Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Menteri bercuti luar negara harus pulang jika tragedi menimpa rakyat

SHAH ALAM, 20 JAN: Pimpinan negara yang bercuti di luar negara harus segera pulang ke tanah air apabila berlaku sesebuah tragedi menimpa rakyat termasuk banjir besar pada 18 Disember.

Tanpa menyebut nama mana-mana menteri, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal berikutan ramai menteri ‘hilang’ dan menganggap mereka lari daripada tanggungjawab.

“Banyak menteri hilang tidak nampak di lapangan. Betul perdana menteri ada tetapi menteri hilang. Ada yang memilih untuk pergi ke umrah dan hal ini mesti dibetulkan.

“Beri penjelasan, jangan ulang. Kalau pergi sebelum kejadian balik segera,” katanya pada Mesyuarat Khas Parlimen di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar juga menegaskan beliau memantau prestasi wakil rakyat pembangkang yang tidak turun padang membantu rakyat terjejas banjir.

“Kalau prestasinya lemah ketika banjir, saya beri jaminan orang itu digugurkan sebagai calon untuk pilihan raya akan datang.

“Saya pantau setiap hari jadi untuk perdana menteri menyindir ada ahli parlimen yang tidak kelihatan saya rasa ia tidak adil kerana kita perlu dapat maklumat yang teliti,” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Bot penyelamat tersangkut, pusat pemindahan ditenggelami banjir

SHAH ALAM, 20 JAN: Bot penyelamat sukar bergerak akibat tersangkut pada kenderaan yang tenggelam di kawasan banjir besar di Selangor hujung tahun lalu, jelas perdana menteri.

Berucap di mesyuarat khas Dewan Rakyat hari ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sekolah dan kemudahan yang diwartakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) pula turut ditenggelami banjir.

Tambahnya, kenderaan yang tersekat di jalan utama menghalang kenderaan pasukan penyelamat memasuki kawasan perumahan sehingga “aset-aset menyelamat terpaksa dipikul ke kawasan” banjir.

“Selain itu, bot-bot penyelamat juga sukar untuk bergerak di dalam kawasan banjir kerana tersangkut pada kenderaan yang tenggelam di kawasan terjejas.

“Kelewatan kerja-kerja menyelamat juga adalah disebabkan alamat rumah yang diberikan oleh pemanggil tidak dapat dikenal pasti kerana sudah ditenggelami air,” katanya.

Selain tidak arif kawasan yang dilimpahi air besar, kata Ismail Sabri lagi, kemudahan PPS juga dinaiki air.

“Justeru, PPS ad hoc (tanpa perancangan) diwujudkan seperti di surau dan masjid, malahan khemah sementara juga didirikan dengan kadar segera bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir yang diselamatkan,” katanya.

“Ketiadaan bekalan elektrik dan infrastruktur komunikasi yang terputus akibat banjir, menyebabkan penduduk tidak dapat menghubungi agensi penyelamat untuk bantuan.

“Inilah antara cabaran yang dihadapi oleh pasukan penyelamat dan petugas di lapangan dalam operasi bencana yang luar biasa ini.”

Ismail Sabri juga mendakwa agensi penyelamat sukar mendapatkan kerjasama penduduk untuk berpindah dengan segera kerana bimbang keselamatan harta benda, jangkitan Covid-19 dan jarak pusat pemindahan jauh dari rumah.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM beri penerangan isu banjir di Dewan Rakyat hari ini

SHAH ALAM, 20 JAN: Perdana menteri dijadual memberi penerangan mengenai situasi bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beberapa menteri juga dijadual menyampaikan penerangan mereka, lapor Berita Harian

Beberapa isu dijangka menarik tumpuan dalam perbahasan termasuk perancangan jangka panjang kerajaan dalam menghadapi banjir.

Isu bantuan kerajaan kepada mangsa banjir termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI), operasi bantuan membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta kerja pembersihan di kawasan terjejas turut akan dibahaskan.

Ismail Sabri sebelum ini memaklumkan Dewan Rakyat akan mengadakan mesyuarat khas itu bagi mendalami kesusahan rakyat yang terkesan akibat bencana banjir.

Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 itu selaras Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi membincangkan perkara berkaitan kepentingan negara, iaitu banjir dan pascabanjir.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pindaan akta kawalan penyakit berjangkit antara tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Pindaan terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan menjadi tumpuan pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Parlimen ke-14 hari ini.

