Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada duti setem pindah milik, beli rumah pertama

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Belanjawan 2021 turut menyaksikan kerajaan bakal melaksanakan beberapa inisiatif bagi kemudahan pelbagai lapisan rakyat dalam usaha membantu meningkatkan pemilikan rumah dan menyediakan perumahan selesa serta berkualiti.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bagi menggalakkan pemilikan rumah, kerajaan akan melaksanakan beberapa inisiatif antaranya pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian kediaman pertama bernilai sehingga RM500,000.

“Pengecualian ini adalah untuk perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Dis 2025,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, beliau berkata pengecualian duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik diberikan kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengkalai dilanjutkan bagi tempoh lima tahun lagi.

“Pengecualian ini adalah untuk perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Jan 2021 sehingga 31 Dis 2025 bagi projek perumahan terbengkalai yang disahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata kerajaan juga akan bekerjasama dengan institusi kewangan terpilih untuk menyediakan Skim Rent-to-Own yang akan dilaksanakan sehingga 2022 melibatkan 5,000 rumah PR1MA dengan nilai keseluruhan lebih RM1 bilion, dikhaskan untuk pembeli rumah pertama.

Menerusi aspek penyediaan perumahan yang selesa dan berkualiti kepada golongan berpendapatan rendah, Tengku Zafrul berkata sebanyak RM1.2 bilion diperuntukkan kerajaan dalam Belanjawan 2021.

Katanya, ia meliputi RM500 juta untuk membina sehingga 14,000 rumah di bawah Program Perumahan Rakyat dan RM315 juta untuk membina 3,000 unit Rumah Mesra Rakyat oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad.

“Sebanyak RM125 juta bagi penyelenggaraan perumahan berstrata kos rendah dan sederhana rendah serta bantuan membaik pulih rumah usang dan yang mengalami kerosakan akibat bencana alam serta RM310 juta untuk Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor kutip hasil RM1.99 bilion ketika ekonomi tidak menentu

SHAH ALAM, 5 NOV: Kerajaan Negeri mengutip hasil berjumlah RM1.99 bilion sehingga 31 Oktober di sebalik ketidaktentuan ekonomi susulan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata jumlah tersebut merupakan 90 peratus daripada sasaran pendapatan sebanyak RM2.2 bilion pada tahun ini.

“Kemampuan mengekalkan prestasi kewangan disokong amalan perbelanjaan mengurus dan pembangunan secara berhemah bagi menstabilkan aliran tunai negeri.

“Peruntukan belanja mengurus pada tahun ini ialah RM1.2 bilion tetapi kita hanya belanjakan RM959 juta, manakala hanya RM604.46 juta daripada RM1.13 bilion pebelanjaan pembangunan digunakan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Hulu Bernam Datuk Rosni Sohar berhubung prestasi kewangan Kerajaan Negeri pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Amirudin berkata langkah menstabilkan pendapatan negeri adalah mengoptimumkan hasil cukai tanah dan petak dengan melanjutkan tempoh bayaran, pelaksanaan Smartbox untuk memudahkan urusan tanah serta kempen menggalakkan orang ramai membayar cukai.

“Kita juga memberi insentif pembayaran premium tanah secara ansuran kepada pemegang notis 5A dan 7G serta melaksanaan Dasar Kelulusan 100 Hari bagi menggalakkan aktiviti ekonomi,” katanya lagi.

Dato’ Menteri Besar turut menjangka Belanjawan Selangor 2021 mengalami defisit RM123 juta, kira-kira RM10 juta lebih rendah daripada jumlah defisit dalam belanjawan tahun ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2021: Tingkat keselamatan sosial, bela nasib pekerja

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Kerajaan diharap dapat meningkatkan jaringan keselamatan sosial pekerja dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan esok bagi memastikan mereka yang terjejas akibat penularan Covid-19 mendapat pembelaan.

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Effendy Abdul Ghani berkata perlindungan sosial seperti insurans, kebajikan sosial dan perlindungan pada hari tua amat penting dalam berdepan situasi pandemik yang tidak berkesudahan.

“Bagi mereka yang kehilangan kerja, kerajaan perlu berusaha membantu mereka mendapatkan bantuan segera termasuk kewangan dan pekerjaan baharu, bagi memastikan kelangsungan hidup.

“Dengan situasi norma baharu pula, kerajaan perlu menyediakan garis panduan bagi memastikan pekerja yang bekerja dari rumah turut mendapat perlindungan sewajarnya termasuk keselamatan, kemudahan serta waktu kerja yang bersesuaian,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Mohd Effendy berharap kerajaan akan meneruskan program subsidi upah yang akan tamat pada 31 Disember ini dan memudahkan proses serta mempercepatkan pembayarannya.

