Categories
NASIONAL

Kastam minta peniaga turunkan harga barang

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 27 MEI: Peniaga digesa menurunkan harga barang mulai 1 Jun 2018 selepas Kerajaan Persekutuan mengumumkan penurunan kadar cukai perkhidmatan dan barangan (GST) pada kadar sifar (0%) daripada enam peratus sebelum ini.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasi berkata Kerajaan tidak melaksanakan cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) bermula 1 Jun ini dan tarikh perlaksanaan akan diumumkan kemudian.

“Semua peniaga yang berdaftar GST perlu mematuhi penetapan pengenaan kadar sifar ini.

“Peniaga dikehendaki menyalurkan penjimatan daripada kadar standard enam peratus kepada kadar sifar (0%) kepada pengguna dalam bentuk harga yang lebih rendah,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Kerajaan akan mengambil langkah tegas bagi memastikan harga barang dan perkhidmatan yang ditetapkan mematuhi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Sebelum ini, Kerajaan mengumumkan penurunan kadar enam peratus GST kepada sifar berkuatkuasa 1 Jun 2018 dan terpakai di seluruh negara sehingga diumumkan kelak.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

GST mansuh 1 Jun

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 16 MEI: Berita paling menggembirakan orang ramai yang hadir program Himpunan Merdeka Rakyat adalah pengumuman kerajaan berhubung permansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), berkuatkuasa 1 Jun ini.

Pada masa sama, orang ramai tidak menghiraukan hujan renyai dengan membanjiri Padang Timur, Amcorp Mall, di sini, malam ini, bagi menyambut pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Padang basah nyata bukan penghalang kepada hampir 5,000 orang untuk datang memenuhinya sejak awal petang walaupun program Himpunan Merdeka Rakyat hanya bermula, kira-kira jam 9.45 malam.

Selain Ketua Umum KEADILAN itu, program menyambut pembebasannya menyaksikan kehadiran ramai pemimpin utama Pakatan Harapan (PAKATAN) antaranya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Tidak ketinggalan Ahli Parlimen PAKATAN lain iaitu Saifuddin Abdullah, Nurul Izzah Anwar, Saifuddin Nasution dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Semua hadirin mengikut ucapan pimpinan PAKATAN penuh minat bagi mendapat informasi terbaharu berkaitan perubahan dilaksanakan di peringkat Persekutuan diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kurang 100 hari, Kerajaan PAKATAN hapus GST

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 MEI : Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dihapuskan berkuat kuasa, 1 Jun ini, lapor Kementerian Kewangan.

Kementerian itu kenyataannya berkata, pemansuhan itu bagaimanapun tidak meliputi barang dan perkhidmatan yang disenarikan di bawah Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Dikecualikan) 2014, yang dikecualikan dari GST.

“Sehubungan itu, semua peniaga yang berdaftar perlu mematuhi penetapan pengenaan kadar sifar ini.

“Pada masa sama, peniaga berdaftar juga masih tertakluk kepada semua peraturan semasa yang ditetapkan antaranya pengeluaran invois cukai, penghantaran penyata cukai di dalam tempoh bercukai yang ditetapkan dan tuntutan kredit input,” katanya.

Kementerian itu turut menetapkan peniaga kekal mematuhi Akta Kawalan dan Anti Pencatuan 2011, setiap masa.

Manifesto Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) sebelum ini menetapkan pemansuhan GST dalam tempoh 100 hari pentadbirannya.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Zeti: Keperluan negara mampu dipenuhi tanpa GST

KUALA LUMPUR 15 MEI: Malaysia mampu memenuhi keperluan perolehannya walaupun selepas memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dengan meneliti keutamaan terhadap projek-projeknya, meningkatkan kecekapan sektor awam, mengelakkan pembaziran dan meneroka sumber pendapatan baru, kata Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) itu juga menyatakan keyakinan terhadap ekonomi negara yang boleh dipandu ke arah yang betul dan tempoh masa 100 hari adalah mencukupi untuk menyediakan sesuatu yang jelas dan melakukan pengubahsuaian serta perubahan diperlukan.

