Categories
NASIONAL

Gobind puji sokongan Facebook tangani maklumat palsu

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, memuji inisiatif Facebook dalam menyokong usaha kementeriannya menangani maklumat salah dan palsu.

Beliau berkata, kerajaan menyedari bahawa penyedia media sosial melakukan banyak kerja pada kandungan yang dijana pengguna (UGC) untuk menentang pornografi kanak-kanak, keganasan dan ucapan kebencian.

“Usaha ini terdiri daripada sumber yang direka untuk membantu orang berfikir secara kritikal dan berkongsi secara bertanggungjawab, membantu mereka lebih memahami dan lebih mudah mengawal apa yang dilihat di media sosial, untuk bekerjasama dengan pihak ketiga yang memeriksa data dengan pantas bagi mengatasi maklumat yang salah.

“Cabaran sekarang adalah untuk menangani kepelbagaian dalam kandungan UGC yang akan memasukkan konteks tempatan untuk setiap negara yang mempunyai kebimbangannya sendiri,” katanya pada majlis pembukaan pejabat baru Facebook di Q Sentral, di sini semalam.

Pembukaan pejabat itu disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Gobind berkata, walaupun terdapat beberapa bentuk pengiktirafan terhadap keperluan untuk menangani ucapan kebencian dengan segera, terdapat juga bentuk ekspresi lain yang boleh menimbulkan ancaman kepada kestabilan, keharmonian dan keselamatan negara.

“Aliran maklumat bebas boleh menjadi sesuatu yang baik tetapi ia juga boleh disalah gunakan,” katanya.

Beliau berkata adalah baik apabila ia digunakan untuk menghubungkan orang dan masyarakat, namun ia juga boleh digunakan untuk menghasut kebencian, keganasan dan menyebarkan berita palsu serta maklumat salah.

“Kementerian saya memainkan peranan utama dalam memastikan semua orang boleh menggunakan platform media sosial dengan selamat dan bertanggungjawab, tetapi itu lebih mudah untuk diucapkan daripada dilakukan,” katanya.

Gobind berkata kementeriannya juga berharap untuk bekerja lebih rapat dengan Facebook, khususnya dalam bidang Penguatkuasaan Piawaian Komuniti.

Beliau turut berharap Facebook akan terus meneroka peluang untuk bekerjasama dengan usahawan tempatan dan masyarakat bagi mewujudkan dunia yang lebih berhubung.

Beliau berkata, kehadiran dan komitmen yang dipertingkatkan di Malaysia adalah langkah utama ke arah membantu meningkatkan kemahiran digital perusahaan kecil dan sederhana (SME) Malaysia, memperkasakan mereka untuk mengembangkan perniagaan dan berhubung dengan seluruh dunia melalui pendidikan, pandangan serta peralatan untuk berjaya.

-BERNAMA

Categories
EKONOMI

Facebook Malaysia komited bantu percepat ekonomi digital negara

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Facebook Malaysia komited untuk mengembangkan pelaburan tempatan dan membantu mempercepatkan transformasi digital negara melalui usaha tiga serampang.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata inisiatif itu termasuk program “Made by Malaysia, Loved by the World” (Buatan Malaysia, Disukai Dunia), yang dianjurkan oleh Facebook, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan platform perdagangan sosial, AVANA.

“Program ini telah membantu memperkasakan lebih daripada 1,000 perniagaan di tujuh bandar raya di Malaysia, untuk melengkapkan mereka dengan peralatan untuk mengeksport produk mereka dan menyediakan keupayaan dalam talian digital bagi pertumbuhan di luar sempadan Malaysia.

“Ini adalah program yang pertama seumpamanya di ASEAN, yang disasarkan untuk melibatkan dengan 1,000 lagi perniagaan menjelang akhir 2019,” kata syarikat itu sambil menambah DHL Express juga akan menyertai usaha ini.

Facebook Malaysia juga berkata, ia bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan tempatan untuk menyokong usaha kerajaan Malaysia untuk meningkatkan lagi infrastruktur digital negara dengan pelancaran perintis pasaran ‘Terragraph’ berskala besar pertama di Georgetown, Pulau Pinang.

“Kami meningkatkan percubaan teknologi Terragraph di Malaysia dengan kerjasama penyedia perkhidmatan tempatan yang lain, termasuk penyediaan WiFi, akses tanpa wayar tetap serta aplikasi dan perkhidmatan bandar pintar.