Pindaan itu mendapat tentangan sebilangan ahli parlimen dengan alasan denda dan kompaun yang dikenakan mengikut Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 itu adalah keterlaluan.

Rang undang-undang itu dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Selasa lepas antaranya bagi menaikkan kadar maksimum kompaun terhadap individu dan pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan di bawah rang undang-undang berkenaan.

Mengikut rang undang-undang itu, individu yang melakukan kesalahan boleh dikompaun sehingga RM10,000 berbanding RM1,000 ketika ini, manakala kompaun sehingga maksimum RM1 juta bagi pertubuhan perbadanan.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilapor berkata pindaan berkenaan akan bertindak sebagai ‘senjata’ tambahan dalam menghadapi pandemik Covid-19.

Sementara itu, isu perkahwinan bawah umur juga dijangka dibincangkan pada persidangan.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, perkara itu dibangkitkan P Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) yang ingin tahu usaha kerajaan untuk meningkatkan umur perkahwinan kepada 18 tahun dan langkah-langkah lain bagi membanteras perkahwinan bawah umur pada sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri.

Turut menarik perhatian, soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) kepada Perdana Menteri mengenai kesediaan kerajaan membuka semula pintu sempadan negara dan unjuran pemulihan ekonomi pada tahun hadapan pada sesi soal jawab lisan.

Sidang Dewan Rakyat berlangsung selama 32 hari bermula 25 Okt lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dewan Rakyat lulus Rang Undang-Undang Kewangan 2021

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2021 yang mendapat sokongan lebihan suara.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said mengumumkan kelulusan RUU itu yang telah dibahaskan oleh 15 Ahli Parlimen semalam dan disusuli dengan bacaan kali kedua dan ketiga hari ini.

Timbalan Menteri I Kewangan Datuk Mohd Shahar Abdullah telah membentangkan RUU tersebut pada 9 November lepas bagi bacaan kali pertama yang turut melibatkan pindaan ke atas lapan akta dalam usaha melaksanakan Bajet 2022.

Ini melibatkan Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Setem 1949, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967, Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990, Akta Penggalakan Pelaburan 1986, Akta Kewangan 2012 dan Akta Kewangan 2018.

Ketika menggulung perbahasan RUU itu hari ini, Mohd Shahar berkata Kementerian Kewangan komited dalam memastikan akta ini tidak memberi kesan negatif kepada rakyat melalui pelan pelaksanaan lebih telus dengan hasil tambahan itu dapat disalurkan kepada program pemulihan negara.

Malah, katanya, aspek berkaitan penarikan pengecualian sumber pendapatan asing itu telah diteliti dengan kajian berkaitan turut dibuat sejak dua tahun lepas.

Menurutnya, ini melibatkan sesi libat urus Kementerian Kewangan dengan pihak berkaitan termasuk penyediaan kertas konsep oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri selain menerima pandangan menyeluruh daripada pelbagai pihak berkepentingan.

“Kementerian Kewangan juga perlu mengambil kira penglibatan dan komitmen di peringkat antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dan Kesatuan Eropah (EU) dalam menetapkan dasar percukaian semasa.

“Kita juga kekal terbuka menerima segala pandangan, termasuk menubuhkan sebuah pasukan petugas melibatkan kementerian ini, agensi kutipan cukai dan pakar percukaian yang mewakili pelbagai industri bagi membincangkan mekanisme ke arah memastikan pelaksanaannya secara lancar pada Januari 2022,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu 5G, mata wang kripto antara tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Persoalan berkenaan pembekal, kontraktor dan syarikat yang terlibat dalam implementasi 5G serta kos keseluruhan pelaksanaan teknologi itu dijangka menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, perkara itu dibangkitkan Datuk Dr A. Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat) yang mengemukakan soalan kepada Menteri Kewangan pada sesi soal jawab.

Menteri Kewangan juga dijadualkan menjawab pertanyaan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) yang ingin tahu mengenai strategi kerajaan untuk memastikan rakyat terutamanya golongan belia tidak ketinggalan dalam memahami teknologi blok rantai.

Lukanisman turut meminta penjelasan berhubung pendirian kerajaan berkenaan penggunaan mata wang kripto dalam urus niaga harian serta inisiatif untuk mengolah mata wang kripto sendiri iaitu stablecoin.

