Categories
NASIONAL

Sifar Malaria 2020: Malaysia di landasan betul

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 5 MEI: Malaysia berada di landasan betul ke arah eliminasi malaria iaitu sifar malaria manusia jangkitan tempatan (human indigenous malaria) menjelang 2020.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes terbabit berjaya dikurangkan menerusi menerusi Inisiatif Program Eliminasi Malaria iaitu daripada 4,164 kes pada 2011 kepada sifar kes pada tahun lalu.

Katanya, sehubungan itu, Malaysia ketika ini berada pada landasan betul menuju ke arah
sifar malaria manusia jangkitan tempatan menjelang 2020 seperti ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Bagi memastikan Malaysia mencapai sasaran eliminasi dan mendapat pensijilan pengiktirafan daripada WHO, kita perlu mengekalkan status ini untuk tiga tahun berturut-turut.

“Malaysia adalah salah sebuah negara yang mempunyai sistem kesihatan terbaik di dunia dan berupaya untuk mengekang kemasukan semula kes malaria ke negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian sempena Hari Malaria Sedunia yang disambut pada 25 April setiap tahun bagi mengiktiraf usaha global dalam mengawal penyakit Malaria.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata tema sambutan pada kali ini adalah ‘Sifar Malaria Bermula Dengan Kita’.

Katanya, Kementerian Kesihatan memerlukan pembabitan semua pihak terutamanya sektor industri seperti perladangan, perhutanan, pertanian, kawalan keselamatan dan rekreasi hutan bagi memastikan perlindungan diberikan kepada pekerja daripada jangkitan malaria.

“Antara tindakan yang boleh diambil ialah membekalkan kelambu berubat atau ubat pencegahan jangkitan malaria kepada pekerja.

“Kami turut berharap sektor perindustrian dapat memastikan semua pekerja asing melalui pemeriksaan perubatan termasuk saringan malaria mengikut polisi ditetapkan kerajaan.

“Pada masa yang sama, mereka juga perlu menyediakan atau mempermudahkan akses kepada perkhidmatan kesihatan kepada pekerja masing-masing yang mengalami gejala malaria,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Malaysia perlu 200 pakar neurologi rawat strok

GEORGE TOWN, 20 APRIL: Malaysia memerlukan 200 lagi pakar neurologi untuk memastikan jumlah pesakit strok yang kian meningkat akan mendapat rawatan yang secukupnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 92 pesakit strok dimasukkan ke hospital setiap hari dan kini negara hanya mempunyai 107 pakar neurologi.

Katanya, Kementerian Kesihatan mempunyai 50 pakar dan pelatih neurologi, universiti mempunyai 33 pakar dan pelatih neurologi manakala seramai 24 pakar neurologi adalah daripada sektor swasta.

“Secara keseluruhan, 107 (pakar) neurologi memang tidak mencukupi untuk memberikan perkhidmatan kepada jumlah kes strok yang besar dan kita perlukan 200 pakar neurologi lagi tetapi bukan hanya tertumpu di hospital besar tetapi juga hospital-hospital lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Strok Malaysia yang pertama di sini hari ini.

Katanya, rekod pada 2016 menunjukkan bahawa seramai 33,812 pesakit strok dimasukkan ke hospital dengan kos implikasi kepada kementerian adalah sebanyak RM180 juta.

Bagaimanapun, beliau berkata sasaran itu mungkin hanya akan tercapai dalam tempoh empat hingga enam tahun lagi kerana untuk melatih pakar neurologi ini mengambil masa yang panjang.

Katanya, pada masa ini, kementerian mengambil langkah mengembang tenaga kepakaran dalam bidang lain yang sedia ada dan bukan hanya tertumpu kepada pakar neurologi untuk menangani pesakit strok.

“Contohnya, sekiranya ada kes strok, pakar kecemasan boleh memberikan rawatan awal perkhidmatan strok di situ dulu sebelum pesakit dirujukkan kepada pakar neurologi.

“Sekarang ini perkhidmatan kita ‘cut across horizontal’, bukan lagi ‘vertical’ yang tertumpu kepada neurologi sahaja, tetapi kita juga perkasakan pakar-pakar dalam bidang lain seperti klinik kesihatan, pakar perubatan keluarga, pakar kecemasan dan pakar perubatan am dalam membawa mereka bersama dalam rawatan pesakit strok,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata setakat ini, semua hospital di seluruh negeri mempunyai pakar neurologi kecuali Kedah dan Perlis yang mana mereka akan dibekal tidak lama lagi.

