Categories
AGENDA NASIONAL

Peruntuk RM2 juta laksana Data Raya Selangor, sokong aspirasi negeri pintar

SHAH ALAM, 26 NOV: Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan bernilai RM2 juta bagi membangunkan Data Raya Selangor, kata Dato’ Menteri Besar.

Inisiatif itu bertujuan meningkatkan penyampaian perkhidmatan, penjanaan dan perkongsian data raya secara masa nyata.

“Ini menjadi antara asas sebuah negeri pintar selaras merealisasikan aspirasi Selangor sebagai negeri pintar unggul di rantau Asia Tenggara menjelang 2025.

“Usaha ini akan membolehkan kerajaan menggubal dasar lebih tepat dengan cara yang lebih efisien dan tersusun,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau turut memaklumkan dana berjumlah RM1 juta disediakan bagi penubuhan Unit Keselamatan Siber Selangor supaya keselamatan data terjamin.

Katanya inisiatif dengan kerjasama pakar keselamatan teknologi akan menilai tahap keselamatan dan penetapan beberapa garis panduan data harus dipatuhi agensi bawah program Smart Selangor.

Bagi menjamin keselamatan awam, Amirudin berkata sebanyak 200 unit kamera litar tertutup (CCTV) pintar ditambah melalui inisiatif Smart Selangor dengan peruntukan RM5 juta.

Menurut beliau, sebanyak 414 unit CCTV sedia ada dan sedang beroperasi menerusi inisiatif berkenaan setakat ini di Pusat Operasi Smart Selangor (SSOC) ibu pejabat Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“Kerajaan Negeri menganggarkan 2,000 unit CCTV akan dipasang dan beroperasi secara penuh menjelang 2025 selaras matlamat Selangor sebagai negeri pintar unggul serantau,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Beri permit khas benarkan guna tanah pertanian

SHAH ALAM, 26 NOV: Kerajaan Negeri memperkenal Program Permit Khas yang membenarkan tanah pertanian diguna untuk kegiatan lain, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya turut mewujudkan Permit Khas Kediaman Selain Daripada Tujuan Kediaman atau Perniagaan.

“Penguatkuasaan dijalankan bagi memastikan perancangan bandar oleh Kerajaan Negeri teratur dan tersusun selain kesaksamaan untuk semua pengusaha syarikat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata pemutihan kilang tanpa kebenaran yang tamat hujung tahun lalu membantu pungutan hasil sebanyak RM76 juta setakat Julai tahun ini.

“Sehingga Disember 2022 sebanyak 4,728 lot serta 5,755 kilang dibanci. Daripada jumlah itu 367 lot kemukakan permohonan tukar kategori dan syarat nyata tanah,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Dana RM3 juta perkasa program anak istimewa

SHAH ALAM, 26 NOV: Sebanyak RM3 juta diperuntuk bagi melaksanakan pelbagai inisiatif menerusi Jabatan Anak Istimewa Selangor (Anis) pada tahun depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata antara usaha dilaksanakan adalah menubuhkan Akademi Anis selain memberi bantuan kewangan untuk menjayakan program Didik Anis.

“Sejak ditubuhkan pada 2018, Anis di bawah Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) melaksanakan pelbagai program dan inisiatif antaranya menyediakan bantuan subsidi yuran pusat terapi dan kewangan bagi pembelian barangan serta peralatan melalui Bantuan Khas Anis.

“Selain itu, Akademi Anis akan ditubuhkan untuk membangun kapasiti warga pendidik Anis. Kerajaan Negeri juga memberikan bantuan kewangan kepada Pusat Program Intervensi Awal (EIP) dan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) melalui program Didik Anis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Menurut Amirudin, Pusat Sokongan Pendidikan Awal Anis (Pusat Anis) yang ditubuh pada Ogos lalu turut diperkasa dengan modul baharu iaitu modul persediaan ke sekolah bagi anak istimewa berusia dua hingga lima tahun.

Katanya, Kerajaan Negeri turut memperuntuk RM1 juta pada tahun ini bagi membantu orang kelainan upaya (OKU) mendapat peluang pekerjaan dalam industri.

“Pada tahun ini, satu Pusat Kehidupan Berdikari (Independent Living Centre – ILC) yang akan memberi latihan pekerjaan dan pemberdayaan kepada kumpulan OKU sasar akan diwujudkan.