Selain itu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli pula diminta menyatakan langkah serta-merta kementerian berkenaan untuk menghentikan penggunaan bahan api fosil serta merangsang penjanaan tenaga boleh diperbaharui.

Soalan tersebut dikemukakan Charles Anthony Santiago (HARAPAN-Klang) yang juga ingin tahu rancangan kementerian dalam mengurangkan pengeluaran karbon untuk mencapai neutral karbon sebelum 2050.

Antara tumpuan lain, Dr Maszlee Malik (HARAPAN-Simpang Renggam) mengajukan soalan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya mengenai usaha dan insentif memajukan industri taman tema hiburan keluarga di Malaysia yang semakin malap dan menanggung kerugian besar akibat Covid-19.

Selesai sesi soal jawab, persidangan itu akan menyambung semula perbahasan Rang Undang-Undang Kewangan 2021.

Dewan Rakyat bersidang hingga Khamis ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dewan Rayat lulus pindaan perlembagaan berkaitan MA63

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Persidangan Dewan Rakyat hari ini mencatat sejarah apabila Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga.

Rang undang-undang itu memperoleh sokongan 200 Ahli Parlimen pada bacaan kali kedua dan 199 undi menyokong ketika belah bahagian pada bacaan kali ketiga, sekali gus lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun memaklumkan undi belah bahagian dijalankan berikutan peruntukan 159 Perlembagaan Persekutuan menetapkan pindaan rang undang-undang itu pada bacaan kali kedua dan ketiga memerlukan undi tidak kurang dua pertiga daripada jumlah bilangan Ahli Parlimen.

Beliau berkata tiada yang tidak menyokong rang undang-undang itu selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan.

Seramai 20 Ahli Parlimen tidak hadir pada undian bacaan kali kedua, manakala 21 tidak hadir pada bacaan kali ketiga.

Ketika membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali kedua hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pindaan Perlembagaan Persekutuan itu dibuat bagi mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Sementara itu, Wan Junaidi ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu berkata isu Sabah dan Sarawak terutamanya berhubung keperluan asas seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur asas sentiasa menjadi agenda utama kerajaan.

Beliau berkata perkara berkenaan sedang diteliti jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 dengan melibatkan isu seperti keselamatan negeri, sosioekonomi merangkumi penambahbaikan infrastruktur asas, pendidikan, kesihatan, infrastruktur digital serta perundangan.

Menjawab persoalan mengapa pindaan kepada Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang dibawa kerajaan Pakatan Harapan tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga pada 2019, Wan Junaidi berkata ia kerana tempoh yang singkat untuk Ahli Parlimen membentangkan cadangan mereka.

“Bantahan kita adalah supaya pindaan itu juga meminda Perkara 160 tetapi masalahnya ketika itu naskah biru dibentangkan di Dewan ini, kita ada hanya 10 hari sahaja sebelum bacaan kali kedua, jadi kita tidak berupaya membentangkan pindaan kita sendiri yang memerlukan 14 hari notis.

Seramai 28 Ahli Parlimen terutamanya dari Sabah dan Sarawak mengambil bahagian pada sesi perbahasan rang undang-undang itu.

Menurut rang undang-undang itu, Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan dicadang dipinda dengan menggantikan Fasal (2) kepada Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada:

(a) Negeri-negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu; dan

(b) Negeri-Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.

Pindaan juga dicadang pada Fasal 2 Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan takrif Hari Malaysia dan menggantikan takrif Persekutuan selaras semangat Perjanjian Malaysia bertarikh 9 Julai 1963 dan menurut perjanjian berhubung pemisahan Singapura daripada Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat bertarikh 7 Ogos 1965.

Selain itu, rang undang-undang itu juga bertujuan meminda Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan dengan menggantikan perenggan (a) Fasal 6 iaitu “berhubung dengan Sarawak, seseorang yang merupakan warganegara dan yang tergolong dalam salah satu daripada ras yang dinyatakan dalam undang-undang Negeri sebagai ras asli bagi Negeri itu” serta memotong Fasal 7.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bajet 2022 lulus di peringkat jawatankuasa

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat Jawatankuasa.

