Categories
EKONOMI

Kadar jangka pendek kekal stabil susulan operasi BNM

KUALA LUMPUR, 19 JUL: Kadar-kadar antara bank jangka pendek kekal stabil hari ini berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyerap lebihan mudah tunai dalam sistem kewangan.

Lebihan dalam sistem konvensional turun kepada RM19.76 bilion daripada RM24.47 bilion pagi ini, manakala dalam sistem Islam, angkanya berkurangan kepada RM6.70 bilion daripada RM11.59 bilion.

Terdahulu, BNM melaksanakan dua tender pasaran wang konvensional dan satu tender Qard lelongan matang pelbagai Islam (iRMA).

Pada 4 petang, bank negara menjalankan tender pasaran wang konvensional berjumlah RM19.70 bilion dan tender pasaran wang Murabahah sebanyak RM6.70 bilion, kedua-duanya untuk wang tiga hari.

Purata kadar faedah semalaman Islam sebanyak 2.96 peratus, manakala kadar satu, dua dan tiga minggu, masing-masing berada pada 3.03, 3.07 dan 3.12 peratus. – BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

MyFinTech 2019: Tongdun International kongsi ‘AI adalah masa depan’

KUALA LUMPUR, 1 JUL: Tongdun International yang berpangkalan di Singapura baru-baru ini menyertai MyFinTech Week 2019 (MyFW 2019) yang dihoskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Bertema ‘Shifting Tides: Future of Finance’, Presiden Tongdun, Jackal Ma hadir pada majlis perdana pertama BNM itu sebagai ahli panel dan penceramah pada sesi ceramah mengenai teknologi.

Beliau berkongsi mengenai ‘AI adalah Masa Depan’ dan pengalamannya sendiri mengenai bagaimana Tongdun berubah kepada pembekal perkhidmatan FinTech untuk meningkatkan kehidupan dengan memanfaatkan analisis membuat keputusan.

Apabila aktiviti penipuan berleluasa disebabkan oleh ledakan digital, beliau menerangkan bagaimana teknologi kecerdasan buatan (AI) dapat menyekat penipuan digital, sebagai contoh, Malaysia berada pada peringkat awal penemuan FinTech, keadaan yang serupa dengan China, beberapa tahun lelau.

“Peringkat inkubasi awal pembangunan FinTech sangat kritikal dalam meletakkan asas yang stabil untuk membuka jalan ke arah transformasi digital institusi kewangan.”

MyFW 2019 memberi tumpuan kepada lima bidang utama yang terdiri daripada kemasukan kewangan, ekonomi digital, insurtech, kewangan Islam dan keselamatan siber.

Ditubuhkan pada 2013, Tongdun Technology yang berpusat di Hangzhou, China ialah penyedia perkhidmatan pengurusan risiko pintar profesional pihak ketiga.

Tongdun komited membangunkan rangkaian integriti untuk mengintegrasikan AI ke dalam pengurusan risiko bagi menyediakan perniagaan kecil atau mikro penyelesaian kawalan risiko pintar komprehensif yang sangat cekap. – BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Kadar jangka pendek kekal stabil susulan operasi BNM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) — Kadar jangka pendek dijangka kekal stabil hari ini berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.

Mudah tunai hari ini dijangka sebanyak RM23.50 bilion dalam sistem konvensional dan RM15.23 bilion dalam dana Islam.

Bank pusat akan mengeluarkan dua tender pasaran wang konvensional RM1 bilion, masing-masing untuk tujuh hari dan 14 hari, dan dua tender Qard terdiri daripada RM1.2 bilion untuk tujuh hari dan RM900 juta untuk 16 hari.

BNM akan turut mengeluarkan tender repo berbalik RM500 juta untuk 31 hari.

Pada 4 petang, BNM akan menjalankan tender semalaman konvensional sehingga RM22.0 bilion dan tender semalaman Murabahah RM13.1 bilion. – BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Rizab antarabangsa BNM US$102.8 bilion pada 15 Mei

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah US$102.8 bilion pada 15 Mei, 2019 berbanding US$103.4 bilion pada 30 April, 2019.

