Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Jelajah Selangor Xtiv Virtual 2022 dilancar, cari bakat baharu e-sukan

KUALA LANGAT, 6 MAC: Kerajaan Negeri melancarkan Jelajah Selangor Xtiv Virtual 2022 khusus untuk belia dalam usaha merapatkan hubungan dengan golongan tersebut selain mencari bakat pemain e-sukan.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata golongan belia merupakan aset penting yang perlu diberi perhatian menerusi pelbagai aktiviti sukan serta pembangunan.

“Program ini adalah yang pertama untuk generasi muda dan perlu diteruskan kerana belia sudah lama tidak ada aktiviti jelajah seperti ini selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Menerusi jelajah ini banyak program dianjurkan yang dapat mencungkil bakat golongan belia seperti silat dan beberapa pertandingan e-sukan lain. Insya-Allah selepas ini jelajah akan dibawa ke daerah lain,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian dan pelancaran Jelajah Selangor Xtiv Virtual 2022 di Dataran Morib di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Morib Hasnul Baharuddin.

Tambahnya, pihaknya berpuas hati dengan penganjuran jelajah kali pertama ini namun perlu ditingkatkan lagi dengan penglibatan pelbagai pihak antaranya persatuan e-sukan, motosikal dan beyblade.

“Contohnya apabila kita buka beyblade, kita perlu ada modul bagaimana hendak rekrut peminat sukan ini supaya mereka boleh masuk ke pertandingan lebih besar lagi,” katanya.

Selangor memperkenal program e-sukan sesuai dengan trend baharu menerusi  program Xtiv Virtual sejak 2020 dengan lebih 250,631 penyertaan dan 18 juta tontonan di platform media sosial.

Acara dipertandingkan termasuk PUBG, Mobile Legends Bang Bang, Call of Duty Mobile, Pro Evolution Soccer 2021, FIFA Pro Club, Selangor Xtiv Ride dan Selangor Xtiv Virtual Jump Rope Challenge.

Selangor satu-satunya negeri berjaya menganjurkan pertandingan sukan secara maya berskala besar berserta hadiah.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Bantu modal niaga musim perayaan, Hijrah tawar pinjaman serendah RM1,000

SHAH ALAM, 5 MAC: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menyasarkan kira-kira 10,000 usahawan di negeri ini memohon pinjaman skim i-Bermusim yang dibuka sejak 25 Februari lalu.

Eksekutif Promosinya Muhammad Ihsan Mohammad Rosdi Kamal berkata inisiatif sempena kedatangan Ramadan dan Syawal serta musim buah-buahan membolehkan usahawan mendapat modal antara RM1,000 hingga RM20,000

“Kita mahu bantu seramai mungkin usahawan kerana ramai dalam kalangan mereka dikesan terpaksa menggadai tanah atau aset untuk mendapatkan modal berniaga


Eksekutif Promosi Yayasan Hijrah Selangor Muhammad Ihsan Mohammad Rosli Kamal. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Permohonan ini dibuka lebih panjang bukan sahaja sehingga akhir bazar Ramadan dan Syawal memandangkan selepas ini ada musim buah-buahan,” katanya.

Beliau ditemui selepas sesi perkongsian berkaitan perkhidmatan ditawarkan Hijrah sempena Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Sementara itu, menurut beliau lebih 100 usahawan memohon pembiayaan tersebut setakat ini dan ada dalam kalangan mereka sudah mendapat kelulusan.

“Permohonan bagi pinjaman bawah RM5,000 disemak oleh pejabat cawangan manakala ibu pejabat akan menilai (permohonan) lebih daripada jumlah itu.

“Sekarang ada beberapa permohonan telah diluluskan dan diharap skim ini dapat membantu usahawan untuk kembangkan perniagaan masing-masing seterusnya menjana pendapatan,” katanya lagi.

Permohonan boleh dibuat dengan menghubungi mana-mana pegawai pembiayaan Hijrah di cawangan berhampiran.

