Categories
SELANGOR

16 Jun keputusan kes pemandu lori bunuh isteri, anak

SHAH ALAM, 20 APRIL: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 16 Jun ini sebagai tarikh keputusan kes seorang pemandu lori Satvender Singh, 35, yang didakwa membunuh isteri dan bayi perempuannya berusia tujuh bulan, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa dalam keputusannya berkata beliau menetapkan tarikh itu, selepas mendengar hujahan daripada pihak pembelaan dan pendakwaan, pada akhir kes pembelaan hari ini.

“Saya tetapkan 16 Jun depan tarikh keputusan bagi kes ini,” katanya di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahadhir Mohd Khairudin sementara tertuduh diwakili peguam Datuk Rajpal Singh.

Satvender didakwa membunuh D. Kamaljit, 34, dan bayinya Ishilyn Kaur Sandhu antara 3.55 pagi dan 4.15 pagi di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Rawang Perdana 2, Rawang pada 14 April 2016.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Empat lelaki didakwa bunuh pesara Mardi, 9 Mac 2021 sebutan semula

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Dr Wan Hassan Wan Embong dalam kejadian samun di kediamannya, dua minggu lepas.

S. Vickeswaran, 22, P. Kogilan dan M. Ravindran masing-masing berumur 23 tahun dan T. Sugu, 27, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Wan Hassan, 73, di Jalan Mambu, Bukit Bandaraya di sini, antara 3.35 pagi dan 4 pagi, 29 November lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar sementara kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Wong menetapkan 9 Mac tahun depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa maut akibat ditetak dalam kejadian samun di rumahnya, manakala isterinya, Sarifah Yusof, 70, cedera akibat ditetak dengan parang di tangan kanan.

Mangsa dipercayai cuba melawan dengan dua lelaki tidak bertopeng yang memecah masuk melalui tingkap bahagian dapur banglo dua tingkat itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Kes bunuh: Suspek utama antara tiga ditahan – Bukit Aman

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Seorang suspek utama antara tiga ditahan disyaki terlibat dalam kes samun dan bunuh pesara kerajaan dalam kejadian di Bukit Bandaraya, Bangsar di sini, pada Ahad lepas (29 November).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata kesemua mereka ditahan menerusi tiga tangkapan di Jalan Genting Klang serta Jalan Air Panas di sini, dan Jalan Rinching, Semenyih, pada awal pagi tadi.

Beliau berkata dua lelaki ditahan pada 3.30 pagi serta 4.30 pagi, dan susulan tangkapan itu membawa kepada penangkapan seorang lagi lelaki berumur 23 tahun dipercayai suspek utama kes tetak berkenaan dan dia ditahan dalam serbuan di Semenyih pada 5 pagi tadi.

“Hasil siasatan lanjut, polis berjaya mendapatkan pengakuan daripada suspek. Polis percaya pengakuan dibuat suspek utama iaitu yang ditangkap di Semenyih ialah individu yang menetak mangsa,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini hari ini.

Beliau berkata polis masih mengesan seorang lagi suspek lelaki dikenali sebagai T. Sugu, 27, yang disyaki turut terbabit dalam kejadian tersebut.

Berikutan tangkapan terbaru itu, beliau berkata polis akan memohon perintah tahanan reman terhadap ketiga-tiga lelaki tersebut hari ini.

“Sepuluh individu yang ditahan sebelum ini, pula telah dilanjutkan reman tujuh hari hingga 6 Disember depan,” katanya.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan suspek ditahan sehingga kini seramai 13 orang.

Semalam, media melaporkan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin memaklumkan seramai 10 individu berumur antara 20 dan 29 tahun disyaki terbabit dalam kejadian samun dan tetak bekas pesara kerajaan itu, ditahan sejak hari kejadian.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, Dr Wan Hassan Wan Embong, 71, yang merupakan bekas penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) maut akibat ditetak dalam kejadian samun di rumahnya, manakala isterinya, Sarifah Yusof, 70, cedera di tangan kanan akibat ditetak.

