Categories
AGENDA NASIONAL

Saringan aktif kawasan PKPD perlu dilaksana, elak Covid-19 merebak

PUTRAJAYA, 10 JULAI: Peningkatan kes harian Covid-19 di Selangor sejak kebelakangan ini adalah hasil aktiviti pengesanan dan ujian saringan secara aktif di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata sebanyak 25,005 saringan telah dijalankan pada 6 Julai berbanding 19,614 pada 5 Julai dan ujian saringan akan ditingkatkan dari semasa ke semasa.

“Semalam Selangor catat 4,400 kes dan 4,152 pada 8 Julai. Daripada data ini, kita akan melihat aktiviti pengesanan kontak dan ujian saringan yang lebih banyak di kawasan PKPD. Memang aktiviti kesihatan awam dan ujian saringan akan ditingkatkan apabila kawasan tersebut diisytiharkan PKPD,” katanya.

Dr Adham berkata demikian dalam sidang media khas berhubung langkah kesiapsiagaan dan strategi Kementerian Kesihatan (KKM) mengurus pandemik Covid-19 di Lembah Klang, di sini hari ini.

Beliau berkata aktiviti pengesanan dan ujian saringan perlu giat dilaksanakan di kawasan PKPD untuk mengawal serta mengekang penularan Covid-19.

Semasa ujian saringan, individu yang dikenal pasti positif akan diasingkan dan diberi rawatan mengikut kategori jangkitan manakala bagi pesakit kategori empat dan lima, iaitu mempunyai gejala radang paru-paru, memerlukan bantuan pernafasan akan dihantar ke hospital untuk rawatan rapi.

Aktiviti pengesanan ini perlu dijalankan untuk mengesan individu yang tidak bergejala supaya dapat diasingkan daripada komuniti serta mengelakkan penularan terus berlaku.

“Inkubasi virus adalah selama 14 hari tetapi varian baharu ini boleh sampai 21 hari. Jadi 14 hari itu kita akan melihat peningkatan ujian saringan dibuat untuk mengesan, mencari dan saring,” katanya.

Beliau berkata usaha membendung Covid-19 bukan sahaja dilihat daripada kes harian tetapi kadar vaksinasi kerana ia mampu mengurangkan kes kemasukan ke hospital dan kematian sekali gus dapat menyelamatkan lebih banyak nyawa.

Menurut, Dr Adham KKM juga membuat keputusan untuk melaksanakan proses vaksinasi di kawasan diisytiharkan PKPD di seluruh negara dan ia akan dilaksanakan selepas individu yang positif diasingkan daripada mereka yang tidak dijangkiti.

“Tempoh PKPD selama 14 hari, jadi dalam masa itu petugas akan buat saringan. Individu yang negatif akan diberi jadual untuk vaksinasi. Vaksinasi perlu diberi secepat mungkin selepas PKPD selesai,” katanya menambah individu terbabit mungkin akan divaksin di kawasan masing-masing atau di pusat yang berhampiran dengan lokaliti terlibat.

Mengenai kesiapsiagaan KKM dalam pengurusan Covid-19, Dr Adham berkata usaha penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta atau daerah sedang giat dilaksanakan dengan tujuan meningkatkan kapasiti katil Covid-19 di hospital awam di Lembah Klang.

— BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih sejuta individu lengkap dua dos vaksin, Selangor tertinggi

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Seramai 1,130,301 individu telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 di negara ini setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Dr Adham menerusi akaun Twitternya hari ini berkata seramai 2,444,075 individu menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini ialah 3,574,376 dos setakat semalam.

Beliau berkata lima negeri yang telah melengkapkan kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 145,972 dos diikuti Sarawak (119,421); Perak (105,546); Kuala Lumpur (101,822); dan Johor (98,429).

Setakat semalam, 52.4 peratus atau 12,708,357 individu telah mendaftar untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan Selangor mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 3,357,323 orang.

Mengikut perancangan, fasa kedua program itu yang bermula April hingga Ogos ini akan melibatkan pemvaksinan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya.

Fasa ketiga bermula bulan lepas hingga Februari 2022 pula melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

Pada fasa pertama program yang berlangsung dari Februari hingga April lepas, kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan termasuk warga kesihatan menerima vaksin itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Larangan rentas negeri kekal hingga 17 Mei

SHAH ALAM, 4 MEI: Pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan hingga 17 Mei atau tarikh lain yang diputuskan kelak, kata menteri kesihatan.