Pemohon diminta membawa dua keping gambar berukuran pasport, salinan kad pengenalan pemohon dan pasangan, salinan lesen SSM/PBT atau salinan perjanjian melibatkan aktiviti perniagaan, salinan penyata akaun bank atau muka depan buku akaun serta salinan bil utliti premis dan tempat tinggal

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih sejuta kanak-kanak 5 hingga 11 tahun divaksin takat semalam

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Sebanyak 1,003,227 individu atau 28.3 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sejumlah 14,984,241 individu atau 63.7 peratus populasi dewasa di negara pula telah menerima dos penggalak COVID-19 dan seramai 22,927,098 atau 97.4 lengkap vaksinasi manakala 23,203,753 atau 98.6 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sebanyak 2,830,746 individu atau 91 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,930,978 atau 94.2 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 68,081 dos vaksin diberikan semalam meliputi 29,714 dos pertama, 903 dos kedua dan 37,464 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 67,672,349.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 67 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam dengan Selangor mencatatkan 14 kes, diikuti Kedah (12), Johor (10), Perak (lapan), Sabah (tujuh) dan masing-masing empat kes di Melaka dan Perlis.

Pahang dan Kelantan pula masing-masing melaporkan tiga kes manakala satu kes masing-masing di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

— BERNAMA

 

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ anjur program lupus perabot, barangan elektrik secara percuma

SHAH ALAM, 6 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menganjurkan program pelupusan perabot, barangan elektrik serta pelbagai jenis barangan lama secara percuma mulai semalam sehingga 27 Mac ini.

MBPJ memaklumkan program ‘spring cleaning’ sempena sambutan Aidilfitri menerima perabot seperti sofa, kerusi, meja, almari, katil, tilam dan jenis barangan yang masih dalam keadaan baik.

“Turut diterima barangan elektrik seperti peti ais, mesin basuh, televisyen dan radio. Kita juga menerima basikal yang sudah lusuh atau tidak digunakan.

“Barangan yang diperbuat daripada besi seperti buaian juga turut diterima selain kaca seperti akuarium, pasu, lampu dan lain-lain,” katanya menerusi kenyataan.

MBPJ turut mengingatkan hanya barangan yang mengikut spefikasi yang  diberi akan diterima pada hari kutipan dibuat dan tidak menerima barangan kaca yang pecah.

“Penduduk juga diingatkan supaya membungkus, melabel dan menyusun barangan dengan elok supaya tidak pecah serta maklumkan kepada kontraktor kutipan bagi mengelakkan kemalangan kecil berlaku kepada pekerja.

“Barangan perlu diletak depan rumah sebelum jam 10 pagi dan diingatkan bahawa kontraktor kutipan hanya akan melalui laluan sekali sahaja di kawasan yang ditetapkan,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai lokasi sila hubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam  MBPJ di talian 03-79541440.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor bangunkan platform halal, pusat rujuk pemain industri serta pengguna

SHAH ALAM, 6 MAC: Kerajaan Selangor merancang membangunkan aplikasi bagi memudahkan orang ramai mendapat maklumat menyeluruh berkaitan sektor halal dalam satu platform.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pembangunan data bahan halal sedang dibincangkan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Kita akui bahawa agak mencabar untuk kumpul semua maklumat berkaitan halal. Jadi dengan adanya data dalam bentuk digital, pengguna termasuk pengeluar, peruncit dan pengimport mudah untuk akses.

“Selain ramuan halal, aplikasi ini akan turut mengumpulkan jumlah permohonan sijil halal dan pemain industri,” katanya ditemui media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) 2022 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

Terdahulu, beliau dalam ucapan memaklumkan modul program pembangunan kapasiti halal Selangor yang sedang berjalan akan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan industri.

Selain itu, katanya program Halal Suri pula mampu meningkatkan produktiviti kaum ibu di negeri ini melalui penghasilan produk sejuk beku untuk dipasarkan kepada pelanggan dari rumah tanpa perlu bergerak jauh.

