Categories
NASIONAL

Hishamuddin Rais bebas hukuman penjara Akta Hasutan

PUTRAJAYA, 16 MEI: Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Tinggi Persekutuan awal tahun ini ke atas aktivis Hishamuddin Rais yang dijatuhkan bersalah melakukan hasutan.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat menerima rayuan Hishammuddin dan mendapati tidak ada sebarang alasan untuk mengganggu keputusan Mahkamah Sesyen sebelum ini yang menjatuhkan hukuman denda RM5,000 sahaja.

Isham1-650x340“Ini adalah keputusan sebulat suara, kami mendapati tidak ada alasan untuk mengganggu keputusan Mahkamah Sesyen,” kata Tengku Maimun semasa penghakimannya, lapor Roketkini.com.

Pada 15 Januari tahun ini, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan ke atas Hishamuddin kerana mendapati memberi ucapan berbaur hasutan dalam satu forum pada 13 Mei 2013.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat selepas rayuan menerima rayuan pihak pendakwa terhadap keputusan asal Mahkamah Sesyen pada 9 Januari 2015 yang menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap Hishamuddin.

Selain badan-badan masyarakat sivik, aktivis politik dan sosial, turut hadir ke mahkamah memberikan solidariti kepada beliau ialah Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, bersama beberapa Ahli Parlimen DAP yang lain.

EZY

Categories
SELANGOR

Hujan lebat tak halang lebih 100 bersolidariti depan IPD PJ

OLEH : NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 26 APR: Hujan lebat tidak menghalang lebih 100 penyokong bersolidariti di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk memberikan sokongan kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Mereka turut membawa pelbagai sepanduk dan poster bagi menyatakan sokongan sambil melaungkan slogan reformasi menolak akta hasutan.

MB AzminMohamed Azmin yang hadir selepas dipanggil untuk diambil keterangan tiba di sini kira-kira jam 4.02 petang tadi.

Sebaik tiba Mohamed Azmin yang tidak menghiraukan hujan sempat bertemu untuk bersalaman dengan barisan kepimpinan dan orang ramai yang menunggu sejak jam 3.30 petang lagi.

Antara yang kelihatan Exco-exco, Dato’ Iskandar Abdul Samad, Dr Daroyah Alwi, Amirudin Shari dan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Mohd Shafie Ngah.

Selain itu Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri (DNS) yang turut kelihatan, Zuraida Kamaruddin, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Tian Chua, Ng Sue Lim, Dr Rani Osman, Hasbullah Ridzwan dan lain-lain.

Ketika berita ini ditulis pada jam 5.25 petang, Mohamed Azmin masih belum keluar daripada tempat beliau berikan keterangan.

EZY

Categories
NASIONAL

Gugurkan semua pertuduhan Akta Hasutan

SHAH ALAM 12 FEB: Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) menyambut baik pengguguran dakwaan hasutan ke atas Pensyarah Undang-Undang Universiti Malaya, Prof Madya Dr Azmi Sharom.

Penyelaras Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH), Amir Abd Hadi, berkata
berharap semua tuduhan hasutan yang lain turut dikaji semula serta digugurkan sama sekali.

Akta HasutanKatanya, tidak adil sekiranya pertuduhan lain, yang juga dibuat secara tidak adil, serta bertentangan dengan semangat kebebasan bersuara yang dijamin didalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, diteruskan.

“Peguam Negara tidak seharusnya menjadikan pengguguran pertuduhan itu sebagai publisiti untuk beliau menutup kontroversi bersama SPRM berkaitan kes derma Perdana Menteri.

“Beliau mesti menunjukkan kepada rakyat bahawa beliau ikhlas dalam usaha mereformasikan sistem perundangan,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya, Akta Hasutan itu sendiri sudah tidak relevan untuk digunakan apabila sudahpun berada di 2016 apabila hampir 59 tahun kita mencapai kemerdekaan dari penjajah British.

“Ini sudah masanya kita memberikan erti kemerdekaan sebenar buat seluruh rakyat Malaysia.

“Jangan sia-siakan pengorbanan nenek moyang kita untuk mencapai kemerdekaan dengan meneruskan penggunaan akta tinggalan penjajah ini,” katanya.

Sebelum ini pelbagai pihak mengecam tindakan Kerajaan Persekutuan mengenakan pendakwaan terhadap pimpinan pembangkang dan aktivis politik dengan akta hasutan.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kezaliman Akta Hasutan berterusan

Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) mengutuk sekeras-kerasnya penahanan terbaru ke atas dua individu semalam dan pada hari Krismas.

