Categories
NASIONAL

GST dikutip bayar hutang negara hasil ketirisan Kerajaan BN

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 17 APR: Kerajaan Persekutuan didakwa melaksanakan kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi membayar hutang berbilion ringgit ditanggung negara hasil ketirisan dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sehubungan itu Pakatan Harapan (PAKATAN) akan membatalkannya apabila berjaya mengambilalih pentadbiran negara di Putrajaya kerana ia membebankan semua khususnya rakyat.

“Kita tiada keperluan melaksanakan GST memandangkan keutamaan Kerajaan Persekutuan ialah menutup semua ruang ketirisan dan salah guna kuasa.

“Dilihat daripada laporan Ketua Audit Negara setiap tahun, kebocoran berlaku membabitkan puluhan bilion ringgit dan kalau kita boleh mengatasi masalah ini maka kita boleh selamatkan wang rakyat dan tidak perlu membayar GST,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian pecah tanah rumah Selangorku Idaman PKNS di Kampung Seri Temenggung di sini, hari ini.

Katanya, berdasarkan jawapan diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika sesi soal jawab di sidang Parlimen, kutipan GST didakwa bagi membayar hutang ditanggung negara.

“Faedah dibayar Kerajaan Persekutuan untuk membayar hutang negara ialah RM31 bilion.

“Ini bermakna GST dikutip sebenarnya untuk membayar hutang negara dan bukan bertujuan memberi balik kepada rakyat melalui projek pembangunan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, RM31 bilion bagi pembayaran faedah hutang negara adalah satu jumlah luar biasa dan ia perlu diperbetul dan diuruskan dengan lebih bertanggungjawab.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Turun GST bukan naikkan BR1M – KPRU

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 13 APR: Lebih baik menurunkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berbanding menaikkan kadar pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), saran Pengarah Eksekutif Badan Pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU), Ooi Heng.

Katanya, ia menunjukkan Barisan Nasional (BN) tidak beminat membantu meringankan beban rakyat.

“Hal ini kerana kerajaan BN tidak memberi jaminan kadar GST akan kekal, pada 6 peratus dalam manifesto mereka. Jika GST naik, bukan sahaja BR1M tidak dapat membantu meringankan beban tetapi membebankan lagi kehidupan rakyat.

“Umum sudah sedia maklum GST juga antara penyebab utama kepada peningkatan kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan.

Heng dalam kenyataannya juga memberitahu, hasil kutipan GST pada 2017 adalah RM44 bilion, manakala peruntukan permohonan BR1M diluluskan bagi 2018 adalah RM6.12 bilion.

“Daripada itu, KPRU mendapati peruntukan pemberian BR1M sahaja adalah 13.9 peratus hasil kutipan GST, maka tiada masalah ia dikembalikan dengan pemberian BR1M.

“Akan tetapi kita sendiri tahu, pemberian BR1M hanya membabitkan golongan tertentu sahaja. Mengapa kerajaan BN tidak mengurangkan kadar GST yang lebih memanfaatkan semua?” katanya.

Kata Heng lagi, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan harga minyak antarabangsa meningkat, iaitu AS$69 setong berbanding andaian AS$59 setong semasa pembentangan bajet sebelum ini.

“Maksudnya, Kerajaan Persekutuan mendapat lebihan sumber pendapatan ekoran peningkatan harga minyak mentah.

“Memandangkan sumber pendapatan daripada petroleum meningkat, GST yang menyumbang kepada sumber pendapatan negara seharusnya dikurangkan bagi meringankan beban rakyat.

“Oleh itu KPRU berpendapat, agak pelik bila kerajaan BN cuba membantu rakyat menangani kos sara hidup dengan menambahkan kadar BR1M tetapi bukannya mengurangkan kadar GST yang memberi impak besar kepada kehidupan rakyat sejak pelaksanaannya,” katanya.

Categories
NASIONAL

Najib tak faham kesusahan dan derita rakyat

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 7 APR: Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak memahami kesukaran dihadapi rakyat apabila mereka terpaksa menanggung pelbagai beban.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Pinang, Dato’ Teng Chang Khim berkata, ketika di bawah pemerintahan Najib sebagai Perdana Menteri beliau melaksanakan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 6 peratus yang membeban rakyat serta berlakunya kenaikan harga barangan.

Chang Khim berkata Najib mengeluarkan kenyataan kononnya pencapaian Akujanji Kerajaan Barisan Nasional (BN) mencapai 99.4 peratus setakat 28 Februari tahun ini.

“Kenapa dia (Najib) tidak kata pencapaian 100 peratus sahaja?, ini kerana dia tidak berani.

“Memang dia hidup di alam lain kerana rakyat ketika zaman pemerintahannya dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kejatuhan nilai ringgit malah inflasi tinggi berlaku,” katanya.

Semalam Najib turut menggariskan tujuh kejayaan kerajaan di bawah kepimpinannya melalui ucapan khas pembubaran Parlimen.

Chang Kim yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian IKS serta Perdagangan dan Pengangkutan itu juga menyelar Najib hanya memperbesarkan pencapaiannya.

“Rakyat melalui waktu yang sukar bersamanya sebelum ini, jadi saya yakin mereka tidak mahu mengulangi sejarah lama itu.

“Pengundi semakin bijak dan saya yakin rakyat Selangor khasnya tidak mahu BN memegang negeri ini setelah melihat perkembangan pesat di bawah tampuk kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Program Sentuhan Rakyat bukti GST membebankan

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 4 APR: Program Sentuhan Rakyat anjuran Barisan Nasional (BN) yang menjual lebih 30 barangan asas pada harga murah bukti pengakuan Kerajaan Umno-Barisan Nasional bahawa rakyat terbeban dengan kos sara hidup tinggi dan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menafikan kesan pelaksanaan GST terhadap peningkatan kos sara hidup rakyat adalah satu bukti mudah Kerajaan BN tidak mempedulikan ekonomi rakyat.

“Kemungkinan Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid) tidak menyedari bahawa Indeks Harga Pengguna telah meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun pada bulan Februari 2017, sebanyak 4.5 peratus?

“Justeru, bagaimana Kerajaan boleh terus menafikan impak GST antara kesan kitaran ringgit domestik terjejas?

“Isu kenaikan kos sara hidup ini bukan hanya diangkat Pembangkang tetapi juga disuarakan perwakilan di Perhimpunan Agung Umno saban tahun,” katanya dalam kenyataan di Parlimen.

Menurutnya, janji BN dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada 2014 bahawa harga barang akan dikawalselia dengan baik dan pengambilan untung keterlaluan tidak akan berlaku selepas pelaksanaan GST disifatkan sebagai ‘fake news’ semata-mata.

Katanya, sebagai pemimpin utama negara, Ahmad Zahid sepatutnya sedar impak pelaksanaan cukai regresif GST menyebabkan manipulasi harga barang sejak diperkenalkan tiga tahun lalu.

“Menjelang pelancaran manifesto BN pada 7 April ini, sata jangka BN akan mengumumkan kadar pengurangan cukai atau penambahan senarai barangan sifar GST.

“Ini semua tindakan ikhtiar akhir setelah BN khuatir kerana tekad Pakatan Harapan adalah menghapuskan GST. Ini bukti jelas rakyat benar-benar terkesab dengan penetapan cukai regresif,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Cabaran RM50 Wan Azizah rasai beban GST

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 21 MAC: Ahli Dewan Negeri Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengambil pendirian berbeza mendekati masyarakat, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Tampil mengetengahkan isu pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Wan Azizah menyahut cabaran berbelanja di Pasar Kajang bersama penduduk tempatan dikenali sebagai Kak Nora dengan menggunakan wang RM50.

Cabaran berkenaan dilaksanakan bagi mendapatkan gambaran sebenar terhadap pelaksanaan cukai rakus yang diperkenalkan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Menariknya, gelagat berbelanja Wan Azizah dan Kak Nora turut dimuat naik menerusi video di Facebook Ketua Pembangkang itu dengan tontonan lebih 273,000 pengguna media sosial.

Sementara itu, video berkenaan turut memaparkan Wan Azizah hanya dapat membelanjakan sedikit buah-buahan dan barang basahan dapur, pada kadar RM50.

Katanya, barang di pasar tani kini juga dijual pada kadar tinggi, ekoran kesan pelaksanaan GST yang mula dilaksanakan, pada April 2015.

“Cabaran berbelanja di Pasar Tani Kajang. Memang terasa dengan kesan kenaikan harga barang.

“Barang di pasar tani yang tidak dikenakan GST pun naik harga, apatah lagi barang yang memang dikenakan GST. Rakyat terus terbeban dan ditekan.

“Selamatkan Malaysia untuk masa depan kita bersama!” katanya.

Terdahulu, GST dilaksanakan bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan, dan ia didakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai salah satu sistem cukai yang adil dan menyeluruh serta bermanfaat kepada rakyat.

Bagaimanapun, pimpinan Pakatan sebelum ini mendedahkan, pelaksanaan GST menyebabkan harga barangan melambung tinggi selain pelaksanaannya didakwa bagi membayar liabiliti hutang negara.

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI NASIONAL

Dulu tiada GST pun Kerajaan Persekutuan boleh bayar hutang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 MAC: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa hutang negara akan meningkat dengan mendadak sekiranya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dihapuskan ditempelak.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, hutang negara meningkat disebabkan sikap kerajaan rejim kleptokrasi yang cenderung berbelanja besar.

“Dulu tiada GST boleh pula kerajaan bayar hutang. Tiada satu tahun pun kita tak boleh bayar hutang dan sebelum GST dilaksanakan pada 1 April 2015 Kerajaan juga ada hutang tetapi tiap-tiap tahun hutang dibayar, tiada masalah.

“Kalau kerajaan prihatin jangan manipulasi harga projek, tutup ketirisan, elak rasuah, bukan hendak buat projek besar dan berbelanja besar. Tak perlu GST pun.

“Untuk mengatakan kalau kita tak kenakan GST kepada rakyat Malaysia kita akan gagal bayar hutang kita, itu bukan bukan disebabkan oleh tiada GST tetapi disebabkan pengurusan ekonomi yang buruk oleh rejim kleptokrasi yang ada hari ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, GST diperkenalkan bagi mendapatkan sumber kewangan yang besar untuk kerajaan berbelanja besar dan bukannya untuk memperbaiki ekonomi.

Katanya, Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pernah membangkitkan ketidaksamaan agihan pendapatan di antara golongan menengah dan rendah yang membimbangkan di Malaysia perlu diatasi dengan mengambil beberapa langkah progresif.

Katanya lagi, Bank Dunia mencadangkan supaya Malaysia melaksanakan penstrukturan semula cukai korporat dan cukai pendapatan yang lebih bersifat lebih adil apabila cukai ini hanya melibatkan golongan menengah sahaja.

“Jika susun semula cukai ini orang kaya kena cukai lebih, orang miskin tak kena cukai tetapi Najib atau rejim kleptokrasi ini memilih GST sedangkan cukai GST ini regresif bermakna beban ditanggung lebih besar dan berat oleh orang miskin, semakin miskin kamu semakin besar beban yang kamu tanggung di bawah cukai GST,” katanya lagi.

Sebelum ini, Manifesto Pilihan Raya Pakatan Harapan bertema ‘Membina Negara Memenuhi Harapan’ menjanjikan akan menghapuskan GST dalam tempoh 100 hari jika menang Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

=EZY=

Categories
NASIONAL

PM diselar bandingkan GST

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 MAC: Perdana Menteri, Datuk Seri NajibRazak diselar kerana membandingkan statistik kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan negara lain tetapi tidak meneliti kadar kemiskinan yang menyebabkan kesan peningkatan kos sara hidup kepada rakyat.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata kenyataan pemimpin nombor satu negara itu tidak bertanggungjawab dan tidak mahu berusaha memikirkan cara supaya rakyat tidak terbeban dengan cukai itu.

“Kita juga tidak seharusnya membandingkan kadar GST di negara lain tetapi lihatlah kesan GST kepada rakyat negara ini terutama yang berpendapat rendah dan sederhana.

“Jangan hanya pandai membandingkan statistik kadar GST antara negara tetapi teliti statistik kadar kemiskinan, statistik kadar keluarga bermasalah dan statistik lain yang menunjukkan kesan peningkatan kos sara hidup kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Najib berkata, negara akan mengalami defisit jika GST dihapuskan dan negara akan kehilangan pendapatan RM45 bilion, setahun.

Beliau juga berkata, hutang negara semakin parah dan tanpa pendapatan hutang itu akan semakin meningkat, maka Malaysia akan menjadi seperti Greece.

Iskandar berkata, Malaysia adalah satu negara dengan pelbagai sumber asli dan jika ekonomi negara diuruskan dengan baik, maka tidak perlu mewujudkan cukai tambahan itu untuk membiayai program bantuan kepada rakyat.

Namun, katanya, disebabkan kegagalan pemimpin negara, maka rakyat perlu dibebankan dengan cukai terbabit

“Ini sudah tentu tidak adil kerana mereka yang bersalah terlepas daripada sebarang hukuman tetapi rakyat pula yang menjadi mangsa.

Alasan negara akan menanggung defisit juga tidak boleh terima.

“Pekerja yang tidak membayar cukai kerana keadaan kewangan mereka yang tidak mengizinkan. Adalah zalim untuk mengenakan cukai ke atas mereka melalui barangan dan perkhidmatan yang digunakan.

“Bagaimanapun, keadaan sedemikian berlaku akibat kesilapan pemimpin, maka kyat tidak seharusnya didera akibat kesilapan ini.

Perdana Menteri juga berkata, hanya dua juta daripada 13 juta pekerja di Malaysia yang membayar cukai dan perkara ini perlu diperbetulkan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, negara jiran Singapura tidak mempunyai sebarang sumber asli tetapi mereka dapat mencapai tahap pembangunan jauh lebih ke hadapan dari Malaysia dan pendapatan rakyat mereka juga berkali ganda, dari negara ini.

 

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kapal Equanimity tambah beban rakyat

Berita Indonesia merampas kapal mewah hartawan kontroversi Jho Low yang didakwa diperoleh menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Bali baru-baru ini memenuhi dada berita portal alternatif tetapi tidak di media arus perdana.

Kata bekas pengarang kumpulan New Straits Times (NST) Mustapha Kamil Mohd Janor, “kita masyhur di serata dunia oleh sebab Jho Low ini, hinggakan akhbar Chiang Rai Times di kawasan bukit-bukau sempadan Thailand dengan Laos sana pun siarkan berita kapal Jho Low itu”.

Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat (AS) percaya sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion wang 1MDB disalahgunakan dan mereka sedang berusaha mendapatkan kembali aset AS$1.7 bilion yang dikaitkan dengan skandal itu.

Kapal Equanimity bernilai AS$260 juta atau hampir RM1 bilion itu sebahagian daripadanya dan dijejak DoJ, dalam siasatan mereka untuk menyita aset yang dikaitkan dengan pengubahan wang haram melibatkan 1MDB. Jho Low yang gagal dikesan hingga kini didakwa membeli Equanimity menggunakan wang dicuri daripada dana 1MDB yang didaftarkan di Kepulauan Cayman.

Mengapa media arus perdana malu-malu kucing melaporkannya? Adakah kerana ia tiada nilai berita atau kerana setiap berita mengenai skandal 1MDB umpama selumbar kepada parti pemerintah dan Datuk Seri Najib?

Jawapannya ialah ya kepada kedua-duanya. Ia dianggap tiada nilai berita terutama bagi media arus perdana yang lebih ramai penonton dan pembacanya di kalangan rakyat luar bandar. Dan isu 1MDB jelas termasyhur sebagai skandal rompakan dana rakyat terbesar dunia dan membawa imej buruk kepada Datuk Seri Najib. Ringkasnya, lagi baik tiada berita berkenaannya. Itu kehendak Umno BN.

Meskipun pihak pembangkang telah dan sedang melaksanakan penerangan berkaitan 1MDB namun isu berkenaan masih kurang difahami rakyat luar bandar berbanding isu kos sara hidup meningkat, cukai GST dan harga barang naik. Reaksi bekas-bekas Menteri seperti Tan Sri Rais Yatim dan Tan Sri Rafidah Aziz terhadap isu 1MDB juga mungkin tidak kesampaian ke kampung-kampung.

Tun Dr Mahathir umpamanya menjelaskan bahawa ​Jho Low adalah sahabat karib Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah.

“Datuk Seri Najib ialah Penasihat berkuasa penuh syarikat milik Kerajaan 1MDB. Tidak ada keputusan boleh dibuat oleh 1MDB tanpa persetujuan Najib,” tambah Tun Dr Mahathir.

“​Ini bermakna Najib perlu tahu dan bertanggungjawab akan apa terjadi kepada wang 1MDB sebanyak 1 billion Ringgit yang diguna oleh Jho Low untuk bina/beli kapal layar Equanimity,” ujarnya lagi.

Peguam Gobind Singh Deo dan Hanipa Maidin, masing-masing Ahli Parlimen daripada DAP dan Parti Amanah Negara menyanggah pandangan Peguam Negara yang kerajaan tidak akan menuntut kapal mewah tersebut. Kata mereka, walaupun kapal itu bukan milik kerajaan dan bukan atas nama kerajaan, namun saman DoJ ke atas 1MDB juga mempunyai kaitan dengan kerajaan malah ada kaitan yang rapat antara Jho Low dengan 1MDB dan MO1 (Malaysian Official 1) dengan kerajaan.

Persoalannya, apa kaitannya isu 1MDB dan kapal mewah ini dengan masalah rakyat?

Ia berkaitan kerana wang 1MDB iaitu wang syarikat milik kerajaan hilang dan dijoli begitu sahaja sedangkan rakyat dibeban melalui cukai GST, harga barang yang naik dan penghapusan subsidi.

