Categories
NASIONAL

Timbang keperluan tubuh pusat pemulihan khas mental ekoran dadah

PASIR MAS, 7 APRIL: Kerajaan akan menimbang keperluan untuk menubuhkan pusat pemulihan khas bagi mereka yang menghidap sakit mental akibat pengambilan dadah sintetik seperti pil kuda dan syabu.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata ia berikutan ramai penagih dadah yang mengalami sakit mental akibat penyalahgunaan dadah jenis itu.

Beliau berkata setakat ini, Pusat Penyembuhan, Rawatan dan Pemulihan (CCRC) Tampoi, Johor mungkin boleh dijadikan pusat rawatan pertama bagi kes berkenaan kerana berdekatan dengan Hospital Permai yang mempunyai kepakaran dalam bidang psikiatri.

“Melihat kepada trend sekarang kita perlu menimbang kalau perlu ada pusat seperti di Johor itu disebabkan jangkaan ramai akan mengalami sakit mental akibat pengambilan dadah sintetik.

“Buat masa ini kita belum ada lagi pusat pemulihan khas bagi penagih dadah sintetik ini. Apa yang kita tahu kesan ketagihan dadah sintetik ini berbeza dengan penagih yang mengambil dadah jenis heroin dan dadah tradisional yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Dialog Ketua Pengarah AADK Malaysia Bersama Pemimpin Komuniti di Tendong yang turut dihadiri Ketua Polis Kelantan Datuk Hassanuddin Hassan, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tendong Rozi Mohammad dan Pengarah AADK Kelantan Rohayu Ahmad.

Sementara itu, Hasanuddin berkata pelantikan Pegawai Perhubungan Masjid di setiap masjid di negeri ini telah dimulakan.

“Setiap pegawai yang dilantik akan berkenalan dengan lebih rapat dengan imam masjid masing-masing supaya sebarang urusan dapat dilaksanakan dengan lebih mudah terutama membabitkan pelbagai program berkaitan komuniti,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Operasi Perdana AADK: Lelaki cuba suap pegawai ditahan

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Seorang pemandu teksi yang cuba memberi suapan kepada pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi mengelakkan ujian air kencing dan seorang wanita berusia 55 tahun antara yang ditahan dalam Operasi Perdana AADK Daerah Brickfields, bermula semalam.

Ketua Pegawai AADK Daerah Brickfields, Muhamad Afiq Rajali berkata, operasi yang berakhir awal pagi ini dijalankan di kawasan perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinci, PPR Kampung Limau, PPR Sri Pantai dan Kondo Rakyat yang merupakan kawasan kempen Perangi Dadah Habis-Habisan.

“Mereka yang ditahan berusia berusia 16 hingga 55 tahun itu positif ujian air kencing dadah jenis syabu, ganja dan heroin.

“Mereka akan direman selama dua minggu di lokap AADK bagi siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas tamat operasi di pejabat AADK Daerah Brickfields, di sini, hari ini.

Operasi terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa pertama dari 9 pagi hingga 1 tengah hari semalam dan fasa kedua bermula 9 malam hingga jam 1.30 pagi tadi.

Beliau berkata, operasi fasa kedua yang disertai 11 pegawai dan anggota AADK Daerah Brickfields di PPR Seri Pantai berjaya menahan 25 individu.

Katanya, operasi itu turut mendapat kerjasama 20 pegawai dan anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur cawangan Bukit Bintang, cawangan Lembah Pantai, Jabatan Perumahan dan Unit Bantuan Khas.

“Lagipun, ini bukan kali pertama PPR Seri Pantai ini diserbu pihak kami. Malah, kami juga menahan seramai 20 individu positif dadah di kawasan yang sama minggu lalu,” katanya.

Muhamad Afiq berkata, operasi itu berdasarkan hasil risikan pihaknya dan maklumat orang awam.
— BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor komited banteras aktiviti salah guna dadah

OLEH NORHAYATI UMOR

SERDANG, 23 FEB: Kerajaan Negeri terus komited membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah melalui kerjasama pelbagai pihak seperti Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, dadah adalah ancaman besar kepada negara dan penyalahgunaannya semakin menular membabitkan pelbagai lapisan masyarakat merentasi umur, jantina, taraf pendidikan dan sosio ekonomi.

