Categories
AGENDA NASIONAL

Agong titah peralihan ke fasa endemik perlu dibuat berhati-hati

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Peralihan Malaysia menuju ke fasa endemik Covid-19 perlu dilaksanakan secara berhati-hati, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seri Paduka bertitah Malaysia berada di kedudukan ke-13 dari 122 negara dalam indeks pemulihan Covid-19 Nikkei Asia dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah berjaya mencapai liputan vaksinasi lengkap sehingga 98 peratus populasi dewasa.

Titah Seri Paduka sebagai langkah pertahanan menghadapai penularan varian baharu, rakyat diseru mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19.

“Bagi memastikan imuniti kekal pada tahap optimum dan sebagai benteng dalam menghadapi varian baharu, beta menyeru agar rakyat beta untuk mendapatkan dos penggalak menerusi program yang sedang dilaksanakan kerajaan.

“Walaupun negara kini semakin bersedia untuk beralih ke fasa endemik, beta berharap agar peralihan ini dilaksanakan secara berhati-hati,” titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut menyokong Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan dan tindakan afirmatif kerajaan untuk mengurangkan harga kit ujian kendiri sebagai langkah pengukuhan tindakan kesihatan awam dan pemerkasaan komuniti.

“Melalui pendekatan ini, pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial boleh direalisasikan secara selamat,” titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong turut menghargai Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) termasuk strategi pembangunan vaksin sendiri, sebagai usaha meningkatkan kesediaan negara mendepani pandemik dan ancaman wabak lain pada masa hadapan.

Selain itu, Seri Paduka juga menyambut baik Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental 2020-2025, yang dirangka bagi menangani isu kesihatan mental rakyat terutama yang terkesan akibat pandemik Covid-19 melalui pelbagai langkah intervensi dan bantuan.

“Beta menyeru kepada rakyat beta supaya terus memelihara kesihatan termasuklah kesihatan mental dan sentiasa mengamalkan budaya hidup sihat bagi menjayakan matlamat agenda nasional ‘Malaysia Sihat’,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah menyokong aspirasi kerajaan untuk merakyatkan sains dan menginsankan teknologi kerana pembudayaan sains melalui inovasi sosial bakal melahirkan modal insan yang bersifat altruistik dalam menangani isu kemiskinan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.

“Beta berharap kerajaan akan terus memperkukuh program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi dalam bidang keutamaan termasuk kecerdasan buatan, robotik,bio-sains dan angkasa,” titah Yang di-Pertuan Agong.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 840,000 kanak-kanak negara terima vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Sebanyak 846,486 individu atau 23.8 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sejumlah 14,578,408 atau 62.0 peratus populasi dewasa di dalam negara pula telah menerima dos penggalak Covid-19 dan seramai 22,948,424 atau 97.5 peratus lengkap vaksinasi manakala 23,228,204 atau 98.7 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,800,661 individu atau 90 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,894,898 atau 93 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 101,136 dos vaksin telah diberikan semalam melibatkan 42,144 suntikan dos pertama, 537 suntikan dos lengkap dan 58,455 suntikan dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 67,089,834 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 40 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Kedah mencatatkan lapan kes, diikuti Johor dan Pulau Pinang masing-masing lima kes, masing-masing empat kes di Perak dan Sabah, tiga kes masing-masing di Kelantan dan Pahang.

Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka pula merekodkan masing-masing dua kes dan satu kes masing-masing di Negeri Sembilan dan Terengganu.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Jangkitan harian turun bawah paras 30,000 kes

SHAH ALAM, 27 FEB: Jangkitan harian Covid-19 turun bawah paras 30,000 apabila merekodkan 27,299 kes baharu semalam.

Kes serius atau kategori 3, 4, dan 5 masih rendah iaitu 129 kes (0.47 peratus) manakala kategori satu (tanpa gejala) dan dua (gejala ringan) sebanyak 27,170 kes (99.53 peratus).

