Categories
NASIONAL SUKANKINI

Pingat emas Ziyad hadiah kelahiran bapa

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 12 SEPT: Muhammad Ziyad Zolkefli Othman, seorang bekas penjual kuetiau berjaya menjadi penyumbang emas acara lontar peluru di Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Brazil, pada 11 Septmber lalu.

Bapanya, Zolkefli Othman melahirkan rasa bangga atas kejayaan anaknya itu kerana menunaikan janji kepada beliau untuk menghadiahkan pingat emas buat keluarga.

“Masa saya hantar Ziyad di KLIA pada 1 September lalu, hari itu adalah hari jadi saya. Dia berjanji kepada saya akan membawa hadiah pingat emas. Kami sekeluarga sangat gembira dengan kejayaannya.

14322727_1463993180283945_7441967595086967044_n“Sebelum dia ke Majlis Sukan Negara, Ziyad berniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman menjual kuetiau.,” kata Zolkefli dipetik Bernama.

Ziyad, 26, melalui acara F20 (masalah pembelajaran) turut mencipta rekod dunia baharu dengan lontaran sejauh 16.84 meter pada percubaan kelima beliau di temasya sukan berprestij itu, pada 11 September lalu.

Zolkefli berkata, Ziyad anak sulung dari empatnberadik dan beliau memang meminati sukan sejak di sekolah rendah.

Zolkefli juga menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak kelainan upaya seperti Ziyad supaya sentiasa mendekati anak masing-masing kerana mereka mempunyai kelebihan luar biasa.

Selain Ziyad, dua lagi atlet paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohd Puzi turut menyumbang emas kepada kontinjen negara menerusi acara 100m T36 lelaki (celebral palsy) dan Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh kategori T20 (kurang upaya intelektual) dengan catatan 7.60m dalam lompatan kelima.

-NFN-

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Abdul Latif cipta emas ketiga di Rio, pecah rekod dunia

SHAH ALAM, 12 SEPT- Atlet paralimpik negara, Abdul Latif Romly, menghadiahkan pingat emas ketiga negara di Sukan Paralimpik Rio apabila menewaskan pesaingnya yang lain dalam acara lompat jauh kategori T20 (kurang upaya intelektual) dengan catatan 7.60 meter (m) dalam lompatan kelima.

Atlet yang berasal dari Perlis itu dalam lompatan kedua dan ketiga dan keempatnya sahaja berjaya memecahkan rekod dunia bagi acara tersebut dengan catatan 7.47 m dan 7.54m.

Memetik Astro Awani, lompatan pertamanya dibatalkan, manakala lompatan keempat pula sekadar mencatatkan 6.79 m.

latifPada Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak lalu, Abdul latif mencatatkan lompatan sejauh 7.46 m mengatasi catatan peribadi terbaiknya 7.35 m yang dilakukannya di Kejohanan Olahraga Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) 2015, di Doha.

Beliau antara atlet yang disebut-sebut sebagai prospek pingat untuk negara sebelum pemergian kontinjen negara ke Rio.

Terdahulu, Malaysia meraih emas pertama dalam acara 100m T36 (cerebral palsy) yang disumbangkan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi.

Pingat emas kedua negara diraih Muhammad Ziyad Zolkefli dengan rekod baharu dunia dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran).

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Malaysia lakar sejarah menang 2 emas Paralimpik Rio

KUALA LUMPUR 11 SEPT: Malaysia melakar sejarah dengan memenangi dua pingat emas pada temasya Paralimpik Rio, Brazil, dan lebih manis lagi, satu daripada kemenangan itu mencipta rekod baharu dunia.

Pingat emas pertama dimenangi Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi pada Sabtu di Rio de Janeiro, (Ahad di sini) dalam acara 100m T36 (celebral palsy) dan tidak lama kemudian, pingat emas kedua diraih Muhammad Ziyad Zolkefli dengan rekod baharu dunia dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran).

