Categories
AGENDA NASIONAL

Peruntukan Belanjawan 2021 dipotong, pelan masa depan UiTM terencat

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Pelan pembangunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan usaha melahirkan graduan berhadapan norma baharu akibat pandemik Covid-19, dilihat akan terencat jika peruntukan Belanjawan 2021 kepada institusi tersebut dipotong.

Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi UiTM Prof Datuk Dr Ismail Sualman berkata, selaku institusi terbesar di Malaysia dengan 35 kampus dan lebih 100,000 pelajar di seluruh negara, institusi tersebut memerlukan peruntukan besar untuk mengimbangi kuota pelajar dan keperluan kampus.

“Apabila wujudnya pengurangan tertentu, ia akan membantutkan usaha kita memperkasakan UiTM. Kita kini mengejar sasaran 500 terbaik dunia ketika ini. Jika peruntukan dipotong sana sini, kita bimbang ia akan merencatkan perancangan kita.

“Sebagai gudang bumiputera yang paling ramai dan tersohor di Asia, banyak rancangan yang perlu dilakukan untuk meningkatkan UiTM setanding universiti terkemuka dunia lain, yang memerlukan pembangunan infrastrukutur dan infostruktur (komunikasi dan teknologi) digital,” katanya kepada Bernama.

UiTM pada Belanjawan 2021 dicadangkan untuk menerima peruntukan sebanyak RM1.1732 bilion, berbanding RM1.861 bilion pada Belanjawan 2020.

Tegas Ismail, UiTM juga masih memerlukan usaha meningkatkan penyelidikan dan pembangunan kepada silabus pembelajaran baharu, bersesuaian dengan pandemik Covid-19, agar graduan mendapat pekerjaan dan bukannya menganggur.

Senada dengannya, Setiausaha Alumni Komunikasi Massa (Masscom) Haniff Ghazali yang menyifatkan, pandemik mengubah segala-galanya termasuk rombakan silabus, sebagai persediaaan kepada siswa-siswi ke arah alam pekerjaan norma baharu.

“Dalam era Covid-19, akan ada karier yang terhapus dan muncul selepas hujan. Jadi UiTM perlu membangunkan sahsiah dan jati diri jika ingin meletakkan graduan universiti sebagai penyumbang kepada ekonomi dan kehidupan.

“Tiada guna kalau ada wisma atau pejabat baharu, tetapi graduan masih lagi bertaraf jaguh kampung dan bukannya global.

“Kita akan berdosa jika mengulangi perkara yang sama apabila UiTM menyumbang kepada lambakan pengganggur di pasaran negara. Kerana itu pembangunan pendidikan, jati diri, kerohanian dan sahsiah itu penting, ia bukannya fizikal semata-mata,” jelasnya.

Sementara itu Presiden Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Teknologi MARA (UTiMAS) Prof Madya Abd Rahim Awang berkata, pengurangan dana akan memberi kesan kepada proses pelajaran dan pengajaran, selain menjejaskan peluang penyelidikan serta kerjasama dengan masyarakat luar.

Beliau percaya itu antara perkara yang perlu diberi perhatian, kerana ia akan membantutkan perkembangan universiti yang memerlukan peruntukan kewangan besar, selain usaha sama serta sokongan dari dana sampingan yang lain.

Pengurangan peruntukan kepada UiTM ini juga turut dibangkitkan bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sewaktu berbahas di Parlimen baru-baru ini, yang antara lain percaya ia akan merencatkan pembangunan universiti itu, selain memberi kesan kepada pelajarnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar: Pinda Belanjawan 2021, pertahan kebajikan rakyat

SHAH ALAM, 15 NOV: Ketua pembangkang mengulangi gesaan supaya Kerajaan Persekutuan meneliti semula Belanjawan 2021 dengan membuat pindaan bagi menjaga kebajikan rakyat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembangkang hanya mendukung belanjawan itu sekiranya ia fokus memerangi Covid-19.

Katanya beliau tetap mempertahankan isu emolumen penjawat awam, perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan untuk barisan hadapan serta kelengkapan perubatan dan kesihatan.

