Categories
NASIONAL SELANGOR

Penjenamaan Kompleks 3C MPSJ Untuk Semua Lapisan Masyarakat

MPSJ

SUBANG JAYA, 16 JUN : Selaras dengan keperluan dan kehendak penduduk di sekitar kawasan Subang Jaya, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengambil inisiatif memperluaskan fungsi kompleks 3C menjadi pusat pembangunan modal insan sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

Kompleks 3C yang dulunya dikenali sebagai ‘Children Creativity Centre’ yang dikhaskan untuk kanak-kanak kini dijenamakan semula menjadi ‘Children & Community Creativity Centre’, di mana ia terbuka kepada semua peringkat umur termasuk dewasa,warga emas dan remaja serta kanak-kanak istimewa.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kompleks ini bukan hanya menggalakkan orang ramai untuk memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan, namun turut berfungsi sebagai medan untuk menghasilkan bakat di kalangan masyarakat.

Menurutnya, setiap program yang dilaksanakan adalah mengikut kesesuaian kepada golongan sasaran dan diterajui oleh tenaga pengajar yang mempunyai kelayakan serta kepakaran.

“Idea menggunakan lima ekar tanah ini (pembinaan kompleks) adalah berdasarkan kreativiti pihak MPSJ dengan sasaran menjadikan kawasan ini sebagai tumpuan masyarakat.

“Tujuannya adalah supaya ia akan menjadi pusat untuk menghidupkan kreativiti masyarakat terutama anak-anak muda dari yang kecil hingga ke dewasa.

“Kita membangunkan Subang Jaya sebagai satu perbandaran masa hadapan (bersifat futuristik) supaya ia akan membina satu kekuatan masyarakat di sini,” katanya sempena Majlis Perasmian dan Penjenamaan Kompleks 3C, di Jalan PJS11/2, di sini semalam.

Hadir sama, Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail serta Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi.

Melalui penjenamaan semula kompleks ini, ia dibahagikan kepada empat komponen utama iaitu pembangunan kanak-kanak, pembangunan komuniti, rakan sinergi serta sewaan dan kemudahan.

Antara aktiviti yang ditawarkan ialah kelas ballet, bengkel catur dan sains (golongan kanak-kanak), kelas mencanting batik dan kulinari (golongan belia), kelas sulaman manik (golongan wanita) dan kelas jahitan serta masakan (golongan ibu tunggal).