Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Seluruh Lembah Klang dijangka ribut petir, hujan lebat hingga 3 pagi

SHAH ALAM, 7 MAC: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di seluruh Selangor sejak petang tadi dijangka berterusan sehingga jam 3 pagi nanti.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan seluruh Lembah Klang termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya turut dijangka mengalami cuaca yang sama.

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya menerusi Facebook.

Selain itu beberapa kawasan di Perak, Pahang dan Negeri Sembilan turut dijangka berdepan fenomena yang sama.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

300 mangsa banjir dipindah ke lapan pusat pemindahan

SHAH ALAM, 7 MAC: Sebanyak lapan pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di negeri ini menempatkan 300 mangsa banjir setakat 8.30 malam tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah mangsa itu terdiri daripada 56 keluarga.

PPS berkenaan ialah Dewan Camelia Seksyen 10, Sekolah Kebangsaan Puchong Indah, Dewan Batu 3, Dewan Kampung Seri Aman, Dewan Puchong Jaya, Dewan MPS Kampung Melayu Sri Kundang, Dewan PJS 2C/6 dan Dewan PJS 1/35.

“Skuad Pantas Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah digerakkan ke Kampung Tengah, Kampung Baru Seri Kembangan, Taman Kinrara 1, Taman Kinrara 4 and Puncak Jalil 8 di Seri Kembangan untuk membantu,” katanya menerusi Twitter.

Banjir kilat dilaporkan melanda beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur, berdasarkan beberapa video yang tular di media sosial.

Perkara itu berlaku selepas hujan lebat sejak 3 petang dan antara kawasan terjejas di negeri itu ialah Bandar Baru Sungai Buloh, Kampung Gombak Batu Arang, Kampung Melayu Kundang dan Kampung Melayu Sungai Serai, Batu Arang.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bilik gerakan bencana MBSJ, MBPJ kini dibuka

SHAH ALAM, 7 MAC: Bilik Gerakan Bencana Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah mula dibuka dan beroperasi 24 jam.

Perkara itu dikongsi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter, sebentar tadi.

“Sebarang aduan dan kecemasan di kawasan MBSJ boleh menghubungi talian tersebut,” katanya.

Warga Subang Jaya mempunyai aduan dan hal kecemasan boleh menghubungi talian 03-8024 7700.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerusi Facebook turut memaklumkan telah membuka pusat penempatan banjir di Dewan PJS 1/35 dan Dewan PJS 2C/6.

Agensi itu berkata penduduk yang terkesan boleh menghubungi talian hotline yang beroperasi 24 jam iaitu 03-7954 2020.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membuka Dewan Serbaguna PJS 2C/6 sebagai pusat penempatan banjir susulan hujan lebat pada 7 Mac 2022. Foto Facebook MBPJ
Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Tujuh negeri termasuk Selangor dijangka alami ribut petir, hujan hingga 10 malam

SHAH ALAM, 7 MAC: Seluruh Selangor dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga jam 10 malam ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan hampir semua kawasan di Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka turut diramal mengalami cuaca yang sama.

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya di Facebook.

Selain itu beberapa kawasan di Kedah, Pahang, Johor dan Sabah turut dijangka berdepan fenomena yang sama.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Seluruh Selangor dijangka alami ribut petir, hujan lebat hingga 7 malam

SHAH ALAM, 7 MAC: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di beberapa negeri termasuk Selangor sehingga 7 malam ini.

Menerusi Twitter, agensi itu memaklumkan keadaan tersebut dijangka berlaku di seluruh daerah di negeri ini.

Seluruh Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka juga diramal mengalami cuaca sama.

Jangkaan turut berlaku di Kedah, Pahang, Johor dan Sabah melibatkan beberapa kawasan.

Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman web www.met.gov.my , media sosial dan memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

Categories
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

PKPS jual bawang merah lebih murah sepanjang jualan prihatin rakyat

SHAH ALAM, 7 MAC: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menawarkan harga bawang besar lebih murah menerusi Jualan Ehsan Prihatin Rakyat.

Dalam kenyataan di Facebook, agensi itu berkata harga yang ditawarkan adalah RM2.80 sekilogram (kg) atau RM24 bagi seguni bawang besar seberat 10 kg.