Dalam kenyataannya bank pusat itu berkata paras rizab ini memadai untuk membiayai 7.4 bulan import tertangguh dan 1.1 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

BNM berkata komponen utama rizab antarabangsa pada 15 April terdiri daripada rizab mata wang asing sebanyak US$96.6 bilion, kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (US$1.1 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (US$1.1 bilion), emas (US$1.6 bilion) dan aset rizab lain (US$2.4 bilion).

Katanya aset termasuk emas dan tukaran asing serta rizab-rizab lain, termasuk SDR, berjumlah RM419.41 bilion, kertas kerajaan Malaysia (RM2.27 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM1.33 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM7.1 bilion), tanah dan bangunan (RM4.17 bilion) dan aset-aset lain (RM13.53 bilion).

Sementara itu, modal berbayar sebanyak RM100 juta, rizab (RM132.19 bilion), mata wang dalam edaran (RM109.66 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM165.91 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM14.54 bilion), lain-lain deposit (RM826.17 juta), kertas Bank Negara (RM14.41 bilion), peruntukan SDR (RM7.61 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM2.55 bilion). – BERNAMA

Categories
NASIONAL

TH kekal di bawah kawalan JPM

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 25 FEB: Lembaga Tabung Haji (TH) kekal di bawah kawalan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sekali gus menolak dakwaan bidang kuasa itu dipindahkan kepada Kementerian Kewangan.

Dalam kenyataannya, TH berkata, perkara itu tidak berubah dengan pengenalan Syarikat Tujuan Khas (SPV) seperti yang sudah dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet.

“Dakwaan dan tuduhan bahawa TH dipindahkan kepada Kementerian Kewangan adalah palsu dan tidak berasas sama sekali.

“TH juga diletakkan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM). BNM sebagai badan yang bebas dan di bawah pimpinan Gabenor, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus mengawal selia semua bank dan institusi kewangan di dalam negara termasuk institusi kewangan Islam,” katanya.

Terdahulu, TH dilemparkan dakwaan berhubung isu berkaitan selepas keputusan Jemaah Menteri untuk memindahkan aset yang tidak menguntungkan kepada SPV milik kerajaan.

Kenyataan sama turut menyebut, pemindahan aset berkenaan adalah sebahagian daripada usaha mengembalikan keadaan kewangan TH kepada normal selain mempercepatkan proses pemulihan kewangan institusi terbabit selepas berlaku salah laku secara besar-besaran.

 

Categories
EKONOMI

BNM dijangka kekalkan OPR pada 3.25 peratus

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.25 peratus memandangkan keperluan untuk mengimbangi antara tekanan aliran keluar modal dan sokongan pertumbuhan, kata RAM Ratings.

Firma penyelidikan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, walaupun inflasi keseluruhan diunjur meningkat tahun ini, kadar peningkatannya tidak dijangka menjadi titik pencetus, berbanding risiko penurunan pertumbuhan daripada konsolidasi fiskal, pasaran modal yang tidak menentu, ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan ketidakpastian berhubung Brexit.

Inflasi dijangka rendah pada -0.5 peratus pada Januari 2019 (Dis 2018: +0.2 peratus), dalam keadaan tekanan deflasi daripada komponen bahan api pengangkutan.

“Pada masa depan, inflasi keseluruhan dijangka meningkat kepada 2.0 peratus tahun ini, dipacu terutamanya daripada jangkaan kesan limpahan berterusan daripada pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan dan kesan asas rendah semasa tempoh tiga bulan tanpa Cukai Barang dan Perkhidmatan (Jun-Ogos 2018).

“Kesan itu dibayangkan terutamanya bagi komponen makanan, dan akan menjadi pemacu utama inflasi keseluruhan pada 2019,” katanya, lapor BERNAMA.

Categories
EKONOMI

Rizab antarabangsa BNM meningkat kepada ASD101.7 bilion

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) – Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah ASD101.7 bilion pada 15 Jan, 2019, lebih tinggi sedikit daripada ASD101.4 bilion pada 31 Dis, 2018.

