Categories
NASIONAL

Pendakwaan kemuka rayuan penangguhan kes Najib

PUTRAJAYA, 25 FEB: Pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguhkan perbicaraannya berhubung tujuh tuduhan berkaitan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC International).

Notis rayuan itu difailkan pada 12 Februari lalu.

Pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar, Azniza Mohd Ali berlangsung hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lutfi Mohamed berkata, rayuan pendakwaan itu akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada 8 April ini.

Beliau berkata, pendakwaan perlu menunggu alasan penghakiman Mahkamah Rayuan sebelum dapat memfailkan petisyen rayuan.

Sementara itu, peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee berkata, pihak pembelaan juga memerlukan alasan penghakiman untuk menolak rayuan berkenaan.

Pada 11 Februari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Ahmadi Asnawi, membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sementara perbicaraan sehingga menunggu keputusan rayuannya berhubung penarikan balik sijil pemindahan tujuh dakwaannya oleh pendakwa raya.

Berikutan keputusan Mahkamah Rayuan itu, perbicaraan Najib tidak berjalan pada 12 Februari dan Mahkamah Tinggi menetapkan 13 Mac untuk pengurusan kes.

Pada 4 Julai tahun lalu, Ahli Parlimen Pekan berusia 66 tahun itu dikenakan tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa untuk sogokan membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos tahun lalu, beliau dikenakan lagi tuduhan di Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama dari dana sama.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kes baharu pengubahan wang haram Najib dipindah ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa kes mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan tiga pertuduhan tambahan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta, telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup memaklumkan perkara itu ketika sebutan kes di hadapan Hakim Azura Alwi, yang turut dihadiri peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.

Manoj berkata, pada 11 Februari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes dihadapi mantan Perdana Menteri itu dipindahkan daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun tarikh sebutan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi masih belum ditetapkan.

Hakim Azura kemudiannya memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Pada 8 Februari lalu, Najib, 66, didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini dengan tiga pertuduhan tambahan pengubahan wang haram membabitkan dana berjumlah RM27 juta, lima tahun lalu.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan berkenaan, Najib didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima masing-masing RM27 juta, RM10 juta dan RM10 juta yang adalah hasil daripada aktiviti haram dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Anggota Parlimen Pekan itu dituduh melakukan semua kesalahan di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu di Mahkamah Tinggi, Hakim Mohd Nazlan menetapkan 13 Mac depan untuk pengurusan kes Najib, yang berdepan tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta selepas Peguam Negara Tommy Thomas memohon tarikh berkenaan ketika sebutan kes itu, hari ini.

Thomas, yang mengetuai pasukan pendakwaan turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa rayuan Najib telah ditetapkan untuk pendengaran pada 11 dan 12 Mac ini di Mahkamah Rayuan.

Pada tarikh berkenaan, Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Najib berhubung perintah larangan ke atas media untuk membincangkan merit kes jenayah beliau; penzahiran dokumen dan pernyataan serta tindakan beliau mencabar pelantikan peguam Datuk Sulaiman Abdullah sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes membabitkan tujuh pertuduhan berkaitan SRC International.

Mahkamah Rayuan juga akan mendengar rayuan Najib ke atas penarikan balik sijil pemindahan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kes baharu pengubahan wang haram Najib ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Kes mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan tiga pertuduhan tambahan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang diketuai Peguam Negara, Tommy Thomas untuk memindahkan kes itu daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun Mohd Nazlan menolak permohonan Thomas agar tiga pertuduhan tambahan terbabit dibicarakan bersama dengan tiga lagi kes (pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram) yang dihadapi Najib.

“Saya tidak mempunyai masalah dengan pemindahan kes, namun isu perbicaraan bersama ini adalah pramatang kerana ia bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi yang mendengar kes itu,” katanya, lapor BERNAMA.

Terdahulu, Thomas memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan memohon untuk memindahkan kes Najib menurut Seksyen 417(1)(e) Kanun Tatacara Jenayah.

Thomas berkata, pemindahan kes akan mempercepatkan proses keadilan memandangkan kes terbabit mempunyai maklumat saling berkait, justeru prosiding berasingan di dua mahkamah yang berbeza hierarki tidak akan membawa manfaat kepada sistem keadilan.

Beliau berkata, Najib didakwa dengan tiga pertuduhan menurut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA) di Mahkamah Sesyen pada 8 Februari.

