Categories
SELANGOR

Karnival Rakyat erat kerjasama penduduk Morib

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 MEI: Program Karnival Rakyat menjadi sandaran Adun Morib, Hasnul Baharudin merapatkan hubungan Kerajaan Negeri dengan penduduk setempat.

Beliau berkata, program yang pertama kali diadakan itu membabitkan penerangan program Kerajaan Negeri selain sukaneka dan gerai jualan, pada 2 Mei lalu.

hasnul ADUN morib pc 01“Masih ramai rakyat yang tidak tahu dan kurang memahami program dijalankan. Kita juga yakin karnival seperti ini dapat merapatkan hubungan,” katanya kepada Selangor Kini.

Pada masa sama, beliau berkata, program pendidikan turut diperhebat dalam usaha membantu pelajar memperoleh keputusan cemerlang.

Bermula 18 April lalu, program Memburu Kecemerlangan Berganda dan Bijak Belajar mula diperkenal untuk pelajar tingkatan tiga dan empat.

“Lebih kurang 500 pelajar dapat dimuatkan dalam satu sesi,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Pakar: PR pecah jika Adun Hulu Klang, Morib dilantik Exco

Oleh NAZLI IBRAHIM

Profesor Datuk Mohamad Abu Bakar berpendapat Pakatan Rakyat kembali berantakan sekiranya dua Adun PAS yang melanggar ketetapan parti dan bersolidariti dengan rakan-rakan PKR dan DAP dilantik Exco.

ProfMohdAbuBakar1Pensyarah Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya itu berkata PR sewajarnya mengelak mencetuskan pergeseran baru yang hanya akan melambat-lambatkan proses pemulihan krisis perebutan jawatan Menteri Besar.

“Ini akan menimbulkan pergeseran sebab mereka yang menentang PAS juga diserap. Pertama, kita sedar tindak tanduk mereka menimbulkan kemarahan kepada PAS khasnya Datuk Seri Hadi Awang sendiri. Sekiranya mereka ini diserap jadi Exco, ini tamparan kepada PAS dan keretakkan dalaman Pakatan Rakyat (PR) jadi lebih jelas,” tegas beliau.

Di muktamar PAS baru-baru ini, Presiden Abdul Hadi Awang membidas Adun Hulu Klang, Saari Sungib dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin hingga menggelar mereka ‘barua’ kerana menandatangani akuan bersumpah menyokong calon Langkah Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sejurus perlantikan Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali sebagai Menteri Besar baharu, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin menggesa kuota PAS dikaji semula kerana tidak menyokong Dr Wan Azizah.

Persuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad bangkit mempertahankan kuota empat anggota Exco yang diperuntukkan kepada partinya, memandangkan Parti Islam majoriti Melayu itu mempunyai jumlah kerusi yang mengatasi PKR dan menyamai kerusi milik DAP.

“Krisis ini sudah berlarutan agak lama, sebarang usaha melaga-lagakan tak menjadi sebab orang dah bosan.

“Rakyat hanya ingin lihat pentadbiran Selangor kembali pulih, berjalan baik demi rakyat sebab rakyat lebih mementingkan keselesaan, kelancaran kerja, perkhidmatan umum dan inilah ditekankan, bukan soal idealogi, bukan soal kepartian tetapi mereka harus mengurus supaya tidak menjadikan krisis Selangor berpanjangan,” jelas Mohamad.

Pendapat itu turut dikongsi Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad. Beliau dilaporkan berkata pemilihan dua Adun PAS itu akan memburukkan hubungan antara parti komponen, selain menggambarkan mereka dipilih atas dasar sokongan dan bukan kemampuan.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mengesahkan parti itu telah menyerahkan senarai nama calon exco PAS kepada Menteri Besar Mohamed Azmin Ali untuk dipersembahkan ke bawah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, hari ini.

Perkenan Tuanku dan jemaah Exco baharu dijangka diumum esok.

HM

Categories
SELANGOR

Program Zon Bersih MDKL Atasi Masalah Denggi

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

BANTING 17 JUN : Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bertekad meneruskan kecemerlangan yang dicapai dalam program zon bersih sejak ia dimulakan Kerajaan Negeri empat tahun lalu.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu muncul juara bagi kategori majlis daerah pada 2010 dan 2011 manakala naib juara kategori sama pada tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Morib, Hasnul Baharuddin berkata, pujian harus diberi kepada MDKL kerana bersungguh-sungguh menjayakan program tersebut dengan pelbagai perancangan dan usaha dijalankan di dalam daerah berkenaan.

