Categories
AGENDA NASIONAL

Hospital Kota Marudu kini rawat pesakit Covid-19

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Sebagai langkah kesiapsagaan menghadapi peningkatan kes Covid-19 di Sabah, Kementerian Kesihatan (KKM) memperuntukkan Hospital Kota Marudu sebagai satu lagi hospital untuk merawat jangkitan itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya ini menjadikan keseluruhan tujuh hospital termasuk Hospital Queen Elizabeth, Hospital Wanita dan Kanak-kanak di Kota Kinabalu; Hospital Duchess of Kent di Sandakan; Hospital Tawau; Hospital Lahad Datu dan Hospital Keningau.

Kesemua hospital ini dengan kapasiti keseluruhan 946 katil termasuk 66 untuk jagaan kritikal dan 170 alat bantuan pernafasan, diperuntuk merawat kes Covid-19 kategori 3 hingga 5, katanya menerusi hantaran Facebook beliau hari ini.

Dr Noor Hisham berkata KKM juga mengenal pasti enam lagi pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC), menjadikan jumlah keseluruhan 16 buah dengan kapasiti 3,876 katil bagi merawat kes tidak bergejala atau bergejala ringan (kategori 1 dan 2) di negeri itu.

Tambahan kemudahan ini menjadikan kapasiti katil bagi merawat pesakit Covid-19 di Sabah kini sebanyak 4,822 berbanding 2,596 katil sebelum ini, katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, sebagai langkah kesiapsiagaan hospital di pantai timur Sabah pula, KKM dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia bercadang mewujudkan hospital medan bagi menawarkan perkhidmatan obstetrik dan ginekologi, pediatrik serta pembedahan am kepada pesakit bukan kes COVID-19.

“Ini akan memberi lebih banyak ruang kepada Hospital Tawau untuk merawat kes Covid-19 kategori 3 hingga 5, manakala kes kategori 1 dan 2 akan terus ditempatkan di PKRC,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata untuk peringkat awal, hospital medan itu dirancang menyediakan 100 katil.

Setakat semalam, Sabah mencatatkan 3,841 kes Covid-19 dengan 11 zon merah iaitu Kota Belud, Tuaran, Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Papar, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau selain merekodkan 19 kluster.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: ICU Hospital Queen Elizabeth II masih beroperasi

KOTA KINABALU, 11 OKT: Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) di sini masih terus beroperasi, walaupun dua orang jururawatnya didapati positif Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata seorang jururawat dikesan positif Covid-19 setelah menjalani saringan bergejala pada 6 Oktober lepas, justeru saringan di tempat kerja menggunakan RTK Antigen dan juga RT-PCR telah dijalankan terhadap 92 pegawai perubatan dan jururawat di hospital itu, kelmarin.

“Hasil saringan mendapati seorang lagi jururawat yang merupakan kontak rapat kepada kes indeks adalah positif Covid-19, manakala anggota perubatan yang lain didapati negatif kedua-dua RTK Antigen dan PCR. Pada masa ini, 40 daripada 66 jururawat sedang dikuarantin di rumah.

“Perkhidmatan di ICU HQE II masih berjalan seperti biasa, namun terpaksa mengurangkan jumlah pesakit daripada lapan kepada enam pesakit. Kesemua pesakit di dalam ICU telah disahkan bebas COVID-19,” katanya menerusi kenyataan di Facebook semalam.

Semalam, sebuah portal yang memetik sumber tidak dinamakan mendakwa kononnya ICU hospital itu lumpuh, setelah jururawatnya dijangkiti penyakit itu.

Dr Noor Hisham berkata punca jangkitan itu masih dalam siasatan, bagaimanapun majoriti jangkitan dalam kalangan petugas kesihatan di negeri ini setakat ini, adalah berpunca daripada komuniti dan daripada petugas kesihatan kepada petugas yang lain.

Katanya, sejak permulaan pandemik itu sehingga semalam 579 orang kakitangan kesihatan dan perubatan Kementerian Kesihatan telah dijangkiti Covid-19, dan 198 kakitangan di Sabah telah dijangkiti, yang mana bulan ini mencatat jumlah tertinggi iaitu 85 orang, berbanding bulan lepas 66 orang.

Beliau berkata, semua petugas kesihatan dan perubatan adalah dinasihatkan untuk memakai pakaian perlindungan peribadi (PPE) yang bersesuaian, semasa menjalankan tugas dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sama ada di tempat kerja ataupun semasa di dalam komuniti.

