Categories
AGENDA NASIONAL

Aktiviti berbasikal di lebuh raya tetap dilarang – Bukit Aman

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Aktiviti berbasikal hanya dilarang di lebuh raya tetapi masih dibenarkan di Jalan Persekutuan, Jalan Negeri, Jalan Bandaran dan lain-lain jalan, kata Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias.

Beliau berkata JSPT menasihatkan kepada penunggang basikal yang ingin menjalankan aktiviti berkenaan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya ditetapkan demi menjamin keselamatan diri mereka serta pengguna jalan raya lain.

“JSPT mendapati isu larangan penggunaan basikal di lebuh raya seluruh negara kini sedang hangat diperkatakan oleh orang ramai terutama penggemar aktiviti berbasikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azisman berkata oleh itu mana-mana individu yang gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Apabila disabitkan, pesalah boleh didenda tidak kurang RM300 dan tidak lebih RM2,000,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Aktiviti berbasikal di Selangor tidak perlu kebenaran polis

SHAH ALAM, 18 SEPT: Orang ramai yang menyertai aktiviti berbasikal secara riadah di jalan raya negeri ini tidak perlu mendapat kebenaran polis.

Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin meminta penggemar sukan tersebut mematuhi peraturan jalan raya dan mengutamakan keselamatan.

“Aktiviti kayuhan perlu dilakukan dalam keadaan sebaris bagi mengelak kejadian tidak diingini, mereka kena ambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.

“Kita tidak halang aktiviti ini tetapi mereka perlu peka dengan keselamatan termasuk tidak berkayuh dalam kelompok besar,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Semalam, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mencadangkan setiap basikal didaftar, dilesenkan serta menggunakan nombor pendaftaran seperti kenderaan bermotor.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata cadangan tersebut tidak pernah dibincangkan pada peringkat kementerian.

Categories
PERSONALITI RENCANA

Pengembara berbasikal kongsi pengalaman terokai 33 negara

BATU PAHAT, 11 OGOS: Bagi yang biasa mengembara, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedikit sebanyak menimbulkan kegusaran kepada golongan ini kerana hobi mereka ini melibatkan aktiviti yang perlu dilakukan di luar rumah dan ada kalanya sehingga membawa merentas sempadan negara.

Namun berbeza dengan Muhammad Amir Arsad, yang melahirkan rasa tanda ‘kesyukuran’ kerana semasa pandemik Covid-19 ini, beliau berpeluang ‘meneroka kembali’ pengembaraan solonya di 33 negara yang pernah dilawatinya menerusi rakaman video yang dihasilkannya.

Istimewanya pengembaraan bekas peguam ini ke negara berkenaan hanya dengan berbasikal.

“Orang dari negara Kazakhstan paling baik,” itulah perkataan pertama yang terpacul keluar dari mulut pemuda berusia 30 tahun itu apabila diminta menceritakan pengalaman ketika pengembaraan berkenaan.

Anak jati Batu Pahat ini memulakan pengembaraannya dari Indonesia, pada 2016 sehinggalah ke beberapa negara Eropah seperti United Kingdom (UK), Perancis, Jerman dan negara bekas Kesatuan Soviet.

Muat naik video ke Youtube

Beliau, yang saban tahun mengembara terpaksa melupakan sementara hasrat aktiviti kegemarannya pada tahun ini akibat penularan wabak Covid-19.

Ikut perancangan awal, bermula pada Mac lepas, beliau mahu berbasikal ke negara Jepun dan Korea Selatan.

“Bagaimanapun saya terpaksa menangguhkannya dahulu tahun ini. Namun, saya dapat berkongsi pengalaman saya ketika mengembara di negara berkenaan menerusi media sosial termasuklah laman Youtube.

“Sampai hari ini, saya telah berkongsi sekitar 150 tayangan video dalam laman Youtube, dan tidak dinafikan kebanyakan video berkenaan dihasilkan dalam tempoh PKP,” katanya ketika ditemui Bernama, di kediamannya di Parit Ya’ani, baru-baru ini.

Muhammad Amir berkata, beliau akan berusaha untuk menghasilkan setiap video mengenai perkara yang menarik di semua 33 negara yang dilawatinya termasuklah lokasi yang jarang dilawati umum.