“Saya berasa inilah juga yang diperlukan pasaran. Mereka mahu menyaksikan komitmen berkenaan dan lebih jelas terhadap apakah yang akan dilakukan (oleh kerajaan),” katanya kepada Bernama selepas menghadiri sesi taklimat berasingan dengan agensi penarafan kredit antarabangsa, Moody’s Investors Service, Standard & Poor’s Global Ratings dan Fitch Ratings, di sini, semalam.

Gabenor wanita pertama yang menerajui bank pusat berkenaan selama 16 tahun itu adalah anggota Majlis Penasihat Kerajaan yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Sabtu.

Dipengerusikan oleh bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, turut sama di dalam majlis itu adalah bekas presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Mohd Hassan Marican; Pakar Ekonomi, Prof Jomo Kwame Sundaram dan Ahli Perniagaan,Tan Sri Robert Kuok.

Mengulas sama ada prestasi penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dan ringgit pada semalam adalah disebabkan oleh keyakinan semula terhadap ekonomi, Zeti menegaskan: “Dalam keadaan tidak menentu akan ada turun naiknya.”

Ketika penggiat pasaran melihat komitmen dan kemampuan institusi seperti BNM, Kementerian Kewangan dan agensi lain dalam melaksanakan pembaharuan yang sepatutnya, beliau berkata: “Saya percaya wujudnya potensi yang boleh membawa kepada keyakinan itu dan kita menuju ke arah masa depan lebih baik serta cerah.”

Mengulas contoh kejayaan Malaysia mengatasi situasi serupa sebelum ini, Zeti berkata, kunci kemampuan itu adalah kepada usaha meneliti keutamaan terhadap projek-projek itu.

“Kita pernah melakukan perkara serupa ketika era pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada pertengahan 1990-an.

“Berikutan banyaknya projek-projek mega yang dilaksanakan, imbangan pembayaran defisit akaun semasa kita melebihi 10% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan meningkatkan ketidaktentuan negara.

“Pada waktu itu, kita menasihatkan beliau supaya meneliti semula keutamaan projek-projek mega dan menangguhkan pelaksanaannya pada masa depan.

“Dalam masa dua tahun, imbangan pembayaran defisit akaun semasa pulih kepada 4.6% daripada KDNK berbanding melebihi 10% seperti sebelumnya. Kita sudah melakukannya sebelum ini dan akan mampu mengulanginya,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

GST akan dimansuhkan

NASIONAL 10 MEI: Calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan pimpinannya nanti akan memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Kerajaan baru juga akan mengembalikan cukai lama cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan sebelum era perdana menteri keenam Datuk Seri Najib Razak.

“Kita akan kembali ke SST,” katanya dalam sidang media hari ini.

Mahathir berkata ditanya sama ada HARAPAN akan menunaikan janji memansuhkan GST.

Pemansuhan GST turut dimuatkan dalam manifesto Pakatan Harapan dan ia dijanjikan dibuat dalam 100 hari pertama pentadbirannya.

Categories
NASIONAL

Pasangan warga emas tolak GST, hadir buang undi di Gombak

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 9 MEI : Pasangan suami isteri, Rosli Said, 67 dan Siti Raminah, 70 berharap dasar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak diteruskan Kerajaan Persekutuan baru, selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) ini.

Menurut pasangan itu, pelaksanaan cukai rakus itu tidak bersifat mesra rakyat dan wajar dihapuskan Kerajaan Pemerintah.

“Kami orang kampung, tiada sumber pendapatan yang besar. Kalau GST diteruskan, harga barang semakin tinggi dan menyusahkan kita.

“Kalau orang kaya dan tinggal di bandar itu tak apalah. Mereka ada gaji tinggi. Kalau rakyat di kampung dan luar bandar?” kata Siti Raminah kepada SelangorKini.