“Justeru, pendekatan secara holistik dan inklusif perlu ditekankan dalam mempergiatkan pembabitan komuniti serta kolaborasi pelbagai pihak untuk membentuk komuniti yang aktif juga berdaya huni bagi mewujudkan kualiti persekitaran setempat yang aman selain selamat.

“Melalui projek perintis, PEMADAM menubuhkan kelab terdiri daripada belia untuk menjadi penggerak kepada komuniti menangani isu berkenaan, termasuk penubuhan kelab di institusi pengajian tinggi, sekolah, komuniti dan lokaliti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Bulan Antidadah Kebangsaan, di Universiti Putra Malaysia, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Amirudin yang juga Penaung dan Pengerusi PEMADAM Selangor berkata, sebanyak 15 kawasan di negeri itu direkodkan sebagai ‘hotspot’ penyalahgunaan dadah.

Katanya, ia membabitkan Sungai Besar, Rawang, Selayang, Gombak, Pandan Indah, Hulu Kelang, Bandar Ampang, Kajang, Semenyih, Bangi, Batu 9 Cheras, Serdang, Pandamaran, Bandar Klang dan Petaling Jaya Selatan.

“Satu kawasan Petaling Jaya Selatan dari 15 kawasan terbabit berjaya diturunkan dari klasifikasi kawasan berisiko tinggi kepada kawasan berisiko atas usaha AADK bersama rakan strategik dan rakan pintar, sejak 2016.

“Malah, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM 1 Juta melalui Belanjawan 2019 untuk menangani isu terbabit,” katanya.

Beliau berkata, dalam usaha menjadikan kesemua 15 kawasan itu sebagai kawasan selamat, strategi pemberdayaan komuniti dilihat penting untuk memberikan pengetahuan dan kefahaman berkenaan bahaya dadah selain kesedaran kepada komuniti.

Untuk rekod, jumlah penyalahgunaan dan penagih dadah, di Selangor adalah seramai 14,556, iaitu keempat tertinggi di Malaysia.

Bagaimanapun, jumlah itu jika dibandingkan dengan jumlah penduduk di Selangor secara rationya adalah 0.23 peratus, menjadikan negeri itu berada pada kedudukan ke-13, di Malaysia.

“Namun, saya tidaklah memandang remeh isu dan masalah penyalahgunaan dadah di Selangor,” katanya.

Categories
NASIONAL

Op Perdana: AADK tahan 108 individu positif dadah

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Lumpur menahan 108 individu disyaki positif mengambil dadah dalam Operasi Perdana Siri 9/2018, awal pagi ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 95 adalah lelaki manakala selebihnya wanita.

Beliau berkata, kesemua mereka gagal melepasi ujian saringan dadah selepas serbuan dilakukan di sekitar Program Perumahan Rakyat, di kawasan Brickfields, Cheras, Dang Wangi dan Sentul.

“Seramai 77 individu positif mengambil dadah jenis Methamphethamine, manakala 20 individu lagi positif dadah jenis THC serta 11 individu mengambil dadah jenis Opiate,” katanya lapor BERNAMA.

Katanya, operasi pada kali ini menumpukan kepada beberapa kawasan PPR dan perumahan awam, di ibu negara kerana ia dilihat sebagai kawasan berisiko tinggi (KBT) atau zon merah membabitkan aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan penduduk.

Katanya, sebanyak 178 KBT dikenal pasti di Malaysia dengan kesemuanya membabitkan kawasan PPR, terutama penyalahgunaan dadah.

“Kerajaan perlu menitikberatkan beberapa faktor penting apabila ingin menambah pembangunan PPR antaranya daripada segi keperluan penduduk seperti riadah yang mungkin dapat mengurangkan risiko penyalahgunaan dadah dalam kalangan penduduk,” katanya.

Beliau berkata, kesemua Orang Kena Tahan (OKT) berumur dalam lingkungan 13 hingga 40 tahun ke atas dan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (APD) (Rawatan dan Pemulihan) 1983, manakala selebihnya mengikut Seksyen 6 (2) akta yang sama.

