Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jualan ayam, telur murah di empat DUN hujung minggu ini

SHAH ALAM, 10 MAC: Orang ramai boleh mendapatkan bekalan barangan basah dengan harga lebih murah melalui Jualan Prihatin Rakyat di empat pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) hujung minggu ini.

Lokasi terlibat meliputi pusat khidmat masyarakat Pandan Indah dan Teratai pada 12 Mac manakala DUN Sungai Tua dan Gombak Setia pada Ahad.

Produk ditawarkan ialah ayam standard berharga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 perkilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).

“Jom ramai-ramai kita beli ayam, daging, telur ayam dan ikan pada harga yang sangat murah di sana,” menurut Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Facebook.

Sebelum ini, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim dilaporkan menjangka program tersebut diadakan di 64 kawasan seluruh negeri bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Jelasnya, inisiatif pada setiap hujung minggu akan berlangsung sehingga Hari Raya Aidilfitri tahun ini dengan beberapa barang keperluan harian lain ditambah jika terus mendapat sambutan.

Sebanyak 10,000 ayam, 3,100kg daging segar, 6,200kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B turut disasar untuk dijual sepanjang program berkenaan.

Foto Facebook Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor – PKPS

 

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS serah bakul makanan, bantu mangsa banjir di Hulu Langat

SHAH ALAM, 10 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan bakul makanan kepada 48 keluarga di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat yang terjejas banjir pada Selasa.

Agensi memaklumkan bantuan diberikan semalam di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selain melawat mangsa di rumah.

“Belum sempat lagi hendak bernafas lega, sekali lagi penduduk Kampung Sungai Serai, Hulu Langat diuji dengan banjir.

“Alhamdulillah hasil zakat yang ditunaikan, LZS dapat menyumbangkan bantuan dengan pantas serta meringankan beban mangsa banjir yang berlaku buat kali kedua dalam tempoh enam bulan,” kata agensi di Facebook hari ini.

Pada Disember LZS mengumumkan bantuan RM600 kepada mangsa banjir negeri ini termasuk bukan asnaf.

Sebanyak RM10,000 turut diagihkan kepada ketua operasi agihan daerah sebagai bantuan kecemasan selain RM250,000 bagi sumbangan makanan kering dan barangan keperluan asas.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EXCO NASIONAL SELANGOR

MBI agih 3,300 kain pelikat, bantu keluarga peserta sunat perdana

SHAH ALAM, 9 MAC: Pemerbadanan Menteri Besar atau MBI menyumbang 3,300 kain pelikat kepada peserta program Sunathon Perdana Selangor 2022.

EXCO pembangunan luar bandar berkata inisiatif itu sangat dihargai kerana ia meringankan beban keluarga peserta dalam menyediakan keperluan berkhatan.

“Dalam masa sama setiap daerah juga menyediakan buah tangan kepada peserta seperti coklat. Ia dapat menghilangkan rasa gementar dan memberi kegembiraan kepada peserta.

“Ada kanak-kanak berusia lima tahun mahu menyertai program ini. Jadi dengan coklat ini mereka tidak akan memikirkan kesakitan,” kata Borhan Aman Shah kepada Selangorkini.

Beliau berkata penganjuran program itu turut mendapat kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di setiap daerah.

“Bomba menggunakan peralatan mereka menyiram semua peserta sebagai gimik program ini,” katanya.

Program membabitkan peruntukan RM500,000 bermula sejak 27 Februari hingga 13 Mac itu memberi manfaat kepada kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah atau anak yatim kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

Categories
ADN SELANGOR

150 penduduk Seri Setia sertai acara berbasikal TTDI Jaya-Bukit Jelutong

SHAH ALAM, 9 MAC: Pejabat Dewan Undangan Negeri Seri Setia menganjurkan program kayuhan basikal pada Ahad lalu bagi menggalakkan penduduk melakukan aktiviti bersenam.

Wakil rakyat Halimey Abu Bakar berkata program Fun Ride Seri Setia itu berjaya menarik 150 penyertaan untuk berkayuh sejauh 23 kilometer mulai TTDI Jaya hingga Bukit Jelutong, dekat sini.

“Jumlah jarak adalah membabitkan laluan pergi dan balik. Peserta terdiri daripada semua lapisan masyarakat berusia antara 18 hingga 73 tahun.

“Secara tidak langsung Fun Ride ini dapat mengeratkan hubungan antara penduduk setempat,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk mengadakan program yang sama tahun depan, susulan sambutan menggalakkan daripada masyarakat di kawasan itu.

“Program ini banyak memberi manfaat kepada peserta terutamanya dalam menjaga kesihatan mereka,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Empat PPS di Petaling masih dibuka kepada mangsa banjir

SHAH ALAM, 9 MAC: Seramai 934 penduduk sekitar Petaling terjejas akibat banjir kilat pada Selasa lalu.

Pegawai daerah Petaling berkata, pihaknya menyediakan empat pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan kesemua mangsa.

