Categories
GLOBAL

Kami tidak jual data orang ramai – Facebook

SAN FRANCISCO 17 APR: Facebook, yang terbabit dalam skandal berhubung salah urus data pengguna, semalam mengesahkan ia juga mengumpul maklumat orang ramai di luar penggunaan rangkaian sosial itu.

Ketika sesi keterangan panas di Kongres minggu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg, menjelaskan media sosial itu mengumpul data melebihi apa yang dikongsi pengguna dalam profil mereka.

“Apabila melawat laman atau aplikasi yang menggunakan perkhidmatan kami, kami mendapat maklumat walaupun pengguna sudah log keluar atau tidak mempunyai akaun Facebook.

“Ini kerana aplikasi dan laman lain tidak tahu siapa menggunakan Facebook,” kata pengarah pengurusan produk Facebook, David Baser, dalam siaran di blog rangkaian sosial itu.

Baser berkata, banyak laman web dan aplikasi menggunakan perkhidmatan Facebook untuk mensasarkan kandungan dan iklan, termasuk menerusi butang ‘Suka’ dan ‘Kongsi’ rangkaian sosial itu, apabila pengguna menggunakan akaun Facebook untuk log ke laman web atau aplikasi lain dan iklan Facebook dan alat ukuran.

Namun beliau menegaskan amalan itu sudah meluas, dengan syarikat seperti Google dan Twitter juga melakukan perkara sama.

“Kebanyakan laman web dan aplikasi menghantar maklumat sama kepada banyak syarikat setiap kalau orang ramai menggunakannya.

“Ada tiga cara utama Facebook menggunakan maklumat yang kami dapatkan daripada laman web dan aplikasi lain: menyediakan perkhidmatan kepada laman atau aplikasi; memperbaiki keselamatan Facebook; dan meningkatkan produk dan perkhidmatan sendiri.

“Saya mahu jelaskan: Kami tidak menjual data orang ramai,” menurut siaran di blog itu. –

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Kongres AS desak Mark Zuckerberg beri penjelasan

WASHINGTON 21 MAC: Ketua eksekutif, Facebook Inc (Facebook), Mark Zuckerberg digesa memberi penjelasan kepada Kongres Amerika Syarikat, berhubung penyalahgunaan dana milik pelanggannya.

Gesaan itu dibuat, Senator Dianne Feinstein yang juga anggota Jawatankuasa Kehakiman dari Parti Demokrat.

“Seramai 50 juta orang hilang maklumat peribadi, kerahsiaan.

“Saya fikir, kita perlu meminta ketua Facebook, bukan peguam mereka, bukan orang kedua dalam syarikat itu, tetapi orang pertama dalam syarikat itu, untuk bertemu dengan kita.

“Ia hanya, jika mereka benar-benar bersedia untuk menjadi pemimpin dalam industri ini dan mengawal perkara seperti ini daripada berlaku,” kata Feinstein kepada wartawan di Dewan Senat Amerika Syarikat.

Beliau berkata demikian ketika anggota Kongres mendesak syarikat pengendali media sosial itu bertanggungjawab, terhadap isu kebocoran maklumat peribadi penggunanya, oleh syarikat perunding politik yang dilantik pasukan kempen Presiden Donald Trump.

Sementara itu, saham Facebook mencatat kejatuhan sebanyak 3.5 peratus semalam, atau 17 peratus di bawah paras tertinggi yang direkodkan bulan lalu, ketika pelabur bimbang mengenai risiko yang bakal dihadapi Facebook, susulan pendedahan firma perunding memperoleh data 50 juta pengguna rangkaian media sosial itu, secara tidak sah.

Semalam, Facebook berkata, mereka bakal menghadiri sesi soal jawab dengan Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) berhubung perolehan data oleh Cambridge Analytica.

Namun, syarikat itu menolak sesi itu adalah satu bentuk siasatan rasmi.

“FTC dilaporkan sedang mengkaji sama ada Facebook melanggar perintah persetujuan yang dicapai dengan pihak berkuasa pada 2011, mengenai amalan kerahsiaan syarikat itu,” kata individu yang maklum mengenai perkara itu kepada Reuters.

SUMBER: REUTERS

 

Categories
GLOBAL

Mark Zuckerberg rugi 3.3 bilion

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 15 JAN: Langkah mengurangkan sebarang spam dan iklan di Facebook NewsFeed membawa kepada kerugian peribadi pengasasnya, Mark Zuckerberg sebanyak USD 3.3 bilion .

Menurut Zuckerberg, hasrat beliau mahu meningkatkan post berkaitan rakan dan keluarga pengguna di samping mengurangkan kandungan bukan iklan mengakibatkan beliau mengalami kerugian besar.

“Kami membina Facebook untuk membantu orang ramai berhubung yang lebih rapat bersama orang yang penting kepada kami.

“Tetapi baru-baru ini, kami mendapat maklumbalas bahawa kandungan umum, posting dari perniagaan, jenama dan media, semakin menyemakkan momen peribadi pengguna,”katanya.

Katanya, keputusan itu ternyata memakan diri apabila saham Facebook menurun 4.4 peratus pada jumaat lalu ketika saham didagangkan pada USD 179.37 berbanding USD 187.77 pada hari sebelumnya.

Keadaan itu juga menyebabkan beliau hilang kedudukan sebagai individu keempat terkaya di dunia mengatasi pengasas syarikat Zara, Amancio Ortega.

Zuckerberg mengasaskan Facebook pada usia 19 tahun dan memiliki 17 peratus saham dalam syarikat berkenaan.

Categories
GLOBAL

FB dan Instagram alami gangguan akses di AS, Eropah & Kanada

WASHINGTON 12 OKT: Pengguna Facebook (FB) dan Instagram di beberapa bahagian di Amerika Syarikat, Eropah dan Kanada tidak dapat mengakses akaun masing-masing berikutan isu teknikal dihadapi rangkaian media sosial itu.

“Kami sedar sebahagian pengguna berhadapan masalah mengakses Facebook dan Instagram. Kami berusaha mengembalikan keadaan kepada normal secepat mungkin,” kata jurucakap Facebook, lapor REUTERS.

Terdahulu, DownDetector.com, yang memantau gangguan, menunjukkan ada lebih 12,000 aduan pengguna mengenai isu dengan penggunaan laman web.

Downdetector dalam laman webnya menyebut, 50 peratus pengguna melaporkan masalah untuk log masuk, manakala 40 peratus mengadu berhadapan isu akaun terpadam sepenuhnya dan 10 peratus lagi mengalami masalah gambar.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Pengasas WhatsApp umum undur diri

GLOBAL 13 SEPT: Brian Acton, pengasas bersama aplikasi WhatsApp yang kini dimiliki Facebook Inc mengumumkan untuk mengundur diri daripada syarikat rangkaian mesej tersebut.

Beliau mengumumkan perkara itu melalui satu kenyataan di Facebook pada Selasa, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Acton berkata beliau mengundur diri kerana mahu memulakan sebuah yayasan baharu.

Sebelum ini, Acton meluangkan masa sembilan tahun bersama WhatsApp yang dibeli Facebook pada 2014 secara tunai dan dalam bentuk saham bernilai AS$19 juta(RM79.8 billion).

Brian-ActonGraduan lulusan Standford itu mengasaskan WhatsApp bersama dengan rakannya, Jan Koum dari Ukraine pada 2009.

Kedua-duanya sebelum ini pernah berkhidmat bersama Yahoo sebelum memutuskan untuk mewujudkan aplikasi WhatsApp.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Facebook: Masalah teknikal punca gagal akses

GLOBAL 27 OGOS: Kegagalan pengguna mengakses Facebook dan Instagram seluruh dunia malam tadi adalah disebabkan isu teknikal

Agensi Berita Antarabangsa CNNMoney melaporkan Facebook yang juga pemilik Instagram mengesahkan kejadian dan berkata, mereka terus menyiasat punca masalah itu sebelum berusaha mengembalikan perkhidmatan untuk orang ramai.

Facebook turut meminta maaf atas sebarang kesulitan berkaitan masalah itu.

Bagaimanapun, tiada penjelasan diberi berhubung punca masalah teknikal yang dihadapi.

Facebook downDalam kejadian malam tadi, ramai pengguna di seluruh dunia menghadapi masalah apabila cuba membuka akaun masing-masing.

Laporan mula diterima http://downdetector.com bermula kira-kira 9 malam sehingga sejam kemudian.

Bagaimanapun, perkhidmatan kedua-dua laman sosial kini dipercayai sudah kembali normal.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Suruhanjaya Eropah denda Facebook RM529 juta

BRUSSELS, Belgium 20 MEI: Suruhanjaya Eropah (EC) mendenda Facebook €110 juta (RM529 juta) kerana memberikan maklumat mengelirukan semasa siasatan EC mengenai pembelian aplikasi mesej, WhatsApp oleh laman jaringan sosial berkenaan pada 2014.

Suruhanjaya itu berkata, Facebook menafikan bahawa akaun Facebook dan WhatsApp milik pengguna akan bersambung secara automatik walaupun syarikat itu sedar perkara tersebut boleh berlaku, lapor AGENSI.

EC memberitahu, denda itu dikenakan kerana Facebook memberikan maklumat tidak tepat dan mengelirukan tetapi hukuman itu tidak memberikan sebarang kesan terhadap pengambilalihan WhatsApp.

“Keputusan itu memberi isyarat jelas kepada syarikat bahawa mereka perlu mematuhi semua peraturan penggabungan ditetapkan Kesatuan Eropah(EU) termasuk keperluan untuk membekalkan maklumat yang tepat,” kata Pesuruhjaya Dasar Persaingan EU, Margrethe Vestager.

Dalam reaksi terhadap keputusan EC, Facebook menyatakan bahawa pihaknya berniat baik semasa berinteraksi dengan suruhanjaya berkenaan.

“Kesilapan kami lakukan sewaktu pemfailan pada 2014 tidak disengajakan dan suruhanjaya EU berkenaan mengesahkan bahawa kesilapan ini tidak memberi kesan terhadap penggabungan tersebut,” kata seorang jurucakap Facebook.

Denda dikenakan oleh EC adalah yang pertama ke atas sebuah syarikat media sosial sejak undang-undang penggabungan diperkenalkan pada 2004.

Pada awal minggu ini, Suruhanjaya Kebebasan Maklumat Kebangsaan Perancis mengenakan denda €150,000 (RM722,000) terhadap Facebook kerana mencabuli Akta Perlindungan Data.

=EZY=

Categories
GLOBAL NASIONAL

Pembunuh Facebook tumpas

ERIE, PENNSYLVANIA, 20 APRIL: Suspek yang menembak mati seorang warga emas secara rawak dan menyiarkannya di Facebook membunuh diri di Pennsylvania selepas dikejar pegawai polis daerah itu, semalam.

Kejadian berlaku selepas orang awam mengenal pasti suspek terbabit, Steve Stephens dalam kereta Ford Fusion warna putih berhampiran kaunter pandu lalu McDonald’s sebelum menghubungi pihak berkuasa.

Stephens dilapor melarikan diri dan berlaku aksi kejar mengejar dengan polis di Pennsylvania.

Kenderaan suspek kemudiannya hilang kawalan dan Stephens didapati menarik pistol lalu menembak diri sendiri di kepala.

“Walaupun lega kes ini selesai tetapi kami tidak mahu ia berakhir begini kerana banyak soalan yang ingin ditanya kepada suspek,” kata Ketua Polis Cleveland, Calvin Williams.

Sejak dua hari lalu, pihak berkuasa di seluruh negara menggiatkan usaha mencari Stephens yang menyebabkan kematian Robert Godwin.

Godwin, 74, ditembak ketika berjalan pulang dari Cleveland dan video kematiannya disiarkan di Facebook.

Categories
GLOBAL NASIONAL

‘Pembunuh Facebook’ jadi buruan polis

OHIO, 18 APRIL: Polis di Cleveland kini giat memburu seorang lelaki yang menembak mati warga emas di daerah itu dan menyebarkan klip video pembunuhan terbabit secara meluas di Facebook.

Ketua Polis Cleveland, Calvin Williams berkata, sasaran dipergiatkan di seluruh Amerika Syarikat (AS) bagi memastikan suspek yang dikenali sebagai Steve Stephens ditahan.

“Polis mengeluarkan amaran kepada penduduk di sekitar Pennsylvania, New York, Indiana dan Michigan kerana suspek dipercayai sudah meninggalkan Ohio,” katanya lapor Reuters.

Difahamkan Stephens mengaku membunuh 13 individu dan mahu memburu lebih ramai mangsa.

Terdahulu, lelaki terbabit menggunakan perkhidmatan Facebook Inc untuk menghantar video dia membunuh Robert Godwin Sr, 74, yang dilihat berdiri berhampiran kaki lima dan membawa beg membeli-belah.

Sementara itu, ganjaran USD50,000 ditawarkan kepada orang ramai untuk memberi maklumat berkenaan lokasi Stephens.

-AA-

Categories
SELANGOR

Sekolah didakwa minta pelajar sedekah kertas A4

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 OGOS: Seorang ibu terkejut apabila mendapati anaknya membeli satu ‘rim’ kertas bersaiz A4 setiap seorang untuk disedekahkan kepada pihak sekolah.

Ibu terbabit, Sharifah Mohd Jahaya dalam satu catatan di Facebook berkata, anaknya memaklumkan arahan itu dibuat ekoran pihak sekolah tidak mampu menyediakan kertas untuk digunakan dalam peperiksaan.

“Saya bawa anak ke Tesco dan mereka beli kertas A4 seorang satu rim, lalu saya bertanya untuk apa dan mereka menjawab ia untuk disedekahkan kepada sekolah bagi tujuan peperiksaan.

“Setiap pelajar perlu sedekah satu rim kerana sekolah tiada duit untuk membeli kertas,” tulisnya.

Dalam posting itu, Sharifah turut mengingatkan pemimpin kerajaan supaya lebih prihatin terhadap isu terbabit dan tidak melakukan pembaziran dana rakyat sesuka hati.

“Teruk betul kewangan kerajaan, jika begini keadaan sekolah tidak perlu ada peperiksaan kerana ekonomi negara teruk.

kertas a4“Minta pihak bertanggungjawab prihatin terhadap masalah kewangan negara. Jangan syok habis duit rakyat untuk kepentingan diri sendiri. Apa nak jadi ni?” soalnya.

Perkara sama turut dikongsi beberapa pengguna Facebook lain iaitu Rusazian Rusdi dan Rosidah Osman yang berkata masalah terbabit membelenggu anak-anak mereka.

“Sudah lama ada sekolah terpaksa minta dengan ibu bapa. Memalukan,” katanya.

-AA-

Categories
NASIONAL

Pijak mati anak kucing buat ribuan netizen berang

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 FEB: Ribuan netizen di laman sosial Facebook berang terhadap pemilik akaun bernama Nur Aina apabila memuatnaik gambar kucing dipijak sehingga mati dalam keadaan mengerikan selepas ia didakwa mencuri ikannya.

Empat gambar itu turut melibatkan gambar terakhir menunjukkan kucing itu sedang dipijak dengan menggunakan tumit kasut tinggi wanita dengan kepalanya hancur dan biji mata yang terkeluar dari tengkoraknya.

“Petang tadi punya cerita, padan muka kau kucing, curi ikan aku. Ini makan dia, bo##h punya kucing,” tulis Nur Aina.

FacebookKelmarin, SelangorKini mendapati tindakan tidak berperikemanusiaan itu mencetuskan kemarahan ribuan netizen dan dengan sekelip mata menjadi viral apabila dikongsi lebih 400 pemilik akaun lain serta hampir 1,000 komen mengutuk perbuatan itu dalam tempoh kurang dua hari.

Sementara itu berpuluh komen turut mengancam untuk melaporkan kepada pihak facebook berhubung perkara ini.

Nur Aina bagaimanapun bukan sahaja tidak menghiraukan kemarahan nitizen sebaliknya seolah-olah cuba memprovokasi dengan memuatnaik gambar terbaru yang menunjukkan seekor kucing yang seolah-olah kepalanya tersekat pada segelas susu.

Dia menulis dengan kapsyen “Aku sengaja tinggalkan susu itu sikit supaya kepala kau tersekat. Kejap lagi matilah kau,” tulis Nur Aina dan sekaligus mengundang kemarahan orang ramai.

Semakan semula SelangorKini malam tadi mendapati, pihak facebook mengambil langkah tidak memaparkan gambar kucing dipijak itu secara terus sebaliknya diletakkan amaran kemungkinan menyinggung perasaan sesetengah pihak sebelum boleh diklik oleh pengguna Facebook.

Dalam masa kurang dua jam berikutnya, SelangorKini turut mendapati akaun terbabit ‘hilang’ dipercayai sama ada dinyahaktif oleh pengendalinya atau disekat oleh Facebook akibat aduan netizen.

Sementara itu, status memaparkan anak kucing dipijak hingga mati itu turut sempat dikongsi di laman Facebook Ketam Batu dan dikongsi semula oleh 239 pemilik akaun facebook lain.

“Kejam manusia ini. Kejamnya seperti syaitan. Setakat ikan saja pun sanggup buat kucing macam itu,” tulis Siti Nurnazirah Miting.

“Dia ni pijak kepala kucing ni, nanti kau punya kepala pulak orang pijak,” komen Bob Bell pula.

Bagaimanapun beberapa komen menyatakan gambar itu sebenarnya merupakan gambar dipetik di luar negara pada beberapa tahun lalu dan dipetik semula Nur Aina dipercayai untuk mendapatkan publisiti murahan.

EZY

Categories
NASIONAL

Haramkan akaun Facebook Alvin Tan

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 NOV: Warga Facebook disaran membuat aduan kepada pentadbir laman sosial itu untuk mengharamkan akaun Alvin Tan.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, berkata perbuatan Alvin berterusan menghina Islam tidak mewakili kaum Cina dan bukan Islam.

teresa kokKatanya, perbuatan itu sekadar merosakkan keharmonian masyarakat majmuk serta memalukan Malaysia.

“Saya merasa marah dan kesal melihat perbuatan gila blogger Alvin Tan yang menghina dan mengotorkan Al-Quran.

“Perbuatan yang mengejikan ini menyakiti hati semua umat Islam dan bukan Islam.

“Justeru itu, saya menyeru semua pemilik Facebook memanjangkan aduan berkenaan perbuatan keji Alvin Tan kerana ia bercanggah dengan jiwa dan prinsip Facebook,” katanya dalam satu status di Facebook sebentar tadi.

Terdahulu, Alvin Tan bertindak kurang ajar dengan menghina dan mengotorkan Al-Quran.

Perbuatan itu mengundang reaksi kurang senang bukan sahaja umat Islam tetapi juga bukan Islam.

-NFN-