Penahanan ke atas Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), saudara Khairul Nizam bin Abd Ghani di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia tidak sepatutnya berlaku.

Semalam, saudara Khairul Nizam hadir secara sukarela ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman (sebelum diarah untuk hadir ke IPD Dang Wangi), bagi membantu siasatan Polis berhubung kenyataan beliau di media sosial berkaitan penahanan saudara Khalid Ismath.

Walaupun Khairul Nizam telahpun hadir secara sukarela dan memberi kerjasama penuh, namun beliau telahpun ditahan oleh pihak Polis dibawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Manakala pada 25 Disember 2015, seorang wanita dari Johor Bahru telah melaporkan salahguna kuasa Polis di media sosial turut ditahan di bawah Akta Hasutan.

Kedua-dua penahanan terbaru ini membuktikan bahawa Akta Hasutan terus disalahgunakan bagi menyekat kebebasan bersuara rakyat biasa.

GHAH menuntut agar siasatan di bawah Akta Hasutan terhadap mereka ini dihentikan dengan segera.

Akta Hasutan tidak harus digunakan ke atas sesiapa yang dilihat mengkritik atau menyoal tindakan pihak berkuasa atau kerajaan.

Akta ini jelas menafikan hak rakyat untuk bersuara seperti dijamin di bawah Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan, mengancam sistem demokrasi negara ini dan perlu dimansuhkan.
Dikeluarkan oleh,
Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH)

Categories
KENYATAAN MEDIA

Solidariti ProGuam lawan Akta Hasutan 1948

ProGuam komited bersama rakyat Malaysia dalam menentang undang-undang hegemoni iaitu Akta Hasutan 1948 dengan menyatakan solidariti dalam satu kes yang akan menentukan nasib seorang anak muda berani dan berwawasan,Muhammad Safwan Anang.

Safwan yang dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen Jenayah 1 Kuala Lumpur pada 6 September 2014 atas pertuduhan memberikan ucapan menghasut bagi membangkitkan kemarahan rakyat untuk mengubah kerajaan tertubuh mengikut undang-undang dengan menggunakan cara tidak sah kini menanti keputusan kes rayuan yang akan diputuskan esok,16 Disember 2015 di Mahkamah Tinggi Jenayah 1 Kuala Lumpur.

Komitmen ini diperkukuh apabila Safwan diwakili oleh ProGuam secara pro bono bagi menandakan aspirasi perjuangan rakyat adalah tidak ternilai harganya.

Safwan diwakili oleh Pengarah ProGuam, saudara NoorAzmir Zakaria dan Timbalannya, saudara Ariff Azami Bin Hussein.

Oleh yang demikian,semua pejuang hak asasi manusia dan media dijemput beramai-ramai ke Mahkamah Tinggi Jenayah 1 Kuala Lumpur, 9 pagi esok bagi menyatakan solidariti ke atas salah satu Akta yang mencengkam hak asasi rakyat.

MUHAMMAD ZAKI SUKERY
KOORDINATOR KOMUNIKASI PROGUAM

Categories
NASIONAL

10 pemimpin tekad terus lawan kezaliman Akta Hasutan

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 OKT: 10 individu termasuk Ahli Parlimen PKR Subang, Sivarasa Rasiah yang bakal didakwa di bawah Akta Hasutan bertekad untuk terus melawan kezaliman akta itu.

#KitaLawan10 yang didakwa itu adalah Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin; ADUN Teja, Chang Lih Kang; ADUN Semambu, Lee Chean Chung, Pemimpin Jingga 13, Fariz Musa; aktivis Mandeep Singh, Adam Adli dan Rozan Azen Mat Rasip yang merupakan pembantu kepada Tian Chua.

Akta HasutanTian Chua menyifatkan tuduhan yang dikenakan itu sebagai tuduhan tidak berasas.

Malah, katanya, tindakan dilakukan sebelum ini adalah hak individu yang termaktub dalam perlembagaan.

“Tuduhan tiada asas. Apa yang kita lakukan adalah hak yang termaktub dalam perlembagaan,” katanya kepada SelangorKini.

Tian Chua menasihatkan supaya Adun dan Ahli Parlimen yang bakal didakwa supaya tidak harus takut akan kehilangan kelayakan sebagai wakil rakyat.