Putrajaya sebelum ini telah menegaskan bahawa dana 1MDB tidak hilang atau dicuri. Ini disandarkan kepada laporan Jawatankuasa Audit Negara. Datuk Seri Najib juga pernah berkata dana 1MDB tidak hilang tetapi ialah hutang yang boleh dilunaskan oleh aset yang lebih daripada hutang.

Masalahnya hutang itu diambil dari mana dan benarkah aset cukup untuk bayar hutang? Berapa lama pula tempoh hutang akan selesai? Dengarnya hanya pada tahun 2039 menurut Pelan Rasionalisasi.

Di samping itu, bukankah Datuk Seri Najib pernah mengaku 1MDB mengalami masalah tadbir urus dan mengarahkan satu siasatan menyeluruh. Apa jadi?

1MDB berhutang dengan beberapa dana rakyat. Antaranya ialah daripada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP), Tabung Haji, Tabung Angkatan Tentera (melalui kontrak kepada Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM)), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PERKESO.

Hutang 1MDB yang berlipat kali ganda dan kadar faedah yang tinggi telah menggugat dana rakyat namun apabila terseleweng dan dicari ganti daripada tabung-tabung rakyat maka sudah tentu ada kesannya. Kegagalan 1MDB membayar hutang ini boleh menjejaskan pelaburan wang rakyat dalam dana-dana berkenaan.

Kerajaan kata wang itu tidak hilang tetapi kes berkait 1MDB di merata dunia membuktikan sebaliknya. Lebih malang aset dan wang rampasan berlaku di luar negara namun tidak diendahkan malah diabaikan sebarang tindakan oleh parti pemerintah.

Bukankah wang bernilai RM1,000 juta boleh digunakan sebahagiannya untuk membina sekolah, jalan raya, jambatan, hospital dan pelbagai keperluan asas rakyat? Malah mungkin menurunkan harga minyak.

Justeru, isu 1MDB dan kapal mewah ini penting dan berkait dengan masalah rakyat. Ia mengesani kesejahteraan kehidupan rakyat akibat pengurusan dan tatakelola yang pincang lagi menyeleweng. Ia berkait dengan maruah, sistem keadilan dan kedaulatan negara.

Hakikatnya, kutipan GST terpaksa dilakukan kerana duit telah hilang. Wang negara dibazirkan, dicuri, ditiriskan dan dibawa lari oleh orang-orang seperti Jho Low sedangkan rakyat menderita. Mereka seorang joli kapal mewah RM1,000 juta namun rakyat dapat BR1M RM1,200 setahun, itu pun bukan semua yang dapat.

Dengan penghapusan pelbagai jenis subsidi barangan ruji rakyat sejak 2010 maka kenaikan harga barang tidak lagi dalam kawalan kerajaan. Menjelang 2015, subsidi minyak juga terhapus. Apabila subsidi barangan ruji seperti tepung, minyak masak, beras dan gula dipotong, bukan sahaja harga barangan itu naik tetapi harga barangan lain juga naik.

Ditambah pula dengan dengan kadar mata wang ringgit yang lemah akibat krisis keyakinan masyarakat antarabangsa dan pelabur asing serta skandal 1MDB, maka harga barangan import meningkat naik. Memandangkan kita mengimport 80 peratus barang makanan seperti cili, bawang, beras, gandum, kambing, lembu dan sayur maka kesan kenaikan harga barang amat terasa.

Tambah derita rakyat setelah subsidi dihapuskan dan mata wang yang rendah, parti pemerintah kutip cukai GST 6% di atas setiap satu ringgit harga barang.

Benar, mungkin kalau masuk kampung rakyat mungkin tidak kenal Jho Low, Equanimity atau 1MDB tetapi rakyat tetap akan marah dengan Datuk Seri Najib dan Umno BN kerana harga barang yang naik, kos sara hidup yang tinggi dan cukai GST yang membebankan akibat tempias skandal 1MDB.

Syed Ibrahim Syed Noh
Ketua Penerangan
Parti KEADILAN Rakyat

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Mansuhkan GST dulu baru boleh tawar rumah percuma

OLEH SHEEDA FATHIL

SEKINCHAN, 28 FEB : Barisan Nasional (BN) diingatkan untuk memansuhkan dahulu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebelum boleh mendabik dada berjanji menawarkan rumah percuma kepada rakyat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos BN kononnya mahu memberi rumah percuma kepada pasangan muda baru berkahwin sekiranya menang di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), akan datang.

“Saya sendiri hairan dengan Jamal seolah-olah beliau pula Pengerusi Umno di Selangor sedangkan orang sebenarnya adalah Tan Sri Noh Omar.