“Bawang besar pada harga murah ini boleh diperoleh di Wisma PKPS di sini dan program Jualan Lori Ehsan PKPS di kawasan ditetapkan,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim dilaporkan berkata program Jualan Prihatin Rakyat akan menawarkan empat barang keperluan harian iaitu ayam, telur, daging dan ikan pada harga murah mulai 27 Februari hingga menjelang Aidilfitri.

Katanya, program pada setiap Sabtu dan Ahad menerusi kerjasama Selangor Agro Market dan PKPS adalah kesinambungan program intervensi harga ayam dan telur yang dilancar Dato’ Menteri Besar pada bulan lalu.

Menurut Izham pihaknya menyasarkan sebanyak 10,000 ayam, 3,100 kilogram (kg) daging segar, 6,200 kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B dijual sepanjang program berkenaan.

Beliau turut mempertimbangkan untuk menambah beberapa barangan keperluan harian lain seperti minyak masak jika program jualan murah mendapat sambutan.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Amaran ribut petir, hujan di Selangor dan negeri lain hingga 5 petang

SHAH ALAM, 7 MAC: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Selangor sehingga jam 5 petang ini.

Agensi itu dalam pengumuman di Facebook berkata, daerah terbabit di Selangor adalah Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.

Amaran yang sama turut dikeluarkan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putajaya; Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah dan Rembau di Negeri Sembilan serta Alor Gajah, Melaka.

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my, media sosial dan memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

 

 

Categories
ADN AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Jom cari kerja di Subang Jaya pada 13 Mac ini

SHAH ALAM, 6 MAC: Warga  Selangor, khususnya penduduk sekitar Subang Jaya yang sedang mencari pekerjaan dipelawa menyertai program Jom Cari Kerja pada 13 Mac depan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya berkata program anjuran bersama pihaknya dan Selangor Kerjaya itu akan diadakan di Pusat Komuniti JKP Zon 4 mulai jam 9 pagi hingga 5 petang.

“Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada orang ramai untuk menghadiri temuduga terbuka, anda juga belajar menulis resume yang betul daripada pakar bidang sumber manusia,” kata Michelle Ng Mei Sze.

Berdasarkan info grafik di Facebook, mereka yang berminat boleh mendaftar menerusi kod QR yang disediakan.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi 011-5550 2881 atau email [email protected]

Selangor Kerjaya adalah inisiatif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi memacu ekonomi rakyat melalui padanan kerjaya bersesuaian dan berkesan.

Dilancarkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 26 Januari 2021, Selangor Kerjaya adalah program pengurusan bakat dan tenaga kerja untuk rakyat di negeri ini yang bakal memanfaatkan 10,000 individu yang sedang mencari pekerjaan di Selangor.

Categories
ADN AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

ADN Permatang agih 300 pek makanan asas, bantu penduduk dikuarantin

SHAH ALAM, 7 MAC : Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang menyediakan sebanyak 300 pek makanan asas kepada keluarga yang sedang menjalani kuarantin di rumah.

Wakil rakyatnya Rozana Zainal Abidin berkata daripada jumlah itu 150 sudah diagihkan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Kita mengambil inisiatif ini selepas mengambil kira keadaan penduduk atau keluarga dijangkiti Covid-19 yang perlu menjalani kuarantin diri, menyebabkan mereka sukar mendapatkan barang keperluan asas.

“Jadi, dengan cara ini saya harap ia dapat meringankan beban mereka sepanjang tempoh kuarantin,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata, inisiatif itu akan diteruskan dari semasa ke semasa berdasarkan laporan diterima daripada pihak MPKK dan ketua komuniti kawasan masing-masing.

Selain itu, individu yang sedang dalam tempoh kuarantin dan memerlukan bantuan tersebut juga boleh menghubungi talian Pusat Khidmat Masyarakat DUN Permatang di 03-3281 2069 atau 010-557 3736.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Anak Selangor dipelawa mohon hadiah masuk universiti RM1,000

SHAH ALAM, 7 MAC: Anak Selangor dalam kalangan keluarga berpendapatan RM5,000 ke bawah dipelawa memohon hadiah pengajian institut pengajian tinggi (HPIPT) berjumlah RM1,000 mulai 1 Mac hingga 31 Mac ini.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor memaklumkan pemohon mestilah pelajar tahun pertama yang sedang mengikuti pengajian sepenuh masa peringkat ijazah sarjana muda, diploma dan sijil kemahiran tahap empat di IPT awam serta swasta.

