Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Maahad tahfiz terbakar, ADN Morib hulur bantuan awal

SHAH ALAM, 4 OGOS: Ahli Dewan Negeri Morib menyumbang bantuan awal sebanyak RM2,000 kepada Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Kuala Langat di Banting yang terbakar pagi tadi.

Hasnul Baharuddin berkata bantuan itu dapat meringankan beban pusat berkenaan terutama dalam mengendali kebajikan pelajar.

“Bantuan segera ini boleh digunakan untuk kos pengangkutan pelajar kerana difahamkan pelajar dibenarkan pulang ke rumah masing-masing untuk sementara waktu,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Hasnul yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor meluangkan masa melawat lokasi kejadian.

Pagi tadi, seramai 131 pelajar perempuan sekolah tahfiz berkenaan selamat selepas bangunan asrama tingkat empat didiami mereka terbakar.

Kejadian jam 5.45 pagi tadi itu berlaku ketika mereka sedang bersiap untuk menunaikan solat Subuh.

Categories
AGENSI SELANGOR

Dua penggal jadi ADN, Hasnul tidak kekok sebagai timbalan speaker

SHAH ALAM, 13 JULAI: Pengalaman selama dua penggal sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) membuatkan Hasnul Baharuddin sebagai timbalan speaker baharu mampu mengendalikan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Hasnul yang dilantik ke jawatan itu hari ini berkata pengalaman itu membolehkan beliau memahami wakil rakyat sekali gus dapat mengawal tahap disiplin mereka ketika berada dalam dewan persidangan.

“Ketegasan speaker atau timbalannya sangat penting untuk mengawal keadaan sesuatu dewan persidangan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari serta seluruh ADN kerana memberi kepercayaan kepada saya sebagai timbalan speaker baharu,” kata ADN Morib kepada SelangorKini.

Hari ini, Amirudin mengumumkan pelantikan Hasnul bagi menggantikan ADN Sementa, Dr Daroyah Alwi.

Majlis angkat sumpah diadakan pada sidang DNS di hadapan Speaker Ng Suee Lim dan persidangan bermula hari ini sehingga 24 Julai.

Categories
ADN SELANGOR

38 peserta Blueprint Pembasmian Kemiskinan terima alatan perniagaan

BANTING, 15 OKT: Seramai 38 peserta dari daerah Kuala Langat menerima peralatan bagi memulakan perniagaan melalui program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan.

Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin berkata, bantuan berjumlah RM209,200 membabitkan 44 peralatan perniagaan itu merangkumi motosikal roda tiga, mesin jahit, peralatan memasak, peti ais sejuk beku dan mesin cetak.

“Kita berharap penerima dapat memanfaatkan peralatan ini sebaiknya, sekali gus berusaha meningkatkan ekonomi keluarga dan mewujudkan kehidupan yang sejahtera.

“Terima kasih juga kepada Kerajaan Negeri kerana meneruskan program ini yang boleh membantu golongan kurang bernasib baik menambah pendapatan dan mengurangkan kadar kemiskinan rakyat Selangor khususnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor pada Majlis Penyerahan Bantuan Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor peringkat Kuala Langat di Dewan Jubli Intan Kampung Olak Lempit Banting, di sini hari ini.

Pada masa sama, Hasnul berharap Kerajaan Negeri dapat memikirkan mekanisme untuk melaksanakan kursus bimbingan kepada penerima bagi meningkatkan ilmu keusahawanan dan urusan kewangan.

“Dengan cara begitu diharap penerima dapat menguruskan kewangan mereka secara lebih baik,” katanya.

Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor yang dilancarkan sejak 2008 bertujuan menyalurkan bantuan berupa peralatan atau mesin berdasarkan perusahaan dan perniagaan yang sedang dijalankan.

Program itu membabitkan golongan miskin dan berpendapatan rendah yang mempunyai kemahiran untuk meneruskan perusahan dalam bidang seperti jahitan, perniagaan runcit, perniagaan makanan, pengasuh kanak-kanak, perusahaan kecil dan kraftangan.

Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM2 juta setiap tahun dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi golongan sasar.

Peniaga yang ingin mengembangkan perniagaan bagi menambah pendapatan disarankan supaya memohon bantuan itu di pejabat tanah berhampiran.

