Categories
PBT SELANGOR

Had maksimum parkir dua jam mudahkan urusan

PETALING JAYA, 19 FEB: Sistem parkir maksimum dua jam wajar dilaksanakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Jalan Seksyen 52/2 New Town bagi memudahkan orang ramai berurusan di kawasan itu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, R Rajiv berkata pelaksanaan sistem itu perlu kerana kawasan parkir terhad disebabkan dipenuhi kenderaan dari pagi sehingga petang dan menyukarkan orang lain yang mahu berurusan di bangunan berhampiran.

“Pada Disember lalu saya mengadakan sidang media meminta maklum balas orang awam dan penduduk sekitar berhubung hal ini dan masing-masing menyokong sistem letak kenderaan dua jam.

“Malah, tidak kurang juga ada yang menghantar e-mel berharap sistem itu dilaksanakan segera supaya mereka turut dapat meletak kenderaan jika mempunyai urusan di kawasan itu,” katanya ketika sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing.

Katanya mekanisme pembayaran bergantung kepada MBPJ sama ada tetap mengenakan bayaran RM0.60 atau tindakan saman dikenakan jika meletak kenderaan lebih dua jam.

“Diharap sistem ini dilaksanakan segera supaya lebih ramai penduduk berpeluang meletak kenderaan di situ,” katanya.

Categories
SELANGOR

UNISEL beri ruang penyelidik ADN guna perpustakaan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 APRIL: Universiti Selangor (UNISEL) akan memberi ruang kepada pembantu dan penyelidik Ahli Dewan Negeri (ADN) menggunakan perpustakaannya bagi tujuan pembacaan serta penyelidikan.

Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, kemudahan yang terdapat di perpustakaan universiti itu boleh digunakan supaya memberi nilai tambah kepada penyelidik.

“Saya melihat dengan adanya kerjasama bersama pejabat Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) ini, penyelidik tidak perlu lagi ke tempat lain untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan.

“Kerjasama ini akan memberi nilai tambah kepada kakitangan wakil rakyat dan memanfaatkan UNISEL sebagai pusat sumber mereka,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pada Bengkel Penyelidik Efektif DNS, di Bilik Gerakan Negeri, di sini.

Dr Mohammad Redzuan berkata, melaluinya, asas pendidikan bukan sahaja didedahkan tetapi pada masa sama membangunkan jalinan hubungan antara satu sama lain supaya dapat membuat perancangan, strategi, polisi dan tindakan yang dirancang.

Pada program itu, beliau bersama Speaker DNS, Ng Suee Lim merasmikan bengkel berkenaan untuk memperkukuhkan lagi fungsi dan peranan wakil rakyat.

Lebih 44 pembantu dan penyelidik ADN seluruh negeri termasuk pembangkang menyertai bengkel terbabit.

 

Categories
SELANGOR

Penyelidik wakil rakyat perlu pendidikan kukuh

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 APRIL: Penyelidik kepada seorang Ahli Dewan Negeri (ADN) perlu mempunyai latar belakang kukuh dalam penyelidikan dan pendidikan, kata Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Pengarah Eksekutif Institusi Darul Ehsan (IDE) berkata, mereka berdepan tugas dan tanggungjawab mencabar dalam menyediakan kertas penyelidikan untuk wakil rakyat bagi tujuan perbahasan supaya ia bermutu dan mencapai objektif.

“Kesahihan input dan maklumat yang akan disalurkan kepada ADN adalah penting. Penyelidikan efektif merupakan kunci kepada kualiti perbahasan dan soalan yang dilontarkan dalam sidang dewan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Bengkel Penyelidik Efektif Dewan Negeri Selangor (DNS), di Bilik Gerakan Negeri, di sini.

Mengulas penganjuran bengkel itu, Dr Mohammad Redzuan berkata, ia bertujuan memberikan pendedahan dan pengalaman untuk menjadi penyelidik yang efektif.

Katanya, IDE juga komited dalam melaksanakan program pendidikan politik, kewarganegaraan dan demokrasi rakyat.

“Keyakinan saya kepada perkembangan demokrasi melalui reformasi ini dan keterampilan ‘figure’ seperti pegawai penyelidik yang dibawa khusus untuk meratakan pengetahuan di peringkat negeri,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut berharap supaya sidang DNS mampu mencapai standard reformasi seperti yang diimpikan.

“Semoga DNS mampu menakhoda misi reformasi DUN dan diikuti dalam gelombang perubahan sistem negara serta menyuburkan sistem demokarasi,” katanya.