“Pusat ini akan memfokuskan Latihan Vokasional kepada OKU berumur 18 tahun ke atas untuk membolehkan mereka berdikari dan bekerja serta dapat hidup bersama dalam masyarakat tanpa merasa terasing,” katanya.

Selain itu, demi memastikan kesihatan ibu bapa anak OKU terjaga Kerajaan Selangor juga mewujudkan Program Khas Pemeriksaan Kesihatan khusus untuk golongan ibu bapa anak OKU ini.

“Inisiatif ini bertujuan untuk menjaga kebajikan ibu bapa Anis (yang mempunyai kad OKU) dalam aspek kesihatan supaya dapat terus memberikan penjagaan yang sebaiknya kepada anak mereka,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Peruntukan tambahan RM6 juta teruskan Rakan Digital Selangor, PLATS

SHAH ALAM, 26 NOV: Selangor menyediakan peruntukan tambahan bernilai RM6 juta bagi meneruskan inisiatif Rakan Digital Selangor dan Platform Selangor (PLATS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana tersebut hasil sumbangan sepenuhnya Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Jelas beliau, kedua-dua inisiatif berkenaan dipergiat bagi membantu pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta mikro bagi mengadaptasi pendigitalan dalam perniagaan.

“PLATS merupakan direktori utama kepada peniaga kecil Selangor atau platform promosi percuma disediakan Kerajaan Negeri khususnya buat peniaga kecil menjamin kelangsungan perniagaan di era digital,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Categories
SELANGOR

Selangor Advance diteruskan babit dana RM300 juta

SHAH ALAM, 26 NOV: Program Selangor Advance diteruskan tahun depan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memulihkan aliran tunai dengan pinjaman dana RM300 juta.

Inisiatif itu bakal menyelamatkan 150,000 peluang pekerjaan dan 5,000 PKS daripada ditutup atau pemberhentian operasi, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan usaha bagi menjamin kelestarian ekonomi termasuk peruntukan daripada Kerajaan Negeri, anak syarikat dan pihak berkuasa tempatan.

“Dianggarkan jumlah ini dapat membuat kitaran jumlah pembiayaan kepada industri kecil dan sederhana sehingga RM1 billion bagi 2022 ke 2023,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peruntuk RM2 juta wujud taman industri halal pertama di Malaysia

SHAH ALAM, 26 NOV: Sebanyak RM2 juta diperuntuk untuk Hab Halal Selangor di Pulau Indah, Klang bagi meneruskan kelangsungan dan kecemerlangan industri halal negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana kepada taman perindustrian halal pertama di Malaysia seluas 700 ekar itu bagi memenuhi akreditasi kualiti di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Menurut  beliau, tiga perancangan di bawah Pelan Tindakan Halal Selangor (SELHAP) 2018-2028 turut dilaksana bagi mewujudkan portal halal berpusat yang mengumpul pihak berkepentingan di Selangor.

“Mewujudkan pangkalan data bahan halal yang akan menjadi sumber rujukan utama untuk pensijilan dari pelbagai sektor industri halal meliputi rantaian pembekalan di peringkat tempatan mahu pun global.

“Membina gudang simpanan moden dengan peruntukan RM500,000 pada 2022. Gudang ini bakal dibina di daerah Klang, sesuai dengan lokasi kemasukan barangan daripada luar negara dan kemajuan ekonomi di daerah tersebut,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata RM5 juta diperuntuk sebagai dana awal melaksanakan pembangunan kompleks perumahan pekerja Selangor bagi menyediakan kediaman kondusif yang mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.

Jelas beliau, projek kerjasama awam dan swasta itu akan dilaksana di lapan daerah di tanah seluas 145 ekar milik Kerajaan Negeri dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

Lokasi pembinaannya di Taman Perindustrian USJ 1, Subang Jaya, Petaling; Kawasan Perindustrian Pulau Indah, Klang; Kawasan Perindustrian Kampung Baru Balakong, Hulu Langat; Taman Velox Bandar Rawang, Gombak; Telok Panglima Garang, Kuala Langat; Pekan Bestari Jaya, Kuala Selangor; Brownfield Bandar Bukit Sentosa, Hulu Selangor dan Sungai Lang, Sabak Bernam.

