Categories
NASIONAL

Baru Bian: Keputusan mengenai tol selepas kajian dikemuka

SIBU, 22 FEB: Kajian dijalankan oleh perunding bebas mengenai isu tol di negara ini masih berjalan dan dijangka siap hanya pada Mei, kata Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Beliau berkata, apabila dikemukakan, hanya kerajaan akan membuat keputusan muktamad berhubung rancangan masa depan mengenai isu tol.

Katanya, dalam pada itu, satu atau dua syarikat pemegang konsesi tol telah mengemukakan cadangan tertentu yang boleh dilaksanakan buat sementara.

“Malah kita sedang mengkajinya dalam jangka pendek, sederhana dan panjang. Terdapat beberapa cadangan yang boleh dilaksanakan dalam masa terdekat iaitu dalam jangka pendek.

“Ini adalah perkara yang saya fikir dirujuk oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Bukan keseluruhan isu tol,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan majlis pelantikan anggota jawatankuasa cabang KEADILAN zon tengah Sarawak.

Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau diminta mengulas ucapan Presiden BERSATU itu semasa ceramah bagi Pilihan Raya Kecil DUN Semenyih malam tadi yang membayangkan bahawa kabinet mungkin membuat pengumuman mengenai tol dalam masa terdekat.

Beliau dipetik sebagai berkata, bahawa Pakatan Harapan (PAKATAN) akan mengeluarkan kenyataan mengenai tol dalam sehari dua ini.

Baru berkata, antara cadangan baik yang ditawarkan oleh syarikat konsesi adalah pengurangan kadar tol semasa musim atau masa tertentu, yang sedang dikaji oleh kerajaan.

Sementara itu, Baru yang juga Pengerusi KEADILAN Sarawak berkata, majlis kepimpinan negeri akan mencari jalan dan cara untuk membantu semua cawangan membuat persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 yang beliau meramalkan diadakan seawal pertengahan tahun depan.

Bersama dengan parti lain dalam PAKATAN, Baru berkata, mereka harus bekerjasama secara senada kerana peluang untuk mengambil alih Kerajaan Negeri daripada Gabungan Parti Sarawak adalah cerah kali ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tayar celup punca lebih 10,000 kes kemalangan

GEORGE TOWN, 4 JAN: Lebih 10,000 kes kemalangan di negara ini didapati berpunca daripada penggunaan tayar celup, kata Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Beliau berkata, statistik dikeluarkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) adalah satu angka mengejutkan apabila jumlah kemalangan dicatatkan setiap tahun berpunca daripada penggunaan tayar celup itu.

Katanya, selain itu kenderaan terlebih muatan seperti lori turut menyumbang kepada punca kemalangan di negara ini.

“Saya sangat terkejut dengan perkara ini. Kalau kita bahagikan setahun iaitu 365 hari bermakna sehari 30 kemalangan direkodkan disebabkan tayar celup. Bagi kenderaan terlebih muatan, statistiknya pun begitu tinggi.

“Bagi saya, perkara ini, kita akan ambil serius melalui penguatkuasaan memastikan tiada kenderaan terlebih muatan di jalan raya. Kedua, tayar celup tidak selamat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Baru mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Wilayah Utara LLM sebelum diberi taklimat berkenaan pelaksanaan operasi dan penyenggaraan lebuh raya serta aspek pengurusan dan operasi Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Turut hadir, Ketua Pengarah LLM, Datuk Aziz Abdullah.

Baru yang juga Anggota Parlimen Selangau berkata, pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memastikan penguatkuasaan dapat dilaksanakan bagi mengurangkan kadar kemalangan di negara ini.

Sementara itu, mengulas mengenai penutupan bangunan utama Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bagi kerja membaik pulih bangunan warisan itu, beliau berkata, ia dijangka bermula Jun ini dan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.

