Categories
SELANGOR

Alinah : JMB Dan MC Perlu Bergerak Lebih Efektif

datin-alinah

PETALING JAYA 7 JULAI : Sehubungan itu, satu seminar dianjurkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menganjurkan seminar bagi memberi pendedahan kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Jawatankuasa Pengurusan (MC) bangunan berstrata supaya dapat berfungsi dengan baik dan berkesan.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datin Paduka Alinah Ahmad berkata, seminar ini juga memberi peluang kepada JMB dan wakil penduduk yang hadir untuk mengemukakan soalan dan masalah yang dihadapi seterusnya mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan tersebut.

Katanya, JMB dan MC perlu bertindak lebih efektif dalam menjamin kualiti kehidupan di bangunan berstrata sentiasa berada dalam keadaan baik.

Ini kerana penghuni perlu berkongsi semua harta bersama seperti lif, tangga, taman, kolan, tangki, paip dan bumbung.

“Faktor yang paling penting dalam menjamin kualiti kehidupan di bangunan berstrata adalah tahap kesedaran dan keprihatinan setiap penghuni khususnya JMB dan MC bangunan berbilang tingkat kepada kebersihan, keselesaan dan keselamatan serta aspek pengurusan dan penyenggaraan bangunan,” katanya.

Peserta seminar diharap dapat meningkatkan pengetahuan dan kefahaman pengurusan dan penyelenggaraan bangunan berstrata dalam aspek pentadbiran, operasi penyelenggaraan, pengurusan keselamatan melalui seminar ini.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke program MBPJ Bersama Penghuni Berstrata 2013 di Dewan D’Kelana, Petaling Jaya di sini hari ini.

Dalam pada itu, seminar berkenaan memberi fokus kepada beberapa topik utama seperti pembentangan penguatkuasaan di bawah Akta 133, program pasukan keselamatan kejiranan PJ dan program ‘low carbon’.

Categories
SELANGOR

Skim Banteras Vandalisme Di 30 Kawasan Flet Kos Rendah pada 2014

skim seroja

SHAH ALAM 19 JUN : Sebanyak 30 kawasan pangsapuri kos rendah sekitar negeri akan dipilih untuk menyertai Skim Keselamatan Kejiranan Pangsapuri Negeri (Seroja) bagi tahun 2014.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad berkata Kerajaan Negeri menerima permintaan yang tinggi untuk skim itu dan ia dijangka akan dilaksanakan di lima kawasan pada tahun ini.

“Kita akan mengenal pasti kawasan-kawasan itu. Sekiranya lima kawasan itu berjaya dilaksanakan sebelum akhir tahun ini, kita akan teruskan ke 30 kawasan itu tanpa menunggu tahun 2014,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Mesyuarat Exco, di Bangunan SUK, di sini.

Iskandar menambah setiap kawasan pangsapuri yang menyertai skim itu akan menerima geran maksimum RM 10,000 yang diberi kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbandaran Pengurusan (MC) untuk program keselamatan dan latihan.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan memberi peralatan keselamatan seperti cotar, vest dan lampu suluh serta sumbangan kepada penduduk yang ditimpa musibah ketika melakukan rondaan.

Beliau berkata Kerajaan Negeri yakin skim itu dapat  membanteras kejadian vandalisme di pangsapuri-pangsapuri kos rendah.

“Perbuatan vandalisme menjadi beban kepada penduduk, contohnya di Pangsapuri Taman Indah Permai, Klang.

?Dimana lif-lif yang dibaiki oleh Kerajaan Negeri dengan kos lebih RM600,000 sudah rosak dalam masa satu tahun sahaja, jadi skim ini amat penting,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Air Percuma Mentari Court : Penduduk Dinasihat Desak JMB Sertai Program Lapor Dan Dapat

SHAH ALAM 27 OGOS :  Penduduk di Pangsapuri Mentari Court di Petaling Jaya dinasihat mendesak Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Management Corporation (MC) supaya cepat menyertai Program Lapor Dan Dapat bagi mendapatkan 20 meter padu air percuma.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan, Iskandar Samad berkata ia boleh dilakukan dengan mengisi borang yang khas yang disediakan.

“Ia hanya memerlukan seorang AJK JMB atau MC pergi ke pejabat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan mengisi borang tersebut yang hanya mengambil masa 10 minit,” kata Iskandar dalam kenyataan medianya.

Ujar beliau, dalam kes Pangsapuri Mentari Court itu, proses migrasi adalah di peringkat akhir.