“Paras rizab ini memadai untuk membiayai 7.3 bulan import tertangguh dan 1.0 kali hutang luar negara jangka pendek,” kata BNM dalam kenyataan hari ini.

Komponen utama rizab antarabangsa terdiri daripada rizab mata wang asing pada ASD95.8 bilion, kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) (ASD900 juta), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (ASD1.1 bilion), emas (ASD1.6 bilion) dan lain-lain aset rizab (ASD2.3 bilion).

BNM berkata aset termasuk emas dan pertukaran asing dan rizab-rizab lain termasuk SDR pada RM420.44 bilion, kertas kerajaan Malaysia (RM3.39 billion), deposit dengan institusi kewangan (RM1.31 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM6.95 bilion), tanah dan bangunan (RM4.17 bilion), dan rizab-rizab lain (RM11.618 bilion).

Liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM132.70 bilion), mata wang dalam edaran (RM108.4 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM159.79 bilion), deposit kerajaan Persekutuan (RM18.08 bilion), deposit-deposit lain (RM735.23 juta), kertas BNM (RM18.78 bilion), peruntukan SDR (RM7.74 bilion), dan liabiliti-liabiliti lain (RM1.55 bilion).

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pendeposit TH patut lega, jangan layan golongan rasis pekat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 DIS: Golongan mendakwa langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menyelia perkembangan Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai percubaan pihak tertentu merosakkan institusi itu dibidas.

Ahli Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Dr Rosli Yaakob berkata, dakwaan ini hanyalah suara golongan berfahaman rasis pekat dan tidak berlandaskan fakta sebenar.

“Dakwaan kononnya TH diletak bawah BNM, BNM bawah Menteri Kewangan yang seterusnya percubaan untuk ambil alih dan rosakkan TH sebenarnya bermain sentimen, bukan fakta tetapi retorik yang tak berasaskan fakta dikeluarkan oleh suara yang pekat fahaman rasisnya.

“Apabila orang yang tak reti kewangan ini kata BNM ambil alih urusan TH, itu adalah pandangan yang tak betul tetapi sebenarnya BNM hanya menyelia, fokus untuk membantu TH sehinggalah dipulihkan sementara TH terus menguruskan asetnya,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Beliau yang juga Bekas Timbalan Pegarah BNM itu berkata, justeru pendeposit TH wajar berasa lega ekoran BNM mengaktifkan langkah penyeliaannya terhadap institusi itu.

Katanya, langkah ini mampu menyelamatkan TH daripada terjebak dengan masalah aset dan kerugian lebih buruk.

“Sebelum ini BNM hanya pandang atau pantau dari jauh sahaja tetapi bila TH bermasalah barulah BNM mengaktifkan penyeliaannya terhadap TH,” katanya.

Categories
NASIONAL

KDNK negara berkembang 4.4 peratus pada suku ketiga 2018

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Ekonomi Malaysia berkembang 4.4 peratus pada suku ketiga 2018 dipacu penggunaan swasta yang kukuh susulan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar peratus semasa tempoh tersebut.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datr Suk Nohamsiah Mohd Yunus berkata, bagi tempoh tiga suku pertama 2018, ekonomi berkembang 4.7 peratus dan berada di landasan untuk merekodkan pertumbuhan 4.8 peratus bagi setahun penuh 2018.

Walaupun menghadapi cabaran global, beliau berkata, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan stabil, pada suku ketiga 2018.

Katanya, ia didorong khususnya peningkatan perbelanjaan isi rumah yang berkembang 9.0 peratus terutama pada Julai dan Ogos serta pertumbuhan pekerjaan dan upah yang teguh di samping sentimen pengguna positif.

Beliau berkata, pertumbuhan tersebut juga disokong oleh pelaburan swasta yang lebih tinggi iaitu meningkat 6.9 peratus dan kesan kejutan bekalan sekali yang berlarutan.

“Kejutan bekalan khusus komoditi yang berlarutan telah membawa kepada penurunan pengeluaran komoditi (dan eksport),” katanya semasa mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga 2018 di sini, hari ini.

