Categories
SUKANKINI

Cub Prix: Litar teknikal tak halang Kasma catat masa terpantas

PASIR GUDANG 3 SEPT: Litar baharu dan teknikal tidak menghalang Kasma Daniel Kasmayudin untuk sekali lagi mendominasi kelas CP130 apabila berjaya mencatat masa terpantas dalam sesi ujian masa pada pusingan ketujuh Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Pasir Gudang, Johor, hari ini.

Pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor itu mencatat masa terbaik 51.178s mengatasi rakan sepasukan, Ahmad Fazli Sham yang mencatat masa 51.656s manakala Ahmad Afif Amran (PETRONAS Yamaha-CKJ) ketiga terpantas dengan masa 51.689s.

Kasma sebelum itu turut mendahului kelas CP130 apabila memulakan aksi di litar yang pertama kali berada dalam kalendar kejuaraan Cub Prix dengan catatan masa 52.808s sebelum memperbaharui catatan pada sesi latihan bebas kedua dengan masa 51.842s.

“Litar ini sangat mencabar dan teknikal bagi pelumba-pelumba. Malah ia memerlukan penggunaan tenaga yang lebih berbanding litar-litar sebelum ini. Perlumbaan akhir nanti pasti mencabar.

“Namun saya akan cuba untuk mengekalkan aksi terbaik sepanjang 18 pusingan perlumbaan akhir esok. Paling penting saya perlu dapat meraih petak paling hadapan pada sesi Superpole esok,” jelas pendahulu keseluruhan CP130 itu.

Azroy Hakeem catat masa terpantas CP130Sementara itu, kategori CP115 menyaksikan catatan masa terpantas dilakukan oleh Azroy Hakeem Anuar (Givi Honda Yuzy Racing) dengan catatan masa 52.332s diikuti Md Akid Aziz (PETRONAS Yamaha Maju Motor), 52.639s dan Md Muzakkir Mohamed (Cardinals Koyoko KC Racing), 52.670s.

Dalam kategori Wira, Md Helmi Azman (IUGB AFB Tech Racing) muncul pelumba terpantas dengan masa 53.264s diikuti Md Qhuwarismi Md Nasir (Weststar Motorsport), 53.413s dan pendahulu keseluruhan, Md Shafiq Ezzariq (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) ketiga, 53.945s.

Perlumbaan hari kedua akan bermula seawal jam 8.30 pagi. Masuk adalah percuma.

Ujian masa:
CP130
1. Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) Yamaha 51.178s 2. Ahmad Fazli Sham (PRK) Yamaha 51.656s 3. Ahmad Afif Amran (TRG) Yamaha 51.689s 4. Abd Muhaimin Roslan (SGR) Yamaha 52.110s 5. Norizman Ismail (SGR) Honda 52.233s

CP115
1. Azroy Hakeem Anuar (KUL) Honda 52.332s 2. Md Akid Aziz (KUL) Yamaha 52.639s 3. Md Muzakkir Mohamed (SGR) Yamaha 52.760s 4. Md Amirul Ariff Musa (JHR) 52.804s 5. Ahmad Syukran Aizat (TRG) Yamaha 52.941s

WIRA
1. Md Helmi Azman (SGR) Yamaha 53.264s 2. Md Qhuwarismi Md Nasir (PNG) Yamaha 53.413s 3. Md Shafiq Ezzariq (SGR) Honda 53.945s 4. Md Afizi Supaat (SGR) Yamaha 54.427s 5. Md Amirul Ariff Ramlee (JHR) Yamaha 54.467s

EZY

Categories
SUKANKINI

Cub Prix: Afif buru podium kedua

SHAH ALAM 3 SEPT: Pelumba PETRONAS Yamaha-CKJ, Ahmad Afif Amran tidak mahu terlibat dalam apa-apa pertelingkahan atau bertindak secara kurang semangat kesukanan dalam usaha untuk sekali lagi menaiki podium kelas CP130 pada pusingan ketujuh Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Pasir Gudang, Johor, Sabtu dan Ahad ini.

“Itu bukan cara saya atau gaya saya. Sudah tentu saya juga boleh beraksi agresif, namun bukan ke tahap yang membahayakan pelumba lain,” kata Afif yang pernah memegang gelaran juara CP115 musim 2013.

“Pasukan saya bekerja keras untuk mengatasi masalah yang kami hadapi pada separuh musim pertama kejuaraan dimana kami ketinggalan jauh dari segi pungutan mata.