Daripada 129 kes kategori 3, 4, dan 5, sebanyak 32 kes (24.81 peratus) tidak divaksin atau belum lengkap, 71 kes (55.04 peratus) menerima dua dos vaksin tetapi belum menerima dos penggalak dan 26 kes (20.16 peratus) telah terima dos penggalak.

Selain itu, 65 kes (50.39 peratus) berumur 60 tahun ke atas, 35 kes (27.13 peratus) mempunyai komorbid dan 1 kes (0.78 peratus) ibu mengandung.

Pecahan kes mengikut kategori adalah seperti berikut:

Kategori 1: 8,846 kes (32.41 peratus)
Kategori 2: 18,324 kes (67.12 peratus)
Kategori 3: 62 kes (0.23 peratus)
Kategori 4: 33 kes (0.12 peratus)
Kategori 5: 34 kes (0.12 peratus)

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 286,959 kes dikuarantin di rumah, 3,758 kes di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19, 7,911 kes di hospital, 145 kes di unit rawatan rapi (ICU) tanpa bantuan pernafasan dan 203 kes di ICU dengan bantuan pernafasan.

Jumlah kes terkumpul setakat semalam adalah 3,395,170.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

22.7 peratus kanak-kanak 5 hingga 11 tahun terima dos pertama vaksin

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Sebanyak 805,676 individu atau 22.7 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sejumlah 14,517,869 atau 61.7 peratus populasi dewasa di dalam negara pula telah menerima dos penggalak COVID-19 dan seramai 22,948,037 atau 97.5 peratus lengkap vaksinasi manakala 23,227,580 atau 98.7 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,800,421 individu atau 90 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,893,860 atau 93 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 118,275 dos vaksin telah diberikan semalam melibatkan 54,858 suntikan dos pertama, 577 suntikan dos lengkap dan 62,840 suntikan dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 66,986,213 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 43 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam dengan Sabah melaporkan sembilan kes, diikuti Selangor dengan lapan kes, Johor (tujuh), enam kes di Perak, Kedah (lima), dua kes masing-masing di Kelantan dan Pahang manakala satu kes masing-masing di Melaka, Sarawak, Terengganu dan Kuala Lumpur.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin Covid-19: Segera rawat jika alami kesan sampingan berpanjangan

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Penerima vaksin COVID-19 yang mengalami kesan sampingan serius atau berpanjangan dinasihat merujuk kepada fasiliti kesihatan berhampiran dan mendapatkan rawatan segera.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi akaun Twitter beliau hari ini memaklumkan rawatan segera terhadap kesan sampingan serius vaksin adalah penting agar kesan mudarat dapat dikurangkan dan laporan yang lengkap dapat diperoleh untuk siasatan.

Beliau berkata terdapat empat cara melaporkan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) vaksin COVID-19 iaitu membuat laporan melalui aplikasi MySejahtera bagi mereka yang menghadapi kesan tidak serius.

Selain itu, laporan boleh dibuat secara dalam talian di laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) atau mengisi secara manual borang yang dicetak daripada laman sesawang NPRA dan dihantar melalui e-mel atau pos ke NPRA.

Katanya bagi AEFI serius, laporan hendaklah dibuat melalui anggota kesihatan yang merawat kes itu melalui laman sesawang NPRA atau Pharmacy Information System (PhIS) bagi fasiliti Kementerian Kesihatan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Mangsa diminta patuhi SOP bagi bendung jangkitan Covid-19

KUALA KRAI, 26 FEB: Semua mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di sekitar Kuala Krai di sini, dinasihatkan supaya tidak mengabaikan tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan bagi mengelakkan penularan Covid-19 berikutan kes harian yang masih tinggi di Kelantan ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi berkata mangsa banjir diminta sentiasa berwaspada dengan menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka sepanjang berada di PPS.

“Saya minta supaya mereka sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri, jaga had pergaulan semasa di PPS, patuhi arahan serta banyak bersabar dan solat,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Tinjauan Bernama di beberapa PPS di sini seperti di Pejabat Veterinar, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Embak dan SK Banggol Guchil mendapati tahap pematuhan SOP sangat baik dan semua mangsa banjir yang ditempatkan berada dalam keadaan selesa.