Categories
AGENDA NASIONAL

JPS peruntuk RM35 juta laksana dua projek kolam takungan banjir

Oleh NORHAYATI YAHAYA

SHAH ALAM, 26 NOV: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor memperuntuk RM35 juta bagi melaksanakan dua projek kolam takungan banjir di Sungai Gong, Gombak dan Kampung Budiman, Meru.

Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak RM15 juta diperuntuk bagi projek Kolam Takungan Banjir Rawang Integrated dan RM20 juta pula bagi Kolam Takungan Banjir Kampung Budiman.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, JPS juga menyediakan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (Pisma) melibatkan kawasan Sungai Besar di Sabak Bernam dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta.

“Kerajaan Negeri melalui JPS Selangor akan menyediakan Pisma dengan peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan peruntukan pada tahun 2022 yang dipohon adalah sebanyak RM1.5 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Majlis Industri Rel Selangor lonjak potensi sektor rel

SHAH ALAM, 26 NOV: Kerajaan Negeri menubuhkan Majlis Industri Rel Selangor bagi mengembangkan sektor itu sekali gus menjana ekonomi dan mencipta peluang kerja.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata industri berkenaan dilihat mempunyai potensi seperti aeroangkasa dan penubuhan majlis berkenaan mampu mengukuhkan sektor rel negeri ini.

“Majlis yang mengumpulkan kekuatan daripada 50 syarikat dengan tenaga kerja hampir 8,000 orang ini akan menjadikan industri rel sebagai tonggak yang memberikan impak besar kepada ekonomi negeri.

“Selain merancang dan merangka program pembangunan serta promosi industri rel, majlis ini berupaya mencipta peluang pekerjaan di Selangor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan Serendah di Hulu Selangor sebagai hab logistik untuk industri pembuatan kereta api dan komponen kapal terbang di Taman Pembuatan Nilai Tinggi UMW.

“Pengkelasan ini juga bertepatan dengan kedudukan istimewa Serendah dalam Rancangan Malaysia ke-12 yang menyaksikan bidang aeroangkasa serta logistik untuk menjana ekonomi baharu negara,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bantu peneroka bandar miliki rumah

SHAH ALAM, 26 NOV: Sejumlah RM10.77 juta diperuntuk bagi membantu peneroka bandar mendapatkan pembiayaan memiliki kediaman menerusi Tabung Amanah Rumah Mampu Milik.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan bagi tempoh empat tahun bermula 2021 hingga 2024 itu membolehkan pembelian unit sebelum dijadikan Skim S2-OWN.

“Kerajaan Negeri amat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh peneroka bandar sejak sekian lama terutamanya kegagalan pemohon untuk mendapatkan pembiayaan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata sebanyak 49 projek melibatkan 84,192 unit Rumah Selangorku Harapan dan Rumah Idaman MBI diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sehingga 31 Ogos tahun ini.

“Angka ini telah melebihi sasaran Kerajaan Negeri untuk membina 30,000 unit menjelang tahun 2023.

“Insentif ini membenarkan pemaju meminda syarat daripada Rumah Selangorku Jenis A, Jenis B, Jenis C dan Jenis D kepada satu jenis sahaja iaitu Rumah Selangorku Jenis E (Khas) atau dikenali sebagai Rumah Selangorku Harapan dan Rumah Idaman MBI,” katanya.

Beliau menjelaskan rumah berkeluasan minimum 1,000 kaki persegi dengan harga jualan tidak lebih RM250,000 seunit itu turut dilengkapi dengan kelengkapan asas antaranya pendingin hawa, kabinet televisyen, kabinet dapur, kabinet baju dan pemanas air.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hampir RM250 juta tingkat prasarana jalan raya

SHAH ALAM, 26 NOV: Jabatan Kerja Raya menerima peruntukan berjumlah RM138.13 juta bagi merapatkan jurang pembangunan antara daerah melalui peningkatan jaringan jalan raya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah diluluskan itu meliputi kos pelaksanaan semua projek jalan raya pada tahun depan.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri turut membelanja RM44 juta bagi menampung kos pembinaan jalan baharu di Gombak, Sepang dan Kuala Langat yang menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi sekitar.

