Categories
NASIONAL SELANGOR

RCI Perlu Siasat Abdullah, Najib Kerana Teruskan Legasi Mahathir

1 Feb Anwar Mahathir 01

PETALING JAYA, 1 FEB: Datuk Seri Najib Razak dan mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi perlu memberikan keterangan terhadap siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja(RCI) berhubung ‘Projek IC’ di Sabah.

Ini kerana, menurut Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berkuasa Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memberi kad pengenalan kepada pendatang asing di Sabah bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya negeri ketika itu.

Anwar juga mengulangi kesediaan untuk disiasat berhubung perkara ini.

Tambahnyan,semasa beliau menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri, tidak pernah ada satu minit mesyuarat yang menunjukkan beliau hadir dan menerima laporan berkenaan.

“Tidak pernah ada sama sekali rekod yang berkenaan kerana itu adalah operasi khas Jawatankuasa yang dikendalikan oleh Perdana Menteri dan pada masa itu diserahkan kepada (Tan Sri) Aziz Samsudin dan (Tan Sri)Megat Junid.

“Yang penting kita tahu ialah bahawa jawatankuasa khas itu adalah berterusan. Sepatutnya kita tanya juga Tun Abdullah Badawi dan Datuk Seri Najib.

“Najib sebagai Perdana Menteri masih meneruskan dan mengendalikan jawatankuasa khas itu dibawah Perdana Menteri sehinggalah mungkin hujung tahun lalu.

“Apakah dia (Mahathir) boleh menafikan dia bertanggungjawab? Dia mengasaskan jawatankuasa khas, dia yang melantik Aziz Samsuddin dan Megat Junid dan semua laporan tersebut diberikan dan dalam pengetahuan beliau. Ini yang patut dijawab,” katanya dalam reaksi terhadap kenyataan Mahathir.

Media pada semalam melaporkan kenyataan Tun Mahathir yang mendakwa bahawa Anwar terlibat di dalam pemberian kad pengenalan kepada warga asing di Sabah.

Dalam pada itu Anwar mendesak kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan kerjasama kepada kerajaan Filipina berhubung dakwaan penglibatan individu yang dikehendaki polis Filipina, Manuel Karingal Amalilio dalam kes penipuan terhadap lebih 15,000 orang dan membabitkan wang bernilai hampir RM900 juta (12 bilion peso).

Tegasnya, kerjasama ini penting dalam usaha memulihkan semula nama negara serta hubungan deplomatik yang terjalin selama ini memandangkan kes ini mendapat liputan meluas media tempatan Filipina meskipun individu berkenaan mempunyai hubungan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman.

“Yang penting kalau ada kes sepatutnya polis, Kementerian Dalam Negeri ambil tahu kes ini dan nampak ada asas terus bekerjasama dengan kerajaan Filipina untuk meneruskan siasatan dan pendakwaan.

“(Keadaan ini) tidak baik dalam menjaga hubungan antara dua negara bila kita cuba melindungi penjenayah,” ujarnya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Azmin : Najib PM Paling Boros Belanja Duit Petronas

PETALING JAYA, 30 NOV – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merupakan Menteri Kewangan paling boros sehingga memaksa Petronas menyumbang dividen pada kadar paling tinggi dalam sejarah negara.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mendedah, tidak pernah ada Menteri Kewangan atau Perdana Menteri yang paling banyak menggunakan dana Petronas kecuali Najib.

Berdasarkan sumber Kementerian Kewangan dan Jabatan Statistik memaparkan, sepanjang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan, Petronas menyumbang dividen pada kadar RM3.1 bilion dari tahun 1992 sehingga tahun 1997.

Jumlah dividen yang disumbangkan Petronas semasa Tun Abdullah Badawi menjadi Menteri Kewangan pula, sebanyak RM9.1 bilion disumbangkan pada tahun 2004, RM11.0 bilion bagi tahun 2005, RM18.0 bagi tahun 2006 dan RM24.0 bilion untuk tahun 2007.

Sementara itu, ketika zaman Najib pula, sebanyak RM30.0 bilion dividen disumbangkan secara konsisten dari tahun 2009 hingga tahun 2011.

“Tatkala Anwar berusaha mengurangkan hutang negara, berbelanja secara berhemah sehingga pendapatan mengatasi perbelanjaan tanpa membebankan Petronas dan memacu pertumbuhan ekonomi sehingga 10 peratus, Datuk Seri Najib mengambil 10 kali ganda lebih banyak wang Petronas.

“Hutang negara meningkat lima kali ganda, bajet defisit berlarutan selama 14 tahun dan pertumbuhan ekonomi tetap lembap pada kadar sekitar empat hingga lima peratus sahaja,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Azmin tampil hari ini mempertahankan kreadibiliti dan kemampuan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemudi ekonomi negara ekoran serangan Najib semalam dalam perhimpunan agung Umno.

Jelas Azmin, pencapaian ekonomi Najib tidak pernah sekalipun mengatasi pencapaian Anwar yang berjaya memacu pertumbuhan ekonomi negara sehingga mencecah 9-10 peratus dalam tempoh menjadi Menteri Kewangan.

Manakala Najib yang mula menjawat jawatan Menteri Kewangan sejak tahun 2009 membawa ekonomi ke arah sebaliknya dan menjurus kepada kegawatan sedangkan negara jiran seperti Indonesia kekal berkembang pesat.

Selain itu, Najib Razak juga gagal mengatasi masalah hutang walaupun ditinggalkan Anwar dalam keadaan cukup baik.

Azmin turut menegaskan, modus operandi serangan terhadap Anwar mengenai kreadibiliti pentadbiran ekonomi kembali digunapakai menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) untuk menakut-nakutkan rakyat kononnya negara akan muflis jika Umno-BN tidak diberikan kuasa memerintah.

“PRU-13 rakyat tetap memilih Pakatan Rakyat. Maknanya rakyat yang matang tidak akan terpengaruh dengan propaganda politik Umno-BN yang meremehkan keupayaan rakyat untuk menilai pencapaian ekonomi negara dibawah kepimpinan Anwar sebagai Menteri Kewangan.

“Sekali lagi saya yakin rakyat pastinya menolak ‘politics of fear yang dibawa oleh Presiden Umno,” katanya.