Milikan tanah : Jangan sampai rakyat mengemis di tanah sendiri

Pegawai Daerah diarah percepatkan proses permohonan tanah dan kurangkan birokrasi bagi memastikan peneroka tanah kerajaan segera mendapat hak mereka.

Categories
SELANGOR

Isu balak: Jangan main sensasi, nanti rakyat marah

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 14 JAN: Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sekali lagi menegaskan Kerajaan Selangor tidak pernah mengeluarkan lesen pembalakan membabitkan negeri itu.

Beliau berkata, Selangor terikat dengan dasar perhutanan negeri yang mewajibkan 30 peratus hutan simpan mesti dikekalkan.

MB Azmin“Saya sudah beri penjelasan tiada aktiviti pembalakan di Selangor, malah tiada lesen dikeluarkan.

“Media tidak lapor pun (fakta itu), kalau hendak ambil sikap bukan nak lapor yang betul tetapi hendak sensasi, itu bukan permainan saya.

“Permainan saya adalah menjaga amanah dengan telus dan tanggungjawab, jangan main sensasi nanti rakyat marah,” katanya di SUK hari ini.

Kenyataan Mohamed Azmin itu susulan dakwaan aktivis, Badrul Hisham Shaharin (Chegu Bard) kononnya Kerajaan Selangor berbohong berkenaan tender pembalakan membabitkan dua bidang tanah.

Beliau mendakwa ia membabitkan projek jajaran talian elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Chubadak dan Mahkota Cheras di Kuala Lumpur.

Susulan itu, Mohamed Azmin mencabar Chegu Bard supaya mengemukakan bukti ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berkenaan.

-nR-

Categories
SELANGOR

Jawatankuasa tertinggi bertindak keras hapus tapak sampah haram

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SUBANG JAYA, 10 JAN: Kerajaan Negeri akan menubuhkan jawatankuasa tertinggi bagi memantau dan mengambil tindakan keras terhadap pihak yang terlibat dengan aktiviti pembuangan sampah haram di Selangor.

Antara yang menjadi tumpuan jawatankuasa yang bakal diketuai, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya itu termasuk tanah milik individu dan aktiviti pembuangan haram di rizab sungai.

MB Terjah sampah (13)Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata jawatankuasa akan turut merampas tanah mana-mana individu yang membenarkan aktiviti pembuangan sampah haram di tanah mereka.

“Saya kesal kerana aktiviti pembuang sampah haram termasuk sampah domestik dan industri berleluasa di kawasan terlibat hingga mencemarkan sungai serta sistem peparitan yang ada juga aktiviti menambak sungai secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya mengambil keputusan bersama Pegawai Daerah dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) untuk memulakan proses merampas tanah milik individu yang membenarkan aktiviti haram dan ini dimulakan serta-merta.

“Saya juga mencadangkan satu jawatankuasa tertinggi yang diketuai Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru melibatkan pegawai daerah, Yang Dipertua MPSJ dan agensi lain seperti Jabatan Parit dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan pihak berkuasa seperti polis.

Hal itu supaya perkara ini tidak akan berulang dengan tindakan keras dan tegas kepada mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja sehari di Kampung Kampung Bukit Lanchong dan Kampung Seri Aman, di sini, baru-baru ini.

MPS SAMPAH HARAMKatanya, tindakan itu perlu diambil bagi menjadikan Selangor sebagai negeri yang bersih dan memberi kemakmuran serta kesejahteraan kepada rakyat.

Lawatan itu turut disertai Exco Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Ahmad Yunus Hairi; Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Zaidy Abdul Talib; Exco Kerajaan Tempatan, Ean Yong Hian Wah dan beberapa pemimpin tempatan.

Terdahulu, Mohamed Azmin turut meluangkan masa untuk bertemu dan bersarapan dengan penduduk kampung di Gerai Ayam Penyet kampung terbabit.

Penduduk kampung yang terkejut dengan kedatangan Mohamed Azmin menyatakan perasaan teruja kerana dapat bersua muka dengan beliau.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Lori buang sisa binaan kantoi dengan MB

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SUBANG JAYA, 10 JAN: Seorang pemandu lori yang cuba membuang sisa bahan binaan berhampiran tebing sungai di Kampung Bukit Lanchong, di sini, gagal menyelamatkan diri daripada terkantoi apabila lori yang dipandunya tersekat di bahu jalan yang licin.

Hal ini berikutan, delegasi lawatan kerja Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali tiba di kawasan berkenaan bagi meninjau masalah pembuangan sisa binaan secara haram di tebing sungai ketika pemandu terbabit bergelut cuba melepaskan lorinya.