Kebanyakan mereka akur dengan arahan pihak berkuasa supaya berpindah ke PPS demi keselamatan masing-masing, meskipun wujud rasa bimbang dijangkiti virus Covid-19.

Seorang mangsa banjir, Jamilah Salleh, 63, berkata melihat angka kes harian yang tinggi di Kelantan, sedikit sebanyak merisaukannya sepanjang berada di PPS.

“Walaupun SOP yang ditetapkan di PPS masih dilaksanakan tetapi dengan keadaan sebegini (kes yang masih tinggi) saya harap tiada penularan Covid-19 di sini,” kata peniaga santan itu ketika ditemui di PPS Pejabat Veterinar di sini, hari ini.

Seorang suri rumah, Ruhayati Abd Rahman, 58, yang ditempatkan di PPS yang sama berkata beliau dan keluarga terpaksa akur untuk berpindah meskipun pada awalnya agak keberatan kerana bimbang dengan penularan wabak Covid-19.

“Saya sekeluarga tidak boleh buat apa-apa selain perlu segera berpindah ke PPS kerana trend air di sekeliling rumah semakin naik sejak malam tadi, saya hanya bertawakal kepada Allah supaya dijauhi daripada wabak itu,” katanya yang melapor diri di PPS tersebut pada pukul 7.30 pagi tadi.

Semalam, jumlah harian Covid-19 di Kelantan mencatatkan 1,836 kes dengan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R naught (Rt) adalah 1.14.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 0.51 peratus kes baharu babit kategori 3 hingga 5

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Sebanyak 156 kes atau 0.51 peratus daripada 30,644 kes baharu dicatatkan semalam terdiri daripada kategori tiga, empat dan lima.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini memaklumkan baki 30,488 kes atau 99.49 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua, pertambahan kes baharu ini menjadikan jumlah kumulatif kepada 3,367,871 kes.

“Daripada 156 kes kategori tiga, empat dan lima yang dilaporkan; 33 kes tidak divaksin atau belum lengkap vaksinasi; 77 kes telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak,” katanya.

Beliau berkata pada 25 Februari (semalam), kes Covid-19 yang dimasukkan ke hospital adalah sebanyak 1,677 kes dan daripada jumlah itu, 589 kes (35.1 peratus) adalah kategori tiga, empat, dan lima; manakala baki 1,088 kes (64.9 peratus) terdiri daripada kategori satu dan dua.

Mengenai jumlah kes sembuh, sebanyak 22,678 kes dilaporkan menjadikan kumulatif kes sembuh 3,040,850.

Mengenai penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 di hospital, Dr Noor Hisham berkata tujuh negeri menunjukkan peratusan pengisian 50 peratus atau lebih iaitu Kelantan (92 peratus), Johor (61), Perlis (55), Perak (53) dan Kuala Lumpur, Putrajaya serta Melaka masing-masing mencatatkan 50 peratus.

Dr Noor Hisham berkata secara keseluruhannya, setiap negeri telah bersiap siaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya berlaku peningkatan kes yang memerlukan kemasukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), hospital dan ICU.

Mengenai perbezaan data harian kemasukan kes Covid-19 ke hospital berbanding kes Covid-19 kategori satu hingga lima yang baru didiagnosis setiap hari, beliau memaklumkan perkara itu disebabkan keadaan klinikal pesakit yang dinamik iaitu mungkin merosot atau bertambah baik sepanjang dijangkiti Covid-19.

“Misalnya, semasa didiagnosa, mungkin pesakit tersebut berada pada kategori 2A dan diisolasi di rumah melalui Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) digital, namun status kesihatan pesakit boleh merosot ke kategori 3 atau lebih dan memerlukan kemasukan ke hospital.