‘Back packer’ berbasikal

Menurut anak muda yang berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Utara Malaysia (UUM), beliau sanggup melepaskan jawatan sebagai peguam hanya untuk memenuhi impiannya mengembara secara solo ‘ala backpackers’.

Beliau membeli sebuah basikal terpakai dengan harga RM2,000 dan telahpun mengayuh melebihi 18,000 kilometer (km) dengan kayuhan paling jauh pernah direkodkan sekitar 500 km sehari di Turkmenistan.

“Antara pengalaman manis yang saya alami adalah ketika di Kazakhstan apabila rakyat di negara berkenaan melayan saya dengan baik serta memberikan tempat tinggal, makanan, malah hampir setiap individu di negara itu akan menghulurkan duit (wang saku) apabila mengetahui yang saya ini mengembara.

“Turut tidak dapat dilupakan apabila anjing penjaga kediaman tempat saya menginap di Kazakhstan menggigit saya secara tiba-tiba ketika saya mahu meneruskan perjalanan bukan sebab marah tetapi ‘seolah-olah’ tidak mahu melepaskan saya pergi dan mahu terus saya tinggal di situ,” katanya menambah memang menjadi kebiasaan bagi orang di Kazakhstan membela anjing bagi menjaga kediaman mereka.

Namun jelas Muhammad Amir lagi, mengembara secara berbasikal ini sebenarnya sesuatu yang agak menarik kerana ia dapat menguji kekuatan fizikal dan mental.

Perkemas kelengkapan

Muhammad Amir, yang juga anak sulung dari empat adik-beradik itu, turut mengambil peluang sepanjang PKP untuk memeriksa kelengkapan mengembara seperti basikal, kamera serta beberapa lagi peralatan yang lain sebagai persiapan untuk meneruskan hobinya itu apabila tempoh PKP tamat.

Dalam tempoh itu, beliau juga berkongsi pengalaman melalui media sosial serta menjawab setiap persoalan yang dikemukakan termasuk memberi nasihat tertentu kepada mereka yang ingin mengembara sepertinya.

“Saya turut gembira dan bersyukur apabila keluarga tidak menghalang, malah memberi galakan kepada saya untuk meneruskan minat, hobi dan cita-cita saya untuk mengembara seberapa banyak negara di dunia ini.

“Malah saya turut gembira apabila usaha saya ini tidak sia-sia apabila menerima pengiktirafan daripada pihak jawatankuasa kampung tempat saya tinggal, wakil rakyat dan kerajaan negeri melalui Anugerah Ikon Belia 2018,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau turut bersedia untuk menjadi ‘penunjuk ajar’ kepada sesiapa sahaja yang ingin menjadi pengembara secara berbasikal.

Jelajah Malaysia

Tambah Muhammad Amir, beliau antara individu yang mampu mengukir senyuman apabila Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan rakyat negara ini boleh melepasi sempadan negeri ketika PKP Pemulihan bermula 10 Jun lepas.

Beliau mula memikirkan untuk berbasikal ke beberapa lokasi menarik di dalam negara, sama ada di kawasan Pantai Timur atau bahagian utara tanahair.

“Saya juga berhasrat untuk berbasikal di keseluruhan negeri Sarawak dan Sabah sementara sempadan keluar masuk negara masih belum dibuka.

“Di samping mengembara dan mengetahui budaya serta cara hidup penduduk luar, saya juga berhasrat untuk mengetahui keseluruhan kebudayaan yang ada di negara ini terutamanya di Sabah dan Sarawak.

“Sebenarnya saya juga mahu mengetahui beberapa lagi tempat menarik tetapi masih ‘tersembunyi’ daripada umum,” katanya.

Teruskan kembara luar negara

“Sebaik sempadan antarabangsa dibuka kelak saya akan meneruskan perancangan saya untuk berbasikal ke negara Jepun dan Korea Selatan,” katanya yang turut menyimpan hasrat untuk berbasikal di benua Amerika dan Afrika.

Dalam masa yang sama, selain mengembara dan mengetahui cara hidup penduduk di luar negara, yang pastinya berbeza dengan kita semua, Muhammad Amir sebenarnya menyimpan hasrat untuk menjadi pemandu pelancong bagi warganegara Malaysia yang ingin ke luar negara.

