Categories
NASIONAL

Ba’kelalan bukti KEADILAN mampu menang DUN pedalaman lain

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 21 APR: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sarawak yakin penguasaan Barisan Nasional (BN) di kebanyakkan kawasan pedalaman negeri itu mampu dipecahkan.

Pengerusinya, Baru Bian, berkata perkara ini dapat dibuktikan apabila beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba’kelalan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-10 pada 2011 lalu.

baru-bian“Walaupun kita faham bahawa PRN Sarawak ini memang sukar untuk menang di tetapi kita cuba juga meningkatkan sokongan dengan membawa mesej mengubah minda untuk menukar pemerintah yang dah berusia lebih 50 tahun,” kata Ahli Dewan Negeri Ba’kelalan ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Katanya, selain kemenangan di Ba’kelalan, Pakatan Rakyat pada PRN ke-10 ketika itu juga berjaya mengurangkan majoriti kerusi dimenangi BN pada PRN ke-9.

“Tiada yang mustahil dalam politik walaupun statistik dikeluarkan NGO dan terbaru Merdeka Centre mengatakan persepsi orang ramai dengan KM baru agak baik.

“Tetapi perlu diingatkan, apa-apa boleh terjadi dalam politik ini,” kata Baru lagi.

Dalam PRN ke-9 pada 2006, BN memenangi 62 kerusi DUN daripada 71 kerusi yang dipertandingkan sebelum menyusut kepada 55 kerusi pada PRN ke-10 pada 2011.

Baru Bian memenangi kerusi Ba’kelalan pada 2011 selepas memperolehi 2,505 undi berbanding Willie Liau dari BN dengan 2,032 undi.

-nR-

Categories
NASIONAL

PKR Sarawak harap satu lawan satu direalisasi

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 21 APR: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sarawak berharap isu pengagihan kerusi antara parti Pakatan Harapan dapat diselesaikan bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Pengerusinya, Baru Bian berkata, pertembungan tiga penjuru atau lebih yang melibatkan parti Pakatan Harapan menyebabkan Barisan Nasional (BN) mendapat laluan mudah untuk menang di kawasan terlibat.

baru-bian“Kita harap dalam masa beberapa hari yang tinggal ini, beberapa kerusi ini dapat diselesaikan dengan baik. Ini adalah harapan besar kami di sini supaya isu pengagihan kerusi antara parti dapat diselesaikan bagi membolehkan satu lawan satu,” kata Baru ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Baru berkata, kesepakatan antara parti diperlukan bagi memastikan misi satu lawan satu dapat dapat dicapai.

Pada 14 April lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan penamaan calon PRN Sarawak akan diadakan, pada 25 April ini dengan diikuti pengundian awal pada 3 Mei dan pengundian penuh pada 7 Mei.

PRN-11 bakal menyaksikan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan.

Pada PRN 2011, BN menang 55 daripada 71 kerusi yang ditandingi, tetapi kehilangan banyak kerusi kepada DAP (12), PKR (tiga) dan Bebas (satu).

-NFN-

Categories
NASIONAL

PRN Sarawak: 19 Ketua Kampung bersama PKR fenomena baru luar biasa

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 APR: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sarawak menyifatkan kesanggupan 19 Ketua Kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N31 Layar untuk berganding bahu bersama parti itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai sesuatu yang luar biasa.

Pengerusinya, Baru Bian berkata, kerjasama kedua-dua belah pihak itu turut memberi isyarat jelas penolakan terhadap Barisan Nasional (BN) ekoran kawasan Layar adalah lokasi tradisi dan kubu kuat BN.

baru-bian“Ini memang luar biasa. Tidak pernah berlaku begini di kawasan Layar. Kita harap ini dapat membawa kemenangan di kubu kuat di Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak (PBB).

“Kami bersama mereka membuat laporan polis di Balai Polis Betong kerana mereka ditipu mengenai sukatan tanah mereka di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak yang mereka tidak tahu mengenainya, ciri-cirinya dan ini adalah kerja Barisan Nasional (BN) di kawasan ini.

“Kerana itu mereka berani bangkit buat laporan polis dan lebih terbuka dengan pembangkang,” kata Baru Bian ketika dihubungi Selangor Kini, hari ini.