“Kerja pembaikan ini akan diuruskan JKR (Jabatan Kerja Raya) dengan anggaran kos sebanyak RM17 juta. Kerja pembaikan merangkumi baik pulih bumbung, dinding dan struktur yang rosak.

“JKR telah menyediakan laporan kerosakan dan pengesyoran pembaikan bangunan adalah di bawah kategori warisan. Kami akan tengok macam mana bangunan ini akan dipulihkan. Bagi saya ini adalah satu perkara penting kerana saya juga adalah seorang pencinta warisan,” katanya.

Bangunan utama Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ditutup sejak 3 September tahun lalu atas faktor keselamatan dan semua mahkamah tinggi di situ dipindahkan ke Bangunan Annex bersebelahan bangunan utama itu.

Sempena lawatan kerja itu, Baru turut dijadual meninjau perjalanan operasi tol di lorong motosikal di Plaza Tol Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang sejak pemansuhan tol bagi motosikal bermula 1 Januari lalu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tol: Kerajaan kaji alternatif kurang beban rakyat

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kerajaan sedang mengkaji alternatif terbaik bagi mengurangkan beban rakyat berhubung isu tol, selepas penghapusannya ditangguhkan.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, ia termasuk cadangan merendahkan kadar bayaran tol, mewujudkan kadar sama rata dan memberi diskaun tertentu, pada waktu bukan puncak.

Beliau turut menegaskan kerajaan secara dasarnya memutuskan tol tidak akan dihapuskan sehingga keadaan kewangan negara distabilkan ke peringkat ‘sihat’.

“Mungkin juga kita tidak akan naikkan harga tol untuk tempoh tertentu, ini dalam perbincangan buat masa sekarang,” katanya pada sesi pertanyaan menteri, pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas berkenaan jumlah tol yang dicadang di Lebuhraya West Coast Expressway (WCE) menghubungkan Banting dan Taiping yang sedang dibina, Baru berkata ia membabitkan 20 plaza tol.

“Kaedah kutipan tol yang akan digunakan ialah sistem kutipan tol tertutup dengan enam plaza tol terletak di laluan utama dan 14 lagi di persimpangan bertingkat,” katanya.

Beliau berkata, ia juga membabiatkan tempoh konsesi selama 50 tahun bermula tarikh perjanjian konsesi dengan syarikat WCE Sdn Bhd yang ditandatangani, pada 2 Jan 2013.

Katanya kemajuan pembinaan lebuh raya terbabit ialah 60 peratus dan dijangka dibuka berperingkat mulai tahun hadapan dan sepenuhnya, pada 2022.

*Sumber: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL RENCANA

Kementerian Kerja Raya merintis kesejahteraan rakyat

OLEH NAEEM RAFFI

Membudaya tadbir urus terbaik

Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan mottonya ‘Ke Arah Kesejahteraan Rakyat’ terus komited menjadi penggerak utama yang dinamik, inovatif dan berdaya saing dalam merealisasikan agenda pembangunan negara mampan, sekali gus meningkatkan hasil serta memperkasa kemakmuran.

Selain memperkukuhkan nilai kesaksamaan, kebertanggungjawaban dan ketulusan, KKR juga menjanjikan pembangunan infrastruktur negara dilaksana dengan cekap, berkualiti, lestari serta berdaya saing di peringkat global.

Amanah besar itu diterajui Menteri Kerja Raya, Baru Bian dengan menerapkan tiga nilai bersama utama yang menuntut seluruh warga kerja kementerian itu mengamalkan budaya profesional, integriti dan kerja berpasukan dalam memastikan agenda Kerajaan Malaysia Baharu dicapai.

Malaysia Baharu, penuhi aspirasi rakyat

Kemaraan Pakatan Harapan (PAKATAN) ke Putrajaya membentuk kerajaan seusai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), membuka harapan besar buat rakyat menikmati Malaysia Baharu dalam memastikan negara kembali berada, di landasan betul.

Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau yakin bahawa rakyat menaruh harapan tinggi kepada PAKATAN, justeru baginya kerajaan hari ini perlu memberi penekanan kepada hasil penyampaian dalam memenuhi aspirasi rakyat.

“Budaya rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan seperti amalan kerajaan terdahulu ternyata merosakkan sistem pemerintahan dan negara.

“Justeru, melaksanakan tanggungjawab secara telus, berakauntabiliti dan berhemat menjadi saranan baru dalam kerajaan, hari ini,” kata Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sarawak itu.

Kesungguhan KKR menolak budaya korup itu selaras dengan usaha kerajaan membebaskan negara daripada rasuah menerusi penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR), pada 8 Jun lalu.

JKKMAR ditubuhkan bagi menggantikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan dalam menentukan dasar berhubung dengan pemantapan keutuhan sistem pengurusan pentadbiran kerajaan.

Kerajaan juga menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) yang berfungsi merancang, memantau, menilai dan melapor perkara berkaitan ‘governance’, integriti serta pembentarasan rasuah.

“KKR memandang serius untuk mencari jalan penyelesaian dan penambahbaikan kepada masalah rasuah dan ketirisan.

“Justeru, saya menyeru setiap warga kementerian, jabatan dan agensi di bawah KKR untuk memainkan peranan supaya hasrat kerajaan itu dapat direalisasikan,” katanya.

Agensi di bawah KKR iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan tiga lembaga profesional iaitu Lembaga Jurutera Malaysia, Lembaga Arkitek Malaysia dan Lembaga Juruukur Bahan Malaysia turut yakin prestasi KKR dapat diperkasakan lagi di bawah pentadbiran kerajaan baru.

Menteri pertama dari suku Lun Bawang itu juga percaya jika urus tadbir dilaksana dengan sempurna di semua peringkat, maka sudah pasti Malaysia Baharu dapat dicapai dan nikmat kemakmuran serta kemajuan negara dapat dinikmati rakyat.

Jamin ketelusan, tegak keadilan

Memahami bahawa KKR mempunyai tanggungjawab berat berdepan aspirasi rakyat, Baru optimis kesepakatan dan kesempurnaan kerja berkumpulan dalam kementeriannya menjadi kunci kejayaan.

Justeru, warga kerja KKR dan agensi di bawahnya diingatkan untuk bersama-sama bekerja keras ke arah mencapai matlamat membangunkan infrustruktur negara mengikut piawaian ditetapkan berlandaskan integriti tinggi.

Sebagai seorang pengamal undang-undang, Baru menegaskan dirinya sangat berpegang teguh pada konsep ketelusan, integriti dan keadilan.

“KKR mengamalkan satu dasar iaitu tender terbuka untuk projek pembangunan yang akan dilaksanakan. Ia bagi menjamin ketelusan, integriti dan keadilan.

“Ternyata, ia berbeza dengan kerajaan terdahulu yang mengamalkan beberapa kaedah dalam pemberian sesuatu projek,” katanya.

Beliau turut menggesa penjawat awam melaksanakan tugas dengan berintegriti dan sentiasa mengutamakan kepentingan awam.

Untuk maksud itu, beliau menyarankan supaya dasar ‘wistle-blowers’ dapat dilaksanakan secara meluas di setiap jabatan dan agensi, di bawah KKR.

Utamakan projek bermanfaat kepada rakyat

Walaupun negara hari ini berdepan kekangan kewangan, Baru menegaskan, usaha membawa pembangunan kepada rakyat tetap diteruskan.

Ia dibuktikan apabila Kerajaan PAKATAN menerusi KKR komited memastikan Lebuhraya Pan Borneo iaitu sebuah projek mega meliputi Sarawak dan Sabah terus dilaksanakan dengan jayanya serta siap mengikut jadual, pada 2021.

Bagaimanapun, lebuh raya sepanjang 2,325 kilometer membabitkan kos kira-kira RM29 bilion itu sedang disemak semula bagi memastikan kos keseluruhannya lebih rendah.

