Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pengumuman darurat jejas fungsi Parlimen, DUN perangi Covid-19

SHAH ALAM, 13 JAN: Tindakan menggantung sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika darurat menjejaskan fungsinya sebagai tempat membincangkan kepentingan rakyat terutama usaha memerangi Covid-19.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor berkata institusi tersebut perlu dibenarkan berjalan seperti biasa sebagai tempat semak dan imbang kepada setiap keputusan kerajaan.

“Keputusan ini tidak boleh diterima sama sekali malah kezaliman telah berlaku apabila kerajaan menghalang sidang Parlimen dan DUN daripada berlangsung.

“Saya menggesa perdana menteri mempertimbangkan semula keputusan ini dan membenarkan sidang DUN dan Parlimen dijalankan dengan tatacara operasi piawai (SOP) lebih ketat,” kata Elizabeth Wong.

Perdana Menteri mengumumkan tiada sidang Parlimen, DUN dan pilihan raya sepanjang tempoh darurat.

Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berkata pelaksanaan darurat bukan perintah berkurung atau rampasan kuasa tentera, sebaliknya kerajaan awam terus berfungsi mengikut perlembagaan.

Beliau berkata satu jawatankuasa bebas bakal ditubuhkan menerusi kuasa Ordinan yang akan dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi meneliti keperluan dan masa sesuai untuk diadakan pilihan raya umum.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia kembali pulih, belian saham harga rendah

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Bursa Malaysia kembali pulih pagi ini selepas merosot semalam menarik aktiviti belian saham pada harga rendah.

Pada 9.10 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 9.91 mata kepada 1,62249 dengan kenaikan hampir secara menyeluruh.

Indeks dibuka tinggi 5.64 mata kepada 1,617.68 daripada 1,612.04 semalam.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 377 berbanding 173, manakala 299 kaunter tidak berubah, 1,250 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 538.49 juta unit bernilai RM295.59 juta.

Malacca Securities menjangka bursa tempatan akan stabil tidak lama lagi berikutan terdapat aktiviti belian saham pada harga rendah dalam pasaran.

“Saham berharga rendah dijangka meneruskan kenaikan semalam berikutan peningkatan indeks disokong oleh jumlah dagangan yang meningkat sepanjang hari,” katanya dalam nota hari ini.

Ia turut yakin pelabur dijangka menyertai sektor penjagaan kesihatan, yang menyaksikan pendapatan yang pasti dalam situasi kes Covid-19 meningkat.

Selain itu, katanya kaunter pengangkutan dan logistik juga akan mendapat perhatian berikutan langkah sekatan pergerakan bermula hari ini hingga 26 Januari untuk mengekang penularan Covid-19.

Jualan panik dalam pasaran tempatan berkurangan selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa aktiviti perniagaan akan kekal seperti biasa walaupun diisytiharkan darurat di seluruh negara semalam.

Sementara itu, petunjuk daripada Wall Street tidak berubah selepas pasaran saham AS ditutup tinggi.

Dow naik 0.2 peratus berikutan sesi dagangan tidak menentu susulan perhatian pelabur beralih kepada prospek pemulihan ekonomi dan pelaksanaan vaksin.

Selain itu, bekalan yang berkurangan telah mendorong harga minyak mentah lebih tinggi dengan minyak mentah Brent kini melebihi US$56 setong sekali lagi.

Kaunter perbankan mendahului dalam kalangan saham wajaran tinggi dengan Maybank dan Public Bank, masing-masing meningkat semula daripada jualan semalam, masing-masing menambah enam sen kepada RM8.06 dan 62 sen kepada RM20.70.

TNB naik 12 sen kepada RM10.24 dan PetChem tidak berubah pada RM7.20.

Top Glove meningkat dua sen kepada RM6.70, bagaimanapun Hartalega merosot empat sen kepada RM13.10.

Daripada saham cergas, Sealink menambah 2.5 sen kepada 18.5 sen, XOX tidak berubah pada 11.5 sen dan Sapura Energy naik setengah sen kepada 12.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 69.55 mata kepada 11,621.61, Indeks FBMT 100 meningkat 69.02 mata kepada 11,369.26 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 37.48 mata kepada 13,197.31.

FBM 70 meningkat 71.91 mata kepada 14,581.50 manakala FBM ACE naik 58.73 mata kepada 10,562.22.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 174.65 mata kepada 14,721.16, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.26 mata kepada 173.22 dan Indeks Perladangan meningkat 2.60 mata kepada 7,465044.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit naik semula 4.0430/0480 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Ringgit meningkat semula berbanding dolar AS pada pembukaan hari ini berikutan sentimen positif susulan langkah kerajaan membenarkan perniagaan beroperasi dalam tempoh darurat di seluruh negara yang dijangka hingga 1 Ogos, 2021.

