Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPKS kompaun empat pemilik lepas ternakan di kawasan larangan

SHAH ALAM, 29 JAN: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengenakan kompaun kepada empat pemilik haiwan kerana melepaskan ternakan di kawasan larangan dalam operasi pemantauan di sekitar kawasan Bestari Jaya dan Jeram pada Khamis.

Dalam operasi sama, agensi itu turut menangkap lembu dan kambing masing-masing dua ekor dalam operasi tersebut.

“Operasi dijalankan bertujuan mencegah haiwan peliharaan tidak berkeliaran di kawasan awam terutama kawasan perumahan selain untuk keselamatan pengguna jalan raya.

“Kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 4(4) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971. Semua haiwan itu dibawa ke Pusat Kurungan Haiwan MPKS untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi Facebook.

MPKS itu turut mengingatkan kepada pemilik ternakan bahawa agensi itu boleh mengurung mana-mana lembu atau kerbau yang ditangkap di bawah seksyen sama.

“Seksyen 13 Enakmen yang sama memberikan kuasa kepada pihak Majlis untuk menjalankan pendakwaan di mahkamah ke atas mana-mana pemunya, penjaga kerana melanggar mana-mana peruntukan di dalam enakmen tersebut,” katanya.

Orang ramai yang ingin membuat aduan boleh menghubungi talian 0332891439 atau layari laman sesawang di selangor.spab.gov.my.

 

Categories
PBT SELANGOR

Majlis Perbandaran Selayang yakin capai status bandar raya 2030

GOMBAK, 28 JAN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yakin mampu mencapai status bandaraya menjelang 2030, kata yang dipertuanya.

Mohd Yazid Saidi berkata misi diletakkan untuk membawa pihak berkuasa tempatan (PBT) itu ke tahap yang lebih tinggi.

Menurutnya, harapan penduduk Selayang semakin tinggi sekali gus menuntut perkhidmatan lebih cekap, efisien dan proaktif.

“Jika kita semua bersama berganding bahu, insya-Allah saya percaya aspirasi untuk menjadikan Selayang sebuah bandaraya berdaya huni, selamat dan bersih dapat dicapai,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis bacaan yasin dan doa selamat sempena sambutan ulang tahun ke-25 MPS di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves dekat sini semalam.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Mohd Yazid Sairi (tiga, kanan) bersama jemaah pada majlis bacaan Surah Yasin dan doa selamat sempena Sambutan 25 Tahun Jubli Perak MPS di Masjid Al-Amaniah Batu Caves, Gombak pada 27 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Dalam majlis itu, Mohd Yazid turut menyumbang RM3,000 kepada pusat ibadat terbabit bagi tujuan khairat masjid.

Beliau menambah PBT itu melalui banyak perubahan selain rintangan sejak lebih dua dekad lalu yang menjadikan MPS sebuah perbandaran matang dan makmur.

“Saya menghargai sumbangan dan khidmat bakti warga kerja MPS dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di Selayang,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA tangkap 21 anjing liar, atasi kacau ganggu penduduk Elmina

SHAH ALAM, 27 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menangkap 21 ekor anjing liar sejak tahun lalu bagi mengelak kacau ganggu sekitar perumahan Elmina Garden dekat sini.

Sebanyak 15 tangkapan dibuat pada 2021 manakala enam lagi sepanjang bulan ini, kata Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya Shahrin Ahmad.

“Kesemua tangkapan haiwan liar dibuat hasil operasi Jabatan Kesihatan Persekitaran MBSA,” katanya.

Shahrin berkata MBSA juga menyelaras operasi untuk menyelesaikan isu gagak yang mengganggu penduduk selain mengatasi longgokan sampah bahan binaan dan sisa pukal.

“Usahasama dibuat dengan Pejabat Daerah dan Tanah Petaling untuk mengenal pasti status tanah memandangkan sampah berkaitan bawah rintis Tenaga Nasional Berhad,” katanya.

Berhubung isu landskap jalan utama yang didakwa menghalang pandangan pemandu jalan raya, beliau menjelaskan perkara itu dirujuk kepada Sime Darby selaku pemaju kawasan terbabit.

Pada 25 Januari, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han bersama MBSA membuat lawatan tapak untuk meninjau beberapa masalah di perumahan tersebut.

Permasalahan itu turut mendapat perhatian Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Veterinar.