“Saya tidak boleh menjejaskan kejayaan berharga meraih penamat di atas podium sewaktu di Kemaman dengan aksi kurang memberangsangkan di Pasir Gudang. Itu merupakan podium pertama saya musim ini dan berharap ia akan menjadi titik perubahan karier saya pada 2016.

Afif raih podium pertama musim 2016“Walaupun mahkota CP130 sudah di luar jangkauan, namun saya berharap sekurang-kurangnya meraih beberapa kemenangan lagi sebagai tanda berterima kasih kepada kerja keras jurutera pasukan diatas usaha mereka untuk membolehkan kami dapat memberikan saingan,” katanya.

Saingan pusingan ketujuh Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS akan berlangsung di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, Johor pada 3 dan 4 September. Masuk adalah percuma.

EZY

Categories
SUKANKINI

Cub Prix: Helmi diyakini terus mencabar

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 SEPT: Mohd Helmi Azman diyakini akan terus mencabar hebat dalam pemburuan gelaran Wira menjelang aksi pusingan ketujuh Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Pasir Gudang, Johor, pada 3 dan 4 September ini.

Pelumba kelahiran Selangor berusia 17 tahun mewakili pasukan IUGB AFB Tech Racing di bawah pengurusan mantan juara Cub Prix, Ahmad Fuad Baharudin yang percaya dia kini sedang membimbing pelumba berpotensi dan mampu menyinar di arena permotoran negara.

Walaupun tidak beraksi pada pusingan pembukaan, beliau mempamerkan aksi memberangsangkan dengan meraih empat podium bermula pusingan ketiga termasuk dua kemenangan berturut-turut pada pusingan kelima di Teluk Intan, Perak dan keenam di Kemaman, Terengganu.

Helmi kini menduduki tangga kedua keseluruhan dengan 103 mata sekali gus menghimpit kedudukan pendahulu keseluruhan, Mohd Shafiq Ezzariq (130).

Ahmad Fuad yang juga pemilik pasukan berkata, walapun pasukan mempunyai pelumba dianggap berpotensi ketika ini, namun beliau sentiasa mengingatkan Helmi supaya jangan terlalu yakin dan sentiasa berhati-hati.

“Memandangkan dia masih muda, Helmi perlu sentiasa berkeinginan tinggi, berlatih dan bekerja lebih keras terutama untuk memahami jentera dan kemahiran perlumbaannya.

“Berkenaan peluang untuk mengejar gelaran keseluruhan, ia mungkin satu tugas sukar buatnya kerana Shafiq konsisten berada di kedudukan hadapan dalam setiap perlumbaan, namun Helmi tidak boleh berputus asa.

helmi02“Masih ada baki tiga pusingan perlumbaan dan peluang masih terbuka,” katanya.

Pelumba muda IUGB AFB Tech Racing itu turut mencipta kejayaan di pentas Asia setelah memenangi perlumbaan Underbone 130cc Kejuaraan Motosikal Asia di Litar Sentul, Indonesia, bulan lalu.

Helmi memulakan karier perlumbaan profesional pada 2013 dengan menyertai perlumbaan Super Siri Yamaha 135, siri perlumbaan pembangunan di Kejuaraan Cub Prix dan menamatkan saingan di tempat keenam keseluruhan.

Pada 2014 dan tahun lalu, beliau terpilih beraksi di siri kejuaraan Asia Talent Cup dan menamatkan perlumbaan di tangga ke-10 keseluruhan sebelum beraksi bersama pasukan IUGB AFB Tech Racing dalam kategori Wira tahun ini.

-AA-

Categories
SUKANKINI

Jerebu: Persiapan Cub Prix berjalan seperti biasa

SHAH ALAM 30 OGOS: Masalah jerebu yang melanda Malaysia dan Singapura ketika ini tidak menjejaskan persiapan penganjuran Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Pasir Gudang, Johor, 3 dan 4 September ini.

Namun pihak promoter, Safe Aim Mutual Sdn Bhd akan sentiasa memantau keadaan dan mematuhi sebarang arahan daripada pihak berkuasa berkaitan.

“Selagi masalah jerebu berulang ini gagal diselesaikan, ia akan menjadi masalah besar kepada negara termasuklah bagi acara-acara sukan.

“Malah, ia menjadi masalah besar kepada penganjur yang menggabungkan acara sukan dan pelbagai aktiviti-aktiviti lain pada satu masa di lokasi sama berbanding penganjuran satu acara sukan sahaja.