“Beliau (Najib) juga berdepan perbicaraan bersama dalam tiga kes berasingan di mahkamah ini dan perbicaraan akan bermula esok,” katanya.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib membalas bahawa Seksyen 417 tidak ada kena-mengena dengan permohonan perbicaraan bersama.

Muhammad Shafiee juga memohon pihak pendakwaan menyerahkan senarai saksi yang akan dipanggil esok kepada pihak pembelaan.

Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup berkata, pendakwaan telah menyediakan saksi terbabit namun langkah memaklumkannya kepada pihak pembelaan pada masa ini tidak pernah terjadi sebelum ini.

“Mereka hanya akan tahu apabila saksi hadir esok. Jika saya beritahu mereka sekarang, siapa yang saya cadangkan untuk datang esok hanya akan jadi cadangan,”katanya.

Hakim kemudian mengarahkan pendakwaan menyerahkan senarai mereka yang pada masa ini dicadang pendakwaan untuk dipanggil sebagai saksi selepas prosiding di Mahkamah Rayuan petang ini yang ditetapkan bagi mendengar permohonan Najib menangguhkan perbicaraan.

Pada 8 Februari lalu, Najib, 66, didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini dengan tiga pertuduhan tambahan pengubahan wang haram membabitkan dana berjumlah RM27 juta, lima tahun lalu.

Tiga pertuduhan itu mendakwa Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan, terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan menerima masing-masing RM27 juta, RM10 juta dan RM10 juta yang adalah hasil daripada kegiatan haram melalui tiga akaun AmPrivate Banking beliau.

Kesalahan terbabit didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Ambank Group Building, No. 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 menurut Seksyen 4 (1) (a) AMLATFA.

Beliau berdepan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Categories
NASIONAL

Perbicaraan SRC Najib bermula Selasa, pendakwaan bersedia dengan sembilan saksi

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Pada Selasa, seperti ditetapkan sebelum ini, Mahkamah Tinggi di sini dijangka memulakan pendengaran kes membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia pertama yang akan berhadapan dengan berpuluh tuduhan berhubung dengan pengubahan wang haram, jenayah pecah amanah (CBT) dan rasuah.

Tuduhan di mahkamah terhadap Najib, 66, Perdana Menteri keenam dari April 2009 hingga Mei tahun lalu, menarik perhatian seluruh dunia setelah kesnya digambarkan sebagai ‘skandal kleptokrasi paling buruk’ dan tuduhan berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang mendapat perhatian hangat dari masyarakat umum dan antarabangsa, menyebabkan pelbagai spekulasi dan ada yang terpaku oleh kes itu.

Sehingga Jumaat lalu, Najib telah didakwa di mahkamah sebanyak enam kali dengan 42 pertuduhan jenayah. Najib, yang juga mantan Presiden UMNO, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.

Najib, yang juga Ahli Parlimen Pekan, pertama kali dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai tahun lalu untuk menghadapi tiga tuduhan CBT dan salah satu penyalahgunaan kuasa berhubung dengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC International) berjumlah RM42 juta.

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada ketika itu dibanjiri media tempatan dan antarabangsa kerana tidak mahu ketinggalan untuk mengambil gambar dan mendapatkan berita Najib kerana ia akan menjadi perbicaraan bersejarah di negara ini yang mendapat perhatian semua pihak.

Pada 8 Ogos tahun lalu, beliau didakwa lagi di Mahkamah Sesyen terhadap tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dana yang sama.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah menetapkan 33 hari dari 12 hingga 28 Februari dan 4 hingga 29 Mac untuk perbicaraan tujuh tuduhan terhadap Najib membabitkan dana SRC International.

Walaupun terdapat percubaan oleh pasukan pembelaan Najib yang diketuai peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdulah supaya perbicaraan ditangguhkan sementara menunggu rayuan Najib terhadap sijil pemindahan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi, Peguam Negara, Tommy Thomas pada 7 Februari memberitahu hakim bahawa pendakwaan sudah bersedia untuk memulakan kes pendakwaan pada 12 Februari.

“Kenyataan saksi telah disampaikan kepada pembelaan dan sepina juga telah diserahkan kepada saksi,” katanya, sambil menambah bahawa pihak pendakwaan telah mematuhi peraturan di bawah Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah berkenaan dengan penyerahan dokumen.

Sumber memberitahu BERNAMA bahawa pihak pendakwaan siap dengan sembilan saksi untuk memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan itu dan antara mereka pegawai kerajaan.