2016 Rio Paralympics - Men's 100m - T36 Final - Olympic Stadium - Rio de Janeiro, Brazil - 10/09/2016.  Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi of Malaysia celebrates after winning the gold medal in the event.   REUTERS/Ricardo Moraes   FOR EDITORIAL USE ONLY. NOT FOR SALE FOR MARKETING OR ADVERTISING CAMPAIGNS.
 Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi 

Malaysia pernah memenangi pingat pada paralimpik sebelum ini tetapi hanya perak dan gangsa.

Di Stadium Olimpik Rio, Mohamad Ridzuan memecut ke garisan penamat 100m T36 dengan catatan 12.07 saat mendahului Yang Yifei dari China (12.20s) dan Rodrigo Parreira da Silva dari negara tuan rumah Brazil (12.54s).

Muhammad Ziyad melontar peluru sejauh 16.84 meter untuk mencipta rekod dunia dan memungut emas dalam cubaannya yang kelima.

Muhammad Ziyad memadamkan rekod dunia yang dicatat Todd Hodgetts dari Australia sejauh 16.29m di Paralimpik London 2012.

Dimitrios Senikidis dari Greece memenangi pingat perak dalam acara itu di Rio dengan lontaran 16.17m dan Hodgetts meraih pingat gangsa dengan lontaran 15.82m. – BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Paralimpik: Mohamad Ridzuan hadiah emas pertama Malaysia

KUALA LUMPUR 11 SEPT: Sejarah dicipta, Malaysia mendapat pingat emas pertama Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro Sabtu, melalui atlet elit olahraga paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi.

Beliau meraih emas dalam acara 100m T36 lelaki di Stadium Olimpik Rio, dengan catatan masa 12.07 saat.

Pingat perak dimenangi Yang Yifei dari China dengan catatan 12.20s dan gangsa menjadi milik atlet tuan rumah, Rodrigo Parreira da Silva dengan 12.54s. – BERNAMA

EZY

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Red Giants: Masa untuk fokus Piala Malaysia

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 11 SEPT: Pengendali Selangor, K Gunalan enggan memberikan sebarang alasan dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya susulan kekalahan 0-1 Selangor kepada Pahang semalam.

Dalam sidang media beliau menjelaskan, pemainnya sudah beraksi sebaik mungkin tambahan mencipta lebih banyak peluang pada separuh masa kedua namun nasib tidak berpihak kepada mereka.

“Saya berpuas hati dengan permainan. Walaupun kita ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama tetapi separuh masa kedua kita telah menyerang namun tidak berjaya menjaringkan gol.

“Dengan pemain yang ada, saya sedaya upaya menyiapkan pasukan dengan menurunkan Adam (Nor Azlin) buat pertama kali bergandingan dengan Hazwan Bakri.

“Keseluruhannya kami tidak mengambil peluang pada separuh masa pertama,” katanya.

Katanya, The Red Giants perlu mengambil iktibar daripada pelawanan ini dan kembali fokus kepada aksi Suku Akhir Piala Malaysia menentang PKNS FC pada 17 September.

img_20160910_225827_461Kecederaan pemain utama seperti Mauro Olivi dan Patrick Ronaldinho Wleh diakui sedikit sebanyak menjejaskan rentak Selangor namun beliau terpaksa menggunakan pemain sedia ada bagi mengharungi baki perlawanan musim ini.

“Kita kena beraksi lebih baik kerana PKNS juga menang dalam aksi Liga Perdana.

“Mereka bersemangat tinggi dan saya perlu membuat rombakan pemain serta mengharapkan Mauro dan Patrick kembali,” katanya.

Sementara itu, Jurulatih Pahang Mohamad Razip Ismail berkata pasukannya berhak untuk menang tambahan pemainnya menunjukkan disiplin yang tinggi selain memanfaatkan peluang sebaiknya.

“Saya berasa gembira apabila kita berjaya mengalahkan pasukan Selangor walaupun mempunyai kedudukan yang agak rumit.

“Baki tiga lagi perlawanan bermula malam ini kita mahu mengutip sembilan mata maksima dan di akhirnya kita akan tengok kedudukan liga.

