Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 700,000 kanak-kanak 5 hingga 11 tahun terima dos pertama vaksin

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Sebanyak 708,187 individu atau 19.9 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 mereka melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sejumlah 14,365,114 individu atau 61.1 peratus populasi dewasa di negara ini telah menerima dos penggalak COVID-19 dan seramai 22,946,836 atau 97.5 peratus telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 23,226,005 atau 98.7 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sejumlah 2,799,784 orang atau 90 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,891,056 atau 92.9 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Vaksinasi harian semalam menyaksikan 137,197 dos vaksin diberikan meliputi 47,994 dos pertama, 956 dos kedua dan 88,247 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 66,729,880.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 46 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam dengan Johor dan Kedah melaporkan lapan kes, diikuti Pahang dan Sabah (7), Selangor (6), Perak dan Pulau Pinang (3), Terengganu (2), manakala satu kes direkodkan masing masing di Negeri Sembilan dan Kelantan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Dos penggalak: Pantau kesihatan, jumpa doktor jika sakit berlanjutan tiga hari

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Penerima dos penggalak vaksin COVID-19 perlu peka dengan perubahan kesihatan diri dalam tempoh dua hingga tiga hari selepas vaksinasi dan sekiranya mengalami kesan sampingan berlanjutan melebihi tiga hari, disarankan berjumpa doktor dengan kadar segera.

Perunding Hematologi Hospital Ampang Dr Veena Selvaratnam berkata antara kesan sampingan yang perlu diberi perhatian sekiranya dialami lebih daripada tiga hari ialah demam, sakit kepala, sakit perut, loya, muntah dan ruam berbintik merah pada badan kerana ia mungkin merupakan simptom terjadinya Vaccine Induced Thrombotic Thrombocytopenia (VITT) iaitu darah beku dalam salur darah vena.

“Selain itu, sesak nafas dan bengkak kaki juga perlu diberikan perhatian sekiranya anda mengalaminya…ini adalah antara tanda awal pembentukan darah beku di mana-mana bahagian badan kita.

“Jika sesiapa alami kesan sampingan seperti sakit di tempat cucuk, biasanya ia akan hilang dalam tempoh 24 hingga 48 jam,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Dr Veena berkata mereka yang menerima dos penggalak juga perlu berehat dan minum air yang banyak serta jangan terlalu aktif kerana badan sedang membentuk imuniti.

Menurutnya, golongan yang berisiko mengalami VITT adalah mereka yang menerima vaksin jenis adenovirus terutama yang berusia 30 hingga 50 tahun serta mereka yang pernah mempunyai sejarah mengalami masalah pembekuan darah.

“Namun berdasarkan kajian, trend VITT di luar negara merekodkan sembilan hingga 10 kes bagi satu juta dos manakala di Malaysia, kurang daripada satu kes bagi satu juta dos,” katanya.

Beliau juga menggalakkan sesiapa yang mempunyai keraguan berkenaan vaksinasi boleh berbincang dengan doktor terlebih dahulu dan jangan mudah terpengaruh dengan mesej tular menerusi laman sosial.

“Orang ramai perlu faham yang risiko jangkitan COVID-19 adalah jauh lebih tinggi daripada risiko kesan sampingan vaksin,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Kardiologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Mohd Shawal Faizal Mohamad berkata sekiranya seseorang itu mengalami demam serta sengal badan dalam tempoh satu atau dua hari selepas vaksinasi diikuti degupan jantung laju, sesak nafas dan sakit dada selepas tiga hari, mereka perlu mendapatkan rawatan doktor.

“Kadar degupan jantung boleh diperiksa menggunakan alat tekanan darah dan perlu dirujuk ke doktor sekiranya bacaan mencapai 120 ke atas dalam seminit ketika berehat…ini mungkin simptom yang boleh membawa kepada miokarditis radang pada otot jantung dan perikarditis iaitu radang pada lapisan luar jantung,” katanya.

Dr Mohd Shawal berkata bagaimanapun miokarditis dan perikarditis yang dialami penerima dos penggalak boleh pulih 100 peratus.

Namun, beliau menasihatkan orang ramai agar mendapatkan rehat yang secukupnya selepas menerima vaksinasi bagi mengelakkan sebarang risiko.

Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) amat mengalu-alukan laporan kesan sampingan penerima vaksinasi termasuk dos penggalak yang boleh dibuat melalui MySejahtera, talian Bahagian Regulatori Farmasi Negara atau borang dalam talian KKM.

— BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jika terima dos penggalak, kontak rapat tanpa gejala tidak perlu kuarantin mulai 1 Mac

SHAH ALAM, 24 FEB: Kontak rapat yang sudah menerima dos penggalak dan tiada gejala Covid-19 tidak perlu menjalani kuarantin mulai 1 Mac jika saringan negatif.

Mengumumkan peraturan baharu hari ini, menteri kesihatan menjelaskan mereka perlu menjalankan ujian pantas antigen (RTK-Ag) pada hari pertama dan ketiga dari tarikh akhir berhubung dengan pesakit.

Bagi individu yang lengkap vaksinasi, tambah Khairy Jamaluddin, mereka perlu menjalani kuarantin selama lima hari sama ada bergejala atau tidak.

“Walaupun tidak perlu menjalani kuarantin, mereka masih perlu mengemas kini maklumat MySejahtera bagi memudahkan kita mengesan kontrak rapat yang bergejala,” katanya pada sidang media yang disiar secara langsung.

Panduan baharu yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia seperti dalam jadual di bawah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat kuarantin Maeps dibuka semula, kapasiti lebih kecil

SHAH ALAM, 24 FEB: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) akan dibuka semula dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata ia dibuka dengan kapasiti lebih kecil dan mudah diuruskan, lapor Berita Harian.

“Kerajaan bercadang menyusun semula strategi di PKRC Maeps, lokasinya pun berubah dari blok asal yang kita gunakan sebelum ini.

“Secara ringkasnya PKRC itu masih terletak di Maeps namun saiz kawasan, bangunan, fungsi dan pasukan penugasannya berbeza. Jumlah pesakitnya pun lebih kecil dan mudah diuruskan iaitu kira-kira 850 pesakit,”katanya.

PKRC Maeps 2.0 ditutup secara rasmi pada 8 Februari lalu dan sepanjang 14 bulan beroperasi.

Sepanjang tempoh itu, seramai 166,072 pesakit Covid-19 dirawat di situ.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kadar guna katil ICU di Putrajaya, Labuan, sembilan negeri bawah 50 peratus

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) hospital di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan serta sembilan negeri lain adalah di bawah 50 peratus setakat 23 Februari kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau dalam kenyataan mengenai perkembangan semasa Covid-19 hari ini berkata negeri terbabit adalah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

“Bagi katil kes kritikal atau ICU, lima negeri menunjukkan peratusan pengisian lebih 50 peratus iaitu Kelantan dengan 83 peratus, Kuala Lumpur dan Johor masing-masing 65 peratus, Melaka (58 peratus) dan Perlis (55 peratus).

“Bagi katil bukan ICU, 12 negeri menunjukkan peratusan pengisian lebih 50 peratus iaitu Kelantan (101 peratus), Selangor (97 peratus), Perak (90 peratus), Kuala Lumpur (87 peratus), Perlis (81 peratus), Putrajaya (77 peratus), Johor (75 peratus), Pahang dan Sabah masing-masing 71 peratus manakala Pulau Pinang, Terengganu dan Sarawak masing-masing 52 peratus,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata secara keseluruhannya, setiap negeri telah bersiap siaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya berlaku peningkatan kes yang memerlukan kemasukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), hospital dan ICU.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 31,199 kes COVID-19 dilaporkan semalam menjadikan kes kumulatif kepada 3,305,157 dan daripada jumlah kes baharu itu, 1,804 kes dimasukkan ke hospital.

Beliau berkata bagi kes baharu, 194 kes atau 0.62 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 31,005 kes atau 99.38 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Daripada 194 kes bagi kategori tiga, empat dan lima, 153 daripadanya adalah tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi atau telah menerima dua dos vaksin COVID-19 tetapi belum menerima dos penggalak,” katanya.

Mengenai kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 20,399 kes dilaporkan semalam menjadikan kes kumulatif sembuh di negara ini adalah 2,994,840.