KUALA LUMPUR, 1 Nov — Antara penagih dadah yang ditahan ketika serbuan dalam Ops Perdana di Projek Perumahan Rakyat Intan Baiduri malam tadi.
Hasil operasi itu, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menahan seramai 95 lelaki dan 13 perempuan kerana disyaki positif dadah.?–fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Operasi yang bermula pada jam 6 petang semalam turut disertai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan dan Jabatan Pendaftaran Negara dengan kekuatan 85 anggota.

Pada 25 Oktober lalu, AADK mengenalpasti 12 lokasi di seluruh negara yang dikategorikan sebagai zon merah, iaitu kawasan berisiko tinggi berdepan penyalahgunaan dadah berjaya diturunkan status kepada zon kuning dan zon hijau.

Categories
SELANGOR

266 penagih dadah dalam pengawasan AADK Kuala Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 11 JULAI: Seramai 266 penagih dadah berada dalam kelompok Orang Kena Pengawasan (OKP) di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah Kuala Selangor.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, daripada jumlah berkenaan, 260 adalah lelaki dan selebihnya wanita.

Katanya, kebanyakan daripada mereka terdiri daripada penagih berusia antara 30 hingga 40 tahun, di Kuala Selangor dan Tanjung Karang.

“Saya dimaklumkan AADK Kuala Selangor, ada sebahagian kecil OKP terdiri daripada pelajar, justeru saya amat berharap ibu bapa khasnya memantau aktiviti anak mereka tidak kira masa.

“Sebagai ADN, saya menyeru orang ramai dan anak muda khususnya supaya tidak terjebak dengan najis dadah. Jangan sesekali mencuba kerana apabila sudah cuba, pasti rasa ketagih itu akan datang,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran AADK daerah Kuala Selangor.

Juwairiya berkata, sokongan dan kata semangat dilihat mampu membantu golongan OKP berdepan masalah ketagihan dan kembali memulakan kehidupan lebih baik.

“Masyarakat atau keluarga sama sekali tidak boleh meminggirkan golongan ini kerana situasi itu akan menyebabkan OKP kembali terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

“Mereka ini perlu diberi bantuan, ruang dan peluang oleh masyarakat serta anggota keluarga untuk berubah dan pulang ke pangkal jalan,” katanya.

Categories
SELANGOR

AADK Hulu Langat giat tangani masalah dadah

OLEH HAFIZAN TAIB

SEMENYIH, 20 DIS: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Hulu Langat akan menjalankan operasi secara lebih meluas di daerah itu, tahun depan, bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah di kalangan masyarakat.

Ketua Pegawai AADK Hulu Langat, Muhamad Ramlan Syed Ahamad, berkata pihaknya mengenal pasti empat kawasan berisiko di situ dan langkah susulan dirancang bagi tujuan berkenaan.

“Empat kawasan itu ialah Kajang, Semenyih, Batu 9 Cheras dan Bangi di mana satu operasi telah kita jalankan di Kajang pada tahun ini manakala kawasan selebihnya pada tahun depan.

“Apabila AADK meluaskan operasi di kawasan sasaran maka kita merasakan lebih 1,000 suspek atau penagih dadah akan dicatat di sini,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Muhamad Ramlan berkata demikian selepas operasi bersepadu pencegahan penyalahgunaan dadah Hulu Langat bersama Pejabat Daerah Hulu Langat dan beberapa agensi kerajaan lain.

Beliau berkata, setakat ini seramai 955 penagih dadah berdaftar dengan AADK Hulu Langat dan kini mereka menjalani proses pemulihan bersama agensi berkenaan.

Katanya, AADK menjalankan beberapa program bagi tujuan itu dan memberi tempoh dua tahun untuk mereka kembali pulih seperti sedia kala.

“Proses pemulihan ini dijalankan berterusan selama lebih kurang dua tahun bagi mencapai tujuan ditetapkan,” katanya.

Dalam operasi di daerah itu hari ini, AADK disertai anggotanya dari Speacial Tactical Response & Investigation Key Enforcers (STRIKE) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Pasukan Khas AADK Hulu Langat dan Selangor.

=EZY=

Categories
SELANGOR

32 suspek salahguna dadah ditahan operasi bersepadu AADK

OLEH HAFIZAN TAIB

SEMENYIH, 20 DIS: Seramai 32 suspek ditahan dalam operasi bersepadu pencegahan penyalahgunaan dadah dilancarkan di Hulu Langat, di sini, hari ini.