Rang Undang-Undang itu yang merupakan belanjawan pertama di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diluluskan setelah melalui 13 hari tempoh perbahasan dan penggulungan bermula 22 November bagi setiap kementerian terlibat.

Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Okt lepas, menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM332.1 bilion, terbesar dalam sejarah belanjawan negara dengan matlamat memulihkan ekonomi kesan pandemik Covid-19.

Dewan Rakyat meluluskan Bajet 2022 di peringkat dasar pada 18 November selepas dibahaskan selama tujuh hari bermula 1 November dan melalui sesi penggulungan mulai 15 November.

Menurut takwim Dewan Rakyat, persidangan yang akan berlangsung sehingga Khamis ini diteruskan dengan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain.

Persidangan esok dijangka melibatkan pembentangan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 selepas bacaan kali pertama pada 3 November, antaranya untuk memasukkan negeri-negeri Tanah Melayu dan negeri-negeri Borneo.

Menurut rang undang-undang itu, Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan dicadang dipinda dengan menggantikan Fasal (2) kepada Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada:

(a) Negeri-negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu dan

(b) Negeri-Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dewan Rakyat: Belanjawan lapan lagi kementerian dilulus di peringkat jawatankuasa

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Persidangan Dewan Rakyat minggu ketujuh menyaksikan anggaran perbelanjaan mengurus bagi lapan lagi kementerian dalam Bajet 2022 diluluskan di peringkat jawatankuasa.

Ia melibatkan Kementerian Kesihatan; Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Kerja Raya; Komunikasi dan Multimedia; Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

Setakat ini anggaran perbelanjaan mengurus bagi 24 kementerian dan lima agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri telah diluluskan di peringkat jawatankuasa, manakala perbahasan dan penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat jawatankuasa bagi dua lagi kementerian iaitu Pendidikan dan Pengajian Tinggi dijangka pada Isnin.

Menurut takwim Dewan Rakyat, sesi perbahasan dan penggulungan itu dijadual berlangsung hingga Isnin 13 Disember. Rang undang-undang itu diluluskan di peringkat dasar pada 18 November lepas.

Minggu ini juga menyaksikan isu kenaikan harga barangan keperluan asas sekali lagi menjadi fokus sidang Dewan Rakyat apabila Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanyakan mengenai tindakan segera dan langkah efektif yang akan diambil Majlis Tindakan Kos Sara Hidup bagi menangani krisis menimpa rakyat ketika ini.

Menjawab soalan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan semua kementerian mengambil tindakan segera bagi menangani isu berkaitan mengikut bidang tugas masing-masing.

Mustapa berkata tindakan jangka sederhana dan panjang turut dibentangkan oleh kementerian-kementerian berkenaan pada mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup yang dipengerusikan Perdana Menteri semalam (Khamis).

Turut menjadi tumpuan pada persidangan minggu ini adalah isu larangan perarakan kavadi bagi Thaipusam dan chingay sempena sambutan Tahun Baharu Cina tahun depan yang menerima pelbagai maklum balas termasuk Ahli Parlimen pembangkang RSN Rayer bertindak mengemukakan usul kepada Dewan Rakyat untuk membahaskan isu itu.

Isu pelantikan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bukan Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) turut dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen pembangkang pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Menjelaskan isu berkenaan, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata pelantikan itu dibuat oleh Kementerian Kewangan mengikut peraturan sedia ada dengan berlandaskan rekod prestasi dan pengalaman anak kepada bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Selain itu, Dewan Rakyat dimaklumkan pada masa ini keputusan untuk menggunakan Rangkaian Pemborong Tunggal (SWN) bagi pelaksanaan 5G sedang berjalan dan proses rundingan antara Digital Nasional Bhd bersama syarikat telekomunikasi dikendalikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dewan Rakyat tumpu isu kenaikan harga barangan asas

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Isu berkaitan kenaikan harga barang keperluan asas yang dialami rakyat ketika ini dijangka menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan itu diajukan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) kepada Perdana Menteri pada Waktu Pertanyaan Menteri.

Anwar ingin tahu mengenai tindakan segera dan langkah efektif bagi jangka pendek, sederhana dan panjang yang akan diambil Majlis Tindakan Kos Sara Hidup dalam menangani isu kenaikan harga barangan.

