Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Bandar Perubatan UKM bantu perkasa industri kesihatan, ekonomi negara

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Malaysia dijangka mempunyai sebuah bandar perubatan bertaraf antarabangsa dalam tempoh 10 tahun akan datang menerusi projek ‘Health Technopolis’ yang diterajui oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Projek itu membabitkan dua tapak, iaitu Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) di Bandar Tun Razak, Cheras dan di Jalan Temerloh di sini, dengan masing-masing berkeluasan 60 ekar (24 hektar).

HCTM kini menempatkan dua pusat perubatan dan satu institusi penyelidikan iaitu UKM Specialist Centre, Hospital Pakar Kanak-kanak dan Institut Perubatan Molekul (UMBI), selain kampus perubatan dan kesihatannya serta Hospital Rehabilitasi Cheras yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari situ.

Tapak UKM di Jalan Temerloh pula menempatkan Klinik Audiologi dan Sains Pertuturan UKM, namun kedudukannya strategik kerana berhampiran Hospital Kuala Lumpur, Pusat Darah Negara, Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Pakar KPJ Tawakkal dan Institut Perubatan Respiratori, selain Klinik Kesihatan Kuala Lumpur.

Diinspirasi oleh hab terkemuka dunia

Mengulas mengenai projek itu, Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali yang mencetuskan idea tersebut pada 2014, berkata pembangunan UKM Health Technopolis dirancang berdasarkan prinsip utama untuk meningkatkan keupayaan sistem perubatan dan merangsang pertumbuhan ekonomi.

Noor Azlan yang pernah berkhidmat sebagai Naib Canselor UKM dari 2014 hingga 2018, berkata beliau mendapat inspirasi daripada lawatan ke beberapa pusat sedemikian di seluruh dunia, antaranya teknopolis di Ankara, Turki (Turkiye).

“Ketika itu saya baru sahaja dilantik sebagai Naib Canselor (UKM). Selepas lawatan itu, idea mula dicetuskan bagi mengembangkan peranan universiti bukan sahaja sebagai pusat akademik untuk melahirkan graduan tetapi juga ejen utama pertumbuhan dalam perkembangan ekonomi, melibatkan semua warga universiti.

“Jika dilihat pada konsep teknopolis itu, secara fizikalnya semua kemudahan perlu berdekatan walaupun penyelidikan dan pembangunan perubatan digital boleh dilakukan secara maya menerusi kerjasama dengan sektor korporat,” jelas pakar ekonomi dan kewangan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam forum ‘Bandar Perubatan diterajui oleh Universiti: Mimpi atau Realiti’ anjuran UKM di UMBI baru-baru ini.

Seorang lagi ahli panel, Felow Penyelidik Utama UMBI Prof Datuk Dr A Rahman A Jamal berkata pembangunan bandar perubatan itu akan dilaksanakan secara berfasa dengan fasa pertama membabitkan pemindahan tiga fakulti, iaitu Sains Kesihatan, Farmasi dan Pergigian dari kampus di Jalan Raja Muda, Kampung Baru di sini ke HTCM.

“Sekarang kami sedang dalam proses mendapatkan kelulusan daripada kerajaan untuk mengendalikan sepenuhnya aspek kewangan dan pembiayaan projek ‘UKM Health Technopolis’,” katanya, menambah mereka tidak akan meminta peruntukan daripada kerajaan untuk membiayai projek tersebut.

Konsep Mayo Clinic

Menurut beliau, UKM mahu menjadikan bandar perubatan itu bukan sahaja sebagai pusat kecemerlangan perubatan tetapi juga untuk menarik pelaburan tempatan dan asing bagi membangunkan inovasi teknologi perubatan.

“Kami perlu pamerkan kelebihan kami di Malaysia kepada para pelabur dalam bidang teknologi dan kesihatan supaya ‘health technopolis’ dapat menjadi ikon dalam rujukan, sekali gus menarik lebih ramai pakar-pakar terkemuka untuk datang mendapatkan latihan di sini.

“Mengambil model Mayo Clinic, jika ada penyakit yang orang lain tidak boleh rawat, ‘go to Mayo Clinic’, itulah slogan yang mahu kami capai untuk ‘health technopolis’ ini yang akan mempunyai pelbagai kepakaran,” jelasnya.