“Buat masa ini biarlah saya mengembara dahulu dengan mengetahui keadaan di negara luar sebelum saya ‘mengajak’ orang di negara ini melihat tempat menarik.

“Saya berharap hasrat saya ini akan menjadi kenyataan. Saya juga ingin mempunyai syarikat pelancongan saya sendiri. Yang uniknya nanti, saya akan memasukkan sekali pakej berbasikal di negara yang pelanggan saya lawati,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Ayam Gepuk MTB sasar Olimpik Paris 2024

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Selepas gagal dalam misi ke Sukan Olimpik sebelum ini, bekas pelumba negara Nor Effandy Rosli bertekad membantu pelumba pasukan berbasikal Ayam Gepuk MTB meraih tiket dalam acara berbasikal bukit pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Bekas pelumba berusia 52 tahun itu menjelaskan walaupun sasaran berkenaan disifatkan berliku, namun yakin pengalaman luasnya dalam sukan berbasikal dapat membantu dua pelumba pasukan berkenaan iaitu anak perempuannya, Nur Deena Safia serta Tengku Alif Haryz Tengku Hazril mencapai misi berkenaan.

“Sasaran ke Sukan Olimpik itu memang tinggi tapi bagi saya kita ada masa lebih kurang empat tahun lagi. Kalau dana mencukupi dan pendedahan kejohanan antarabangsa diberikan secara berterusan, saya yakin kita mampu mencapai sasaran berkenaan.

“Kalau kita lihat pasukan seperti China dan Jepun sentiasa menghantar pelumba ke beberapa kejohanan antarabangsa termasuk Piala Dunia, namun sayangnya kita tidak pernah menghantar pelumba kita ke kejohanan sedemikian,” katanya pada sidang media penajaan daripada pemilik Restoran Ayam Gepuk Pak Gembus, Mohd Firdaus Wahid, di salah sebuah cawangan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nor Effandy yang merupakan pengurus pasukan berbasikal Sukan Malaysia (Sukma) Wilayah Persekutuan, memaklumkan, sasaran jangka pendek adalah membantu pasukannya meraih dua pingat emas pada Sukma 2020 Johor yang ditunda kepada Mac tahun depan.

Nor Effandy bukanlah nama asing dalam berbasikal lebuh raya negara, dan antara pencapaian cemerlangnya adalah meraih pingat perak dalam acara lepas beramai-ramai individu pada Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998, selain pernah memenangi pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 1989.

Mohd Firdaus pula memaklumkan penajaan berkenaan adalah berbentuk wang tunai sebanyak RM2,000 sebulan bagi setiap pelumba, dan ia akan digunakan untuk menampung perbelanjaan kedua-dua pelumba tersebut untuk penyertaan kejohanan dan juga peralatan berbasikal bukit.

Sementara itu, Nur Deena Safia dan Tengku Alif Haryz merakamkan penghargaan kepada Restoran Ayam Gepuk Pak Gembus di atas penajaan berkenaan, dan berkata fokus mereka adalah menghadapi Sukma 2020 Johor.

Pencapaian terbaik yang dilakar Nur Deena Safia, 21 yang merupakan pelajar UiTM Shah Alam, adalah meraih pingat gangsa kategori Bawah 23 Kejohanan Benua Asia di Danao City, Filipina pada 2018.

Tengku Alif Haryz, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Salak Tinggi, pula memenangi pingat perak pada Kejohanan Siri Berbasikal Bukit Asia di Sabah, tahun lalu.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Selamat Hari Basikal Sedunia – MB

SHAH ALAM, 3 JUN: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengucapkan Selamat Hari Basikal Sedunia buat peminat sukan berbasikal khususnya di Selangor.

“Berbasikal bukan sahaja menyumbang kepada kesihatan badan dan sebagai pengangkutan yang bebas karbon, malah menyebarkan mesej tentang kesedaran terhadap menyayangi alam sekitar serta memberi impak yang positif terhadap iklim dunia,” tulisnya di Facebook, hari ini.

Pada 13 April 2018, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengiktiraf 3 Jun adalah Hari Basikal Sedunia.