Categories
PBT SELANGOR

MPKj tarik 75 kenderaan tersadai, atasi isu lambakan

SHAH ALAM, 26 JAN: Sebanyak 75 kenderaan buruk dan tersadai di kawasan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) ditarik ke depoh bermula 4 Januari sehingga semalam.

Yang dipertuanya Najmuddin Jemain berkata tindakan penundaan dengan kerjasama Car Medic Sdn Bhd menumpukan kawasan sekitar Kajang dan Semenyih.

“Sebanyak lima jentera tunda digunakan bagi melancarkan oeperasi mengangkut kenderaan terbiar atau tersadai ini.

“Pihak operator Car Medic juga menggunakan kren tadano bagi mengalih kenderaan pelbagai guna yang ditinggalkan pengusaha bengkel membaiki kenderaan Bandar Rinching,” katanya dalam mesyuarat MPKj hari ini.

Pada 22 November tahun lepas Najmuddin berkata MPKj menjadi pihak berkuasa tempatan pertama dalam negara menggunakan kaedah kitar semula kenderaan buruk bersifat mesra alam.

Beliau berkata kaedah End Live Vehicle (ELV) digunakan bagi mengatasi lambakan kenderaan buruk sekitar daerah terbabit.

Menurutnya kerjasama pintar dijalin bersama Car Medic Sdn Bhd yang akan menunda semua kenderaan buruk ke depoh simpanan di Bandar Baru Bangi sebelum dibawa semula ke depoh syarikat berkenaan untuk proses ELV.

 

 

 

Categories
PBT SELANGOR

Tanah mendap: Cerucuk besi dipasang, elak runtuhan susulan berlaku

SHAH ALAM, 26 JAN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memasang cerucuk kepingan 12 meter secara sementara sepanjang 150 meter di lokasi tanah mendap Jalan LP 1A/2,  Lestari Perdana, Seri Kembangan bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat MBSJ Azfarizal Abdul Rashid berkata kerja pemasangan itu mula dilaksana jam 1 pagi tadi dan dijangka selesai dalam tempoh seminggu.

“MBSJ sedang mengenal pasti punca kegagalan struktur tebing dan akan berbincang bersama agensi berkaitan dalam masa terdekat.

“Kerja pembaikan menyeluruh di tebing ini pula dijangka siap dalam tempoh tiga bulan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebanyak 17 premis komersial di kawasan terbabit diarah menghentikan operasi sementara waktu selain tidak berada di lokasi runtuhan sehingga disahkan selamat.

“Pihak polis, bomba dan pasukan Pantas MBSJ turut mengawal 24 jam lokasi tersebut sejak semalam bagi mengenal pasti jika ada sebarang pergerakan tanah yang boleh menyebabkan kejadian berulang,” katanya.

Petang semalam, sebanyak lima kenderaan terjunam ke longkang besar susulan mendapan tanah di hadapan bengkel kereta di Lestari Perdana.

Insiden sama pernah berlaku pada 2017, iaitu kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.

 

Categories
PBT SELANGOR

MPKj sedia pelbagai program, inisiatif sempena sambutan Jubli Perak

SHAH ALAM, 26 JAN: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) yang kini mencapai usia 25 tahun akan mengadakan program sempena sambutan Jubli Perak sepanjang tahun ini.

Yang dipertuanya berkata antara program yang dirancang adalah Perasmian Kaunter Bersepadu dan Majlis Pelancaran Sambutan Jubli Perak yang akan disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato Seri Amirudin Shari pada 28 Januari ini.

“Antara inisiatif yang dirancang termasuk Baucar Khas Bayaran Cukai Taksiran RM10 untuk pembayaran setahun melalui sistem e-bayar MPKj bagi tahun 2022 untuk 5,000 akaun pembayar cukai taksiran terawal Januari 2022 dan 5,000 akaun terawal pada Februari.

“Tujuan MPKj melaksanakan insentif ini sebagai penghargaan kepada pembayar cukai, menggalakkan pembayar cukai membuat bayaran melalui e-bayar dan menggalakkan pembayar cukai mengemas kini maklumat pegangan dan maklumat pemilik,” kata Najmuddin Jemain.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Majlis Bil 1/2022, MPKj pada hari ini.

Najmuddin berkata pihaknya juga memberi tawaran kompaun RM10 bagi kesalahan meletak kenderaan sehingga 28 Februari.

“Kempen ini adalah terhad kepada pesalah-pesalah bagi kesalahan yang diperuntukkan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) (Majlis Perbandaran Kajang) 2007,” katanya.