“Kita sedang melatih 11 pelatih neurologi dan mungkin dalam setahun dua lagi mereka akan menjadi pakar dan kita merancang untuk menempatkan mereka di kedua-dua negeri ini,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Vaksin meningitis palsu tiada dalam pasaran Malaysia – KKM

KUALA LUMPUR, 12 APR: Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan vaksin Mencevax ACWY untuk mencegah meningitis jenis A,C,W dan Y, yang dilapor dipalsukan, tiada dalam pasaran Malaysia.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semakan ‘Vaccine Lot Release’ mendapati vaksin tersebut dengan nombor kelompok yang dinyatakan dalam kenyataan amaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 28 Mac lepas tidak pernah diimport untuk kegunaan rakyat Malaysia.

“Kali terakhir vaksin Mencevax ACWY diimport oleh Malaysia ialah pada Julai 2017. Bagaimanapun status pendaftaran vaksin tersebut telahpun luput pada 31 Mei 2018 dan vaksin itu tidak lagi berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD),” katanya dalam kenyataan di sini.

WHO telah mengeluarkan kenyataan amaran mengenai penemuan vaksin Mencevax ACWY yang dipalsukan di Republik Niger pada 28 Mac lepas.

Dr Noor Hisham berkata, bermula 1 Jan 2015, PKBD mensyaratkan ‘Vaccine Lot Release’ dijalankan sebelum vaksin import dipasarkan bagi memastikan produk vaksin tersebut berkualiti, selamat dan berkesan.

Katanya, pihaknya memandang serius isu vaksin palsu dan pemeriksaan dijalankan dari masa ke masa bagi memastikan tidak ada produk vaksin palsu di pasaran.

Dr Noor Hisham yang juga Pengerusi PBKD turut mengingatkan hospital dan klinik swasta agar membeli stok bekalan vaksin daripada pembekal berlesen dan tidak terpedaya dengan sebarang penawaran vaksin berharga lebih murah.

“Orang awam boleh menghubungi NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara) di talian 03-78835400 sekiranya terdapat vaksin meragukan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
RENCANA

Tibi: Dapatkan rawatan awal, elak komplikasi

OLEH DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH
(Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia)

Hari Tibi Sedunia disambut pada 24 Mac setiap tahun di peringkat global bersempena mengingati penemuan bakteria Tibi pertama oleh Dr. Robert Koch pada 24 Mac 1882. Hari Tibi disambut di peringkat kebangsaan setiap tahun adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, komitmen serta sokongan pelbagai pihak terhadap usaha-usaha pencegahan dan kawalan penyakit Tibi yang dilakukan di seluruh negara.

Tema bagi sambutan Hari Tibi pada tahun 2019 adalah “Inilah Masanya: Kesan, Rawat dan Pastikan Sembuh Tibi”. Tema ini membawa maksud individu yang mempunyai tanda-tanda penyakit tibi seperti batuk-batuk yang berpanjangan melebihi dua (2) minggu, demam, berpeluh waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah perlulah tampil ke klinik kesihatan dan melakukan ujian saringan Tibi iaitu pemeriksaan kahak menggunakan mikroskop dan ujian x-ray dada. Terdapat segelintir masyarakat beranggapan bahawa batuk tersebut adalah ‘batuk biasa’ yang akan ‘sembuh’ dengan mengambil ubatan antibiotik selama satu minggu sahaja. Anggapan salah seperti inilah menjadikan penyakit Tibi masih merebak di udara dan boleh menjangkiti individu yang lain. Hakikatnya ubat-ubatan Tibi perlu diambil setiap hari selama sekurang-kurangnya selama enam bulan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan hampir 10 juta kes Tibi baru di seluruh dunia bagi tahun 2017 dan 1.3 juta kematian yang disebabkan oleh penyakit Tibi. Bagi Malaysia, pada tahun 2018, terdapat 25,837 kes Tibi telah dilaporkan, iaitu penurunan sebanyak 1.3% berbanding 26,168 kes pada tahun 2017. Kadar kematian Tibi pada tahun 2018 adalah 6.6 setiap 100,000 penduduk dan telah meningkat berbanding 6.5 setiap 100,000 penduduk pada tahun 2017. Analisa hasil rawatan bagi kes Tibi berdaftar bagi tahun 2017 menunjukkan terdapat 1 kes kematian dalam setiap 10 kes berdaftar. Sehubungan itu, adalah penting pesakit mendapatkan rawatan awal bagi mengelakkan komplikasi dan kematian akibat penyakit Tibi dan pada masa yang sama bagi mencegah penularan kepada orang lain.