Menurutnya, banyak perubahan dapat disaksikan dilakukan MDKL sejak 2010 dan dengan itu banyak kejayaan dicapai menerusi program tersebut pada setiap tahun.

“Kawasan terlibat seperti di Kampung Jenjarom kita sudah dapat saksikan perubahan dari segi kemudahan dan penyelenggaraan lebih baik.

“Taman Seri Putera jika dulu kawasan ini juara wabak demam denggi dengan berlaku 200 hingga 300 kes sepanjang tahun tetapi setakat ini tidak sampai 10 kes dilaporkan berlaku tahun ini.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

“Saya merakamkan setinggi penghargaan dan tahniah kepada semua agensi, persatuan dan pihak terlibat terutama MDKL yang bertungkus lumus menjayakan program ini,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Program Zon Bersih MDKL di Taman Banting Baru di sini.

Turut hadir, Yang Dipertua MDKL, Mohd Azhar Mohamed Ali dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Mohd Saleh Santhiman.

Hasnul berkata, program zon bersih dirancang Kerajaan Negeri dengan tujuan menjadikan Selangor sebagai negeri yang terbersih supaya dicontohi negeri lain.

Tegasnya, dengan PBT di Selangor terdiri majlis bandaraya, majlis perbandaran termasuk majlis daerah mempunyai pengurusan yang baik maka program dijalankan akan beroleh kecemerlangan.

“MDKL sendiri adalah antara contoh majlis daerah yang terbaik di Selangor serta negara,” ujarnya.

Categories
SELANGOR

Hasnul Janji Selesai Masalah Terminal Teksi Kuala Langat

hasnul adun morib hentian teksi 01

BANTING 23 MEI : Pengusaha teksi di Terminal teksi Kuala Langat boleh menarik nafas lega apabila Adun Morib, Hasnul Baharuddin berusaha membantu menyelesaikan masalah kekurangan penumpang sejak sejak lima tahun lalu.

Kekurangan pelanggan ini ekoran kedudukan terminal yang agak terlindung dan jauh daripada hentian bas yang menurunkan penumpang.

Situasi ini mengundang kepada berleluasanya aktiviti kereta sapu yang mengambil penumpang sewenang-wenangnya.

Menurut Hasnul, beliau akan membawa perkara ini untuk dibincangkan ketika sidang Dewan Negeri Selangor(DNS) supaya satu tindakan khusus dapat diambil pada kadar segera.

Jelasnya, beliau mencadangkan supaya Kerajaan Negeri mengambil semula tanah berkenaan daripada pemaju swasta, Ehsan Istimewa Sdn Bhd untuk dibangunkan semula.

“Kalau boleh, Kerajaan Negeri ambil semula tanah ini kerana pemaju ternyata gagal memenuhi janji yang akhirnya membebankan pengusaha teksi dan penduduk secara amnya,” ujarnya.

Sebelum ini, mantan Menteri Besar, Dr Khir Toyo menyerahkan tanah yang berkeluasan tiga ekar itu kepada syarikat swasta yang didakwa kroninya untuk dibangunkan.

Bagaimanapun, pemaju hanya membina sebuah bazar, beberapa buah kedai dan gerai namun tidak mengalihkan terminal teksi itu jauh daripada terminal bas berhampiran.

Dalam pada itu, wakil pengusaha Persatuan Teksi Kuala Langat, Anwar Sidek, 34, berkata, beliau dan pengusaha teksi lain sudah mengadakan beberapa sesi dialog bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta agensi lain namun tiada tindakan sehingga kini.

“Kalau dahulu, ahli persatuan kami 80 orang, tetapi kini hanya tinggal 50 orang kerana ramai yang tak dapat cari makan kerana masalah ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

200 Sertai Kayuhan BES Jelajah Selangor Kuala Langat

kayuh basikal yunus morib 01

KUALA LANGAT 9 FEB : Lebih 200 peserta hari ini menyertai Kayuhan Basikal Belia Ehsan Selangor (BES) Jelajah Selangor dari Pantai Morib ke Telok Panglima Garang.

