Categories
AGENDA

Peniaga kecil, persatuan teksi lega tiada darurat

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat buat masa ini memberi kelegaan kepada golongan yang bergantung hidup memperoleh pendapatan harian seperti peniaga kecil dan pemandu teksi.

Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP) Datuk Mohamad Abdullah berkata keputusan itu membolehkan kira-kira 15,000 penjaja dan peniaga kecil di bawah persatuan meneruskan perniagaan mereka yang kini masih dalam fasa pemulihan.

“Cuba bayangkan dalam keadaan sekarang pun susah nak berniaga sebab pelanggan kurang disebabkan oleh wabak Covid-19, apatah lagi jika darurat dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Titah Al-Sultan Abdullah itu dizahirkan setelah memperhalusi permohonan yang dipersembahkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu selain menilai situasi semasa yang sedang dihadapi negara.

Mohamad yang memuji kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong berkata tindakan Seri Paduka telah ‘menyelamatkan’ banyak pihak yang masih terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Katanya, ramai penganggur kini menjadikan perniagaan kecil-kecilan sebagai ‘talian hayat’ terakhir untuk mereka meneruskan kelangsungan kehidupan bagi menyara keluarga dan membayar segala komitmen bulanan.

Sehubungan itu, beliau berkata Al-Sultan Abdullah dilihat telah membuat keputusan tepat dengan mengambil kira kegelisahan dan masalah dihadapi rakyat ketika ini, diputuskan secara bijaksana, tidak mengikut emosi dan tanpa mengikut kehendak ahli politik.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kesepakatan Pemandu Teksi, Kereta Sewa, Limo Premier Executive Jiwa Malaysia (Perjiwa) Zailani Isaisuludin berkata titah Seri Paduka itu juga amat dinanti-nanti mereka yang berada dalam sektor pengangkutan awam memandangkan golongan ini juga terjejas teruk sejak penularan wabak Covid-19, di negara ini.

Katanya, ramai pemandu teksi mengeluh sumber pendapatan terjejas apabila orang ramai semakin kurang menggunakan perkhidmatan teksi dan sekiranya darurat dilaksanakan ia akan memberi impak lebih buruk kepada industri pengangkutan.

“Seri Paduka selaku ketua negara lebih arif dan prihatin keadaan rakyat, justeru keputusan tidak mengisytihar darurat mengambil kira keperluan dan kebajikan semua lapisan masyarakat yang menerima impaknya,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

ATM siap siaga walau tiada darurat

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga walaupun Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah tiada keperluan darurat diisytiharkan di negara ini.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata penugasan anggota ATM kekal berjalan seperti biasa.

“ATM dalam keadaan stand by (siap siaga),” katanya ringkas kepada Bernama.

Semalam, Bernama melaporkan Al-Sultan Abdullah bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.

Berikutan itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Al-Sultan Abdullah bertitah perkara itu diputuskan setelah memperhalusi permohonan yang dipersembahkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu selain melihat situasi sedang dihadapi negara ketika ini.

Terdahulu, Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu berlangsung di Istana Negara, di sini petang semalam.

Perbincangan khas berkenaan adalah bagi meneliti cadangan-cadangan yang dikemukakan Muhyiddin bersama beberapa menteri Kabinet ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang Jumaat lepas.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Tolak usul darurat, Agong fahami resah rakyat

SHAH ALAM, 25 OKT: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan penolakan usul pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berlandaskan semangat perlembagaan dan memahami keresahan rakyat seperti disuarakan pelbagai pihak.

Ketua pembangkang berkata beliau menyambut baik serta menghargai kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah dan Raja-Raja Melayu atas kenyataan serta pendirian mengenai permohonan pengisytiharan darurat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Keputusan dan ketetapan bersejarah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam menolak usul perdana menteri dan jemaah menteri untuk mengisytiharkan darurat itu jelas memperkukuh sistem Raja Berperlembagan dan Demokrasi Berparlimen,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Presiden KEADILAN itu berkata beliau mengambil maklum dan menghayati nasihat baginda agar pimpinan politik termasuk ahli parlimen untuk tidak berlebihan berpolitik.

Anwar menambah pihaknya juga mempastikan perancangan menangani Covid-19, masalah pengangguran dan kemiskinan serta menjana pertumbuhan ekonomi dapat dilaksanakan dengan lebih terencana dan berkesan.