Hebahan mengenai penyakit Tibi akan diteruskan agar maklumat mengenai penyakit ini dapat dihayati oleh segenap lapisan masyarakat. Stigma dan salah faham berkaitan penyakit Tibi perlu diperbetulkan. Pihak kementerian menyeru komitmen semua pihak yang memberi perkhidmatan kesihatan berkaitan penyakit Tibi di negara ini termasuklah fasiliti kesihatan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGOs), kerajaan tempatan dan masyarakat setempat untuk bersama-sama berganding bahu dalam membanteras penyakit bagi menjamin kesihatan rakyat tanpa Tibi. Dengan komitmen yang tinggi oleh semua, hasrat Malaysia untuk bebas Tibi satu hari nanti akan menjadi kenyataan.

 

Categories
NASIONAL

Cuaca panas: Kurangkan aktiviti fizikal, luar bangunan

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia menasihatkan orang ramai terutama di kawasan yang merekodkan kualiti udara tidak sihat dan cuaca panas, antara lain ​​​​​mengurangkan aktiviti fizikal yang boleh menyebabkan peningkatan kadar pernafasan dan metabolisma badan.

Selain itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah meminta orang ramai supaya mengurangkan aktiviti di luar bangunan atau menggunakan penutup hidung dan mulut (face mask), payung dan topi ​​sekiranya berada di luar.

“Tutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan dan elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman,” katanya.

Dr Noor Hisham turut menasihatkan ​​​orang ramai untuk lebih kerap meminum air kosong bagi mengekalkan tahap hidrasi dan mendapatkan rawatan segera sekiranya tidak sihat.

“Jika mampu pasanglah alat pendingin hawa dan penapis udara yang berkecekapan tinggi di rumah bagi menapis partikel halus dan menghalang kemasukan pencemaran udara dari luar,” katanya.

Berdasarkan pemantauan status gelombang haba oleh Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, ​​​​​​​terdapat​​​​​​​ 11 kawasan di enam negeri dilapor berada pada paras berjaga-jaga atau Tahap Satu dengan suhu mencecah antara 35 dan 37 darjah Celcius.

Kawasan ini ialah Chuping di Perlis; Pendang, Sik, Kota Setar ​​​​​​​​​​​​​​(Kedah); Hulu Perak dan Kinta (Perak); Jerantut (Pahang); Jeli, Gua Musang dan Kuala Krai (Kelantan); dan Tangkak di Johor.

Semalam, Jabatan Alam Sekitar turut melaporkan berlaku kemerosotan kualiti udara dengan keadaan berjerebu di beberapa kawasan berpunca daripada beberapa kejadian kebakaran hutan dan belukar ​​​​​​​sebelum ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Remaja perempuan antara tiga kes baharu difteria di Johor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 MAC: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dikesan antara mangsa terbaharu difteria di Johor Bahru, Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, remaja itu juga di antara tiga lagi kes terbaharu difteria di negeri itu setakat semalam, membabitkan seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia empat tahun.

“Kanak-kanak perempuan berkenaan adalah kakak kepada kanak-kanak lelaki yang meninggal dunia akibat diifteria pada 23 Februari lalu dan semua mereka dijangkiti tinggal di rumah yang sama.

“Semua kes sudah menerima rawatan di hospital dan dalam keadaan stabil, sementara satu kes dibenarkan pulang ke rumah manakala dua lagi kes masih dirawat di hospital,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan difteria.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, lapan lagi individu yang tidak mempunyai gejala difteria yang tinggal serumah dengan mangsa kematian turut diberi rawatan antibiotik sebagai profilaksis (pencegahan).

“Keadaan kesihatan mereka dipantau secara harian oleh Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru selama 14 hari. Tiada kes baharu dilaporkan dan kejadian adalah terkawal.

