Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Rangka Pelbagai Program Bela Ibu Tunggal

 

SHAH ALAM 28 NOV : Seramai 24,009 wanita bertaraf ibu tunggal di seluruh Selangor berpeluang membaiki taraf kehidupan apabila Kerajaan Negeri merancang pelbagai program untuk membawa mereka keluar dari belenggu kemiskinan.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan Rodziah Ismail berkata, insiatif itu diambil supaya mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.

“Antara program dijalankan ialah Pemberdayaan Wanita Selangor menerusi Pusat Wanita Budaya (PWB), Skim Mikrokredit Luar Bandar (SkimSel), Skim Mikrokredit Bandar (Mimbar), Skim Mikrokredit Wanita Ladang (Wala), Program Pemberdayaan Ibu Tunggal SOHO Selangor (PET-SOHO-S), Skim Bantuan Asuhan Rakyat (SiKembar), Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) serta Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor.

“Semua program dan skim ditawarkan itu menarik ibu tunggal di Selangor untuk bersama turut serta dan mendaftar bagi melibatkan diri mereka,” katanya ketika menjawab pertanyaan Adun Kota Alam Shah, M Manoharan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Rodziah berkata, dari jumlah dinyatakan, ibu tunggal di kalangan bangsa Melayu mencatat bilangan tertinggi seramai 18,011 orang, India (1,574), Cina (792), Orang Asal (dua) dan lain-lain (3,630).

Beliau berkata, kajian beberapa institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa serta NGO mendapati antara masalah dihadapi golongan itu adalah masalah kewangan untuk menampung keperluan harian diri dan keluarga.

Selain itu, tambahnya, ia turut melibatkan masalah berurusan dengan mahkamah seperti tidak mendapat pembelaan dari sudut penerimaan nafkah akibat perceraian di samping terpaksa melalui proses birokrasi mahkamah yang merumitkan dalam jangka masa panjang.

“Masalah dalam penjagaan sempurna anak-anak ketika mencari nafkah dan kesan psikologi khususnya dalam tempoh tiga bulan pertama menjadi ibu tunggal turut membelenggu mereka ini,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Cadang MB Batalkan Segera Projek Kondo Batu Caves

SHAH ALAM 20 NOV : Adun Kota Alam Shah, M Manoharan meminta Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggunakan kuasanya sebagai Menteri Besar untuk membatalkan terus projek pembinaan kondominium di Batu Caves.

Menurutnya, projek tersebut tidak harus diteruskan kerana kawasan tersebut merupakan tempat beribadat penting untuk masyarakat India.

“Saya mencadangkan agar Menteri Besar tidak menangguhkan lagi perkara serius ini sebaliknya terus membatalkan semua keputusan yang dibuat sebelum ini.

“Saya juga yakin Tan Sri akan melakukan keputusan yang tepat dalam hal ini,” tegas beliau.

Tambahnya, sokongan kaum India terhadap kepimpinan Abdul Khalid juga dilihat semakin meningkat dari semasa ke semasa.

“Kalau Tan Sri bertanding di Batu Caves pun, pasti beliau akan menang dengan mudah kerana sokongan tinggi,” seloroh beliau.

Projek kondominium 29 tingkat di Batu Caves baru-baru ini mendapat pelbagai tentangan daripada pelbagai pihak terutamanya kaum India.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) kemudiannya mendedahkan dokumen salinan Minit Mesyuarat Penuh Bulanannya dan mendapati projek tersebut diluluskan pada 2007 iaitu ketika pentadbiran kerajaan Umno/BN.

Categories
NASIONAL

Anwar : Mampu Tawan Putrajaya Dengan Politik Bersih

TANJONG KARANG, 28 OKT – Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya Pakatan Rakyat (PR) mampu menawan Putrajaya dengan permainan politik bersih tanpa perlu mengikut rentak budaya kotor Umno-BN.

Bercakap dihadapan 400 orang penduduk pada majlis Jelajah Merdeka Rakyat di Dun Permatang, Anwar berkata, kemenangan secara matang itu lebih signifikan daripada menggunakan budaya fitnah dan penindasan.

“Saya tidak datang untuk mencerca Najib, Rosmah dan Umno.

“Saya nak menang rakyat bangkit menolak rasuah dan fitnah,” katanya.

Jelasnya meskipun Umno-BN menguasai seluruh jentera kerajaan termasuk media, namun hakikatnya mereka terus merasa goyah memandangkan sehingga kini banyak isu yang gagal dipertahankan melainkan memburukkan PR.

Beliau menambah, apa yang penting, rakyat jangan terkeliru dengan dakyah yang dimainkan media yang terus-menerus memutarbelitkan fakta sebenar.