Pegawai Daerah Hulu Langat, Dato’ Zulkefli Khalid, berkata ia adalah operasi program Generasi Idaman Selangor (GeMS) digerakkan bersama beberapa agensi kerajaan berjaya memberkas suspek di lokasi sasaran di daerah itu.

“Kita menahan 32 suspek iaitu 24 di lokasi pertama manakala lapan lagi di lokasi kedua seperti mana disasarkan.

“Hasil pemeriksaan mendapati positif dadah dan mereka ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media selepas operasi di sini, hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 31 adalah rakyat tempatan manakala seorang warga Rohingya.

Operasi dijalankan Pejabat Daerah Hulu Langat itu disertai kira-kira 100 penguatkuasa daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Hulu Langat, Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Imigresen Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan lain-lain.

Zulkefli berkata, operasi GeMS digerakkan itu adalah yang ketiga dan pertama berkaitan penyalahgunaan dadah.

“Dua operasi sebelum ini pada Ogos lalu menumpukan kepada anti zina di Hotel Bajet dan rumah urut sekitar Hulu Langat.

“Objektif program bagi melahirkan generasi muda Selangor yang berkualiti dan berakhlak mulia melalui pelaksanaan cara hidup sihat,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Guna modul terkini dan terbaik pulihkan penagih dadah

OLEH SABIRAH AZIZ

KLANG, 19 DIS: Pusat Pemulihan Baitul Islah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Serendah, Hulu Selangor bakal menggunakan modul psikososial dan kerohanian Pusat Khidmat Cure & Care (CCSC), modul rawatan ARV (ubat anti retroviral) HIV/AIDS dan modul istitabah MAIS bagi memulihkan penagih dadah.

Setiausaha MAIS, Dato’ Bakhtiar Hussin berkata, ia adalah inisiatif untuk membantu dan memberi perlindungan kepada golongan itu di mana penghuni akan tinggal di pusat itu sehingga keluar dari belenggu dihadapi sama ada kembali ke pangkuan keluarga untuk meneruskan kehidupan atau meninggal dunia dalam keadaan Islam.

“Ia kerana kita tidak mahu golongan ini diabaikan sekali gus akan memastikan mereka dibantu dari segi pengukuhan akidah.

“MAIS juga akan menanggung kos makan dan minum penghuni, menempatkan tiga pegawai masing-masing dari MAIS dan AADK. Manakala kos utiliti, pelantikan pembimbing rakan sebaya (PRS), latihan kepada penjaga (care giver) dan pengawal keselamatan akan diuruskan AADK.

“Kita mensasarkan seramai 40 penghuni ditempatkan dalam satu masa, terdiri daripada penagih dadah atau pesakit HIV/AIDS yang dihantar keluarga, hospital atau sukarela bagi tujuan pemulihan rawatan dan perlindungan di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Pengurusan Pusat Pemulihan Baitul Islah MAIS dan AADK di Hotel Aliya, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pengarah AADK, Dato’ Dr Abd Halim Hussin berharap dapat melebarkan kerjasama dengan agensi-agensi lain untuk menawarkan perkhidmatan pemulihan, rawatan dan perlindungan kepada golongan berkenaan.

“MAIS adalah majlis agama Islam negeri pertama melaksanakan usaha sama ini dan saya hargai usaha MAIS selaku rakan strategik dalam membantu penagih tegar termasuk anak-anak Selangor dan pemastautin.

“Kerjasama ini mengambil pendekatan melalui proses pemulihan berlandaskan al-Quran dan sunnah sebagai asas pemulihan pesakit HIV/Aids.

“Selain itu, lokasi pusat ini bersesuaian dan mudah diberi rawatan khusus kerana berdekatan dengan Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Abd Halim berkata, hanya penghuni lelaki beragama Islam sahaja akan ditempatkan di pusat itu tanpa mengira peringkat umur.

Pada masa sama, AADK turut berhasrat untuk menambah empat lagi pusat pemulihan di negara ini termasuk 27 yang sedia ada bagi menampung keperluan pesakit.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Dato’ SS terima kunjungan hormat AADK

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 FEB: Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya menerima kunjungan hormat Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Izhar Abu Talib di pejabatnya hari ini.