Ahli Dewan Undangan Negeri Ba’kelalan itu optimis bahawa pendekatan holistik, bebas amalan rasuah dan pengurusan telus menerusi tender terbuka mampu mencapai hasrat itu.

“Pan Borneo adalah lebuh raya pertama seadanya di Malaysia timur dan pastinya saya sebagai menteri bertanggungjawab akan meneruskan projek ini demi manfaat rakyat, di sana.

“KKR memantau rapat perkembangan projek ini dalam memastikan ia berjalan seperti yang dijadualkan.

“Pada masa sama, KKR berusaha memastikan kos projek ini dapat dikurangkan ekoran keadaan kewangan negara kini begitu ketat,” katanya.

Bagi memantau perkembangan terkini pembinaan lebuh raya itu, KKR dengan kerjasama Rakan Penyampai Projek (PDP) iaitu Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) mengadakan Jelajah Lebuhraya Pan Borneo, bermula 29 September hingga 1 Oktober lalu.

Sudah pastinya, Jelajah Pan Borneo yang bermula dari Telok Melano sehingga ke Miri itu disertai Baru.

Optimis KKR terus cemerlang

Walaupun baru empat bulan menggalas amanah di KKR, Baru merasakan kementerian itu amat dekat dengan dirinya.

Ikrarnya, amanah rakyat itu akan dipikul sebaiknya bersandarkan kepada peraturan dan undang-undang sedia ada.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad sudah memberi mandat kepada saya untuk menerajui KKR yang sudah pasti akan saya manfaatkan sebaiknya.

“Maklum balas dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi dalam kalangan warga kerja KKR juga memudahkan tugas saya, di sini,” katanya.

Dalam memastikan KKR terus cemerlang, Baru berharap warga kementerian sentiasa mengembangkan ilmu pengetahuan dan cakna kehadiran teknologi terkini yang boleh dipelajari dari negara maju.

“Teknologi hari ini mungkin tidak relevan pada masa hadapan jika kita tidak peka.

“Jadi, amat perlu untuk semua warga kementerian bersedia dan responsif kepada perubahan yang begitu cepat,” katanya.

# Wawancara Khas Penolong Pengarang SelangorKini, Naeem Raffi, bersama Menteri Kerja Raya, Baru Bian, di pejabatnya, baru-baru ini.

Categories
NASIONAL

Menteri pantau sendiri projek Lebuh Raya Pan Borneo

SIBU 5 OGOS: Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, beliau secara peribadi akan memantau projek Lebuh Raya Pan Borneo yang sedang dalam pembinaan.

Beliau berkata, itu adalah komitmennya untuk memastikan projek mega meliputi Sarawak dan Sabah itu dilaksanakan dengan jayanya dan mengikut jadual.

“Buat permulaan, saya merancang untuk melakukan lawatan ke tapak-tapak pembinaan dari Telok Melano (Lundu), Kuching ke Miri di bahagian Sarawak bersama-sama dengan pegawai kementerian bagi fasa pertama pembinaan.

“Kemudian kami akan melakukan lawatan ke bahagian di Sabah bermula dari Limbang (Sarawak). Jadualnya sedang diaturkan,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi selepas merasmikan sambutan Hari Guru Daerah Selangau.

Lebuhraya sepanjang 2,325-kilometer itu membabitkan kos kira-kira RM29 bilion dijadual siap pada 2021. Kos itu bagaimanapun sedang disemak semula.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kerajaan kaji naik taraf laluan Jalan Kebun, Jalan Bukit Kemuning

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 1 OGOS: Kementerian Kerja Raya akan menjalankan projek menaik taraf laluan di Jalan Kebun dan Jalan Bukit Kemuning di sini, dengan kadar segera bagi memenuhi keperluan dan manfaat umum di kawasan berkenaan.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, satu kajian segera akan dilakukan bagi keperluan itu dan kementerian akan memberi perhatian agar ia dapat diayakan seperti mana diminta komuniti di sini.