“Tahun lepas, masalah jerebu agak terkawal dan kami tidak perlu membatalkan perlumbaan dan kami harap keadaan jerebu akan semakin baik dan perlumbaan pusingan ini akan berjalan lancar,” jelas Ketua Operasi Cub Prix, Shafry Azizan.

Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix merupakan lokasi baharu yang ketiga bagi seluruh kontinjen Cub Prix pada musim 2016 selepas Pasir Mas, Kelantan dan Kemaman, Terengganu.

Lebih menarik, litar sementara sepanjang 924m ini dibina di perkarangan Stadium Perbandaran Pasir Gudang.

“Indeks Kualiti Udara (IPU) yang sederhana tidak menghalang pasukan lojistik kami membuat persiapan di sana. Kami berharap keadaan cuaca akan bertambah baik dan IPU di Pasir Gudang akan kekal sihat untuk penganjuran perlumbaan Cub Prix.

“Walau bagaimanapun, jika keadaan bertambah buruk, kami akan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa yang berkaitan.

Sementara itu, kami menasihati semua pelumba dan pasukan serta pengunjung melakukan langkah-langkah sesuai untuk menjaga kesihatan ketika jerebu ini,” jelas Shafry.

EZY

Categories
SUKANKINI

32 pasukan rebut Piala Dato’ Mokhtar Dahari

OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 29 OGOS: 32 pasukan seluruh negeri bakal berentap bagi merebut Piala Dato’ Mokhtar Dahari edisi ketiga bermula 30 Ogos ini.

Pengerusi Kejohanan, Dato’ Emran Kadir, berkata acara berprestij itu bertujuan mengenal pasti dan mencungkil bakat baru bola sepak dalam kalangan remaja.

“Dengan ini, lebih banyak bakat dapat diketengahkan sebagai pemain negeri seterusnya mengembalikan kegemilangan pasukan Selangor dalam arena bola sepak Malaysia,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika Majlis Perasmian Piala Dato’ Mokhtar Dahari yang berlangsung di sini, pada 27 Ogos lalu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perangsang Selangor, Ahmad Fariz Hassan dan Pengarah Pendidikan Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim.

Kejohanan itu mengekalkan tajaan daripada Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) berjumlah RM150,000 selama tiga tahun berturut-turut.

PIALA 2Perangsang Selangor turut memperkenalkan jersi tajaan yang akan digunakan lapan pasukan yang layak ke perlawanan suku akhir.

Tuan rumah bagi edisi kali ini ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) La Salle, sementara perlawanaan akhir dijangka berlangsung pada 17 September 2016 bertempat di Kompleks Sukan MPSJ, Subang Jaya.

Johan bakal menerima wang tunai RM10,000 berserta pingat, sijil, piala iringan dan piala pusingan, naib johan (RM7,000), tempat ke-3 (RM5,000), manakala tempat ke-4 (RM3,000).

Selain itu, terdapat juga anugerah lain iaitu Pemain Terbaik, Penjaring Gol Terbanyak dan Penjaga Gol Terbaik (Tangan Emas).

Kejohanan kali ini turut diselitkan Seminar Pengurusan Diri dan Masa Depan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia.

Ia bagi memberi pendedahan awal kepada pemain bola sepak remaja Selangor berkenaan kerjaya dan masa depan sukan terbabit.

-AA-

Categories
SUKANKINI

Gunalan: Satu gol belum selamat buat Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 OGOS: The Red Giants tidak mempunyai bekalan defisit gol cukup untuk mengharungi pertembungan kedua suku akhir TM Piala Malaysia walaupun mencatatkan kemenangan 4-3 ke atas PKNS FC.

Pengendali Selangor, K Gunalan, berkata baki 90 minit permainan akan menentukan nasib kedua pasukan ditambah mereka hanya dipisahkan dengan satu jaringan.

“Saya rasa (kedudukan) masih belum selamat, kita perlu berusaha lagi kerana walaupun mendahului satu gol tetapi kita perlu berkerja keras pada suku akhir kedua untuk melangkah ke separuh akhir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas tamat perlawanan di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Katanya, kelekaan benteng pertahanan diakui membuka ruang buat PKNS FC bangkit hingga satu ketika berjaya menyamakan kedudukan 3-3.

Namun, secara keseluruhan Gunalan berpuas hati dengan persembahan The Red Giants termasuk prestasi Mauro Olivi yang kembali beraksi selepas dibelenggu kecederaan.

