Categories
AGENDA NASIONAL

Isu pangkalan TUDM di kawasan padat antara tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Persidangan Dewan Rakyat hari ini dijangka mengupas isu berkenaan pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di kawasan berkepadatan tinggi serta di lokasi yang tidak lagi strategik.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soalan itu bakal dikemukakan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) kepada Kementerian Pertahanan pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri.

Wong Hon Wai (HARAPAN-Bukit Bendera) pula akan mengajukan pertanyaan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengenai status penyertaan Malaysia dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) memandangkan RCEP akan berkuat kuasa secara rasmi menjelang 1 Januari 2022.

Pada sesi soal jawab pula, Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) akan bertanya mengenai bagaimana konsep Keluarga Malaysia dapat diterjemahkan menerusi dasar dan pelaksanaan yang dirangka kerajaan agar tidak hanya tertumpu kepada kaum majoriti tetapi meliputi semua lapisan kaum dan bangsa.

Selain itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (HARAPAN-Port Dickson) ingin tahu status terkini pelaksanaan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik serta perkara-perkara yang dipersetujui antara kerajaan dan Pakatan Harapan.

Persidangan hari ini akan menyambung sesi perbahasan dan penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Selain MAFI, perbahasan dan penggulungan turut dijangka melibatkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Disember ini.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 500,000 peminjam PTPTN tidak pernah buat bayaran balik

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Seramai 539,284 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak pernah membuat bayaran balik setakat 30 September lepas, menurut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

KPT dalam jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini memaklumkan jumlah itu adalah daripada 2,424,009 peminjam yang telah menamatkan pengajian dan patut mula membayar balik pinjaman mereka yang berjumlah hampir RM24.6 bilion.

“Daripada jumlah itu seramai 1,884,725 orang peminjam telah membuat bayaran balik dengan 751,216 peminjam telah menyelesaikan pinjaman.

“Seramai 427,861 peminjam sedang membuat bayaran balik secara konsisten mengikut jadual bayaran balik manakala 705,648 peminjam membuat bayaran balik namun secara tidak konsisten,” menurut kementerian itu.

KPT menjawab persoalan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) yang ingin tahu bilangan peminjam yang masih berhutang dengan PTPTN dan jumlah kewangan yang terlibat.

Menurut kementerian itu lagi, sehingga 30 September lepas, PTPTN meluluskan pinjaman kepada lebih 3.5 juta peminjam dengan jumlah pengeluaran  lebih RM64.8 bilion.

– BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Nasib banduan tamat hukuman antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Persoalan mengenai jumlah banduan yang keluar penjara selepas tamat hukuman dari 2011 hingga 2021 dijangka ditanya dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, soalan itu diajukan Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) kepada Menteri Dalam Negeri yang ingin tahu usaha kerajaan dalam memastikan bekas banduan itu diterima oleh keluarga dan masyarakat serta mempunyai keupayaan untuk menyara hidup tanpa diskriminasi.

Turut terkandung dalam sesi itu soalan P Prabakaran (PH-Batu) kepada Menteri Dalam Negeri mengenai jumlah rakyat Malaysia bukan Bumiputera dan Orang Asli yang sedang menjalani latihan atau bekerja sebagai Konstabel Polis Diraja Malaysia hasil program pengambilan khas untuk golongan itu.

Tumpuan juga dijangka terarah kepada soalan Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengenai program terkini kerajaan melibatkan advokasi pengguna selaras dengan perubahan tingkah laku serta trend pembelian akibat pandemik Covid-19.

Usai sesi itu, persidangan diteruskan dengan sambungan sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Perpaduan dan Kementerian Luar Negeri.

Semalam, sesi perbahasan peringkat Jawatankuasa bagi hari pertama melibatkan Jabatan Perdana Menteri dengan Dewan Rakyat meluluskan peruntukan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 sebanyak RM6.03 bilion menerusi undi suara selepas mendapati lebih suara bersetuju berbanding tidak bersetuju.

Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Dis ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Undi bajet 2022 tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Pengundian untuk meluluskan Bajet 2022 pada peringkat dasar menjadi tumpuan utama persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Undian Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 itu dijangka dijalankan selepas baki lima lagi kementerian melakukan penggulungan perbahasan bagi rang undang-undang tersebut.

Ia melibatkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Kementerian Kewangan.

Penggulungan perbahasan yang memasuki hari keempat akan menyaksikan menteri atau timbalan menteri daripada kementerian terbabit menjawab perkara-perkara dibangkitkan 131 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang semasa membahaskan rang undang-undang itu selama tujuh hari, bermula 1 Nov lepas.

