), Pulau Pinang (lapan), Perak (enam), Pahang (empat) dan Terengganu (tiga).

Negeri Sembilan, Sarawak dan Kuala Lumpur pula masing-masing melaporkan dua kes manakala satu kes masing-masing di Kelantan, Melaka dan Perlis.

— BERNAMA

 

Categories
RENCANA WAWANCARA

Gadis mesin gol lincah gelecek bola, asah bakat di Jepun

Oleh Norhayati Yahaya

Seawal usia lima tahun, Nurul Nadia, 20, meminati dunia bola sepak, apatah lagi hasrat tersebut direstui keluarga.

Nurul Nadia, anak bekas askar Roslan Salleh, 49, manakala ibunya Rosliza Arifin, 50, suri rumah pernah menyertai kelab CIMB YFA di Cheras, Kuala Lumpur pada usia lima hingga 10 tahun.

Anak kedua daripada empat beradik itu kemudian berpindah ke Kedah dan terpilih mewakili negeri Jelapang Padi pada usia 15 tahun bagi merebut Piala Tun Sharifah Rodziah, sebuah pertandingan bola sepak wanita kebangsaan.

Dipanggil Adik dalam kalangan rakan-rakan berikutan ketinggiannya 155 sentimeter, beliau menganggap pengalaman paling berharga apabila terpilih menyertai pertandingan bola sepak di Filipina pada usia 18 tahun dan mengikuti latihan bersama Kelab National di Jepun selama tiga bulan ketika berusia 19 tahun.

“Saya tidak pernah menyesali penglibatan dalam sukan bola sepak yang kebanyakannya didominasi  lelaki sebaliknya gembira apabila dikelilingi kawan-kawan,” katanya kepada Selangorkini baru-baru ini.

Menjadikan pemain JDT Safawi Rasid sebagai idola, Nurul Nadia setakat ini menyertai 11 kejohanan bola sepak dan lima pertandingan futsal. Beliau juga pernah mewakili Selangor dan Melaka United.

“Bagi pertandingan futsal pada tahun lalu, saya dapat anugerah pemain terbaik dan penjaring terbanyak,” katanya bermain untuk pasukan The Footsouls.

Bulan lalu, Nurul Nadia dinobat pemain terbaik perlawanan selain memenangi kasut emas apabila menjaring 10 gol dalam kejohanan Liga Super Wanita anjuran Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Liga Super Wanita FAS membuka tirai pada 29 November tahun lalu dengan disertai 10 pasukan.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan merasmikan liga itu di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada 20 November.

Ditanya sasaran sebagai pemain bola sepak, Nurul Nadia menyimpan impian mahu beraksi di pentas Sukan SEA dan Piala AFC.

“Saya sebenarnya meminati sukan bola sepak padang sebab saya suka berlari. Saya tidak meletakkan selama mana untuk kekal dalam sukan ini tetapi selagi saya minat, ia akan diteruskan,” katanya yang turut mengajak wanita yang meminati bola sepak supaya terus mengasah bakat.

Menceritakan kehidupan peribadinya pula, Nurul Nadia yang bekerja sebagai penghantar barang sebuah syarikat kurier terkenal sememangnya menggemari kegiatan lasak.

“Saya hidup sendirian di Kuala Lumpur dan memilih untuk tinggal jauh daripada keluarga kerana mahu berdikari.

“Saya seorang yang ringkas dan selesa mengenakan seluar jeans dan berkemeja-T setiap hari. Syukur pekerjaan tidak memerlukan saya mengenakan pakaian ‘formal’ dan saya selesa begini,” tambahnya lag

Categories
AGENDA EXCO SELANGOR

Masyarakat Orang Asli luah syukur terima bakul makanan, jimat belanja dapur

PELABUHAN KLANG, 5 MAC :Masyarakat Kampung Orang Asli di Sungai Dua, Pulau Ketam di sini meluahkan kesyukuran selepas menerima bantuan bakul makanan sekali gus meringankan beban mereka.

Wakil Tok Batin  Kamarul Abdullah berkata penduduk di kampung tersebut amat mengharapkan sumbangan berkenaan terutama dalam tempoh pandemik ketika ini.

Wakil Tok Batin Kamarul Abdullah. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Dengan bantuan bakul makanan ini sekurang-kurangnya dapat menjimatkan belanja dapur dalam tempoh sebulan hingga dua bulan, jadi buat sementara ini tidak perlu ke pekan untuk beli barangan keperluan.

“Terima kasih Kerajaan Selangor termasuk badan bukan kerajaan yang tidak putus-putus membantu penduduk Orang Asli,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas berhubung inisiatif Kerajaan Selangor mahu menaik taraf perkampungan dan kediaman Orang Asli, Kamarul menyambut baik dan berharap lebih banyak kemudahan dapat dirasai selepas ini.