Inisiatif lain yang ditawarkan adalah potongan 25 peratus bagi kos sewaan dewan komuniti, bayaran sewaan Disember melibatkan premis milik MPKj (50 peratus) dan bayaran sewa premis milik MPKj untuk enam bulan ke hadapan (25 peratus).

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Pengeluaran sisa bah selesai, MPKj bersihkan tiga stesen pemindahan

SHAH ALAM, 26 JAN: Tiga stesen pemindahan sementara (TS) bagi pengurusan sampah pukal bawah seliaan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dibersihkan sepenuhnya kelmarin.

Pembersihan di stesen Sungai Lui, Batu 14 dan Taman Sri Nanding dibuat setelah pengeluaran sisa banjir ke Tapak Pelupusan Sisa Lengai Misi Restu selesai, kata yang dipertuanya.

“MPKj juga membaik pulih tapak TS Taman Sri Nanding melibatkan pembaikan tanah, pembersihan longkang di kawasan sekitar dan membaiki pagar yang rosak,” kata Najmuddin Jemain pada mesyuarat bulanan secara maya hari ini.

Beliau berkata sebanyak RM294,000 diperuntuk bagi kerja kecemasan pembersihan pascabanjir manakala RM200,000 lagi untuk pelupusan sampah serta pemulihan tanah di Taman Sri Nanding.

Sementara pelupusan 21,928.23 tan sisa pukal banjir di Misi Restu Sdn Bhd bersama KDEB Waste Management pula melibatkan kos sebanyak RM566,573.13, katanya.

Kerajaan Selangor membuka 11 stesen pemindahan sampah pukal di empat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mempercepat kerja pembersihan pascabanjir pada Disember tahun lalu.

Selain MPKj, PBT berkenaan ialah Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Bandaraya Subang Jaya.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Tebing runtuh, kerja pengukuhan dibuat serta-merta malam tadi (VIDEO)

SHAH ALAM, 26 JAN: Kerja pengukuhan tebing yang runtuh di Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana, Serdang dilaksana serta-merta oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) malam tadi.

Timbalan pengarah Jabatan Korporatnya Azfarizal Abdul Rashid berkata punca runtuhan sedang dikenal pasti selain merangka pembaikan segera bagi mengelak insiden sama berulang.

“Tebing runtuh sepanjang 90 meter dengan ketinggian sembilan meter melibatkan parkir kereta dan sebahagian jalan. Lima kenderaan terkesan tetapi tiada kemalangan jiwa,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sebanyak 17 premis komersial turut diarah menghentikan operasi sementara waktu selain tidak berada di lokasi runtuhan sehingga disahkan selamat.

“Kenderaan di kawasan itu juga diminta untuk dialihkan segera ke tempat lebih selamat,” kata Azfarizal.

Petang semalam, sebanyak lima kenderaan terjunam lima hingga enam meter dalam longkang besar di Lestari Perdana susulan runtuhan tebing akibat hujan lebat.

Insiden di hadapan bengkel kereta yang jaraknya tujuh meter dari lokasi kejadian pernah berlaku pada 2017.

Categories
PBT SELANGOR

MPKS laksana parkir berbayar di lima lokasi baharu mulai Mac

SHAH ALAM, 25 JAN: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) akan melaksanakan sistem tempat letak kenderaan (TLK) berbayar di lima lokasi baharu mulai 1 Mac depan.

Yang Dipertuanya Rahilah Rahmat berkata sistem TLK fasa dua itu membabitkan kawasan Pasir Penambang, Eco Grandeur, Ijok, Kuala Selangor dan Sungai Buloh Sasaran.

“Pelaksanaan sistem TLK bertujuan mengawal aktiviti salah guna tapak parkir dan memastikan perancangan bandar lebih tersusun serta teratur,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau berkata kadar bayaran dikenakan adalah 50 sen sejam manakala waktu operasi bermula 8 pagi hingga 5 petang dari Isnin hingga Jumaat kecuali Sabtu, Ahad dan cuti umum.

Menurutnya, bayaran boleh dibuat melalui sistem dalam talian Smart Selangor Parking atau Flexi Parking manakala pas bulanan diperoleh melalui ejen dilantik.

Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 03-3289 7385 sambungan 30.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBPJ: Jelas cukai taksiran sebelum 28 Februari, elak didenda

SHAH ALAM, 25 JAN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengingatkan pemunya bangunan di kawasan pentadbirannya supaya menjelaskan cukai taksiran penggal pertama sebelum 28 Februari.

