Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Tiada laporan masjid, surau terjejas banjir

SHAH ALAM, 8 MAC: Kerajaan Negeri masih belum menerima laporan mengenai masjid dan surau yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

EXCO Hal-Ehwal Agama Islam berkata walaupun beberapa kawasan dinaiki air hingga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, namun tiada rumah ibadat yang terjejas.

“Setakat ini kita belum terima laporan, tetapi jika ada kita akan segera bertindak membaik pulih kerosakan,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni ketika dihubungi Selangorkini.

Dalam kejadian banjir Disember lalu, sebanyak 33 masjid dan 70 surau dilaporkan terjejas.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata kesemua masjid dan surau itu kembali dibuka seawal dua minggu selepas banjir.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PBT SELANGOR

MBSJ pasang cerucuk besi stabilkan tanah runtuh

SHAH ALAM, 8 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengarahkan jabatan kejuruteraannya untuk melaksanakan kerja penyelenggaraan di lokasi kejadian tanah runtuh berhampiran Pangsapuri Suria, Taman Kinrara 4, Puchong.

Arahan itu dibuat susulan lawatan Datuk Bandar Subang Jaya, Dato’ Johary Anuar, Timbalan Datuk Bandar Mohd Zulkurnain bin Che Ali dan Ahli Dewan Negeri Kinrara, Ng Sze Han ke kawasan terbabit hari ini.

MBSJ dalam kenyataan di Facebook berkata, hasil pemeriksaan mendapati kejadian itu berpunca daripada peningkatan paras air di parit utama akibat hujan lebat.

“Hujan lebat telah menolak tembok ke dalam rezab parit utama.

“Oleh itu, jabatan kejuruteraan MBSJ sudah diarah untuk memasang kepingan cerucuk besi sepanjang 50 meter bagi menstabilkan keadaan tanah dalam kadar segera,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Banjir: KDEBWM bersih longkang, jalan di Taman Buana

SHAH ALAM, 8 MAC: KDEB Waste Management (KDEBWM) memaklumkan pihaknya sedang menjalankan operasi pembersihan longkang, jalan raya dan kegiatan mengutip sampah akibat banjir di sekitar Taman Buana, Petaling Jaya, hari ini.

Agensi itu memaklumkan operasi berkenaan turut disertai Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi membantu menyelesaikan masalah di kawasan berkenaan.

“Operasi hari ini lebih tertumpu kepada kegiatan membersihkan jalan raya, longkang dan sampah sarap yang dibawa arus banjir, selain mengutip sampah pukal yang dibuang oleh penduduk,” katanya di Facebook.

Sehingga jam 11 pagi tadi, seramai 1,215 mangsa banjir ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri ini.

Sementara itu, KDEBWM boleh dihubungi di talian 1-800-88-2824 atau muat turun Aplikasi iClean Selangor di play store atau google play bagi aduan kutipan sisa domestik dan pembersihan awam di Selangor.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Bazar Ramadan: Peniaga MBSJ wajib sedia e-dompet, cegah penularan wabak

PUCHONG, 8 MAC : Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mewajibkan peniaga bazar Ramadan di bawah pentadbirannya menggunakan transaksi tanpa tunai sepenuhnya.

Datuk Bandar Dato’ Johary Anuar berkata penggunaan e-dompet itu bertujuan mengurangkan sentuhan dan mengekang penularan wabak Covid-19.

“Pihak MBSJ akan membuat semakan dan pemantauan bagi memastikan semua peniaga menyediakan kemudahan e-dompet di gerai masing-masing.

“Usaha ini juga diharap agar lebih ramai pengunjung bazar dapat mempraktikkan amalan tanpa tunai di samping menjadikan kaedah tersebut sebagai pembayaran utama di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Karnival Bazar Ramadan MBSJ 2022 di Dewan Serbaguna MBSJ Puchong Indah di sini hari ini.

Menurutnya, semua peniaga juga diwajib mempamerkan jenis saluran e-dompet yang boleh diguna oleh pelanggan di gerai masing-masing.

Beliau berkata MBSJ turut bekerjasama dengan rakan sinergi bagi menjayakan kaedah tanpa tunai itu antaranya Maybank Berhad, AmBank Islamic Berhad, Touch n Go dan Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec).

Tahun ini, seramai 764 peniaga di 16 lokasi bazar Ramadan membabitkan zon Subang Jaya, Puchong, Kinrara, Serdang dan Seri Kembangan.

Pada 26 November tahun lepas, Dato’ Menteri Besar berkata Selangor akan melancarkan perkhidmatan e-dompet pada tahun ini bagi mewujudkan komuniti nirtunai (tanpa tunai).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor e-Wallet Sdn Bhd ditubuhkan untuk menjalankan usahasama dengan syarikat e-dompet sedia ada.