“Pada masa sama, terdapat juga kes-kes Covid-19 berisiko tinggi daripada kategori 1 dan 2 yang memerlukan kemasukan ke PKRC dan hospital sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes jangkitan harian 30,644 lepasi paras 30,000 tiga hari berturut-turut

SHAH ALAM, 26 FEB: Angka jangkitan harian Covid-19 menurun 1,426 kes kepada 30,644 selepas mencatatkan kadar tertinggi semalam, sejak ia direkodkan pada Januari 2020.

Daripada jumlah itu, 30,387 adalah kes tempatan, manakala 257 lagi kes import.

Kes Covid-19 mencatatkan rekod melebihi 30,000 sejak 23 Februari iaitu 31,199 kes.

Bagaimanapun, kategori 3, 4, dan 5 tetap rendah iaitu 156 kes atau 0.51 peratus manakala kategori 1 (tanpa gejala) dan 2 (gejala ringan) pula sebanyak 30,488 kes atau 99.49 peratus.

Sebanyak 110 kes atau 70.51 peratus daripada kategori 3, 4, 5 yang direkodkan membabitkan individu tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi, sudah menerima dua dos vaksin tetapi masih belum menerima dos penggalak, manakala 46 kes atau 29.49 peratus sudah menerima dos penggalak.

78 kes atau 50 peratus adalah pesakit berumur 60 tahun ke atas, 89 kes atau 57.05 peratus adalah individu yang mempunyai kormobid dan dua kes lagi atau 1.28 peratus membabitkan ibu mengandung.

Pecahan kes mengikut kategori adalah seperti berikut:

Kategori 1 : 9,557 kes (31.19 peratus)
Kategori 2 : 20,931 kes (68.30 peratus)
Kategori 3 : 91 kes (0.30 peratus)
Kategori 4 : 39 kes (0.13 peratus)
Kategori 5 : 26 kes (0.08 peratus)

“Tempoh isolasi bagi individu positif Covid-19 yang telah lengkap vaksinasi termasuk yang sudah mendapat dos penggalak adalah tujuh hari, manakala tempoh isolasi bagi individu positif Covid-19 yang tidak lengkap vaksinasi atau tiada vaksinasi adalah selama 10 hari. Tempoh isolasi terkini tidak mengambil kira sama ada bergejala atau tidak bergejala,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Setakat semalam, seramai 7,949 pesakit atau 2.7 peratus dirawat di hospital, 282,073 kes atau 95.8 peratus menjalani tempoh kuarantin di rumah manakala
4,076 atau 1.4 peratus ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19.

Angka kematian pula mencatatkan rekod 57 termasuk 14 kematian di luar hospital menjadikan keseluruhan jumlah terkumpul kematian kepada 32,591 kes.

Jumlah kes terkumpul setakat semalam adalah 3,367,871.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat kuarantin Maeps diaktifkan semula untuk ringan beban hospital

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang yang diaktifkan semula hari ini bagi meringankan beban di hospital daripada menjadi sesak dengan kes melibatkan pesakit Covid-19 bergejala ringan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ketika ini didapati banyak pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital tidak memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan rawatan intensif.

“Contohnya, Hospital Kuala Lumpur (HKL) sudahpun meningkatkan perkhidmatan untuk (kes) bukan Covid-19, jadi kita tak nak nanti semua (kes Covid-19) dirujuk semula ke HKL dan akhirnya jadi sesak.

“Kedua, kita telah melihat sekarang ini banyak kes yang masuk ke hospital yang mempunyai sampingan Covid-19, dia datang sebab rawatan lain, tetapi apabila buat ujian di hospital, didapati dia positif Covid-19,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis perasmian dan lawatan ke Kompleks Magnetic Resonance Imaging (MRI) dan Projek Naik Taraf Bekalan Gas Perubatan di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) Hospital Sungai Buloh dekat sini hari ini.

Beliau berkata perkara itu merumitkan sedikit pengurusan di hospital kerana pesakit tersebut terpaksa diasingkan di wad Covid-19 dan pengasingan pesakit di MAEPS akan memastikan hospital tidak sesak serta mempunyai fleksibiliti untuk mengurus katil.