“Bagaimanapun, beliau mahupun kerajaan BN boleh berjanji apa sahaja namun apabila dilihat semula banyak yang tidak dapat mereka tunaikan,” katanya kepada SelangorKini.

Suee Lim berkata, banyak janji Umno kononnya mahu ringankan beban rakyat namun sebaliknya lagi menambah penderitaan orang ramai.

“Lihat sahaja GST, mereka kata pelaksanaan cukai itu harga barang akan menjadi semakin menurun tetapi sebaliknya pula terjadi.

“Kalau Jamal pendekar, saya minta Jamal pergi sahaja ke Putrajaya dan membuat demonstrasi mansuhkan GST, baru boleh yakinkan rakyat soal pemberian rumah itu,” katanya.

Beliau berkata, jika GST pun membebankan orang ramai, kerajaan BN masih belum mampu untuk menyuarakan hasrat rakyat justeru mansuhkan dahulu GST.

=EZY=

Categories
KENYATAAN MEDIA

Rumah mahal, apa nasib rakyat tempatan?

Saya ambil maklum kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa harga rumah kediaman di Malaysia kekal tidak mampu dimiliki kebanyakan isi rumah pada 2016, berikutan kegagalan pasaran menyediakan rumah mampu milik yang mencukupi.

Jelas BNM lagi, isu berkenaan sebahagian besarnya disebabkan oleh ketidakpadanan penawaran dan permintaan, berbanding pertumbuhan pendapatan yang lebih perlahan.

1) Inilah keadaan yang amat membimbangkan rakyat Malaysia, mereka tidak mampu untuk membeli rumah yang berharga lebih daripada RM250,000. Sepatutnya kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) mencari jalan penyelesaian untuk masalah ini dan berbincang dengan pemaju untuk membina rumah mampu milik, bukannya rumah mampu tengok.

Bank pusat itu turut menjelaskan bahawa pertumbuhan pendapatan isi rumah tidak selari dengan peningkatan harga kediaman ekoran ketidakpadanan permintaan bekalan yang membimbangkan. Jjumlah harta kediaman yang tidak terjual di Malaysia juga berada pada paras tertinggi satu dekad, iaitu 146,4977 unit pada suku kedua 2017.

Malah, berlaku peningkatan daripada 130,690 unit pada suku pertama 2017. Ini bermakna hampir 82 peratus unit tidak terjual berharga melebihi RM250,000.

2) Lebih malang lagi di Melaka, kerajaan negeri mahu mewujudkan perumahan khas pekerja warga asing. Berdasarkan Laporan Perangkaan Separuh Tahun Pertama 2017 bagi status projek perumahan swasta di Melaka, bagi status perumahan lancar Jun 2017, bilangan projek adalah 82, unit rumah pula 13181 dan bilangan pembeli adalah 8273.

Bagi status perumahan lewat pula, bilangan projek adalah 10, unit rumah adalah 1066, dan bilangan pembeli sebanyak 892. Untuk status perumahan sakit pula, bilangan projek adalah 10, unit rumah pula adalah 1838, manakala bilangan pembeli adalah 942.

Ini statistik perangkaan perumahan untuk tahun lepas di negeri itu, betapa rakyat amat memerlukan rumah mampu milik, tetapi kerajaan negeri dibawah Umno BN sibuk ingin membina rumah untuk warga asing. Keadaan ini boleh di ibaratkan seperti ‘anak kera dihutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan’.

3) Kebanyakan rakyat yang gagal untuk membeli rumah adalah terdiri daripada golongan anak-anak muda dan juga bagi mereka yang baru mendirikan rumah tangga. Antara sebabnya adalah kerana gaji mereka yang masih berada di paras sederhana dan rendah.

Selain itu, tekanan daripada kos sara hidup yang tinggi, bebanan hutang pendidikan iaitu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang membawa kepada kos harga barang semakin mahal.

4) Oleh sebab itu, saya minta agar pihak kerajaan yang prihatin ini untuk fokus terhadap rumah mampu milik dan membinanya mengikut purata pendapatan rakyat hari ini, terutamanya mereka yang golongan berpendapatan rendah.

Saya lihat dasar Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) dan juga Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) juga bukan murah dan agak mahal, malah sebanding dengan perumahan mewah yang lain. Harganya pula dikatakan melebihi paras RM300,000 seunit. Bagaimana rakyat mampu beli?

5) Sehubungan dengan itu, sekiranya Pakatan Harapan menang dalam Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan mendapat kepercayaan dan sokongan daripada rakyat, pastinya isu rumah mampu milik dilaksanakan sebaiknya.