“Kami bersedia dengan sembilan saksi tetapi ia bergantung kepada bagaimana perbicaraan berlangsung pada hari itu. Kami juga menyediakan kenyataan saksi dan selepas saksi membaca kenyataan mereka, pembelaan akan menyoal balas mereka, ” kata sumber ketika ditanya mengenai prosiding perbicaraan itu nanti.

Sumber juga berkata, sama ada perbicaraan itu akan diteruskan atau tidak pada Selasa, ia bergantung kepada rayuan Najib untuk menangguhkan perbicaraan yang dijadualkan didengar pada petang Isnin di Mahkamah Rayuan.

Najib memohon menangguhkan perbicaraan tujuh pertuduhan itu sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung rayuannya untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan pendakwa raya menarik balik sijil pemindahan.

Mohd Nazlan pada 7 Februari lalu membenarkan permohonan Thomas untuk menarik balik sijil bagi memindahkan tujuh pertuduhan yang dihadapi Najib dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Thomas memaklumkan mahkamah bahawa pendakwaan membuat keputusan itu kerana keputusan Mahkamah Persekutuan di Semenyih Jaya (2017) dan M Indira Gandhi (2018), yang menimbulkan keraguan berkenaan dengan kuasa oleh pendakwa raya untuk memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

“Saya kini menarik balik sijil yang saya keluarkan untuk mengelakkan sebarang kemungkinan argumen bahawa pemindahan itu adalah pembatalan,” kata Thomas.

Najib kemudiannya memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan pada 7 Februari, dalam usaha untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan pendakwa raya untuk menarik balik sijil pemindahan.

Sumber juga memaklumkan bahawa pada Isnin (11 Februari) pihak pendakwaan akan memohon untuk memindahkan tiga tuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi Najib pada 8 Februari dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

“Kami juga akan meminta tiga tuduhan tambahan untuk dibicarakan bersama dengan tiga lagi tuduhan pengubahan wang haram yang dibawa ke mahkamah pada 8 Ogos tahun lalu kerana ia membabitkan dana yang sama (SRC International),” kata sumber itu.

Pada 8 Februari lalu, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan pengubahan wang haram yang membabitkan RM27 juta dana SRC International.

Terdahulu, pada 28 Januari, Najib didakwa atas tuduhan yang sama di Mahkamah Tinggi namun pada 7 Februari, Thomas telah menarik balik tuduhan terbabit dan meminta Najib dilepas tanpa dibebaskan dan pada keesokan harinya (8 Februari) Najib dituduh semula di Mahkamah Sesyen.

Pihak pendakwa telah membawa tuduhan tambahan terhadap Najib di Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 91 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. Bahagian ini di antara yang lain bermaksud bahawa pertuduhan tambahan terhadap tertuduh boleh dibawa ke mana-mana mahkamah (sama ada Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Sesyen).

Pihak pendakwaan menarik balik tiga tuduhan tambahan dan menuduh semula Najib di Mahkamah Sesyen atas alasan prosedur.

Kes pengubahan wang haram itu berasal dari Mahkamah Sesyen dan pihak pendakwaan sepatutnya menyebut kes itu di Mahkamah Sesyen sebelum memindahkannya ke Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun, di bawah Seksyen 91 AMLATFPUAA, pendakwaan boleh membawa pertuduhan tambahan terhadap tertuduh di Mahkamah Tinggi.

Pihak pendakwaan telah mengemukakan lebih daripada 3,000 muka surat dokumen termasuk minit mesyuarat SRC International, dokumen saksi dan dokumen lain yang berkaitan kepada pasukan pembelaan dalam proses perbicaraan.

Pihak pendakwaan juga akan memanggil 50 saksi untuk memberi keterangan semasa perbicaraan. Memandangkan kes itu berasal dari Mahkamah Sesyen, pihak pendakwaan telah memohon untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi kerana Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa yang lebih luas dan jika kes itu bermula di Mahkamah Tinggi, rayuan itu boleh didengar sehingga Mahkamah Persekutuan, (dan) jika terdapat sebarang isu undang-undang yang kompleks, ia akan diselesaikan di Mahkamah Persekutuan.

Peguam kanan Datuk Sulaiman Abdullah dilantik Timbalan Pendakwa Raya (DDP) Kanan oleh Jabatan Peguam Negara untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes SRC Antarabangsa Najib dan peguam jenayah, Datuk V Sithambaram dilantik untuk membantu pasukan. DPP Datuk Ishak Mohd Yusoff, Budiman Lutfi Mohamed Muhammad Izzat Fauzan juga berada di dalam pasukan.