“Program ini membantu suri rumah mendapat sumber pendapatan kerana produk dihasilkan mereka seperti ayam dan kuih-muih sejuk beku sangat sedap dan bagus,” katanya.

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor FC ajak penyokong bersatu, tolak sikap ganas segelintir individu

SHAH ALAM, 6 MAC: Selangor FC menentang sekeras-kerasnya insiden pergaduhan antara penyokong pasukan itu dengan Kuala Lumpur City di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras kelmarin.

Pasukan Gergasi Merah menerusi kenyataan di Facebook menegaskan keganasan itu mengancam keamanan dan keselamatan penyokong lain yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

“Bola sepak merupakan sukan menyatukan dan menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikannya terpelihara daripada kelakuan tidak berakhlak segelintir individu yang hanya mementingkan diri sendiri.

“Kita semua perlu menitikberatkan keselamatan dan kesejahteraan penyokong terutama dalam kalangan warga emas, kanak-kanak dan wanita supaya bola sepak boleh dinikmati bersama tanpa sebarang keresahan serta rasa ketakutan pada masa akan datang,” katanya.

Tambah kenyataan itu, tiada penyokong yang menjadi mangsa mana-mana kumpulan yang ganas, ekstrem dan berkelakuan membahayakan orang lain.

“Kami berdiri bersama mesej keamanan dalam bola sepak kerana sukan ini adalah untuk semua,” katanya.

Pergaduhan antara penyokong berlaku di luar stadium selepas tamat perlawanan pertama Liga Super. Selangor FC dan KL City berkongsi satu mata selepas terikat jaringan 3-3.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan beli ubat rawat Covid-19, 110,000 pesakit jadi kumpulan pertama terima

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Ubat antiviral bagi rawatan COVID-19 Paxlovid keluaran Pfizer, dijangka akan mula diterima dalam tempoh dua minggu, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata bagi perolehan fasa pertama antiviral itu, Malaysia telah membeli ubat itu untuk 110,000 pesakit, bagi diberikan kepada individu berisiko tinggi.

“Kalau kita dapati penggunaan ubat ini berkesan seperti maklumat yang telah kita terima, kita akan tambah pembelian ubat ini, Paxlovid daripada Pfizer.

“Ada dua lagi yang kita akan beli (iaitu) Molnupiravir dan satu lagi daripada AstraZeneca, tetapi belum dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Dialisis Tahunan kali ke-16 Yayasan Buah Pinggang Kebangsan (NKF) di sini hari ini.

Khairy ketika menyampaikan ucapan perasmian turut mencadangkan satu ciri baharu di aplikasi MySejahtera, yang membolehkan orang ramai berikrar untuk menjadi penderma organ.

Beliau berkata usaha itu perlu memandangkan negara kini berhadapan peningkatan pesakit penyakit buah pinggang kronik, manakala jumlah individu yang berikrar sebagai penderma organ semakin berkurang, malah Malaysia antara yang terendah di dunia.

“Saya akan cuba yang terbaik bagi dapatkan ikrar dan menjadikan ia lebih mudah untuk orang ramai ikrar untuk dermakan organ mereka…Saya sedang cuba untuk MySejahtera menambah ‘butang’ supaya hanya dengan menekan butang tersebut dan berikrar menjadi menderma organ,” katanya.

Beliau berkata pada 2016, lebih 40,000 pesakit penyakit buah pinggang kronik yang bergantung kepada rawatan dialisis, dan berdasarkan unjuran sekiranya tren ini tidak dikurangkan, jumlah pesakit itu dijangka meningkat kepada 100,000 pesakit.

Khairy berkata langkah pencegahan dan pengesanan penyakit kronik menerusi saringan kesihatan juga perlu dibudayakan, oleh itu kerajaan telah melaksanakan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) bagi membantu golongan itu membuat saringan kesihatan secara percuma.

Namun, beliau berkata daripada 5 juta individu yang layak menjalani saringan kesihatan di bawah PeKa B40, kurang 12 peratus individu telah membuat saringan kesihatan.