“Sila klik http://hpipt.selangor.gov.my/ untuk permohonan.

“Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi urus setia HPIPT di talian 03-55447385 atau 03-55215523,” katanya di Facebook.

Berdasarkan info grafik pemohon mesti warga Malaysia yang lahir di Selangor atau bermastautin di Selangor sekurang-kurangnya selama 11 tahun.

Inisiatif HPIPT dilaksanakan sejak 2008 untuk meringankan beban pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah yang menerima tawaran melanjutkan pengajian di IPT awam dan swasta.

Permohonan hadiah pengajian institut pengajian tinggi dibuka sehingga 31 Mac ini.
Categories
AGENSI SELANGOR

Pekawanis mahu bantu usahawan wanita kuasai sektor makanan halal

SHAH ALAM, 6 MAC: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) mahu membantu memperluas pembabitan wanita dalam perniagaan, khususnya dalam pengeluaran produk halal.

Menurut Ketua Biro Kelestarian dan Kesihatannya Hazlina Abd Razak Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) membuka pelbagai peluang perniagaan kepada usahawan wanita.

“Persidangan ini membolehkan ramai usahawan bertemu dan membuka lebih banyak peluang perniagaan menerusi padanan perniagaan iaitu salah satu komponen acara ini.

“Lagipun, perniagaan dan wanita memang tidak dapat dipisahkan,” katanya ketika ditemui selepas program lawatan ke gerai pameran Selhac di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini semalam.

Hazlina yang juga Pengerusi Pekawanis Dewan Undangan Negeri (DUN) Sg Kandis berkata pihaknya juga akan membawa isu memperkasa wanita dalam sektor perniagaan pada mesyuarat Pekawanis akan datang.

“Hasil kunjungan ke gerai pameran kita dapati ramai usahawan terlibat adalah golongan wanita yang baru menceburi bidang perniagaan.

“Jadi, saya akan bawa isu ini untuk dibincangkan supaya bantuan dapat disalurkan sama ada menerusi geran atau dana kepada mereka yang memerlukan, selain pelbagai kemudahan lain yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Pada kunjungan itu juga, Hazlina yang diiringi ahli Pusat Wanita Berdaya (PWB) turut mengedarkan jambangan bunga kepada pempamer sempena sambutan Hari Wanita pada 8 Mac ini.

Hazlina menambah lawatan itu adalah mewakili Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhammad dan bertujuan menceriakan kaum wanita yang terbabit dengan persidangan itu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Selhac: Kerajaan Negeri sasar penyertaan sekali ganda selepas ini

SHAH ALAM, 7 MAC: Kerajaan Negeri menyasarkan penyertaan sekali ganda dalam Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) pada sesi penganjuran akan datang.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata sasaran itu adalah berdasarkan maklum balas yang diterima pempamer sepanjang penganjuran persidangan berkenaan.

“Ia berakhir dengan cemerlang dan sambutan yang diterima daripada pengunjung amat hebat dari pengunjung, malah pempamer menunjukkan komitmen yang tinggi.

“Saya berharap Selhac ini dapat terus diperluaskan pada masa akan datang. Sebahagian besar pempamer juga menyatakan minat untuk turut serta dalam penganjuran selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penangguhan Selhac di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini semalam.

Pemenang pilihan juri gerai terbaik bergambar pada Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 6 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Program julung kali anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Halal International Selangor (HIS) itu menampilkan tiga komponen iaitu forum, ekspo dan padanan perniagaan.

Selhac berlangsung dari Jumaat hingga Ahad mulai jam 10 pagi hingga 9.30 malam di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Sebanyak 100 pempamer daripada 40 syarikat menyertai Selhac dan ia dibahagikan kepada enam kluster iaitu makanan, farmasi, kecantikan, pelancongan, fesyen dan bahan halal.