“Kita menerima permohonan bagi tujuan ini dan hasil lawatan ke sini, saya memutuskan projek menaik taraf kedua laluan ini perlu disegerakan dan kajian akan dilakukan secepat mungkin bagi merealisasikannya.

“Bagi saya ia satu cadangan baik dan kementerian memandang serius perkara ini kerana kawasan ini juga pesat membangun dengan industri serta terdapat masalah banjir yang perlu diatasi,” katanya kepada media selepas lawatan di kedua kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, projek menaik taraf dirancang itu membabitkan jarak laluan sejauh 12 kilometer (km) iaitu enam km bagi Jalan Kebun dan enam km (Jalan Bukit Kemuning dengan kos kira-kira RM230 juta.

Selain itu, katanya, kemudahan lampu isyarat di satu persimpangan jalan di kawasan itu juga turut mendapat pertimbangan kementerian untuk dilaksanakan.

“Walaupun kita akan menghadapi pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis tetapi pembangunan ini tetap akan dilaksanakan kerajaan Persekutuan diterajui Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Kita adalah kerajaan yang mementingkan rakyat dan tidak mengambil kira fahaman politik kepartian,” katanya.

Projek menaik taraf di kedua laluan itu akan menyebabkan kesesakan lalu lintas dikurangkan dengan dua laluan sedia ada diluaskan menjadi empat laluan di sepanjang 12 km itu.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raja, Anuar Mohd Tahir; ADN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri dan calon PAKATAN, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Categories
NASIONAL

Sistem tender terbuka untuk projek kerajaan

ALOR SETAR, 7 JUL: Kerajaan akan menggunakan sistem tender terbuka dengan meluas dan telus bagi projek kerajaan terutama yang berskala besar agar setiap sen wang rakyat dapat dibelanja dengan baik, kata Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Ini kerana kerajaan membelanjakan lebih RM100 bilion setahun untuk perolehan melalui pelbagai projek dan kontrak dan ia adalah satu jumlah yang agak besar.

“Dengan jumlah yang begitu besar amat penting supaya tidak berlaku pembaziran dan menjadi kewajiban kerajaan untuk sentiasa memastikan wang ini dibelanjakan secara berhemah.”

“Kerajaan Pakatan Harapan akan menambah baik sistem perolehan dan pemberian kontrak kerajaan demi memastikan ia lebih berdaya saing dan seterusnya menjana nilai yang terbaik untuk wang rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Pegawai Kanan Jabatan Kerja Raya di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata kementerian menyasarkan penggunaan sekurang-kurangnya Tahap 2 Building Material Information (BIM) pada tahun hadapan bagi projek kerajaan bernilai lebih RM100 juta sejajar dengan Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP).

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pembunuhan Bill Kayong bermotif politik?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 23 JUN : Pengerusi KEADILAN Sarawak, Baru Bian tidak menolak kemungkinan pembunuhan calon KEADILAN Bekenu, Bill Kayong didakwa bermotifkan politik.

Beliau berkata, aktivis dan ahli politik pembangkang lantang bersuara menentang pencerobohan tanah adat di Sarawak berterusan menerima ancaman daripada individu tidak bertangunggjawab.

“Pihak polis dan kerajaan Sarawak mesti lebih aktif dalam penyiasatan ke atas kes keganasan berkenaan tanah NCR (adat).

71462630650_BaruBian“Di Melikin, Surik Muntai yang berjuang untuk hak tanahnya diserang dengan ganas dan dilumpuhkan samseng pada 2013,” katanya dalam kenyataan.

Namun, katanya, pihak polis seolah-olah gagal mengambil pendirian tegas untuk menahan mana-mana individu didapati cuba mengeluarkan ancaman walaupun ada suspek dikenal pasti.

Beliau mengaitkan serangan di Melikin ke atas aktivis, Surik Munkai berjuang mempertahankan tanah adat di kawasan itu diserang individu yang dikaitkan mempunyai hubungan politik.