Sementara itu, menerusi hantaran di laman Twitter, Khairy berkata pembukaan semula Maeps adalah satu langkah awalan sekiranya memerlukan.

Menurutnya, hal itu kerana ketika ini pesakit Covid-19 kategori satu dan dua yang berisiko tinggi turut diterima masuk ke hospital sebagai langkah awal.

“Langkah ini dibuat kerana jumlah kes tinggi dan jika keadaan mendesak, pesakit Covid-19 berisiko tinggi boleh terus diberikan intervensi awal. Hospital pula boleh fokus kepada pesakit Covid-19 kategori tiga hingga lima dan dalam masa yang sama tidak perlu menjejaskan operasi kes bukan Covid-19,” katanya.

Semalam, Khairy pada sidang media berkata PKRC di Maeps akan diaktifkan semula bermula hari ini bagi merawat kes berisiko rendah.

Selain itu dalam sidang media hari ini, beliau berkata hanya 10 hingga 15 peratus bekas pesakit Covid-19 mempunyai komplikasi ‘Long Covid’ atau jangka panjang dengan kebanyakannya adalah golongan berisiko.

“Kita mempunyai protokol merawat ‘Long Covid’, terutamanya melalui penjagaan rehabilitatif. Saya telah meminta supaya kita meningkatkan lagi rawatan rehabilitasi untuk Covid-19 yang berpanjangan. Jadi kita memberi perhatian kepada kes Long Covid ini terutamanya mereka yang dalam kategori berisiko tinggi,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kontak rapat pesakit Covid-19 hanya perlu menggunakan kit ujian pantas (RTK) Antigen Covid-19, kerana ujian saringan tindak balas rantai polimerase masa nyata (RT-PCR) akan mengesan virus itu walaupun kadar kebolehjangkitan sangat rendah.

“Sebab itu kita tidak sarankan PCR digunakan dalam semua keadaan, RTK mencukupi kerana ia dapat kesan mereka yang mempunyai viral load yang tinggi.

“Sebab itu kita yakin dengan protokol baharu, kontrak rapat, kalau dah booster (dos pengalak), hanya perlu buat RTK sebab itu dapat saring mereka yang mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi,” katanya.

Semalam, Khairy mengumumkan individu berumur 18 tahun ke atas yang menjadi kontak rapat kepada kes positif Covid-19 yang menerima dos penggalak dan tidak bergejala pada hari pertama, tidak perlu menjalani kuarantin bermula 1 Mac.

Dalam isu berasingan, Khairy berkata beliau telah meminta Kementerian Kesihatan (KKM) membuat analisis menyeluruh terhadap isu kekurangan jururawat di hospital.

“Saya nak selesaikan betul-betul (isu) kekurangan jururawat kita, semalam pun saya ada dialog dengan kesatuan-kesatuan, pekerja, staf kumpulan pelaksana di KKM, mereka pun cakap benda yang sama. Saya mahu mencari punca dan mungkin selepas selesai isu doktor kontrak saya nak lihat pula kepada kumpulan pelaksana,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Majikan perlu terima sijil digital, elak kesesakan di Pusat Penilaian Covid-19

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Majikan atau pihak yang berkaitan diseru agar menerima salinan sijil digital Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan Perintah Pelepasan Kuarantin (RO) setelah tempoh isolasi pesakit berakhir, bagi mengelakkan kesesakan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata berdasarkan pelaporan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), sejumlah 90 peratus daripada mereka yang hadir ke CAC adalah untuk tujuan discaj daripada HSO, iaitu terdapat pesakit atau majikan yang mendesak untuk mendapatkan notis secara bertulis.

Beliau berkata 30 hingga 50 peratus kes yang hadir ke CAC bukan untuk penilaian bagi kes yang merosot semasa menjalani pemantauan di rumah.

“Hal yang sedemikian menyebabkan penambahan beban tugas di CAC iaitu fokus petugas kesihatan adalah kepada aspek penilaian dan perawatan kes yang memerlukan perhatian khusus.