“Saya yakin bahawa kita mampu mengemukakan belanjawan atau pindaan yang lebih baik untuk kepentingan rakyat,” kata presiden KEADILAN dalam kenyataan media.

Beliau berkata sebelum ini menteri kewangan membayangkan sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan maka ia tidak dapat membayar komitmen termasuk pembayaran gaji penjawat awam dan memberikan kesan terhadap petugas barisan hadapan.

“Saya fikir ini satu kenyataan yang bersifat hambar dan berbaur ugutan serta sebahagian dari rencana untuk mengenepikan suara majoriti ahli parlimen,” kata Anwar.

Categories
AGENDA NASIONAL

Persatuan Peruncitan: Kerajaan perlu tangani kekurangan dalam Belanjawan 2021

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Persatuan-persatuan dalam industri peruncitan menyeru kerajaan untuk menangani kekurangan dalam Belanjawan 2021 sebagai respons kepada cabaran yang timbul akibat krisis pandemik daripada segi melindungi nyawa dan kehidupan.

Persatuan Rantaian Runcit Malaysia, Persatuan PKS Malaysia, Pertubuhan Peruncit Bumiputera dan Persatuan Pusat Membeli-belah Malaysia dalam satu kenyataan bersama secara kolektif mencadangkan agar kerajaan memberi pelepasan kewangan bersyarat kepada pemilik pusat membeli-belah dan pemilik tanah, antara lain.

Seterusnya, penjimatan daripada Bantuan Penyewaan boleh digunakan bagi membantu perniagaan runcit dalam beberapa cara,

“Penjimatan itu boleh digunakan untuk membantu perniagaan runcit di premis masing-masing melalui pengecualian atau pengurangan cukai taksiran tanah dan bayaran utiliti seperti air, elektrik serta telekomunikasi.

“Untuk segera mengaktifkan skim pelepasan sewa tidak langsung tersebut, kami mencadangkan pelanjutan diskaun elektrik sehingga Disember 2021, dengan kesan retrospektif dimulakan pada Oktober 2020,” kata persatuan itu.

Diskaun ke atas caj elektrik, yang diperkenalkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bagi sektor ekonomi terpilih telah tamat pada September lepas.

“Kami juga berharap agar kerajaan mempertimbangkan untuk mengetepikan semua obligasi pembayaran berkanun sehingga 31 Disember 2021, atau selama setahun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir, yang mana lebih awal,” kata kenyataan itu lagi.

Sementara itu, persatuan juga berharap kerajaan akan memberikan pelepasan cukai individu bagi menyokong aktiviti membeli-belah atau pelancongan domestik.

Ini boleh dilakukan melalui pengecualian cukai individu untuk bajet RM1,000 sebulan atau RM10,000 mulai Mei hingga Disember 2020 bagi pembelian barangan dan perkhidmatan, yang akan dibuktikan dengan resit yang berkaitan, serta pengecualian cukai individu sebanyak RM5,000, yang akan dibuktikan dengan penyerahan resit terkait.

Persatuan-persatuan berkenaan mencadangkan kedua-dua langkah itu berkuat kuasa serta-merta bagi Tahun Taksiran Cukai 2020–2021.

”Dengan menggalakkan pelancongan domestik, ekosistem perniagaan tempatan akan mendapat manfaat melalui kesan melata yang secara tidak langsung akan menyokong pemulihanan industri pelancongan,” kata kenyataan itu.

Mereka juga telah mencadangkan untuk kerajaan mempertimbangkan perlindungan kepada perniagaan dengan menyemak semula Akta 2020 Langkah Sementara bagi Mengurangkan Impak Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19) termasuk pelanjutan program subsidi upah dan moratorium pinjaman bank kepada perniagaan.

