Categories
NASIONAL

Halimah Ali: “Saya Merempat, Tumpang Pejabat Orang”

SHAH ALAM, 26 MAC: Tuduhan Adun Gombak Setia, Dato Dr Hassan Ali yang mendakwa Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali telah melakukan pengubahsuaian ke atas pejabatnya disangkal hari ini.

Menurut Dr Halimah, pejabat yang diduduki pada masa ini merupakan pejabat yang ditumpanginya semenjak beliau dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri.

“Pejabat sendiri pun tak ada. Saya cuma merempat, tumpang pejabat orang sahaja di sebelah Pejabat Kewangan,” kata beliau ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Halimah turut mempelawa wartawan melawat pejabatnya sebagai membuktikan bahawa dakwaan Hassan Ali adalah satu tuduhan liar semata-mata.

“Ini mesti tak pernah datang pejabat saya, esok boleh datang supaya boleh tengok sediri pejabat saya.

“Memang tiada ubahsuai apa pun di pejabat itu.  Saya jemput semua datang ke pejabat saya dan jangan lupa bawa kamera sekali,” katanya lagi.

Sementara itu Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Perihatin, Dr Xavier Jayakumar turut menyangkal tuduhan Hassan yang mendakwa beliau menggunakan peruntukan yang tinggi untuk melakukan pengubahsuaian pejabat.

“Saya memang ada buat ubahsuai pejabat, tetapi cuma tukar karpet dan tambah ‘partion’, itu sahaja.

“Anda fikir dengan pengubahsuaian yang saya sebut tadi tu boleh cecah RM300,000 tak?

“Tentulah kos ubah suai yang saya sebut tadi jauh lebih rendah dari RM300,000.

“Esok saya akan berikan detail kos pengubahsuaian pejabat saya, cuma sekarang saya boleh jamin kos ubah suai pejabat saya cuma memakan kos yang rendah sahaja,” ujar beliau.

Adun Bulit Antarabangsa, Azmin Ali minggu lalu mendedahkan bekas pesuruhjaya PAS itu ketika menjadi Exco telah membelanjakan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk mengubahsuai pejabatnya ketika mula menjadi exco.

Categories
SELANGOR

Empat Exco Wanita Handal Majukan Negeri

SHAH ALAM, 21 MAC : Pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sejak Mac 2008 berjaya membawa perubahan positif baik dari sudut kepimpinan mahupun kemajuan negeri.

Adun Kota Alam Shah, M.Manoharan berkata, kepimpinan Abdul Khalid yang bersifat telus dan bebas dari sebarang kontroversi seharusnya dicontohi dan dijadikan tauladan oleh barisan pimpinan Umno-BN

Jelasnya, keadaan ini amat berbeza daripada amalan korupsi dan penyelewengan hasil negeri yang diamalkan pemimpin Umno-BN yang pernah menjawat jawatan itu sebelum ini.

“Saya amat berpuas hati atas pentadbiran Menteri Besar dalam mengendalikan urusan pemerintahan kerajaan negeri. Apabila dibandingkan dengan pimpinan sebelum ini, ternyata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tiada skandal dan bebas rasuah.

Malah hasil pasir juga meningkat, malah ekonomi Selangor berjaya menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi negara,” katanya.

Manoharan berkata, Abdul Khalid juga dilihat berjaya mengharungi pelbagai tohmahan daripada pelbagai pihak terutama berhubung isu pelucutan jawatan Adun Gombak Setia, Datuk Dr Hasan Ali sebagai Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Menurutnya, tohmahan itu sebaliknya dijadikan pemangkin oleh Abdul Khalid untuk mengukuhkan pentadbiran negeri.

Dalam pada itu, beliau turut memuji peranan keempat-empat Exco Wanita yang berjaya menujukkan kehebatan serta kehandalan mereka dalam membangunkan portfolio masing-masing yang menyumbang kepada kemajuan negeri.

“Saya berbangga melihat kejayaan dan perubahan yang dibawa oleh exco wanita. Contohnya, Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail yang memegang portfolio wanita telah berjaya membela nasib wanita termasuk ibu tunggal melalui pelbagai program yang diperkenalkan.

Selain itu, Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali juga berjaya membawa kemajuan dari sudut pendidikan dengan memastikan tiada pelajar yang tercicir dari sudut pembelajaran. Saya ingin mencadangkan kepada Menteri Besar untuk membentangkan laporan kerja exco wanita kepada rakyat sebagai bukti kejayaan mereka dalam membangunkan negeri,” jelasnya.

Categories
SELANGOR

MB: Tingkat Kredibiliti Untuk Jana Perkhidmatan Terbaik

SHAH ALAM, 5 MAC : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengingatkan penjawat awam di negeri ini untuk mempertingkatkan kredibiliti sejajar usaha kerajaan negeri memperkukuhkan integriti kakitangan awam demi memastikan memberi mutu perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Abdul Khalid berkata demikian semasa Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor yang dihoskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veteriner Selangor yang diadakan di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini.

” Jika saudara menjadi pemimpin yang mempunyai kreadibiliti, maknanya bukan saudara yang menentukan,tetapi orang yang berhubung dengan saudara itu yang menentukan samada saudara mempunyai kreadibiliti,” kata beliau.

Beliau juga menegaskan buku bertajuk “Credibility: How Leaders Gain and Lose It, Why People Demand It ” hasil tulisan Jossey-Bass, perlu dibaca oleh kalangan penjawat awam kerana buku tersebut memperincikan pengertian kreadibiliti dalam kepimpinan dan hubungan antara manusia supaya dapat diaplikasikan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Exco Selangor, Teresa Kok, Rodziah Ismail,Ronnie Liu, Dr Xavier Jeyakumar, Dr Yunus Hairi, Dr Halimah Ali, Ean Yong Hian Wah, Dr Yaakob Sapari dan Pengarah Perkhidmatan Jabatan Veteriner Selangor, Dr Abdul Latif Borhan.