Datuk Seri Dr Adham Baba berkata keputusan itu mengambil kira lebih 13 kluster akibat merentas negeri di beberapa negeri sejak April, lapor Kosmo.

Beliau berkata beberapa kluster komuniti turut dikesan membabitkan kontak rapat dalam kalangan ahli keluarga dan komuniti setempat selepas menghadiri majlis atau program.

“Kami mengesan beberapa kluster yang tercetus dalam komuniti akibat majlis dan program seperti majlis pengebumian, perkahwinan, sambutan perayaan, majlis kesyukuran, majlis pertunangan dan bencana banjir,” katanya dalam sidang media semalam.

Pada 1 Mei, Kementerian Kesihatan Malaysia mencadangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat enam negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Kedah dan Sarawak.

Ketika ini, lima negeri tersebut kecuali Kedah dikenakan PKP Bersyarat sehingga 17 Mei berikutan bilangan kes Covid-19 yang masih tinggi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat kuarantin Covid-19 risiko rendah sedia diaktifkan – menteri

KOTA TINGGI, 4 OKT: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di seluruh negara sudah sedia untuk diaktifkan semula sekiranya pandemik berkenaan terus mencatatkan peningkatan kes, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata pada masa ini terdapat 36 pusat sedemikian di 118 hospital kerajaan serta Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) selain pusat-pusat lain yang diwartakan Majlis Keselamatan Negara seperti Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Serdang, Selangor.

“Kita sentiasa bersedia (untuk mengaktifkan pusat kuarantin) dan renovate tempat seperti ILKKM.

“Kalau kes bertambah kita aktifkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian penutup Sesi Townhall Pembudayaan Norma Baharu Dalam Komuniti Bagi Mencegah Penularan Covid-19 Bersama Pemimpin Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI), di sini hari ini.

Katanya keseluruhan pusat kuarantin tersebut menyediakan 3,467 katil dan kementerian akan berbincang dengan institut latihan lain untuk dijadikan pusat kuarantin tambahan sekiranya keadaan memerlukan.

Sementara itu, Dr Adham berkata kira-kira 20 juta individu direkodkan sudah mendaftar dan menggunakan aplikasi MySejahtera dengan satu bilion ‘check-in’ dicatatkan di seluruh negara.

“Ada dua faktor yang menjadikan kita pantas mengesan Covid-19, yang pertama ialah kebijaksanaan dan keberkesanan pasukan kita mengesan, dan keduanya, kesediaan 58 makmal kita dalam menjalankan ujian termasuk swasta,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM, KPM bekerjasama kaji selidik kesihatan mental pelajar

KOTA TINGGI, 27 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menjalankan satu kaji selidik berhubung kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba berkata kaji selidik itu termasuk data pelajar yang mengalami masalah seperti kemurungan, tekanan dan lain-lain yang boleh menjurus kepada hasrat membunuh diri.

“Semua sekolah akan jalankan kaji selidik bagi melihat peratusan sebenar (pelajar yang mengalami masalah ini), “ katanya pada sidang media selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pinang di sini semalam.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017 menunjukkan satu daripada lima remaja berumur 13 hingga 17 tahun mengalami kemurungan, dua daripada lima pula mengalami keresahan dan satu daripada 10 berdepan dengan stres.

Dr Adham berkata kajian sama juga mendapati trend peningkatan dalam tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja iaitu peningkatan idea bunuh diri kepada 10 peratus berbanding 7.9 peratus pada 2012.

Pada masa sama, beliau berkata KKM dan KPM menjalankan usaha berterusan bagi menangani masalah kesihatan mental pelajar menerusi Program Minda Sihat yang dilaksanakan sejak 2011 dan sehingga kini melibatkan 2,440 daripada kira-kira 10,000 buah sekolah di seluruh negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata KKM dan KPM juga sedang meneliti cara membantu guru kaunselor mengendalikan kaunseling dalam kebiasaan baharu.

KKM katanya turut menyediakan perkhidmatan kesihatan mental melalui klinik kesihatan dan hospital kerajaan, manakala bantuan talian sokongan psikososial boleh didapati melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) di talian 03-29359935 atau 011-63996482.

-BERNAMA