Categories
SELANGOR

Kelab Sukan & Sosial MPK nafi bantah naik taraf Dewan Hamzah

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 21 JULAI: Pengurusan tertinggi Kelab Sukan Dan Sosial Majlis Perbandaran Klang (MPK) sentiasa menyokong dan berdiri teguh di belakang MPK dalam isu penaiktarafan Dewan Hamzah.

Timbalan Presiden Kelab Sukan Dan Sosial MPK, Zaireezal Ahmad Zainuddin, berkata pengurusan tertinggi Kelab Sukan MPK juga menafikan kenyataan dikeluarkan sebuah akhbar bahasa Inggeris yang mendakwa terdapat tentangan daripada pihaknya berhubung penaiktarafan dewan itu.

Beliau berkata, dakwaan terbabit tidak berasas dan dilihat satu cubaan sabotaj terhadap pimpinan tertinggi kelab dengan MPK dan pihaknya meminta individu berkenaan tampil bersemuka bagi menyatakan pendirian sebenar.

“Dakwaan berkenaan terlalu serius dan ia berniat tidak baik sedangkan pihak kelab sentiasa berdiri teguh dengan kepimpinan Yang Di Pertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin yang sentiasa komited dalam pembangunan sukan serta menaiktaraf kemudahan sedia ada termasuk Dewan Hamzah yang dilihat tepat pada waktunya seiring dengan perkembangan semasa.

“Selain daripada itu, kerja menaiktaraf fasiliti sukan lain antaranya dewan dan Padang Kompleks Sukan dan Stadium Hoki Pandamaran serta cadangan menaiktaraf Stadium Kota Raja membuktikan YDP dan Setiausaha MPK, Adi Faizal Ahmad Tarmizi sentiasa memberikan komitmen terhadap pembangunan sukan di daerah Klang,” katanya dalam kenyataan.

MPK KELAB SUKANZaireezal berkata berikutan kerja menaiktaraf Dewan Hamzah, ahli-ahli kelab dibenarkan oleh pihak pengurusan MPK untuk bermain di Dewan Teluk Pulai dan Dewan Sri Andalas secara percuma bagi sukan badminton dan sepak takraw melalui permohonan daripada Jabatan Kemasyarakatan MPK.

Sementara itu, Presiden Kelab Sukan Dan Sosial MPK, Hasnor Harith berkata, seramai 1,100 ahli kelab merakamkan penghargaan terhadap kepimpinan baru MPK yang sentiasa menitikberatkan kebajikan dan kesejahteraan kakitangan Majlis.

Katanya, dakwaan dikemukakan dalam laporan berkenaan ternyata tidak berasas umpama ‘baling batu sembunyi tangan’.

“Pihak kelab meminta individu berkenaan tampil bersemuka kerana pihak kami sentiasa menerima cadangan,pendapat dan kritikan namun bukannya tuduhan melulu tanpa bukti yang kukuh.

“Perbuatan itu melibatkan maruah kelab dan agenda sempit bersandarkan spekulasi bukan kaedah yang positif dalam menyuarakan pendapat,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dialog manifesto bersama MB Selangor dapat sambutan hangat

mb manifesto

KLANG 13 SEPT: Dialog Manifesto anjuran kerajaan Selangor bagi mendapatkan pandangan rakyat Selangor untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2014 mendapat sambutan hangat.

Ia berikutan kehadiran lebih 300 orang pelbagai kaum di Dewan Hamzah, Majlis Perbandaran Klang (MPK) di sini, malam ini.

Majlis disempurnakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan kehadiran pimpinan lain, antaranya Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud; Adun Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar dan Timbalan Yang Dipertua MPK, Ehsan Mukri.

Dialog itu memberi peluang kepada rakyat untuk memberi cadangan secara terus tentang pelaksanaan manifesto 2013 untuk dimasukkan dalam belanjawan negeri.

Sepanjang pentadbiran Abdul Khalid, beliau mempraktik amalan mengambil kira pandangan masyarakat umum sebelum belanjawan tahunan negeri dirangka.

Amalan itu turut mengundang minat kerajaan Persekutuan untuk mengikut langkah sama.

Categories
SELANGOR

MPK Raikan Kakitangan, Pesara dan Pelajar Cemerlang

SHAH ALAM 03 NOV : Seramai 98 kakitangan Majlis Perbandaran Klang (MPK) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 di satu majlis di Dewan Hamzah, Klang baru-baru ini.

Turut diraikan pesara kakitangan MPK yang terdiri daripada 38 pesara dan 38 pelajar cemerlang daripada anak-anak kakitangan MPK.

Pemangku Yang Di Pertua MPK, Ehsan Mukri berkata, kakitangan cemerlang merupakan aset berharga dan ia perlu dikekalkan seiring dengan matlamat MPK dalam mengejar bandaraya gemilang 2015.

“Anugerah ini diharap menjadi penyuntik semangat kakitangan dan pada masa yang sama majlis juga menghargai jasa-jasa pesara yang telah menyumbangkan khidmat bakti kepada MPK sejak mula berkhidmat di sini,? Ehsan berkata di dalam majlis tersebut.

Majlis tersebut dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Khusrin Munawi.

Tambahnya, setiap warga MPK sentiasa diingatkan untuk meningkatkan lagi tahap kualiti dan mutu perkhidmatan sekali gus dapat menambahkan lagi keyakinan penduduk bandar di raja ini kepada majlis.