“Prestasi yang ditunjukkan pemain saya sangat baik dan memberangsangkan,” katanya.

Katanya, persembahan berpasukan yang dipamerkan membuktikan pemainya berjaya merebut peluang mengutip tiga mata penuh.

Dengan keputusan itu, Selangor kekal ditangga keempat dengan 28 mata, enam mata di belakang pasukan ketiga, Kedah yang mengumpul 34 mata.

EZY

Categories
SUKANKINI

MSL: Selangor tewas 0-1 kepada Pahang

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 SEPT: Selangor menempah laluan berliku dalam misi menduduki tempat ketiga Liga Super apabila tewas 0-1 kepada Pahang.

Beraksi di Stadium Shah Alam, anak buah K Gunalan gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri tambahan pula tanpa kelibat pemain import utama Patrick Ronaldinho Wleh dan Mauro Olivi.

Selangor terlebih dahulu mengasak menerusi gerakan ketua pasukan, Andik Vermasyah namun Ahmad Hazwan Bakri gagal melakukan sepakan pada minit kesembilan.

Dua minit kemudian, Mohad Nasril Nourdin mempamerkan aksi cemerlang dengan menghalang dua percubaan berturut-turut daripada S Veenod dan Andik daripada memecah kebuntuan awal.

Pahang yang kerap mengasak ke kubu Selangor akhirnya membuka tirai jaringan menerusi rembatan Pablo Andres Vranjican ke penjuru kiri gawang Selangor pada minit ke-32.

Selang empat minit kemudian, Pahang hampir menjarakkan kedudukan kepada 0-2 namun dibatalkan kerana terlebih dahulu mengasari penjaga gol, Norazlan Razali.

img_20160910_225827_461Bersambung babak kedua, Andik hampir menyamakan kedudukan buat Selangor namun rembatan lencong dari luar kotak penalti pada minit ke-51 berjaya ditolak keluar Mohd Nasril Nourdin.

Faysal Shayesteh hampir membolosi gawang Selangor pada minit ke-75 namun sepakan percuma beliau berjaya ditepis keluar Norazlan.

Dengan keputusan itu, Selangor kekal di tempat keempat dibelakang Kedah yang menduduki tempat ketiga dengan perbezaan enam mata.

EZY

Categories
SUKANKINI

1,200 peserta berentap rebut hadiah RM350,000

OLEH SYASYA SUFIAN

SUBANG JAYA, 10 SEPT: Lebih 1,200 peserta berentap bagi merebut hadiah keseluruhan bernilai RM350,000 dalam Pertandingan Selangor International Cyber Games 2016 anjuran Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN), hari ini.

Timbalan Pengarah MSN, Najwan Halimi, berkata sebanyak tujuh permainan dipertandingkan antaranya Mineski Pro Gaming League Southeast Asia Championship (DOTA 2), League Legends, Hearthstone, Counter Strike, Street Fighter V, Fifa 16 dan Clash Royal.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Selangor International Cyber Games 2016 di One City Mall, Subang Jaya, di sini, hari ini.

“Permaian yang terbesar kali ini adalah Southest Asian Champianship yang disertai peserta dari 10 buah negara antaranya Thailand, Filipina, Indonesia, Singapura, Australia dan Amerika.

“Pemilihan dibuat melalui perlawanan atas talian dan mereka berentap selama tiga hari bermula semalam dan ‘finale’ berlangsung esok ,” katanya.

EZY

Categories
SUKANKINI

Permainan siber boleh jana pendapatan sampingan

OLEH SYASYA SUFIAN

SUBANG JAYA, 10 SEPT: Tanggapan bahawa permainan siber hanya aktiviti membuang masa berubah apabila aktiviti itu kini boleh menjana pendapatan sampingan untuk golongan muda.

Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Najwan Halimi, berkata Kerajaan Negeri melihat potensi permainan siber itu untuk dikembangkan dari semasa ke semasa.