Pada 9.02 pagi, mata wang tempatan diniagakan tinggi 120 mata asas (bps) kepada 4.0430/0480 berbanding dolar US daripada 4.0550/0600 semasa ditutup semalam.

Penganalisis berkata mereka yang dalam perkhidmatan, kerja-kerja, industri dan perniagaan perlu yang dibenarkan beroperasi di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berasa lega berikutan proklamasi itu tidak akan menjejaskan operasi perniagaan.

Sementara itu, Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata selepas mengalami reaksi awal mengenai perisytiharan darurat untuk mengekang pandemik Covid-19, unit tempatan menjadi positif berikutan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) baru-baru ini mendorong kepada penurunan bon dan kenaikan harga komoditi, terutamanya harga minyak.

“Pada amnya, sekatan pergerakan dilihat akan menghalang kemajuan dan membawa kepada risiko jangka pendek yang boleh mengehadkan pengukuhan ringgit,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0555/0595 daripada 3.0535/0575 pada Selasa dan susut berbanding yen kepada 3.9003/9058 daripada 3.8927/8978.

Berbanding pound, mata wang tempatan merosot kepada 5.5260/5336 daripada 5.5156/5236 semalam dan rendah berbanding euro kepada 4.9357/9422 daripada 4.9313/9378.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Darurat: Penjawat awam perlu fokus, jadi pemudah cara rakyat – Cuepacs

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Penjawat awam diminta kekal fokus kepada tugas dalam usaha mengekang penularan Covid-19 sepanjang tempoh darurat ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat berkata penjawat awam juga perlu melaksanakan pelbagai program pemulihan semula ekonomi negara.

“Sektor perkhidmatan kerajaan akan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh darurat ini berlangsung. Ordinan darurat ini hanya dilaksanakan untuk tingkatkan penguatkuasaan keselamatan dan ketenteraman awam sahaja.

“Perkhidmatan awam juga akan terus beroperasi bagi memberi khidmat kepada orang awam dan sokongan kepada sektor ekonomi. Berilah perkhidmatan terbaik dengan menjadi pemudah cara kepada rakyat yang sememangnya terkesan pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan turut menasihati orang ramai agar tidak melakukan kunjungan panik ke premis kerajaan kerana operasi setiap jabatan kerajaan masih tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan.

Katanya Cuepacs juga berharap semua pemimpin dan ahli politik di negara ini dapat memberikan kerjasama dan menghormati keputusan dibuat kerajaan dan memberikan khidmat kepada rakyat yang menghadapi kesukaran dalam tempoh darurat Covid-19 ini.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jentera pentadbiran tidak terkesan pengumuman darurat – KSN

PUTRAJAYA, 12 JAN: Jentera pentadbiran negara tidak terkesan dengan pengisytiharan Proklamasi Darurat kerana segala operasi dalam sektor awam dan swasta, yang merangkumi aktiviti ekonomi, industri serta rantaiannya, berjalan seperti biasa dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan yang masih berkuat kuasa.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan hari ini berkata situasi itu berbeza dengan Proklamasi Darurat pada 1969, yang disebabkan oleh ancaman keselamatan dan menyebabkan pengawalan ketat anggota keselamatan negara bagi menangani keadaan tegang pada ketika itu.

Mohd Zuki berkata Proklamasi Darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada waktu ini adalah untuk mengekang ancaman penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan sekali gus berisiko tinggi menggugat tiga asas utama dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Pendekatan ini akan menjamin kestabilan negara dan membolehkan kerajaan kekal fokus kepada usaha memulihkan ekonomi serta memastikan kehidupan rakyat yang makmur dan sejahtera,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos ini sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Mohd Zuki memberi jaminan bahawa anggota perkhidmatan awam akan terus memberikan komitmen dalam memastikan sistem penyampaian kerajaan tidak terjejas berteraskan undang-undang dan dasar kerajaan yang diputuskan dari semasa ke semasa.

“Saya dan perkhidmatan awam akan terus menjunjung taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan menyokong Pengisytiharan Proklamasi Darurat dengan menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan berpegang teguh kepada ikrar Perkhidmatan Awam dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong turut memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan dengan cadangan pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan dan yang berkaitan. Jawatankuasa itu akan mengesyorkan kepada Seri Paduka sekiranya pelaksanaan darurat itu dapat ditamatkan lebih awal.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Darurat: Tindakan tegas jika ingkar peraturan bendung pandemik – PM

SHAH ALAM, 12 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk membendung penularan Covid-19 dalam tempoh Proklamasi Darurat.