“Percubaan yang akan datang ini akan berlangsung di Cyberjaya,” kata syarikat itu.

Ia juga berkata, Program ‘Facebook Community Leadership Circle’ akan dilancarkan pada akhir tahun untuk memperkasakan dan menyokong pemimpin komuniti Facebook yang memupuk dan mengukuhkan Kumpulan Facebook, yang mencatatkan lebih daripada 1.4 bilion pengguna setiap bulan.

Pengarah negara Facebook Nicole Tan berkata Malaysia penting kepada Facebook dengan lebih 23 juta rakyat Malaysia di platform itu setiap bulan, berhubung dengan keluarga, rakan, perniagaan dan komuniti.

“Ekonomi negara sedang melalui transformasi masyarakat dan digital, ditambah pula dengan dorongan besar bagi pertumbuhan perindustrian, inovasi teknologi dan keusahawanan.

“Ia sesuatu yang menarik untuk turut serta dalam perkara ini, dan kami membuat pelaburan dalam rakan kongsi, program, peluang dan orang-orang yang membantu kami mewujudkan kesan positif dalam komuniti mereka,” katanya.

Facebook Malaysia meraikan pembukaan ruang pejabat baharu yang diperluaskan di Q Sentral di sini, hari ini.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Insiden Christchurch: Facebook perketat peraturan penstriman langsung

MOSCOW, 15 MEI: Facebook mengumumkan akan memperketat peraturan terhadap mereka yang mencabul standard komunitinya dengan kandungan penuh kebencian, susulan serangan ganas di New Zealand, yang distrim secara langsung menerusi platform media sosialnya.

“Hari ini kami memperketat peraturan yang digunakan terutama untuk siaran langsung. Kami akan menggunakan dasar ‘one strike’ bagi siaran langsung yang berkaitan dengan kesalahan lebih luas.
“Mulai saat ini, sesiapa yang melanggar dasar paling serius kami akan disekat daripada menggunakan siaran langsung bagi tempoh tertentu, contohnya selama 30 hari mulai tarikh kesalahan pertama mereka,” kata Guy Rosen, naib presiden Facebook bagi pengurusan produk, dalam satu hantaran blog pada Selasa.

Syarikat itu berkata, ia juga akan turut memperluas sekatan tersebut bagi mencegah pihak yang menggalakkan ceramah kebencian daripada membuat iklan di Facebook.

Di samping itu, Facebook mengumumkan bahawa ia kini berkongsi dengan beberapa universiti Amerika Syarikat untuk menyelidik dan membangunkan teknologi yang boleh mengesan manipulasi media dari segi imej, video dan audio, dalam usaha mencegah kandungan kebencian yang terdapat di lamannya merebak menerusi pelbagai media.

Pada April, Facebook berkata ia telah menutup beberapa halaman yang dikaitkan dengan kumpulan yang mempromosi nationalisme kulit putih, menguatkuasakan satu larangan yang diumum syarikat itu pada Mac sebagai respons kepada insiden tembakan di New Zealand.

Inisiatif meluas gergasi media sosial itu untuk mengehadkan kandungan kebencian di laman sesawangnya dibuat susulan serangan ganas yang mengerikan di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac yang menyaksikan seorang lelaki mendukung pandangan nasionalis kulit putih, menembak mati 50 orang di dua buah masjid dan menyiarkan pembunuhan itu secara penstriman langsung di Facebook.

Sebelum penstriman langsung serangan itu, penembak memuat naik manifesti setebal 740 muka surat yang menyatakan kebenciannya terhadap umat Islam dan golongan pendatang.

Susulan insiden tembakan itu dan bantahan awam, Facebook dipersoal berhubung ketiadaan langkah memperketat sekatan terhadap kandungan yang mungkin boleh menghalang hantaran manifesto kebencian penembak dan mungkin menghalang pembunuhan itu daripada berlaku.

-BERNAMA

 

Categories
GLOBAL

Pihak berkuasa Turki denda Facebook AS$280,000

ANKARA, 11 MEI: Pihak Berkuasa Perlindungan Data Peribadi Turki (KVKK) pada Jumaat berkata, Facebook didenda 1.65 juta liras (AS$280,000) pada April atas kesalahan pelanggaran data, lapor agensi berita Xinhua.

Kira-kira 300,000 pengguna di negara itu mungkin terjejas oleh pelanggaran data ini, kata KVKK.