Katanya, Layar adalah kawasan tradisi bagi PBB menerusi Tan Sri Alfred Jabu Anak Numpang yang tidak bertanding pada PRN Sarawak kali ini.

Baru berkata, berbeza dengan kempen sebelum ini, KEADILAN pada kempennya kali ini melihat kawasan yang tidak ditembusi jaringan komunikasi dan internet sebagai satu kelebihan.

“Kita fokus kepada kawasan pendalaman seperti ini dengan mengarahkan calon kita lebih aktif menyebarkan maklumat supaya pengundi lebih memahami perkara sebenar dan pendirian kita,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

19 Ketua Kampung Sarawak rasa tertipu, lapor polis isu tanah adat

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 APR: 19 Ketua Kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri N31 Layar, hari ini membuat laporan polis dan rasa tertipu selepas mendapati pihak bertanggungjawab melaksanakan kerja mengukur tanah adat mereka di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sarawak, Baru Bian, berkata pelaksanaan kerja mengukur tanah di Seksyen 6 bukan sahaja menyebabkan geran tidak dikeluarkan kepada penduduk kampung terlibat, malahan turut menghadkan kawasan tanah mereka.

baru-bian“KEADILAN bersama mereka membuat laporan polis di Balai Polis Betong kerana ditipu mengenai sukatan tanah di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak yang mereka tidak tahu mengenainya dan ini adalah kerja Barisan Nasional (BN) di kawasan ini.

“Seksyen 6 memang kita dah bantah lama dahulu kerana sepatutnya tanah mereka disukat di bawah Seksyen 18 kerana seksyen itu akan mengesahkan tanah mereka adalah tanah adat dan geran boleh dikeluarkan tetapi Seksyen 6 hanya disukat di kawasan sekitar perkampungan rumah panjang tetapi tidak sah sebagai geran.

“Mereka tak diberitahu kenapa diukur di bawah Seksyen 6, apa makna dan kesannya juga mereka tak tahu. Bila saya terangkan, mereka terkejut dan marah,” kata Baru Bian ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Katanya, langkah mengukur tanah di bawah Seksyen 6 turut dilihat sebagai satu kajian dan cubaan menghadkan tanah adat penduduk asal walaupun mahkamah sudah mengesahkan hak penduduk asal ke atas tanah terbabit.

Katanya, tindakan itu juga menjejaskan punca rezeki penduduk di kampung terlibat ekoran kawasan sumber mencari rezeki seperti memburu menjadi terhad.

-NFN-

Categories
NASIONAL

PRN Sarawak : KEADILAN fokus keciciran pembangunan

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 JAN: Tanah adat dan ketinggalan pembangunan dari Semenanjung Malaysia antara isu dibangkitkan KEADILAN Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka Mac depan.

Pengerusi KEADILAN Sarawak, Baru Bian, berkata isu lain termasuk kesihatan, pendidikan, infrastruktur, kebebasan agama dan kehakiman serta Malaysia Agreement 6.

Katanya, parti itu juga sudah bersiap sedia bersama jenteranya untuk menghadapi PRN terbabit.

“Persiapan bagus, banyak isu akan dibawa. Semua pihak tahu Sarawak agak jauh ketinggalan dari Semenanjung Malaysia dalam pelbagai aspek.

baru-bian“Setakat ini, KEADILAN sudah bersiap sedia, kita akan arahkan jentera untuk bekerja dengan lebih kuat,” katanya kepada Selangor Kini.

Pada masa sama, Baru Bian juga tidak menolak isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), rasuah dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai kelebihan kepada pembangkang berdepan pihak lawan.

“Ia adalah bonus kepada kita, malah KEADILAN di Sarawak mempunyai sokongan baik.

“Kemungkinan besar rakyat lebih suka Ketua Menteri baru jika beliau berani membangkitkan isu tempatan dan memperjuangkan hak rakyat Sarawak,” katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem membayangkan akan mengadakan pilihan raya negeri pada Mac 2016 semasa sambutan Tahun Baru di Kuching.

Spekulasi semasa adalah pilihan raya mungkin diadakan paling awal pada Februari dan paling lewat pada Mei.

Dalam tempoh itu, ia juga boleh diadakan dalam masa 60 hari selepas tamat tempoh pada 20 Jun 2016.