GUNALANSementara itu, PKNS FC berikrar akan bangkit dalam baki 90 minit permainan suku akhir kedua TM Piala Malaysia untuk terus mengorak langkah ke separuh akhir.

Jurulatihnya, E Elavarasan, berkata peluang masih terbuka buat The Red Ants memadam defisit satu gol asalkan mereka segera bangkit pada pertembungan kedua, pada 17 September ini.

“Kita rasa perlawanan masih terbuka dan tidak akan ada perbezaan.

“Apabila bertemu lawan sama dari pasukan negeri, kita akan cuba bangkit secepat mungkin,” katanya.

Katanya, kelalaian benteng pertahanan pada minit akhir permainan akhirnya dihukum hingga terpaksa melepaskan empat jaringan kepada Selangor.

“Walaupun kita bangkit hingga menyamakan kedudukan tetapi kehilangan konsentrasi beberapa minit dan kesilapan memberi kesan kepada pasukan.

“Saya terima kekalahan dan PKNS FC akan bangkit selepas ini,” katanya.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

TM Piala Malaysia: Selangor benam PKNS FC 4-3

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 OGOS: Selangor berjaya bangkit pada minit akhir permainan bagi memastikan bekalan selesa di peringkat suku akhir TM Piala Malaysia apabila menewaskan PKNS FC dengan keputusan 4-3.

Beraksi di hadapan hampir 3,000 penyokong, pertembungan ‘adik-abang’ di Stadium Shah Alam itu menyaksikan kedua pasukan mempamerkan aksi bertenaga dengan corak permainan saling berbalas serangan.

Selangor terlebih dahulu mendahului PKNS FC menerusi jaringan pemain pertahanan, Ugochukwu Ukah seawal minit keempat.

Ukah yang berjaya melepasi perangkap ‘off-side’ menanduk masuk bola sepakan percuma Mohd Azmi Muslim yang terlebih dahulu singgah di palang gol PKNS FC.

Andik Vermansyah hampir menjaringkan gol kedua perlawanan, namun percubaannya pada minit ke-16 berjaya ditepis penjaga gol PKNS FC, Md Norhaziq Md Aris.

Seminit kemudian, Ahmad Hazwan Bakri melebarkan kedudukan Selangor kepada 2-0 menerusi rembatan lencong dari luar kotak penalti selepas menerima tolakan daripada S Veenod.

PKNS FC kembali merapatkan jurang kedudukan kepada 2-1 menerusi Juan Manuel Corbelli pada minit ke-27 selepas berjaya menanduk masuk hantaran Matias Nicolas Hadwa.

Di penghujung babak pertama, R Gopinathan sekali lagi gagal menyudahkan peluang terhidang bagi meletakkan Selangor selesa mendahului apabila sekadar melakukan rembatan lemah ke gawang PKNS FC.

PKNS FCBersambung babak kedua, R Gopinathan akhirnya mencatatkan nama selaku penjaring ketiga apabila dengan mudah menolak masuk bola lorongan Andik Vermansyah ke gawang PKNS FC pada minit ke-52.

Andik dan Ukah turut menguji benteng pertahanan PKNS selang tiga minit kemudian, namun percubaan mereka berjaya diselamatkan Md Norhaziq.

PKNS FC kembali menjadikan kedudukan 3-2 menerusi Gonzalo Manuel Soto selepas berjaya menolak masuk bola muntah sepakan percuma Gabriel Miguel Geurra yang terlebih dahulu terkena palang pada minit ke-60.

Gabriel Miguel Guerra menjadikan kedudukan terikat 3-3 pada minit ke-74 selepas berjaya memperdaya pertahanan Selangor sebelum merembat kencang bola ke gawang melepasi jangkauan Mohd Khairulazhan.

Mauro Olivi muncul wira The Red Giants apabila merembat kencang pada minit ke-84 bagi memastikan Selangor kembali mendahului 4-2.

Keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan dan kedua pasukan akan bertemu sekali lagi bagi perhitungan suku akhir kedua pada 17 September di Stadium Shah Alam.

-AA-

Categories
SUKANKINI

114 peserta seluruh negara sertai Futsal Orang Pekak Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 OGOS: Penganjuran Pertandingan Futsal Orang Pekak Selangor, baru-baru ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari 114 peserta seluruh Malaysia.

msnPertandingan itu membabitkan 22 pasukan antaranya Pulau Pinang, Kelantan, Perak, Pahang, negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Belia MSNS, Mohd Najwan Halimi, berkata kejohanan itu adalah inisiatif MSNS melalui Bahagian Pembangunan Belia dan Persatuan Orang Pekak Selangor (POPS) untuk menyambut hasrat Kerajaan Negeri dalam merancakkan pembangunan sukan di setiap daerah.