PC (2 of 18)-2Kunjungan hormat itu bagi memantapkan jalinan kerjasama Kerajaan Selangor bersama AADK bagi meningkatkan pelaksanaan program pencegahan, rawatan dan pemulihan serta penguatkuasaan dadah.

Dalam pertemuan hampir setengah jam itu antara lain turut menyampaikan maklumat dan perkembangan terkini senario masalah dadah di Selangor, selain mengharapkan kerjasama semua pihak menyokong usaha AADK membenterasnya.

Tahun ini, sambutan Hari Anti Dadah Kebangsaan akan diadakan di Lawas, Sarawak pada 12 Mac dan akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

-AA-

Categories
NASIONAL

Khalwat, Zina Telah Turun Selepas Selangor Adakan Kempen anti-zina

 

SHAH ALAM, 30 OGOS : Sejak tiga tahun lalu, statistik penangkapan pasangan yang melakukan zina, khalwat dan kelakuan tidak sopan telah menurun kata Pengarah Kempen Anti Zina Siri Ketujuh, Mohd Fauzan Madzlan.

Antara sebabnya adalah peningkatan kesedaran umum sejak kempen anti-zina kerajaan Selangor dilancarkan dan peningkatan di dalam usaha penguatkuasaan undang-undang dari agensi kerajaan.

“Kita juga bersama-sama dengan pihak Polis, Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK), Imigresen dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam penguatkuasaan undang-undang dalam operasi bersepadu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa pelancaran Kempen Anti-Zina Siri Ketujuh di sini hari ini di Lobi Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah.

Pelancaran itu dirasmikan oleh Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Insan, Dr Halimah Ali. Ia dihadiri kira-kira 100 orang daripada wakil agensi kerajaan, NGO, masjid dan surau serta ketua kampung.

Mohd Fauzan berkata, beberapa program kesedaran dirancang di seluruh negeri termasuk memasang banner kesedaran di kawasan taman rekreasi yang dikunjungi ramai.

Risalah akan diedarkan di kawasan umum sebagai usaha mendekati masyarakat dengan memberi penjelasan bahaya perbuatan zina dan aktiviti tidak bermoral.

Dr Halimah pula menyarankan pemimpin di peringkat akar umbi khususnya ketua kampung, AJK Masjid dan Surau dan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) agar menyumbangkan idea dan tenaga bagi menjayakan program ini.

“Kempen ini adalah usaha untuk mendidik masyarakat khususnya remaja dan belia.

?Pelancaran untuk memberikan kesedaran ke generasi muda agar tidak menjadi mangsa dalam aktiviti tidak bermoral,” ujarnya.

Pasukan Khas Untuk Membanteras Rumah Urut “On Off” Di Klang

 

KLANG 30 MEI : Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah menubuhkan sebuah pasukan khas bagi membanteras rumah urut dan pusat reflexology di sekitar Klang yang dikatakan beroperasi secara ‘on off’.

Pemangku Yang Di Pertua MPK, Ehsan Mukri berkata pasukan khas itu akan digerakkan setiap minggu untuk membuat pemantauan dan menyita premis yang tidak mempunyai permit serta menjalankan kegiatan yang tidak bermoral.

“Kita akan ketatkan pemantauan dari masa ke semasa. Jika perlu kita akan turun setiap hari untuk memantau kegiatan mereka.

“Kita juga akan bekerjasama dengan polis, Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen. Satu mesyuarat khas akan dijalankan dengan semua agensi terlibat bagi mengekang aktiviti itu secara berterusan.

“Mana-mana premis yang disita kita juga tidak akan teragak-agak untuk membawa kes ke mahkamah selepas kertas siasatan siap,” katanya selepas Mesyuarat Bulanan MPK.

Tambahnya, dari Januari hingga Mei sebanyak tujuh premis disita dan 36 kompauan dikenakan atas pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil MPK.

“Sebanyak RM815,000 dikutip atas kompauan itu. Mereka ini menjalankan kegiatan secara ‘on off’, itu yang menyebabkan sukar untuk mengawal aktiviti mereka.

“Ada premis yang pernah disita sebelum ini, bagaimanapun mereka menjalankan perniagaan itu di kawasan lain,” katanya.

Setakat ini, terdapat 44 premis rumah urut dan 16 pusat reflexology yang berlesen di Klang.