“Oleh yang demikian, semua majikan diseru untuk peka terhadap perkara ini dan menerima sijil digital HSO dan RO yang dikemukakan, serta tidak lagi mendesak pekerja untuk mendapatkan pengesahan daripada CAC,” katanya.

Mengenai penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 di hospital, Dr Noor Hisham berkata enam negeri menunjukkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus iaitu Kelantan (86 peratus), Johor (59), Labuan (57), Kuala Lumpur (54), Sabah (52) dan Melaka 50 peratus.

Merujuk kes positif Covid-19 yang dicatatkan semalam, beliau berkata 32,070 kes direkodkan dengan 99.4 peratus atau 31,890 kes kategori satu dan dua, manakala 180 kes atau 0.56 peratus merupakan kategori tiga, empat dan lima.

Katanya sebanyak 23,332 kes sembuh dilaporkan, menjadikan kumulatif kes sembuh 3,018,172.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Covid-19: 12 pemain, pegawai skuad bola sepak negara terkandas di Kemboja

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Sembilan pemain dan tiga pegawai pasukan bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) yang menyertai Kejuaraan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Phnom Penh, Kemboja terpaksa menunggu lebih lama untuk kembali ke tanah air setelah positif COVID-19.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi hantaran di laman Facebook rasminya malam tadi, memaklumkan semua 12 individu itu disahkan positif COVID-19 oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan AFF.

Justeru, mereka perlu menjalani kuarantin di Phnom Penh sehingga pulih sebelum dibenarkan pulang.

Difahamkan, pengurus pasukan Datuk Posa Majais antara pegawai yang dijangkiti COVID-19.

Pada masa sama, baki 19 pemain skuad bimbingan Ketua Jurulatih Brad Maloney tidak berdepan halangan dan telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Penerbangan diuruskan oleh Malaysia Airlines yang merupakan rakan penerbangan rasmi FAM.

Malaysia menamatkan kempen Kejuaraan B-23 AFF 2022 lebih awal apabila gagal mara ke peringkat separuh akhir selepas mencatat dua kekalahan kepada Laos dalam saingan Kumpulan B.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Jangkitan harian terus melonjak, rekod angka tertinggi 32,070 kes

SHAH ALAM, 25 FEB: Kadar jangkitan harian Covid-19 merekodkan 32,070 kes semalam, mengatasi angka tertinggi 31,199 yang dicatatkan kelmarin.

Kes serius atau kategori 3, 4, dan 5 masih rendah iaitu 180 kes (0.56 peratus) manakala kategori satu (tanpa gejala) dan dua (gejala ringan) merekodkan 31,890 kes (99.44 peratus)

Daripada 180 kes kategori 3, 4, dan 5, sebanyak 49 kes (27.22 peratus) tidak divaksin atau belum lengkap vaksin, 93 kes (51.67 peratus) telah menerima dua dos vaksin tetapi belum menerima dos penggalak, 38 kes (21.11 peratus) menerima dos penggalak.

Selain itu, 83 kes (46.11 peratus) melibatkan pesakit berumur 60 tahun dan ke atas, 89 kes (49.44 peratus) mempunyai komorbid dan satu kes (0.56 peratus) ibu mengandung.

Pecahan kes mengikut kategori adalah seperti berikut:

  • Kategori 1: 8,216 kes (25.62 peratus)
  • Kategori 2: 23,674 kes (73.82 peratus)
  • Kategori 3: 95 kes (0.30 peratus)
  • Kategori 4: 46 kes (0.14 peratus)
  • Kategori 5: 39 kes (0.12 peratus)

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan individu dijangkiti 3,337,227 kes.

“Jumlah keseluruhan jangkitan aktif di negara ini berjumlah 286,521 kes. Daripada jumlah ini 273,999 sedang menjalani kuarantin di rumah manakala  4,356 ditempatkan di pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah.

“Selain itu 8,039 kes menerima rawatan di hospital, 126 kes di unit rawatan rapi tanpa memerlukan alat bantuan pernafasan manakala 201 kes memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.