Categories
SELANGOR

Hampir 1,000 warga emas dirai

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 6 DIS: Hampir 1,000 warga emas dirai pada Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Selangor 2017, di Hotel De’Palma, di sini.

Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan, Dr. Daroyah Alwi berkata, inisiatif itu diambil bagi menghargai warga emas yang selama ini berjasa dalam memacu pembangunan dan kesejahteraan Selangor sebagai negeri termaju.

“Kita perlu menghargai warga emas supaya golongan itu tidak tertekan dari segi emosi, kewangan, kesihatan dengan menyediakan kemudahan buat mereka hingga akhir hayat.

“Sektor korporat dan swasta juga diharap dapat mengadakan pelbagai program untuk terus mengiktiraf, membantu dan menyokong apa sahaja warga emas perlukan,” katanya.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri (ADN) Bangi, Shafie Ngah dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Mohammad Hanafi Maulud.

Pada majlis bertemakan ‘Bakti dan Budi Ayahanda dan Bonda’ itu, Kerajaan Negeri turut memberi sumbangan RM4,000 kepada empat Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE).

Ia membabitkan PAWE Jenjarom, Kuala Langat, PAWE Kampung Kenanga, Rawang, PAWE Sabak Bernam dan PAWE Sungai Buloh.

Daroyah berkata, sekurang-kurangnya tiga lagi PAWE akan dibuka tahun hadapan, namun lokasi masih belum dapat diumumkan.

“Kewujudan PAWE adalah untuk memastikan warga emas dapat mengisi masa lapang mereka seperti berkawan, jalani kelas agama dan aktiviti senaman,” katanya.

Program itu turut dihadiri warga emas dari Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Selangor, rumahrumah kebajikan sekitar Selangor dan pesara Kerajaan.

Antara pengisian program pada hari ini adalah acara sukan rakyat, pendaftaran skim Peduli Sihat, perkongsian ilmu dan senaman warga emas.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pertimbang Sedia Tempat Tinggal Kepada Mangsa Keganasan Rumah Tangga

Rodziah OSCC 03

KLANG 17 JULAI : Kerajaan Negeri sedang berbincang dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk menyediakan tempat tinggal sementara kepada mangsa keganasan rumah tangga selepas dirujuk kepada Pusat Khidmat Bersepadu (OSCC).

Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan, Rodziah Ismail berkata pihaknya mahu LPHS menyediakan sebahagian rumah kosong dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) dijadikan rumah perlindungan kepada mangsa.

Katanya, hal itu kerana terdapat kes yang dirujuk ke mahkamah mengambil masa yang lama, jadi mangsa hilang tempat untuk berlindung.

“Saya sedang berbincang dengan LPHS berhubung hal ini kerana pihak yang terlibat kadangkala lambat menangani aduan mangsa, jadi selepas keluar dari OSCC mereka hilang tempat perlindungan.

“Mangsa terpaksa tinggal di wad hospital sebagai pesakit, ada juga dengan membawa anak-anaknya mangsa sekali. Jadi perkara ini perlu diberi perhatian serius di peringkat Kerajaan Pusat dan Negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan taklimat pusat itu bagi daerah Klang, di Pejabat Daerah/Tanah Klang, di sini.

Beliau menambah mangsa boleh tinggal di rumah perlindungan itu nanti selama tiga hingga enam bulan yang mana pihak Kerajaan Negeri akan membantu mereka menjana pendapatan sendiri.

“Mereka boleh dibantu oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) dari segi keperluan mereka tetapi dalam masa yang sama kita akan gabungkan dengan program wanita yang disediakan Kerajaan Negeri supaya mangsa dapat mencari pendapatan sendiri.

“Kita memerlukan tempat perlindungan ini jika boleh di setiap daerah. Jadi saya juga berharap semua pihak tampil ke depan untuk membantu menyediakan tempat perlindungan ini, jangan risau di peringkat Kerajaan Negeri sedia membantu,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penjenamaan Kompleks 3C MPSJ Untuk Semua Lapisan Masyarakat

MPSJ

SUBANG JAYA, 16 JUN : Selaras dengan keperluan dan kehendak penduduk di sekitar kawasan Subang Jaya, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengambil inisiatif memperluaskan fungsi kompleks 3C menjadi pusat pembangunan modal insan sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

Kompleks 3C yang dulunya dikenali sebagai ‘Children Creativity Centre’ yang dikhaskan untuk kanak-kanak kini dijenamakan semula menjadi ‘Children & Community Creativity Centre’, di mana ia terbuka kepada semua peringkat umur termasuk dewasa,warga emas dan remaja serta kanak-kanak istimewa.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kompleks ini bukan hanya menggalakkan orang ramai untuk memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan, namun turut berfungsi sebagai medan untuk menghasilkan bakat di kalangan masyarakat.

Menurutnya, setiap program yang dilaksanakan adalah mengikut kesesuaian kepada golongan sasaran dan diterajui oleh tenaga pengajar yang mempunyai kelayakan serta kepakaran.

“Idea menggunakan lima ekar tanah ini (pembinaan kompleks) adalah berdasarkan kreativiti pihak MPSJ dengan sasaran menjadikan kawasan ini sebagai tumpuan masyarakat.

“Tujuannya adalah supaya ia akan menjadi pusat untuk menghidupkan kreativiti masyarakat terutama anak-anak muda dari yang kecil hingga ke dewasa.

“Kita membangunkan Subang Jaya sebagai satu perbandaran masa hadapan (bersifat futuristik) supaya ia akan membina satu kekuatan masyarakat di sini,” katanya sempena Majlis Perasmian dan Penjenamaan Kompleks 3C, di Jalan PJS11/2, di sini semalam.

Hadir sama, Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail serta Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi.

Melalui penjenamaan semula kompleks ini, ia dibahagikan kepada empat komponen utama iaitu pembangunan kanak-kanak, pembangunan komuniti, rakan sinergi serta sewaan dan kemudahan.

Antara aktiviti yang ditawarkan ialah kelas ballet, bengkel catur dan sains (golongan kanak-kanak), kelas mencanting batik dan kulinari (golongan belia), kelas sulaman manik (golongan wanita) dan kelas jahitan serta masakan (golongan ibu tunggal).