Persatuan-persatuan itu juga mencadangkan pelepasan cukai bagi perbelanjaan keselamatan dan kebersihan serta program ‘gelembung perjalanan’ untuk memulakan semula industri pelancongan termasuk pengenalan pensijilan pematuhan SOP Covid-19 kepada premis runcit dan restoran bagi meningkatkan keyakinan pengguna.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Enam syor PAKATAN tidak diangkat dalam Belanjawan 2021

SHAH ALAM, 9 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Belanjawan 2021 yang dibentangkan menteri kewangan Jumaat lalu langsung tidak mengangkat enam syor Pakatan Harapan (PAKATAN).

Ketua pembangkang berkata tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang tidak menyebut cadangan itu menimbulkan persoalan sama ada kerajaan serius menangani pandemik Covid-19.

“Meski saya puji kesungguhan kerajaan dalam membina muafakat yang ampuh bagi kita mendepani serangan dan dampak wabak Covid-19, menteri kewangan tidak langsung menyebut atau mengangkat enam syor dari PAKATAN semasa pembentangan Belanjawan 2021.

“Kejujuran dan niat kerajaan serta kementerian kini dipersoal apakah ia benar-benar serius mahu merangkul kekuatan untuk membendung wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Anwar yang juga presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat.

Menurutnya, perbahasan dimulakan dalam konteks kebijaksanaan keputusan Raja-Raja Melayu untuk tidak membenarkan pengisytiharan darurat oleh kerajaan dan kabinet.

“Apa yang diputuskan oleh Raja-Raja Melayu ini penting kerana ia melindungi Perlembagaan dan demokrasi kita dari diinjak oleh beberapa watak yang tidak bertanggungjawab.

“Justeru keabsahan kerajaan ini akan terus dipersoal dan disanggah melalui Parlimen,” katanya lagi.

Berikut enam syor Belanjawan Perpaduan PAKATAN:

1. Meningkatkan sumber Kementerian Kesihatan untuk wabak Covid-19 dan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dengan peruntukan khas untuk menangani krisis pandemik di Sabah

2. Memperluas perlindungan sosial, jaring keselamatan dan pembayaran kebajikan bagi golongan berisiko dan menganggur dengan meningkatkan bantuan bulanan kebajikan kepada RM1,000 sehingga krisis Covid-19 berakhir seperti yang dijanjikan oleh perdana menteri di Sandakan pada 30 Ogos yang akan menelan belanja RM12 bilion

3. Pelanjutan moratorium pembayaran balik pinjaman bank sehingga 31 Mac 2021 yang akan menelan belanja RM6.4 bilion

4. Meneruskan subsidi upah sehingga 31 Mac 2021 dan mewujudkan 600,000 pekerjaan seperti dalam program MalaysiaKerja dengan menawarkan insentif selama dua tahun untuk majikan dan pekerja yang akan menelan belanja RM13 bilion

5. Peningkatan perbelanjaan pendidikan untuk memastikan kesinambungan pendidikan

6. Perbelanjaan pembangunan untuk dua projek utama iaitu Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dan menaik taraf infrastruktur air untuk Selangor, Kelantan dan Pahang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar gesa batalkan dana Jasa, salurkan untuk rakyat

SHAH ALAM, 9 NOV: Kerajaan digesa membatalkan peruntukan Belanjawan 2021 bagi Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT).

Ketua pembangkang berkata dalam situasi ekonomi mencabar ketika ini, tumpuan perlu diberikan kepada usaha menangani Covid-19 dan kebajikan rakyat.

“Saya sebenarnya simpati dengan menteri kewangan kerana dia bukan orang politik jadi dia letakkan sahaja. (Kerajaan) cakap simpati pada petugas hadapan tetapi teruskan juga propaganda kotor untuk kroni.

“Kalau jumlahnya kecil boleh kita luluskan tetapi dalam keadaan rakyat susah, tindakan ini zalim. Sebagai sahabat yang simpati, saya minta menteri kewangan batalkan sahajalah,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.

Belanjawan 2021 memperuntuk RM85.5 juta kepada Jasa, manakala RM8.6 juta untuk PeKT.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Kaji semula pengeluaran Akaun 1 KWSP, bantu rakyat terkesan

SHAH ALAM, 9 NOV: Kerajaan digesa mengkaji semula pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam jumlah yang munasabah.