Selain itu, Tze Tzin pula berkata #KitaLawan10 adalah mangsa kepada pendakwaan terpilih oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata tindakan pendakwaan itu hanya bertujuan mahu ‘melenyapkan’ beliau dan beberapa pemimpin lain.

“Akta Perhimpunan Aman digubal utk beri hak kebebasan berhimpun. Sekarang kami pula didakwa kerana berhimpun secara aman.

“Ramai Ahli Parlimen dan Adun yang terbabit dalam pendakwaan itu. Kami akan kehilangan kerusi jika disabit kesalahan.

“Mereka sebenarnya ingin menyenyapkan kami melalui pendakwaan, tapi kami tidak akan mengalah. Lawan tetap lawan. Kami yakin rakyat adalah hakim negara,” katanya.

Pada 8 September lalu, mereka didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012 dengan mengambil bahagian dalam perhimpunan Kita Lawan antara 28 Februari dan 28 Mac.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4 (2) (c) PAA dan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga ahli Parlimen PKR itu boleh kehilangan status ahli Parlimen mereka jika didapati bersalah. Mereka akan secara automatik hilang kelayakan sebagai wakil rakyat jika didenda RM2,000.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Hari kelam buat kebebasan bersuara

Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) hari ini melahirkan rasa kecewa atas keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Persekutuan dalam semakan kehakiman kes Akta Hasutan yang telah difailkan oleh Prof Azmi Sharom.

Akta Hasutan 1948 seperti yang diketahui umum selama ini, adalah akta drakonian dan zalim yang dicipta oleh penjajah untuk menahan individu dan menyekat kebebasan bersuara terutama dalam perjuangan menuntut kemerdekaan negara suatu masa dahulu.

Mengekal dan menggunakan akta tinggalan penjajah ini malah boleh dianggap sebagai suatu penghinaan besar kepada kemerdekaan dan kedaulatan negara kita.

Akta HasutanMengulangi semula tuntutan yang diperjuangkan oleh GHAH sejak sekian lama; dengan perkembangan hari ini yang menyaksikan bahawa Akta Hasutan 1948 kekal digunakan biarpun dengan begitu banyak hujah yang mewajarkan pemansuhan dan ketidak berperlembagaannya, kami tetap dengan keras menggesa kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 dengan serta merta, tanpa perlu digantikan dengan mana-mana akta lain.

Biarpun apa keputusannya, GHAH akan meneruskan gerak kerja sehingga akta zalim ini dihapuskan serta merta.

Dalam masa yang sama juga, GHAH ingin mengingatkan kerajaan bahawa perkembangan mutakhir ini turut mendapat perhatian kami apabila sekian ramai aktivis dan pemimpin politik ditahan dan disiasat di bawah 124B dan 124C Kanun Keseksaan, sebagai ganti kepada Akta Hasutan.

Kenyataan atau tindakan mengkritik dasar dan kecurangan kerajaan dan pemimpin negara, adalah hak dan tanggungjawab setiap warganegara.

Isu ini sama sekali tidak dipandang ringan oleh kami. Sebarang bentuk pencabulan hak kebebasan bersuara rakyat Malaysia seperti yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan akan terus kami tentang bersama.
Mansuhkan Akta Hasutan!

Di sediakan oleh,
Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH)

Categories
KENYATAAN MEDIA

AG patut gugur semua pertuduhan di bawah Akta Hasutan

Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) merujuk kepada berita bahawa Peguam Negara telah menggugurkan pendakwaan hasutan terhadap Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Melayu, Mohamad Ali Baharom, atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju dan ingin menyatakan bahawa ini adalah satu perkembangan yang baik.

Ini adalah kerana Akta Hasutan 1948 merupakan akta zalim yang menindas, yang digubal oleh penjajah untuk menekan dan mencengkam rakyat.

Walau bagaimanapun, menurut Pendakwa Raya sebagaimana yang dilaporkan dalam berita, kes Ali Tinju digugurkan kerana kononnya kekurangan bukti. Ini amat sukar diterima kerana ucapan Ali Tinju telah dibuat di khalayak ramai dan disebar luas.

Akta HasutanGHAH juga ingin mengingatkan Peguam Negara bahawa Akta Hasutan telah baru dipinda dan definisi ‘kecenderungan menghasut’ telahpun tidak merangkumi pihak ‘kerajaan’ dan juga pembangkitan ‘perasaan tidak setia terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia atau di mana-mana Negeri’ – dan oleh itu bukan lagi merupakan satu kesalahan hasutan.