Categories
PBT SELANGOR

MBSJ sedia 16 lokasi, lulus permohonan 764 peniaga bazar Ramadan

PUCHONG, 8 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) meluluskan permohonan 764 peniaga bazar Ramadan tahun ini.

Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar berkata sebanyak 16 lokasi bazar Ramadan disediakan membabitkan zon Subang Jaya, Puchong, Kinrara, Serdang dan Seri Kembangan.

“Berlaku peningkatan ketara pada tahun ini berbanding tahun lalu dengan hanya sembilan lokasi bazar membabitkan 421 peniaga.

“Alhamdulillah tahun ini kita menerima permintaan yang tinggi dan semua bazar ini juga diuruskan sepenuhnya MBSJ tanpa melantik mana-mana badan penganjur atau pihak ketiga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Karnival Bazar Ramadan MBSJ 2022 di Dewan Serbaguna MBSJ Puchong Indah di sini hari ini.

Johary berkata karnival itu dianjurkan sehingga Khamis ini bertujuan memberi taklimat kepada peniaga bazar berhubung pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) termasuk pendedahan urus niaga tanpa tunai.

“Pelbagai pengisian diadakan sepanjang tiga hari antaranya cara kendalian makanan terbaik dan efektif, amalan kitar semula serta cara mengurus sisa pepejal,” katanya.

Menurutnya, pengurusan bazar Ramadan MBSJ tahun ini turut mendapat kerjasama lebih 10 rakan penaja antaranya syarikat Mamee Double Decker (M) Sdn Bhd, Yayasan Hijrah Selangor, Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) dan Maybank Berhad.

Categories
PBT SELANGOR

755 mangsa banjir di Subang Jaya berlindung di tujuh pusat pemindahan

SHAH ALAM, 8 MAC : Seramai 755 mangsa banjir di Subang Jaya dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pagi tadi, kata Datuk Bandar.

Dato’ Johary Anuar berkata jumlah itu terdiri 187 keluarga dari Kampung Bersatu, Kampung Baru Sri Puchong, Kampung Sri Andalas, Kampung Tengah, Kampung Kenangan dan Kampung Sri Langkas

Menurutnya, PPS dibuka adalah Dewan Camelia Sek 10 Putra Heights, Dewan Kg Seri Aman, Dewan Puchong Jaya, Dewan Puchong Utama, Dewan Batu 3, Shah Alam, Masjid Putra Height dan Masjid Nur Huda

“Kesedaran penduduk dilihat bertambah baik memandangkan mereka sedia berpindah ke PPS lebih cepat mungkin kerana kesan trauma kejadian banjir Disember lalu memberi pengajaran.

“Namun, kita sedia maklum air mulai surut pagi tadi dan kebanyakan penduduk sudah mula pulang ke kediaman masing-masing untuk mencuci rumah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Karnival Bazar Ramadan MBSJ 2022 di Dewan Serbaguna MBSJ Puchong Indah di sini hari ini.

Johari menambah pihaknya akan terus membuka PPS itu sehingga esok sebagai persediaan jika berlaku lagi kejadian bencana bah dan memberi perlindungan kepada mangsa terlibat.

“Kita turut membeli tiga bot tambahan untuk persiapan memindahkan mangsa banjir..kita akan menambah ia (bot) jika ada keperluan pada masa akan datang,” katanya.

Hujan lebat luar biasa kira-kira jam 3 petang semalam menyebabkan banyak kawasan di Kuala Lumpur Selangor dinaiki air.

Seramai 1,215 mangsa banjir ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Selangor setakat 11 pagi tadi.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

1,215 mangsa banjir di Selangor dipindah ke sembilan pusat pemindahan

SHAH ALAM, 8 MAC: Seramai 1,215 mangsa banjir ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri ini setakat 11 pagi tadi.

Jumlah itu menyaksikan peningkatan 93 orang berbanding sebelumnya, 1,122 mangsa yang menduduki pusat berkaitan.

Dato’ Menteri Besar menerusi Facebook memaklumkan mereka adalah terdiri daripada 298 keluarga.

“Alhamdulillah di kebanyakan kawasan terutama di Puchong, banjir telah surut awal pagi ini (tadi),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Banjir kilat dilaporkan melanda beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur, berdasarkan beberapa video yang tular di media sosial.

Perkara itu berlaku selepas hujan lebat sejak 3 petang semalam dan antara kawasan terjejas di negeri itu ialah Bandar Baru Sungai Buloh, Kampung Gombak Batu Arang, Kampung Melayu Kundang dan Kampung Melayu Sungai Serai, Batu Arang.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 1,000 mangsa banjir dipindah ke sembilan pusat pemindahan

SHAH ALAM, 8 MAC: Seramai 1,122 mangsa banjir ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri ini setakat jam 8 pagi tadi.

Dato’ Menteri Besar memaklumkan jumlah itu terdiri daripada 263 keluarga.

“Agensi pengurusan bencana terus memantau keadaan dan akan membantu proses pemindahan mangsa,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter.