Sementara itu beliau berkata Kementerian Kesihatan tidak mengeluarkan apa-apa arahan atau syarat untuk pihak berkuasa tempatan (PBT), meletakkan syarat kepada peniaga pasar malam agar mendapatkan dos penggalak untuk menjalankan perniagaan.

“Ini bukan (bidang kuasa) KKM, KKM beri nasihat tetapi nasihat kita bukanlah sampai nak pergi pasar memerlukan booster, itu keputusan yang mesti ditanya pada PBT,” katanya ketika ditanya mengenai keputusan sebuah PBT meletakkan syarat sebagai keperluan bagi peniaga pasar malam.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peruntuk RM1 juta naik taraf rumah, kemudahan kampung Orang Asli

PELABUHAN KLANG, 5 MAC : Kerajaan Selangor memperuntuk sejumlah RM1 juta untuk membina dan menaik taraf kediaman serta kawasan perkampungan masyarakat Orang Asli di negeri ini.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat terperinci daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mengenai perkara tersebut sama ada perlu dibaiki atau dibina baharu.

“Kita sedakan dana bagi tujuan keselesaan masyarakat Orang Asli. Justeru kita akan dapatkan maklum balas Jakoa mengenai rumah yang perlu dibaiki atau dibina baru.

“Bukan sahaja rumah, kita juga akan melihat kemudahan seperti jeti yang perlu dibaik pulih, kita akan kumpul maklumat terlebih dahulu sebelum perhalusi kos perbelanjaan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan dan agihan bakul makanan di Kampung Orang Asli Sungai Dua, Pulau Ketam, Pelabuhan Klang di sini.

Mengulas jangkaan projek itu bermula, Loy Sian berkata pihaknya akan berusaha secepat mungkin selepas maklumat lengkap diperoleh.

Pada 26 November tahun lepas, Dato’ Menteri Besar menerusi Belanjawan #Selangor 2022 mengumumkan peruntukan tersebut untuk meningkatkan keselesaaan masyarakat Orang Asli.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana berkenaan memfokus kepada program membina, baik pulih dan naik taraf kedaifan kediaman di perkampungan mereka.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Sekolah rendah ada lebih 600 murid laksana kaedah penggiliran

SHAH ALAM, 5 MAC: Sekolah rendah yang mempunyai bilangan murid lebih 600 akan melaksanakan kelas secara bersemuka dan penggiliran, kata menteri kanan pendidikan.

Datuk Dr Radzi Jidin berkata murid yang hadir tanpa penggiliran melibatkan prasekolah, tahun 1, 2, 6 serta murid bawah program rancangan makanan tambahan (RMT).

Beliau menjelaskan sesi tanpa penggiliran turut melibatkan murid berkeperluan khas di sekolah kebangsaan pendidikan khas dan program pendidikan khas integrasi.

“Manakala untuk murid tahun 3, 4 dan 5 pula mereka perlu hadir ke sekolah secara penggiliran mengikut jadual ditetapkan pihak sekolah.

“Bagi sekolah rendah yang jumlah muridnya di bawah 600 orang, semua murid rendah harian dan swasta perlu hadir tanpa penggiliran,” katanya menerusi perkongsian video di Facebook.

Kementerian Pendidikan Malaysia menetapkan sesi persekolahan 2022/2023 bermula 21 Mac 2022 sehingga 11 dan 12 Mac 2023.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kelas secara bersemuka pelajar sekolah menengah mulai 4 April

SHAH ALAM, 5 MAC: Sesi persekolahan untuk 2022/2023 tetap dibuka mengikut tarikh ditetapkan pada 21 Mac ini, kata menteri kanan pendidikan.

Datuk Dr Radzi Jidin bagaimanapun berkata sesi persekolahan pelajar menengah dilaksanakan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) terlebih dahulu selama dua minggu bermula tarikh buka sekolah.