Dalam pada itu, beliau berkata individu yang belum menerima vaksin dan tidak pernah dijangkiti COVID-19 adalah kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan COVID-19.

“Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan individu ini agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin COVID-19. Bagi yang telah mendaftar, KKM memohon agar anda hadir janji temu tersebut demi melindungi diri dan orang tersayang.

“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,”katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 600,000 kanak-kanak negara terima vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Sebanyak 661,752 individu atau 18.6 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 mereka melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sejumlah 14,274,843 individu atau 60.7 peratus populasi dewasa di negara ini telah menerima dos penggalak Covid-19 dan seramai 22,946,057 atau 97.5 peratus telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 23,224,993 atau 98.7 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sebanyak 2,799,485 individu atau 90.0 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,889,543 atau 92.9 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Vaksinasi harian semalam menyaksikan 143,749 dos vaksin diberikan meliputi 47,876 dos pertama, 493 dos kedua dan 95,380 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 66,589,636.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 55 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Selangor melaporkan 10 kes, diikuti Sabah (9), Johor (8), Perak (7), masing-masing empat kes di Kedah, Melaka dan Pahang, masing-masing tiga kes di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, manakala satu kes direkodkan masing-masing di Kelantan, Negeri Sembilan dan Perlis.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes jangkitan harian melonjak ke paras 31,199 pesakit, tertinggi sejak Januari 2020

SHAH ALAM, 24 FEB: Kadar jangkitan harian Covid-19 melonjak 4,020 kes semalam, kepada 31,199 iaitu tertinggi sejak ia mula dikesan di negara ini pada 25 Januari 2020.

Daripada jumlah itu, 31,080 adalah kes tempatan dan baki 119 adalah kes import.

Sebelum ini, angka jangkitan tertinggi dicatatkan pada 19 Februari lalu, iaitu 28,825 kes.

Bagaimanapun, kes kategori kategori 3, 4, dan 5 kekal rendah iaitu 194 kes atau 0.62 peratus manakala kategori 1 (tanpa gejala) dan 2 (gejala ringan) pula sebanyak 31,005 kes atau 99.38 peratus.

Sebanyak 45 kes atau 23.20 peratus daripada kategori 3, 4, 5 yang direkodkan membabitkan individu tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi, manakala 108 atau 55.67 peratus sudah menerima dua dos vaksin tetapi masih belum menerima dos penggalak, 43 kes atau 21.13 peratus sudah menerima dos penggalak.

Pecahan kes mengikut kategori adalah seperti berikut:

Kategori 1 : 10, 171 kes (32.60 peratus)
Kategori 2 : 20,834 kes (66.78 peratus)
Kategori 3 : 102 kes (0.32 peratus)
Kategori 4 : 46 kes (0.15 peratus)
Kategori 5 : 46 kes (0.15 peratus)

“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga di luar negara menerusi maklumat yang diperoleh daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Setakat semalam, seramai 7,725 pesakit atau 2.8 peratus dirawat di hospital, 265,339 kes atau 95.5 peratus menjalani tempoh kuarantin di rumah manakala
4,460 atau 1.6 peratus ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19.

Angka kematian turut meningkat sebanyak 12 kes kepada 55 termasuk 23 kematian di luar hospital menjadikan keseluruhan jumlah terkumpul kematian kepada 32,488 kes.

Jumlah kes terkumpul setakat semalam adalah 3,305,157.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pantau, kemas kini gejala di MySejahtera sepanjang kuarantin

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Individu yang positif Covid-19 perlu memantau dan mengemas kini gejala yang dialami di aplikasi MySejahtera setiap hari supaya tahap kesihatan mereka dapat dipantau sepanjang tempoh kuarantin.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin melalui video TikTok yang dikongsi di akaun Twitter beliau hari ini menasihati individu yang positif Covid-19 supaya menghubungi atau terus ke fasiliti kesihatan terdekat jika mendapati gejala yang dialami semakin serius.

“Pantau gejala dan tahap kesihatan anda seperti sukar bernafas, demam berpanjangan, sakit dada dan hilang selera makan,” katanya.

Beliau berkata individu yang mendapati diri mereka bergejala perlu segera mengasingkan diri dan melakukan ujian kendiri.