Katanya, ia selaras dengan Dasar Pembangunan Belia (DBS) yang merangkumi 10 bidang keutamaan dan antara teras tersebut adalah ‘Sukan dan Kecergasan’.

“Kerajaan Negeri komited untuk terus memartabatkan pembangunan sukan di pelusuk daerah,” katanya di Majlis Perasmian Penutup pertandingan futsal itu, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, bekas Rektor UiTM Shah Alam, Prof Dato’ Dr Mansor Salleh yang juga penasihat POPS.

Ia dianjurkan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) bersama POPS bertempat di Perindu Futsal Court UiTM Shah Alam, pada 13 dan 14 Ogos lalu.

-NFN-

Categories
SUKANKINI

Perselisihan faham pemain selesai dengan aman

OLEH AFIX REDZUAN

KUCHING, 25 OGOS: Penolong Pengurus Pasukan Selangor, Noor Hisham Mohd Ghouth, memaklumkan insiden perselisihan faham antara Ugochukwu Ukah dan Mohd Bunyamin Umar ketika Selangor menentang Sarawak semalam berjaya diselesaikan dengan aman.

Suasana itu dicapai selepas kedua-dua pemain meminta maaf secara peribadi sesama sendiri dan juga rakan sepasukan serta barisan kejurulatihan.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, pihak pengurusan memandang serius perkara itu dan akan memberikan amaran bertulis kepada pemain terbabit.

IMG_20160824_214507_159“Satu siasatan dalaman juga akan dijalankan bagi mengenalpasti masalah. “Tidak ada tolak ansur kepada tindakan yang menjejaskan keharmonian dan kesepakatan dalam pasukan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun menyedari insiden adalah berpunca daripada semangat membara pemain untuk mencapai kejayaan, namun sikap profesional dan menghormati sesama rakan sepasukan harus dikekalkan.

Perselisihan kedua-dua pemain di penghujung permainan perlawanan Liga Super semalam, menyaksikan Ukah dilayangkan kad merah oleh pengadil, Zulkifli Ahmad.

Dalam perlawanan itu, Selangor berjaya mengutip satu mata selepas seri 1-1 hasil jaringan Adam Nor Azlin.

-NFN-

Categories
SUKANKINI

MSL: K Gunalan gembira pemain bangkit positif

OLEH AFIX REDZUAN

KUCHING, 25 OGOS: Suntikan motivasi yang diberikan Pengendali Selangor, K Gunalan ketika rehat babak pertama membuahkan hasil apabila mereka berjaya membawa pulang satu mata ketika bertemu Sarawak, semalam.

Walaupun mensasarkan tiga mata penuh, namun keputusan seri 1-1 yang dilakar dianggap sesuatu positif selepas mencatatkan keputusan sama menentang T-Team sebelum ini.

“Saya rasa kita bermain dengan bagus di separuh masa kedua untuk mencipta peluang.

“Saya selalu katakan kepada mereka jangan cepat berputus asa. Ketinggalan 1-0 saya akan memberikan motivasi terbaik sehingga bermain 95 minit.

THE RED GIANTS - GUNALAN“Pemain saya memberikan maklum balas yang terbaik. Saya gembira cara mereka bekerja dengan saya,” katanya.

Katanya, kesilapan pemain yang gagal menyempurnakan beberapa peluang terhidang bakal dibaiki secepat mungkin sebelum aksi suku akhir Piala Malaysia, pada Ahad ini.

Selain itu, beliau turut mengharapkan beberapa tonggak yang cedera dapat segera pulih bagi menghadapi baki saingan musim ini.

Menyentuh insiden pergaduhan di minit akhir antara Ugochukwu Ukah dan Mohd Bunyamin Omar, beliau mengambil pendirian untuk tidak mengulas.

“Saya enggan mengulas perkara itu tetapi saya akan maklumkan kepada pengurusan. Saya tidak mahu menyalahkan kedua-dua pemain kerana mereka patut tahu selaku pemain profesional.

“Saya mahu pihak pengurusan mengambil keputusan yang baik buat kedua-dua pemain,” katanya.