Program anjuran Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri tersebut merupakan kesinambungan kepada Program Jelajah Futsal yang diadakan pada tahun-tahun sebelum ini oleh Penggerak Belia Tempatan (PeBT).

kayuh basikal yunus morib 03Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, selain membawa kelainan kepada warga belia pada siri tahun ini, program berbasikal itu juga diharap dapat menarik penyertaan yang lebih menyeluruh.

“Ia juga merupakan usaha untuk membolehkan rakyat khususnya golongan belia untuk mengenali Selangor dengan lebih dekat.

“Program dijalankan secara santai agar peserta dapat menikmati keindahan pemandangan negeri ini di samping mempromosikan cara hidup yang sihat,” kata Dr Ahmad Yunus yang juga Adun Sijangkang.

Program anjuran bersama Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) pada pagi ini juga merupakan Siri Kedua Kayuhan BES selepas Siri Pertama diadakan di Kuala Selangor, minggu lepas.

kayuh basikal yunus morib 02Pagi ini, peserta berkayuh sejauh 40 km dari Pantai Morib dan hingga ke Tapak Pasar Malam, Taman Datok Hormat, Telok Panglima Garang.

Sementara itu, salah seorang peserta, Masran Hassan 48, memuji program tersebut yang sangat bermanfaat dalam membentuk sahsiah diri yang baik untuk golongan belia.

“Saya harap para belia dapat mengambil peluang ini kerana aktiviti sebegini mampu meningkatkan semangat persepakatan antara mereka.

“Ini juga dapat mengelak para belia daripada menyertai aktiviti kurang sihat yang merugikan mereka,” kata peserta yang aktif menyertai kelab berbasikal ini.

Turut hadir dalam program pagi tadi ialah Penyelaras DUN Morib, Hasnul Baharuddin.

Minggu hadapan, program Kayuhan BES Jelajah Selangor Siri Ketiga akan dianjurkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Kerusi Roda Bagi Meringankan Beban


MORIB, 9 MAC: Tiada perkataan yang boleh menggambarkan kegembiraan sebuah keluarga Orang Asal di Kampung Kelanang di sini, apabila mendapat sumbangan kerusi roda untuk meneruskan aktiviti seharian.

Johan Lamin, 40 yang menghidap penyakit gout sejak dua tahun lalu melahirkan rasa terharu diatas keperihatinan masyarakat setempat yang tidak putus memberikan bantuan bagi meringankan beban mereka sekeluarga.

Dengan keadaan sebegini, Johan yang bergantung kepada tongkat untuk bergerak tidak mampu untuk menyara keluarganya sebagai nelayan persisiran pantai.

Walaupun dia mempunyai ladang kelapa sawit sebanyak dua ekar, hasilnya tidak cukup untuk menampung perbelanjaan bulanan lima orang anak dan isterinya. Tiga daripada lima anaknya masih bersekolah.

“Buat masa sekarang saya masih belum menerima apa-apa bantuan. Walaupun ada hasil daripada kelapa sawit kita tidak terpaksa berjimat cermat.

“Kalau RM1,000 sebulan pun saya kena tanggung lima orang anak, termasuk isteri dah enam orang. Saya terlantar, isteri memang tidak bekerja.

“Untuk anak yang bersekolah, saya peruntukkan RM2 seorang sebagai belanja harian. Tiga orang sudah RM6,”
katanya.

Sumbangan kerusi roda itu disampaikan oleh Penyelaras DUN Morib, Hasnul Baharuddin.

Bagi Ketua Kampung, Mustakim Mat Din, pihaknya memberikan tumpuan kepada keluarga Orang Asal yang berada di dalam kesusahan dan menghulurkan bantuan yang termampu walaupun bukan bantuan bulanan.

Katanya, jawatankuasa kampung akan memohon bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk meringankan beban perbelanjaan bulanan keluarga Johan.

“Saya sebagai ketua kampung dan pengerusi JKKK sentiasa mencari anak buah saya yang berada di dalam kesusahan. Terutama sekarang saya tumpukan kepada orang asal. Saya rasakan dia macam terbiar. Kita dekati mereka dan kita berikan bantuan apa yang kita termampu,” katanya.