Azmin AliMohamed Azmin berkata, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan mengenakan tindakan tegas dengan menyita lori berkenaan.

“Saya berharap penduduk kampung tidak bersubahat dengan berkerjasama untuk menghalang lori masuk membuang sampah binaan di tebing sungai kerana perbuatan ini akan menyebabkan sungai menjadi sempit dan banjir mudah berlaku,” katanya di sini, pada 8 Januari lalu.

Lawatan itu turut melibatkan MPSJ, Pejabat Tanah dan Daerah Petaling, Jabatan Parit dan Saliran (JPS) dan beberapa jabatan lain.

Sebelum itu, Mohamed Azmin turut membuat tinjauan mengejut di satu lagi lokasi yang terletak tidak berapa jauh dari situ.

SAMPAH HARAM 2Bagaimanapun, penjaga kawasan pembuangan sampah haram itu sempat menghilangkan diri ketika Mohamed Azmin sedang melakukan tinjauan.

SelangorKini difahamkan tanah tapak pembuangan haram itu dimiliki seorang individu yang mengambil keuntungan dengan mengenakan caj kepada kontraktor binaan yang membuang sampah di situ.

“Saya amat kesal dengan aktiviti pembuangan sampah yang kita percaya sudah beroperasi beberapa tahun. Kerajaan Negeri sudah arahkan MPSJ supaya mengeluarkan notis untuk merampas tanah terbabit,” katanya.

Selain kawasan pembuangan sampah haram, Mohamed Azmin turut meninjau kawasan pembinaan projek LRT yang mengakibatkan banjir di Jalan Besar berhampiran Kampung Bukit Lanchong.

-NFN-

Contohi pembangunan Kampung Bukit Kapar

Muncul sebagai Kampung Tradisi Terbaik Selangor 2015, Kampung Bukit Kapar boleh dijadikan contoh

Bincang isu Vape, Selangor tubuh jawatankuasa Rabu ini

Satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi membincangkan isu penggunaan rokok elektronik atau vape sebelum memutuskan pendirian untuk mengharamkannya atau tidak pada Rabu ini.

Selangor Agrofest meraikan para petani,penternak

Petani manfaat peluang sertai Selangor Agrofest 2015 untuk mempromosi dan meluaskan pasaran produk.

Kemeriahan Rumah Terbuka Krismas Selangor 2015

Sambutan Rumah Terbuka Hari Krismas Peringkat Negeri Selangor di Dataran GM Klang pada 19 Disember 2015.

Categories
SELANGOR

Selangor perintis perpaduan, tolak pelampau agama

Oleh : AFIX REDZUAN

KLANG, 20 DIS: Selangor akan terus menjadi perintis kepada perpaduan kaum tanpa selain mengekang tindakan pelampau agama yang dilihat cuba menggugat keharmonian semua.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata prinsip itu akan dikekalkan untuk terus memajukan negeri yang bukannya khusus bagi sesebuah kaum atau bangsa malah untuk semua rakyat.

Azmin Ali“Bila berbincang tentang perpaduan, bukan untuk satu kaum dan agama tetapi untuk semua yang ada di dalam negeri serta negara.

“Terdapat suara beberapa kumpulan ekstrem yang cuba membangkitkan soal perkauman.

“Namun, Kerajaan Negeri bertekad hak dan kebajikan akan dipertahankan demi menjamin kesejahteraan semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Sambutan Rumah Terbuka Hari Krismas Peringkat Negeri Selangor Dataran GM Klang di sini, semalam.

KRISMASHampir 3,000 rakyat hadir memeriahkan rumah terbuka berkenaan yang turut diserikan dengan beberapa persembahan penganut agama Kristian.

Sempena sambutan Krismas, Kerajaan Negeri memberikan sumbangan berjumlah RM537,000 yang dibahagikan kepada beberapa gereja dan rumah kebajikan di seluruh Selangor.

Majlis turut dihadiri Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, Ganabatirau Veraman, dan Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Turut kelihatan Adun Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar yang hadir bersama isteri.

-nR-

Categories
SELANGOR

Pertanian Selangor maju seiring sektor lain

Oleh : AFEEQA AFEERA

KUALA SELANGOR, 19 DIS : Peratusan hasil pertanian Selangor memberangsangkan walaupun negeri termaju itu menerajui sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata perkara itu boleh dilihat dengan jelas apabila program taman kekal pengeluaran makanan Selangor menyumbang 42.7 peratus daripada hasil negara.