Ali Tinju merupakan seorang individu yang jelas penyokong Barisan Nasional, maka adalah amat penting Peguam Negara bertindak professional dan memberi layanan yang sama rata kepada para akitivis dan ahli politik yang mengkritik kerajaan juga.

Kami dengan ini menuntut agar Peguam Negara kini mengkaji semula dan menarik balik kesemua pertuduhan lain di bawah Akta Hasutan demi keadilan saksama.

Sekiranya tidak, maka akan dilihat Peguam Negara akan dituduh sebagai beraksi secara dwi standard dan bersifat berat sebelah.

Di sediakan oleh,
Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH)

Categories
NASIONAL

Akta Hasutan jadi kepentingan politik BN

SHAH ALAM 8 DIS: Tindakan siasatan terhadap ADUN Taman Medan, Haniza Talha di bawah Akta Hasutan berhubung isu dana Permata menunjukkan ketidakadilan Kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli MPP PKR, N Surendran, berkata tindakan itu membuktikan Kerajaan BN menyalahgunakan Akta Hasutan untuk kepentingan politik mereka.

surendran speech mic 02Katanya, hal itu bertentangan dengan kenyataan Najib yang mahu mengekalkan Akta Hasutan dalam usaha mengekalkan keharmonian antara kaum.

“Bagaimana ADUN yang dipilih rakyat dianggap melakukan jenayah apabila mempersoalkan peruntukan Permata, apa kena mengena peruntukan itu dengan keharmonian kaum,” kata Surendran dalam kenyataan media.

Beliau berkata, Najib dan pemimpin Umno harus berhenti menipu rakyat dengan menyatakan Akta Hasutan digunakan untuk mengekalkan keharmonian kaum.

“Ia adalah tindakan melampau apabila Akta Hasutan digunakan terhadap wakil rakyat seperti Haniza Talha yang hanya mempersoalkan peruntukan bagi pihak rakyat,” katanya.

Categories
SELANGOR

BN Selangor: Usul tergempar Akta Hasutan gimik Kerajaan Negeri

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 3 DIS: Usul tergempar gesa Kerajaan Pusat mansuh Akta Hasutan 1948 hanya gimik politik Kerajaan Selangor, kata Ketua Pembangkang, Shamsuddin Lias.

Katanya, semua ADUN Barisan Nasional (BN) membuat pendirian untuk tidak mengambil bahagian dalam perbahasan itu kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah memberi kenyataan untuk mengekal dan menambahbaik akta terbabit.

“Usul berkenaan hanya gimik politik untuk menimbulkan isu dan membangkitkan perasaan tidak baik kepada rakyat atas asas rasional mereka iaitu kebebasan bersuara.

shamsudin lias“Saya hendak tegaskan kebebasan bersuara ini tertakluk kepada perlembagaan perkara 10(2) dinyatakan rakyat bebas bersuara tetapi kebebasan bersuara ini bukan sesuatu yang mutlak,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

ADUN Sungai Burong itu berkata, usul berkenaan harus dibincangkan di peringkat pusat kerana ia melibatkan undang-undang Persekutuan, bukan Kerajaan Negeri.

“Kita tidak perlu untuk membahaskan kerana perkara ini tanggungjawab pihak Persekutuan di bawah peruntukan jadual 9 perkara keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

sidang dun 04Dewan Negeri Selangor (DNS) yang bersidang hari ini meluluskan usul tergempar menggesa Kerajaan Pusat memansuhkan Akta Hasutan 1948.

Usul yang dibawa Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) itu disokong Saari Sungip (PAS-Hulu Kelang), Tiew Way Kang (DAP-Teratai) dan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) dan diluluskan DNS sebulat suara tanpa sebarang bantahan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

‘Sudah cukup sudah’ jadi tema ADUN Sekinchan bahas Akta Hasutan

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 3 DIS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim tampil dengan cara berbeza ketika membahaskan usul memansuhkan Akta Hasutan 1948 dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Beliau yang terkenal dengan kepetahan berhujah menggunakan bibit lagu ‘Sudah Cukup Sudah’ nyanyian kumpulan Nirvana Band dari Indonesia bagi menggesa Umno memansuhkan akta yang disifatkan zalim terhadap rakyat.