Ketua pembangkang berkata jumlah RM500 sebulan tidak mencukupi untuk menampung kehidupan individu yang kehilangan kerja susulan penularan Covid-19.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata meskipun langkah itu akan menjejaskan simpanan, namun ia terpaksa dilakukan bagi meringankan beban golongan terjejas.

“Perdana menteri sebut (pengeluaran KWSP) dibuat kerana ikut desakan rakyat tetapi beliau tidak faham rakyat pilih itu kerana terpaksa.

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media khas selepas mengadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur pada 13 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Meskipun saya kurang setuju kerana itu simpanan masa depan tetapi sebab terdesak, saya cadangkan jumlahnya ditambah dan diberi kelonggaran atas kegagalan kerajaan membantu rakyat,” katanya ketika berbahas di Dewan Rakyat hari ini.

Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan kemudahan pengeluaran KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dalam tempoh 12 bulan.

Sementara itu, Anwar mencadangkan bank mengurangkan kadar faedah pinjaman bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah (B40) dan menengah (M40).

Ahli parlimen Port Dickson berkata langkah itu jika dilaksana tidak merugikan kerana agensi berkenaan masih boleh mengaut keuntungan tahunan RM28 bilion.

“Kerajaan harus beri pertimbangan supaya moratorium diperluaskan dan beri sedikit tekanan kepada bank untuk potong faedah pinjaman bagi mengurangkan beban peminjam.

“Bank cuma menanggung sedikit kos dan kurangkan keuntungan. Sama-samalah kita susah dalam hal ini,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2021 tidak tumpu usaha menyeluruh tangani Covid-19

SHAH ALAM, 9 NOV: Belanjawan 2021 yang dibentangkan Jumaat lalu tidak menumpukan usaha menangani penularan Covid-19 secara menyeluruh, kata ketua pembangkang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hanya 5.3 peratus daripada RM322.5 bilion peruntukan diagihkan kepada Kumpulan Wang Covid-19 bagi mengatasi isu tersebut.

Beliau menegaskan kerajaan boleh mengemukakan perbelanjaan defisit susulan situasi pandemik yang semakin membimbangkan di seluruh negara.

“Belanjawan ini tiada yang luar biasa meskipun banyak kali ditekankan untuk membendung Covid-19. Peruntukan bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga disorok bawah peruntukan pembangunan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media khas selepas mengadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur pada 13 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Perkara ini harus diberi penjelasan, mana boleh peruntukan KKM dibuat begitu. Sebab utama (belanjawan) untuk tunjuk tiada defisit bertambah tetapi angkanya mengelirukan,” katanya dalam perbahasan di Dewan Rakyat.

Anwar yang juga ahli parlimen Port Dickson turut mempertikai dana pembelian vaksin Covid-19 berjumlah RM3 bilion yang tidak dimasukkan dalam belanjawan.

“Saya usulkan menteri kewangan teliti dan dengar hujah ini supaya hal Covid-19 diberi keutamaan. Kita (Pakatan Harapan) hanya akan sokong jika ia belanjawan untuk Covid-19,” kata beliau lagi.

Belanjawan 2021 memperuntuk RM1 bilion untuk membendung gelombang ketiga Covid-19 melibatkan pembelian kit saringan, sut perlindungan diri dan perolehan peralatan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor sambut baik peruntukan untuk dua projek pembangunan negeri

HULU LANGAT, 7 NOV: Kerajaan Negeri mengalu-alukan peruntukan bagi pembangunan infrastruktur dua projek di Selangor menerusi Belanjawan 2021.

Dato’ Menteri Besar berkata peruntukan tersebut bagi melaksanakan Jambatan Ketiga Klang fasa dua dan tiga projek lingkaran Pulau Indah yang sudah lama dipohon.