Perdana menteri berkata pindaan termasuk meningkatkan penalti atau hukuman ke atas individu yang melanggar undang-undang dan peraturan berkaitan pengawalan wabak.

“Tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan hukuman yang lebih berat boleh dikenakan untuk tujuan ini,” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas darurat yang hari ini.

Beliau menyeru rakyat untuk terus mengamalkan disiplin kendiri dengan lebih ketat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan darurat.

“Mudah- mudahan kita akan dapat melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 dengan segera dan seterusnya mengurangkan tekanan ke atas sistem kesihatan negara kita yang sedang terbeban dengan peningkatan kes-kes positif Covid-19 saban hari,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara hari ini memaklumkan Seri Paduka memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mahkamah, aktiviti ekonomi tetap berfungsi ketika darurat – PM

SHAH ALAM, 12 JAN: Perdana menteri memberi jaminan badan kehakiman terus berfungsi menegakkan hukum dan keadilan sepanjang tempoh darurat.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kerajaan akan terus mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan tidak akan sekali-kali mencampuri  urusan mahkamah.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Pengumuman Khas Darurat yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Beliau berkata aktiviti ekonomi juga terus berfungsi tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) dan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa.

“Kerajaan akan memastikan aktiviti ekonomi tidak terhenti agar rakyat mampu untuk terus bekerja dan perniagaan, perdagangan dan industri dapat terus beroperasi seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata kerajaan komited memastikan amalan governans terbaik terus diamalkan sepanjang tempoh pelaksanaan darurat.

“Organisasi kawal selia negara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, iaitu Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, serta Bursa Malaysia, akan terus memainkan peranan mereka sebagai pemangkin, pengawal selia dan pemudahcara syarikat dan pasaran,” katanya.

Dalam pada itu,  beliau menjelaskan kepada pihak berkepentingan bahawa Malaysia masih terbuka untuk perniagaan dalam menghadapi masa mencabar ini.

“Tempoh darurat ini akan memberi kita ketenangan dan kestabilan yang diperlukan selain membolehkan kita menumpukan usaha pemulihan ekonomi dan pertumbuhan.

“Kita kekal komited terhadap tadbir urus yang baik dalam tempoh-tempoh ini dan mempunyai ekosistem pengawalseliaan yang kukuh dan dinamik,” kata beliau.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara hari ini memaklumkan Seri Paduka memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Agong boleh masyhur ordinan ketika darurat

SHAH ALAM, 12 JAN: Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan ordinan yang perlu mengikut keadaan semasa ketika pelaksanaan darurat, kata perdana menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ordinan itu merangkumi hal berkaitan penggunaan aset, mengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih serta penggunaan sumber hospital swasta bagi merawat pesakit Covid-19.

“Bagi menghalang sabotaj ekonomi, monopoli dan kenaikan harga barang yang keterlaluan,
boleh dimasyhurkan oleh baginda, dengan hukuman lebih berat boleh dibuat. Semua ordinan
yang dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong ini akan diwartakan dan diketahui oleh rakyat,”
katanya dalam pengumuman khas darurat Perdana Menteri hari ini.

Beliau berkata, ordinan juga boleh dimasyhurkan untuk memberi kuasa kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk kuasa sedia ada di bawah polis menerusi tatacara kanun jenayah, dengan ATM juga boleh diperuntukkan kuasa membantu melaksana kawalan berhubung kesihatan awam.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara hari ini memaklumkan Seri Paduka memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Kerajaan Persekutuan, negeri berfungsi seperti biasa

SHAH ALAM, 12 JAN: Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terus berfungsi seperti biasa semasa tempoh darurat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana menteri berkata pengisytiharan darurat tidak membabitkan sebarang bentuk rampasan kuasa tentera atau pelaksanaan perintah berkurung.

“Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, jemaah menteri dan majlis mesyuarat kerajaan negeri akan terus berfungsi ikut Perlembagaan Persekutuan.

“Malah saya beri jaminan jentera perkhidmatan serta pentadbiran awam, kerajaan negeri tidak akan terganggu dengan pengisytiharan darurat ini,” katanya menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat untuk membendung pandemik Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata baginda memberi perkenan pelaksanaan sehingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal dengan mengambil kira rundingan Seri Paduka dengan Raja-Raja Melayu.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Darurat: Tiada sidang Parlimen, DUN dan pilihan raya – PM

SHAH ALAM, 12 JAN: Perdana Menteri mengumumkan tiada sidang Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pilihan raya sepanjang tempoh darurat.

Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berkata pelaksanaan darurat bukan perintah berkurung atau rampasan kuasa tentera, sebaliknya kerajaan awam terus berfungsi mengikut perlembagaan.

Beliau berkata, satu jawatankuasa bebas bakal ditubuhkan menerusi kuasa Ordinan yang akan dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi meneliti keperluan dan masa sesuai untuk diadakan PRU.

“PRU diadakan sebaik saja jawatankuasa bebas ini memperakui wabak sudah reda dan PRU selamat untuk diadakan.

“Masa itu terpulang kepada rakyat, pilihlah kerajaan yang layak dan boleh menjaga rakyat sekalian. Ini aku janji yang akan saya tunaikan,” katanya dalam pengumuman khas darurat Perdana Menteri hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat untuk membendung pandemik Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata baginda memberi perkenan pelaksanaan sehingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal dengan mengambil kira rundingan Seri Paduka dengan Raja-Raja Melayu.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Agong isytihar darurat di Parlimen Gerik, DUN Bugaya

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah, sekali gus membatalkan dan menangguhkan pilihan raya kecil (PRK) dua kerusi berkenaan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Seri Paduka bertitah demikian selepas memperhalusi penjelasan beliau yang menyembah maklum nasihat jemaah menteri berhubung perkara itu.

“Seri Paduka Baginda telah berkenan untuk mengisytiharkan darurat bagi kedua-dua PRK tersebut setelah berpuas hati bahawa adanya keperluan pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Ia bagi memasyhurkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No.2) 2020 Sn Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.3) 2020 di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan PRK Gerik dan Bugaya yang dijadualkan 16 Jan 2021 dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh akan ditentukan kelak.

“Saya bagi pihak jemaah menteri menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Seri Paduka Baginda atas perkenan untuk mengisytiharkan darurat bagi kedua-dua bahagian pilihan raya berkenaan,” kata Muhyiddin dalam kenyataan.

Muhyiddin berkata jemaah menteri pada 4 Dis lalu membincangkan secara terperinci akan kesan PRK Gerik dan Bugaya jika diadakan pada masa pandemik Covid-19 masih menular di negara ini.

Perdana menteri berkata mengambil iktibar penularan Covid-19 susulan Pilihan Raya Negeri Sabah pada September lepas, jemaah menteri berpandangan kedua-dua PRK itu perlu dielakkan atas faktor ancaman kesihatan awam, ancaman ke atas kehidupan ekonomi dan ancaman ketenteraman awam.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan kedua-dua PRK itu diadakan serentak pada 16 Jan depan susulan kematian wakil rakyat kedua-dua kawasan tersebut.

Ahli Parlimen Gerik Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia pada 16 Nov lalu di Raub, Pahang akibat serangan jantung, sementara, ADN Bugaya Manis Muka Mohd Darah pula meninggal dunia keesokan harinya (17 Nov) kerana komplikasi penyakit buah pinggang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Darurat: Penugasan polis di Batu Sapi masih ikut SOP

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Penugasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Parlimen Batu Sapi, Sabah masih mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan di seluruh Sabah pada 13 Okt lepas meskipun darurat diisytiharkan di kawasan itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata polis bagaimanapun bersedia jika Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan perintah lebih ketat seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mana-mana lokasi di kawasan Parlimen berkenaan.

“Berdasarkan arahan MKN, polis akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk menambah anggota dan memperketatkan kawalan. Setakat ini, penugasan polis di kawasan berkenaan adalah seperti biasa.

“Saya akur dengan keputusan pengisytiharan ini yang bermakna Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Batu Sapi tidak akan dilaksanakan kerana saya memang berpendapat pelaksanaannya perlu dielakkan berikutan jumlah kes Covid-19 yang tinggi di Sabah ketika ini,” katanya kepada Bernama.

Abdul Hamid berkata kegiatan dan pergerakan orang ramai di kawasan Parlimen itu yang masih di bawah PKPB tertakluk kepada arahan semasa MKN.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang ketika dihubungi Bernama turut senada dengan Abdul Hamid.

Beliau berkata ATM akan mengikuti SOP yang ditetapkan kerajaan walaupun Batu Sapi diisytihar darurat.

Hari ini, Bernama melaporkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi, sekali gus membatalkan PRN kerusi itu.

Turut dilaporkan, proklamasi darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dilakukan selepas memperhalusi penjelasan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersembahkan nasihat beliau susulan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri berhubung perkara itu.

-BERNAMA