Categories
PBT SELANGOR

MPSJ tubuh unit peronda berbasikal

OLEH ALIFF HAIKAL

SUBANG JAYA, 4 OKT: Penggunaan basikal akan menggantikan penggunaan motosikal dan berjalan kaki bagi melakukan rondaan di beberapa kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, penggunaan basikal itu adalah usaha MPSJ bagi memudahkan orang awam untuk berurusan dan akan memperluaskan kawasan rondaan bergantung pada lokaliti.

“Sebelum ini, pegawai penguatkuasa MPSJ melakukan rondaan dengan menggunakan motosikal ataupun berjalan kaki, kini MPSJ menggantikan dengan kenderaan yang lebih rendah karbon.

“Unit Berbasikal MPSJ ini ditubuhkan bertujuan untuk melaksanakan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan secara rondaan berbasikal serta mewujudkan perkhidmatan perbandaran yang lebih hijau serta mesra rakyat,” katanya.

Majlis Pelancaran Unit Berbasikal Penguatkuasa itu diadakan di Jalan USJ 10/1A, di sini, hari ini.

MPSJ telah memperuntukkan sebanyak RM35,820 bagi pembiayaan kos keseluruhan pembelian basikal tersebut.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Puan Michelle Ng Mei Sze dan Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid.

Terdahulu, penubuhan unit berbasikal ini adalah inisiatif MPSJ dalam menyahut seruan menjadi bandar rendah karbon selaras dengan hasrat MPSJ untuk menjadi bandar hijau menjelang 2030.

Categories
SELANGOR SUKANKINI

1,000km laluan basikal di Selangor hampiri sasaran

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 23 SEPT: Usaha Kerajaan Negeri membina 1,000 kilometer laluan basikal di seluruh Selangor hampir mencapai sasarannya.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, projek itu dijalankan bagi menggalakkan budaya hidup secara sihat di samping meningkatkan penggunaan basikal dalam kalangan masyarakat.

“Kalau nak lihat daripada keterlibatan awam dalam acara basikal sememangnya sudah ada dan sebab itulah Kerajaan Negeri komited dengan usaha membina laluan basikal di mana kita meletakkan sasaran 1,000 kilometer dan hampir mencapai sasaran.

“Ini bukan sahaja dapat mengatasi masalah trafik tetapi juga dapat melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas di mana kita boleh lihat agak ramai menggunakan laluan basikal yang sudah siap dibina,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada acara Velo Fun Ride Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor di Jalan Kota Warisan di sini, hari ini.

Amirudin berkata, aktiviti berbasikal di negara ini khasnya di Selangor semakin mendapat tempat dalam masyarakat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Katanya, selain jumlah pengguna laluan basikal yang semakin meningkat setiap hari, hal ini juga boleh dibuktikan dengan jumlah penyertaan yang tinggi setiap kali diadakan acara membabitkan kayuhan basikal.

“Sebenarnya aktiviti berbasikal ini sudah semakin rancak kira-kira lima tahun kebelakangan ini menjadi aktiviti yang popular di mana rata-rata setiap kali kita anjurkan acara kayuhan, paling kurang pun boleh dapat 500 hingga 1,000 orang akan sertainya,” katanya.

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Jalan Gombak-Genting Sempah syurga kegiatan berbasikal – Dr Mohd Azhari

KUALA LUMPUR, 29 JUL: Institut Jantung Negara (IJN) dengan kerjasama Komuniti Remaja Selangor Selangor (SAY) telah memulakan projek ‘Cycling Paradise @ Genting Sempah’ dalam usaha menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sehat dan aktif.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub berkata di bawah inisiatif itu IJN akan menjadikan laluan basikal sejauh 15 Km dari Gombak ke Genting Sempah sebagai ‘jalan angkat’ bagi mempastikan laluan itu sesuai untuk kegiatan berbasikal.

“Projek jalan angkat ini merupakan projek julung kali dilaksanakan oleh IJN. Melalui program ini sebanyak lima pusat rehat dan rawat (R&R) akan dibangunkan dengan kemudahan kerusi dan rak basikal dengan anggaran peruntukan RM200,000.

“Inisiatif ini adalah untuk mencari jalan penyelesaian terhadap masalah pengurusan sampah dan kekurangan tempat berteduh sepanjang laluan itu,” katanya kepada pemberita para pelancaran fasa pertama projek itu yang sertai dengan kegiatan gotong royong bermula dari Hospital Orang Asli di Jalan Gombak.