Facebook dikatakan gagal mengambil langkah sewajarnya semasa kewujudan pepijat di platform media sosial itu selama 12 hari September lalu.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Hina Agong: Ketua Polis Negara diarah siasat segera

PUTRAJAYA, 12 APR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengecam keras paparan di Facebook (FB) yang dimuat naik oleh kumpulan mengelar diri mereka ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ berhubung gambar yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong di lamam sosial tersebut.

Menteri berkenaan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata selain menghina Raja, tindakan menggubah gambar Yang di-Pertuan Agong adalah perbuatan yang melanggar undang-undang negara.

“Saya telah mengarahkan Ketua Polis Negara supaya menyiasat kes ini dengan segera dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membawa pelaku jenayah itu ke muka pengadilan,” katanya dalam entri terbaru di laman FB miliknya hari ini.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara dengan niat untuk mencetuskan keadaan yang tidak harmoni dalam masyarakat.

Beliau ​​​​​​​juga menyifatkan ia adalah satu perbuatan melampau yang tidak melambangkan tatasusila rakyat serta bercanggah dengan prinsip Rukun Negara.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga dilaporkan sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab susulan imej yang menghina itu dimuat naik di laman FB semalam.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

SKMM: Pengguna Facebook, Instagram dinasihat tukar kata laluan

OLEH UMIRAH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 25 MAC: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menasihatkan pengguna Facebook dan Instagram untuk menukar kata laluan jika menerima dalam format teks yang boleh dibaca oleh kakitangan dalaman Facebook.

Dalam kenyataannya, SKMM berkata, permasalahan itu berlaku ekoran pemeriksaan keselamatan rutin yang dijalankan Januari lalu.

“Menurut Facebook, kata laluan itu tidak boleh diakses oleh pihak luar dan sehingga kini tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa kata laluan terbabit telah disalahgunakan oleh kakitangan Facebook.

“Sebarang proses penukaran kata laluan perlu dibuat secara terus di aplikasi atau laman rasmi Facebook dan Instagram,” katanya.

Pada masa sama, katanya, langkah itu penting dan berkemungkinan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk memperdaya orang ramai melalui kaedah penipuan, penyamaran dan ‘Phishing’.

“Justeru, bagi menangani permasalahan itu, SKMM turut memantau perkembangan lanjut serta berhubung rapat dengan pihak Facebook
untuk sebarang isu berbangkit,” katanya.

Categories
GLOBAL

Pepijat ‘serang’ foto 6.8 juta pengguna Facebook

SAN FRANCISCO 16 DIS: Facebook mengemukakan permohonan maaf selepas sebuah pepijat pada aplikasi ketiga berkemungkinan menyebabkan foto milik 6.8 juta pengguna yang belum dimuat naik telah terdedah kepada umum.

Menurut firma berkenaan, pengguna yang log masuk dan memberi kebenaran kepada aplikasi ketiga untuk mengakses foto mungkin menyumbang kepada isu terbabit.

Jelas Facebook, insiden itu berlaku antara 13 dan 25 September lalu.

“Apabila seseorang memberi kebenaran kepada aplikasi tertentu untuk mengakses foto miliknya di Facebook, kita selalunya hanya membenarkan aplikasi tersebut mengakses foto yang dikongsi di ruangan garis masa (timeline).

“Dalam kes ini, pepijat itu berpotensi memberi akses kepada pembangun untuk mengakses foto lain, seperti yang dikongsi di halaman Marketplace atau Facebook Stories,” kata Pengarah Kejuruteraan Facebook, Tomer Bar.

Tambah Bar, pepijat itu juga memberi kesan kepada pengguna yang memuat naik foto di Facebook tetapi memilih untuk tidak berkongsi dengan umum.

Beliau berkata, pengguna yang terjejas akan dimaklumkan selain dibantu oleh pusat bantuan supaya mereka boleh melihat apakah foto yang telah terdedah itu.

“Kami minta maaf perkara ini berlaku. Awal minggu depan, kami akan mengeluarkan satu alat untuk pembangun aplikasi mengetahui siapakah pengguna yang terjejas akibat pepijat terbabit.

“Kami akan bekerjasama dengan pembangun untuk memadamkan foto pengguna yang terjejas,” katanya.

SUMBER: AFP

 

Categories
GLOBAL

29 juta data pengguna Facebook terjejas

SAN FRANCISCO/NEW YORK 13 OKT: Facebook Inc (Facebook) mendedahkan serangan siber menggunakan program yang berpindah secara automatik dari satu akaun ke akaun lain, berjaya mencuri data 29 juta pemilik akaun laman sosial itu.

Jumlah itu adalah lebih rendah berbanding 50 juta profil seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Facebook berkata, semua pemilik akaun terbabit akan dimaklumkan mengenai perkara itu dalam tempoh beberapa hari lagi, termasuk mengenai maklumat yang terjejas dalam serangan siber berkenaan.

Menurut pakar keselamatan siber dan penganalisis kewangan, pelanggaran itu menyebabkan pengguna lebih terdedah kepada serangan memancing data.

Selain itu, pengguna juga terdedah kepada risiko ketika memuat naik mesej secara peribadi, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai tahap keselamatan susulan beberapa skandal membabitkan laman sosial itu.

Penyerang terbabit dilaporkan mengambil data peribadi seperti tarikh lahir, majikan, kelayakan pendidikan, pilihan agama, jenis peranti yang digunakan, laman web yang sering dilayari, pencarian terkini dan lokasi daftar masuk milik 14 juta pengguna Facebook.

Bagi 15 juta lagi pengguna Facebook, pelanggaran hanya membabitkan nama dan butiran hubungan.

SUMBER: REUTERS

 

Categories
GLOBAL

Facebook: Penggodam tidak guna log masuk curi

NEW YORK 3 OKT: Facebook Inc, semalam berkata penyiasat mendapati penceroboh komputer tidak memasuki laman web lain yang menggunakan log masuk tunggal rangkaian sosial itu dalam serangan siber besar-besaran yang didedahkan syarikat itu minggu lalu.

“Kami menganalisis akses pihak ketiga ketika serangan yang kami kenal pasti.

“Siasatan mendapati tiada bukti penyerang mengakses sebarang aplikasi menggunakan log masuk Facebook,” kata timbalan presiden Facebook, Guy Rosen, yang memantau keselamatan media sosial itu, dalam kenyataan.

Pengumuman dibuat selepas pendedahan Facebook minggu lalu mengenai pelanggaran keselamatan terburuk, berkata penyerang mencuri kod log masuk yang membolehkan mereka mengakses hampir 50 juta akaun media sosial itu.

Saham Facebook jatuh untuk hari ketiga semalam, menjunam 1.9 peratus kepada AS$159.33 (RM660).

Jumaat lalu, Rosen memberi amaran bahawa penceroboh mungkin mempunyai akses laman web pihak ketiga dan aplikasi yang membolehkan pengguna mengakses akaun mereka menggunakan log masuk Facebook.

Beberapa pakar keselamatan, termasuk bekas eksekutif Facebook, berkata syarikat mungkin menonjolkan senario terburuk apabila mendedahkan serangan Jumaat lalu untuk memastikan ia selari dengan undang-undang peribadi baru Kesatuan Eropah yang berkuat kuasa Mei lalu.

Peraturan Perlindungan Data Umum (GDPR) blok itu, mengenakan penalti berat jika syarikat gagal mengikuti undang-undang, termasuk mewajibkan mereka mendedahkan pelanggaran dalam masa 72 jam selepas disedari.

Pakar berkata, peraturan itu tidak memberikan masa mencukupi untuk menentukan impak pelanggaran.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Guna Facebook kesan mangsa gempa-tsunami hilang

JAKARTA 30 SEPT: Rakyat Indonesia yang terdesak untuk mengesan ahli keluarga yang masih hilang dalam gempa bumi dan tsunami yang melanda pulau Sulawesi, menggunakan media sosial seperti Facebook untuk membantu pencarian mereka.

Akibat tahap kemusnahan yang belum jelas, telekomunikasi yang terjejas selain beberapa kawasan yang sukar dimasuki, ahli keluarga mula memuat naik gambar dan keterangan mangsa yang hilang serta nombor untuk dihubungi.

“Pernahkah anda melihat salah seorang ahli keluarga saya dalam gambar ini?” tanya seorang pengguna kumpulan Facebook dengan 6,843 ahli itu.

Selain cuba mengesan insan tersayang, ruang ini turut digunakan untuk berkongsi maklumat mengenai penduduk Palu yang berjaya dipindahkan ke kawasan selamat dan masalah yang dihadapi mangsa akibat malapetaka itu.

Lebih menyedihkan lagi, ada keluarga yang terus memberikan arahan sekiranya mayat anak mereka ditemui.

“Sekiranya mayat anak saya ditemui, saya mohon dia tidak dikebumikan secara beramai-ramai, kami akan mengambil mayatnya,” kata satu muat naik di Facebook, sambil menyebut nama mangsa.

SUMBER: AFP

Categories
EKONOMI GLOBAL

Zuckerberg rugi lebih AS$15 bilion

NEW YORK 27 JUL: Kekayaan Ketua Eksekutif Facebook Inc Mark Zuckerberg susut AS$15 bilion berikutan syarikat media sosial itu mengalami kejatuhan harga satu hari terbesar dalam sejarah pasaran saham Amerika Syarikat (AS).

Semalam pegawai syarikat itu meramalkan marjin keuntungan syarikat akan lebih rendah dalam tahun-tahun mendatang.

Sekurang-kurangnya 16 firma pembrokeran mengurangkan harga sasaran ke atas Facebook selepas Ketua Pegawai Kewangan David Wehner mengejutkan penganalisis dengan berkata syarikat itu berhadapan tekanan marjin keuntungan dalam tahun-tahun mendatang.

Kenyataan itu disifatkan seorang penganalisis sebagai ‘bom’ yang mencetuskan kebimbangan di Wall Street bahawa model perniagaan Facebook mungkin terancam selepas isu berhubung privasi pelanggan membimbangkan ramai pihak.

Pada penutup, sahamnya jatuh hampir 19 peratus pada AS$176.26, menghapuskan lebih AS$120 bilion nilai syarikat atau hampir empat kali keseluruhan permodalan pasaran Twitter Inc.

Marjin Facebook jatuh kepada 44 peratus pada suku kewangan kedua daripada 47 peratus setahun lalu berikutan ia berbelanja besar ke atas keselamatan dan inisiatif untuk meyakinkan pengguna bahawa syarikat melindungi privasi mereka.

Facebook berkata, pertumbuhan pendapatan daripada pasaran membangun dan aplikasi Instagram miliknya, yang hanya sedikit terkesan oleh is privasi itu, tidak mencukupi untuk memperbaiki kerosakan.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Indonesia tuntut jawapan dalam seminggu daripada Facebook

JAKARTA 21 APR: Indonesia memberi masa seminggu kepada Facebook untuk memberikan lebih banyak maklumat berkaitan bagaimana data peribadi sejuta ra­yatnya disalahgunakan dan langkah firma jaringan sosial itu untuk menghalang penyelewengan serupa da­ripada berulang, kata Kementerian Komunikasi Indonesia.

Lebih 115 juta rakyat Indonesia menggunakan Facebook, manakala pihak berkuasa negara Asia Tenggara itu memberi tekanan kepada media sosial itu untuk menjelaskan bagaimana data peribadi itu ‘dituai’ oleh firma perunding, Cambridge Analytica melalui kuiz perso­naliti.

Seorang pegawai Facebook meminta maaf kepada Parlimen Indonesia pada sesi pendengaran awam minggu ini.

Menurutnya, data milik 1,096,666 rakyat Indonesia atau 1.26 peratus daripada jumlah global itu mungkin terjejas akibat skandal itu.

Dalam satu kenyataan petang kelmarin, kementerian itu berkata, pihaknya telah menghantar sepucuk surat kepada unit perniagaan antarabangsa utama syarikat berkenaan, Facebook Ireland Ltd, sebagai maklum balas kepada surat bertarikh 10 April daripada ketua unit perlindungan data Facebook.

Dalam suratnya, Kementerian Komunikasi menuntut maklumat dan dokumen terperinci berhubung sebarang penyalahgunaan termasuk sama ada data Facebook dikongsi dengan pihak ketiga seperti CubeYou dan Aggregate IQ.

Facebook menyatakan bahawa ia telah menggantung firma perunding politik Kanada, Aggregate IQ daripada platformnya susulan laporan firma itu mungkin mempunyai akses data peribadi pengguna Facebook secara tidak wajar.

Menurut saluran berita CNBC, Facebook turut menggantung CubeYou untuk menjalankan siasatan bagaimana firma analisis data itu mengumpulkan maklumat pengguna melalui kuiz di Facebook.

SUMBER: REUTERS