Categories
AGENSI SELANGOR

Rakyat diseru berganding bahu maju negeri

MORIB, 16 SEPT: Rakyat Selangor tanpa mengira kaum dan agama diseru bersama berganding bahu untuk terus memajukan negeri ini selaras negara maju lain.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar berkata, rakyat perlu meningkatkan kesedaran dalam diri mereka sekali gus memupuk perasaan kasih sayang antara kaum.

Katanya, perkara itu perlu dilakukan bagi memastikan kesinambungan hubungan baik zaman nenek moyang dahulu tidak kira Melayu, Cina dan India dapat menjalani kehidupan penuh harmoni.

“Selain itu, kita juga perlu bersama berusaha meningkatkan kemajuan diri dan keluarga dari segi ekonomi atau pendidikan.

“Semua matlamat ini tidak mungkin akan tercapai tanpa wujudnya perpaduan nasional, keamanan kestabilan dan keharmonian,” katanya yang juga Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Malaysia 2019 peringkat Kuala Langat di Pantai Morib di sini, malam tadi.

Kibaran Jalur Gemilang oleh para hadirin sempena Sambutan Hari Malaysia 2019 peringkat Daerah Kuala Langat di Pantai Morib pada 15 September 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin dan Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim.

Pada masa sama, Xavier berkata, penduduk di Kuala Langat juga perlu memainkan peranan untuk bersama memajukan daerah berkenaan memandangkan ia bakal diangkat sebagai Majlis Perbandaran tidak lama lagi.

“Saya menyeru khususnya penduduk Kuala Langat untuk bersatu-padu memajukan daerah ini seiring hasrat Kerajaan Negeri mahu menjadikan Kuala Langat ke arah Majlis Perbandaran,” katanya.

Terdahulu, lebih kurang 5,000 orang hadir pada program sambutan Hari Malaysia 2019 yang berlangsung di Dataran Pantai Morib di sini.

Program diadakan serentak dengan Pesta Morib 2019 itu dianjurkan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Sambutan Hari Malaysia itu dimeriahkan dengan pelbagai persembahan termasuk tarian tradisional, nyanyian dan pencak silat.

Program turut diserikan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Jalur Gemilang daripada pengunjung yang hadir.

Categories
SELANGOR

Isu muflis, ADN Morib ambil tindakan undang-undang

OLEH NORHAYATI UMOR

MORIB, 20 APRIL: Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan maklumat palsu dan memfitnahnya dalam isu muflis, baru-baru ini.

Katanya, perkara itu sedang dibincangkan bersama peguamnya untuk tindakan lanjut.

Beliau turut menafikan terdapat salah guna kuasa dan penyelewengan dana awam seperti yang dilemparkan bagi menjelaskan hutang itu.

“Sebagai seorang manusia, saya juga berurusan dengan institusi kewangan. Pihak bank berkenaan sudah membatalkan notis itu.

“Namun, ada tohmahan mengatakan saya menggunakan dana awam sebanyak RM800,000 dan menyelesaikan hutang itu dalam masa dua hari, itu tidak benar,” katanya kepada SelangorKini.

Hasnul berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu menjatuhkan reputasinya dan kredilibiti sebagai wakil rakyat serta menerima pelbagai tohmahan.

“Saya tidak bayar apa-apa untuk menyelesaikan hutang itu. Premis yang dibeli pada 1999 itu sudah dibayar sebanyak RM280,000.

“Saya terpaksa melepaskan premis perniagaan itu kepada pihak bank kerana ia tidak mendatangkan keuntungan, jika teruskan saya akan rugi,” katanya.

Pada 22 Februari lalu, nama Hasnul tertera di notis Mahkamah Tinggi Shah Alam membabitkan sebuah bank, namun notis daripada Jabatan Insolvensi Malaysia menerusi keputusan pencarian kebangkarapan pada semalam menunjukkan statusnya tidak bangkrap.

“Notis dikeluarkan kerana pihak bank masih belum terima bayaran daripada pembida. Tiba-tiba notis keluar di akhbar tanpa menghubungi saya terlebih dahulu,” katanya.

Categories
SELANGOR

ADN Morib nafi diri muflis

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 APRIL: Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin, menafikan dirinya muflis seperti yang tular di Whatsapp dan ruangan iklan sebuah akhbar.

Beliau mengesahkannya kepada Selangorkini ketika diminta mengulas perkara demikian.

Katanya, nama yang tertera dalam notis Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 22 Februari lalu oleh sebuah bank itu adalah dirinya.

Namun, notis daripada Jabatan Insolvensi Malaysia menerusi keputusan pencarian kebangkarapan pada semalam menunjukkan statusnya tidak bangkrap.