Kegiatan gotong royong itu dirasmikan oleh raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga penaung di raja SAY dan turut disertai sukarelawan IJN, SAY serta kakitangan Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Perhutanan Selangor.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor nombor satu acara berbasikal – MB

OLEH NADIAH ZAMLUS

BANGI, 15 JUL: Selangor dilihat menjadi negeri pelopor dan perintis bagi aktiviti berbasikal dengan jumlah peserta teramai termasuk kekerapan aktiviti itu hampir saban minggu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sudah menjadi kebiasaan di Selangor menerima jumlah penyertaan tertinggi bagi aktiviti berbasikal dengan mencecah 1,000 orang.

“Jadi kita berbangga melihat perkembangan ini di Selangor, dan melihat negeri ini kehadapan berbanding negeri lain.

“Disebabkan itu juga Le Tour de Selangor akan diadakan dua tahun sekali bagi menyemarakkan acara kayuhan,” katanya selepas Acara Selangor Industrial Ride 2.0 anjuran Invest Selangor dengan kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI).

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Azmie Diron dan Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin yang bertempat di Sony EMCS (Malaysia) Sdn Bhd, Bandar Baru Bangi.

Kira-kira 1,000 peserta yang terdiri daripada pemain industri menyertai acara berbasikal sejauh 25 kilometer itu, tidak ketinggalan Amirudin bersama tetamu kehormat turut menunggang basikal sejauh 5 km.

Sementara itu, Hasan Azhari berkata, Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berkenaan diilhamkan oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, ia bagi membina nilai yang lebih baik buat warga korporat dan komuniti perindustrian di samping mengambil langkah pemuliharaan alam semulajadi.

“Diharapkan acara berbasikal ini dapat merapatkan hubungan diantara Kerajaan Selangor dan komuniti industri,” katanya.

=EZY=

 

Categories
PBT SELANGOR

Insentif RM200,000 PBT bina laluan basikal

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SUBANG JAYA, 11 FEB: Kerajaan Negeri bakal memberi insentif maksimum sebanyak RM200,000 kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang membina laluan basikal sebelum 31 Mac ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan Kecil & Sederhana (IKS) dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Kim berkata, ia bertujuan bagi menggalakkan PBT merancakkan lagi pembinaan laluan berbasikal.

“Kerajaan Negeri membuat keputusan untuk semua PBT yang dapat memberikan tender pembinaan laluan basikal sebelum 31 Mac akan menerima insentif maksimum RM200,000.

“Jika laluan itu menelan belanja sebanyak RM300,000, maka PBT hanya perlu menanggung RM100,000 sahaja, namun jika kos diperlukan adalah RM100,000 maka Kerajaan Negeri akan memberi jumlah diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis pelancaran Trek Basikal MPSJ Putra Heights di Taman Rekreasi Putra Bistari 2, Persiaran Putra Perdana, Putra Heights, di sini hari ini.

Bagaimanapun Teng berkata, insentif itu hanya diberi sebelum 31 Mac, jika selepas tarikh itu insentif akan dipotong 50 peratus dan berlanjutan sehingga Jun.

“Oleh itu saya mohon kepada semua PBT untuk mengambil kesempatan ini merancakkan program pembinaan trek basikal.

“Ia sejajar hasrat Kerajaan Negeri mengurangkan penggunaan pengangkutan disamping menyelesaikan masalah kesesakan dan ke arah membina bandaraya hijau,” katanya.

=EZY=

Categories
PBT SELANGOR

MPSJ sedia trek basikal inisiatif ke arah Perbandaran Hijau 2030

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SUBANG JAYA, 11 FEB: Trek berbasikal sejauh 15.46 kilometer (km) dengan peruntukan RM400,000 di Putra Heights siap sepenuhnya bulan lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan berkata, ia merupakan projek perintis MPSJ menyediakan trek basikal yang komprehensif iaitu reka bentuk ‘Loop’ lengkap di atas jalan (carriageway) dengan lorong berasingan dalam satu pusingan.

“Pelaksanaan projek ini diputuskan di Mesyuarat Stanco Pengangkutan Selangor pada Disember tahun lalu bagi perancangan pelaksanaan projek laluan basikal sepanjang 1,000 km di seluruh Selangor.