“Perkara ini dibincangkan sejak dua tahun lepas dengan kerajaan Persekutuan. Saya berterima kasih kerana memasukkan (peruntukan) dengan nilai agak besar,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari kepada media selepas program lawatan pasca banjir di Taman Sri Nanding di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan hampir RM3.8 bilion disalurkan bagi pembangunan insfrastruktur termasuk dua projek di Selangor.

Katanya, kerajaan juga akan memperkasa Orang Asli di Hulu Selangor dan melaksana inisiatif keusahawanan orang kelainan upaya (OKU) dikendalikan Komuniti Belia Selangor (SAY) bagi membiayai golongan terjejas Covid-19.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Belanja mengurus lebih 70 peratus tidak tepati aspirasi rakyat

HULU LANGAT, 7 NOV: Peruntukan lebih 70 peratus bagi perbelanjaan mengurus dalam Belanjawan 2021 disifatkan tidak bertepatan dengan aspirasi rakyat yang mahukan lonjakan pemulihan ekonomi.

Dato’ Menteri Besar berkata belanjawan dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam tidak memberi respon kepada beberapa isu dibangkitkan rakyat dan berbeza dengan Belanjawan Selangor 2021 memperuntukkan 47 peratus bagi aspek pembangunan.

“Sebaliknya di peringkat Persekutuan, mereka meletakkan hanya 21 peratus untuk tujuan tersebut dan selebihnya bagi perbelanjaan mengurus.

“Justeru, di samping kritikan wakil pembangkang dalam sidang Dewan Negeri Selangor, kita melihat belanjawan Persekutuan tidak menterjemahkan perkara berhubung pemulihan ekonomi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari kepada media selepas program lawatan pasca banjir di Taman Sri Nanding di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau melihat tiada peruntukan khusus bagi sektor aeroangkasa di Selangor yang seharusnya diberi tumpuan kerana ia menjanjikan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Menurutnya, peruntukan tersebut penting bagi meningkatkan kedayatahanan industri berkenaan yang ketika ini berdepan situasi sukar akibat penularan pandemik Covid-19.

“Kita sememangnya memerlukan sokongan untuk sektor tersebut kerana melibatkan tenaga kerja yang ramai malah menjadi kegiatan penting kepada negara amnya dan Selangor khususnya.

“Saya perlu lihat kembali apakah ada sokongan kepada sektor ini supaya mereka (penggiat industri) mampu bertahan dan keluar daripada masalah kemelesetan akibat Covid-19,” katanya.

Semalam, Tengku Zafrul mengumumkan RM322.5 bilion atau 20.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diperuntukkan dalam Belanjawan 2021.

Daripada jumlah itu, RM236.5 billion (73.3 peratus) adalah untuk perbelanjaan mengurus dan RM69 billion (21.4 peratus) bagi perbelanjaan pembangunan manakala baki RM17 bilion untuk Kumpulan Wang Covid-19.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Data ekonomi dijangka pacu prestasi ringgit minggu depan

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Ringgit memberi reaksi positif serta mengukuh sebanyak 0.2 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat – paras paling kukuhnya berbanding unit negara maju itu dalam tempoh seminggu.

Bagi minggu akan datang, prestasi ringgit dijangka mendapat dorongan menerusi pengumuman data ekonomi terbaru yang dilihat memberi kejutan positif untuk unit tempatan itu.

Penganalisis Pasaran FTXM Han Tan berkata ringgit berserta semua mata wang utama Asia mencatatkan aliran peningkatan mingguan berbanding dolar AS yang sebaliknya susut daripada kenaikan awal sebelum pemilihan presiden negara itu.

Menurutnya, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman tidak berubah pada awal minggu yang seiringan dengan jangkaan pasaran, juga membantu prestasi ringgit bagi tempoh tersebut.

“Selain itu, kejutan positif data ekonomi Malaysia yang akan diumumkan minggu depan seperti pengeluaran perindustrian bagi September dan Keluaran Dalam Negara Kasar bagi suku ketiga juga boleh mempengaruhi jangkaan sekitar pemulihan ekonomi dan memberi sokongan untuk ringgit.