“Sebab apa dia (Najib) takut? Dia punyai televisyen, jentera dan wang kerana dia ada rasuah.

“Sebab itu dia tidak mampu jawab,” ujarnya lagi di Warung Nasi Ambeng Ibu, Kampung Sungai Gulang-gulang Tanjong Karang.

Anwar sekali lagi mengulangi ikrar beliau untuk menurunkan harga minyak dalam tempoh 24 jam selepas PR menawan Putrajaya selain membatalkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) beserta hutangnya.

Jelajah Merdeka Rakyat turut disertai Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tiba pada jam 12.30 tengahari bersama rombongan dengan menaiki bas Jelajah Merdeka Rakyat sambil diiringi motosikal berkuasa besar.

Turut hadir, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei, Adun Kota Alam Shah, M Manoharan dan Penyelaras DUN Permatang, Yahaya Saari.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Orang Ramai Sokong Program 15 Minutes Break Reading Diperluas

KLANG 24 JUN : Program ’15 Minutes Break Reading’ anjuran Kerajaan Negeri dilihat amat praktikal bagi menyemai minat membaca di kalangan masyarakat bermula dari usia rendah, kata Hanita Muda kepada TV Selangor selepas menghadiri perasmian program ini di sini pagi tadi.

“Kita dapat lihat ramai yang datang secara berkumpulan dan bersama keluarga. Ini perkembangan positif ke arah mewujudkan masyarakat sihat dan berilmu,”katanya yang menyokong penuh agar program anjuran Kerajaan Negeri dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor(PPAS) ini diperluaskan ke seluruh negeri.

Beliau berkata ia banyak memberikan manfaat kepada semua dan rakyat Selangor dapat bergerak maju dan bersaing dalam zaman serba maju ini.

Latifah Sujang, 42, dari Pulau Indah berharap program itu diadakan secara berterusan kerana ia amat menyeronokkan dan menghimpunkan seluruh masyarakat dalam acara menimba ilmu.

Katanya, dia turut berharap ia diadakan di kawasan kediamannya di Pulau Indah.

“Bagus sangat sebab semua orang ada turut serta. Saya sendiri datang dengan anak-anak dan kawan-kawan disebabkan program ini menarik. Jadi program ini mendapat sambutan ramai bila ia dijalankan,” ujarnya.

Program “15 Minutes Break Reading” diadakan di Pengkalan Batu di sini dirasmikan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Turut hadir, Adun Kota Alam Shah, M Manoharan dan Pengarah PPAS, Mastura Mohamad.

Dr Halimah berkata, program “15 Minutes Break Reading” itu diadakan di daerah di seluruh Selangor bagi melahirkan masyarakat berilmu di negeri itu.

Katanya, ia bersesuaian dengan status negari maju bagi Selangor yang memerlukan rakyat bergerak seiring dengan peredaran zaman yang serba moden dan terkehadapan.

“Ia diadakan bagi menyemai minat membaca di kalangan rakyat supaya dapat dipupuk dari usia rendah lagi hinggalah ke usia emas. Dalam program sebegini kita dapat kumpulkan seluruh masyarakat dari pelbagai peringkat usia dan bangsa untuk bersama turut serta membaca. Maka dari situ lama kelamaan amalan suka membaca ini dapat disuburkan dengan jayanya terhadap orang ramai,” katanya.

Menurutnya, program itu diperluaskan di negeri itu juga adalah hasil kejayaan program Hari Ilmu yang diadakan buat kali pertama di Tasek Shah Alam pada 26 Jun 2010 yang menghimpunkan lebih 15,000 orang dengan catatan rekod bacaan serentak teramai bagi kawasan luar di negara ini.

Categories
NASIONAL

300 Orang Desak Tol Batu Tiga-Sungai Rasau Dihapuskan

SHAH ALAM 13 MEI : Hampir 300 rakyat berkumpul di Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di sini bagi menyertai demonstrasi mendesak Kerajaan Pusat menghapuskan kedua-dua tol terbabit.

Demonstrasi aman anjuran Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor itu mencuri tumpuan pengguna lebuh raya itu apabila mereka membunyikan hon sebagai tanda sokongan dan mengambil pelekat kereta dengan slogan ‘Hapuskan Tol Demi Rakyat’.

Peserta demonstrasi juga membawa kain rentang bertulis ‘Hapuskan Tol Baru Betul’, ‘Hapuskan Tol Demi Rakyat’ selain laungan ‘Hidup Rakyat’, ‘Hapuskan tol’, ‘Undi Pakatan Rakyat Tak Bayar Tol’, dan ‘Undi BN Bayar Tol’. 