“Ia juga inisiatif MPSJ ke arah perbandaran hijau menjelang 2030 dengan meningkatkan pengurangan karbon dioksida dan mengurangkan penggunaan kenderaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Projek Trek Basikal MPSJ Putra Heights di Taman Rekreasi Putra Bistari 2, Persiaran Putra Perdana, Putra Heights, di sini pagi tadi.

Noraini berkata, pemilihan Putra Heights kerana kawasan pembangunan di situ mempunyai aliran trafik sederhana serta keadaan jalan lebar dan selamat.

“Antara kawasan terlibat adalah Persiaran Harmoni, Jalan Harmoni, Jalan Putra Harmoni, Jalan Putra Setia, Persiaran Putra Setia, Persiaran Putra Indah, Persiaran Putra Perdana, Jalan Petaling dan Persiaran Putra Bahagia,” katanya.

Difahamkan trek itu lengkap dengan ciri-ciri keselamatan antaranya penyediaan trek basikal menggunakan cat ‘hot applied thermoplastic’, logo basikal di atas jalan, anak panah ‘single arrow’, papan tanda logo basikal dan papan tanda beri laluan.

Selain itu, kos projek turut dibiayai bersama Kerajaan Negeri melalui peruntukan disalur dibawah Jawatankuasa tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong sebanyak RM100,000.00.

Hadir sama Exco Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan Kecil & Sederhana (IKS) dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Kim dan Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

Selangor tuntut penjelasan, polis batal kejohanan basikal Pulau Indah 180

OLEH ERMIZI MUHAMAD

FOTO: AHMAD AL-HAFIZ OTHMAN

PULAU INDAH, 14 JAN : Kerajaan Selangor menuntut pihak berwajib memberi penjelasan berhubung tindakan pembatalan penganjuran Kejohanan Berbasikal Pulau Indah 180 Malaysia 2018, pagi ini.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari menyifatkan tindakan berkenaan sebagai ‘pelik’ dan menimbulkan persoalan besar terhadap kredibiliti pihak tertentu.

“Walaupun penganjur sudah mendapat kebenaran Pesuruhjaya Sukan, pada masa sama pihak polis juga turun padang meninjau penganjuran program, pastinya tindakan pembatalan ini sangat mengecewakan.

“Sedangkan penganjuran kali ini mendapat penyertaan dari dalam dan luar negara. Cuma saya berharap langkah ini tidak dipengaruhi faktor-faktor pelik atau sabotaj.

“Justeru untuk tempoh ini, kita akan mendapatkan penjelasan supaya perkara ini tidak berlaku pada masa akan datang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB) selaku penganjur kejohanan berkenaan.

Sebelumnya, penganjur dimaklumkan pembatalan akhir kejohanan oleh pihak polis pada tengah malam 13 Januari (semalam).

Ketua Pegawai Esekutif CSSB, Dato’ Mahmud Abbas berkata, lebih mengecewakan pihak penganjur tidak dimaklumkan sebarang alasan munasabah terhadap pembatalan itu.

“Penganjur sudah mematuhi prosedur penganjuran perlumbaan meliputi aspek keselamatan dan fasiliti perlumbaan kerana apa yang menjadi keutamaan kami adalah isu keselamatan itu sendiri.

“Namun kami cukup kesal kerana tidak diberikan sebarang alasan sedangkan ini bukan pertama kalinya kejohanan sama dianjurkan di peringkat negeri.

“Ia sudah memasuki tahun ketiga dan mendapat penyertaan 1,000 pelumba dari dalam dan luar negara,” katanya.

Berikutan arahan pembatalan berkenaan katanya lagi, pihak penganjur hanya menjadikan kejohanan berkenaan sebagai ‘program fun ride’ dan tidak bersifat pertandingan perlumbaan.

“Namun pihak penganjur bertanggungjawab untuk memulangkan yuran pendaftaran perlumba, termasuklah menjadikan wang tunai kemenangan RM40,000 sebagai sumbangkan kepada Persatuan Berbasikal,” katanya.

Untuk rekod, pelumba akan melalui trek laluan sepanjang 180KM mengelilingi Pulau Indah dan Perlabuhan Klang.

Bagaimanapun, jarak laluan diubah kepada 80KM sahaja selepas format kejohanan diubah kepada program santai ‘fun ride’.

=EZY=