Beliau berkata, akta itu juga hanya mendakwa pemimpin pembangkang, sekali gus jelas menunjukkan ia hanya kepentingan politik sahaj.

ng suee lim“Umno jangan jadi juara ketika Perhimpunan Agung Umno kononnya mempertahankan Akta Hasutan, kalau rakyat tolak jadi juara kampung sahaja.

“Umno perlu ambil ikhtibar dari Parti Kuomintang (KMT) di Taiwan yang kalah teruk kerana orang muda tolak parti yang tidak ikut peredaran masa,” katanya.

Suee Lim turut melahirkan simpatinya kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA, MIC dan Gerakan yang tidak ‘dihormati’ hak dan pandangan mereka berhubung tindakan Umno mengekalkan akta berkenaan.

“Sebagai parti komponen di mana maruah mereka? Tidak dihormati langsung kerana Presiden Umno isytihar akta itu kekal hanya dalam PAU.

“Mana kesepakatan mereka? Cukuplah MCA, jangan melukut di tepi gantang bersama BN demi mengejar jawatan,” katanya.

Beliau juga menyelar sikap ADUN BN-Umno yang bertindak keluar dewan sewaktu usul itu dibahaskan.

undi-bn-end“Umno semakin bisu dan lesu dengan mengambil pendekatan keluar dewan dan duduk di luar. Mereka lebih fikir diri-sendiri dari fikir kehendak rakyat,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi program transformasi kerajaan berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan pada 2012 walaupun pimpinan Umno dan menteri kabinet berhasrat mengekalkan akta berkenaan.

Kerajaan juga kini sedang dalam perancangan menggubal Akta Keharmonian Nasional bagi menggantikan Akta Hasutan yang dikelolakan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional.

Bagaimanapun, Najib ketika ucapan dasar pada PAU berkata Akta Hasutan tidak akan dimansuhkan, sebaliknya akan diperkuatkan dengan dua elemen tambahan bagi mengukuhkan akta berkenaan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

PR usul mansuh Akta Hasutan, BN keluar sidang DNS

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 3 DIS: Dewan Negeri Selangor (DNS) yang bersidang hari ini meluluskan usul tergempar menggesa Kerajaan Pusat memansuhkan Akta Hasutan 1948.

Usul yang dibawa Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) itu disokong Saari Sungip (PAS-Hulu Kelang), Tiew Way Kang (DAP-Teratai) dan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan).

“Pendirian PM yang membelakangkan janjinya menunjukkan sikap hipokrit atau dalam bahasa Arab, ‘munafik’.

sidang dun 04“Respon parti komponen BN yang lain berkenaan pendirian terbaru Perdana Menteri itu sangat menarik, yang mana pemimpin MCA dan MIC berkata keputusan akta terpenting itu tidak pernah dibincangkan dalam kabinet,” katanya.

Weng San berkata demikian sebagai merujuk keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden Umno untuk tidak memansuhkan akta hasutan ketika perhimpunan agung parti itu, baru-baru ini.

Sementara itu,  Saari Sungip yang pernah dua kali ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menyifatkan Akta Hasutan berkenaan menindas dan menghalang rakyat bersuara.

“Ini adalah perjuangan rakyat menentang kezaliman, perjuangan untuk menjamin kebebasan bersuara. Sesungguhnya, negara ini tidak perlu akta yang kejam sebaliknya wujudkan akta yang mampu mewujudkan suasana harmoni,” katanya.

eliau turut memuji usul yang dibawa Weng San yang sifat konsisten beliau menentang akta yang zalim ini.

“Tahniah DUN Selangor yang merupakan dewan pertama yang membawa usul menentang dan berusaha memansuhkan Akta Hasutan ini,” katanya.

Sementara itu, Way Kang ketika membahaskan usul terbabit turut mempersoalkan sikap acuh tidak acuh Perdana Menteri terhadap suara rakyat yang inginkan akta itu dimansuhkan.

“Pengumuman Perdana Menteri untuk mengekalkan Akta Hasutan tempoh hari jelas membuktikan beliau seorang pembohong.

“Keputusan itu juga membuktikan kerajaan yang dapat sokongan minoriti pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu memandang rendah kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu, semua ADUN Barisan Nasional keluar dari sidang DNS ketika usul tergempar itu dibangkitkan.

Usul terbabit diluluskan sebulat suara tanpa sebarang bantahan.

-NFN-