Mangsa dipercayai ditetak dengan parang apabila cuba melawan dua lelaki tidak bertopeng yang memecah masuk dari tingkap bahagian dapur banglo dua tingkat itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Datuk tiri ditahan campak cucu lelaki dari tingkat tiga

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Seorang suspek lelaki warga Nigeria ditahan kerana dipercayai mencampakkan cucu lelaki tirinya dari tingkat tiga di sebuah apartmen Danau Kota, Setapak, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata suspek yang berusia 42 tahun itu, ditahan di rumahnya sejurus selepas kejadian itu kira-kira 8 pagi tadi.

Beliau berkata kejadian itu berlaku apabila suspek cuba merogol salah seorang anak perempuan tirinya berusia 24 tahun, yang mempunyai seorang anak lelaki berusia empat tahun.

“Mangsa (anak perempuan tiri suspek) ketika itu sedang tidur, namun perbuatan suspek telah dihalang oleh isteri dan tiga anak perempuan tiri suspek yang lain.

“Berang dengan kejadian itu, suspek telah mengamuk, memukul dan menghentak isteri dan empat anak tiri suspek yang berada di dalam rumah,” katanya kepada Bernama hari ini.

Nik Ros Azhan berkata ekoran itu suspek memukul cucu tirinya sehingga lemah-longlai, sebelum mencampakkan cucunya ke luar tingkap di bilik utama sehingga jatuh.

Beliau berkata isteri suspek berusia 49 tahun yang melihat kejadian itu, lalu menjerit meminta tolong dan menyelamatkan diri bersama empat anaknya yang lain untuk mendapatkan bantuan jiran serta pengawal keselamatan apartmen itu.

“Ekoran itu, suspek cuba melarikan diri melompat keluar melalui tingkap sebelum mengalami kecederaan akibat impak melompat dari tingkat tiga dan telah ditahan orang awam dan pengawal keselamatan apartmen itu,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata suspek mengalami kecederaan di tangan dan beberapa bahagian anggota badan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

“Mayat kanak-kanak yang maut itu dikenali sebagai Muhammad Adam Sufi Muhd Norkhusairi dibawa ke HKL untuk dibedah siasat,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis terima laporan lelaki bunuh tiga ekor kucing dalam mesin basuh

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Tidak berperikemanusian dan kejam. Itulah perilaku seorang lelaki yang membunuh tiga ekor kucing dengan cara melemaskannya di dalam mesin basuh di sebuah kedai dobi layan diri di Kepong di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada 9.30 pagi semalam melalui seorang wanita berusia 39 tahun.

“Wanita itu memaklumkan kejadian berkenaan berlaku semasa dia datang ke dobi untuk membasuh baju namun menjumpai tiga ekor kucing yang sudah mati di dalam tiga mesin basuh berasingan.

“Wanita berkenaan kemudiannya menghubungi serta melaporkan kejadian itu kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Arifai berkata siasatan lanjut menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kegiatan itu dilakukan seorang lelaki yang bertindak memasukkan tiga ekor kucing berkenaan di dalam mesin basuh pada 5.30 pagi.

Beliau berkata siasatan lanjut dirujuk kepada Pejabat Veterinar Shah Alam untuk tindakan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis ambil keterangan 12 saksi kes mati dilanggar selepas bergaduh

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merakam keterangan 12 saksi awam bagi membantu siasatan berhubung insiden perselisihan di jalan raya yang membawa kepada kematian Syed Muhammad Danial Syed Syakir, pada Sabtu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, tiga lagi saksi awam akan tampil memberi keterangan dan membantu siasatan kes itu pada petang ini.

“Saksi awam yang hadir memberi keterangan terdiri daripada saksi ketika kejadian dan selepas kejadian tersebut berlaku. Ada yang akan hadir untuk beri keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang petang ini.

“Siasatan masih berlangsung dan laporan bedah siasat telah diterima, namun polis menyerahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk menilai laporan itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dekat sini.