“Kita berharap Kerajaan Negeri dapat beri perhatian terutama melibatkan infrastruktur seperti jeti di sini yang hampir roboh dan mengundang bahaya kerana ia merupakan laluan utama kami.

“Harap juga kerajaan dapat meneliti untuk membina tangki air kerana adakalanya hampir dua bulan kami terputus bekalan air,” katanya yang bekerja sebagai nelayan.

Terdahulu EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian mengadakan lawatan dan agihan bakul makanan kepada penduduk Kampung Orang Asli Sungai Dua, Pulau Ketam.

Categories
AGENDA EXCO SELANGOR

Lebih 800 individu sertai klinik usahawan, bantu tingkat daya saing

SHAH ALAM, 5 MAC: Lebih 800 individu menyertai Klinik Usahawan Selangor bagi mendapatkan khidmat nasihat sepanjang tahun lalu, kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata usahawan tidak hanya berdepan masalah kewangan dan modal untuk mengembangkan perniagaan sebaliknya juga perlu mendapat nasihat dan pandangan golongan pakar.

“Kita berikan usahawan latihan, kita lihat keperluan mereka sama ada perlu perkara tambahan untuk meningkatkan daya saing dalam perniagaan. Kalau perlukan barang atau peralatan, kita beri geran.

“Kalau tak cukup modal, Hijrah (Yayasan Hijrah) bagi pinjaman. Kalau perniagaan tersekat, kita bimbing menerusi Klinik Usahawan,” katanya pada Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini.

Sementara itu Rodziah berkata Selhac yang julung kali diadakan bermula semalam menjadi pendekatan untuk meningkatkan lagi semangat usahawan negeri ini.

“Kita mahu mereka teroka bidang ini bukan sahaja untuk pendapatan tetapi juga bawa nama Selangor ke pelusuk dunia,” katanya.

Selhac yang berlangsung dari Jumaat hingga Ahad mulai jam 10 pagi hingga 9.30 malam menampilkan tiga komponen iaitu forum, ekspo dan padanan perniagaan.

Sebanyak 100 pempamer daripada 40 syarikat menyertai Selhac terdiri enam kluster iaitu makanan, farmasi, kecantikan, pelancongan, fesyen dan bahan halal.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan Selangor, MBI teroka peluang industri halal di luar negara

SHAH ALAM, 5 MAC: Kerajaan Selangor bersama anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bakal meneroka pasaran industri halal di luar negara.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata Selangor berpotensi untuk meneroka serta mengembangkan produk halal antaranya di Eropah dan Asia Barat.

“Saya baru balik dari United Kingdom untuk melihat dan teroka pasaran Eropah, ternyata peluang serta ruang memang besar untuk industri halal berkembang.

“Kita sedang mencari pemain industri yang berminat untuk sertai serta teroka prospek baharu ini termasuk di Asia Barat seperi Arab Saudi,” berucap dalam Majlis Makan Malam Aspirasi sempena Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) malam tadi.

Program julung kali anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Halal International Selangor (HIS) menampilkan tiga komponen iaitu forum, ekspo dan padanan perniagaan.

Selhac berlangsung dari Jumaat hingga Ahad mulai jam 10 pagi hingga 9.30 malam di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Sebanyak 100 pempamer daripada 40 syarikat turut serta dalam acara itu terdiri enam kluster iaitu makanan, farmasi, kecantikan, pelancongan, fesyen dan bahan halal.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Persidangan halal bermula hari ini, disertai 100 pempamer pelbagai bidang

SHAH ALAM, 4 MAC: Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) membuka tirai hari ini di Pusat Konvensyen Shah Alam mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat bagi mengelak penularan Covid-19.

Program julung kali anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Halal International Selangor (HIS) berlangsung dalam keadaan terkawal dengan peserta serta pengunjung mematuhi peraturan ditetapkan.

Pempamer pula dilihat sibuk mengurus gerai masing-masing selain mempromosi produk halal yang dibawa ke acara itu kepada pengunjung.

Selhac yang berlangsung tiga hari hingga 6 Mac dibuka mulai jam 10 pagi hingga 9.30 malam dengan menampilkan tiga komponen iaitu forum, ekspo dan padanan perniagaan.

Sebanyak 100 pempamer daripada 40 syarikat turut serta dalam acara itu terdiri enam kluster iaitu makanan, farmasi, kecantikan, pelancongan, fesyen dan bahan halal.

Sebelum ini, EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni memaklumkan kehadiran orang ramai ke Selhac di sini dilaksanakan mengikut zon bagi mengelakkan kesesakan di lokasi itu.

Menurutnya, hari pertama dikhaskan untuk pengunjung dari zon tengah iaitu Klang, Petaling dan Gombak manakala hari kedua bagi zon selatan iaitu Sepang, Hulu Langat serta Kuala Langat.