Noor Shamsiah berkata, pertumbuhan pada suku kedua dan ketiga tahun ini mungkin lebih tinggi sebanyak 50 hingga 70 mata asas jika tiada kejutan bekalan dalam perlombongan dan pertanian.

Berdasarkan pelarasan bermusim suku ke suku, ekonomi berkembang 1.6 peratus lebih pantas daripada 0.3 peratus pada suku sebelum ini.

Eksport kasar menyederhana kepada 5.2 peratus berikutan pengembangan perlahan dalam eksport perkilangan bukan elektrik dan elektrik ketika eksport komoditi mengalami penurunan lebih kecil.

Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan dan pembuatan telah menyokong pertumbuhan, manakala sektor perlombongan terus dipengaruhi oleh kejutan bekalan.

Sektor pertanian kekal lemah berikutan pemulihan yang berlanjutan daripada kekangan pengeluaran pada suku sebelumnya.

Pada suku tersebut, akaun semasa mencatatkan lebihan sebanyak RM3.8 bilion.

Dalam tempoh tiga suku pertama 2017, akaun semasa Malaysia mencatatkan lebihan terkumpul RM22.7 bilion atau 2.2 peratus daripada pendapatan negara kasar (PNK).

“Pada masa akan datang, akaun semasa dijangka merekodkan lebihan, disokong oleh lebihan barangan dalam jumlah yang besar yang akan mengimbangi defisit akaun perkhidmatan dan pendapatan,” katanya, dengan menambah, bagi 2018 baki akaun semasa akan berada antara dua hingga tiga peratus daripada PNK.

Inflasi teras susut kepada 0.5 peratus pada suku ketiga 2018 berbanding 1.3 peratus pada suku kedua 2018, didorong terutamanya oleh kesan GST berkadar sifar peratus.

Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan mulai 1 Sept, 2018 telah memberi impak tersendiri terhadap inflasi pada suku tersebut.

Ringgit susut 2.5 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat pada suku ketiga, didorong terutamanya oleh pengukuhan mata wang negara maju itu serta aliran keluar pelaburan portfolio bukan pemastautin yang sederhana.

“Pengukuhan dolar AS dipacu oleh data dan unjuran ekonomi AS yang positif semasa tempoh suku tersebut.

“Ringgit dan mata wang serantau juga terjejas berikutan sentimen negatif disebabkan risiko penularan dari ekonomi pasaran pesat membangun yang mudah terjejas,” katanya.

Mengulas mengenai hutang luaran pula, beliau berkaya ia kekal boleh diurus dengan risiko pusingan terhad memandangkan lebih daripada separuh dilaksanakan bagi jangka sederhana dan panjang.

“Kira-kira satu per tiga hutang luaran adalah dalam denominasi ringgit dan berdasarkan pegangan instrumen ringgit oleh bukan pemastautin,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Irwan Segar bukan lagi ahli lembaga pengarah TH, BNM

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 31 MEI: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, tidak lagi menyandang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarahnya.

TH dalam kenyataannya berkata, Irwan menyandang jawatan berkenaan sejak 2011 di atas kapasiti sebagai wakil Perbendaharaan.

“Kekosongan Ahli Lembaga Pengarah TH akan diisi wakil Perbendaharaan yang baharu sebagai mana yang termaktub di bawah Akta Tabung Haji 1995,” katanya.

Terdahulu, Bank Negara Malaysia (BNM) juga memaklumkan Irwan bukan lagi ahli Lembaga Pengarahnya berkuatkuasa 14 Mei 2018.

Bank pusat itu dalam kenyataan berkata, ia susulan Mohd Irwan Serigar tidak lagi memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Pada 14 Mei lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, kerajaan memutuskan kontrak perkhidmatan Mohd Irwan Serigar Abdullah sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan dipendekkan kepada 14 Jun daripada 6 Mac 2019.