“PPS masih dibuka sehingga hari ini walaupun jumlahnya semakin berkurang selepas mereka pulang ke rumah masing-masing.

“Memandangkan keadaan cuaca ketika ini tidak menentu, kita tetap menyediakan PPS selain meminta semua agensi bersiap siaga,” kata Mohd Jusni Hashim kepada Selangorkini.

Hujan lebat pada petang Selasa menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini dinaiki air antaranya Bandar Baru Sungai Buloh, Kampung Gombak Batu Arang, Kampung Melayu Kundang, Kampung Melayu Sungai Serai dan Batu Arang.

Sementara itu, portal bencana Pusat Kawasan Bencana Negara melaporkan setakat jam 8 malam tadi, seramai 241 masih berada di empat PPS di Gombak, Kuala Langat dan Sepang.

Daripada jumlah itu, 82 mangsa berada di Dewan Majlis Perbandaran Selayang, Kampung Melayu Sri Kundang; Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang (48) dan Sekolah Kebangsaan Kota Warisan (111).

Categories
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Lebih 22,000 mangsa banjir Petaling layak terima bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 9 MAC: Pejabat daerah dan tanah Petaling berkata lebih 22,000 mangsa banjir daerah itu layak menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Pegawai Daerah Mohd Jusni Hashim berkata daripada jumlah itu hanya 500 mangsa masih belum menerima wang tunai RM1,000 dana BSB.

Katanya mereka boleh mendapatkan sumbangan BSB itu dengan mengunjungi pejabat daerah dan tanah Petaling.

“Hanya sebilangan kecil iaitu 500 isi rumah yang masih belum menerima BSB kerana mereka tidak hadir pada majlis penyerahan.

“Agihan dibuat menerusi pelbagai program berskala besar, selain penyerahan di kawasan perumahan mangsa,” katanya kepada Selangorkini, hari ini.

Mohd Jusni berkata pihaknya menjangkakan proses agihan BSB itu dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta menerusi BSB bagi membaik pulih prasarana, selain sumbangan wang tunai kepada mangsa dan waris mangsa banjir Disember lalu.

Individu yang layak terbahagi kepada tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta dan mereka yang kekal di rumah.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EXCO NASIONAL SELANGOR

Ibu bapa dipelawa daftar anak sertai acara sunat beramai-ramai di Sepang, Banting

SHAH ALAM, 9 MAC: Lebih 2,500 kanak-kanak dari tujuh daerah menyertai program Sunathon Perdana Selangor 2022 sejak ia dilancarkan pada 27 Februari hingga Ahad lalu.

EXCO pembangunan luar bandar berkata kanak-kanak terbabit adalah dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah selain anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

“Sebelum ini, program yang sama sudah berlangsung di Hulu Selangor, Hulu Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Klang, Gombak dan Petaling.

“Dua lagi sesi akan diadakan hujung minggu ini dan majlis penutup akan dibuat di Dewan Jugra Kuala Langat pada Ahad ini,” kata Borhan Aman Shah kepada Selangorkini.

Beliau berkata lebih 10 doktor bertugas di setiap daerah bagi memastikan program itu berjalan lancar dan terurus.

Dua lokasi terakhir program adalah Dewan Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang pada 12 Mac dan Dewan Sri Jugra, Teluk Datuk, Banting, Kuala Langat pada 13 Mac ini.

Mereka yang berminat boleh memuat turun borang penyertaan di pautan https://drive.google.com/file/d/1Iwf9GmKGSRmJB7WnCwYX0n3QUxSx8W11/view atau mendapatkan borang di balai penghulu.

Kerajaan Selangor menyasarkan 3,300 kanak-kanak menerima manfaat program berkenaan dengan peruntukan RM500,000 bagi meringankan beban golongan tertentu dalam menjalani ibadat wajib.

Program anjuran bersama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI itu dianjurkan secara percuma dan terbuka kepada kanak-kanak di seluruh kampung tradisi mulai 27 Februari hingga 13 Mac.

Categories
PBT SELANGOR

Baucar RM10 buat pelanggan bawa bekas sendiri ke bazar Ramadan

PUCHONG, 9 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menawarkan baucar bernilai RM10 kepada 1,000 pelanggan yang membawa bekas makanan sendiri ke bazar Ramadan tahun ini.

Tawaran pada setiap Rabu bagi mengurangkan penggunaan plastik dengan ganjaran boleh ditebus di bazar sekitar Subang Jaya, kata Datuk Bandarnya Dato’ Johary Anuar.

“Baucar boleh ditebus di mana-mana gerai di 16 lokasi bazar Ramadan sekitar Subang Jaya dengan syarat menunjukkan bekas makanan yang dibawa.

“Setiap pelanggan boleh menikmati peluang sekali sahaja untuk membeli makanan atau minuman di bazar sepanjang Ramadan,” katanya menambah baucar boleh digunakan sehari selepas menerimanya.

Sementara itu, Johary berkata penggunaan bekas makanan jenis polistirena dan penyedut minuman plastik kekal dilarang bagi mengurangkan pencemaran sekali gus menyokong inisiatif hijau.