(Mayo Clinic ialah pusat perubatan akademik bukan keuntungan berpusat di Rochester, Minnesota, Amerika Syarikat yang memberi tumpuan kepada amalan klinikal, pendidikan dan penyelidikan bersepadu yang mengkhususkan dalam merawat kes-kes sukar melalui rawatan tertiari dan ubat-ubatan)

Dr A Rahman mengambil contoh penubuhan biopolis di Singapura yang menumpukan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi sains bioperubatan dan berjaya menarik perhatian pelabur asing serta menjana ekonomi republik tersebut.

“Mereka merancang lebih lewat daripada kami, namun terlebih dahulu berjaya melaksanakan biopolis dan berjaya menarik lebih 50 syarikat yang menjalankan R&D mereka di situ, termasuk syarikat terkenal dalam farmaseutikal, 60 syarikat pengeluar dan lebih 80 syarikat pemula niaga.

“Namun, kelebihan yang ada pada Malaysia yang tiada di negara jiran kita ialah kepelbagaian etnik dalam percubaan klinikal untuk diabetes dan onkologi yang diwakili oleh tiga kumpulan etnik, sekali gus meletakkan kami sebagai tiga terbaik dalam percubaan klinikal di Asia Pasifik,” jelasnya.

Dr A Rahman yang juga Ketua Projek ‘The Malaysian Cohort’, berkata bagi menjayakan bandar perubatan itu, UKM perlu mengenal pasti bakat-bakat sedia ada dan berusaha membawa mereka ke universiti terkemuka dunia untuk menjalani latihan sementara menunggu projek berkenaan siap.

“Jadi, apabila mereka kembali ke tanah air, mereka sudah menjadi pakar dan sumber rujukan untuk melatih bakat-bakat tempatan dan penyelidik muda sebagai sebahagian daripada ekosistem pusat kecemerlangan di UKM Health Technopolis,” katanya.

Tingkat pelaburan

Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Prof Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub berkata kerajaan dan swasta perlu mengadakan lebih banyak kerjasama untuk mewujudkan pusat kecemerlangan seperti UKM Health Technopolis tersebut.

Ini keran,a katanya buat masa ini belum ada hab perubatan ikonik di Malaysia yang boleh dijadikan rujukan integrasi pelbagai rawatan dan penyelidikan dalam pelbagai bidang.

“Pada pandangan peribadi saya, pelaburan Malaysia dalam kemudahan perubatan masih belum memadai dan ini sangat ketara apabila pandemik berlaku… kapasiti katil dan unit rawatan rapi tidak mencukupi.

“Jadi, sudah tiba masanya untuk kita melihat semula perkara ini sebagai sebuah negara, yang mana pelaburan untuk sistem penjagaan kesihatan harus dijadikan keutamaan, bukan setakat tanggungjawab sosial, tetapi sebagai antara enjin pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata penubuhan pusat kecemerlangan itu bukan sahaja memanfaatkan sektor kesihatan tetapi juga boleh menjadi ikon dalam pelancongan kesihatan negara.

“Kita ada Petronas Twin Towers di Malaysia, namun hingga kini tidak ada dalam bidang hab perubatan, sepertimana Bumrungrad sebagai hab pelancongan kesihatan yang dikenali di Thailand dan Bali International Hospital, Indonesia.

“Mengambil contoh hab pelancongan perubatan di Bali, kerajaan Indonesia sedaya upaya cuba mengehadkan pergerakan rakyat mereka ke luar negara untuk mendapatkan rawatan perubatan, yang membolehkan mereka berjimat kira-kira US$7 bilion (RM29.3 bilion) setahun,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

UKM sedia terima 10,000 pelajar Mac, laksana SOP ketat

BANGI, 12 FEB: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersedia menerima hampir 10,000 pelajar tempatan dan antarabangsa ke kampus secara berperingkat pada bulan Mac ini, dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata pihak universiti, telah mengkaji dan mengetatkan SOP yang sedang diguna pakai di universiti itu, bagi melancarkan proses kemasukan pelajar bermula 27 hingga 29 Mac ini.

“Kami bakal menerima kemasukan pelajar ke kolej kediaman hampir 10,000 orang bagi semester dua sesi 2021/2022. Jadi, pematuhan SOP adalah sangat penting, dan pihak kami juga akan mematuhi semua arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Majlis Keselamatan Negara dari semasa ke semasa.