Katanya, bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan untuk setiap pekerja yang berpendapatan RM4,000 dan ke bawah itu dapat membantu mengekalkan pekerja sekali gus mengurangkan pengangguran di negara ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) Mohammad Rizan Hassan berharap kerajaan dapat memberi lebih peluang kepada pekerja berkemahiran berpengalaman untuk menjadi tenaga pengajar jemputan di institut kemahiran.

Katanya, usaha itu dapat membantu negara melahirkan kualiti siswazah yang menepati kehendak atau keperluan industri.

“Bagaimanapun mereka tidak perlu dibebani dengan syarat-syarat pentadbiran yang menyebabkan mereka rasa terhalang untuk menyumbang kepada negara.

“Insentif tunai juga boleh diberikan kepada mereka yang sedia menjadi tenaga pengajar manakala insentif untuk majikan juga boleh diberikan kerana kesediaan melepaskan pakar mereka untuk tempoh tertentu,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong: Halusi cadangan, rangka Belanjawan 2021 inklusif paksi rakyat

KUALA LUMPUR, 4 NOV: Kerajaan disaran memperhalusi setiap cadangan bagi merangka Belanjawan 2021 bersifat inklusif serta komprehensif, berpaksikan kebajikan rakyat, pemulihan ekonomi negara dan pembendungan efektif wabak Covid-19.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan itu semasa menerima menghadap Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Istana Negara petang tadi.

Pada pertemuan yang berlangsung selama 70 minit itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima sembah taklimat ringkas mengenai kedudukan ekonomi semasa dan fiskal negara serta usaha Kementerian Kewangan menyediakan Belanjawan 2021 sejak Julai, melalui lebih 40 sesi libat urus melibatkan lebih 2,000 individu dan wakil perniagaan, termasuk wakil parti-parti politik negara.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada kerajaan serta parti-parti politik di atas semangat bipartisan dan pemuafakatan yang telah ditunjukkan,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata dalam majlis menghadap itu, Tengku Zafrul disertai Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Asri Hamidon.

“Al-Sultan Abdullah berpendapat amalan kematangan berpolitik dengan mengetepikan perbezaan dan kepentingan parti atau peribadi amat penting pada ketika ini demi keselamatan dan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat bencana wabak Covid-19,” katanya.

Seri Paduka turut bertitah semangat itu adalah selaras dengan budaya syura yang dianjurkan oleh Islam sebagaimana dipamerkan oleh Raja-Raja Melayu dalam sesi Perbincangan Khas di Istana Negara pada 25 Oktober lalu.

Al-Sultan Abdullah bertitah dalam keadaan situasi sukar dan genting ini, amat wajar kemaslahatan masyarakat umum mendahulukan kepentingan individu secara khusus.

Sehubungan itu, Seri Paduka menzahirkan harapan agar semangat kerjasama yang dizahirkan oleh pelbagai pihak dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor harap Belanjawan 2021 fokus aeroangkasa, internet, hospital baharu

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri berharap Belanjawan 2021 Persekutuan memberi tumpuan untuk mengukuhkan sektor aeroangkasa, capaian internet dan pembinaan hospital baharu.

Dato’ Menteri Besar berkata Eropah dan Amerika Syarikat memberi tumpuan khusus kepada sektor aeroangkasa yang terjejas akibat penularan Covid-19 sebagai persediaan untuk masa akan datang.

“Sektor ini antara tonggak penting ekonomi Selangor dan memerlukan sokongan peringkat Persekutuan untuk menampan kesan penularan wabak.

“Ketika ini hanya 8,000 hingga 10,000 pesawat terbang berbanding keadaan biasa hampir 25,000 pesawat, namun sektor ini dijangka berkembang pantas sebaik sahaja wabak tamat, jadi kita perlu bersedia bermula sekarang,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui pemberita di lobi Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Dalam perkembangan lain beliau berkata capaian internet di Selangor pada kadar 60 hingga 70 peratus dan perlu segera diatasi.

“Telekom Malaysia berjanji untuk melengkapkan capaian internet di seluruh Selangor pada 2022, tetapi kita berharap dipercepatkan kerana tidak mahu masalah ini mengganggu sasaran Selangor Pintar menjelang 2025,” katanya.

Amirudin turut berharap peruntukan pembinaan hospital baharu diluluskan dalam Belanjawan 2021.

“Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang sudah sesak ditambah pula Hospital Sungai Buloh yang dijadikan tempat merawat pesakit Covid-19. Malah Kerajaan Negeri menyediakan tanah seluas 50 ekar di Meru, Klang untuk membina hospital,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan terima lebih 6,000 cadangan Belanjawan 2021

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Lebih 6,600 cadangan telah diterima daripada sesi konsultasi Belanjawan 2021 bersama parti politik dan juga melalui lawan sesawang Belanjawan 2021 sehingga 2 November, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata ini termasuk lebih 170 cadangan yang telah diterima susulan perjumpaan bersama ahli politik.

“Secara amnya, cadangan tertumpu kepada sokongan dan bantuan yang diperlukan untuk mengatasi kesan-kesan Covid-19 menjelang tahun 2021.

“Antara sektor dengan cadangan tertinggi termasuklah kesihatan, sokongan pekerjaan, pendidikan dan industri PKS.

“Kementerian sedang memperhalusi kesemua cadangan untuk disertakan dalam Belanjawan 2021 yang bakal diumumkan pada Jumaat, 6 November ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul berkata sesi konsultasi bersama parti politik adalah kesinambungan kepada usaha penyediaan Belanjawan 2021 yang inklusif dan komprehensif.

Katanya sejak Julai, lebih 40 sesi konsultasi telah diadakan melibatkan lebih 2,000 individu dan wakil perniagaan.

“Ini termasuk sesi turun padang ke setiap negeri buat kali pertamanya dalam sejarah kementerian untuk mendekati rakyat dan perniagaan yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata konsultasi Belanjawan 2021 bersama wakil-wakil daripada parti-parti politik negara iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Islam Se Malaya (PAS), Malaysian Chinese Association (MCA), Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Pakatan Harapan (PH), yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

“Saya ingin berterima kasih kepada semua pihak berkepentingan – rakyat, perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan serta sektor awam dan swasta – yang terlibat dalam proses konsultasi ini,” katanya.

Beliau berkata Belanjawan 2021 merupakan fasa kelima dalam strategi enam fasa atau Strategi 6R, iaitu rancangan pemulihan ekonomi kerajaan yang telah digerakkan sejak Mac lepas.

Katanya fasa-fasa sebelum ini merangkumi pelan rangsangan ekonomi PRIHATIN, PRIHATIN PKS+, PENJANA dan KITA PRIHATIN yang berjumlah RM305 bilion.

“Belanjawan 2021 adalah kesinambungan pencapaian pakej-pakej tersebut dan mempunyai tiga matlamat utama iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN saran kerajaan lanjut moratorium bank hingga Mac

SHAH ALAM, 1 NOV: Lanjutkan moratorium bank sehingga 31 Mac tahun hadapan antara cadangan Belanjawan Perpaduan 2021 dikemukakan Pakatan Harapan (PAKATAN) kepada menteri kewangan hari ini.

“Dalam suasana krisis Covid-19, ekonomi Malaysia mencabar survival perniagaan kecil, pekerjaan, masa depan dan keadaan kewangan rakyat.

“Penting bagi kerajaan dan pembangkang untuk bersama menghasilkan Belanjawan Perpaduan yang khusus membantu rakyat mengatasi dan bertahan dalam kegawatan Covid-19,” kata kenyataan bersama dibuat Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Pada 29 Julai lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar untuk tempoh tiga bulan dengan fokus kepada golongan benar-benar memerlukan seperti mereka hilang pekerjaan atau masih belum mendapat pekerjaan baharu.

Selepas tiga bulan menurutnya, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank bergantung kepada situasi individu masing-masing.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid,  sebelum itu berkata bank pusat berkenaan tidak berhasrat melanjutkan langkah berkenaan kerana memberi kesan yang sebaliknya mahu dielak oleh pihak bank.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2021: Tingkatkan peluang kerja graduan, golongan muda

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Kerajaan perlu memberi tumpuan kepada peningkatan peluang pekerjaan terutama untuk graduan dan anak muda yang berdepan pengangguran susulan penularan Covid-19 di negara ini, dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Jumaat depan.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohd Mursyid Arshad berkata golongan itu merupakan antara kelompok yang terkesan dengan hampir 40 peratus tenaga buruh di Malaysia adalah belia berusia 15 hingga 30 tahun.

“Jika dilihat setiap tahun, sekitar 200,000 graduan yang dihasilkan daripada institusi pengajian tinggi di negara ini dan hampir 300,000 graduan dalam dan luar negara menantikan peluang pekerjaan di Malaysia.

“Berdasarkan dapatan kajian tinjauan yang dilakukan terhadap golongan belia oleh pasukan penyelidik UPM baru-baru ini, mendapati mereka inginkan pekerjaan dan sumber pendapatan yang tetap dan mendambakan gaji yang setimpal dan berpadanan dengan kelayakan,” katanya kepada Bernama.