-AA-

Categories
SELANGOR

Gergasi Thailand teroka ekonomi Selangor

Gergasi Thailand

SUBANG JAYA, 23 SEPT : Kestabilan ekonomi dan kemajuan pesat selain jaringan kemudahan yang baik menjadi faktor Selangor terus diyakini pelabur asing. Dalam perkembangan terbaru, Central Pattana dari Thailand melabur RM500 juta menerusi anak-anak syarikatnya untuk membina pusat membeli-belah CentralPlaza@i-City, di i-City, Shah Alam.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata perkembangan itu amat memberangsangkan kerana sebelum ini Thailand tidak tersenarai sebagai pelabur utama.

“Kita biasa dengan syarikat dari Jepun, Taiwan, Jerman dan British tetapi kali ini ada syarikat dari Thailand nak melabur RM500 juta di Shah Alam. Ia satu jumlah yang besar.

“Syarikat ini difahamkan pernah berbincang dengan Datuk Bandar Shah Alam dan berminat melabur di Shah Alam kerana ia berpotensi besar untuk dibangunkan,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Dialog Belanjawan 2014 di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya.

Gergasi Thailand 2Central Pattana adalah sayap Central Group (CPN) dan merupakan pemaju hartanah runcit yang terbesar di Thailand. Ia memiliki serta mengurus 21 pusat membeli-belah premium di negara itu. Pelaburan di Shah Alam ini merupakan tujahan pertama CPN menembusi pasaran serantau.

“Pelaburan ini merupakan batu loncatan yang penting untuk mencapai wawasan kami, iaitu untuk menjadi pemaju hartanah runcit serantau dan kerjasama ini memperkuatkan lagi komitmen kami untuk mencapai wawasan itu,” tegas Pegawai Eksekutif Kanan Central Pattna, Kobchai Chirathivat, lapor Inside Retail.Asia.

Syarikat tempatan, i-BHD, dilaporkan memeterai perjanjian kerjasama dengan CPN Global Company Ltd untuk membina CentralPlaza i-City itu. Dibawah perjanjian itu, CPN akan merangkumi dua syarikat iaitu CPN Real Estate Sdn Bhd dan CPN Malls Malaysia Sdn Bhd yang secara bersama memegang 60% saham disamping syarikat unit i-BHD, i-City Properties Sdn Bhd.

CentralPlaza@i-City akan mula dibina tahun hadapan dan dijangka dibuka kepada awam menjelang 2016. Pusat membeli-belah seluas 1.5 juta kaki persegi ini dijangka menelan kos RM580 juta.

“Kita berbesar hati untuk menjana ekonomi melalui perjanjian ini, lebih-lebih lagi ini merupakan hasil pertama pelaburan asing secara langsung untuk negara ini selepas Pilihan Raya Umum 5 Mei lepas,” kata pengasas i-Bhd, Tan Sri Lim Kim Hong, lapor The Star.

Sebelum ini, Abdul Khalid melahirkan keyakinan pelaburan itu akan menjadikan Shah Alam syurga beli-belah di rantau Asia Tenggara. Menurut beliau, pelaburan Central Pattana ini dicapai di sesi retreat EXCO Kerajaan Negeri selama tiga hari di Bangkok baru-baru ini.

Abdul Khalid menjelaskan, Kerajaan Negeri memilih Bangkok sebagai lokasi retreat untuk memperoleh maklumat lanjut mengenai Central Pattana, selain dari tugas merangka Pelan Tindakan Lima Tahun bagi Belanjawan Negeri 2014.

“Ini menunjukkan mereka percaya kepada negeri Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat yang sentiasa mengamalkan pelaburan terbuka kepada semua pelabur-pelabur di peringkat Asean dan dunia,” katanya, ketika berucap pada Majlis Jamuan Pimpinan Bersama Rakyat Sabah dan Sarawak Sempenan Sambutan Hari Malaysia ke-50 Peringkat Negeri Selangor di Foyer Bangunan SUK, Shah Alam, 21 September lepas.

Turut hadir di sambutan itu adalah Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Selangor dan ADUN Ba’kelalan, Baru Bian. Sekurang-kurangnya 300 warga Sabah dan Sarawak dari kalangan pelajar dan keluarga yang menetap di Selangor turut menghadiri majlis tersebut.