“Susulan kejadian wabak difteria di Johor ini, Kementerian Kesihatan (KKM) ingin menegaskan kepentingan pemberian imunisasi bagi mencegah penyakit berjangkit yang boleh dicegah oleh vaksin seperti difteria, demam campak, batuk kokol dan lain-lain,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak mereka mendapatkan imunisasi mengikut jadual ditetapkan KKM dan bagi kanak-kanak yang tercicir suntikan, perkhidmatan imunisasi boleh didapati daripada fasiliti kesihatan terdekat.

Categories
NASIONAL

Tanjung Sepat catat 23 kes Chikungunya

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 FEB: Tanjung Sepat mencatatkan sebanyak 23 kes Chikungunya sekali gus menjadikan Selangor paling tinggi mencatatkan kes berkenaan.

Ia kemudiannya diikuti Melaka dengan sembilan kes, Kelantan (enam) sementara Perlis (satu).

Jumlah kes itu direkodkan bermula dari 29 Januari hingga 7 Februari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan telah mengambil maklum adanya kes Chikungunya di kalangan penduduk di Tanjung Sepat, Kuala Langat.

“Gejala yang dialami adalah demam, sakit sendi dan ruam namun semua kes dirawat sebagai pesakit luar dan tiada kematian yang dilaporkan,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan telah menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan dengan sebanyak 1,740 rumah telah dibuat semburan kabus terutamanya di kawasan kejadian.

Didapati kawasan berkenaan mempunyai kadar pembiakan Aedes yang tinggi iaitu 3.8 peratus.

Kementerian Kesihatan menyeru semua masyarakat dan jawatankuasa penduduk untuk meningkatkan aktiviti pembersihan persekitaran bagi memusnahkan tempat pembiakan Aedes di tempat masing-masing.

Pembabitan masyarakat dalam memastikan persekitaran bersih dan bebas dari pembiakan Aedes akan dapat mencegah penularan penyakit Chikungunya, Denggi dan Zika.

Categories
NASIONAL

Jangan terpedaya propaganda tolak vaksin

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 JAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang awam supaya tidak terpengaruh dengan perkongsian maklumat tidak sahih berkaitan vaksin khususnya di laman sosial.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia termasuk dakwaan kononnya Program Imunisasi Kebangsaan dilaksanakan kerajaan tidak memberi manfaat serta menimbulkan banyak kesan buruk.

“Pemantauan KKM mendapati wujud ibu bapa menolak pemberian vaksin kepada anak mereka setelah terpengaruh dengan maklumat tidak tepat yang disebarkan.

“Jika situasi penolakan vaksin ini berterusan, kemungkinan penyakit-penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin akan terus meningkat dan usaha kerajaan dalam mengukuhkan Program Imunisasi Kebangsaan serta usaha advokasi bagi mencegah penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin selama ini menjadi sia-sia,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, katanya kes penolakan vaksin pada 2017 sedikit menurun iaitu kepada 1,404 kes berikutan usaha-usaha advokasi yang dijalankan KKM secara meluas bersama agensi awam dan swasta termasuk pertubuhan bukan kerajaan serta sukarelawan kumpulan media sosial perubatan.

“Bilangan kes penolakan vaksin yang direkodkan di klinik-klinik kerajaan terus meningkat iaitu daripada 637 kes pada tahun 2013 kepada 1,603 kes pada 2016,” katanya.

Noor Hisham berkata, pihaknya memantau penyebaran maklumat tidak sahih ini kerana ia memberikan kesan terhadap usaha KKM dalam mengekang peningkatan kes-kes berjangkit yang boleh dicegah oleh vaksin malahan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengenal pasti penolakan vaksin sebagai salah satu ancaman kesihatan global bagi tahun 2019.

“Penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin meningkat di negara ini, dengan kes demam campak meningkat daripada 195 kes pada 2013 kepada 1,934 kes pada 2018, iaitu peningkatan 891.8 peratus bagi tempoh lima tahun.

“Bilangan kes demam campak (measles) yang tiada imunisasi meningkat daripada 125 kes (68.7%) pada 2013 kepada 1,467 kes (75.9%) pada 2018.

“Pada 2018, KKM merekodkan enam kematian demam campak di mana semua kes tiada imunisasi, lima kematian difteria dengan empat kes tiada imunisasi, manakala 22 kematian batuk kokol (pertussis) membabitkan 19 kes tiada imunisasi,” katanya.