“Jika positif, laporkan keputusan ujian Covid-19 di MySejahtera. Semasa dalam tempoh kuarantin, anda akan menerima notifikasi pada (ruangan) Things To Do. Ini adalah alat penilaian kesihatan dan anda boleh mengemas kini gejala yang anda alami sentiasa,” katanya.

Khairy turut menasihati orang ramai supaya sentiasa mengamalkan TRIIS iaitu uji, lapor, asing, maklum dan dapatkan rawatan serta memakai pelitup muka.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Sekolah diberi pilihan buat PdPR jika kes Covid-19 tinggi

KULAI, 23 FEB: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi pilihan kepada sekolah rendah dan menengah untuk menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya penularan kes Covid-19 pada tahap tinggi.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mohamad Alamin berkata kementerian kini memfokuskan kepada pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Memang kita sudah beri pilihan kepada sekolah rendah dan menengah, tingkatan satu hingga empat tidak perlu ke sekolah.

“Yang lain, mereka boleh buat PdPR dan sekolah rendah juga boleh memohon untuk mengadakan PdPR jika ada risiko penularan Covid-19. Kita sentiasa fleksibel dan menilai risiko dari semasa ke semasa,” katanya kepada Bernama selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Putra 2 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai pengoperasian sekolah dan tindakan KPM susulan peningkatan kes Covid-19.

Mohamad berkata KPM telah menyediakan panduan tatacara operasi piawai (SOP) kepada sekolah-sekolah untuk menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku jangkitan penularan Covid-19.

“Garis panduan telah kita sediakan. Kementerian Kesihatan (KKM) atau Pejabat Kesihatan Daerah akan sentiasa bantu KPM dan sekiranya ada kes Covid-19 di sekolah, kita akan lapor dan mereka akan buat penilaian risiko.

“Kalau berlaku kes di asrama, KKM akan menilai sama ada perlu diteruskan atau tutup…Kalau sampai tahap (kes tinggi) kita akan tutup, jika belum kita ambil langkah meminimumkan risiko supaya tidak menular dengan lebih teruk. Keputusan yang kita ambil adalah berdasarkan kepada keselamatan murid dan guru di sekolah,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata KPM akan membuat keputusan berkenaan pelaksanaan ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), dalam masa terdekat

Katanya kementerian masih meneliti dan berbincang perkara berkenaan sebelum membuat keputusan rasmi.

“Sama ada tangguh atau batal, kita masih dalam penilaian dan perbincangan. Kita akan selidik dan teliti pandangan yang diterima dan kita akan rumuskan. Saya percaya Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin akan keluarkan kenyataan dalam masa terdekat,” katanya.

Hari ini, media melaporkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa KPM untuk menangguhkan atau membatalkan pelaksanaan PT3 atas faktor keciciran dilalui pelajar tingkatan tiga.

Presiden NUTP Aminuddin Awang dilaporkan berkata penangguhan itu penting kerana pelajar tingkatan tiga telah keciciran pelajaran apabila hanya belajar selama beberapa bulan pada 2020 dan 2021 susulan pandemik Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Individu tidak divaksin berisiko dapat Covid-19 tahap serius, kematian

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Kumpulan individu yang tidak divaksin tanpa mengira usia merupakan golongan yang paling berisiko dijangkiti Covid-19 kategori empat dan lima serta berdepan dengan kematian akibat jangkitan virus berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata keadaan itu dapat dilihat menerusi data Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai kes Covid-19 kategori empat dan lima serta data kematian akibat pandemik itu bagi setiap 100,000 populasi dalam tempoh 26 Jan hingga 22 Feb.

“Ini dapat dilihat pada carta KKM dan hampir semua kumpulan umur,” katanya dalam kenyataan yang turut memuatkan carta yang menunjukkan kes Covid-19 kategori empat dan lima serta kematian bagi setiap 100,000 penduduk adalah lebih tinggi dalam kalangan individu yang tidak divaksin sepanjang tempoh berkenaan.

Menurut Dr Noor Hisham kumpulan individu yang telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19 adalah yang paling terlindung daripada pandemik tersebut.