Sebelum ini, IDE berjaya melaksanakan Bengkel Penyelidik Efektif di Kedah dan bakal memeterai program kerjasama dengan pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan dalam masa terdekat.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Sambut baik EAC demi penuhi harapan rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 FEB: Langkah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (EAC) disambut baik Ahli Dewan Negeri Selangor bagi memulihkan keyakinan dan memenuhi harapan rakyat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata, kebangkitan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu menuntut Kerajaan Pakatan Harapan meletakkan kembali negara ke landasan sebenar melalui dasar, inisiatif peduli dan prihatin terhadap nasib rakyat.

Katanya, ia juga membuktikan sikap proaktif dan kepedulian kerajaan terhadap isu serta permasalahan harian rakyat seperti kos sara hidup, pengangguran dan pemilikan aset.

“Kerajaan sedar harapan rakyat begitu tinggi selepas perubahan yang berlaku, pada 9 Mei 2018.

“Justeru, penubuhan EAC yang dipengerusikan sendiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah langkah signifikan untuk kerajaan segera mendakap aspirasi rakyat dan menyelesaikan permasalahan yang membelenggu kehidupan rakyat,” katanya kepada SelangorKini.

ADN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli pula berharap ahli EAC terdiri daripada menteri dan pakar ekonomi daripada agensi atau jabatan berkaitan mampu mencari kaedah terbaik untuk mengurus ekonomi negara yang mencabar ketika ini.

Beliau juga berhadap majlis itu mampu mencari serta meneroka pelaburan baru untuk menjana ekonomi negara.

“Saya melihat ini langkah yang positif dan tepat dalam usaha kerajaan menangani isu ekonomi serta sara hidup rakyat yang gawat juga merunsingkan.

“Pada masa sama, ia dapat mengembalikan keyakinan bahawa pengurusan ekonomi negara berada di tangan pakar untuk membantu memulihkan ekonomi semasa bagi mengurangkan kegusaran rakyat,” katanya.

Sementara itu, ADN Kinrara, Ng Sze Han berkata, rekod membuktikan EAC mampu menangani krisis ekonomi dalam tempoh singkat berbanding negara ASEAN lain, pada 1998.

“Oleh itu, pengumuman EAC dengan komposisi anggota terdiri dariada tokoh kerajaan dan swasta yang dilihat berkemampuan tinggi, pasti akan meletakkan ekonomi negara di landasan betul melalui pendekataan lebih kolektif serta menyeluruh,” katanya.

ADN Kajang Hee Loy Sian pula menggesa supaya kerajaan turut melantik ahli ekonomi yang boleh mewakili suara generasi muda.

“Satu langkah yang amat baik untuk menangani masalah ekonomi negara dengan keanggotaan merangkumi Perdana Menteri, Menteri Kanan dan pakar ekonomi yang mampu memberi input, cara penyelesaian serta pelaksnaan segera.

“Bagaimanapun, saya cadang masukkan pakar ekonomi orang muda supaya boleh menangani masalah membabitkan golongan itu kerana mereka paling banyak menghadapi masalah pengganguran dan peluang pekerjaan termasuk isu sara hidup,” katanya.

Categories
SELANGOR

Cadangan naik elaun ikut keperluan semasa

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 SEPT: Cadangan kenaikan elaun mesyuarat Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor adalah berdasarkan keperluan semasa dan bersesuaian dengan keadaan masa kini.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Suee Lim berkata, elaun mesyuarat RM75 sehari diterima ADN tidak mengalami perubahan lebih 20 tahun lalu dan pertikaian dibangkitkan calon MCA Balakong, Tan Chee Teong, dianggap sebagai mencari populariti.

“Saya nampak calon MCA mungkin orang baharu dan tidak begitu arif dalam soal elaun kerana mahu mencari populariti untuk mendapatkan undi.

“Mungkin beliau terdesak mengeluarkan kenyataan dan saya memahaminya, namun tujuan asal saya ialah supaya Selangor mengikut keperluan semasa,” katanya kepada media di lobi DNS, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab dakwaan Chee Teong yang menganggap cadangan kenaikan elaun ADN Selangor tidak munasabah dan wang rakyat tidak sepatutnya dibazirkan sebagai insentif untuk menghadiri sesi perbahasan DNS.

Sebagai perbandingan, Suee Lim yang juga ADN Sekinchan berkata, Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan sendiri menerina elaun mesyuarat RM150 sehari.

“Ia sudah dibangkitkan sejak sidang DNS penggal lalu dan akan dibincangkan semula melalui jawatankuasa tertentu, sama ada dipersetujui atau tidak.