Untuk rekod, pemberian imunisasi boleh mencegah penyakit–penyakit tertentu selain berfungsi mengurangkan komplikasi yang boleh membawa kematian.

Ketika ini, Program Imunisasi Kebangsaan mampu mencegah 12 jenis penyakit berjangkit disebabkan bakteria dan virus tertentu malahan diberikan secara percuma kepada bayi serta kanak-kanak warganegara di klinik-klinik kerajaan sejak 1950an.

“Dengan program imunisasi dan peningkatan capaian perkhidmatan kesihatan, Malaysia berjaya menurunkan kadar kematian kanak-kanak sebanyak 85 peratus bagi tempoh 1970 hingga 2017, daripada 55.9 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup kepada hanya 8.4 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup.

“Imunisasi juga berjaya membasmi cacar (smallpox) dari dunia ini manakala penyakit polio telah berjaya dibasmi di Malaysia,” katanya.

Categories
NASIONAL

Warga emas maut akibat virus rabies di Sarawak

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 JAN: Seorang wanita warga emas berusia 80 tahun meninggal dunia akibat virus rabies di Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa sebelum ini cedera di bahagian tangan kiri akibat dicakar oleh anjing peliharaannya pada Disember tahun lalu.

Katanya, ia berlaku semasa beliau cuba meleraikan pergaduhan anjing terbabit dengan seekor kucing peliharaannya.

“Kemudiannya pada 11 Januari lalu, mangsa mengalami demam, batuk, muntah, lesu, sakit badan dan rasa lemah pada tangan kiri serta telah mendapatkan rawatan di klinik swasta pada hari yang sama.

“Bagaimanapun, mangsa tidak memaklumkan telah digigit oleh anjing. Mangsa telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak pada 14 Januari lalu oleh klinik swasta yang sama apabila gejala tidak berkurangan semasa beliau mendapatkan rawatan ulangan.

“Namun mangsa meninggal dunia pada 18 Januari lalu jam 9.35 pagi. Sampel klinikal kes telah disahkan positif rabies oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata, dengan pengesahan kes terbaharu itu, kes disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak semenjak pengisytiharan wabak pada 1 Julai 2017 sehingga 18 Januari lalu adalah 17 kes termasuk 16 kematian.

Katanya, orang awam perlu mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di klinik atau hospital kerajaan yang berdekatan sekiranya terkena gigitan.

“Orang ramai juga diminta untuk membawa haiwan peliharaan untuk diberi vaksin anti-rabies dan tidak membiarkannya berkeliaran atau bergaul dengan haiwan liar.

“Jangan mengambil anjing liar yang tidak diketahui status vaksinasinya untuk dipelihara. Selain itu, elakkan diri daripada digigit anjing atau haiwan liar,” katanya.

Categories
NASIONAL

Tempat larangan merokok berkuatkuasa tengah malam ini

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 31 DIS: Berkuatkuasa mulai jam 12 tengah malam ini, semua premis makanan adalah diwartakan sebagai tempat larangan merokok, selari dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pindaan pewartaan itu dilaksanakan di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004) bertujuan melindungi orang awam, terutama golongan bukan perokok daripada terdedah kepada bahaya asap rokok.

Katanya, orang ramai diminta untuk tidak merokok di semua tempat makan sama ada berhawa dingin dan tidak berhawa dingin, termasuk di dalam dan luar bangunan kawasan kedai makan, restoran serta medan selera.

“Larangan ini juga meliputi semua gerai makan dan kenderaan bergerak yang menyediakan kemudahan meja dan kerusi untuk makan dan minum serta semua restoran yang berada di atas kapal dan kereta api.

“Pihak Kementerian Kesihatan sentiasa komited bagi memastikan orang awam terutama kanak-kanak, wanita mengandung dan orang tua sentiasa dilindungi daripada bahaya asap rokok,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan sama, Dr Noor Hisham turut menasihatkan semua pemilik dan pengusaha premis makanan supaya mempamerkan tanda larangan merokok yang jelas selain mengambil langkah bagi memastikan tiada individu merokok dengan tidak menyediakan kemudahan seperti bekas abu rokok.

Katanya, mana-mana individu didapati melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

“Bagi semua pemilik, pengusaha atau tuan punya permis atau kenderaan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok yang jelas boleh dikenakan tindakan denda sehingga RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan di bawah Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

“Sementara itu, bagi kesalahan gagal memastikan tiada orang merokok dan menyediakan kemudahan untuk merokok boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga setahun,” katanya.