Dalam insiden itu, Syed Muhammad Danial, 29, dilaporkan maut selepas dilanggar kenderaan yang sebelum itu terlibat dalam kemalangan kecil dengan keretanya berhampiran Plaza Tol Sungai Besi.

Susulan itu, polis menahan reman sepasang suami isteri bagi membantu siasatan kes yang dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mereka direman tujuh hari sehingga 17 Ogos ini.

Sementara itu, polis akan memanggil Datuk Lokman Adam berikutan dakwaannya, melalui video yang dimuat naik di laman sosial berhubung kes kemalangan di Lebuh Raya- Utara Selatan berhampiran persimpangan Bandar Baru Bangi, dekat sini.

Huzir berkata, Lokman Adam akan dipanggil dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan.

“Setakat ini, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan dan menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Sebelum ini, Lokman melalui video berdurasi tujuh minit yang dipaparkan di YouTube menggesa orang ramai membuat laporan polis, susulan penularan gambar seorang lelaki yang dilaporkan maut dalam insiden kemarahan jalan raya, pada Sabtu lepas.

Lokman turut mengaitkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dan pegawai penyiasat kes itu berhubung penularan gambar yang dirakam isteri suspek, semasa kejadian.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis sukar kenal pasti mayat wanita dibunuh kekasih

JOHOR BAHRU, 12 JUN: Proses pengecaman terhadap mayat seorang wanita yang ditemukan di dalam kotak di tepi jalan Kawasan Perindustrian Ringan, Taman Setia Indah, di sini, dua hari lepas, sukar dilaksanakan kerana keadaan dan pakaian mangsa sudah mereput.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Shahurinain Jais berkata, bagaimanapun polis sudah melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap mayat wanita dipercayai dibunuh kekasihnya itu bagi mengesahkan mangsa adalah ‘Orang Yang Dilaporkan Hilang’ (OH), pada Jumaat lalu.

“Buat masa ini, pihak polis menggunakan keterangan suspek yang mengesahkan si mati adalah OH sehingga keputusan DNA diperoleh secepat mungkin,” katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki yang ditahan berhubung kes itu kini direman seminggu mulai semalam hingga 17 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sebelum ini, wanita berumur 33 tahun itu dilaporkan keluar dari rumahnya di Taman Sri Putri, Skudai, di sini, pada 28 Mei lalu, namun kemudian gagal dihubungi oleh pihak keluarganya, keesokannya.

Keluarganya kemudian membuat satu laporan polis pada Jumaat yang akhirnya membawa kepada penahanan dua lelaki berumur 30-an dengan seorang daripadanya merupakan kekasih wanita terbabit yang dipercayai membunuh mangsa antara 29 Mei dan 4 Jun lalu akibat cemburu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kes Nhaveen diklasifikasikan semula sebagai bunuh

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 JUN: Kes serangan T Nhaveen diklasifikasikan semula Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sebagai kes bunuh, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau mengesahkan pentafsiran semula kes yang menyebabkan kematian remaja berusia 18 tahun itu, di Pulau Pinang.

“Kami akan mengklasifikasikan semula kes itu di bawah pembunuhan,” katanya dipetik Astro Awani.

Beliau dilapor berkata demikian selepas menghadiri majlis Terawih dan Moreh bersama Perdana Menteri, di Masjid Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam.

nhaveenTerdahulu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Anuar Omar tidak menolak kemungkinan untuk mengklasifikasikan kes Nhaveen sebagai kes bunuh dan akan disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, sebelum ini, lima suspek berusia antara 16 dan 20 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata.

Semalam, Nhaveen disahkan meninggal dunia selepas enam hari menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi ( ICU) Hospital Pulau Pinang, kira kira jam 5.30 petang.

Pada 11 Jun lalu, Nhaveen dipukul sekumpulan lelaki berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh, Jalan Kaki Bukit, George Town.

Beliau dilapor dipukul sehingga menyebabkannya mengalami mati otak selain pemeriksaan hospital mendapati beliau turut mengalami penderaan seksual.

Difahamkan, upacara penghormatan terakhir Nhaveen dijangka diadakan hari ini selepas urusan bedah siasat selesai.