Pengunjung dari zon utara iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor pula pada hari terakhir penganjuran.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Jangkitan harian terus melonjak, rekod angka tertinggi 32,467 kes

SHAH ALAM, 4 MAC: Kadar jangkitan harian Covid-19 merekodkan 32,467 kes semalam, mengatasi angka tertinggi 32,070 yang dicatatkan pada 24 Februari lalu.

Kes serius atau kategori 3, 4, dan 5 masih rendah iaitu 231 kes (0.71 peratus) manakala kategori satu (tanpa gejala) dan dua (gejala ringan) merekodkan 32,236 kes (99.29 peratus).

Daripada 231 kes kategori 3, 4, dan 5, sebanyak 60 kes (25.98 peratus) tidak divaksin atau belum lengkap vaksin, 115 kes (49.78 peratus) telah menerima dua dos tetapi belum menerima dos penggalak serta 56 kes (24.4 peratus) menerima dos penggalak.

Selain itu, 127 kes (54.98 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas, 74 kes (32.03 peratus ) mempunyai komorbid dan 1 kes (0.43 peratus) adalah berkaitan ibu mengandung

Pecahan kes mengikut kategori adalah seperti berikut:

  • Kategori 1: 10,828 kes (33.35 peratus)
  • Kategori 2: 21,408 kes (65.94 peratus)
  • Kategori 3: 100 kes (0.31 peratus)
  • Kategori 4: 63 kes (0.19 peratus)
  • Kategori 5: 68 kes (0.21 peratus)

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan angka terkumpul setakat semalam 3,528,557 kes.

“Sehingga tengah malam tadi juga, sebanyak 298,231 kes masih lagi aktif dengan 286,097 kes menjalani kuarantin di rumah, seramai 3,457 individu dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan 8,322 pesakit menjalani rawatan di hospital.

“Selain itu, sebanyak 86 kematian direkodkan semalam termasuk 28 kematian di luar hospital menjadikan jumlah terkumpul kematian 33,028 kes,” katanya menerusi kenyataan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bah di Terengganu dan Kelantan makin pulih, air sungai bawah paras bahaya

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Situasi banjir di Terengganu dan Kelantan bertambah baik pagi ini dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan.

Di TERENGGANU, mangsa banjir terus berkurangan kepada 2,846 mangsa daripada 808 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 5,128 orang daripada 1,276 keluarga pada 8 malam tadi.

Ketika ini, hanya dua daerah masih terjejas banjir iaitu Hulu Terengganu dan Dungun dengan 16 pusat PPS masih beroperasi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa tertinggi ialah di Hulu Terengganu iaitu 2,538 orang dan Dungun (308 orang).

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir terus menunjukkan trend penurunan apabila 4,715 orang daripada 1,506 keluarga masih ditempatkan di 17 PPS di daerah Pasir Mas dan Tumpat, berbanding 4,809 orang daripada 1,525 keluarga malam tadi.

Sementara itu, portal rasmi info banjir JPS melaporkan hanya satu sahaja sungai utama di Kelantan iaitu Air Bol di Jeli berada pada paras waspada dengan merekodkan bacaan 71.3 meter manakala di Terengganu tiada sungai yang melepasi paras bahaya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

26.8 peratus kanak-kanak 5 hingga 11 tahun divaksin takat semalam

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Sebanyak 952,411 individu atau 26.8 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data yang dipaparkan di laman web COVIDNOW, sejumlah 14,884,826 individu atau 63.3 peratus populasi dewasa di negara pula telah menerima dos penggalak COVID-19 dan seramai 22,952,385 atau 97.6 peratus telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 23,232,115 atau 98.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sebanyak 2,802,856 individu atau 90.1 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,899,581 atau 93.2 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Vaksinasi harian semalam menyaksikan 96,621 dos vaksin diberikan meliputi 23,871 dos pertama, 1,469 dos kedua dan 71,281 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 67,516,578.

Sementara itu menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 86 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam dengan 20 kes di Johor, diikuti Perak (11), Kedah (sembilan), Melaka dan Sabah masing-masing tujuh kes, Pahang dan Kuala Lumpur masing-masing dengan enam kes, Kelantan (lima), Pulau Pinang dan Selangor masing-masing empat kes, Putrajaya (tiga), Perlis (dua) manakala Sarawak dan Terengganu masing-masing merekodkan satu kes.

— BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Ngauman sepi pak belang dek kemusnahan hutan

Lambang kemegahan negara tersepit. Walau diabadi dalam Jata Negara dan cerita rakyat, harimau Malaya menagih ihsan kita untuk terus hidup dek kemusnahan hutan.