“Elaun Ahli Parlimen dianggarkan lebih kurang RM300 dan RM500, maka cadangan untuk kenaikan ini mungkin sebegitu dan mungkin negeri lain juga akan mengambil tindakan sama tetapi saya tidak membuat penelitian,” katanya.

Beliau berkata, isu elaun dibangkitkan kerana ia memerlukan semakan berdasarkan perkembangan semasa dan bukan kerana memberi insentif atau ganjaran kepada ADN.

Categories
SELANGOR

DNS: ADN sambut baik titah Sultan Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 SEPT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor menyifatkan titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai menyeluruh apabila menyentuh pelbagai isu membabitkan kepentingan rakyat.

ADN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, antara isu disentuh baginda termasuk menghadkan umur perkahwinan kanak-kanak kepada 18 tahun.

“Hal itu menunjukkan keprihatinan Tuanku terhadap perkembangan semasa dan saya yakin perbahasan untuk menghadkan umur akan diterima semua ADN.

“Perkara lain disebutkan adalah kebajikan rakyat, terutama sistem penyampaian membangunkan negeri seperti Smart Selangor Delivery Unit (SDDU) tetapi ADN perlu main peranan memperkasakannya dalam perbahasan mereka nanti,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) berkata demikian kepada media selepas selesai Istiadat Perasmian Mesyuarat Kedua (Pembukaan) Penggal Pertama Persidangan DNS ke-14 2018, di Dewan Annex, di sini, hari ini.

ADN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli pula berkata, titah Sultan Sharafuddin itu selaras dengan pendirian Pakatan Harapan (PAKATAN), terutama berkenaan kebajikan rakyat.

“Kita dapat lihat isu rakyat amat dekat di hati Tuanku apabila Tuanku memberi penekanan khasnya dalam isu perkahwinan kanak-kanak yang ingin kita pinda akta atau enakmen Undang-Undang Keluarga Islam atau had umur kanak-kanak perempuan.

“Ini menandakan keprihatinan tuanku terhadap isu membabitkan kanak-kanak, kemasyarakatan dan masa depan rakyat Selangor khasnya.

“Tuanku turut menyentuh isu alam sekitar membabitkan penggunaan beg plastik yang selaras dengan dengan dasar PAKATAN, justeru sebagai ADN kita akan mendidik masyarakat untuk memahami saranan itu,” katanya.

Sementara itu, ADN Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi pula berkata, ucapan bernas baginda mengingatkan Kerajaan Negeri dan semua ADN supaya memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, di Selangor.

“Saya lihat ucapan itu menyentuh peranan ADN dan Kerajaan Negeri berkaitan pembangunan, hubungan manusia dengan tuhan, hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan alam sekitar.

“Tanggungjawab ini harus dipandang serius kerana kita perlu menjaga alam sekitar sebaik mungkin kerana kita hanya meminjam alam sekitar ini daripada anak serta cucu cicit pada masa hadapan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Tak sekat peruntukan Ahli Dewan Negeri PAS

OLEH SYAZWANI SUFIAN

AMPANG, 9 FEB: Dato’ Menteri Besar, Dato Seri Mohamed Azmin Ali, menafikan dakwaan Kerajaan Selangor menyekat peruntukan Ahli Dewan Negeri (ADN) PAS, di negeri itu.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Selangor adalah satu-satunya negeri yang memberikan peruntukan pembangunan kepada semua ADN termasuk Barisan Nasional (BN).

“Tidak ada negeri lain yang melaksanakan dasar yang adil dan saksama termasuk di Parlimen.

“Tak perlu pegi jumpa istana, ini soal pentadbiran begitu juga peruntukan PAS. Jadi tidak ada sebab itu disekat,” katanya selepas sessi lawatan kerja di Kompleks Muhibbah, Ampang, di sini, pagi tadi.

Mohamed Azmin berkata, peruntukan itu diberikan kepada semua ADN di Selangor tanpa membezakan antara wakil rakyat daripada parti mana.

“Saya menghormati kepada prinsip demokrasi. Mereka dipilih oleh rakyat dan menjadi ADN, maka menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan pembangunan bagi membantu rakyat, di kawasan berkenaan.

“Tetapi 12 ahli BN mengambil keputusan untuk tidak mahu menerima peruntukan terbabit, namun itu hak mereka tetapi di pihak Kerajaan Negeri kita tetap berikan peruntukan buat semua ADN.

“Kalau ADN BN pun kita beri, maka sudah tentu ahli parti lain juga menerima sebagai hak mereka sebagai ADN.