“Dapat dilihat jumlah kes yang lebih rendah dijangkiti Covid-19 yang serius (kategori tiga, empat dan lima) dan juga kematian dalam kalangan penerima dos penggalak berbanding kumpulan yang tidak divaksinasi dan kumpulan yang lengkap divaksinasi tetapi belum menerima dos penggalak,” katanya,

Beliau berkata vaksin dos penggalak dapat memberi perlindungan yang terbaik daripada kematian dan gejala serius Covid-19.

Mengenai peratus penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 di hospital Dr Noor Hisham berkata empat negeri menunjukkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus iaitu Kelantan dengan 78 peratus, diikuti Johor (69 peratus), Kuala Lumpur (62 peratus) dan Melaka (54 peratus).

Merujuk kes positif Covid-19 yang dicatatkan semalam, beliau berkata 27,179 kes direkodkan dengan 99.37 peratus atau 27,007 kes merupakan kes kategori satu dan dua manakala hanya 172 kes atau 0.63 peratus merupakan kes dalam kategori tiga, empat dan lima.

Sebanyak 19,037 kes sembuh Covid-19 dicatatkan semalam menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini menghampiri tiga juta kes iaitu 2,974,441 kes.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Angka jangkitan melonjak lebih 2,000 kepada 27,179 kes, tahap serius tetap rendah

SHAH ALAM, 23 FEB: Jumlah jangkitan harian Covid-19 meningkat lebih 2,000 kes kepada 27,179 kes semalam selepas menurun sejak 21 Februari lalu.

Kes serius atau kategori 3, 4, dan 5 masih rendah iaitu 172 kes atau 0.63 peratus manakala kategori 1 (tanpa gejala) dan 2 (gejala ringan) pula merekodkan sebanyak 27,007 kes atau 99.37 peratus.

Sebanyak 51 kes atau 29.65 peratus daripada kategori 3, 4, 5 yang direkodkan membabitkan individu tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi, manakala 91 atau 52.91 peratus sudah menerima dua dos vaksin tetapi masih belum menerima dos penggalak.

Pecahan kes mengikut kategori adalah seperti berikut:

Kategori 1 : 7,792 kes (28.67 peratus)
Kategori 2 : 19,215 kes (70.70 peratus)
Kategori 3 : 102 kes (0.37 peratus)
Kategori 4 : 43 kes (0.16 peratus)
Kategori 5 : 27 kes (0.10 peratus)

“Individu yang belum menerima vaksin dan tidak pernah dijangkiti Covid-19 adalah kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan Covid-19.

“KKM menasihatkan individu ini agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin Covid-19. Bagi yang telah mendaftar, KKM memohon agar anda hadir ke temu janji tersebut demi melindungi diri dan orang tersayang,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Twitter.

Sementara itu, sebanyak 43 kes direkodkan meninggal dunia semalam, termasuk 20 kematian di luar hospital menjadikan keseluruhan jumlah terkumpul kematian kepada 32,433 kes

Ketika ini, 106 pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) tidak menerima bantuan pernafasan dan 180 kes di ICU memerlukan bantuan pernafasan.

Angka kes terkumpul setakat ini adalah 3,273,958.

Jumlah pesakit yang menjalani kuarantin di rumah sebanyak 254,520 atau 95.3 peratus.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

615,671 kanak-kanak terima dos pertama vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Sebanyak 615,671 individu atau 17.3 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sejumlah 14,176,241 atau 60.3 peratus populasi dewasa di dalam negara pula telah menerima dos penggalak Covid-19 dan seramai 22,945,612 atau 97.5 peratus lengkap vaksinasi manakala 23,223,983 atau 98.7 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,799,326 individu atau 90 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,888,143 atau 92.9 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 147,742 dos suntikan vaksin telah diberikan semalam melibatkan 51,849 suntikan dos pertama, 613 suntikan dos lengkap dan 95,280 suntikan dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 66,441,964.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 43 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Sabah melaporkan 12 kes, diikuti Johor (sembilan), Selangor dan Negeri Sembilan (empat), tiga kes masing-masing di Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang, dua kes masing-masing di Melaka dan Perak manakala satu kes di Kuala Lumpur.

– BERNAMA