Berdasarkan Survei Harimau Kebangsaan Pertama antara 2016 hingga 2018, kurang 200 ekor harimau Malaya masih ada di Semenanjung Malaysia.

Selain konvensyen antarabangsa, ada tiga akta dan tiga enakmen negeri cuba melindungi haiwan istimewa dan digeruni ini tetapi kerosakan hutan yang berterusan masih gagal menyelamatkan Panthera tigris.

Usaha tersebut antaranya mencantumkan semula hutan utama Banjaran Titiwangsa (termasuk selatan Thailand) dengan Banjaran Timur, tanah lembap Chini-Bera hingga ke Endau-Rompin. Kawasan ini seluas 5.3 juta hektar, 80 peratus daripadanya hutan simpan kekal.

Sempena sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia semalam, wartawan AMIN RIDZUAN ISHAK menyusun maklumat mengenai raja rimba Tanah Melayu.

KEKUATAN

  • mampu melompat setinggi empat meter dan sejauh 12 meter
  • boleh berlari sepantas 60 km sejam
  • memiliki kemahiran serang hendap untuk memburu mangsa
  • perenang yang baik, mampu memburu mangsa ketika berenang

CIRI-CIRI

  • purata berat harimau dewasa 120 kg
  • jangka hayat di habitat asal 10-15 tahun,dalam kurungan
    26 tahun
  • belang harimau jadi identiti individu, ibarat cap jari manusia
Seekor harimau betina kelihatan di ruang pameran dalam program pemuliharaan spesis terancam bertemakan ‘Selamatkan Si Belang’ di Zoo Negara pada 14 September 2019. Foto BERNAMA

HABITAT

  • hutan hujan tropika, tanah pamah ke pergunungan
  • hanya ada di Semenanjung Malaysia iaitu Selangor, Kedah, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu
  • kawasan keliaran dalam lingkungan antara 20 hingga 100 km

KELAHIRAN DAN PEMBESARAN

  • mengawan sepanjang tahun
  • tempoh bunting 16 minggu
  • anak dilahirkan seberat satu hingga dua kg
  • ibu mampu lahirkan sehingga empat anak
  • anak kecil tidak boleh melihat dalam masa 14 hari
  • mula memburu pada usia 18 bulan
  • ibu jaga anak hingga berusia dua tahun
  • kematangan seks jantan ketika empat dan lima tahun
  • kematangan seks betina tiga dan empat tahun

PEMANGSA TERATAS RANTAIAN MAKANAN

  • ada harimau tanda ekosistem hutan terjaga elok
  • pemangsa peringkat tertinggi, perlu haiwan kecil untuk hidup
  • makanan utama: rusa sambar, kijang dan babi hutan
  • kawal populasi spesies mangsa, cipta keseimbangan hutan

PENGARUH DALAM KEBUDAYAAN 

  • simbol keberanian pelbagai etnik termasuk Melayu
  • dikaitkan dengan mitos harimau jadian
  • – watak Tok Wan Rimau dalam filem Waris Jari Hantu menjaga harimau saka
  • – P Ramlee hasilkan filem Sitora Harimau Jadian
  • cerita rakyat Sang Kancil dengan Harimau
  • dua ekor harimau simbol keberanian pada Jata Negara
  • logo organisasi terkemuka seperti Maybank, Proton dan universiti
  • nama pasukan utama bola sepak negara
  • Hari Harimau Sedunia disambut setiap 29 Julai

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Harga kit ujian Covid-19 mahal, kerajaan diminta turun bawah RM5

SHAH ALAM, 3 MAC: Kerajaan diminta menetapkan harga siling kit ujian kendiri air liur bawah RM5 sebagai langkah mengurangkan beban rakyat.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata ketika ini penggunaan kit kendiri menjadi rutin masyarakat bagi memastikan diri bebas dari jangkitan Covid-19.

“Ahli Dewan Rakyat diberi kemudahan membuat tuntutan bayaran balik (pembelian kit kendiri). Agak tak munasabah kita dapat manfaat tetapi rakyat yang selalu guna sebelum ke tempat kerja, sekolah.

“Jadi mohon pertimbangkan mengurangkan dan meletakkan harga siling bawah RM5. RM4.90 itu agak baik tetapi jika belasan ringgit, RM10 terlalu mahal,” katanya pada sesi Dewan Rakyat hari ini.

Pengarah komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu juga berkata rebat cukai pembelian kit RM1,000 yang boleh dituntut turut tidak terpakai kepada rakyat berpendapatan rendah.

Semalam isu kit kendiri turut dibawa beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan antaranya Steven Sim Chee Keong (Bukit Mertajam) dan Cha Kee Chin (Rasah).

Kerajaan pada September tahun lalu menetapkan harga siling runcit maksimum kit ujian kendiri air liur pada harga RM19.90.