Dalam pada itu, isu penghinaan terhadap agama Islam yang masih berleluasa dalam media sosial turut menjadi tumpuan pada persidangan hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, perkara itu dibangkitkan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Beliau bertanyakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengenai langkah strategik diambil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi menangani isu berkenaan.

Dalam pada itu, isu penyertaan bumiputera dalam industri logistik dan pergudangan dibangkitkan Datuk Shabudin Yahaya (Bersatu-Tasek Gelugor) yang bertanyakan langkah diambil Kementerian Pengangkutan bagi meningkatkan penyertaan golongan berkenaan pada sesi soal jawab lisan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cadangan kajian semula undang-undang pemberi maklumat antara isu Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Persidangan Dewan Rakyat hari ini dijangka mengupas isu berkenaan cadangan mengkaji semula undang-undang berkaitan pemberi maklumat di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, persoalan itu akan dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri selain ingin tahu mengenai keberkesanan melindungi pemberi maklumat dalam kes salah laku dan rasuah berprofil tinggi.

Pada sesi itu juga, Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) meminta penjelasan Menteri Pertanian dan Industri Makanan mengenai isu kenaikan kos input pertanian khasnya baja yang mencecah sehingga 70 peratus dan tindakan kementerian bagi menangani isu tersebut.

Sementara itu, Datuk Zakaria Mohd Edris (Bersatu-Libaran) pada sesi soal jawab akan bertanyakan kepada Menteri Kanan Pertahanan tentang sejauh mana inisiatif berkaitan pertahanan dan keselamatan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 menjamin keselamatan rakyat dan kedaulatan negara.

Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) pula akan membangkitkan mengenai proses penggubalan satu Akta Halal bagi tujuan penyelarasan dan pemantapan peruntukan undang-undang mengenai proses, prosedur serta kawalan pensijilan halal untuk seluruh negara.

Selain Rang Undang-Undang Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang dijangka dibentangkan untuk bacaan kali pertama, sidang Dewan Rakyat hari ini turut tertumpu kepada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat dasar oleh kementerian terlibat.

Dewan Rakyat akan bersidang sehingga 16 Dis ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Potong dana Jabatan Audit Negara, kerajaan tidak serius bendung ketirisan

SHAH ALAM, 11 NOV: Ahli Parlimen Pandan mempersoal pemotongan dana berjumlah RM4 juta kepada Jabatan Audit Negara yang dibimbangi akan menjejaskan pemantauan perbelanjaan kerajaan.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tindakan itu memberi mesej salah sama ada kerajaan serius mengatasi isu ketirisan yang baru-baru ini dilaporkan membabitkan kehilangan peruntukan RM620 juta.

Jelasnya dana sebesar itu mampu menampung pelbagai perbelanjaan seperti projek tebatan banjir yang akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Sepatutnya kita perlu perkasakan pemantauan oleh Jabatan Audit Negara untuk menyemak perbelanjaan di setiap kementerian tetapi kenapa tahun ini peruntukan dipotong RM4 juta.

“Sekarang ini bukan sahaja pendapatan negara menguncup tetapi hutang pun dijangka mencecah RM1 trilion, jadi kita perlu pastikan setiap wang kita ada tidak diseleweng,” katanya pada sesi perbahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Bekas timbalan perdana menteri itu juga mempersoalkan mengapa peruntukan lebih besar dicadang kepada Kementerian Pertahanan berbanding Kementerian Kesihatan (KKM) yang lebih memerlukan ketika berdepan penularan Covid-19.

“Apakah kita hendak beli kereta kebal untuk lawan Covid-19? Saya minta menteri kewangan untuk semak semula dan beri fokus kepada KKM.

“Masa kita sakit baru kita tahu, ketika sihat kita bersyukur…janganlah potong peruntukan kepada KKM,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Teroka hutan ancam populasi, musnah habitat Harimau Malaya

SHAH ALAM, 11 NOV: Pembukaan hutan termasuk untuk pembalakan menjadi punca populasi Harimau Malaya di negara ini semakin berkurangan dan mungkin pupus dalam tempoh lima hingga 10 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata berdasarkan Survei Harimau Kebangsaan Pertama dijalankan pada 2016 hingga 2018 populasi haiwan menjadi ikon negara itu kurang daripada 200 ekor.

Menurutnya penerokaan hutan dengan pemberian lesen pembalakan menyebabkan kemusnahan habitat dan berlaku konflik antara harimau dengan manusia yang akhirnya membawa kepada kematian haiwan itu.