Namun, dengan peluang pekerjaan yang terhad akibat penyusutan beberapa sektor ekonomi susulan Covid-19, golongan belia bimbang akan pengangguran dengan hampir 544,500 belia dikatakan masih menganggur pada Julai 2020.

Justeru, Mohd Mursyid mencadangkan kerajaan menyediakan peluang pekerjaan berorientasikan pendigitalan yang secara tidak langsung membolehkan golongan belia dan mereka yang hilang pekerjaan tidak lagi bergantung kepada pekerjaan ‘makan gaji’ semata-mata.

“Penjanaan pendapatan melalui Ekonomi Gig (Gig Economy) merupakan ruang yang berpotensi besar dalam suasana pendigitalan pada hari ini dan golongan belia disaran untuk merebut peluang sebaik-baiknya dan memanfaatkan insentif yang disediakan oleh kerajaan melalui program myGIG Belia.

“Namun, Belanjawan 2021 juga perlu memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur jalur lebar secara lebih agresif kerana sektor pekerjaan dan pendidikan kini sangat bergantung kepada jalur lebar tetapi masih terdapat ‘blind spot’ di kawasan dalam bandar yang mengalami masalah Internet apatah lagi bagi kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Selain itu, beliau mencadangkan kerajaan memperbanyakkan hab keusahawanan dalam melatih belia agar mahir dalam perniagaan dan mampu menghasilkan golongan itu yang berdaya tahan, di samping menyediakan program pembangunan kompetensi belia.

Program seumpama itu, beliau berkata perlu menekankan aspek pembangunan kemahiran baharu (upskilling), memperkasa kemahiran belia sedia ada (reskilling) dan menyilangkan belia dengan kemahiran lain (cross-skilling) supaya mampu melaksana kepelbagaian tugas agar selari dengan keperluan semasa ketika berdepan dengan situasi pandemik Covid-19 yang kian mencabar.

“Kerajaan juga disaran meneruskan insentif ‘Place and Train’ melalui program latihan perantisan dengan menggalakkan lebih banyak pemain industri terutamanya syarikat korporat dalam menyediakan latihan, pengalaman dan peluang pekerjaan kepada graduan dan individu yang kehilangan pekerjaan.

“Peluang kolaborasi antara institusi pengajian tinggi dengan pemain industri perlu disemarakkan secara berterusan agar graduan yang dihasilkan sepadan dengan keperluan industri pada masa kini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2021 dijangka pengaruhi pergerakan ringgit minggu depan

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Keputusan kadar dasar semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia pada 3 November dan pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November dijangka menjadi pemangkin bagi pergerakan ringgit berbanding dolar AS dan mata wang utama lain pada minggu depan.

Penganalisis Pasaran FTXM Han Tan berkata selain itu, senario semasa politik tempatan yang tidak menentu juga akan menambah risiko yang boleh menjejaskan prestasi mata wang tempatan itu.

Bagaimanapun, katanya, pergerakan dolar AS/ringgit akan dipacu terutamanya oleh faktor-faktor luar.

“Bagi minggu akan datang, peningkatan pengelakan risiko akan menyaksikan dolar AS/ringgit menguji paras ketahanan 4.1707, dengan paras ketahanan kukuh sekitar paras psikologi 4.20,” katanya.

Sementara itu Ketua Pakar Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata daripada perspektif Asia kemenangan calon Demokrat Joe Biden dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) pada 3 November depan akan dianggap sebagai lebih positif berbanding penyandang sekarang Donald Trump.

Menurutnya, ramai peniaga yang akan memilih sehingga pilihan raya AS selesai sebelum membeli semula ringgit kerana isu pilihan raya itu masih kekal menjadi kebimbangan utama.

Sepanjang minggu yang baru berakhir ini, pengumuman data eksport Malaysia yang positif bagi September telah membantu ringgit menjadi mata wang mencatatkan prestasi terbaik Asia pada hari itu.

Bagaimanapun, indeks dolar AS meningkat lebih satu peratus apabila minat risiko global menyusut di tengah-tengah lonjakan semula kes jangkitan Covid-19 di ekonomi-ekonomi utama, manakala harapan terhadap pakej rangsangan fiskal AS mula menurun.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, ringgit turun berbanding dolar AS kepada 4.1530/1570 daripada 4.1500/1600 pada minggu sebelumnya.

Mata wang tempatan itu diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0427/0468 daripada 3.0593/0678 pada Jumaat minggu sebelumnya tetapi susut berbanding yen kepada 3.9757/9814 daripada 3.9664/9771.