“Salah satu penyerang dikenal pasti sebagai pekerja bagi syarikat perladangan mempunyai hubungan politik di kawasan itu.

“Walaupun polis menemui kumis senjata di kuarters pekerja, namun tiada keadilan untuk Surik. Tiada seorang pun yang dipertanggungjawabkan untuk jenayah ini,” katanya.

Lebih mengecewakan, Ahli Parlimen Kuching, Micheal Teo juga pernah diserang di hadapan pejabatnya, bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang tangkapan dibuat.

ClcXka6UYAAPau0Tahun sebelumnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How turut menerima ancaman apabila koktel molotov dilemparkan ke dalam perkarangan rumahnya.

“Pembunuhan Bill Kayong tidak harus dibenarkan menjadi satu lagi kes yang tidak dapat diselesaikan dalam fail polis Sarawak.

“Kami amat bimbang pada tahap keganasan yang merayap ke dalam masyarakat kita terhadap ahli politik dan aktivis sosial,” kata ADUN Ba’Kelalan itu.

Bill ketika kejadian memandu kereta jenis Toyota Hilux maut dipercayai ditembak dari jarak dekat menembusi cermin kanan di sebelah pemandu kereta yang dinaikinya.

-AA-

Categories
NASIONAL

Kehadiran rendah, pengundi Sarawak sila keluar mengundi – Baru Bian

OLEH : NAEEM RAFFI

KUCHING, 7 MEI : Pengerusi KEADILAN Sarawak, Baru Bian menyeru pengundi berdaftar untuk keluar untuk melaksanakan hak demokratik untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 yang berbaki kurang lima jam sahaja lagi sebelum pusat mengundi ditutup jam 5 petang.

Hasil pemerhatian pihaknya, Baru Bian berkata kehadiran pengundi setakat ini sangat rendah sekitar 35 peratus sahaja.

PENGUNDI SARAWAK“Saya juga ingin mengingatkan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjalankan tugas dengan memberi layanan yang adil kepada semua pihak.

“Jika sesiapa yang memerhati kejadian yang tidak diingini atau penipuan, boleh email kepada Bersih di +6011 31339820 atau ROSE sukarelawan di 016-8604998 (Ann Teo) atau 016-2.219.996 (Suresh),” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Baru Bian yang bertanding mempertahankan kerusi DUN Ba’Kelalan menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua petugas parti yang bekerja keras memastikan perubahan kepada Sarawak.

“Usaha pastikan semua pengundi yang belum keluar melunaskan tanggungjawab mereka untuk berbuat demikian pada masa terakhir ini untuk memastikan hasil yang terbaik untuk kita,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL

Baru Bian: BN sasar Ba’Kelalan, ugut tarik biasiswa jika tidak undi mereka

OLEH : NAEEM RAFFI

KUCHING, 6 MEI : Biasiswa anak bakal ditarik antara ungutan daripada Barisan Nasional (BN) terhadap penduduk di kawasan pedalaman Sarawak sekirannya tidak menyokong mereka, kata Pengerusi KEADILAN Sarawak, Baru Bian.

Menyelar kempen kotor tersebut, penyandang kerusi Ba’Kelalan itu mengesa penindasan terhadap rakyat terutama di pedalaman dihentikan segera.

baru-bian“Mereka ke kampung-kampung pada waktu malam, meminta kad pengenalan pengundi dan mengancam mereka.

“Mereka gesa rakyat mesti pilih BN, kalau tidak, macam-macam terjadi seperti biasiswa anak akan di tarik balik,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau turut menggesa rakyat untuk tidak tunduk kepada ugutan BN itu.

“Rakyat perlu sedar sekarang bahawa BN tidak mempunyai apa-apa yang lebih baik untuk ditawarkan daripada rasuah dan ancaman.