“Bagi peserta mempunyai kelab tersendiri mereka menjadikan permainan siber ini sebagai bidang kerjaya disamping menerima pendapatan tetap setiap bulan yang boleh mencecah ribuan ringgit.

“Selain itu, mereka juga memperoleh pendapatan tambahan melalui pertandingan disertai. Memandangkan dulu kita hanya lihat permainan siber hanya aktiviti membuang masa tetapi kini ia sebagai medan ekonomi,” katanya.

cp2a4785-800x533Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Selangor International Cyber Games 2016 di One City Mall, Subang Jaya, di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Yaakob Sapari bersama Pengarah Eksekutif MSNS, Mohd Zubir Idrus, Ketua Pegawai Eksekutif MCT Berhad, Datuk Seri Tong Seech Wi dan Ketua Pegawai Eksekutif Mineski Malaysia, Kenchi Yap.

Beliau berkata penganjuran Kerajaan Negeri dalam acara Cyber Games International 2016 buat kali ketiga menerima sambutan memberangsangkan.

“Kita menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM350,000 bagi tujuh permainan dipertandingkan.

“Ini juga merupakan salah satu inisiatif menyokong usaha Kerajaan Negeri ke arah Smart Selangor kerana kita melihat permainan siber ini menggunakan teknologi tinggi selari peredaran zaman,” katanya.

EZY

Categories
SUKANKINI

Fokus menang, 9 mata berharga perlu dikutip

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 6 SEPT: The Red Giants fokus untuk mengutip mata penuh dalam baki tiga perlawanan Liga Super untuk memastikan sekurang-kurangnya menduduki tempat ketiga musim ini.

Pengendali pasukan, K Gunalan, berkata pertembungan dengan Pahang adalah permulaan sebelum memikirkan perlawanan selanjutnya berdepan Perak dan JDT dalam merealisasikan impian itu.

“Kita berpeluang cerah untuk menang dan pemain akan berusaha gigih bagi mencapai sasaran itu.

“Walaupun Pahang terbawah dalam liga, kita tidak memandang rendah cabaran mereka dan akan menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri sebaiknya bagi mengutip mata penuh,” katanya.

Ketiga-tiga perlawanan berlangsung di laman sendiri dengan skuad Merah Kuning akan memulakan cabaran bertemu Pahang, Sabtu ini diikuti Perak (24 September) dan JDT (22 Oktober).

THE RED GIANTSBerdasarkan kedudukan semasa, Selangor ditangga keempat hanya dipisahkan tiga mata dibelakang Kedah (31) diikuti Felda United (42) dan JDT (49).

Beliau berkata, kebanyakan pemain Selangor bebas daripada kecederaan dan berharap dapat menurunkan kesebelasan utama dalam pertemuan itu nanti.

“Harapan memang cerah untuk itu dan kita harap akan mencapainya dari satu perlawanan ke perlawanan seterusnya untuk sekurang-kurangnya kembali menduduki tangga ketiga,” katanya.

Selepas perlawanan dengan Pahang, Selangor akan berusaha mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia dengan memberi tumpuan kepada pertemuan menentang PKNS FC dalam suku akhir di stadium sama selaku tuan rumah, 10 September ini.

Kini Selangor mendahului PKNS FC dengan agregat 4 – 3 dalam usahanya layak ke separuh akhir.

-nR-

Categories
SUKANKINI

PKNS FC yakin ke Liga Super, fokus kalahkan ATM FC

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 6 SEPT: PKNS FC yakin berpeluang cerah layak ke Liga Super musim depan dan memberi cabaran hebat bagi meraih kemenangan untuk baki tiga perlawanan dalam saingan Liga Perdana.

Bagaimanapun, Pengurus Pasukan, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, berkata pihaknya memberi fokus satu demi satu perlawanan dengan pertemuan menentang ATM FC, Jumaat ini, sebagai detik permulaan bagi mencapai sasaran berkenaan.

“Kita rasakan peluang untuk PKNS FC layak ke Liga Super cerah kerana tekanan pastinya lebih kepada JDT II ketika berdepan Melaka United yang memburu kemenangan untuk muncul juara mutlak Liga Perdana.