Mohamed Azmin juga menjelaskan, beliau menerima surat daripada beberapa ADN untuk memohon peruntukan bagi projek pembangunan dan perkara itu sudah dilanjutkan kepada pegawai daerah untuk diteliti lebih lanjut.

“Namun, sekirannya ada masalah di peringkat daerah seperti sebarang bentuk kelewatan, maka mereka boleh bertemu dengan pegawai daerah atau saya sendiri,” katanya.

Categories
SELANGOR

Silap mata SPR: ‘Super DUN’ muncul lagi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 JAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermain silap mata dengan menghilangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Alam Shah di kawasan sedia ada sebelum memindahkannya ke kawasan baru.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar berkata, langkah SPR itu menyebabkan pengundi di DUN Pandamaran bertambah dari kira-kira 30,000 kepada sekurang-kurangnya 60,000 orang, iaitu pertambahan 100 peratus.

“Kota Alam Shah yang lama tidak lagi wujud tetapi digabungkan dengan DUN Pandamaran menjadikannya sebagai ‘super DUN’.

“Sebelum ini, pengundi Pandamaran kira-kira 30,000 tetapi menjadi lebih 60,000 hingga 75,000 pengundi. Saya simpati dengan ADN Pandamaran akan datang kerana sudah pasti dia tidak dapat mencakupi keseluruhan kawasan ekoran terlalu besar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Pendengaran Awam Persempadanan Semula SPR, di Hotel Concorde di sini, hari ini.

Katanya, langkah SPR itu memberi gambaran terdapat ‘tangan pihak ketiga’ dalam menentukan persempadanan untuk dilaksanakan SPR.

Terdahulu, beberapa kawasan DUN dikuasai Pakatan Harapan di Selangor turut dilabelkan sebagai ‘super DUN’ apabila mengalami pertambahan besar jumlah pengundi sehingga mengatasi pengundi di beberapa Parlimen dikuasai Umno-BN.

Keadaan itu dianggap menguntungkan Umno-BN dengan jumlah kerusi lebih banyak.

Categories
SELANGOR

#Selangor18: Ahli Dewan Negeri terima RM200,000 perkenal Tabung Penyayang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri bercadang menubuhkan Tabung Penyayang melalui peruntukan tambahan RM200,000 kepada setiap Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bantuan berkenaan turut disalurkan kepada Penyelaras Dewan Negeri dan Parlimen untuk tujuan program kemasyarakatan.

Katanya, pelaksanaannya juga disalurkan bagi penganjuran program ziarah medik dan keperluan kebajikan seperti sumbangan makanan asas serta keperluan persekolahan.

“Saya juga ingin mencadangkan peruntukan tahunan JKKK dinaikkan dari RM10,000 setahun kepada RM20,000.

“Ia bagi membantu 371 JKKK Kampung Tradisi dan 78 JKKK Kampung Tradisi dan 78 JKKK Kampung Baru Cina dan Bagan untuk menganjurkan aktiviti kampung serta program mesra rakyat,” katanya ketika membentangkan cadangan Belanjawan Selangor 2018, di Dewan Negeri Selangor, petang tadi.

Terdahulu, Kerajaan Negeri bercadang RM3.12 bilion bagi Belanjawan Selangor 2018 dengan 53.2 peratus diperuntukkan bagi belanja pembangunan.

Mohamed Azmin berkata, belanja pembangunan merangkumi RM1.66 bilion sementara baki RM1.46 bilion diperuntukkan bagi belanja pengurusan meliputi 46.8 peratus.

Categories
SELANGOR

Wakil ADN pembangkang terus catat kehadiran kosong pada Mesyuarat PAC

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 18 OGOS: Kehadiran Ahli Dewan Negeri (ADN) pembangkang pada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Dewan Negeri Selangor (DNS) masih mengecewakan walaupun pelbagai teguran sudah dibuat, di peringkat Kerajaan Negeri.

Ahli Jawatankuasan PAC, Rodziah Ismail berkata, mesyuarat terkini jawatankuasa berkenaan bagi siri bilangan (tujuh) 7/2017 hanya dihadiri wakil dalam kalangan ADN Kerajaan PAKATAN sahaja.

“Mesyuarat Jawatankuasa PAC Negeri Selangor Bilangan 7/2017 dihadiri ADN Kerajaan Negeri sahaja. ADN Barisan Nasional (BN) pembangkang seperti biasa, tidak hadir. Tahun ini kehadiran kosong,” katanya yang juga ADN Batu Tiga, di Twitter.