“Sebarang ketidakpuasan hati perlulah ditujukan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

“Kerajaan Negeri sentiasa mengadakan perbincangan dengan Syabas agar proses migrasi ini dipercepatkan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya penstrukturan industri air dapat dilaksanakan dan pengagihan bekalan air adalah di bawah kuasa Kerajaan Negeri, proses migrasi ini boleh dipercepatkan.

“Kerajaan Negeri buat masa ini tidak akan membayar tunggakkan kepada mereka yang tidak mendapat air percuma.

Perkara itu saya jelaskan semasa Sidang Dewan Negeri pada bulan Mac lepas,” katanya.

Jelas beliau lagi, pada awalnya Syabas memerlukan persetujuan 100 peratus dari pemilik barulah migrasi boleh dijalankan.

Tetapi setelah diadakan perbincangan di antara Kerajaan Negeri dan Syabas, Syabas bersetuju agar peratus ini dikurangkan.

Dan ketika Syabas dipanggil ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) awal tahun ini, CEO Syabas, Datuk Lee Miang Koi berjanji kepada Menteri Besar,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membenarkan dua sistem di dalam sebuah pangsapuri.

Iaitu, satu sistem meter pukal dan satu sistem meter individu.

Ini bermakna bagi pemilik yang tidak memberi kerjasama untuk migrasi akan menggunakan meter pukal dan tidak akan mendapat air percuma 20 meter padu.

Sementara mereka yang bekerjasama akan menggunakan meter individu dan akan mendapat air percuma.

Kerajaan Negeri juga melaksanakan dua program iaitu Program Kupon Air dan Program Lapor Dan Dapat untuk memudahkan penduduk di pangsapuri kos rendah yang menggunakan meter pukal mendapat air percuma.

Program Kupon Air ini terlalu rumit dan  digantikan dengan Program Lapor Dan Dapat pada bulan Mac tahun ini.

“Setelah dilaksanakan Program Lapor Dan Dapat, hanya 12 pangsapuri kos rendah yang belum mendapat air percuma 20 meter padu.

“Selepas ini, Program Lapor Dan Dapat ini akan diperluaskan ke pangsapuri kos sederhana seperti Mentari Court yang menjadi tumpuan media sekarang,” katanya.

Categories
SELANGOR

Iskandar: Pembaikan Pangsapuri Teratai Dipantau MBSA

SHAH ALAM, 12 APR : Kerajaan Selangor akan meletakkan seorang jurutera Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk memantau kerja-kerja membaik pulih kerosakan bumbung dan rumah akibat ribut Februari lalu di Pangsapuri Teratai, Seksyen U16, Taman Bukit Subang, di sini sehingga selesai.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, keputusan itu dibuat kerajaan negeri selepas mengadakan mesyuarat tempoh hari bersama Penasihat Persatuan Penduduk, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Teratai, MBSA, Lembaga Perumahan dan Hasil Negeri (LPHS) serta wakil Ahli Parlimen Shah Alam.

Iskandar berkata, pihak JMB juga diminta untuk memberi kerjasama dengan memaklumkan kepada jurutera bertugas tentang pembaikan yang masih belum dilaksanakan.

“Berdasarkan hasil mesyuarat yang dilakukan pada 5 April lalu, kerajaan negeri mengarahkan pihak kontraktor untuk menyiapkan kerja-kerja di Blok 1 dan 2 serta memantau ke blok-blok lain dan melaksanakan kerja-kerja pembaikan dalam masa dua minggu (19 April),” katanya.

Iskandar juga memaklumkan, pihak kontraktor tidak dibenarkan untuk membuat sebarang tuntutan sehingga semua kerja-kerja selesai.

Beliau berkata, sekiranya masih terdapat sebarang permasalahan, penduduk boleh melaporkan terus kepada pegawai LPHS, Mohd Azuan di talian 016-2262484.

“Penduduk-penduduk Blok 1 dan 2 yang mengadakan demonstrasi sebelum ini tidak dimaklumkan bahawa pihak JMB telah menerima arahan berhubung kerja-kerja pembaikan tersebut.

‘Kerja-kerja pembaikan juga dianggarkan hanya sekitar RM160,000 sahaja dan bukan RM480,000 seperti yang didakwa,” tegasnya.

Pada 5 Februari lalu, Blok 1 dan 2 di Pangsapuri Teratai yang dimiliki swasta mengalami kerosakan teruk di bahagian bumbung dan rumah akibat ribut petir.

Bagaimanapun atas keprihatinan terhadap permasalahan penduduk, kerajaan Selangor menawarkan pembaikan bumbung melalui Skim Ceria dengan mengarahkan MBSA untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut.