Categories
AGENDA NASIONAL

Penganjur program hari Keluarga Malaysia dikompaun langgar SOP

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Penganjur program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dikenakan kompaun RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19.

Kompaun itu dikeluarkan kepada Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Jabatan Perdana Menteri iaitu penganjur program itu yang berlangsung bermula Khamis hingga Ahad ini, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan hari ini berkata kompaun tersebut dikeluarkan kepada pihak penganjur bagi kesalahan gagal memastikan penjarakan fizikal dan menyebabkan berlakunya kesesakan, di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Akta 342).

Susulan itu, katanya kaunter diskaun pembayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang disediakan di KLCC ditutup serta-merta bermula petang ini.

“Maklumat lanjut mengenai kaedah pembayaran saman dan tawaran diskaun akan dimaklumkan oleh pihak PDRM. KKM akan terus memantau perjalanan program ini dan tidak akan teragak-agak mengeluarkan lagi kompaun kepada pihak penganjur sekiranya gagal memastikan pematuhan SOP,” katanya.

Susulan pengungkaian Ordinan-Ordinan Darurat di Dewan Negara pada 8 Dis lepas, nilai kompaun maksimum yang boleh dikenakan kepada individu dan pertubuhan ataupun organisasi adalah RM1,000.

Menurut Khairy penganjuran majlis yang sepatutnya mempamerkan pencapaian 100 hari kerajaan serta semua kementerian dan agensi terlibat, telah dicemari dengan kegagalan penganjur memastikan kepatuhan kepada SOP dan kegagalan pengunjung untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.

Katanya penganjuran majlis rasmi kerajaan seumpama itu sepatutnya memberikan contoh terbaik dan menjadi teladan serta penanda aras kepada agensi-agensi lain termasuk agensi bukan kerajaan dalam aspek pelaksanaan program, pematuhan SOP dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

“Kejadian yang berlaku amat dikesali dan mengecewakan apabila pihak penganjur sebelum ini telah menyatakan komitmen untuk memastikan program tersebut akan dianjurkan dengan pematuhan SOP yang ketat di samping aktiviti pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan yang berterusan.

“Situasi kesesakan, tiada penjarakan fizikal dan tiada kawalan jumlah pengunjung yang hadir memberi risiko berlakunya penularan jangkitan Covid-19,” katanya.

Sehubungan itu, katanya sebagai sebuah kerajaan, mereka seharusnya menunjukkan teladan serta amalan terbaik kepada seluruh masyarakat di samping berpegang kepada standard sama yang dikenakan ke atas rakyat.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Deposit pembangunan tanah turun 50 peratus, galak syarikat melabur

SHAH ALAM, 6 DIS: Kerajaan Negeri menurunkan deposit tanah sebanyak 50 peratus kepada syarikat yang ingin melabur pada tahun hadapan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu diambil selepas kadar deposit 150 peratus yang ditetapkan sebelum ini membebankan pelabur.

“Dasar yang dikemukan sebelum ini membebankan pelabur antaranya adalah bayaran deposit, deposit mereka (pelabur) perlu dibayar 150 peratus berbanding kadar yang ditetapkan dalam kaedah tanah-tanah Selangor.

“Kali ini untuk 2022, kita letakkan deposit 100 peratus sahaja maknannya pada paras kadar penilaian yang diberikan JPPH (Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta) dan juga kaedah tanah Selangor supaya bebanan mereka dikurangkan dan segera melabur,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Sungai Panjang Dato’ Mohd Imran Tamrin mengenai Dasar Kelulusan 100 hari sama ada Kerajaan Negeri mempertimbang syarat yang lebih fleksibel pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Pada 3 Disember tahun lalu, Amirudin berkata dasar Kelulusan 100 Hari yang dilaksanakan sejak Januari berjaya menarik nilai pembangunan RM216 juta.

Beliau memaklumkan dasar berkaitan proses kebenaran merancang dan urusan pembangunan tanah yang dikurangkan kepada 100 hari berbanding 270 hari dilihat lebih mesra pelabur.

Dasar tersebut akan diteruskan serta ditambah baik untuk merancakkan pembangunan serta pemulihan sektor ekonomi pasca Covid-19.

Bermula Januari 2020, Kerajaan Negeri menguat kuasa serta merta Dasar Kelulusan 100 hari bagi proses pembangunan tanah membabitkan kebenaran merancang, pelan bangunan dan pelan infrastruktur.

Pengurangan tempoh tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor mengikut Mekanisme Pembayaran Deposit Premium ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Selangor.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Program vaksin rekod pemberian tertinggi sejak 100 hari pelaksanaan

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mencatat rekod vaksinasi harian tertinggi semalam dengan pemberian sebanyak 117,563 dos selepas 100 hari ia dilaksanakan bermula 24 Feb lepas.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memaklumkan daripada keseluruhan dos yang diberikan semalam, seramai 109,827 individu mendapat suntikan pertama, manakala 7,736 lagi menerima dos kedua.

“Jumlah ini (pemberian dos vaksin) akan terus meningkat,” demikian menurut jawatankuasa itu menerusi laman Twitternya.

Setakat semalam, jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini berjumlah 3,330,436.

Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata pihaknya menyasarkan untuk memberikan 150,000 dos suntikan setiap hari bulan ini dan ditingkatkan kepada 200,000 suntikan menjelang bulan depan.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata usaha itu akan dibantu dengan penubuhan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) termasuk 1,000 klinik swasta di seluruh negara dan melalui sistem pandu lalu.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

100 hari PKP: Berjayakah Malaysia kekang Covid-19?

Oleh Norshazlina Nor Azman

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Pada 25 Jun tepat 100 hari selepas kali pertama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan 18 Mac lepas.

Persoalannya adakah Malaysia, tidak kiralah rakyat, kerajaan dan barisan hadapan sudah berjaya berikutan langkah ini atau setidak-tidaknya mampu mengekang pandemik maut Covid-19 menjadi lebih buruk?

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengehadkan pergerakan orang ramai untuk keluar rumah, yang turut menyaksikan semua premis di dalam negara terpaksa ditutup kecuali bagi perkhidmatan penting.

Selepas Malaysia melalui tiga fasa PKP termasuklah PKP Bersyarat (PKPB) dari 4 Mei hingga 9 Jun sebelum diganti dengan PKP Pemulihan (PKPP) yang sedang berjalan, berdasarkan ranking dunia, Malaysia kini berada di tangga ke-69 dari 187 negara yang terlibat dengan penularan wabak itu, berbanding tangga ke-17, sehari selepas PKP diumumkan.

Pada 24 Jun, kes baharu Covid-19 kekal mencatatkan satu angka iaitu enam kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan 244 kes dan dengan pertambahan kes baharu itu, menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia 8,596 kes, serta sifar kematian menjadikan jumlah maut akibat wabak itu kekal 121 kes.

Jumlah kes positif terendah dicatatkan pada 10 Jun lepas iaitu hanya dua kes dan ia mungkin petanda baik yang negara berada di landasan betul yang pada mulanya untuk meratakan lengkung jumlah jangkitan, menuju sifar kes sekali gus bebas daripada Covid-19.

Pengorbanan Barisan Hadapan

Anggota perubatan dan kesihatan misalnya terpaksa bekerja syif panjang, siang dan malam sejak lima bulan lalu, tatkala kes pertama Covid-19 dilaporkan di dalam negara iaitu pada 25 Januari, membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura.

Sepertimana orang awam, petugas kesihatan juga tidak lepas daripada rasa takut dan khuatir, malah ramai jururawat mahupun doktor menceritakan ‘azab’ memakai pakaian pelindung diri (PPE), selain ada yang langsung tidak bertemu dan memeluk anak kerana risau kemungkinan memindahkan virus tersebut kepada mereka.

Seramai 416 kakitangan Kementerian Kesihatan juga dijangkiti dengan wabak tersebut, iaitu 80 peratus daripada mereka mendapat jangkitan itu dari luar kemudahan kesihatan, manakala kira-kira 20 peratus lagi jangkitan daripada pesakit dan rakan sekerja.

Berbulan lamanya anggota pasukan keselamatan beruniform biru dan juga yang berceloreng tentera menjalankan rondaan misalnya di kawasan perumahan, selain berpanas berhujan tanpa mengira masa di sekatan jalan raya bagi menahan mereka yang tidak mempunyai justifikasi untuk keluar rumah.

Malah Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, maut selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika bertugas menjaga kawalan sekatan jalan raya akibat kecederaan parah di kepala dan badan manakala seorang lagi cedera parah selepas khemah operasi runtuh disebabkan angin lintang dan hujan lebat.

Tidak ketinggalan agensi penguatkuasaan lain antaranya Agensi Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), pihak berkuasa tempatan (PBT), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Imigresen yang bekerja keras memastikan perang ke atas pandemik ini berjaya.

Operasi demi operasi juga menyaksikan ramai pendatang asing tanpa izin ditahan, kes jenayah di dalam negara juga berkurangan kerana keberadaan anggota penguat kuasa di mana-mana, selain kawalan persempadanan juga terus diperketatkan bagi mengelak negara dibolosi melalui ‘lorong tikus’.

Pematuhan SOP

Sepanjang PKP juga Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan juga ‘Jeneral Perang’ – Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah tidak jemu menyampaikan pengumuman terbaru, apa yang boleh, larangan dan nasihat kepada rakyat agar mematuhi undang-undang.

Mereka juga mengingatkan masyarakat untuk terus mengamalkan pendekatan kebiasaan baharu, ini tidak lain untuk memutuskan sama sekali rantaian jangkitan Covid-19 dan membebaskan rakyat Malaysia daripada virus maut itu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun lepas tidak lupa merakam penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan, selain mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang terus mematuhi SOP dalam menjalankan aktiviti harian sepanjang tempoh PKP dan PKPB.

Sepanjang fasa PKP juga, pelbagai bantuan dan kemudahan telah diberikan kerajaan termasuklah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang bertujuan untuk mengurangkan beban hidup serta sebagai rangsangan ekonomi.

Apapun, semua pihak harus terus berhati-hati , tidak mengambil mudah walaupun sudah banyak kelonggaran diberi kerajaan, saling mengingati antara satu sama lain mengenai SOP dan peraturan supaya Malaysia tidak kembali mencatat peningkatan kes dan akhirnya bebas daripada Covid-19. Ayuh Malaysia! Buktikannya!

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

100 hari pentadbiran Mohamed Azmin, peduli rakyat jadi komitmen utama

Oleh: NURUL FARINA NAZLAN

SHAH ALAM, 31 DIS: Hari ini genap 100 hari pentadbiran YAB Mohamed Azmin Ali sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor selepas dilantik secara rasmi, pada 23 September lalu.

Komitmen jitu dan peduli rakyat yang menjadi corak pentadbiran Mohamed Azmin mampu diterima baik seluruh Selangor, bahkan mendapat maklum balas positif dari pembangkang negeri.

azmin1Beliau dilihat tidak kekok menjalankan pelbagai aktiviti bersama rakyat hingga sanggup masuk ke dalam longkang, berbasikal sekitar Pulau Ketam, bahkan menolak sebarang cenderahati dalam program turun padang yang dihadirinya.

Penyelesaian tuntas lagi pantas membabitkan kontroversi Bible, perjanjian air dan Kidex memperlihatkan kesungguhan Adun Bukit Antarabangsa itu dalam memaknakan kesejahteraan rakyat Selangor secara keseluruhan.

Kejayaan menyelesaikan isu rampasan Bible yang berlarutan, sejak Januari lalu juga mendapat reaksi positif masyarakat Islam dan bukan Islam, bahkan beberapa tokoh badan bukan kerajaan (NGO) juga menyifatkan Mohamed Azmin berjaya mempraktikkan toleransi berprinsip seperti zaman Rasulullah SAW.

MB Azmin loriSelain itu, beliau secara tegas menetapkan tiga syarat untuk dipatuhi-tambahan terma baru yang perlu dipatuhi sebelum perjanjian konsesi berakhir 15 Februari ini, membabitkan isu kelulusan projek lebuh raya KIDEX.

Kerajaan Selangor di bawah pentadbiran Mohamed Azmin juga kini memuktamadkan pengambilan dua lagi syarikat konsesi iaitu Syarikat Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS) dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

Mohamed Azmin juga bertekad memastikan pembinaan Projek langat 2 baik dari segi kapasiti, kos kejuruteraan dan pembinaan yang dinilai secara objektif oleh wakil Kerajaan Negeri supaya tiada pembaziran.

Isu sampah di beberapa lokasi seluruh negeri turut menjadi keutamaan Mohamed Azmin apabila sanggup memberikan nombor telefon peribadinya supaya rakyat boleh melapor secara langsung kepada beliau berhubung masalah terbabit.

MB Azmin Pada masa sama, program terjah yang sinonim dengan Mohamed Azmin sejak mula mentadbir Selangor sudah menjadi sebutan di beberapa negeri lain apabila beliau sanggup turun padang dan menerjah Pantai Timur untuk meninjau keadaan mangsa banjir yang dilanda bencana itu, sejak pertengahan Disember lalu, sekali gus menyerahkan sumbangan tanpa mengira perbezaan ideologi politik.

Sikap prihatin Mohamed Azmin tidak terhenti di situ apabila turut merangka pelan bantuan pasca banjir untuk mangsa di Kelantan dan mengarahkan anak syarikat di bawah Kerajaan Negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk terbabit secara langsung.

100 hari pentadbiran Mohamed Azmin adalah petanda awal yang mampu memberi kelangsungan yang baik kepada rakyat Selangor yang berbilang bangsa dan fahaman politik melalui sikap prihatin, pantas, tegas dan teliti beliau.

Selangor Kini turut menerbitkan akhbar keluaran khas 100 Hari Pentadbiran Mohamed Azmin , hari ini.

 

Categories
NASIONAL

100 hari selepas PRU 13, PM tandus idea

Datuk-Seri-Najib-Tun-Razak1Oleh Sim Tze Tzin

(RENCANA) Minggu ini, genap 100 hari Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri selepas PRU 13. ?Benchmark? 100 hari dalam pentadbiran baru julung-julung kali dimulakan oleh Presiden Roosevelt dari Amerika.

Beliau melancarkan dasar dan insiatif yang dinamakan New Deal dalam 100 hari pertama menjadi Presiden. Presiden-presiden Amerika yang seterusnya dinilai mengikut 100 pertama dalam pentadbiran.

Dalam konteks Malaysia, Najib melancarkan 11 initiatif baru dalam 100 pertama selepas menjadi PM pada 2009. Walaupun kebanyakan 11 initiatif tersebut hanya berupa superficial, seperti memberi diskaun touch n go dan sebagainya – akan tetapi ia telah meningkatkan publisiti pada masa itu.

Apabila masuk penggal kedua, dengan pengalaman satu penggal, Perdana Menteri seharusnya penuh dengan pelbagai dasar dan idea baru. Malangnya beliau tidak banyak mengumumkan apa-apa dasar baru, atau perubahan dasar yang bermakna.

Pejabat saya membuat kajian terhadap kenyataan terbuka Perdana Menteri, facebook dan twitter beliau selama 100 hari. Kami mengkategorikan kepada 5 tajuk utama:

1. Dasar Baru dan perubahan dasar
2. Pentadbiran Seharian
3. Ucapan Selamat, Tahniah dan Takziah
4. Hadir program
5. Lain-lain

Sepanjang 100 hari pertama, Najib mengutus 308 tweets. Kami agak terkejut mendapati hanya empat tweet yang berupa dasar baru iaitu satu peratus. Ini agak membimbangkan kerana pentadbiran negara selama 100 hari, hanya ada empat dasar yang baru.

Tweet Pentadbiran seharian sebanyak 49 peratus, ucapan tahniah, takziah 27 peratus, hadir program 5 peratus dan lain-lain 18 peratus.

Pada masa yang sama, selepas PRU13, negara kita juga penuh dengan cabaran genting. Pejabat saya memilih 10 isu atau cabaran yang paling utama dalam 100 hari Najib menjadi Perdana Menteri. Kami merujuk keratan media, FB dan twitter beliau untuk mencari maklum balas daripada Perdana Menteri.

Kami mengkategorikan 10 berita tersebut kepada 3 kategori: 1. Politik dan Dasar 2. Ekonomi 3. Sosio-Jenayah.

Kami berpendapat, semua cabaran tersebut memerlukan kepimpinan negara yang jelas, tegas dan berwawasan. Namun, mengikut kajian kami, Najib sekali lagi gagal dalam kajian kami.

Dalam 10 isu tersebut, Najib hanya menjawab atau komen dalam dua isu. Hanya satu dasar baru iaitu meletakkan SPR di bawah Parlimen dikemukakan. Itupun belum ada butiran lanjut selepas 77 hari diumumkan pada 1hb Jun 2013.

Kesimpulan yang kami dapati adalah, Najib hilang focus dalam memimpin negara. Beliau juga hilang idea baru. Negara sekarang dalam keadaan autopilot. Pihak konservatif UMNO telah ?hijack? isu-isu dan menjadi suara kepada pentadbiran kerajaan. Kelemahan kepimpinan Najib menjadikan keadaan negara tidak terkawal. Keadaan ini amat membimbangkan.

Pada pendapat saya, Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat harus lebih fokus dalam pengurusan pentadiran. Buat masa sekarang, BN atau PR kurang menonjolkan dasar dan idea baru. Rakyat mahu lihat perubahan yang ketara, maka dasar yang mesra rakyat harus dilaksanakan, harapan mereka tinggi.

Saya belum buat kajian terhadap pentadbiran yang lain, tapi saya ingin memberi pujian kepada Exco Kerajaan Pulau Pinang, YB Jagdeep Singh. Setahu saya, beliau telah berusaha melaksanakan perubahan kepada dasar pemilikan rumah kos rendah dan cuba membersihkan sebarang kecurangan. Inilah dasar dan fokus yang rakyat inginkan.

Maka, saya menyeru semua pentadbiran negara, baik menteri-menteri dari peringkat pusat mahupun exco-exco kerajaan negeri, Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional supaya menumpu balik kepada pentadbiran dan melaksanakan dasar mesra rakyat. Tonjolkan kepimpinan dan pengurusan negara dengan lebih baik.

* Sim Tze Tzin adalah Ahli Parlimen Bayan Baru