“Namun kita berusaha mengalahkan ATM FC sebelum memikirkan cabaran seterusnya dalam dua pelawanan lagi,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pertemuan selepas ini pada 23 September, menjadi lebih menarik kerana bakal mempertemukan empat pasukan teratas dengan PKNS FC melawan Melaka United manakala JDT II berdepan Kuala Lumpur.

Katanya, perlawanan pasti berlangsung sengit dengan Kuala Lumpur juga masih mengintai peluang untuk ke Liga Super.

“Sekiranya Melaka United mengalahkan JDT II pada Jumaat ini maka kita boleh menjangkakan satu perlawanan menarik bakal disaksikan ketika PKNS FC berdepan pasukan itu di Stadium Shah Alam dan seterusnya menentang Kuala Lumpur pula (21 Oktober).

“Pertemuan empat pasukan teratas Liga Perdana nanti tentu menjadi tumpuan kerana peminat ingin melihat pasukan mana layak ke Liga Super,” katanya.

Untuk itu, beliau berkata, pengurusan serta jurulatih, E Elavarasan akan memastikan pemain bersedia sepenuhnya untuk mendepani cabaran itu dan berusaha merealisasikannya.

“Kita yakin dengan peluang yang ada dan menggunakannya sebaik mungkin untuk PKNS FC berjaya,” katanya.

Melaka United kini mendahului kedudukan Liga Perdana dengan 48 mata diikuti JDT II (40), PKNS FC (39) dan Kuala Lumpur (34).

Dengan Melaka United dikatakan hampir pasti muncul juara, kini persaingan antara JDT II, PKNS FC dan Kuala Lumpur untuk menduduki tempat kedua dan layak ke Liga Super.

Perebutan antara tiga pasukan itu bakal sengit kerana Kuala Lumpur bakal berhadapan dengan cabaran PKNS FC dan JDT II.

EZY

Categories
SUKANKINI

Empat pemain Selangor wakili negara perlawanan persahabatan lawan Indonesia

SHAH ALAM 6 SEPT: Empat pemain bola sepak Selangor antara 24 pemain skuad Harimau Malaysia dalam perlawanan persahabatan menentang Indonesia malam ini.

Perlawanan persahabatan itu diadakan di Stadium Manahan, Solo, Indonesia yang boleh memuatkan seramai 25,000 penonton bermula pada jam 10 malam, Selasa mengikut waktu Malaysia.

Berdasarkan ranking FIFA terkini, Malaysia menduduki ranking ke-167 dunia, manakala Indonesia di tangga ke-191 dunia.

Pemain itu adalah Penjaga Gol – Mohd Khairulazhan Mohd Khalid, pemain tengah – Adam Nor Azlin, S. Veenod dan penyerang- Ahmad Hazwan Bakri.

Manakala seorang lagi pemain import Selangor, Andik Vermanshah mewakili Indonesia.

Jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee, berkata selain mahu memburu kemenangan, beliau turut mencari keserasian pemain dalam aksi persahabatan itu.

StadiumKatanya, selepas melakukan transisi pemain, beliau berharap dapat membentuk persefahaman pemain dalam persiapan menghadapi kejohanan Piala AFF 2016 yang bakal berlangsung pada 19 November hingga 17 Disember ini.

Mengulas mengenai kehadiran Andik Vermansah yang bakal membuat penampilan bersama skuad kebangsaan negaranya, Indonesia, Kim Swee tidak menganggap kelibat pemain sayap Selangor itu sebagai perbezaan yang ketara.

“Tidak banyak beza. Kita tahu Andik pernah beraksi bersama ­Indonesia dan menentang Malaysia pada Sukan SEA 2011 dan Sukan SEA 2013. Jadi, saya tidak nampak banyak perbezaan.

“Sudah tentu kita tahu Andik bermain bersama Selangor dan situasi itu memberi kelebihan kepadanya untuk mengenali pemain Malaysia dengan lebih baik berbanding rakan-rakannya yang lain,” katanya.