“Pematuhan kepada panduan amalan klinikal dan langkah kawalan jangkitan adalah amat penting untuk pencegahan. Ruang kerja yang sempit dan ruang pantri di tempat kerja, juga perlu dipastikan sentiasa bersih bagi mengelakkan penularan di tempat kerja.

“Peperangan dengan Covid-19 ternyata bawa bersama risiko jangkitan dan terkesan kepada petugas kesihatan, sekiranya kita tidak patuh kepada amalan kawalan penyakit. Pastikan kita jaga kita,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

2,696 individu dikuarantin, 11 dirawat di hospital

SHAH ALAM, 30 JULAI: Seramai 2,696 individu yang pulang dari 22 negara menjalani kuarantin wajib selama 14 hari setakat semalam.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata mereka adalah rakyat tempatan dan warga asing yang ditempatkan di 11 hotel serta lima institut latihan awam di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan dan Selangor.

“Daripada jumlah itu, 11 individu dihantar ke hospital untuk menerima rawatan,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media hari ini.

Beliau memaklumkan polis melakukan 1,711 pemeriksaan terhadap individu yang menjalani kuarantin di kediaman masing-masing.

Katanya, polis dengan kerjasama Kementerian Kesihatan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan mereka mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Kerajaan memandang serius insiden (individu) tidak patuh SOP kuarantin wajib yang menyebabkan penularan jangkitan bukan sahaja kepada ahli keluarga tetapi masyarakat sekeliling.

“Justeru, orang ramai diminta membuat laporan kepada polis sekiranya terdapat individu yang memakai gelang kuarantin keluar ke tempat awam,” katanya.

Bermula 24 Julai, kerajaan memutuskan semua individu yang pulang dari luar negara dan warga asing yang memasuki Malaysia menjalani kuarantin wajib di stesen yang ditetapkan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kapasiti katil hospital cukup – PM

SHAH ALAM, 25 MAC: Kapasiti katil hospital di negara ini masih mencukupi untuk menampung pesakit Covid-19, kata perdana menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah melakukan persiapan dengan menyediakan 3,585 katil di 34 hospital seluruh negara khusus untuk pesakit berkenaan.

“Pada masa ini 34 peratus digunakan, jadi dengan baki sebanyak 66 peratus lagi ia masih boleh menampung pesakit.

“Sekiranya berlaku pertambahan jumlah kes positif melebihi kapasiti yang ada di hospital, beberapa tempat dikenalpasti untuk dijadikan pusat pengasingan dan kuarantin sementara,” katanya pada Perutusan Khas Perdana Menteri di Bangunan Putra Perdana, Putrajaya, hari ini.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Cadang bina hospital di Sepang bagi kemudahan penduduk

OLEH HAFIZAN TAIB

SEPANG, 15 SEPT: Kerajaan Negeri mencadangkan satu tapak lokasi bagi pembinaan hospital untuk mengatasi masalah ketiadaan kemudahan itu, di daerah ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, tapak lokasi berhampiran Kem Bina Negara Tanjong Rhu itu bagi memenuhi keperluan orang ramai khasnya masyarakat tempatan, selain meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan, di Selangor.

“Kerajaan Negeri tiada halangan dan mencadangkan satu kawasan bagi pembinaan hospital di daerah ini dan berharap Kerajaan Persekutuan membantu serta menyalurkan peruntukan bagi pembinaannya.

“Dianggarkan pembinaannya membabitkan kos lebih kurang RM300 juta,” katanya kepada media selepas lawatan ke tapak cadangan, di sini.

Acara itu ialah salah satu program dalam siri Jelajah Maju Bersama Dato’ Menteri Besar ke daerah Sepang, semalam.

Beliau berkata, bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan, penduduk di sini terpaksa menuju ke hospital Seremban, Cyberjaya dan klinik swasta di Nilai.

Bagaimanapun, katanya, terdapat hampir 500 laporan merujuk penduduk di sini mengunjungi hospital Seremban bagi tujuan berkenaan.

“Berdasarkan peruntukan tinggi bagi pembinaan hospital di sini, kita juga menilai dan memberi keutamaan kepada daerah lain seperti di Sabak Bernam, Kapar dan Hulu Selangor.

“Ia antara titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk kita meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di Selangor,” katanya.

 

Categories
GLOBAL

Sembilan terkorban kebakaran Hospital Taipei

TAIPEI, 14 OGOS: Kebakaran di sebuah hospital di New Taipei City, kelmarin, mengakibatkan sembilan maut manakala 15 lagi cedera, lapor agensi berita Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan Taiwan.

Sementara itu, 11 daripada mangsa yang cedera dilapokan parah ekoran kebakaran yang bermula di wad tingkat tujuh, Hospital Taipei, kira-kira jam 4.30 pagi, semalam.

Anggota bomba bernama Chen berkata, terdapat 32 pesakit di tingkat itu ketika kejadian.

“Api sedang marak di seluruh kawasan wad dan dipenuhi asap tebal ketika anggota bomba tiba, di lokasi kejadian,” katanya memetik BERNAMA.

Pekerja hospital turut membantu operasi menyelamat dengan membawa pesakit ke tingkat atas sebelum diselamatkan anggota bomba menggunakan kren.

Operasi menyelamat mangsa dan memadam membabitkan kira-kira 208 anggota bomba serta 76 jentera bomba.

Kebakaran dapat dikawal pada jam 5.27 pagi dan punca kejadian sedang disiasat.

Categories
AGAMA SELANGOR

LZS salur RM2.5 juta Tabung Kebajikan Pesakit 17 hospital

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 DIS: Sejumlah RM2.5 juta disalurkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada Tabung Kebajikan Pesakit LZS di 17 buah hospital sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Sumbangan bagi fasa kedua itu disampaikan oleh Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Jamalullail di Hospital Shah Alam.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid berkata, LZS terus komited memberi sumbangan kewangan kepada hospital di Selangor dan Wilayah Persekutuan bagi kegunaan pesakit tidak berkemampuan melalui Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia.

“Menerusi tahun ini, LZS bermurah hati menyampaikan sebanyak dua kali sumbangan iaitu pada Ramadan tahun lalu sebanyak RM1.7 juta.

“Ia menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan ini sebanyak RM4.2 juta,” katanya di Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Tabung Kebajikan Pesakit di Hospital Shah Alam, di sini.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya menyeru kepada mana-mana pesakit yang ingin mendapatkan bantuan supaya mendaftar di Jabatan Sosial Kebajikan pihak hospital.

“Mereka cuma perlu membawa surat doktor dan diserahkan kepada jabatan terbabit.

“LZS sentiasa memastikan pengagihan zakat dapat dijalankan telus dan bersistematik dengan mengenal pasti mereka yang layak, menilai jumlah bantuan dan melaksanakan pembaikan dari masa ke semasa,” katanya.

Untuk rekod, Hospital Kuala Lumpur menerima sumbangan tertinggi sebanyak RM400,000 diikuti Institut Jantung Negara sebanyak RM300,000.

Sementara itu, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pusat Perubatan Universiti Malaya masing-masing menerima sebanyak RM250,000.

Manakala, Tengku Ampuan Rahimah menerima sebanyak RM200,000 diikuti Hospital Selayang, Sungai Buloh, Ampang dan Serdang masing-masing menerima RM150,000.

Hospital Kajang, Putrajaya, Rehabilitasi, Cheras menerima sumbangan zakat sebanyak RM100,000 manakala Pusat Perubatan UITM Sungai Buloh menerima RM70,000, Shah Alam sebanyak RM50,000, Institut Kanser Negara sebanyak RM 40,000.

Hospital Kuala Kubu Bahru dan Banting masing-masing RM20,000.

=EZY=

Categories
KENYATAAN MEDIA

Hospital Rohingya boleh buat, hospital rakyat diabaikan?

 

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi telah mengumumkan Malaysia akan membina hospital medan bernilai RM3.5 juta di kem pelarian yang menempatkan etnik Rohingya di Bangladesh.

1. Tindakan murni oleh kerajaan itu boleh dipuji tetapi rakyat di negara sendiri perlu diberi keutamaan terlebih dahulu.

Apa yang mengecewakan saya, di Malaysia sendiri masih lagi banyak hospital yang diperlukan dan dijanjikan sejak sekian lama terutama di kawasan pedalaman, Sabah dan Sarawak yang sehingga hari ini masih tiada sebarang projek kelihatan.

Sebagai contoh di Pendang Kedah, Perdana Menteri dalam ucapan Bajet 2016 telah menyenaraikan Hospital Daerah Pendang untuk pembinaan, malangnya sehingga hari ini, perkara yang pernah dijanjikan oleh kerajaan Umno BN itu masih belum menjadi kenyataan.