Menurut kenyataan unit komunikasi korporatnya tindakan itu perlu bagi mengelakkan mereka dikenakan denda.

“Sehubungan itu MBPJ membuka kaunter setiap Sabtu dan Ahad bermula 9 pagi hingga 3 petang sepanjang Februari ini untuk memudahkan pemunya harta menjelaskan cukai taksiran.

“Pelanggan yang datang ke kaunter dinasihatkan mematuhi syarat operasi tatacara piawai (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Majlis turut menggalakkan pemunya harta membuat bayaran secara dalam talian melalui [email protected] atau aplikasi ecukai@mbpj.

Dalam masa sama majlis turut membuka kaunter Ez-Pay bermula 10 pagi hingga 3 petang di beberapa lokasi bagi memudahkan urusan pembayaran.

Operasi seperti berikut:

1. SD 12/1, Sri Damansara (berhampiran McDonald’s & Stesyen Minyak Petron) pada 5 & 6 Februari
2. SS 24, Taman Megah (berhampiran Pasar Pagi) pada 12 & 13 Februari
3. SD 2/1G (berhadapan Kedai Tayar STH Auto Services Center) pada 19 & 20 Februari
4. PJU 10, Damansara Damai (berhampiran Stesen Minyak Shell & McDonald’s) pada 26 & 27 Februari

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPHS serah alat bantuan mengajar untuk kegunaan kanak-kanak OKU

SHAH ALAM, 25 JAN: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menyerahkan alat bantuan mengajar dan fisioterapi kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kuala Kubu Bharu semalam.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata lapan PDK lain di daerah itu turut menerima alatan sama menerusi Program Anugerah Khas orang kelainan upaya (OKU).

“Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada kanak-kanak istimewa menjalani kehidupan seperti orang biasa selain memberi pengalaman dan ilmu baharu kepada mereka.

“Selain itu, ia turut memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap hak dan tanggungjawab ke atas komuniti yang memerlukan perhatian dan bantuan yang sewajarnya,” katanya menerusi Facebook.

Pada majlis serahan bantuan, Yang Dipertua MPHS Mohd Hasry Nor Mohd turut mendengar taklimat operasi PDK dan beramah mesra dengan anak-anak istimewa.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Prestasi kewangan MBPJ tahun lepas kukuh, berjaya catat lebihan

SHAH ALAM, 25 JAN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) merekodkan prestasi kewangan kukuh pada tahun lalu dengan mencatat lebihan sebanyak RM21.233 juta.

Datuk Bandar berkata pencapaian itu berdasarkan perbandingan dengan cadangan belanjawan defisit iaitu RM18.054 juta selepas jumlah kutipan hasil (RM355.941 juta) yang ditolak dengan jumlah perbelanjaan mengurus (RM268.073 juta) dan perbelanjaan pembangunan (RM66.634 juta).

“Prestasi dan kedudukan kewangan MBPJ masih lagi kukuh dan stabil serta mampu bertahan ketika berdepan kekangan pandemik (Covid-19).

“Berdasarkan usaha strategik dan berterusan sedang dilaksanakan, adalah dijangkakan trend positif ini akan terus kekal sehingga tahun ini,” kata Mohamad Azhan Md Amir.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBPJ Bil. 1/2022 di Ibu Pejabat MBPJ semalam.

Katanya, kawalan perbelanjaan berhemah diunjurkan untuk terus diguna pakai bagi memastikan kedudukan kewangan majlis sentiasa baik dan dapat mendepani unjuran belanjawan defisit pada tahun ini.

Mohamad Azhan menambah, prestasi kutipan keseluruhan hasil MBPJ sehingga 31 Disember tahun lalu juga masih stabil walaupun mencatat RM355.941 juta atau 96.56 peratus berbanding anggaran hasil disemak sebanyak RM368.609 juta.

“MBPJ terus berusaha meningkatkan kutipan hasil seperti memudah dan menggalakkan pembayaran secara dalam talian, serta membuka kaunter bergerak di luar ibu pejabat.

“Selain itu, termasuk kaedah mengurangkan tunggakan dengan melaksanakan operasi bersepadu secara berjadual, sentiasa mengeluarkan notis peringatan mesra bayaran tetap diteruskan dengan kerjasama pelbagai jabatan mengutip hasil,” katanya.