RodziahTerdahulu, Pengerusi PAC Selangor, Ng Suee Lim pada perbahasan di DNS Julai lalu turut menyatakan kekecewaan beliau berhubung komitmen kehadiran ahli jawatankuasa ADN pembangkang, pada mesyuarat berkenaan.

Beliau berkata, manakala pada sesi 2017 belum ada kehadiran dicatatkan dua ahli jawatankuasa BN dan hanya sekali kehadiran dicatatkan tahun lalu.

Katanya, pembangkang perlu lebih bertanggungjawab dengan memainkan peranan dalam usaha membangunkan kesejahteraan penduduk, di Selangor.

“11 kali PAC bermesyuarat pada 2016, Sungai Burung hanya hadir sekali sahaja dan Jeram kosong. Tahun ini, kita sudah bermesyuarat enam kali tetapi mereka belum hadir.

“Mereka amat lesu sama seperti PAC Dewan Rakyat yang kerap digasak Ahli Parlimen tetapi di Selangor, PAC pula memainkan peranan pro aktif dan ahlinya yang lesu,” katanya.

Categories
SELANGOR YB ACTIVITIES

Ziarah Anda Di Hati Kami taut uhkuwah warga Bangi

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 JUN: Kehadiran Ramadan terus disemarak dengan aktiviti kegemaran Ahli Dewan Negeri Bangi, Shafie Ngah iaitu Ziarah Anda Di Hati Kami.

SHAFIE NGAH ZIARAH (2)Pada 3 Jun lalu, tujuh keluarga di Sungai Ramal dikunjung dan disantuni Shafie yang turut menyerahkan sumbangan barangan keperluan asas, wang tunai serta kerusi roda bagi golongan memerlukan.

“Ini aktiviti wajib kita dalam usaha meringankan beban dan mengukir sedikit senyuman, pada wajah mereka.

“Kebiasaannya kita menziarahi warga emas yang terlantar sakit, pesakit buah pinggang, strok atau penyakit kronik lain serta warga asnaf dan ibu tunggal,” katanya kepada Selangor Kini.

Pada masa sama, Shafie turut berkesempatan mengunjungi lebih 40 daripada 120 masjid dan surau yang terdapat di DUN Bangi, sejak awal Ramadan lalu.

“Kita lakukan aktiviti berbuka puasa dan solat terawih bersama-sama secara berjemaah. Bagi saya, ia antara landasan utama untuk berjumpa dengan masyarakat dan mendengar permasalahan mereka.

“Secara tidak langsung, silaturrahim antara pimpinan dan rakyat juga dapat dieratkan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Lompat parti, ADN Selangor tolak tawaran RM10 juta

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 9 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok, Dr Idris Ahmad kekal dengan pendirian untuk kekal menyokong pentadbiran negeri walaupun menerima tawaran RM10 juta untuk meninggalkan parti,

Beliau berkata, tidak akan mengingkari amanat yang digalas walaupun menerima habuan dan tawaran tinggi.

“Jika orang mengenali saya, mereka akan tahu saya tidak akan meninggalkan kerajaan ini.

Semangat 505“Saya tidak akan meninggalkan PAKATAN walaupun mereka (pihak tertentu) menawarkan RM10 juta,” katanya, lapor The Malaysian Insight.

Media Pro-Umno sebelum ini melaporkan spekulasi membabitkan ADN Selangor yang akan melompat parti akan berlaku, sekali gus membolehkan kerajaan campuran dibentuk.

Bagaimanapun, spekulasi itu dinafikan keras ADN seluruh negeri membabitkan komponen PAKATAN bersama permuafakatan dengan PAS.

Pendirian itu turut dinyatakan ADN Gombak Setia daripada PAS yang kekal menyokong pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah urus tadbir, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Dengan rahmat Allah SWT, saya akan tetap berpegang dengan PAS dan menyokong Kerajaan Negeri,” katanya.

Sementara itu, wakil rakyat DAP, Tiew Way Keng yang juga ADN Teratai menyifatkan spekulasi berkenaan hanya propadanga dan permainan politik Umno-Barisan Nasional (BN).

“Saya tidak tahu apa yang BN cuba lakukan dengan mewujudkan kekeliruan ini,” katanya.

Kerusi DUN Selangor terdiri dari 29 ADN PAKATAN dan 13 wakil PAS.

Manakala, 11 dipegang BN dan dua wakil bebas dan kerusi Sungai Air Tawar kini kosong ekoran kematian wakil rakyat BN, Kamarol Zaki Abdul Malik.