Mengakui perkara sama, Rosli Said berharap pentadbiran Kerajaan baru lebih fokus terhadap aspek kebajikan rakyat Malaysia.

Pasangan warga emas itu hadir membuang undi di Pusat Pengundian Sungai Kertas, Parlimen Gombak, pagi ini.

GST mulak diperkenalkan Kerajaan Persekutuan pada 1 April 2015 lalu.

Kerajaan Umno Barisan Nasional mendakwa kononnya kutipan GST sebanyak RM41 bilion setahun yang dikutip membolehkan kerajaan menampung banyak perbelanjaan yang diperlukan untuk kepentingan rakyat.

Bagaimanapun pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) menolak pelaksanaan dasar berkenaan dengan mengekalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang tidak memberi kesan kepada pengguna.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Undi BN ulang kezaliman lima tahun

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 3 MEI: Rakyat diseru tidak terus menyumbang undi kepada Barisan Nasional (BN) jika tidak mahu kezaliman berlaku selama lima tahun lagi.

Calon N.43 Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, beliau berharap rakyat mula sedar dengan bebanan terpaksa ditanggung jika masih mahu memilih BN.

“Saya faham rakyat kini dalam keadaan tertekan, hidup susah sehingga terpaksa membuat dua ke tiga pekerjaan satu hari ekoran pendapatan tidak mencukupi.

“Malah, ditambah dengan bebanan cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang merupakan undang-undang zalim BN kepada rakyat,” katanya pada sesi ceramah kelompok, di Taman Seri Wangi, semalam.

Beliau berkata, sekarang ialah masa sesuai untuk rakyat menolak pimpinan BN yang zalim dan memilih Pakatan Harapan (PAKATAN) untuk mentadbir Malaysia jika tidak mahu GST diteruskan.

mde

Pada masa sama, Dr Daroyah turut menyeru rakyat untuk percaya terhadap manifesto yang akan dilaksanakan PAKATAN jika berjaya mentadbir Putrajaya, dengan salah satu perkara utama adalah menghapuskan GST.

“Namun, jika ada rakyat yang masih mahu menyokong BN, terimalah kezaliman GST, kenaikan harga tol, minyak dan kerja siang malam tanpa henti sepanjang tempoh lima tahun ini.

“Saya hairan bagaimana rakyat masih boleh menyumbang undi kepada BN sedangkan mereka sendiri mengeluh dengan kesempitan hidup dan bebanan yang terpaksa ditanggung.

“Beri peluang kepada calon PAKATAN mentadbir Putrajaya dan ternyata dalam masa 100 hari manifesto itu akan dilaksanakan,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Waspada janji Najib kekal kadar GST

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 3 MEI: Rakyat diingatkan supaya lebih berwaspada terhadap janji Datuk Seri Najib Razak untuk mengekalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), pada kadar enam peratus selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengarah Strategi Pusat KEADILAN, Sim Tze Tzin berkata, hal itu kerana Najib berkuasa menyemak semula kadar GST dalam Belanjawan 2019, dengan kemungkinan kadar sekarang hanya kekal untuk tempoh lima bulan sahaja lagi.

“Kami berpendapat pengumuman ini sekadar politik desperado sahaja. Beliau tahu rakyat begitu benci dengan GST dan jaminan Najib tidak pernah ditepati.

“Najib juga tidak mengumumkan kadar GST enam peratus itu akan kekal untuk tempoh berapa lama selepas PRU14.

“Jika beliau berjaya merompak mandat untuk memerintah negara, beliau sebenarnya akan mempunyai kuasa menyemak semula kadar GST dalam pembentangan Belanjawan 2019,” katanya dalam kenyataan.

Tze Tzin yang juga calon P52 Bayan Lepas berkata, rakyat sememangnya tidak boleh mengharapkan kadar GST kekal pada kadar enam peratus sahaja di bawah pentadbiran Najib.