Categories
EKONOMI

Ekonomi negara diramal positif jika PAKATAN ke Putrajaya

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 JAN: Penganalisis ekonomi meramalkan ekonomi negara berkembang lebih positif jika Pakatan Harapan (PAKATAN) menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, keadaan ini turut mendorong kepada pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.

“Jika PAKATAN mengambil Putrajaya, pertumbuhan ekonomi lebih laju di mana kita tahu nilai ringgit dipengaruhi pelbagai faktor seperti kenaikan harga minyak, perkembangan eksport, pengawalan pertumbuhan import, duit tak dicuri untuk disorok ke luar negara. Ini antara faktor mempengaruhi nilai ringgit.

“Kalau PAKATAN menang, kita tahu hutang negara lebih terkawal kerana ini memang dasar PAKATAN.

“Ekonomi juga berkembang ekoran nilai eksport lebih pesat jika kita tegas membendung isu rasuah, tidak ada pengaliran wang haram ke luar negara atau setidak-tidaknya lebih terkawal,” katanya ketika dihubungi SelangorKini , hari ini.

Jelasnya, langkah tegas mendakwa pemimpin kleptokrasi juga memberi kesan signifikan kepada aliran keluar wang secara haram.

Katanya, semua langkah ini mewujudkan trend pengukuhan nilai pertukaran mata wang ringgit.

Katanya lagi, senario ini menyebabkan timbul minat lebih tinggi dalam kalangan masyarakat perdagangan antarabangsa untuk melabur di Malaysia.

Selain itu, dasar PAKATAN yang dilihat pro rakyat dan mengurangkan kos pengeluaran dijangka mampu mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat khususnya melibatkan golongan berpendapatan sederhana dan rendah

“Dasar PAKATAN dalam hal ekonomi dan dasar awam yang lain seperti ‘menzerokan’ Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), mengembalikan subsidi barangan keperluan utama, polisi membenteras pembaziran dan rasuah ini dilihat positif bukan sahaja kepada pelabur asing tetapi juga rakyat Malaysia.

“Jika dasar ini dilaksanakan harga barangan akan lebih rendah, kos hidup juga rendah di mana ini menggembirakan rakyat berbanding sekarang dikenakan GST, tiada subsidi, harga minyak naik menyebabkan kehidupan mereka terhimpit,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Tun M: Saya tidak berkuasa dalam urusan BNM

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 18 SEPT: Bank Negara Malaysia (BNM) tidak melaporkan kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung aktiviti urusniaga forex yang membawa kerugian mencecah RM30 ringgit pada penghunjung 1980-an hingga 1990-an.

Mahathir berkata, undang-undang turut tidak membenarkan beliau mencampuri urusan pentadbiran, dasar dan aktiviti dagangan yang dijalankan BNM tetapi sebaliknya BNM mempunyai lembaga pengarah berkuasa untuk membuat keputusan.

“Gabenor mempunyai tugas melaporkan kegiatan BNM dari semasa ke semasa kepada lembaga pengarahnya dan saya sebagai Perdana Menteri, tidak pernah terlibat dalam pentadbiran BNM.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian kira-kira RM30 bilion di Istana Kehakiman Putrajaya di sini, hari ini.

RCI dianggotai enam orang itu dipengerusikan Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Jelasnya, beliau hanya dimaklumkan secara umum oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Clifford Herbert bahawa ada masa BNM mengalami kerugian dan ada masa memperolehi keuntungan daripada urusniaga forex yang dijalankan BNM.

Jelasnya, keadaan itu bukanlah sesuatu yang menghairankan ekoran menjadi kelaziman perdagangan forex sememangnya tidak menjanjikan keuntungan setiap masa.

Bagaimanapun katanya, Gabenor BNM, Tan Sri Jaffar Hussein memaklukan kepada beliau bahawa dagangan forex pada masa itu berjaya mengimbangi rizab negara.

Kata Mahathir lagi, beliau juga yakin pihak BNM tidak pernah menyatakan kerugian sehingga mencecah RM30 bilion kepadanya.

Sementara itu, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin turut memberitahu RCI bahawa BNM beroperasi secara bebas di bawah Lembaga Pengarah BNM.