MB Azmin“Selangor sedang merangka strategi jangka panjang dalam usaha menghasilkan produk asas tani bermutu tinggi dan memberikan pulangan baik kepada pengusaha.

“Selangor juga berusaha meningkatkan pelaburan strategik bagi menjana lebih banyak peluang ekonomi dalam sektor pertanian sekaligus menjadi pengeluar makanan utama di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Selangor Agrofest 2015 di Kompleks Sukan Kuala Selangor, semalam.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri memberi jaminan Selangor menjadi pengeluar makanan utama dengan kemahiran teknologi dan menguasai global ‘supply chain’.

AGRO 2015 3Beliau berkata, konsep jaminan bekalan makanan itu akan menggunapakai kaedah ‘food belt’dan ‘food priority’ yang menjadi asas kepada dasar pertanian Selangor.

“Kerajaan Negeri bersedia menyediakan khidmat nasihat dan tapak ladang pertanian dengan penggunaan teknologi bagi menentukan jenis tanaman yang memberi pulangan tinggi.

“Ia dapat memastikan usahawan mampu laksana kerja mereka secara efektif untuk menjangkau hasil pertanian tinggi dan memperoleh pendapatan lebih baik,” katanya.

Bagi memangkin pertumbuhan positif dalam sektor pertanian, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM26 juta untuk perbelanjaan pembangunan pada Belanjawan 2016.

-nR-

Categories
SELANGOR

MB : Isu Hadiah Sastera SelangorKini disemak Isnin

Oleh : AFEEQA AFEERA

KUALA SELANGOR, 19 DIS : Isu pemenang Hadiah Sastera SelangorKini yang didakwa masih belum menerima cek kemenangan akan disemak pada Isnin, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, perkara itu tidak harus terjadi memandangkan keputusan sudah dibuat panel hakim.

azmin“Saya akan semak kerana perkara ini tidak harus berlaku dan jika keputusan sudah dibuat panel hakim, mereka yang menerima anugerah perlu dapat hadiah masing-masing.

“Saya akan semak hari Isnin ini,” katanya selepas merasmikan Selangor Agrofest di Kompleks Sukan Kuala Selangor, di sini hari ini.

Sebelum ini, portal Free Malaysia Today melaporkan seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Shahrul Rock memuat naik status mendakwa pemenang Hadiah Sastera SelangorKini masih tidak menerima cek kemenangan meskipun keputusan pemenang sudah diumumkan.

Hadiah Sastera Selangorkini adalah kumpulan semua karya terbitan akhbar rasmi Kerajaan Selangor, Selangorkini.

IMG_5578Hadiah keseluruhan bernilai RM27,000 disediakan untuk setiap genre membabitkan cerpen, sajak dan esei.

Seorang pemenang bagi setiap kategori menerima hadiah utama bernilai RM5,000, manakala empat karya saguhati RM1,000.

Keputusan pertandingan itu diumumkan pada 8 Disember lalu.

Categories
SELANGOR

MB: Bengkel khas bincang isu vape awal 2016

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 DIS: Kerajaan Selangor akan mengadakan satu bengkel khusus bagi membincangkan isu penggunaan rokok elektronik atau vape sebelum memutuskan pendirian untuk mengharamkannya atau tidak.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata bengkel itu akan diadakan awal tahun hadapan dan dikendalikan Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak akan membuat keputusan terburu-buru, namun aspek kesihatan sosial akan diberi keutamaan.

MOHAMED AZMIN“Semalam dalam mesyuarat Exco kita putuskan supaya Exco Kesihatan, Dr Daroyah mengadakan satu bengkel awal tahun hadapan melibatkan Kementerian Kesihatan, pertubuhan belia dan beberapa badan bukan kerajaan untuk melihat kesan penggunaan vape terhadap kesihatan.

“Kita akan melihat rumusan bengkel itu sebelum sebarang keputusan diambil kerana tidak mahu mengambil tindakan tergesa-gesa tanpa mendapat maklum balas daripada profesional khususnya doktor, kementerian dan belia.

“Kita dengar dahulu pandangan mereka sebab kesihatan rakyat perlu diutamakan dan tidak mahu ada kesan sosial jika perkara ini tidak ditangani dengan baik,” katanya kepada media di lobi SUK Selangor, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kelantan dan Johor mengambil pendirian mengharamkan penggunaan vape dan pengusaha diminta mengosongkan premis atau berdepan tindakan undang-undang.

-NFN-