Itu antara manifesto yang ditekankan oleh Pakatan Harapan sebelum ini. Pakatan Harapan telah mencadangkan kesemua badan perumahan berkanun digabungkan menjadi satu badan pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk menyediakan perumahan berpatutan dan berkualiti.

Bahkan, Pakatan Harapan akan melaksanakan sewa beli untuk perumahan mampu milik pada harga yang terkawal.

Inilah kegagalan kerajaan Umno BN yang tidak menepati janji untuk menyediakan 1.5 juta unit rumah mampu milik menjelang 2018. Ini sangat memalukan buat kerajaan Umno BN dan ini membuktikan parti pemerintah itu tidak layak untuk terus berada di Putrajaya.

Prasanth Kumar Brakasam
Setiausaha Angkatan Muda KEADILAN Melaka
Parti KEADILAN Rakyat

Categories
KENYATAAN MEDIA

Ramai pekerja diberhentikan, ekonomi Malaysia baik?

Saya mengambil maklum kenyataan Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal mendakwa pihaknya menerima banyak aduan daripada kesatuan-kesatuan sekerja yang melaporkan ahli-ahli mereka diberhentikan kerja oleh majikan dengan diberikan notis mengejut.

Menurutnya, para pekerja begitu terkejut dengan notis singkat yang diberikan oleh syarikat dan mereka tidak mempunyai cara untuk bertindak balas terhadap pemberhentian itu.

Jelasnya, terdapat juga sesetengah syarikat yang memberhentikan pekerja dengan memaksa mereka menandatangani surat pemberhentian kerja sebagai tanda bersetuju untuk diberhentikan. Bagi pekerja yang enggan menandatangani surat pemberhentian kerja itu, kata beliau, mereka akan diberi tekanan dan ancaman serta gangguan.

1. Melihat kepada trend pemberhentian pekerja ini, ia sangat mengejutkan. Hal ini kerana semua rakyat Malaysia umum mengetahui bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib berulang kali mengatakan dan meyakinkan rakyat bahawa ekonomi Malaysia dalam keadaan baik dan kukuh.

Namun, apa yang terjadi kepada nasib rakyat di negara ini yang diberhentikan kerja secara mengejut oleh syarikat mereka ketika ini? Adakah Najib telah berbohong kepada rakyat, sedangkan baru-baru ini dia telah memberitahu bahawa ekonomi baik , namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

2. Apa yang menyedihkan,adalah pekerja-pekerja ini menjadi mangsa sehingga kehilangan punca pendapatan dan rata-rata antara mereka mempunyai keluarga untuk disara. Perkara ini boleh dianggap sebagai tidak berperikemanusiaan ekoran notis singkat yang diberikan pihak syarikat.

Tambahan pula tekanan kos sara hidup yang semakin tinggi, harga minyak setiap minggu berlaku peningkatan, harga barang pula tidak pernah menunjukkan kadar penurunan, ditekan pula dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), menyebabkan rakyat semakin tertekan dan terbeban.

3. Bagi saya, tindakan seperti ini telah menganiaya semua pekerja terbabit malah disifatkan pemberhentian kerja besar-besaran yang terburuk sejak Najib mentadbir negara.

Perkara ini juga dapat dibuktikan apabila ramai pakar ekonomi mengatakan ekonomi Malaysia kini berada pada paras yang boleh dianggap ‘gawat’.Malah, sebelum ini, Perdana Menteri Britain, David Cameron juga telah menggesa Najib supaya melakukan urustadbir yang lebih baik dan berkesan terutamanya dalam isu ketelusan.

Melihat kepada kadar Ringgit Malaysia,ia sudah melebihi RM4 untuk 1 Dolar Amerika dan lebih RM6 untuk 1 Pound Britain. Jika keadaan ini berterusan, kita akan mengimpot dengan kadar yang amat mahal.

4. Menyentuh soal pekerja-pekerja yang di paksa berhenti, keadaan ini membuktikan bahawa kebanyakkan syarikat sudah terdesak dan tidak mampu untuk mengupah pekerja dengan kadar sedia ada sehingga sanggup mengambil pekerja asing untuk bayaran yang lebih murah.

Ia jelas ketika ini, keadaan ekonomi kita merundum. Syarikat -syarikat asing juga tidak mampu bertahan, bagaimana pula dengan syarikat tempatan?

5. Justeru itu, seharusnya kerajaan perlu menjaga rakyat sendiri dengan mewujudkann lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan pelaburan dalam dan luar negara serta menghantar pulang lambakan pekerja asing dengan segera.