Beliau menjelaskan MBSJ turut menyediakan tong kitar semula minyak masak bagi menggalakkan peniaga bazar mengitar semula minyak yang sudah digunakan.

Seramai 764 peniaga mendaftar di bazar Ramadan bawah pentadbiran MSBJ membabitkan zon Subang Jaya, Puchong, Kinrara, Serdang dan Seri Kembangan.

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN diminta jaga kesihatan, elak dijangkiti Covid-19 sebelum sidang dewan

SHAH ALAM, 9 MAC: Wakil rakyat negeri yang membantu kempen pilihan raya Johor diminta menjaga kesihatan sebaiknya sebelum menghadiri persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) Isnin depan.

Speakernya Ng Suee Lim berkata saranan itu bagi memastikan mereka bebas jangkitan Covid-19 sekali gus boleh menyertai perbahasan yang dijadual selama dua minggu sehingga 25 Mac.

“Semua ADN yang berkempen di Johor saya minta anda mengambil langkah berjaga-jaga kerana kita tidak mahu berlaku jangkitan sehingga tidak dapat hadir ke dewan.

“Individu lain termasuk pegawai kerajaan dan media juga diminta melindungi diri dan pastikan kesihatan berada dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi.

Suee Lim berkata semua yang terlibat dalam persidangan itu juga wajib membuat saringan awal selain memaklumkan pemeriksaan kawalan kehormat dan istiadat santapan dibatalkan.

Sebelum ini, media melaporkan semua Ahli Dewan Negeri (ADN) mungkin diwajibkan menjalani ujian Covid-19 setiap hari sepanjang persidangan berlangsung jika jangkitan terus meningkat.

Menurut Suee Lim, arahan saringan harian menggunakan kit ujian pantas (RTK) Antigen itu juga terpakai untuk pegawai dan pengamal media yang bertugas.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Buang sampah haram, pemilik lori dikompaun RM1,000

SHAH ALAM, 9 MAC: Seorang pemilik lori didenda RM1,000 oleh Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) kerana membuang sampah haram berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Serendah bulan lalu.

Yang Dipertuanya Mohd Hasry Nor Mohd berkata tindakan diambil serta-merta berdasarkan gambar dan nombor pendaftaran kenderaan pelaku yang diadukan orang awam.

“Berdasarkan maklumat, lori itu didaftarkan bawah sebuah syarikat dan pemilik didapati membuang sisa makanan di luar tong sampah yang disediakan di kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pemilik lori dikenakan tindakan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 5, Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah (MDHS) 2007.

“Orang ramai dinasihatkan untuk menjaga dan memelihara kebersihan selain bekerjasama menyalur maklumat kepada MPHS supaya aktiviti pembuangan sampah haram dapat dibendung,” kata Mohd Hasry.

Sebarang aduan atau laporan boleh dibuat melalui laman web SISPAA di pautan https://selangor.spab.gov.my/ atau hubungi talian 03-6064 1331.

Categories
PBT SELANGOR

Bayar cukai taksiran, kompaun MBSA di Aeon Shah Alam pada Sabtu

SHAH ALAM, 9 MAC: Orang ramai boleh menyemak dan membayar cukai taksiran serta kompaun di pejabat bergerak Shah Alam On Wheels di parkir terbuka Aeon Shah Alam pada 12 Mac ini.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan kemudahan lain termasuk kaunter aduan, semakan status lesen komposit dan penjaja serta jualan buku pelan setara mulai 11 pagi hingga 5 petang.

Menurut Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya Shahrin Ahmad, platform itu memudahkan orang ramai berurusan pada hujung minggu tanpa perlu ke kaunter.

“Melalui perkhidmatan ini, pihak Majlis berharap dapat memantapkan lagi sistem perkhidmatan MBSA untuk manfaat masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebarang pertanyaan, orang ramai boleh hubungi talian 013-3380551.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPKS tambah 75 lagi tapak bazar Ramadan, mohon hingga 14 Mac

SHAH ALAM, 9 MAC: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) membuka 75 lagi tapak tambahan bazar Ramadan dengan permohonan secara dalam talian mulai hari ini.

Menurut infografik di Facebook rasmi pihak berkuasa tempatan itu, permohonan sehingga 14 Mac boleh dibuat mulai 12 tengah hari melalui pautan https://ip3ks.mpks.gov.my/.

Sebanyak 15 petak disediakan di hadapan Medan Selera Jalan Bomba, Tanjong Karang dengan setiap satu berharga RM250 manakala 60 tapak di Jalan Niaga 1 berhampiran Lotus Kuala Selangor bernilai RM350.

Sebelum ini, MPKS menawarkan 505 tapak bazar dengan harga antara RM250 hingga RM400 di sembilan kawasan seliaannya pada Februari lalu.

Mereka yang berminat dan mempunyai pertanyaan boleh hubungi Jabatan Pelesenan di talian 03-32891439.