“Ekonomi Malaysia dijangka menguncup sebanyak 6.5 peratus pada suku ketiga yang lebih baik daripada prestasi suku kedua yang menguncup sebanyak 17.1 peratus,” katanya.

Bagi minggu depan, tukaran ringgit dan dolar AS dijangka dalam sentimen lemah sementara menunggu sebarang perubahan besar membabitkan pilihan raya Presiden AS.

“Ini kerana kemenangan Joe Biden akan menyaksikan dolar AS menyederhana lagi yang sebaliknya membuka ruang tukaran ringgit-dolar pada 4.11 seperti pada pertengahan September.

“Namun, jika Donald Trump berjaya mengubah keadaan dan menuntut kemenangannya atau tuntutan undang-undangnya terhadap undian terbukti membantunya, ini boleh memulihkan dolar AS dan menyebabkan ringgit-dolar AS ke arah paras rintangan pada 4.17,” katanya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit mengukuh semula berbanding dolar AS kepada 4.1275/1325 daripada 4.1530/1570 pada minggu sebelumnya.

Dalam pada itu, ringgit rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0624/0668 daripada 3.0427/0468 Jumaat lepas, rendah berbanding yen kepada 3.9918/9978 daripada 3.9757/9814 sebelum ini.

Ringgit turun berbanding pound Britain kepada 5.4231/4313 daripada 5.3806/3866 dan susut berbanding euro pada 4.8923/8995 daripada 4.8470/8529 sebelum ini.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2021: Tujuh inisiatif perkukuh sektor pertanian, industri makanan

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Kerajaan akan melaksanakan tujuh inisiatif utama bernilai RM410 juta bagi memperkukuhkan sektor pertanian dan industri makanan pada tahun depan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Ini termasuk peruntukan RM30 juta untuk pelanjutan Program Ladang Komuniti bagi masyarakat separa bandar dan luar bandar, yang membabitkan penyediaan peralatan seperti kit fertigasi dan peralatan tanaman sehingga RM500 untuk setiap individu atau RM50,000 bagi setiap komuniti.

Satu lagi inisiatif ialah pelaksanaan Projek Pertanian Organik sebagai projek kemasyarakatan dengan peruntukan sebanyak RM50 juta dan ini dijangka memberi manfaat kepada 1,000 masyarakat.

Ketika membentangkan Belanjawan 2021 semalam, menteri itu juga menyebut mengenai pembiayaan dua program yang disediakan Agrobank merangkumi sejumlah RM150 juta di bawah Program Pemodenan Vesel serta Program Mekanisasi dan pembiayaan RM60 juta untuk Program Pemodenan Rantaian Nilai Makanan Agro.

Kedua-dua program ini adalah pada kadar 3.5 peratus untuk tempoh 10 tahun.

Program pemodenan vesel menawarkan pembiayaan sehingga RM5 juta kepada nelayan untuk menaik taraf peralatan, jaring dan bot manakala program lain menyediakan pembiayaan sehingga RM1 juta kepada usahawan tani mendapatkan peralatan dan teknologi berdasarkan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

Tengku Zafrul juga berkata kerajaan akan melaksanakan projek pertanian berimpak dan bernilai tinggi dengan peruntukan RM100 juta melalui kerjasama dengan kerajaan negeri seperti penternakan nanas di Johor dan udang air tawar di Negeri Sembilan.

Ia juga akan melaksanakan Program Pembangunan Akuakultur dengan peruntukan sebanyak RM10 juta melalui geran padanan sehingga RM20,000 untuk usahawan mikro membeli peralatan bagi membangunkan ternakan akuakultur bernilai tinggi.

Pada 2019, sektor pertanian menyumbang 7.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Sektor pertanian diunjurkan berkembang 4.7 peratus pada tahun depan, disokong terutamanya oleh pengeluaran minyak sawit dan getah yang lebih tinggi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Belanjawan 2021: Pelepasan cukai pendapatan individu diperluas

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Menerusi Belanjawan 2021, kerajaan bercadang menaikkan had pelepasan cukai pendapatan serta memperluaskan skop pelepasan cukai pendapatan bagi individu.