Justeru, katanya, pilihan terbaik kini adalah menghapuskan GST dan memberi undi kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam PRU14.

“PAKATAN sendiri menawarkan untuk menghapuskan GST sebagai salah satu daripada 10 Janji dalam 100 hari, justeru pilihannya amat jelas iaitu undi PAKATAN.

“Pangkah KEADILAN untuk hapuskan GST,” katanya.

Categories
NASIONAL

Malaysia tak muflis jika GST tak dilaksanakan

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA SELANGOR, 23 APR: Tindakan pengecualian pembayaran Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) oleh sebuah syarikat China, mengkhianati rakyat Malaysia.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tindakan terbabit tidak adil dan amanah yang diberikan rakyat dipersiakan.

“Syarikat ini diberikan kontrak bernilai RM52 bilion bagi membina Landasan Pantai Timur (ECRL) tetapi dikecualikan GST.

“Jika syarikat asing tidak bayar GST, kenapa rakyat Malaysia perlu bayar?

“Saya terkejut dengan kenyataan dari Ketua Pengarah Kastam itu bahawa syarikat itu dikecualikan GST.

“Adakah perkara ini adil? Petani dan peneroka ditekan membayar GST, pegawai kerajaan perlu bayar GST, ini tindakan tidak adil dan mengkhianati rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Lawatan Kerja dan Menyantuni Rakyat ke Daerah Kuala Selangor.

Pada masa sama, Timbalan Presiden itu berkata PAKATAN turut berjanji akan menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh 100 hari jika PAKATAN menerajui Putrajaya.

Beliau berkata kenyataan Kerajaan Persekutuan yang mendakwa negara akan muflis jika tidak melaksanakan GST juga tidak munasabah.

Sebaliknya, katanya, pemimpin yang rasuah dan menyalahguna kuasa menyebabkan negara muflis.

“Saya mahu menjawab tohmahan ini, Malaysia tidak akan muflis jika GST tidak dilaksanakan.

“Tetapi negara akan muflis jika pemimpin menyalahguna kuasa dan rasuah. Jika rakyat beri kita mandat lebih besar pada 9 Mei ini, saya dan pimpinan berjanji dalam tempoh 100 hari, kita akan hapuskan GST,” katanya.

=EZY=

 

Categories
NASIONAL

Najib pernah kata sebelum PRU-13 BN tak rancang kenakan GST

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 23 APR: Rakyat diingatkan supaya jangan terpedaya lagi dengan janji yang ditaburkan Umno-Barisan Nasional (BN) pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah berbohong kepada rakyat, kononnya Kerajaan Persekutuan tidak merancang untuk melaksanakan GST pada kempen PRU-13 lalu.

“Kalau kita ingat sebelum PRU-13, kita sebut kalau undi BN dan BN dapat mandat lagi di peringkat nasional, mereka akan laksana GST dan apa kata Najib? Kita tidak lagi merancang untuk melaksanakan GST, itu kata Najib.

“Bila dapat mandat tak sampai setahun, 5 Mei 2013 PRU dan pada 1 April 2014, tak sampai setahun daripada kemenangan dan mandat yang diberikan rakyat, dia laksanakan GST yang membebankan kehidupan kita walaupun Datuk Ahmad Maslan kata kita boleh turunkan harga barang dengan GST,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Selangor Harapan Malaysia di Kampung Nakhoda, Batu Caves di sini, malam tadi.

Jelasnya, kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ahmad Maslan kononnya GST mampu menurunkan harga barangan juga merupakan hujah dangkal.

Katanya, langkah tidak mengenakan GST terhadap beberapa barangan makanan juga tidak mampu menurunkan harga barangan.

“Ahmad Maslan sebut, kita kecualikan ikan, beras tetapi dia tak tahu nak bawa beras dan ikan bukan nak pikul tetapi kena bawa lori.