“Kami akan meminta pemimpin pelajar terutamanya Majlis Perwakilan Pelajar dan Majlis Eksekutif Pelajar di kolej kediaman, untuk membantu mengingatkan pelajar supaya sentiasa mematuhi SOP secara berterusan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Ekhwan berkata terdapat dua kategori pelajar yang akan hadir ke kampus, iaitu melibatkan pelajar yang menginap di dalam kampus dan juga di luar kampus.

“Jumlah bilangan pelajar yang akan menginap di kolej kediaman adalah tertakluk kepada jumlah kapasiti kolej dan pihak Pusat Perumahan Pelajar akan memastikan semua pelajar mematuhi SOP yang telah dibuat,” katanya.

Bagi proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), Mohd Ekhwan berkata dekan dan pengurusan fakulti telah memastikan semua SOP untuk kuliah, makmal dan aktiviti klinikal bagi fakulti masing-masing dikemas kini.

“Pelaksanaan PdP, amali dan makmal dan aktiviti penyelidikan, akan bergantung kepada kapasiti kemudahan dewan kuliah serta makmal yang ada. SOP telah dibangunkan dan dikemas kini dari semasa ke semasa, bersesuaian dengan kapasiti kemudahan tersebut,” katanya.

Beliau berkata pihak fakulti juga dibenarkan untuk menentukan kaedah pembelajaran bagi aktiviti penyelidikan dan kaedah PdP, sama ada dilakukan secara dalam talian, bersemuka atau hibrid.

“Walau bagaimanapun, pihak Jawatankuasa Tindakan Krisis UKM: Kategori Penyakit Berjangkit dan Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH-UKM), akan meneliti semula semua SOP fakulti sebelum diperakukan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

‘Saya Bukan Hero, Saya Cuma Mahu Rakyat Dapat Pendidikan Percuma’

Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani 03

KUALA LUMPUR 18 JAN : Pendidikan adalah hak setiap rakyat sama seperti tempat tinggal dan makanan dan saya juga bukan hero yang perlu disanjung tinggi kerana saya percaya ramai lagi pejuang yang melakukan pelbagai usaha, lebih hebat dari saya demi rakyat, ungkap KS Bawani dengan rendah diri.

Bawani yang kini menuntut di tahun kedua jurusan Undang-undang di Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima pelbagai sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat atas keberaniannya menyuarakan idea pendidikan percuma dalam satu forum.

Rakaman forum tersebut menyaksikan bagaimana hujah Bawani dimatikan oleh tindakan moderator forum, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin yang bertindak menarik mikrofon di hadapan Bawani yang sedang menyampaikan hujah-hujahnya.

Susulan insiden itu, beliau kini menjadi sebutan dan diangkat sebagai ikon mahasiswa yang dilihat berani dalam menyuarakan pandangan yang nyata bertentangan dengan polisi kerajaan pemerintah.

“Jangan pandang saya seolah-olah saya di langit kerana saya hanyalah insan kerdil yang hanya bersuara untuk menuntut keadilan buat semua.

“Saya yakin Malaysia mampu memberikan pendidikan percuma sepertimana yang dlaksanakan negara-negara seperti Cuba, Brazil, Argentina yang mempunyai pendapatan negara kurang daripada Malaysia.

“Pendidikan bukanlah satu bentuk perniagaan, komoditi atau barangan untuk dijual beli, ia adalah hak setiap insan,” tegas Bawani.

Beliau yang turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Psikologi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini menghadiri sidang media anjuran pertubuhan yang dinaunginya sendiri, Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor di sini pagi tadi.

Menurutnya lagi, mahasiswa perlu dibebaskan daripada kepompong pemerintah atau kerajaan bagi menjamin hak mahasiswa dalam menyuarakan pandangan serta idea baru demi kemajuan negara sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Negara.

“Ia perlu dilaksanakan dalam kehidupan sehari-hari kita dan bukan sekadar di atas kertas sahaja.

“Pihak universiti juga perlu neutral dan bebas tanpa diselimuti usaha-usaha ‘brainwash’ pihak tertentu.

“Biarkan mahasiswa sendiri menilai mana baik, mana buruk,” ujar Bawani.

Berusia 28 tahun, Bawani begitu konsisten dalam perjuangannya malah begitu aktif dalam pergerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memperjuangkan hak rakyat sejak berusia belasan tahun lagi.

Sejak terlibat dalam NGO seperti Communication Development Center (CDC); iaitu sayap utama Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada usia 19 tahun lagi, Bawani secara aktif memberi kelas tambahan secara percuma di estet-estet dan kampung-kampung.

Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani 02