Categories
SELANGOR

Kutipan 20 sen berkurang bukti kesedaran pengguna meningkat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 NOV: Penurunan kutipan caj 20 sen yang dikenakan bagi penggunaan beg plastik membuktikan kesedaran pengguna terhadap kepentingan memelihara alam sekitar.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, pengguna kini dilihat cenderung menggunakan beg kitar semula milik masing-masing.

“Kaedah membawa beg sendiri untuk berbelanja semakin mendapat sambutan ramai berbanding membayar 20 sen mendapatkan beg plastik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Katanya, kutipan wang 20 sen itu juga akan disalurkan ke tabung amanah untuk membiayai program membabitkan alam sekitar, di Selangor.

Pada masa sama, beliau memaklumkan akan mempertimbangkan cadangan penggunaan beg kertas sebagai salah satu alternatif menggantikan beg plastik.

“Bagaimanapun, penggunaan beg kertas turut memberi impak kepada alam sekitar apabila meningkatnya aktiviti penebangan hutan untuk dijadikan kertas,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

56 Adun Negeri Selangor Angkat Sumpah

Angkat Sumpah

SHAH ALAM, 21 JUN : Seramai 56 anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk 12 wakil daripada BN hari ini secara rasminya mengangkat sumpah sebelum bermulanya persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) sesi ke-13, Jumaat depan.

Kesemua 56 Adun itu mengangkat sumpah taat setia dalam memelihara, melindungi serta mempertahankan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor di hadapan Speaker DNS yang baru dilantik, Hannah Yeoh.

Majlis itu bermula dengan upacara mengangkat sumpah oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diikuti tiga Exco Negeri Selangor iaitu Datuk Teng Chang Khim, Iskandar Samad dan Rodziah Ismail.

Ia kemudiannya disusuli dengan tujuh Exco Selangor yang lain dan kemudiannya diikuti oleh anggota dewan Pakatan Rakyat (PR) serta BN.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan cadangan Menteri Besar mengemukakan nama Hannah Yeoh sebagai Speaker DNS yang baru dan diikuti Teng yang mencadangkan Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Timbalan Speaker.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu, PR menangĀ  di Selangor dengan memperoleh majoriti lebih dua pertiga apabila menguasai 44 daripada 56 kerusi DUN.