“Perkara itu masih dalam proses penyelesaian dan aset yang dimaksudkan adalah sebuah kedai strata dilelongkan.

“Pihak bank dan peguam khilaf sehingga keluar notis mahkamah. Pihak bank berkenaan berjanji akan membatalkan notis itu,” katanya ketika dihubungi.

Hasnul berkata, aset terbabit dibeli pada 1999 tidak mendatangkan hasil dan pihaknya sudah menjelaskan bayaran pokok.

“Bagaimanapun, ia cuma keuntungan kepada pihak bank belum habis,” katanya.

Katanya, kekeliruan itu boleh menjejaskan kedudukannya sebagai ADN.

Categories
SELANGOR

Hati-hati, ada pihak sedang menangguk di air keruh

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 NOV: Isu membabitkan Kuil Sri Maha Mariamman, di Seafield menjadi kecoh apabila terdapat pihak tidak bertanggungjawab menangguk di air keruh bagi meraih kepentingan tertentu.

Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin berkata, golongan itu sengaja memainkan isu agama dan perkauman bagi mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat, di kawasan terbabit.

“Harap Dato’ Menteri Besar dan EXCO dapat teliti isu ini supaya ia dapat diselesaikan dan tidak berulang lagi, pada masa akan datang.

“Jika tidak, Kerajaan Negeri akan disalahkan dan dituduh tidak tegas,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019, di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Sebelum ini, suasana huru hara tercetus di Kuil Sri Maha Mariamman apabila terdapat pihak tidak dikenali menyerang orang ramai yang berada, di kawasan kuil terbabit.

Categories
SELANGOR

Isu perparitan Kampung Sungai Buaya tak sistematik diberi perhatian

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 NOV: Masalah perparitan tidak sistematik di Lorong Tok Bakar Dan Lorong Santan Off Jln Tanah Raja, Kampung Sungai Buaya akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Pejabat Daerah Kuala Langat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib, Hasnul Baharuddin berkata, hasil pertemuan dan pemeriksaan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Langat mendapati masalah perparitan tidak selaras menyebabkan air parit melimpah yang mengakibatkan banjir sehingga paras lutut bermula jam 8 malam pada 6 November lalu.

Katanya, kejadian itu berlaku susulan hujan lebat dan penutupan kunci air akibat air pasang besar.

“Kita dapati ada sistem perparitan yang berbeza di kawasan ini kerana ia kawasan persendirian. Reka bentuk yang tidak seragam menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan baik dan akhirnya melimpah ke jalan serta kawasan rumah penduduk terdekat,” katanya.

Dalam kejadian itu, tiga keluarga terpaksa dipindahkan ke rumah saudara mara terdekat bagi memastikan keselamatan mereka terjamin ekoran penemuan beberapa haiwan berbisa.

Kesemua mereka dibenarkan pulang semula ke rumah sehari kemudian selepas paras air surut.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Pra sekolah KEMAS Selangor lahir kanak-kanak berpotensi

OLEH HAFIZAN TAIB

BANTING, 3 SEPT: Pendidikan pra sekolah dijayakan KEMAS Selangor berjaya membina keyakinan diri dan mengasah bakat kanak-kanak dalam persediaan mereka memasuki alam persekolahan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib, Hasnul Baharuddin berkata, penganjuran Hari Potensi KEMAS peringkat Selangor diadakan itu mendedahkan kanak-kanak yang mendapat pendidikan di KEMAS, berjaya mengembangkan bakat dan kebolehan masing-masing.

“Diharapkan program ini dapat membuka mata masyarakat terutama ibu bapa akan betapa pentingnya peranan KEMAS dalam memberikan pendidikan kepada kanak-kanak bermula dari peringkat awal.

“Ini kerana pendidikan pra sekolah ini amat penting untuk kanak-kanak sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam persekolahan,” katanya dalam majlis perasmian penutup Hari Potensi KEMAS peringkat Selangor di Kolej Matrikulasi Selangor di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah KEMAS, Dato’ Amiruddin Ariffin dan Pengarah KEMAS Selangor, Khairuddin Md Nasir.

Mengulas lanjut, Hasnul berkata, kejayaan dalam melaksanakan majlis itu membuktikan hasil kerjasama erat semua kakitangan KEMAS Selangor dan pihak berkaitan dari pelbagai peringkat.

“Tahniah kepada KEMAS Selangor kerana berjaya menganjurkan program ini dengan jayanya hasil kerjasama semua kakitangan dan pihak berkaitan.