Berikut adalah senarai pemain Harimau Malaysia yang dipanggil untuk perlawanan persahabatan menentang Indonesia pada 6 September 2016:

Penjaga Gol
Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)
Hafizul Hakim (Perak)
Khairulazhan (Selangor)

Pertahanan
Fadhli Shas (JDT)
Azrif Nasrulhaq (JDT)
Amer Saidin (JDT II)
Khair Jones (Melaka United)
Matthew Davies (Pahang)
Shahrul Saad (Perak)
Nazirul Naim (Perak)
Ronny Harun (Sarawak)

Tengah
Fakri Saarani (Felda United)
Irfan Fazail (JDT II)
Baddrol Bakhtiar (Kedah)
Brendan Gan (Kelantan)
Wan Zack Haikal (Kelantan)
Abdul Latiff Suhaimi (PDRM)
Fakrul Aiman (PDRM)
Adam Nor Azlin (Selangor)
S. Veenod (Selangor)
Safawi Rasid (T-Team)

Penyerang
Amri Yahyah (JDT)
Zaquan Adha (JDT II)
Hazwan Bakri (Selangor)

EZY

Categories
SUKANKINI

Cub Prix: Kasma hadiahkan gelaran pasukan terbaik buat Maju Motor

PASIR GUDANG 4 SEPT: Kasma Daniel Kasmayudin berjaya meraih kemenangan keenam pada musim 2016 sekaligus membantu menghadiahkan gelaran juara keseluruhan berpasukan buat PETRONAS Yamaha Maju Motor dalam saingan CP130 pada pusingan ketujuh Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berakhir di Pasir Gudang, Johor, hari ini.

Meskipun berbaki tiga pusingan lagi, gandingan pelumba kelahiran Johor berusia 17 tahun itu bersama-sama Ahmad Fazli Sham dan Abd Muhaimin Roslan telah mengumpul 287 mata,147 mata mengatasi pasukan Motul Zeneos Yamaha YY Pang yang berada di kedudukan kedua yang mengumpul 140 mata manakala pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing ketika ini di kedudukan ketiga dengan 135 mata.

Pada saingan di Pasir Gudang, permulaan perlahan dan berada di kedudukan keenam pada pusingan pertama tidak menghalang Kasma untuk menguasai litar sepanjang 0.924km dan hanya memerlukan lapan pusingan daripada 18 pusingan keseluruhan untuk mendahului kedudukan sehingga ke garisan penamat.

Kasma menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 15’52.532s, 3.553s di hadapan Ahmad Afif Amran (PETRONAS Yamaha CKJ) manakala Norizman Ismail (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) di kedudukan ketiga dengan 15’57.439s.

“Permulaan saya tidak begitu baik dan pada masa sama saya juga sedikit berhati-hati untuk mengelak dari sebarang kesilapan. Malah dengan litar yang agak sempit, berlaku sedikit perlanggaran bersama pelumba lain.

Walaupun ketinggalan, saya yakin jentera saya mempunyai kelajuan yang cukup untuk saya mengejar dan memintas meskipun selekoh di sini agak sempit dan tidak banyak ruang untuk memintas.

Saya gembira dengan kemenangan ini selain turut berbangga kerana dapat membantu pasukan untuk bergelar juara keseluruhan berpasukan pada musim ini walaupun masih ada baki tiga pusingan perlumbaan lagi,” jelas Kasma yang semakin selesa mendahului senarai pelumba keseluruhan dengan 150 mata, 39 mata mengatasi Ahmad Fazli yang berada di kedudukan kedua.

Kemenangan di tempat ketiga membantu Norizman untuk berada di tangga ketiga keseluruhan dengan 68 mata.

Sementara itu, pelumba persendirian, Fakhrusy Syakirin Rostam yang membuat kemunculan semula di pentas Cub Prix bermula pusingan kelima di Teluk Intan mencipta kejutan apabila berjaya memenangi perlumbaan kategori CP115.