Muhammad Shafee, yang dilantik sebagai pendakwa utama dalam rayuan kes sodomi II Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2013, mengetuai pasukan pembelaan dan dibantu oleh pasukan peguam antara lain Harvinderjit Singh dan Muhammad Farhan Shafee.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Najib didakwa semula babitkan pengubahan wang haram RM47 juta

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa semula di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini membabitkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta.

Beliau didakwa semula atas pertuduhan lima tahun lepas itu dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan itu mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Dalam ketiga-tiga pertuduhan itu, Najib didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang keseluruhannya RM47 juta, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Najib dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Pertuduhan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup mencadangkan Najib diikat jamin dengan ‘jaminan mulut’ tanpa penjamin.

“Prosiding pendakwaan pada 28 Jan lepas tidak dikenakan jaminan kerana ia adalah pertuduhan tambahan kepada tuduhan sedia ada di Mahkamah Tinggi, namun pertuduhan hari ini belum lagi dibawa ke Mahkamah Tinggi.

“Kami mengambil kira yang tertuduh berdepan banyak pertuduhan sebelum ini dan diikat jamin kira-kira RM6 juta dan pasport diserahkan pada mahkamah, justeru kami bersetuju untuk mencadangkan ‘jaminan mulut’, ke atas tertuduh bagi kes ini,” katanya.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib berterima kasih kepada pihak pendakwaan yang mencadangkan jaminan tersebut yang disifatkan satu cadangan adil.

Mahkamah membenarkan Najib diikat jamin dengan bon peribadi tanpa dikenakan cagaran bagi ketiga-tiga pertuduhan itu.

Mahkamah menetapkan 8 Mac untuk sebutan semula kes.

Categories
NASIONAL

Kes GST: Najib komen tak tahu

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 24 OKT : Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak enggan mengulas lanjut berkenaan isu bayaran tunggakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bernilai RM19.4 juta.

“Saya tak tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas keluar dari Prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), di Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan perkara dibincangkan dalam prosiding berkenaan, namun ia berjalan lancar.

“Untuk prosiding hari ini, PAC mendapat maklumat dan pengesahan dari Najib berkenaan “key questions” yang diajukan. Namun, kita tidak boleh mendedahkannya lagi buat masa ini.

“Bagaimanapun, Najib memberi kerjasama baik, segala pertanyaan daripada ahli PAC terjawab,” katanya.

Pada masa sama, katanya, PAC akan memanggil Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bagi tujuan sama dalam masa terdekat ini.

“Kita akan memuktamadkan tarikh memanggil Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam hari ini juga.

“Segala keterangan dan bukti diteliti untuk melengkapkan prosiding yang bakal dibentangkan di Parlimen nanti,” katanya.

Categories
NASIONAL

Najib mengaku tidak bersalah, ikat jamin RM1 juta

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 4 JUL: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan terhadap semua empat pertuduhan dibacakan terhadapnya berhubung kes berkaitan SRC International Sdn Bhd.

Pengakuan itu direkodkan di Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim, Sophian Abdul Razak dan Najib dilihat mengangguk selepas setiap pertuduhan dibacakan.

Bagaimanapun, Sophian menetapkan bayaran ikat jamin RM1 juta untuk semua pertuduhan dengan dua penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon budi bicara Hakim agar pendahuluan RM500,000 dibayar hari ini dan bakinya pada hari Isnin, jam 3.00 petang, manakala pasport Najib diserahkan hari ini.

Sopian mengangguk sebagai tanda bersetuju dan Peguam Negara, Tommy Thomas tidak membantah.

Dalam prosiding sebelum itu, Tommy Thomas memohon ikat jamin RM1 juta bagi setiap pertuduhan dan dibayar secara tunai tetapi dibantah Muhammad Shafee yang mewakili Najib dengan menyatakan jumlah itu terlalu tinggi.

Muhammad Shafee mencadangkan supaya ikat jamin ditetapkan antara RM500,000 hingga RM800,000 untuk semua pertuduhan dengan dua penjamin dan pasport diserahkan kepada pihak berkuasa.

Beliau turut memohon pertimbangan hakim menerima geran tanah dan banglo anak guamnya di Taman Duta sebagai tukaran nilai ikat jamin tetapi dibantah Tommy Thomas.