Oktober lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata akan mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini berkuatkuasa 1 Januari 2019.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye dilaporkan berkata, cadangan terbabit sudah diluluskan di peringkat Parlimen dan akan berkuatkuasa tahun hadapan.

Categories
NASIONAL

Tiada produk Irbesartan di Malaysia ditarik balik

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan tiada sebarang penarikan semula produk Irbesartan di Malaysia kerana tidak dipasarkan ke negara ini susulan notis dikeluarkan United States Food and Drug Administration (USFDA).

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga produk dimaksudkan adalah Irbesartan Tablets USP 75mg, Irbesartan Tablets USP 150mg dan Irbesartan Tablets USP 300mg melibatkan 22 kelompok kerana kehadiran impurityN-nitrosodiethylamine (NDEA).

“NDEA berkemungkinan boleh menyebabkan kanser kepada pengguna dalam jangka masa panjang.

“Produk-produk ini dikilangkan oleh ScieGen Pharmaceutical, Inc. New York dan bahan aktifnya dikilangkan oleh Aurobindo Pharma Limited., India.

“Tablet Irbesartan digunakan dalam rawatan tekanan darah tinggi dan/atau penurunan fungsi buah pinggang akibat komplikasi kencing manis,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, produk berdaftar di Malaysia dinilai dari aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan sebelum produk tersebut diluluskan untuk pendaftaran.

“Pengawasan mutu produk berdaftar di pasaran turut dilakukan bagi memastikan produk mematuhi piawaian yang ditetapkan. Orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan produk yang berdaftar dengan PBKD.

“Semakan status pendaftaran sesuatu produk boleh dibuat melalui laman sesawang NPRA di www.npra.gov.myatau melalui applikasi NPRA Product Status yang boleh dimuat turun di Google Play,” katanya.

Categories
NASIONAL

Arak metanol: KKM sahkan 19 maut, 14 kritikal

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 SEPT: Seramai 19 individu di sekitar Lembah Klang, maut selepas minum arak yang mengandungi metanol, manakala 14 orang kritikal dan sembilan lagi dimasukkan ke wad untuk pemerhatian.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM menerima 51 notifikasi kes keracunan dengan 45 kes dilaporkan di Selangor, manakala enam kes dilaporkan di ibu negara.

“Tiga kes membabitkan rakyat tempatan manakala seramai 51 lagi membabitkan warga Myanmar, Nepal, Bangladesh dan India.

“KKM menjangkakan jumlah pesakit akan meningkat berikutan terdapat ramai pesakit datang bagi mendapatkan rawatan bagi kes keracunan metanol berkenaan.

“Semua mereka mempunyai sejarah pengambilan cecair beralkohol yang mengandungi bahan beracun berkenaan,” katanya satu kenyataan.

Noor Hisham berkata, semua terbabit menunjukkan tanda dan gejala seperti sakit perut, loya, muntah, sakit kepala, kabur penglihatan dan ada yang mengalami sesak nafas, kekejangan serta tidak sedarkan diri.

Katanya, gejala atau tanda awal itu dialami dalam tempoh satu atau dua hari selepas mengambil minuman berkenaan.

“Hasil siasatan dijalankan Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur, Jabatan Kesihatan Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah terbabit mendapati semua pesakit membeli minuman sebatian keras di premis sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Laporan polis sudah dibuat KKM bagi mengenal pasti pengedar serta pengilang minuman itu termasuk mengenal pasti punca keracunan seterusnya menyekat pembekalan sebatian minuman keras yang tercemar itu di pasaran,” katanya.

Pada masa sama, katanya, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sedang mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas produk minuman beralkohol yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983 serta yang tidak mematuhi keperluan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Mengikut Seksyen 13, Akta Makanan 1983, individu menyediakan atau menjual apa-apa makanan mengandungi bahan beracun, merosakkan atau memudaratkan kesihatan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, KKM menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil sebarang minuman beralkohol yang mungkin mengandungi metanol.

“KKM terus bekerjasama dengan polis serta agensi terbabit bagi mengawal serta memantau perkembangan situasi kejadian keracunan itu.

“Situasi terkini kejadian akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa,” katanya.