“Tokoh-tokoh politik termasuk ahli-ahli parlimen harus prihatin dan menggalas tanggungjawab sesuai dengan semangat perlembagaan dan kebertanggungjawaban kepada rakyat, institusi Parlimen dan negara agar dapat diimbangi pelbagai tuntutan terkait keadilan, menolak rasuah dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Al-Sultan Abdullah sebelum itu bertitah tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara menerusi kenyataan yang disampaikan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Ahmad Fadil berkata sebelum ini Al-Sultan Abdullah berkenan memperhalusi dan berbincang bersama Raja-Raja Melayu mengenai permohonan yang dipersembahkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis menghadap di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang, Jumaat lalu.

Permohonan tersebut ialah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak Covid-19 di negara ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ahli akademik, bekas profesor pertikai cadangan darurat

SHAH ALAM, 25 OKT: Sekumpulan ahli akademik dan bekas profesor mempertikai cadangan pengisytiharan darurat yang dikhuatiri mewujudkan monopoli kuasa dan menjejaskan urus tadbir kerajaan.

Menamakan diri mereka Kumpulan Akademik Prihatin, mereka berkata pelaksanaan berkenaan memberi kuasa kepada badan eksekutif tanpa proses semak dan imbang.

Dalam kenyataan yang ditandatangani 91 individu, mereka berkata darurat juga merosakkan kedudukan negara pada peringkat antarabangsa, reputasi kewangan, iklim pelaburan dan kredibiliti pemerintahan negara.

“Sekiranya kita tidak mengambil berat perkara penggantungan dan pengabaian institusi demokrasi ini, akibatnya nanti menjerumuskan negara kita ke jalan kemunduran iaitu pemerintahan autoriter dan diktator,” kata mereka lagi.

Kumpulan itu juga menjelaskan negara ketika ini tidak berhadapan sebarang ancaman membabitkan keselamatan, ekonomi atau ketenteraman awam.

Sebaliknya, mereka khuatir cadangan tersebut didorong situasi politik tidak menentu berikutan kerajaan sedia ada bimbang Belanjawan 2021 ditolak pada sidang Parlimen November depan.

Mereka mengakui negara berdepan krisis ekonomi dan kesihatan awam berikutan pandemik Covid-19 terutama di Sabah tetapi yakin masalah itu boleh diatasi melalui undang-undang sedia ada.

“Meskipun demikian, Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kesihatan memiliki sejumlah pilihan undang-undang dan juga pilihan langkah perubatan yang mencukupi demi meratakan lengkung jangkitan Covid-19, seperti dilakukan pada gelombang kedua,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Kaji selidik IDE: Lebih 70 peratus rakyat tolak darurat

SHAH ALAM, 25 OKT: Sebanyak 77.39 peratus rakyat tidak bersetuju dengan pengisytiharan darurat di negara ini yang menjadi spekulasi sejak beberapa hari lalu.

Tinjauan yang dijalankan Institut Darul Ehsan (IDE) semalam menunjukkan mereka yang menolak darurat lebih cenderung memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

“Majoriti yang menyokong pengisytiharan darurat (22.61 peratus) adalah mereka yang turut cenderung menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kekal sebagai perdana menteri.

“Hanya 17.71 peratus memilih untuk pembubaran parlimen dan bersetuju Pilihan Raya Umum diadakan,” menurut kenyataan institusi itu di Facebook.

Pungutan pendapat yang dinamakan ‘Rakyat Malaysia Bersuara’ disertai 51,147 rakyat daripada pelbagai latar belakang yang dijalankan dari jam 4 petang hingga 12 tengah malam tadi.

Antara soalan yang dikemukan adalah adakah mereka bersetuju pengistiharan darurat, apakah pilihan terbaik untuk rakyat sama ada Muhyiddin kekal berkuasa, Anwar dilantik sebagai perdana menteri atau bubar parlimen.

Desas-desus darurat mula diperkatakan apabila Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet pada Jumaat sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada sebelah petang.

Semalam, Al-Sultan Abdullah dilaporkan akan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan cadangan yang dikemukakan perdana menteri.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jangan perjudi rakyat kerana takut hilang kuasa, KEADILAN kritik PM

SHAH ALAM, 24 OKT: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengingatkan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) tidak memperjudikan nasib rakyat hanya kerana takut kehilangan kuasa berikutan ada ura-ura darurat mahu diisyitihar.

Ketua penerangannya mengkritik sikap ‘bacul’ pentadbiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggunakan darurat bagi mengelakkan kerajaan tumbang secara sah dan demokratik.

Katanya darurat akan menyebabkan Parlimen digantung dan sebarang usul dijadualkan pada persidangan bermula 2 November ini tidak berlaku, termasuklah usul undi tidak percaya yang perlu dihadapi Muhyiddin.