Menurut Lampiran 2 berkaitan Langkah Cukai dalam Belanjawan 2021, kerajaan mahu menaikkan had pelepasan cukai pendapatan ke atas perbelanjaan membiayai rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibu bapa daripada RM5,000 kepada RM8,000.

Langkah itu bertujuan membantu meringankan kos membiayai perbelanjaan rawatan perubatan dan penjagaan ibu bapa, katanya.

Mengikut kedudukan semasa, pelepasan cukai pendapatan ke atas perbelanjaan bagi rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibu bapa adalah sehingga RM5,000 layak dituntut oleh pembayar cukai individu.

“Perbelanjaan itu terhad kepada rawatan di klinik dan hospital, rawatan di rumah penjagaan, rawatan pergigian tidak termasuk rawatan kosmetik selain rawatan dan penjagaan di rumah, pusat jagaan harian dan pusat jagaan kediaman,” menurutnya.

Menurut Lampiran 3 pula, kerajaan bercadang menaikkan had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan penyakit serius bagi pembayar cukai individu, pasangan dan anak serta rawatan kesuburan daripada sehingga RM6,000 kepada sehingga RM8,000.

Selain itu, had pelepasan cukai bagi skop perbelanjaan pemeriksaan kesihatan penuh dicadangkan untuk dinaikkan daripada sehingga RM500 kepada sehingga RM1,000.

Menurut laporan itu juga, skop pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan perubatan juga dicadangkan diperluaskan untuk meliputi perbelanjaan vaksinasi yang dibuat oleh pembayar cukai bagi diri, pasangan dan anak terhad kepada RM1,000.

Ini termasuk pneumococcal, Human Papillomavirus (HPV), Influenza, Rotavirus, Varicella, Meningococcal, kombinasi tetanus-difteria-ciellular-pertussis dan Covid-19 apabila vaksin telah tersedia, katanya.

Sementara itu menurut Lampiran 4 pula, kerajaan bercadang menaikkan had pelepasan cukai tambahan bagi pasangan kurang upaya daripada RM3,500 kepada RM5,000.

Pada masa sekarang, pembayar cukai individu yang mempunyai pasangan kurang upaya diberi pelepasan cukai tambahan sebanyak RM3,500, menurutnya.

Menurut Lampiran 6, kerajaan mencadangkan had pelepasan cukai pendapatan bagi gaya hidup dinaikkan daripada sehingga RM2,500 kepada sehingga RM3,000 apabila tambahan sehingga RM500 dikhususkan bagi perbelanjaan peralatan sukan, bayaran kemasukan, sewaan fasiliti sukan dan penyertaan pertandingan sukan.

“Skop pelepasan cukai bagi surat khabar harian bercetak diperluaskan untuk meliputi langganan surat khabar elektronik,” katanya.

Berdasarkan Lampiran 7, kerajaan mencadangkan supaya pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM8,000 ke atas simpanan bersih tahunan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dilanjutkan untuk dua tahun lagi iaitu sehingga tahun taksiran 2022.

“Ini bertujuan terus menggalakkan ibu bapa untuk menyimpan dalam pembiayaan pendidikan tertiari anak,” katanya.

Selain itu menurut Lampiran 8, kerajaan bercadang memperluaskan skop pelepasan cukai pendapatan bagi perbelanjaan yuran penggajian sehingga RM7,000 agar ia turut meliputi perbelanjaan menghadiri ‘up-skilling’ atau ‘self-enhancement’ dalam mana-mana bidang yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.

Pelepasan cukai pendapatan bagi skop tambahan ini adalah terhad sehingga RM1,000 bagi setiap tahun taksiran, katanya.

“Cadangan ini bertujuan menggalakkan warganegara Malaysia yang terkesan akibat pandemik Covid-19 meningkatkan dan memperbaharui kemahiran serta menceburi bidang kemahiran baharu,” menurut lampiran.

Kesemua pelepasan cukai ini adalah masing-masing untuk tahun taksiran 2021 dan 2022.

-BERNAMA