Categories
NASIONAL SELANGOR

Sultan Selangor Serah Sumbangan Buku

SHAH ALAM 14 OGOS : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyerahkan sumbangan buku kepada Perpustakaan Raja Tun Uda, Seksyen 13 di sini pagi tadi.

Baginda turut diiringi Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi.

Sebanyak 1414 buah buku berkaitan agama Islam disumbangkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sementara 214 buah buku berkaitan perundangan pula disumbangkan Thomson Reuters.

Dalam pada itu, baginda bertitah agar lebih banyak pihak samada daripada agensi kerajaan, badan korporat mahupun orang perseorangan untuk turut serta memberi sumbangan demi manfaat perpustakaan tersebut.

“Beta menyeru agar banyak lagi sumbangan dari segi material atau kewangan dapat disalurkan supaya dapat menambah program-program ilmiah dan kemudahan infrastruktur.

“Beta juga ingin menekankan supaya landskap perpustakaan ini ditanam dengan lebih banyak pokok besar agar dapat memberi ketenangan kepada pembaca,” titah baginda.

Majlis turut dihadiri Pengerusi MAIS, Datuk Setia , Timbalan Mufti, Datuk Abdul Majid Omar serta Ahli Exco Negeri antaranya Teresa Kok, Dr. Halimah Ali serta Dr. Yaakob Sapari.