“Semangat seperti ini amat diperlukan untuk menjayakan sesebuah jabatan atau agensi yang menjadi tunjang kepada kerajaan dan sentiasa menjadi perhatian rakyat,” katanya.

Hari Potensi KEMAS peringkat Selangor disertai semua daerah di negeri itu diadakan pada 1 hingga 2 September lalu bagi memilih wakil Selangor ke peringkat kebangsaan di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan dari 22 hingga 25 November depan.

Pertandingan peringkat Selangor bagi acara bakat dan sukan membabitkan sembilan acara iaitu bercerita, story telling, tilawah dan terjemahan, rekacipta, pidato, tarian, nasyid, boneka tangan serta kompang berformasi.

Categories
SELANGOR

Jom Shopping meriahkan sambutan Tahun Baru Cina

 

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 6 FEB: Sambutan Tahun Baru Cina bakal disambut meriah dan lebih bermakna apabila 400 masyarakat cina DUN Morib menerima baucer Jom Shopping.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib, Hasnul Baharuddin berkata, program itu bertujuan memberi peluang masyarakat cina berpendapatan RM1,500 kebawah membuat persediaan menyambut Tahun Baru Cina.

“Kita mengharapkan sambutan kali ini akan lebih bermakna kepada masyarakat cina yang menyambutnya,” katanya, dipetik Sinar Harian.

Hasnul berkata, bagi memberi peluang untuk semua penduduk di kawasannya berpeluang menerima baucer itu, pihaknya menjalankan tapisan terhadap penerima yang sudah tiga kali menerima bantuan itu.

“Langkah itu diambil supaya dapat memberi peluang kepada penerima lain merasai bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri.

“Bagaimanapun sekiranya kita mendapati keluarga itu benar-benar memerlukan bantuan baucar sebanyak RM100 itu kita akan menukarkan penama kepada suami atau isteri atau anak bagi meneruskan bantuan.

“Selain itu, walaupun ada diantara mereka sudah maklum mengenai tapisan nama yang kita lakukan namun penerimaan mereka sangat baik dan berharap program ini diteruskan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Cepat naik taraf jalan Banting ke Jugra

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri digesa mempercepatkan kerja menaik taraf jalan negeri iaitu Banting ke Jugra di Kuala Langat.

Hasnul Baharuddin (PAS Morib), berkata projek naik taraf berkenaan sudah tiga kali diarah melanjutkan masa sehingga dua tahun.

hasnul ADUN morib pc 01“Walaupun sekarang sudah siap lebih 80 peratus, keadaannya masih bahaya dengan jalan tidak rata, banyak lubang dan gelap.

“Kita harap pelaksanaan dijalankan agensi bertanggungjawab dengan baik untuk keselamatan dan keselesaan pengguna,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau juga berharap perkhidmatan Bas SMART Selangor akan diperluas ke kawasan luar bandar.

“Setakat ini, penumpuan diberikan di kawasan bandar dan perbandaran. Kita harap pada masa hadapan ia dapat diperluas lagi,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

3 kedai kayu terbakar, PKNS digesa reformasi bangunan lebih 40 tahun

Oleh: LIZAWATI MADFA

KUALA LANGAT, 6 MEI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) disaran menaiktaraf deretan lima kedai kayu miliknya kepada bangunan batu, di sini.

Adun Morib, Hasnul Baharudin berkata, bangunan batu lebih konkrit dan tahan lasak berbanding kayu yang mudah terbakar.

“Rasanya tiada lagi bangunan kayu di pekan Banting ini melainkan milik PKNS.

hasnul ADUN morib pc 01“Sudah tiba masanya PKNS melakukan reformasi bangunan berusia lebih 40 tahun itu bagi mengimbangi pembangunan pesat di sekelilingnya,” katanya kepada Selangor Kini.

Sekitar jam 1 pagi semalam, tiga daripada lima kedai yang terletak di Jalan Sultan Abdul Samad terbakar dipercayai akibat litar pintas.

“Mujur bomba sempat bertindak dan menghalang api dari merebak ke dua kedai lain. Paling teruk terjejas adalah kedai kasut selain pakaian dan percetakan di sebelahnya,” katanya.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kerugiaan dianggarkan melebihi RM500,000.

Hasnul berkata, pihaknya sedang meneliti bentuk dan jumlah sumbangan yang dapat disampaikan kepada peniaga terjejas.

-NFN-