Banjir kilat dilaporkan melanda beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur, berdasarkan beberapa video yang tular di media sosial.

Perkara itu berlaku selepas hujan lebat sejak 3 petang semalam dan antara kawasan terjejas di negeri itu ialah Bandar Baru Sungai Buloh, Kampung Gombak Batu Arang, Kampung Melayu Kundang dan Kampung Melayu Sungai Serai, Batu Arang.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Skim air percuma Selangor masih dibuka, pengguna digalak memohon

SHAH ALAM, 8 MAC: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyeru orang ramai memohon Skim Air Darul Ehsan bagi menikmati air percuma jika belum berbuat demikian.

Agensi berkata pendaftaran untuk skim air percuma sebanyak 20 meter padu itu masih terbuka kepada penduduk negeri ini yang layak.

“Pastikan anda memenuhi terma dan syarat ditetapkan. Pendaftaran Skim Air Darul Ehsan terbuka sehingga 31 Disember 2024,” katanya di Facebook.

Maklumat lanjut boleh layari https://www.airselangor.com/residen…/skim-air-darul-ehsan/

Antara syarat kelayakan adalah pemohon mestilah warganegara Malaysia dan menetap di Selangor dengan pendapatan isi rumah RM4,000 dan ke bawah.

Premis kediaman pula mestilah jenis meter individu dan pemohon hanya layak memohon untuk satu akaun sahaja.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Enam daerah di Selangor diramal ribut petir, hujan hingga 10 pagi

SHAH ALAM, 8 MAC: Enam daerah di negeri ini dijangka mengalami ribut petir dan hujan lebat sehingga jam 10 pagi ini.

Menerusi Twitter Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan enam daerah berkenaan ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat dan Sepang.

Keadaan sama juga diramal berlaku di hampir semua kawasan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka dan Labuan.

Manakala di Kedah meliputi Langkawi, Perak (Manjung, Bagan Datuk dan Hilir Perak); Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh), Terengganu (Besut dan Setiu), Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson dan Rembau) serta Johor (Tangkak).

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” menurut jabatan itu.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

300 mangsa banjir Taman Medan ditempatkan di dua pusat pemindahan

SHAH ALAM, 8 MAC: Seramai 300 mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) malam tadi.

Ahli Dewan Negerinya Syamsul Firdaus Mohamed Supri berkata jumlah itu membabitkan penduduk di kawasan PJS 1, PJS 2C/10 dan PJS 3.

“Jumlah yang terjejas mungkin ramai tetapi tiada angka rasmi diperoleh setakat ini kerana kebiasaannya banjir di Taman Medan cepat surut.

“Semua mangsa kini ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan PJS 2C/6 dan Dewan PJS 1/35,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya mengambil langkah segera dengan menyediakan makanan kepada mangsa banjir di PPS.

“Sumbangan makanan masak disediakan dan diagihkan kepada 300 mangsa,” katanya.

Banjir kilat dilaporkan melanda beberapa kawasan di Selangor selepas hujan lebat sejak 3 petang semalam.

Antara kawasan terjejas di negeri ini ialah Bandar Baru Sungai Buloh, Kampung Gombak Batu Arang, Kampung Melayu Kundang dan Kampung Melayu Sungai Serai, Batu Arang.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

26 kawasan dalam lima daerah di Selangor terjejas banjir

SHAH ALAM, 7 MAC: Sebanyak 26 kawasan dalam lima daerah di negeri ini dilapor terjejas akibat banjir setakat 9 malam tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan daerah yang terlibat ialah Gombak, Hulu Langat, Petaling, Kuala Selangor dan Sepang.

Berdasarkan perkongsian di Facebook lima kawasan yang terjejas di Gombak ialah Taman Rahmat Jaya, Kampung Melayu Sri Kundang Batu Arang, sekitar pusat kusta, kawasan perindustrian SB Jaya dan sekitar Kampung Melayu Sri Kundang.

Di Hulu Langat pula meliputi sembilan lokasi iaitu Kampung Rinching Hulu, Kampung Sungai Lui, Taman Lestari, Kampung Batu 17, Desa Mahkota Sungai Kembung Hilir, Kampung Orang Asli Paya Lebar, Kampung Sungai Kantan, Kampung Desa Mahkota dan Kampung Bangi Lama.

Manakala enam kawasan di Petaling pula Jalan 2/1 dan Jalan 2/2 Bandar Baru Sungai Buloh, Taman Kinrara, Kinrara Court, Taman Buana, USJ 1 dan Kampung Sri Puchong.

Nadma juga memaklumkan tiga kawasan terjejas di Kuala Selangor ialah Kampung Merbau Indah, Kampung Sri Sentosa dan Kampung Sri Aman.

Manakala tiga kawasan di Sepang pula Taman Murni, Jalan Tok Dagang dan KOA Batu 28.