Untuk pengetahuan, hospital Pendang telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dengan keluasan 16.8 hektar tetapi ditunda kepada RMK-10 atas sebab tertentu dan sehingga sekarang Hospital Pendang belum dilaksanakan setelah kerajaan memutuskan untuk membina dalam RMK-11.

Sebaliknya, Zahid menyatakan hospital medan itu akan dibina dalam tempoh sebulan sebaik mendapat kelulusan daripada kerajaan Bangladesh. Bagaimana dengan nasib hospital-hospital yang sedang ‘sakit’ di negara ini?

2. Sejak dahulu lagi, banyak rungutan yang diterima khususnya hospital di luar bandar yang kekurangan wad dan katil pesakit sehingga terpaksa dipindahkan ke tempat yang lebih jauh dari tempat tinggal mereka.

3. Saya turut berasa hairan pada masa negara kita mengutip pelbagai cukai daripada rakyat, namun masih banyak lagi tempat di negara ini tiada kemudahan asas yang diperlukan, selain ekonomi negara sendiri dalam keadaan tenat sehingga rakyat sekarang terpaksa membeli ubat di luar ekoran bekalan di hospital telah dicatu.

4. Justeru, atas faktor mengambil kira bilangan penduduk, beban dan kompleksiti penyakit, selain peningkatan fasiliti kesihatan serta perkhidmatan kesihatan, khususnya yang memerlukan, hospital-hospital sedia ada juga perlu dikemaskini.

Dr Idris Ahmad
ADUN Ijok
Parti KEADILAN Rakyat

Categories
NASIONAL

Caj naik, jangan jadikan wad sesak macam zon perang

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Langkah Kerajaan Persekutuan menaikkan caj wad hospital tidak patut kerana ia hanya meningkatkan bebanan rakyat dalam situasi ekonomi tidak menentu.

Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail berkata, kenaikan caj sehingga 50 peratus bermula Januari tahun depan seperti diakui Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, pastinya mendatangkan kesan besar terhadap rakyat.

“Meskipun kenaikan hanya membabitkan wad kelas satu dan dua sahaja tetapi kesan jangkitan caj akhirnya akan terkena kepada pesakit wad kelas tiga.

“Ini kerana sebahagian pesakit dari kedua-dua kelas atasan itu akan berpindah ke wad kelas tiga kerana faktor bayaran hingga menyebabkan wad berkenaan penuh sesak dan berlaku keadaan seperti zon perang,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Ketua Biro Sains dan Kesihatan Keadilan itu berkata, keadaan itu bakal menjadi lebih teruk di dalam suasana krisis ekonomi dihadapi ketika ini.

Katanya, kemudahan penjagaan kesihatan yang baik adalah hak asas rakyat yang mesti dipertahankan dan terus diperbaiki.

“Penjimatan di sektor kesihatan hendaklah ditingkatkan dengan sistem tender terbuka, elakkan pembaziran dan pengurangan margin keuntungan kepada perkhidmatan diswastakan di premis kesihatan.

“Setiap ringgit dibelanjakan untuk kesihatan rakyat adalah penjimatan jika dibandingkan dengan kos rawatan dan kos menanggung rakyat yang sakit,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Keperluan hospital baru dipotong walau keperluan mendesak

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Walaupun keperluan mendesak bagi membina hospital baru, namun pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil langkah memotong peruntukan pembinaannya dalam Belanjawan 2017 sebanyak 35 peratus kepada RM177.2 juta berbanding RM273 juta pada 2016.

Ahli Parlimen Kampar, Dr Ko Chun Seng berkata, pemotongan sebanyak RM95 juta itu tidak sepatutnya berlaku berikutan nisbah katil hospital berbanding populasi negara ketika ini adalah 1.9 katil bagi setiap 1,000 penduduk.

Katanya, perkembangan itu sekaligus meletakkan negara berada di tangga ke 119 daripada 190 negara dalam kedudukan kemudahan kesihatan seluruh dunia.

“Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar telah bertitah Hospital Sultanah Aminah bukanlah kilang sardin dan kerajaan mesti membina sebuah hospital baru yang lebih baik untuk memberi perkhidmatan sempurna kepada rakyat tetapi malangnya dan mengejutkan, kerajaan kehabisan dana untuk membina hospital baru.