Pada sesi sama, Perdana Menteri turut diminta menyatakan tindakan diambil kerajaan agar umat Islam di negara ini tidak tertinggal dalam menyahut hasrat Gagasan Keluarga Malaysia yang dilancarkan pada 23 Okt lepas.

Soalan itu diajukan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang turut ingin tahu sama ada gagasan itu membantu usahawan Muslim yang terkesan akibat COVID-19 dalam tempoh 100 hari.

Selain itu, Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) bertanya kepada Menteri Perpaduan Negara mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang dirangka bagi sambutan Hari Thaipusam pada 18 Jan 2022 supaya pihak kuil terlibat serta penganut Hindu boleh membuat persediaan awal untuk sambutan perayaan itu.

Turut dijangka menjadi tumpuan pada sesi soal jawab, adalah soalan sama ada kerajaan berhasrat memberikan kuasa pendakwaan kepada penguat kuasa seperti Jabatan Alam Sekitar supaya tindakan dapat terus diambil terhadap pihak yang mencemari sungai dan udara.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) memohon penjelasan berhubung langkah kerajaan bagi meningkatkan pendapatan isi rumah khususnya golongan B40, namun dalam masa sama mengurangkan kebergantungan secara langsung terhadap bantuan tunai semata-mata.

Selesai sesi itu, Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di peringkat Jawatankuasa.

Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Disember ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu kahwin bawah umur antara dikupas Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Isu berhubung usaha membanteras perkahwinan bawah umur dalam negara dijangka menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, soalan itu akan dikemukakan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) kepada Kementerian Belia dan Sukan pada Waktu Pertanyaan Menteri.

Pada sesi itu juga, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) akan membangkitkan persoalan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mengenai kaedah mengawal dan menguruskan trend perubahan harga bekalan baja dan racun yang naik mendadak, serta inisiatif khas untuk menaikkan pendapatan petani dan peladang bagi menampung kenaikan harga kos bekalan input pertanian.

Persidangan akan diteruskan dengan sesi soal jawab dan antara tumpuan adalah soalan daripada Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) kepada Kementerian Kesihatan mengenai sama ada doktor pakar bukan klinikal dengan kelayakan ikhtisas diberi layanan sama rata dengan doktor pakar klinikal dari segi penjawatan, penggajian, kenaikan pangkat dan sebagainya.

Selain itu Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) meminta penjelasan Kementerian Sumber Manusia mengenai langkah bagi mengatasi masalah isu p-hailing yang tiada perlindungan keselamatan sosial, gaji tetap, pengiktirafan sebagai pekerja dan perlindungan di bawah Akta Kerja 1955.

Selepas sesi itu, Dewan Rakyat akan diteruskan dengan sambungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM1,526,793,800 kepada Kementerian Pengangkutan dan sebanyak RM520,275,300 kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam Bajet 2022.

Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Disember ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cadangan jenamakan wilayah Sabah, Sarawak sebagai Tanah Besar Malaysia

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Persoalan sama ada kerajaan bercadang untuk menjenamakan Wilayah Sabah dan Sarawak sebagai Tanah Besar Malaysia (198,354 km2 atau 60 peratus daripada tanah Malaysia) dijangka ditanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, soalan itu diajukan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran) kepada Perdana Menteri memandangkan Federation of Malaya (132,265 km2 hanya 40 peratus daripada tanah Malaysia) sudah sekian lama dinamakan sebagai Semenanjung Malaysia.

Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) pula akan mengajukan soalan kepada Menteri Alam Sekitar dan Air mengenai perkembangan terkini projek pembinaan tebatan banjir di tepi Sungai Golok yang melibatkan sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand.

Tumpuan juga dijangka terarah kepada soalan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) yang meminta Perdana Menteri mengesahkan sekiranya data yang dikumpul oleh Jabatan Perangkaan menggambarkan situasi sebenar kepelbagaian dimensi kemiskinan yang wujud di negara ini.

Selepas sesi itu, persidangan diteruskan dengan sambungan sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Semalam, sesi perbahasan peringkat Jawatankuasa melibatkan Kementerian Pembangunan, Usahawan dan Koperasi dengan Dewan Rakyat meluluskan peruntukan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 sebanyak RM195,036,300 dan anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM835,666,800 yang diperuntuk kepada Kementerian Sumber Manusia dalam Bajet 2022 diluluskan dengan lebih suara menyokong.

Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Disember.

-BERNAMA