Beraksi di halaman sendiri memberi kelebihan buat Fakhrusy untuk menguasai 15 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 13’54.704s diikuti Md Akid Aziz (PETRONAS Yamaha Maju Motor) di kedudukan kedua dengan masa 13’56.820s dan Azroy hakeem Anuar (Givi Honda Yuzy Racing) ketiga dengan masa 14’01.203s.

Gelaran naib juara cukup buat Md Akid untuk naik ke tangga teratas pelumba dengan mengumpul 106 mata manakala Tengku amirul haffirudin (Motul Zeneos Yamaha YY Pang) yang menamatkan perlumbaan di tempat keenam jatuh ke tangga kedua dengan mengumpul 100 mata. Ahmad Syukran Aizat (PETRONAS Yamaha CKJ) di kedudukan ketiga dengan 74 mata.

Dalam perlumbaan kelas Wira, Md Helmi Azman sekali lagi memenangi perlumbaan untuk meraih kemenangan ketiga berturut-turut pada musim ini. Pelumba IUGB AFB Tech Racing itu menamatkan 12 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 11’27.666s.

Tempat kedua milik Md Qhuwarismi Md Nasir (Wststar Motorsport) yang dipintas pada saat akhir perlumbaan dengan masa keseluruhan 11’29.343s sambil Md Shafiq Ezzariq (Idemitsu Kozi Yam Honda) ketiga, 11’35.226s.

Kemenangan ini membantu Helmi untuk merapatkan jurang pungutan mata keseluruhan kepada 21 mata dengan mengumpul 128 mata manakala Shafiq di tangga teratas dengan 149 mata. TMd Qhuwarismi di kedudukan ketiga dengan 83 mata.

Keputusan Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS
CP130
1. Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) Yamaha 15’52.532s 2. Ahmad Afif Amran (TRG) Yamaha 15’56.085s 3. Norizman Ismail (SGR) Honda 15’57.439s 4. Ahmad Fazli Sham (PRK) 15’57.499s 5. Md Fitri Ashraff Razali (KUL) Yamaha 15’58.009s

Kedudukan keseluruhan:
1. Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) Yamaha 150 mata 2. Ahmad Fazli Sham (PRK) Yamaha 111 mata 3. Norizman Ismail (SGR) Honda 68 mata 4. Ahmad Afif Amran (TRG) Yamaha 63 mata 5. Ahmad Fazrul Sham (PRK) Yamaha 63 mata

CP115
1. Fakhrusy Syakirin Rostam (JHR) Yamaha 13’54.704s 2. Md Akid Aziz (KUL) Yamaha 13’56.820s 3. Azroy Hakeem Anuar (KUL) Honda 14’01.203s 4. Ahmad Syukran Aizat (TRG) Yamaha 14’01.656s 5. Md Shah Khairil Hisham (JHR) Yamaha 14’01.989s

Kedudukan keseluruhan:
1. Md Akid Aziz (KUL) Yamaha 106 mata 2. Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Yamaha 100 mata 3. Ahmad Syukran Aizat (TRG) Yamaha 74 mata 4. Md Harith Farhan Baharin (TRG) Honda 69 mata 5. Md Haziq Md Fairues (SGR) Yamaha 67 mata

WIRA
1. Md Helmi Azman (SGR) Yamaha 11’27.666s 2. Md Qhuwarismi Md Nasir (PNG) Yamaha 11’29.343s 3. Md Shafiq Ezzariq (SGR) Honda 11’35.226s 4. Md Khairi Asyraf Mahmood (JHR) Yamaha 11’45.681s 5. Saiful Azhary Muhamad (JHR) Honda 11’47.609s

Kedudukan keseluruhan:
1. Md Shafiq Ezzariq (SGR) Honda 149 mata 2. Md Helmi Azman (SGR) Yamaha 128 mata 3. Md Qhuwarismi Md Nasir (PNG) Yamaha 83 mata 4. Md Amirul Arif Ramlee (JHR) Yamaha 71 mata 5. Saiful Azhary Muhamad (JHR) Honda 63 mata

EZY