“Bila guna lori, namanya penghantaran, bila ada penghantaran, namanya perkhidmatan penghantaran, perkhidmatan tetap kena GST. Akhirnya harga barangan akan meningkat,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Bekas menteri kewangan kritik kecualikan GST untuk ECRL

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 22 APR: Bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin mempertikaikan pengecualian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke atas projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang bernilai RM55 bilion itu.

Daim berkata, alasan dikeluarkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah menyatakan pengecualian itu akan memastikan kos pembinaan tidak melebihi anggaran RM55 bilion tidak boleh diterima.

“Jika itu alasannya, rakyat turut menderita dengan kos yang tinggi disebabkan GST.

“Adalah ini bermakna jika kos projek itu tanpa GST ialah RM55 bilion, maka kerajaan memberi bayangan kos itu sebenarnya lebih tinggi,” katanya dilapor Free Malaysia Today.

Tambahnya lagi, penjelasan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy mempertahankan keputusannya memberi pengecualian cukai itu sebab ia dalah projek kerajaan turut dirasakan tidak wajar.

Terdahulu, Subromaniam mengeluar kenyataan antara faktor ECRL dikecualikan GST adalah projek antara Kerajaan-Kepada-Kerajaan yang mana ia dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia.

=EZY=

 

Categories
NASIONAL

Kerajaan BN khianat, beri pelepasan GST syarikat China laksana projek ECRL

OLEH SABIRAH AZIZ

AMPANG, 18 APR: Kerajaan Barisan Nasional (BN) terus membuat pengkhianatan dengan memberi pelepasan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada kontraktor projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL), China Communications Construction Company (CCCC).

Ketua Wanita Pakatan Harapan (PAKATAN), Zuraida Kamaruddin berkata, pelaksanaan itu ibarat kata pepatah Melayu “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan”.

Beliau berkata ketika ini rakyat berdepan kos sara hidup tinggi, namun sebuah syarikat gergasi antarabangsa China yang menjalankan projek bernilai lebih RM60 bilion di Malaysia pula diberikan pelepasan GST.

“Projek ECRL ini adalah projek mendapat pinjaman dan dilaksanakan dari syarikat serta membawa pekerja China. Keuntungan berlipat ganda syarikat ini sememangnya sudah pasti, namun mengapa kelebihan diberikan kepada mereka tidak dikenakan GST, sedangkan syarikat tempatan menjalankan projek pembangunan juga tidak dikecualikan.

“Alasan projek berkepentingan rakyat Malaysia juga tidak logik diutarakan Kerajaan BN kerana selama ini terdapat banyak projek bernilai jutaan ringgit bagi pembangunan dikenakan cukai berkenaan.

“Lebih buruk lagi apabila pekerja tempatan dipinggirkan pemaju projek ini, yang mana sebelum ini dicanang-canang untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, media tempatan melaporkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengesahkan sijil pelepasan GST kepada kontraktor ECRL dari syarikat negara China, CCCC setelah didedahkan Naib Presiden Amanah, Husam Musa.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, pihaknya memberi sokongan bagi mempertimbangkan pelepasan oleh Kementerian Kewangan kepada CCCC kerana ia mengambil kira projek ECRL yang membabitkan dua kerajaan dan berkepentingan awam.

Zuraida berkata, PAKATAN percaya bahawa pelaburan asing itu penting dan seperti di Selangor dan Pulau Pinang, pelaburan dibawa kedua-dua Kerajaan Negeri itu dilihat dapat menjana ekonomi setempat.

“Kami juga tiada masalah dengan kedatangan para ekspatriat yang menyumbangkan tenaga dan kepakaran mereka dalam industri di negara ini. Namun, ia bukan seperti dilaksanakan BN sekarang.

“Perbuatan mereka ini bukan sahaja merosakkan ekonomi negara, tetapi menggadaikan kedaulatan negara dengan memberikan terlalu banyak kelebihan kepada negara asing terutamanya China.

“Maka, kami menyeru rakyat Malaysia sedar akan perkara ini dan menolak semua calon BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang,” katanya.

=EZY=