Unit tempatan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3806/3866 daripada 5.4286/4434 dan meningkat berbanding euro kepada 4.8470/8529 daripada 4.9153/9288.

Pasaran ditutup pada Khamis sempena cuti umum Maulidur Rasul.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Jayakan agenda pendigitalan, rapat jurang pendapatan

SHAH ALAM, 30 OKT: Kerajaan Negeri memberi tumpuan menjayakan agenda pendigitalan pada tahun depan sebagai usaha meningkatkan pendapatan rakyat.

Dato’ Menteri Besar berkata Selangor perlu mempercepat ekosistem pendigitalan untuk merapatkan jurang pendapatan antara rakyat yang terkesan akibat penularan Covid-19.

“Banyak agenda digitalisasi kita kemukakan dalam Belanjawan Selangor 2021 untuk menjana pendapatan isi rumah, kita bakal adakan pelbagai program ke arah tersebut.

“Kita optimumkan digitalisasi serta tingkatkan kemahiran rakyat menggunakan platform digital sebagai jalan keluar kepada kelembapan ekonomi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan Selangor 2021 di sini hari ini.

Sejumlah RM369 juta diperuntuk bagi menjayakan agenda Negeri Pintar Ulung dan Agenda Digitalisasi dalam Belanjawan Selangor 2021.

Amirudin berkata usaha itu bagi menggerak ekonomi secara holistik melalui transformasi sistem perkhidmatan, sosial, perniagaan dan keusahawanan, penciptaan nilai serta seni kreatif.

Beliau menjelaskan dasar itu juga memecahkan stigma bahawa pendigitalan tidak membunuh peluang pekerjaan, sebaliknya mewujudkan peluang pekerjaan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

MB bentang Belanjawan 2021 petang ini, strategi tangani kesan Covid-19

SHAH ALAM, 30 OKT: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari akan membentang Belanjawan Selangor 2021 di Dewan Negeri Selangor (DNS) jam 3 petang hari ini.

Belanjawan itu dirangka bagi merancakkan ekonomi negeri bagi mendepani cabaran kesan pandemik Covid-19.

Membawa agenda kesejahteraan rakyat, ia memberi penekanan kepada sektor kesihatan awam, pertanian, pelancongan, usahawan mikro dan pendigitalan.

Pembentangan boleh disaksikan secara langsung melalui TV Selangor http://selangortv.my

Orang ramai juga boleh menyaksikannya melalui Facebook Live Media Selangor.

Untuk berita terkini, layari portal SelangorKini, http://selangorkini.my

Pembentangan termasuk teks ucapan dan sorotan isi utama juga boleh diikuti di laman web rasmi http://www.amirudinshari.com/selangor2021 

Categories
AGAMA NASIONAL

PAKATAN ingatkan PM titah Agong runding Belanjawan

SHAH ALAM, 29 OKT: Pakatan Harapan (PAKATAN) mengingatkan perdana menteri agar mengadakan rundingan segera dengan pembangkang berhubung isi kandungan Belanjawan 2021 sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November ini.

Menerusi kenyataan bersama, Majlis Presiden PAKATAN berkata perbincangan perlu diadakan selaras titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah seterusnya mencapai objektif diingini baginda.

“Majlis Presiden amat bersetuju dengan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa amatlah penting dan serius untuk Belanjawan 2021 ini dirundingkan dengan pembangkang sebelum dibentang di Parlimen.

“Majlis Presiden yakin semua ahli parlimen akan terlibat di dalam sesi perbahasan yang sihat untuk memastikan Belanjawan 2021 mengutamakan kepentingan negara dan rakyat serta menepati aspirasi seperti dititah Tuanku,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Presiden Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Lim Guan Eng.

Semalam, Al-Sultan Abdullah menasihati ahli parlimen memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan Covid-19.

Mengulas lanjut, Majlis Presiden berkata Belanjawan 2021 perlu memberi fokus terhadap keperluan petugas barisan hadapan selain menetapkan hala tuju yang mampu memastikan negara terus maju sewaktu dan selepas pandemik.

Katanya, tumpuan termasuk mengenal pasti strategi pembangunan baharu untuk ekonomi dan membantu rakyat Malaysia yang terkesan akibat kehilangan pekerjaan ataupun pendapatan sepanjang tahun ini.

“Berjuta-juta rakyat Malaysia yang berada pada atau di bawah paras kemiskinan amat mengharapkan bantuan melalui belanjawan ini. Golongan yang tidak harus ketinggalan juga adalah yang mengharapkan moratorium pinjaman dilanjutkan,” katanya.