” Masyarakat lebih cenderung untuk memilih pemimpin bukan disebabkan oleh kuasa tetapi adalah hasil yang ada pada kuasa dia, kerana pemimpin itu memimpin melebihi jangkaan iaitu maknanya pimpinan itu akan menghasilkan apa yang dijanjikannya.

” Lebih 80 peratus mereka menilai kepimpinan itu kalau pemimpin itu boleh dipercayai,apabila pemimpin itu dipercayai maka dia tidak lagi perlu menjerit untuk memberikan arahan ke sana dan ke sini agar pekerja bawahannya melaksanakan kerja , ” katanya.

Abdul Khalid juga mengingatkan penjawat awam juga terus melaksanakan dan menghayati konsep amanah dalam menjalankan tugas.

” Saya ingin membawa negeri Selangor menjadi satu negeri yang mempunyai kredibiliti,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Veteriner Selangor, Dr Abdul Latif Borhan dalam ucapannya berkata Jabatan Perkhidmatan Veteriner telah membangunkan sembilan tapak projek ternakan yang baru berkeluasan enam puluh hektar di Hulu Selangor bagi program translokasi penternak.

“Pertembungan antara kawasan penempatan manusia dan kawasan penternakan telah menyebabkan isu alam sekitar dan kacau ganggu semakin hangat diperdebatkan pada masa ini.

Notis penutupan ladang ternakan telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan kerana lokasi ladang ternakan berkaitan tidak lagi sesuai dengan pembangunan kawasan sekitarnya,” katanya.

Menurut beliau lagi, berlaku operasi penutupan ladang telah dikuatkuasakan melibatkan sembilan buah ladang lembu tenusu dan dijangkakan banyak lagi operasi seumpamanya akan digerakkan.

“Jabatan Perkhidmatan Veteriner akur dengan keputusan kerajaan ini, malah akan terus membantu pihak berkuasa tempatan yang berkaitan memindahkan ternakan yang terlibat ke tempat lain.

“Namun selaku penjana dan pemelihara industri haiwan tempatan,jabatan ini juga prihatin dengan masalah yang dihadapi penternak yang terlibat,” kata beliau.

Kira-kira lebih 400 penjawat awam dari Jabatan Perkhidmatan Veteriner Selangor hadir dalam majlis perhimpunan bulanan itu.

 

 

 

 

 

 

Categories
SELANGOR

Halimah: Isu Tapak SMK Sg. Ramal Selesai

SHAH ALAM, 16 FEB : Isu tapak pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ramal di Hulu Langat selesai hasil perbincangan antara Kerajaan Negeri dan pihak-pihak berkaitan.

Menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, mesyuarat Exco semalam memutuskan untuk memberi kelulusan permohonan pemberi-milikan tanah kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan untuk dijadikan tapak sekolah berkenaan.

“Keputusan ini dicapai hasil perbincangan bersama dengan wakil Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Selangor, Pejabat Pelajaran Daerah, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Pejabat Tanah pada 13hb lepas,” ujar Halimah.

Halimah turut memberitahu pihak MPKj bersetuju menarik balik Arahan Memberhentikan Kerja yang dikeluarkan ke atas kerja-kerja pembinaan di atas tapak berkenaan sebelum ini.

“Kini segala kerja-kerja berkenaan boleh diteruskan kembali kerana isu ini sudah selesai,” jelas Halimah ringkas.

Buat masa ini, hanya terdapat dua sekolah rendah di kawasan Sungai Ramal iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ramal Dalam dan SK Sungai Ramal Luar.

Categories
NASIONAL

Halimah: Kesal Umno/BN Guna Sekolah Untuk Politik

SHAH ALAM, 15 FEB : Kerajaan Negeri membidas tindakan terdesak Umno/BN yang sanggup menggunakan premis institusi pendidikan untuk menyampaikan agenda politik mereka, demikian tegas Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

“Difahamkan sejak akhir-akhir ini terdapat sebilangan ahli politik yang mempolitikkan sekolah-sekolah.

“Kerajaan Selangor sama sekali tidak mahu premis sekolah ini disalahgunakan,” beritahu Halimah yang ditemui selepas Mesyuarat Exco di SUK siang tadi.

Halimah turut berkongsi aduan yang diterimanya pada hari ini bahawa Sekolah Menengah Sri Andalas menjadi sasaran Umno/BN untuk menyampaikan agenda politik mereka.

“Mereka mewajibkan kehadiran guru-guru manakala pelajar telah diarah untuk pulang lebih awal bagi memberi ruang kepada program mereka bersama guru-guru.

“Guru-guru juga seolah-olah diugut untuk wajib hadir,” ulas Halimah kesal.

Lebih mengecewakan menurut Halimah, keadaan ini akan menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran murid-murid di sekolah ekoran kelas-kelas yang terpaksa dibatalkan demi memenuhi tuntutan program Umno/BN itu.

“Kami sangat-sangat prihatin. Kerajaan Selangor menyediakan kelas-kelas tambahan melalui Program Tuisyen Rakyat Percuma.

“Tetapi kami tidak akan sesekali mengganggu proses yang telah berjadual di sekolah-sekolah,” tegas Halimah yang juga merupakan Adun Selat Klang.

Sehubungan itu, Halimah kesal dengan tindakan Umno/BN agar tidak menggunakan premis-premis sekolah lebih-lebih lagi ketika waktu persekolahan semata-mata untuk kepentingan politik mereka.