-NFN-

Categories
SUKANKINI

Piala Malaysia: Ronaldinho dijangka tiada halangan beraksi menentang PKNS

OLEH AFIX REDZUAN

KUCHING, 25 OGOS: Penggempur sensasi Selangor, Patrick Ronaldinho Wleh akan diturunkan bagi mengemudi jentera serangan dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia bertemu PKNS FC, pada 28 Ogos ini.

Pengendali Selangor, K Gunalan berkata, setakat ini beliau difahamkan tiada halangan untuk Ronaldinho Wleh bermain menentang sebarang pasukan.

“Setahu saya tidak ada apa-apa (halangan) selepas berbincang dengan pengurusan. Dia boleh bermain di peringkat suku akhir Piala Malaysia menentang PKNS, pada Ahad ini,” katanya.

IMG_20160824_213341_243Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status pemain Liberia itu yang didakwa tidak boleh bermain menentang pasukan lamanya.

Dalam satu laporan akhbar sebelum ini mendakwa, Ronaldinho Wleh ‘tidak boleh bermain’ menentang pasukan PKNS FC berdasarkan syarat perjanjian pinjaman pemain itu kepada Selangor.

Namun, dakwaan itu ditangkis serta merta Pengurus The Red Giants, Amirudin Shari menerusi satu status yang dimuat naik ke laman mikro Twitter.

“Setelah disemak perjanjian, tidak pernah timbul langsung.

“Jangan jadi berita makan tuan. This is not first time (ini bukan pertama kali),” katanya.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

MSL: Adam Nor Azlin bantu Selangor bangkit ikat Sarawak 1-1

OLEH AFIX REDZUAN

KUCHING, 24 OGOS: Jaringan penyamaan pemain gantian, Adam Nor Azlin pada pertengahan babak kedua sudah cukup untuk memastikan Selangor bangkit mengikat Sarawak dengan keputusan 1-1.

Beraksi di Stadium Negeri Sarawak, Selangor yang ketinggalan dipenghujung babak pertama, berjaya tampil bertenaga dibabak kedua bagi memastikan mereka membawa pulang mata untuk menghidupkan peluang merebut tempat ketiga Liga Super.

Beraksi dalam padang basah, The Red Giants terlebih dahulu mengasak menerusi tandukan Patrick Ronaldinho Wleh pada minit kelapan namun sekadar melepasi palang gol.

Ronaldinho Wleh sekali lagi tampil melakukan cubaan ke gawang Sarawak menerusi rembatan leret yang terus ditangkap kemas penjaga gol, Mohd Shahril Sa’ari pada minit ke-12.

Sarawak yang sesekali mengasak hampir membuka tirai jaringan namun tandukan Gilmar Jose Da Silva Filho berjaya dikawal penjaga gol Selangor, Mohd Khairulazhan.

Gawang Selangor hampir bolos pada minit ke-17 dalam keadaan kelam-kabut namun mujur Mohd Rizal Fahmi Rosid berjaya mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Gol pembukaan yang dinantikan pasukan tuan rumah akhirnya menjelma pada minit ke-40 hasil sepakan penalti Junior Aprecido Guimaro.

Segalanya berpunca daripada terjahan yang dilakukan Mohamad Azmi Muslim terhadap Junior dalam kotak penalti pada minit ke-39

Junior dengan tenang menyempurkankan sendiri sepakan itu sekaligus meletakkan skuad Bujang Senang mendahului Selangor 1-0 pada babak pertama.

Ahmad Hazwan Bakri hampir menjaringkan gol penyamaan Selangor, seminit selepas babak kedua bersambung namun rembatannya tinggi melepasi gawang.

Mohamad Azmi hampir menjelmakan gol penyamaan Selangor pada minit ke-67 namun sepakan percuma yang diambil sekadar terkena tiang sebelum cubaan susulan Ugochukwu Ukah tepat ke dakapan penjaga gol Sarawak.

Detik yang dinantikan Selangor akhirnya menjelma apabila pemain gantian, Adam Nor Azlin berjaya menceriakan kem The Red Giants dengan gol penyamaan 1-1 selepas merembat rendah ke gawang Sarawak pada minit ke-76 hasil umpanan Andik Vermasyah.

Selangor hampir menggandakan jaringan pada minit ke-86 menerusi tandukan Ukah namun dibatalkan pengadil kerana off-side.

Di penghujung permainan, Selangor terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Ugochukwu Ukah dilayangkan kad merah.

EZY