“Haiwan seperti harimau, tapir dan gajah memerlukan kawasan perayauan yang luas dan sumber makanan harimau seperti rusa juga berdepan kepupusan kerana diburu manusia.

“Jadi sebenarnya kalau boleh kita berhenti menebang pokok, pemuliharaan hutan dilaksana dan sambung central forest spine (CFS) untuk besarkan kawasan perayauannya maka mereka tidak masuk ke tempat manusia,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Wan Junaidi mewakili Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang dijangkiti Covid-19 untuk menjawab soalan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang bertanya soalan mengenai usaha meningkatkan populasi Harimau Malaya.

Wan Junaidi berkata kerajaan sedang melaksana pelan 10 tahun pemuliharaan Harimau Malaya yang bermula tahun ini antaranya meningkatkan rondaan di lapangan serta menambah keluasan habitatnya.

Beliau turut menasihatkan penduduk di kawasan diancam dengan pencerobohan haiwan liar seperti harimau supaya jangan membunuhnya sebaliknya menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Categories
AGENDA NASIONAL

Statistik penjawat awam enggan divaksin antara tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Statistik penjawat awam yang enggan divaksin atau belum bersedia menerima vaksinasi Covid-19 tanpa alasan kukuh adalah antara soalan yang akan dikemukakan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman web rasmi Parlimen, persoalan itu akan diajukan oleh Chan Foong Hin (HARAPAN-Kota Kinabalu) kepada Perdana Menteri pada sesi soal jawab.

Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) pula meminta Perdana Menteri menjelaskan mengenai jurang pendapatan golongan bandar dan luar bandar dan sejauh mana pandemik Covid-19 memberi kesan terhadap perkara berkenaan.

Selain itu, Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) akan mengajukan soalan kepada Menteri Kanan Pertahanan mengenai keberkesanan pertahanan negara bagi operasi National Task Force (NTF) melalui Op Benteng di kawasan sempadan negara Laut China Selatan.

Selesai sesi itu, Persidangan Dewan Rakyat akan menyambung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Oktober lepas.

Setakat semalam, seramai 85 Ahli Parlimen daripada blok pembangkang dan kerajaan serta bebas mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat dasar Bajet 2022 yang bermula 1 November lepas.

Penggulungan Bajet 2022 oleh kementerian-kementerian berkaitan dijadual berlangsung selama empat hari bermula 15 November.

Dewan Rakyat akan bersidang hingga 16 Disember.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu judi dalam talian antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Persidangan Dewan Rakyat hari ini antara lain akan mengupas isu berkenaan langkah serta tindakan undang-undang bagi membendung perjudian dalam talian.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, persoalan itu akan diajukan oleh Noorita Sual (PH-Tenom) kepada Menteri Dalam Negeri.

Selain itu, Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) akan mengemukakan soalan kepada Menteri Belia dan Sukan mengenai perancangan untuk melaksanakan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam usaha merealisasikan cadangan pembinaan sekolah sukan khusus bagi pelajar kurang upaya.

Ahmad Hassan (Warisan-Papar) pula meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan dasar dan program yang perlu diadakan bagi mewujudkan sumber pendapatan baharu di samping mengekalkan pekerjaan sedia ada di Sabah.

Persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari kesembilan hari ini akan diteruskan dengan sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022).

Rang undang-undang itu yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Okt telah dibahaskan 42 Ahli Parlimen minggu lepas.

Menurut takwim Dewan Rakyat di laman rasmi Parlimen, perbahasan rang undang-undang itu di peringkat dasar akan diadakan sehingga Khamis ini sebelum sesi jawapan menteri berkaitan bermula 15 Nov.

Dewan Rakyat akan bersidang sehingga 16 Dis.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Langkah jimat wang kerajaan antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Kerjasama Malaysia dengan negara ASEAN dalam menyelesaikan isu Rohingya dan langkah kerajaan mengurangkan ketirisan serta pembaziran kewangan negara, antara topik yang dijangka menjadi tumpuan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, soalan mengenai usaha kerajaan dalam menyelesaikan isu Rohingya dan isu penempatan pelarian Rohingya akan diajukan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) kepada Menteri Luar Negeri semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) pula meminta Perdana Menteri menyatakan usaha drastik kerajaan dalam mengurangkan ketirisan dan pembaziran kewangan negara melalui projek tertangguh seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 2.

