Categories
AGENDA NASIONAL

Anggota polis putus dua jari kaki dilanggar penunggang panik

KUALA LUMPUR, 8 APRIL: Tindakan seorang penunggang yang panik kerana memiliki dadah dan cuba melarikan diri selepas melihat pemeriksaan mengejut polis di lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan menghala Shah Alam menyebabkan seorang anggota polis kehilangan dua jari kaki kirinya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintenden Ku Mashariman Ku Mahmood berkata insiden itu berlaku pada kira-kira 1.20 tengah hari semalam selepas suspek melanggar seorang anggota polis di hadapannya yang sedang menjalankan tugas bersama pasukan ronda cegah jenayah dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Beliau berkata anggota polis berusia 34 tahun berpangkat Koperal itu kini menerima rawatan di sebuah hospital di Shah Alam dan suspek yang berusia 49 tahun ditahan selepas polis menjumpai dadah disyaki heroin seberat 11.89 gram dan sebotol cecair dipercayai air ketum.

“Hasil ujian saringan air kencing suspek didapat negatif dadah serta tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau manakala permohonan reman suspek akan dibuat pada esok (hari ini),” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Ku Mashariman berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ kaji cadangan remaja hanya tunggang motosikal bawah 70cc

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan meneliti cadangan dikemukakan oleh polis yang mahu syarat lesen memandu dipinda dengan memastikan pemilik berusia 16 hingga 20 tahun hanya dibenarkan menunggang motosikal kategori bawah 70cc menjelang 2025.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia dan Jabatan Kerja Raya sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Saranan itu dilakukan berikutan peningkatan kes kemalangan dan kadar kematian penunggang motosikal berkuasa besar melibatkan remaja berusia lingkungan 16 hingga 20 tahun,” katanya, di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan polis bercadang mengkategorikan permohonan lesen baharu mensyaratkan remaja berusia 16 hingga 20 tahun hanya menunggang motosikal berkuasa bawah 70cc menjelang 2025.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata JPJ akan melancarkan sistem MyQ yang mampu mengurangkan kesesakan kepada pelanggan ketika berurusan di kaunter dan projek rintis akan dilaksana pada pertengahan bulan ini di cawangan JPJ terpilih.

Ini katanya antara usaha pendigitalan jabatan itu selari dengan amalan norma baharu dan prosedur operasi standard yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

– BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

MBSA Edar 370 Topi Keledar Percuma

MBSA Topi 01

SHAH ALAM, 3 OGOS : Dalam usaha mendidik masyarakat terutamanya penunggang motosikal supaya berhati-hati dan mementingkan keselamatan khususnya menjelang Aidilfitri, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil inisiatif dengan mengedarkan 370 topi keledar secara percuma.

Pengedaran topi keledar itu adalah bersempena Kempen Selamat Pulang ke Kampung anjuran MBSA dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalanraya Selangor (JKJR), Sirim QAS International Sdn Bhd dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, kempen kali ketiga itu bertujuan memupuk kesedaran kepada penunggang motosikal supaya menggunakan topi keledar yang disahkan selamat mengikut piawaian yang ditetapkan.

Menurutnya, kempen ini mensasarkan pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, pekerja industri dan orang perseorangan.

“Melalui kempen ini, topi keledar akan diedarkan kepada orang ramai dengan menggunakan konsep pertukaran topi keledar lama yang tidak lagi menepati spesifikasi keselamatan kepada yang baru.

MBSA Topi 02

“Kempen ini mendapat sambutan yang sangat baik daripada orang ramai dan diharapkan orang ramai sentiasa berhati-hati semasa berada di jalan raya,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan kempen itu di perhentian bas Jalan Persiaran Kayangan, Seksyen 7, di sini.

Katanya, kempen ini akan terus diperkasakan di masa akan datang melalui kerjasama dengan agensi dan badan bukan kerajaan (NGO).

Selain pengedaran topi keledar, Mohd Jaafar turut menyerahkan 500 pek bubur lambuk kepada penunggang motosikal dan orang ramai.