Categories
SELANGOR

Penganjur Malaysia-Barcelona FC beri cek tendang, MBSA rugi RM322,471

MALAYSIA BARCELONASHAH ALAM 25 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerugian RM322,471 berikutan penganjur perlawanan persahabatan bola sepak antara Malaysia dengan FC Barcelona menggunakan cek tendang.

Cek itu adalah bayaran penyewaan Stadium Shah Alam daripada penganjur BSC Soccer (M) Sdn Bhd pada perlawanan 10 Ogos lalu.

Hal itu disedari 20 Ogos lalu apabila bank memaklumkan cek yang dideposit MBSA tidak boleh ditunaikan kerana memerlukan tandatangan pihak kedua dari penganjur.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, berkata MBSA sudah membuat laporan polis selain membawa perkara itu kepada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MBSA hari ini, beliau berkata, penganjur juga boleh disenarai hitam dari menganjurkan sebarang acara khususnya membabitkan sukan bola sepak di Selangor.

“Penganjur dikenakan bayaran sewaan penggunaan Stadium Shah Alam RM300,000 untuk perlawanan sebenar dan RM42,471 untuk latihan pasukan Barcelona.

“Penganjur hanya bayar RM20,000 untuk penyewaan stadium untuk latihan dan cek tendang bernilai RM300,000 pula diberi kepada MBSA sebaik sahaja perlawanan persahabatan berakhir,” katanya

Selain kerugian hasil sewaan, Mohd Jaafar berkata, MBSA juga terpaksa menanggung kos kerja pembersihan dan lampu sorot stadium.

– FZL

Categories
SELANGOR

Indeks jenayah bandar raya Shah Alam turun 30 peratus

mbsaSHAH ALAM, 25 SEPT: Data polis menunjukkan indeks jenayah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkurangan sebanyak 245.28 kes bagi setiap 100,000 penduduk antara Januari hingga OGos berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengurangan sebanyak 30.48 peratus itu membuktikan MBSA mencapai sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sebanyak lima peratus.

MBSA juga mencatatkan pengurangan bagi indeks jenayah jalanan apabila mencatatkan pengurangan 36.78 peratus mengatasi 20 peratus yang ditetapkan.

Ia dinyatakan dalam Mesyuarat Majlis MBSA kali ke-9 bagi 2012/ 2013 hari ini di Wisma MBSA di sini, bagi membincangkan jalan penyelesaian bagi isu yang dibangkitkan ahli majlis.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, berkata, kejayaan itu diraih hasil kerjasama pihak keselamatan dan orang ramai dalam membendung kejadian jenayah.

“Ini hasil usahasama kita dengan polis seperti meningkatkan pencahayaan dengan memasang lampu dan menambahkan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik.

“Kerjasama orang ramai juga penting,” katanya sambil menambah ia sebahagian dari kejayaan inisiatif  Shah Alam sebagai bandar selamat.

– FZL

<center><iframe width=”420″ height=”315″ src=”//www.youtube.com/embed/CBGzkfHh7Ws” frameborder=”0″ allowfullscreen></iframe></center>

Categories
NASIONAL SELANGOR

MBSA tingkatkan Stadium Shah Alam jadi ‘venue’ terbaik

stadium

SHAH ALAM 19 OGOS : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sentiasa meningkatkan kualiti Stadium Shah Alam agar menjadi stadium terbaik di Malaysia.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, MBSA mengambil berat kemudahan stadium berkenaan sentiasa berada dalam keadaan terbaik apabila diperlukan.

“MBSA sentiasa bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah pertandingan bola sepak jika diperlukan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui melawat stadium berkenaan.

Katanya, MBSA tiada halangan jika stadium berkenaan dipilih menjadi ‘venue’ utama perlawanan bola sepak domestik dan antarabangsa berikutan penutupan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

“Stadium Shah Alam kini menjadi tumpuan kepada persatuan sukan dan juga pihak pengurusan acara untuk menganjurkan pertandingan bola sepak bertaraf antarabangsa,” ujarnya.

Turut hadir, Jamsari Khamin, Pengurus Bahagian Pengurusan Stadium, Pengarah-pengarah jabatan serta ahli-ahli Majlis MBSA.

Stadium yang berusia 19 tahun itu bakal menjadi tuan rumah kepada perlawanan akhir Piala Malaysia, Piala Asian (AFC) serta Piala Sultan Selangor.

Ini berikutan arahan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang menutup SNBJ serta merta bagi kerja-kerja baik pulih padang stadium berkenaan yang dijangka bermula selewat-lewatnya awal November ini.

Berkeluasan 155,000 kaki persegi, stadium berkenaan boleh memuatkan seramai 80,000 penonton dalam satu-satu masa.

Mengulas lanjut, Mohd Jaafar berkata, MBSA bersedia membantu daripada aspek kepakaran penjagaan padang jika diperlukan pihak SNBJ.

– HM

Categories
NASIONAL SELANGOR

MBSA Edar 370 Topi Keledar Percuma

MBSA Topi 01

SHAH ALAM, 3 OGOS : Dalam usaha mendidik masyarakat terutamanya penunggang motosikal supaya berhati-hati dan mementingkan keselamatan khususnya menjelang Aidilfitri, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil inisiatif dengan mengedarkan 370 topi keledar secara percuma.

Pengedaran topi keledar itu adalah bersempena Kempen Selamat Pulang ke Kampung anjuran MBSA dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalanraya Selangor (JKJR), Sirim QAS International Sdn Bhd dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, kempen kali ketiga itu bertujuan memupuk kesedaran kepada penunggang motosikal supaya menggunakan topi keledar yang disahkan selamat mengikut piawaian yang ditetapkan.

Menurutnya, kempen ini mensasarkan pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, pekerja industri dan orang perseorangan.

“Melalui kempen ini, topi keledar akan diedarkan kepada orang ramai dengan menggunakan konsep pertukaran topi keledar lama yang tidak lagi menepati spesifikasi keselamatan kepada yang baru.

MBSA Topi 02

“Kempen ini mendapat sambutan yang sangat baik daripada orang ramai dan diharapkan orang ramai sentiasa berhati-hati semasa berada di jalan raya,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan kempen itu di perhentian bas Jalan Persiaran Kayangan, Seksyen 7, di sini.

Katanya, kempen ini akan terus diperkasakan di masa akan datang melalui kerjasama dengan agensi dan badan bukan kerajaan (NGO).

Selain pengedaran topi keledar, Mohd Jaafar turut menyerahkan 500 pek bubur lambuk kepada penunggang motosikal dan orang ramai.