Selain itu, Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) pula dijangka bertanya kepada Perdana Menteri mengenai langkah yang diambil Suruhanjaya Pilihan Raya untuk memastikan pengundi 18 tahun keluar mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

Isu mengenai kategori pendapatan isi rumah pula disentuh Cha Kee Chin (PH-Rasah) melalui soalan yang diajukan kepada Perdana Menteri iaitu kerelevanan kategori pendapatan isi rumah mengikut B40, M40 dan T20 selepas pandemik Covid-19.

Beliau juga bertanyakan kesediaan kerajaan bagi meminda kategori isi rumah M40 kepada M20 dan B40 kepada B60 agar bantuan sewajarnya dapat disalurkan kepada mereka yang terjejas.

Selepas sesi soal jawab, ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang akan menyambung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 yang dibentang Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari hingga 16 Dis.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Akta Suruhanjaya Kanak-kanak antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Persidangan Dewan Rakyat hari ini dijangka tertumpu kepada isu mengenai pewujudan Akta Suruhanjaya Kanak-kanak sebagai satu badan bebas dan memiliki bidang kuasa khusus bagi melindungi hak serta kebajikan kanak-kanak di Malaysia.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat hari ini, perkara berkenaan dijadual dibangkitkan semasa sesi soal jawab yang akan diajukan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai progres terkini usaha kerajaan terhadap akta itu.

Pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri, Dr Kelvin Yii Lee Wuen (HARAPAN-Bandar Kuching) pula meminta Menteri Pengangkutan menyatakan langkah kerajaan untuk mengawal jumlah penerbangan dan harga tiket kapal terbang ke Sabah dan Sarawak yang melambung tinggi.

Steven Choong Shiau Yoon (Bebas-Tebrau) pula bertanyakan Menteri Dalam Negeri mengenai sektor dibenar menerima kemasukan pekerja asing baharu, bilangan pekerja asing yang diluluskan bagi setiap sektor dan jangka masa kelonggaran itu akan berlangsung.

Selepas sesi soal jawab, Ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang akan menyambung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 yang dibentang Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari hingga 16 Disember.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Belanjawan 2022 mula dibahas di Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Bajet 2022 yang dibentang Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat, mula dibahas oleh Ahli Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Sesi perbahasan dijadual dimulakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas selesai sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan dan mengikut kebiasaan pembahas kedua adalah daripada Kelab Penyokong Kerajaan (BBC).

Berdasarkan takwim mesyuarat Dewan Rakyat, Bajet 2022 dijadual dibahas di peringkat dasar selama tujuh hari dan akan digulung oleh menteri atau timbalan menteri kementerian-kementerian berkenaan selama empat hari sebelum dibahas di peringkat jawatankuasa selama 13 hari.

Selain itu, tumpuan persidangan hari ini turut terarah kepada isu mengenai sama ada kadar upah tinggi di Australia dan Korea Selatan menjadi punca ramai rakyat Malaysia sanggup bekerja secara haram di kedua-dua negara itu.

Datuk Shabudin Yahaya (Bersatu-Tasek Gelugor) akan mengajukan soalan itu pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, dan turut meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan tindakan yang diambil bagi mengelakkan lebih ramai rakyat Malaysia menjadi buruh paksa di negara berkenaan.

Soalan berkaitan vaksinasi masih mendapat tempat pada sesi pertanyaan lisan apabila Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Bersatu-Alor Gajah) meminta Menteri Kesihatan menyatakan secara terperinci berkenaan langkah-langkah keselamatan yang dijalankan bagi memastikan vaksin yang diterima bersesuaian dengan kondisi badan penerima.

Beliau juga ingin tahu bentuk pampasan yang diterima penerima vaksin sekiranya terdapat kesan sampingan selepas divaksin.

Selain itu, soalan berkaitan Kementerian Kesihatan turut diaju Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan usaha kementerian mengawal selia semua program HPV (Human Papilloma Virus) DNA yang kini sebahagian kecilnya dijalankan Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN).

Nurul Izzah turut meminta Menteri Kesihatan menyatakan komitmen kementerian dalam memastikan kesemua pelajar berusia 13 dan 14 tahun yang terlepas vaksinasi HPV diberikan vaksin itu dalam masa terdekat.

Isu-isu berkaitan Sabah dan Sarawak turut mendapat perhatian wakil rakyat daripada negeri berkenaan apabila Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) menimbulkan persoalan mengenai usaha untuk meningkatkan bekalan air bersih dan elektrik di kawasan luar bandar Sarawak, manakala Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) membangkitkan soalan mengenai pencerobohan pendatang tanpa izin di perairan Sabah.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 32 hari hingga 16 Disember.

– BERNAMA