Terdahulu prosiding pendakwaan bermula jam 9.06 pagi dihadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Zainal Abidin Kamarudin.

Bagi tiga pertuduhan pecah amanah, Najib selaku penjawat awam iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Penasihat SRC International didakwa melakukan pecah amanah wang berjumlah RM42 juta yang di Menara Ambank, Jalan Raja Chulan antara 24 Disember 2014 dan 29 Disember 2014.

Semua pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebat serta denda.

Beliau turut didakwa menggunakan jawatan sebagai Perdana Menteri ketika itu untuk suapan RM42 juta ketika mengambil bahagian atau terlibat membuat keputusan bagi Kerajaan Malaysia bagi pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kepada SRC International.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda sehingga lima kali jumlah suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi atau penjara maksimum 20 tahun.

Semua pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (akta 574) yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebat dan denda.

 

 

Categories
NASIONAL

AS percepat siasatan 1MDB

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 JUN: Penyiasat Amerika Syarikat mempercepatkan siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas Barisan Nasional tumbang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Reuters melaporkan, lebih banyak bukti bertukar dengan pihak berkuasa Malaysia ketika ini.

Sekurang-kurangnya enam negara, termasuk Malaysia, Amerika Syarikat dan Switzerland menyiasat dakwaan bahawa Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan sekutunya menerima sebahagian daripada wang AS$4.5 bilion yang didakwa daripada 1MDB.

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pula percaya, kerajaan baharu bersedia bekerjasama ketika pihak berkuasa AS melihat Najib secara aktif cuba menghalang penyiasatan.

Seorang pegawai penguatkuasa undang-undang AS berkata, walaupun pihak pendakwaan AS menimbangkan kemungkinan mendakwa Najib dan sekutu, namun mereka lebih berminat jika Malaysia sendiri memfailkan pertuduhan jenayah terhadap mana-mana pegawai kerajaan Malaysia.

“Permohonan rasmi berhubung perkara itu belum dibuat tetapi pegawai atasan sedang membincangkannya dalam kalangan pemimpin kerajaan,” katanya.

Difahamkan Najib kini mendapatkan khidmat bekas Peguam Negara AS, John Ashcroft dan firma peguambela David Boles yang berpangkalan di New York untuk mewakili beliau berhubung penyiasatan AS.

Dalam beberapa siri rampasan aset tahun lalu, pihak pendakwa AS dalam kertas mahkamah mendakwa sebahagian wang yang daripada 1MDB dimasukkan ke dalam akaun individu dikenali sebagai ‘Malaysian Official 1’ (MO1).

Categories
NASIONAL

Najib disoal siasat SPRM kali kedua pagi ini

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 24 MEI: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikehendaki hadir untuk kali kedua di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, 10 pagi ini bagi membantu siasatan kes SRC International Sdn Bhd.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Seri Azam Baki berkata Najib, yang juga Ahli Parlimen Pekan, perlu dirakam keterangan berhubung perkara itu, lapor Bernama

Sebelum ini, Najib disoal siasat SPRM hampir lima jam bagi memberi keterangan mengenai isu berkenaan, pada 22 Mei lalu.

Beliau yang tiba sekitar 10 pagi di ibu pejabat SPRM itu bagaimanapun keluar kira-kira jam 3.15 petang

Ketua Pesuruhjaya baru SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull memaklumkan bekas perdana menteri itu tidak akan ditahan dan pihaknya akan merekodkan terlebih dahulu kenyataan beliau sebelum sebarang tindakan diambil.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan Isnin lalu mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Siasatan 1MDB untuk menjalankan siasatan terperinci, pengesanan dan penyitaan aset serta pendakwaan terhadap individu melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB.

Categories
NASIONAL

Polis rampas barangan peribadi dari kediaman Najib

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 17 MEI: Polis merampas beberapa barangan peribadi milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dari kediamannya, malam semalam.

Menurut peguam beliau, Datuk Harpal Singh Grewal berkata, ia termasuk beg tangan, pakaian serta hadiah milik bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu.

Katanya, pencarian dilakukan bawah Akta Penggubahan Wang Haram (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001).

“Tiada dokumen dirampas, juga tiada tangkapan dibuat hari ini,” katanya dipetik Astro Awani.

Pencarian di kediaman Najib di Jalan Langgak Duta bermula sekitar jam 10.15 malam semalam selepas Najib pulang dari menunaikan solat terawih di Kampung Baru.