Beliau menjelaskan pelajar sekolah menengah hanya dibenarkan hadir ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka mulai 4 April tanpa penggiliran.

“Keputusan ini tertakluk kepada semua murid berkeperluan khas di sekolah menengah pendidikan khas (SMKPK) dan program pendidikan khas integrasi (PPKI).

“Ia turut membabitkan pelajar tingkatan 1, 2, 3, 4, 5, prauniversiti,  International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) serta kelas peperiksaan antarabangsa yang setara,” katanya menerusi perkongsian video di Facebook.

Beliau berkata untuk sekolah berasrama penuh pula, pelajar yang dibenarkan pulang kes asrama pada 4 April adalah pelajar tingkatan 2, 3, 4, 5, prauniversiti, IBDP serta kelas peperiksaan antarabangsa yang setara

“Pelajar tingkatan 1 yang berjaya masuk ke sekolah berasrama perlu memilih sama ada menjalani PdPR atau menumpang di sekolah harian sehingga tarikh kemasukan ke asrama diumumkan,” katanya,

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jangkitan harian catat angka tertinggi 33,209 kes, hanya 203 serius

SHAH ALAM, 5 MAC: Jumlah jangkitan harian Covid-19 meningkat 742 kes kepada 33,209 kes semalam, mengatasi angka tertinggi 32,467 kes yang dicatatkan kelmarin.

Kes serius atau kategori 3, 4, dan 5 masih rendah iaitu 203 kes manakala kategori satu (tanpa gejala) 12,935 kes dan dua (gejala ringan) merekodkan 20,071 kes.

Daripada 203 kes kategori 3, 4, dan 5, sebanyak 43 kes (21.18 peratus) tidak divaksin atau belum lengkap, 117 kes (57.64 peratus) menerima dua dos tetapi belum menerima dos penggalak dan 43 kes (21.18 peratus) menerima dos penggalak.

Selain itu 119 kes (58.62 peratus) melibatkan pesakit berumur 60 tahun ke atas, 67 kes (33 peratus) mempunyai komorbid dan 1 kes (0.49 peratus) melibatkan ibu mengandung.

Pecahan kes mengikut kategori adalah seperti berikut:

  • Kategori 1: 12,935 kes (38.95 peratus)
  • Kategori 2: 20,071 kes (60.44 peratus)
  • Kategori 3: 98 kes (0.30 peratus)
  • Kategori 4: 52 kes (0.15 peratus)
  • Kategori 5: 53 kes (0.16 peratus)

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan angka terkumpul setakat semalam 3,561,766 kes.

“Sehingga tengah malam tadi sebanyak 305,010 kes aktif dilaporkan melibatkan 292,696 kes kuarantin di rumah, 3,442 kes di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19, 8,524 kes di hospital, 137 kes di unit rawatan rapi (ICU) tanpa bantuan pernafasan dan 211 kes di ICU dengan bantuan pernafasan,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais buka kaunter maklumat urus harta, wasiat sempena persidangan halal

SHAH ALAM, 5 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) membuka kaunter informasi pengurusan harta baitulmal sepanjang Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) 2022.

Agensi itu memaklumkan kaunter dibuka dari jam 10 pagi hingga 9.30 malam di Pusat Konvensyen Shah Alam memberi peluang kepada pengunjung mengetahui perkhidmatan ditawarkan.

“Orang ramai dipelawa hadir untuk memperoleh pelbagai maklumat berkaitan pengurusan wasiat, hibah, harta pusaka, faraid, fidyah, harta luqatah dan wang syubhah.

“Boleh datang ke gerai Mais bernombor 094,” katanya menambah Selhac turut disertai anak syarikat Mais iaitu Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis).

Berlangsung selama tiga hari, Selhac membuka tirai semalam menampilkan tiga komponen iaitu forum, ekspo dan padanan perniagaan.

Sebanyak 100 pempamer daripada 40 syarikat turut serta dalam acara itu membabitkan kluster makanan, farmasi, kecantikan, pelancongan, fesyen dan bahan halal.