“Kami dapat simpulkan kehadiran rakyat berbilang kaum pada hari ini sebagai gerakan rakyat secara bersepadu untuk bersama-sama mendesak Kerajaan Pusat berhenti dari terus membebankan rakyat.

?Sedangkan pulangan modal yang sepatutunya mereka perolehi sudahpun mereka dapatkan lama dulu,” jelas Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Atkin.

Turut hadir Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei dan Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri dan MP Shah Alam Khalid Samad di Tol Batu Tiga di sini.

Sementara di plaza tol Sg Rasau, pemimpin Pakatan Selangor dan kira-kira 100 individu turut mengadakan sebuah lagi demonstrasi bagi tujuan yang sama.

Kumpulan itu turut dipimpin Exco Selangor Ronnie Liu dan Dr. Yaakob Sapari, Kapar MP S. Manikavasagam dan ADUN Kota Alam Shah M. Manoharan.

Khalid berkata kedua-dua tol tersebut sepatutnya sudah lama dihapuskan.

 “Laluan ini memang sudah lama wujud dan mereka (syarikat konsesi) sekadar melebarkannya daripada dua ke enam lorong.

?Pengguna pula terus dikenakan bayaran sehingga ke hari ini selepas kira-kira dua puluh tahun kutipan tol dimulakan.

“Mengambil kira kenderaan yang semakin banyak, sehari sahaja PLUS (Projek Lebuhraya Usahasama Berhad) mampu mengutip ratusan ribu. Bayangkanlah untuk beberapa tahun ini, memang inilah paling mengarut sekali,” jelasnya sewaktu ditemubual TVSelangor.

Salah seorang peserta demonstrasi mencuri tumpuan apabila beliau mengangkat palang di satu lorong plaza tol Batu Tiga menyebabkan beberapa kenderaan melepasinya tanpa perlu membuat bayaran.

Bagaimanapun, Dr Xavier yang berada di situ segera mengarahkan palang tersebut diturunkan dan beliau berjanji untuk membayar ganti rugi yang ditanggung pihak PLUS.

Categories
SELANGOR

Hasan Ali Guna Sidang DNS Untuk Bercakap Soal Peribadi

SHAH ALAM 21 MAC : Terkesan dengan perlucutan jawatannya sebagai Exco Agama, ADUN Gombak Setia, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang kini hadir ke Sidang Dewan Undangan Negeri sebagai Ahli Bebas, menggunakan ruang perbahasan hari ini sebagai medan melepas perasaan dan lunak membincangan soal peribadi.

Walaupun ditegur beberapa kali oleh ahli dewan bahawa ucapannya bercanggah dengan Perkara 361 Undang-undang Dewan, Hasan tegar meneruskan ucapanya yang bersifat peribadi itu selain melakukan serangan peribadi terhadap beberapa ahli dewan.

Sikap Hasan yang sering menjadikan isu murtad dan peranan pemimpin kerajaan negeri dari kalangan Islam khususnya PAS menegakkan martabat Islam, dipersoalkan oleh ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim.

Suee Lim mengesa Hasan menjelaskan peranan dan usahanya dalam memberi kefahaman penuh kepada masyarakat bukan Islam semasa mengalas Exco Agama.

“Sudah setengah jam, Gombak Setia membincangkan soal peribadi dan menyerang peribadi Ahli Dewan yang lain berhubung agama Islam dan peranan memartabatkannya.

“Saya ingin tahu apakah yang Gombak Setia lakukan sepanjang tiga tahun sebagai Exco Agama dalam memberi penerangan dan kefahaman terhadap orang bukan Islam seperti soal perlaksanaan hukum hudud,”soalnya.                                                                                                               

Sementara itu ADUN Kota Alam Shah, M. Manoharan turut membidas sikap Hasan itu yang lantang membahaskan soal peribadinya, sedangkan sepanjang mengalas jawatan exco beliau sering gagal menjawab soalan didalam dewan dan menjalankan tugasnya dengan baik.

“Saya berasa kesian dengan Gombak Setia, semasa menjadi Exco sepanjang tiga tahun, beliau gagal menlaksanakan tugasnya, sebaliknya hari ini beliau menggunakan ruang ucapan dengan menjadi duri dalam daging,”jelas Manoharan.

Hasan digugurkan daripada jawatannya dalam kerajaan negeri Sebagai Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Januari lalu.