15 kenderaan polis merangkumi SUV, trak dan kereta mula bertempat di perkarangan kediaman beliau, yang turut dibanjiri pengamal media dalam dan luar negara, juga ditemani puluhan penduduk sekitar.

Selain itu menurut Harpal, operasi pencarian turut dijalankankan di dua lot kediaman di Menara Pavilion, Kuala Lumpur, pada waktu sama.

Katanya lagi, anak guamnya memberikan kerjasama penuh terhadap polis sepanjang operasi pencarian dijalankan.

“Ia mengambil masa lama kerana ini rumah besar, jadi polis perlu periksa setiap bilik, dan tidak dimaklumkan setakat ini sama ada Najib akan dipanggil untuk disoal siasat atau tidak berhubung kes berkenaan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Pertemuan Najib-Bloomberg tidak ubah keyakinan rakyat tolak BN

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KLANG, 27 APR: Keyakinan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa BN akan terus mendapat mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) dilihat hanya ‘syok sendiri’ apabila rata-rata rakyat kini menolak pentadbiran gagasan itu.

Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Selangor, Shuhaimi Shafie berkata demikian bagi mengulas sessi wacana Najib dengan Bloomberg.

Shuhaimi berkata, pertemuan beliau bersama media antarabangsa itu dilihat satu kaedah memusingkan fakta untuk meyakinkan rakyat Malaysia bahawa kredibiliti beliau tidak lagi diragui diperingkat antarabangsa.

“Najib boleh membuat pertemuan bersama Bloomberg atau mana-mana pihak lain, namun rakyat Malaysia sebenarnya lebih bijak menilai pemimpin berwibawa.

“Secara keseluruhannya hari ini rakyat juga mahukan perubahan dan sehingga kini rata-rata masih terkesan dengan bebanan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta hutang negara melibatkan 1 Malaysian Development Berhad (1MDB).

“Saya yakin perubahan berlaku di banyak kawasan dan penolakan terhadap Najib tidak boleh dinafikan lagi.

“Lambat laun, Najib terpaksa akur rakyat tidak lagi menyokong beliau dan BN,” katanya ketika ditemui Selangor Kini dalam program turun padang di Klang, pagi tadi.

Baru-baru ini, Najib dalam pertemuannya dengan Bloomberg mendakwa BN akan terus mendapat mandat rakyat bagi menerajui negara dengan keputusan lebih baik dalam PRU14.

Najib juga menafikan beliau terlibat dalam masalah tadbir urus 1MDB kerana tiada bukti menyatakan bahawa beliau terlibat dengan penyelewengan dana itu.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Isu air: Najib berniat jahat – MB

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 10 MAC: Fitnah dan tohmahan dilontarkan oleh orang nombor satu di negara ini dalam isu gangguan air bersifat politik dan berniat jahat menjelang Pilihan Raya Umum yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu kerana Kerajaan Negeri melalui Air Selangor sendiri mengambil inisiatif membantu Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) menyegerakan kerja pembaikian walaupun ia diluar bidang kuasa negeri.

Katanya, Kerajaan Negeri sebelum ini bersedia menanggung kos pembaikian terbabit sekali gus menghantar kontraktor yang bertauliah untuk membantu SPLASH.

“SPLASH bukan harta kita. Bagaimana untuk kita masuk ke dalam rumah Najib? Semua kerja mesti dilakukan pihak SPLASH. Tak kan perkara asas pun tak faham.

“Namun, saya mengarahkan Air Selangor berunding dengan SPLASH untuk membantu mereka dan bersedia menanggung kos pembaikan.

“Saya juga mengarahkan lebih ramai petugas bertauliah untuk mempercepatkan tempoh pembaikian dalam masa sehari sahaja, walaupun pada mulanya hanya dua kontraktor sahaja. Itu sebab kita tidak mahu membebankan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian di Program Gotong Royong Perdana KDEBWM bersama penduduk AU2, di sini.

Mohamed Azmin menegaskan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu juga membuktikan beliau seorang pemimpin yang gagal.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin mengambil tanggungjawab dan memohon maaf kepada pengguna yang terkesan daripada gangguan bekalan air terbabit.

“Secara peribadi saya rasa terkesan dalam isu ini. Saya tidak mahu menunding jari kepada mana-mana pihak. Saya memohon maaf kepada semua pengguna.Bukan saya tidak berbuat apa-apa.

“Beri saya peluang untuk mempertahankan diri sebab media mereka cukup melampau dan memberi gambaran negatif kepada Kerajaan Negeri,” katanya.