“Kerajaan tidak boleh berdalih lagi dengan mengatakan tidak mempunyai dana mencukupi. Dana membina hospital baru adalah kecil berbanding RM55 bilion yang akan dibelanjakan untuk projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) sepanjang 600 kilometer atau bersamaan 91.7 juta bagi setiap satu kilometer.

hospital“Peruntukan Perdana Menteri untuk membina hospital tahun 2017 tidak cukup untuk membina walau dua kilometer landasan ECRL ini,” kata Chun Seng pada sidang medianya di Lobi Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Jelasnya, dalam carta sama, Singapura berada di kedudukan ke 94 dengan nisbah 2.9 bagi 1,000 penduduk, United Kingdom pada tangga ke 61 dengan nisbah 4.2:1,000, Indonesia di tangga ke 36 dengan nisbah 6:1,000, Jerman kedudukan ke lapan (8.9:1,000) dan Jepun kedudukan ke empat (14.4:1,000).

Katanya, negara memerlukan sekurang-kurangnya 25 buah hospital bersaiz Hospital Sultanah Aminah dengan kemampuan 1,200 buah katil setiap satu bagi menyamai kemampuan Singapura.

Ketika menyentuh perbezaan pembangunan hospital di era Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai Perdana Menteri, Chun Seng memberitahu, era kegemilangan pembinaan hospital berlaku pada tahun 2003 apabila Kerajaan ketika itu memperuntukan RM1.7 bilion untuk membina hospital baru iaitu perbezaan sebanyak 90 peratus berbanding peruntukan bagi tahun 2017.

-nR-

Categories
SELANGOR

PKNS bangun hospital bantu golongan memerlukan

OLEH: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 7 MEI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bakal membangunkan hospital pertama Kerajaan Negeri dengan anggaran kos RM140 juta.

Pengurus Besar, Azlan Md Alifiah, berkata ia dijayakan anak syarikat PKNS iaitu SELGATE Corporation Sdn Bhd dengan kerjasama Hatimuda Sdn Bhd (Kumpulan Hospital SALAM).

PKNSKatanya, PKNS turut merangka empat pembinaan hospital di Shah Alam, Cyberjaya, Gombak dan Setia Alam dengan anggaran kos keseluruhan RM500 juta.

“Usaha ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri mahu mewujudkan perkhidmatan kesihatan terbaik pada harga berpatutan.

“Kita jangka ia mampu memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana di Selangor,” katanya dalam sidang media.

Terdahulu, beliau menyertai Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara SELGATE dan SALAM bagi membangunkan hospital berkenaan.

SELGATE diwakili Azlan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noor Hisham Mohd Ghouth sementara SALAM diwakili Pengerusinya, Dato Zainal Bachik dan Pengarah, Izhar Ibrahim.

Azlan berkata, tapak hospital itu terletak di atas berkeluasan enam ekar bersebelahan Pusat Beli Belah AEON, Bandar Country Homes dengan anggaran penduduk seramai 362,000 orang.

“Fasa pertama dijangka siap pada akhir 2018 dengan kapasiti 80 katil sementara fasa kedua siap sepenuhnya pada 2020 dengan kapasiti 200 katil.

“Kerjasama dimeterai adalah untuk meneroka, menyediakan, mereka bentuk dan menilai kebolehlaksanaan, merancang perniagaan dan kolaborasi pembangunan hospital,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Ziarah 6 Hospital cara berkesan sampai dakwah

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 12 DIS: Program Ziarah 6 Hospital menggalakkan pembinaan hubungan erat antara masyarakat dan pesakit seluruh Selangor.

Exco Hal Ehwal Agama Ialam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata program itu dapat membantu menjadikan hospital sebuah institusi yang mesra rakyat dengan aktiviti ibadah.

12274522_919894771432648_2094151608595729342_n“Badan bukan kerajaan (NGO) digalakkan lebih kerap menganjurkan program ziarah pesakit.

“Ia akan dapat membantu pesakit dengan memberikan mereka motivasi dan pertolongan mengikut keperluan,” katanya dipetik Sinar Harian.

Selain itu, Yunus berkata, ziarah adalah salah satu cara yang berkesan untuk menyampaikan dakwah kepada pesakit dengan lebih berkesan.

Difahamkan, Program Ziarah 6 Hospital adalah inisiatif Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama NGO Fasilator Sukarelawan.

-NFN-