Hassan juga telah di lucutkan sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor setelah tidak membuat rayuan kepada jawatankuasa disiplin PAS Pusat berhubung tindakan pemecatan beliau

Categories
SELANGOR

Masalah Kesihatan, Banjir dan Kaum India perlukan Perhatian

SHAH ALAM 21 MAC : Susulan kesesakan Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang yang merupakan hospital ketiga tersibuk di Malaysia perlu diberi perhatian oleh kerajaan negeri.

Adun Kota Alam Shah, Manoharan Malayalam hari ini mengemukakan cadangan agar Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr. Xavier Jayakumar untuk mengadakan lawatan bagi memastikan segala masalah yang dihadapi dapat di beri perhatian.

“Saya sudah tiga kali melawat dan melihat keadaan di hospital tersebut dan diharap exco kesihatan juga perlu melakukan lawatan bagi melihat apa-apa penambah baik sekiranya perlu, jelas beliau.

Di samping itu, Manoharan turut menyeru agar satu langkah jangka masa panjang dapat diwujudkan bagi melahirkan generasi rakyat Selangor yang sihat dan sejahtera.

“Jika diteliti segala masalah ini semua berpunca daripada gaya hidup rakyat itu sendiri.

“Jadi, saya mohon agar pusat kesihatan dapat diwujudkan supaya dapat dikunjungi rakyat bagi memastikan mereka menjalani gaya hidup sihat,” ujar Manoharan.

Selain itu, Manoharan turut menyeru Kerajaan Negeri untuk segera menangani masalah banjir yang didakwa sering berlaku di setengah kawasan sekitar Klang.

“Saya minta pihak kerajaan memikirkan solusi terbaik bagi menangani masalah ini bagi memberi kehidupan yang selesa kepada rakyat,” kata Manoharan.

Beliau turut memberi cadangan agar Kerajaan Negeri dapat menawarkan tujuh peratus diskaun kepada rakyat miskin negeri ini dalam urusan pembelian harta atau rumah dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Saya juga ingin mencadangkan Kerajaan Negeri menyediakan peruntukkan RM100 juta khusus untuk membantu golongan miskin bagi menjalankan perniagaan sendiri seterusnya membolehkan mereka bergerak maju seiring dengan kemajuan yang dicapai negeri ini,” ulas Manoharan sambil mengucapkan tahniah di atas kejayaan barisan Exco Negeri yang berjaya membangunkan Negeri Selangor ke tahap membanggakan.

Categories
SELANGOR

Empat Exco Wanita Handal Majukan Negeri

SHAH ALAM, 21 MAC : Pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sejak Mac 2008 berjaya membawa perubahan positif baik dari sudut kepimpinan mahupun kemajuan negeri.

Adun Kota Alam Shah, M.Manoharan berkata, kepimpinan Abdul Khalid yang bersifat telus dan bebas dari sebarang kontroversi seharusnya dicontohi dan dijadikan tauladan oleh barisan pimpinan Umno-BN

Jelasnya, keadaan ini amat berbeza daripada amalan korupsi dan penyelewengan hasil negeri yang diamalkan pemimpin Umno-BN yang pernah menjawat jawatan itu sebelum ini.

“Saya amat berpuas hati atas pentadbiran Menteri Besar dalam mengendalikan urusan pemerintahan kerajaan negeri. Apabila dibandingkan dengan pimpinan sebelum ini, ternyata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tiada skandal dan bebas rasuah.

Malah hasil pasir juga meningkat, malah ekonomi Selangor berjaya menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi negara,” katanya.

Manoharan berkata, Abdul Khalid juga dilihat berjaya mengharungi pelbagai tohmahan daripada pelbagai pihak terutama berhubung isu pelucutan jawatan Adun Gombak Setia, Datuk Dr Hasan Ali sebagai Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Menurutnya, tohmahan itu sebaliknya dijadikan pemangkin oleh Abdul Khalid untuk mengukuhkan pentadbiran negeri.

Dalam pada itu, beliau turut memuji peranan keempat-empat Exco Wanita yang berjaya menujukkan kehebatan serta kehandalan mereka dalam membangunkan portfolio masing-masing yang menyumbang kepada kemajuan negeri.

“Saya berbangga melihat kejayaan dan perubahan yang dibawa oleh exco wanita. Contohnya, Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail yang memegang portfolio wanita telah berjaya membela nasib wanita termasuk ibu tunggal melalui pelbagai program yang diperkenalkan.

Selain itu, Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali juga berjaya membawa kemajuan dari sudut pendidikan dengan memastikan tiada pelajar yang tercicir dari sudut pembelajaran. Saya ingin mencadangkan kepada Menteri Besar untuk membentangkan laporan kerja exco wanita kepada rakyat sebagai bukti kejayaan mereka dalam membangunkan negeri,” jelasnya.