“Bahkan sekiranya kerajaan PN kalah dalam sebarang usul yang melibatkan undian, maka besar kemungkinan PN akan tumbang dan Perdana Menteri baru boleh dilantik.

“Apakah ini matlamat sebenar darurat yang dicadangkan PN? Darurat bagi mengelak kerajaan PN daripada gagal dalam sebarang undian untuk meluluskan apa jua usul di Parlimen?” kata Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan jika darurat dilaksanakan ia akan menyebabkan pelabur asing meninggalkan Malaysia dan pertumbuhan ekonomi dijangka meleset seterusnya mengakibatkan pembuangan pekerjaan besar-besaran apabila industri muflis atau mengecilkan operasi.

Katanya pemerintahan sedemikian tidak menjadikan pentadbiran negara lebih baik sebaliknya hanya menjadikan Malaysia setaraf Afrika yang bergolak dan ditadbir seorang ‘diktator’.

Shamsul Iskandar berkata wabak Covid-19 masih mampu dikawal melalui pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat disamping akta-akta sedia ada.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr M: Darurat tidak hentikan Covid-19, jejas pasaran ekonomi

SHAH ALAM, 24 OKT: Pengisytiharan darurat tidak membendung penularan Covid-19 lebih baik berbanding pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Sebaliknya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata langkah itu hanya meruntuhkan ekonomi berikutan pelabur tidak yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Apa yang darurat boleh lakukan untuk menghentikan pandemik berbanding dengan apa yang kita usahakan sekarang. Tiada apa-apa,” katanya menerusi blog hari ini.

Beliau menjelaskan darurat hanya memberi lebih kuasa kepada perdana menteri, bukannya mengatasi masalah politik, ekonomi dan sosial di negara ini.

“Jika darurat diisytihar, maka pasaran akan runtuh sepenuhnya. Para pelabur tidak akan percaya perdana menteri mampu menguruskan ekonomi,” katanya.

Malah, Mahathir turut mengingatkan desas-desus mengenai pengisytiharan perintah sedemikian juga boleh mengakibatkan pasaran saham merosot.

Semalam, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Putrajaya sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada sebelah petang.

Pertemuan tersebut menimbulkan keresahan orang ramai dan mewujudkan spekulasi mengenai pengisytiharan darurat di negara ini.

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menyifatkan alasan penularan Covid-19 digunakan untuk menyekat sidang parlimen berikutan ada ura-ura darurat mahu diisytihar.

Categories
NASIONAL

Tidak perlu isytihar darurat di Pasir Gudang

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Usaha pengurusan dan mitigasi di Pasir Gudang yang terjejas dengan pencemaran bahan kimia membabitkan pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan seperti situasi darurat, walaupun setakat ini tiada keperluan mengisytiharkan darurat, di kawasan itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin berkata, antara agensi Kerajaan Persekutuan terbabit ialah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Alam Sekitar.

Turut terbabit dalam operasi pengurusan krisis itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (Hazmat), Jabatan Pengaliran dan Saliran dan Kementerian Pendidikan yang berada di lokasi kejadian bagi tujuan operasi.

“Krisis itu sedang ditangani Kerajaan Negeri dan sehingga kini ia (Kerajaan Negeri) tidak meminta kebenaran daripada Kerajaan Pusat untuk mengisytiharkan darurat.

“Buat masa ini kami diberitahu, mereka kata boleh lagi mereka selesai, tidak perlu rujuk kepada Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan pengisytiharan darurat di bawah arahan Majlis Keselamatan Negara, arahan 20,” katanya menggulung perbahasan usul tergempar untuk mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang.

Usul tergempar itu dikemukakan Hassan Abdul Kasim (PH-Pasir Gudang), dibahaskan oleh empat anggota Parlimen dan digulung enam Menteri berkaitan.

Hanipa berkata Jawatankuasa Pengurusan Negeri Johor yang bermesyuarat pada Rabu telah membuat keputusan bahawa Kerajaan Negeri masih boleh mengawal dan menangani isu ini.

Katanya, agensi-agensi yang terlibat dalam pengurusan krisis itu juga berpandangan tahap isu masih belum mencapai tahap bencana untuk diisytiharkan darurat bencana.

“Kerajaan Persekutuan juga bersetuju memberi peruntukan RM8 juta untuk kerja-kerja pembersihan sungai yang terlibat dengan secepat munngkin.

“Bantuan wang ihsan juga akan diberi kepada setiap keluarga yang terlibat dalam bencana itu berdasarkan senarai yang telah diputuskan oleh pegawai daerah,” katanya. -BERNAMA