Saya juga ingin mengingatkan kerajaan, salah satu cara untuk terus berjimat dengan tidak terus melakukan pembaziran, penyelewengan dan rasuah. Dengan itu, keadaan ekonomi mungkin sedikit pulih dan rakyat tidak tertekan seperti hari ini.

YB Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid
Ahli Parlimen Kuala Langat
Pengerusi Biro Pekerja
Parti KEADILAN Rakyat

Categories
KENYATAAN MEDIA

Putrajaya perlu buka mata lihat kemiskinan rakyat

Saya ambil maklum kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak bahawa nilai kemiskinan negara berada hanya pada 3.8 peratus berbanding Vietnam dan Indonesia (11.3 peratus), Thailand (12.6 peratus) , Laos (22 peratus), Filipina (25.2 peratus) dan Myanmar (32.7 peratus).

Beliau merujuk CIA World Factbook 2017 yang melaporkan kadar kemiskinan di Malaysia adalah yang paling rendah berbanding negara-negara Asia Tenggara yang lain.

Bagi saya, walaupun jumlah peratusan adalah dilihat rendah berbanding dari negara Asia yang lain tetapi masalah kemiskinan di Malaysia masih ditahap yang membimbangkan dan serius.

Realitinya, kita dapat lihat rakyat Malaysia semakin miskin apabila berlaku kes jenayah kecurian demi untuk mengisi perut.

Majoriti rakyat Malaysia masih dalam lingkungan berpendapatan rendah dan ia dapat dibuktikan dengan permohonan BR1M 2017 iaitu sebanyak 6,320,769 orang pemohon.

Peratusan itu tidak menggambarkan jumlah rakyat Malaysia yang masih hidup dalam kemiskinan. Selama lebih 60 tahun kerajaan Umno BN memerintah, ekonomi rakyat semakin teruk, yang miskin semakin miskin.

Sebagai contoh di Sabah dan Sarawak, rakyat di negeri itu masih tidak mendapat bekalan air yang bersih, tiada bekalan elektrik, jalanraya masih belum baik, pembangunan apatalh lagi, masih juga tiada.

Jadi, Salleh Keruak tidak perlu bangga dengan peratusan yang diumumkan itu, turun padang lihat kepayahan rakyat. Penduduk di Kuala Lumpur, masih diaktegorikan sebagai miskin bandar, tidak mampu untuk menyara kos hidup yang tinggi, gaji juga masih ditakuk lama.

Sekadar memberi kenyataan merapu seperti ini, lebih baik menteri-menteri Umno dan kerajaan mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini kerana masalah yang berlaku pun berpunca dari kerajaan.

Masalah utama rakyat Malaysia adalah mereka masih tidak dapat mengukuhkan ekonomi mereka kerana kos sara hidup yang tinggi dan tekanan pelbagai cukai seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), peningkatan harga tol dan kadar gaji yang rendah.

Pemimpin utama Umno sibuk mengukuhkan ekonomi Amerika Syarikat yang jauh lebih baik, ekonomi rakyat dibiarkan. Lihat sahaja siswazah-siswazah yang masih terkapai-kapai mencari pekerjaan.

Cuba Salleh buka mata dan kira berapa ramai peniaga-peniaga yang tutup kedai sebab lingkup dengan sistem GST yang membebankan mereka, macam-mana rakyat nak kaya, belum kaya dah kena kikis dengan kerajaan zalim ini.

Jika benar, apa yang diperkatakan Salleh bahawa kerajaan ingin menjadikan negara ini sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi, buktikan dari sekarang komitment kerajaan terhadap rakyat.

Saya cabar Salleh dan seluruh kerajaan Umno BN laksanakan tanggungjawab mereka, selesaikan masalah utama rakyat, seperti gaji minima di Malaysia perlu dilaksanakan dari sekarang.

Kita ingin lihat betul-betul tahun 2018 bakal menjanjikan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat seperti yang dikatakan Salleh. Kita lihat suku pertama tahun depan, perubahan yang akan dilakukan kerajaan.

Jika keadaan masih sama, saya rasa rakyat Malaysia sudah bersedia untuk menumbangkan Umno BN dalalm Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.Pakatan Harapan sudah bersedia diberikan mandat oleh rakyat untuk melakukan perubahan dan membentuk sebuah kerajaan baru.

NURIN AINA ABDULLAH
Ketua Wanita Pakatan Harapan Kedah
Ketua Wanita KEADILAN Kedah
Parti KEADILAN Rakyat