“Kita mesti menggunakan hak demokrasi memilih pemimpin berwibawa untuk masa depan kita dan anak-anak,” katanya.

Terbaru, Baru Bian sekali lagi dihimpit ‘taktik kotor’ BN apabila Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mengumumkan Kerajaan Persekutuan sudah meluluskan peruntukan RM5.5 juta bagi membantu 110 buah gereja luar bandar di dun yang dimenanginya pada PRN ke-10 itu.

Katanya, ‘taktik kotor’ itu mudah dibaca apabila ia diumumkan dua hari sebelum hari pengundian esok sedangkan sejak sekian dekat rumah-rumah ibadat di DUN itu tidak dipedulikan BN.

-nR-

Categories
NASIONAL

Baru Bian: ‘Taktik kotor’ raih undi dikecam, mohon rakyat bangkit tolak BN

OLEH: NAEEM RAFFI

KUCHING, 6 MEI : Tindakan Barisan Nasional (BN) menyalurkan peruntukan RM5.5 juta untuk pembangunan fizikal gereja di Ba’Kelalan dua hari sebelum menjelang hari pengundian amat dikesali.

Penyandang DUN Ba’Kelalan, Baru Bian menyifatkan tindakan itu sebagai terdesak dan jelas ingin ‘membeli’ hati pengundi terutamanya masyarakat Kristian Lun Bawang.

baru-bian“Gereja diabaikan BN sejak sekian dekad dan tiba-tiba mereka (BN) hadir bermurah hati dengan janji manis yang jelas terlihat kemunafikan mereka.

“Saya menggesa orang Kristian di Ba’Kelalan untuk berteguh  berpegang kepada integriti dan maruah mereka,” katanya.

Terdahulu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mengumumkan Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan bagi membantu 110 buah gereja luar bandar di DUN itu.

Ongkili, yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), mendakwa kononnya gereja terbabit tidak mendapat perhatian wakil rakyat pembangkang, merujuk kepada Pengerusi KEADILAN Sarawak, Baru Bian, yang mempertahankan kerusi Ba’Kelalan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 esok.

Mengulas lanjut, Baru Bian menyeru semua pengundi di Ba’Kelalan dan seluruh Sarawak tidak terpedaya dengan ‘taktik kotor’ BN mengaburi mata mereka.

PRN SARAWAK“Seluruh pengundi, jangan terpedaya sebaliknya kuatkan pendirian esok terhadap taktik kotor BN itu.

“Teruskan mengundi KEADILAN bagi kerajaan lebih baik sekaligus menghantar mesej kepada BN bahawa pengundi bangun untuk janji kosong mereka.” katanya.

-nR-/ EZY

Categories
NASIONAL

PRN Sarawak: KEADILAN sah bertanding 42 kerusi

OLEH : NAEEM RAFFI

KUCHING, 22 APR : KEADILAN mengumumkan bertanding di 42 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ke-11 yang akan berlangsung pada 7 Mei ini.

Perkara itu diumumkan Pengerusi KEADILAN Sarawak, Baru Bian yang turut mengesahkan 37 kerusi bertanding satu lawan satu.

Sementara itu, Baru Bian berkata, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) memberi mandat penuh kepada Majlis Pimpinan Negeri untuk mengenalpasti lima kerusi iaitu Murum, Mulu, Simmanggang, Mambong dan Ngemah yang belum diputuskan calon bakal mewakili Pakatan.

WATIKAH PRN SARAWAK KEADILAN“Lima kerusi itu masih dalam perbincangan dan akan diputuskan sebelum diagihkan antara parti komponen Pakatan dalam tempoh dua hari.

“Perkara itu pasti akan diperhalusi sebelum ia diputuskan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Calon PRN Sarawak di Hotel Grand Continental, di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

ADUN Ba’kelalan itu menambah, pihaknya juga akan memberi tumpuan penuh terhadap kerusi yang menjadi kubu kuat lawan selain berusaha mengekalkan kerusi sedia ada.

-nR-