“Bagi memastikan jalan sedia ada dapat menampung aliran trafik serta dapat mengatasi kesesakan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM65.4 juta bagi tujuan itu. Ia termasuk cadangan naik taraf jalan tertentu.

“Sejumlah RM2 juta turut diluluskan bagi kerja pewartaan jalan seluruh daerah negeri ini secara berperingkat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata Selangor bakal memperluaskan penggunaan sistem pintar aset jalan raya yang dilengkapi perisian sistem maklumat geografi (geographic information system) bagi mengatasi masalah jalan berlubang, garisan pudar atau kerosakan lain dengan lebih pantas.

Sistem dalam talian itu dikendalikan anak syarikat Kerajaan Negeri, Selgem Sdn Bhd dan kos pembiayaan ditanggung Kumpulan Semesta.

“Bagi meneruskan projek pembinaan dua jambatan iaitu di Kampung Sungai Kundang, Gombak dan Kampung Sungai Buah, Sepang sebanyak RM8.23 juta diperuntukkan.

“Untuk memastikan infrastruktur sedia ada dalam keadaan selamat, kos melibatkan RM4.98 juta akan dibelanja bagi kerja membina dan menaik taraf bangunan termasuk membaik pulih istana di negeri,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Peruntukan RM316 juta percepat realisasi visi Selangor pintar unggul

SHAH ALAM, 26 NOV: Peruntukan RM316 juta disediakan tahun depan bagi merealisasikan visi Selangor sebagai negeri pintar unggul menjelang 2025.

Dato’ Menteri Besar berkata, agenda Smart Selangor dan pelan pendigitalan menjadikan negeri ini cekap dan pantas ketika berhadapan cabaran pandemik Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Selangor menjadi negeri paling hadapan melancarkan inisiatif berasaskan digital antaranya Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), PLATS dan e-Bazar.

“Inisiatif e-Bazar misalnya berjaya membantu 211,928 usahawan e-dagang mencapai jualan sebanyak RM100.5 juta serta menjana RM1.57 bilion kesan riak terhadap ekonomi negeri,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata, Pelan Tindakan Smart Selangor juga digariskan bagi mencapai sasaran negeri pintar pada 2025.

Katanya, berdasarkan laporan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), sebanyak 60 peratus daripada inisiatif direncana berjaya dibangunkan.

“Kita boleh berbangga sebuah pusat kawalan bersepadu atau Smart Selangor C5i Centre telah siap dan sedang beroperasi sepenuhnya di Dewan Jubli Perak.

“Pusat kawalan ini juga menjadi nadi menghubungkan data daripada Unit Pengurusan Bencana, polis, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Alam Sekitar, pihak berkuasa tempatan serta agensi lain,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Program pembangunan dron, kejuruteraan penerbangan diperkenal di Unisel

SHAH ALAM, 26 NOV: Program kepintaran buatan dan pembangunan dron selain program ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan penerbangan bakal diperkenal di Universiti Selangor (Unisel), Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri memberi nafas baharu kepada sektor itu dengan menubuhkan Selangor Aviation and Technology Innovations Sdn. Bhd. (Selati), Pusat Kecemerlangan Selati-Unisel dan Sekolah Penerbangan Selati-Unisel selain mewujudkan rangka kerja kemahiran dan kerjaya Selangor bagi industri aeroangkasa.

“Usaha-usaha ini akan mewujudkan peluang pelaburan baru bagi syarikat pembekal aeroangkasa, kepintaran buatan (AI) dan pembangunan dron bertempat di Universiti Selangor (Unisel), Bestari Jaya.

“Tawaran kursus latihan jangka pendek dan program ijazah sarjana muda dalam kejuruteraan penerbangan serta pembangunan modal insan berkemahiran dan pasaran buruh untuk menyokong industri aeroangkasa,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Tambah Amirudin, Pameran Penerbangan Selangor (SAS) yang julung kali dianjurkan tahun ini juga akan diteruskan tahun depan dengan peruntukan RM5 juta bagi menyokong pertumbuhan sektor aeroangkasa.

Menurut beliau, acara yang menghimpunkan pemain aeroangkasa dan penerbangan terbaik di dunia itu diharap dapat mewujudkan peluang perniagaan dan pelaburan berpotensi di peringkat domestik dan antarabangsa.